Saturday, February 16, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 1

Pagi itu, entah mengapa penggera jam telefon bimbit Amelia tidak berbunyi. Sedar sahaja daripada lena, jam menunjukkan hampir jam lapan pagi sedangkan kelas pertamanya hari itu bermula pada jam sembilan.

Sejam itu mungkin bukan masalah bagi para pelajar yang duduknya di dalam asrama kampus, tetapi tidak baginya yang duduk di rumah sewa. Dari rumah sewanya ke kampus mengambil masa setengah jam perjalanan kereta dan dia juga harus mandi dan bersiap.

"Lantaklah, kalau tak sempat karang, aku ponteng sahajalah kelas orang tua itu! Ataupun aku masuk sajalah buat muka sepuluh sen aku, bukannya dia tak bagi masuk pun. Habis teruk pun dia sindir aku sepanjang kelas sahaja. Bukan tak biasa kena sindir. Orang tua itu mana pernah berpuas hati dengan aku," ngomel Amelia sendiri sebelum menuju ke bilik air.

Akibat terlewat, Amelia mengambil masa 10 minit sahaja untuk mandi dan bersiap. Tidak seperti selalunya, dia mengambil masa antara 15 minit sehingga sejam hanya untuk mandi dan bersiap membuatkan dia lebih selesa bergerak sendiri.

Namun begitu, Amelia tiba di kelas lewat 5 minit akibat kegagalannya mendapat tempat parkir kereta berdekatan dengan fakultinya. Semasa dia tiba, pensyarah yang bertanggungjawab mengajar kelas tersebut baru sahaja meletakkan barangnya di atas meja.

Amelia cuba masuk ke dalam kelas ketika pensyarahnya sedang sibuk, tetapi gagal apabila kelibatnya disedari lelaki itu.

"Nur Diyana Amelia, kenapa awak lewat hari ini? Awak memang suka nak cari pasal dengan saya ke?" tanya Syafiq, pensyarah subjek Pemasaran, kuliah pertama Amelia hari ini.

"Tak jumpa parking, sir. Maafkan saya, saya tak ada niat pun nak cari pasal dengan sir, tetapi bukankah saya masuk bersama dengan dua orang lain, kenapa saya seorang sahaja yang kena?" tanya Amelia, tidak berpuas hati.

"Awak inikan, kalau sehari tak menjawab, bukan awaklah. Oleh sebab awak terlewat dan menjawab, hari ini awak kena denda. Saya nak awak tolong saya petang ini. Kelas awak habis pukul berapa?"

"Aduh, kenapa dalam banyak-banyak hari, kena hari ini? Hari ini aku habis kelas awallah pula!" ngomel Amelia, dalam hati.

"Sebelas pagi, sir."

"Awalnya, bagus! Saya habis kelas hari ini jam dua belas, jadi jam dua belas saya tiba kat bilik saya, awak sudah ada depan bilik saya. Faham? Sudah, awak boleh duduk!"

Amelia hanya mengangguk faham dan terus duduk di sebelah dua orang rakan baiknya, Zaidah dan Dora yang sedia kosong itu. Wajahnya kelat tanda protes.

"Kenapa kau lambat?" tanya Zaidah.

"Jam aku tak bunyi pagi tadi. Sedar-sedar dah pukul tujuh," jawab Amelia dengan nada kendur.

"Alahai, tak memasal kita kena batalkan rancangan kita nak serang Sephora tengahari ni. Kau bakal kena dera dengan orang tua itu pula! Aku rasa dia kena kahwinlah, baru perangai tak tentu hala dia itu hilang," ngomel Dora pula.

"Itulah yang aku fikirkan. Sorry gang," jawab Amelia.

"Tapi aku hairan, kenapa kau saja yang kena? Jangan-jangan..."

"Zaidah, awak nak saya denda sekali dengan Diyana ke?" sergah Syafiq membuatkan ketiga-tiga mereka terkejut.

Zaidah dengan pantas menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu didenda sekali walaupun tindakannya sedikit kejam ke atas Amelia.

"Sampai hati kau Zai!" bisik Amelia.

"Aku tak nak, daripada aku tolong dia, baik aku balik rumah tidur. Sorry Amy, nanti aku belanja kau KFC," jawab Zaidah.

Amelia tidak menjawab, sebaliknya membuat isyarat tangan okay membuatkan Zaidah menarik nafas lega.

     *     *     *     *     *

Zaidah sedang menikmati makan tengaharinya bersama Dora apabila seorang lelaki mendekati mereka berdua. Melihat ketibaan lelaki itu, mereka berdua membuat riak wajah sedikit meluat.

"Eh, kenapa kau orang berdua saja? Amy mana?" tanya Redzuan selepas duduk bersebelahan dengan Zaidah.

"Amy ada dengan Sir Syafiq, sir minta tolong dia tadi. Kau ini, tak habis-habis cari Amy kenapa? Dulu kau tinggalkan dia tanpa sebab, kau pernah fikir tak apa yang dia rasa? Seluruh semester dia jadi orang tak tentu hala, kalau tak kerana sir Syafiq itu yang mengacau hidup dia, aku rasa dia masih jiwa kacau lagi agaknya!" bebel Dora, geram dengan pertanyaan Redzuan itu tadi.

"Aku sudah 3 bulan pujuk dia kembali dengan aku, aku sedar dulu aku salah tinggalkan dia. Aku tak tahu apa kena dengan aku sampai boleh terfikir nak tinggalkan dia. Kenapa dia masih tak bagi jawapan pada aku?" tanya Redzuan.

"Kalau dia tak jawab, itu maksudnya dia tak nak! Payah sangatkah kau nak faham?" jawab Zaidah.

"Aku tak percaya selagi aku tak dengar dari mulut dia sendiri! Kalau dia tolak aku sekalipun, aku akan tunggu dia sampailah dia setuju nak kahwin dengan orang lain. Baru aku akan mengalah," jawab Redzuan.

"Kenapa kau nak buat masa kau? Carilah orang lain," jawab Dora, hairan dengan jawapan Redzuan itu.

"Mana ada orang yang faham aku macam Amy faham aku, Dora. Kau tahu bukan?"

"Tahu, tapi aku tak nak dia kecewa kali kedua dengan orang yang sama. Sakit kecewa hari tu pun aku tak tahu dah hilang ke belum, aku sebagai kawan baik dia tak mahu tengok dia sedih," jawab Dora.

"Tak apalah, Zai, Dora, aku biarkan masa saja yang tentukan."

Zaidah dan Dora hanya menggelengkan kepalanya mendengar jawapan Redzuan itu.

     *     *     *     *     *

Syafiq yang sedang menaip tesisnya berhenti seketika kerana menyedari biliknya tiba-tiba senyap sepi. Dia memandang ke arah Amelia yang duduk di atas kerusi bertentangan dengannya, hanya untuk melihat gadis itu tidur beralaskan kertas-kertas kajian terdahulu yang dicetaknya sebelum ini.

Dia memandang gadis itu, meskipun usia mereka berbeza hampir 10 tahun, namun Amelia tampak matang dari semua segi. Namun begitu, sikap Amelia yang cepat melatah itu membuatkan dia suka membuat gadis itu marah.

Tipulah andai hatinya tidak berminat dengan gadis berusia 25 tahun itu, namun hatinya masih belum boleh menerima pemergian arwah isterinya dua tahun lepas dengan redha membuatkan hatinya telah tertutup untuk menyunting gadis itu sebagai pengganti suri hatinya. Dia lebih selesa meminati gadis itu dalam diam.

"Diyana, bangunlah. Kalau lama lagi awak tidur atas kertas kajian saya, kuyup semua kertas itu. Jom kita pergi makan," ujar Syafiq bagi mengejutkan Amelia dari tidurnya.

Suara Syafiq membuatkan Amelia terkejut dan terus bangkit membuatkan Syafiq juga turut terkejut dengan reaksi Amelia.

"Awak ni kenapa, Diyana? Kena sampuk hantukah?" tanya Syafiq yang sedang mengurut dadanya akibat terkejut tadi.

"Sudah lamakah saya tertidur? Saya minta maaf sir, saya tertidur. Semalam saya siapkan assignment Puan Ayesha sampai pukul 4 pagi."

"Jadi itulah rahsia masuk kelas lambat ya?" tanya Syafiq dengan riak wajah nakal.

Terkedu Amelia melihat reaksi Syafiq itu. Inilah kali pertama dia berasa sangat selesa berbicara dengan lelaki bernama Raja Mohamad Syafiq itu. Selalunya perwatakan yang ditonjolkan lelaki itu lebih kepada seorang lelaki yang angkuh dan sombong, namun kali ini lelaki itu tampak lebih mesra dan mudah didekati.

"Lama betul menungnya. Sudahlah itu Diyana, mari saya belanja awak makan tapi kena keluar dari kampuslah. Nanti jadi gosip, satu hal pula. Cumanya, saya tak bawak kereta hari ini. Boleh kita pergi naik kereta awak tak? Nanti saya belanja minyak kereta sekali," ujar Syafiq, bersahaja.

"Saya bawak kereta Perodua Bezza saja, sir. Mana setara dengan kereta Mitsubishi Lancer yang sir pandu itu. Saya anak orang biasa saja, sir pula berdarah kerabat."

"Saya ini kerabat atas nama sajalah, bukan bawa matipun. Sudahlah, jom kita pergi cepat. Saya ada kelas jam 3 petang, nanti saya pula yang lewat."

Amelia yang sibuk mengemaskan barang-barangnya tidak mampu menyembunyikan perasaan gelabahnya apabila melihat Syafiq sudahpun terpacak di muka pintu biliknya. Dari satu barang ke barang yang lain semuanya terjatuh ke lantai. Berhempas pulas Amelia mengutip semuanya.

Syafiq hanya memerhatikan tindak-tanduk Amelia. Wujud perasaan kasihan, namun egonya membuatkannya tidak tegar membantu pelajar kesayangannya itu. Bimbang kalau-kalau hatinya berbunga lagi.

     *     *     *     *     *

Syafiq yang baru sahaja tiba di rumahnya perasan akan kewujudan sebuah kereta asing di perkarangan rumah milik keluarganya. Rumahnya merupakan rumah kampung, jadi dia amat mengenali kereta jiran tetangganya.

"Kereta siapa pula ni? Apa lagilah mama nak buat ini?" ngomel Syafiq dalam hatinya sepanjang perjalanannya dari kereta masuk ke dalam rumah.

Bukan dia tidak tahu sikap ibunya sejak tahun lepas, habis semua anak teman-temannya diajak datang makan malam di rumah. Daripada 365 hari, lebih 300 hari mereka menerima tetamu. Ibunya itu tidak pernah berputus asa untuk memastikan dirinya beristeri sekali lagi.

Syafiq melangkah masuk terus ke dapur, dia dapat melihat ibunya sedang berbual dengan seorang wanita bertudung krim, berbaju kurung sedondon ditemani corak bunga berwarna biru gelap.

Menyedari kehadiran Syafiq, kedua-dua wanita itu memandangnya. Alangkah terkejutnya dia melihat wajah wanita yang bersama dengan ibunya.

"Awak buat apa di sini?"

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com