Tuesday, February 19, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 5

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4

*****

"Apa dia?" tanya Amelia, terkejut dengan jawapan yang didengarinya.

"Saya berhenti kerja sebab saya tak nak suatu hari nanti perasaan saya pada awak terbongkar, awak akan tanggung akibatnya. Saya mengajar awak, mungkin perasaan saya akan jejaskan gred awak suatu hari nanti. Itu apa yang saya fikirkan," jelas Syafiq.

"Bukankah menjadi pensyarah itu cita-cita tuan? Kenapa korbankan untuk pelajar biasa seperti saya?"

"Bagi orang lain, awak pelajar biasa tetapi tidak bagi saya. Sekiranya saya tak buat keputusan ini, mungkin awak takkan berada di sini sekarang. Saya boleh memohon kerja sebagai pensyarah semula jika saya mahukan, tetapi awak takkan boleh menjadi pelajar semula sekiranya nama baik awak tercemar kerana perasaan saya. Faham tak?"

Penjelasan Syafiq itu membuatkan Amelia terkelu. Sebegini besar pengorbanan lelaki ini buatnya, tetapi sayang tidak mampu dibalasnya.

     *     *     *     *     *

Deena sedang melayari aplikasi Facebook apabila ada panggilan masuk. Skrin yang tertera "Makcik Syida" membuatkan dia menjawab panggilan itu tanpa berlengah.

"Assalamualaikum, makcik. Ada apa ya?" tanya Deena, lemah.

"Waalaikumussalam, Deena. Makcik nak tanya, kenapa Deena tak dapat majlis makan malam syarikat keluarga makcik tadi? Syafiq tak beritahukah?" tanya Puan Rasyida, di hujung talian.

"Syafiq tak beritahu makcik?" tanya Deena, hairan.

"Beritahu apa?"

"Syafiq minta putus siang tadi. Takkan Deena nak buat muka tembok pula makcik datang majlis malam tadi? Nanti kalau Syafiq halau Deena, malulah Deena!"

"Jadi, betullah Syafiq minta putus? Budak bertuah ini! Patutlah dia bawa perempuan lain datang ke majlis tadi, katanya pekerja bawahannya tapi makcik tak rasa begitu," jelas Puan Rasyida.

Jawapan Puan Rasyida membuatkan Deena terkesima. Syafiq bawa perempuan lain ke majlis tadi? Siapa pula ini?

"Sampai hati Syafiq buat Deena begini, makcik! Apa salah Deena sampaikan Syafiq begitu mudah mencari ganti Deena?" tanya Deena, sebak.

"Makcik minta maaf bagi pihak Syafiq, Deena. Makcik pun tak sangka perkara akan jadi begini."

"Mudahlah makcik berkata, yang sakitnya Deena, makcik! Tiga tahun Syafiq berikan harapan pada Deena, makcik. Kenapa Syafiq buat Deena begini, makcik?"

"Bagi makcik ruang untuk cari jawapannya, nanti apa-apa makcik beritahu Deena ya? Assalamualaikum," jawab Puan Rasyida di hujung talian sebelum mematikan panggilan.

"Waalaikumussalam," jawab Deena sebelum bertindak membaling telefon bimbitnya ke atas katil sebelum menjerit sekuat hatinya.

"Kau memang nak kena, Syafiq! Aku akan pastikan kau takkan bahagia! Aku akan cari betina yang buat kau tinggalkan aku! Siap betina itu aku kerjakan!" jerit Deena seperti orang gila. Sakit hatinya apabila perasaannya dipermainkan sebegitu.

     *     *     *     *     *

Lama Amelia termenung di meja makan sehinggakan dia tidak menyedari kepulangan Dora dari tempat kerja. Dora yang melihat rakan baiknya begitu memilih untuk mendekatinya.

"Apa yang kau menungkan sampai begitu sekali?" tanya Dora sebaik sahaja dia duduk bertentangan dengan Amelia.

Dora dapat melihat Amelia terkejut dengan kehadirannya, namun dia membiarkan saja rakannya itu kembali ke alam nyata terlebih dahulu.

"Tak ada apalah. Lambat kau balik hari ini, kena overtime ya?" tanya Amelia pula.

"Yalah, sampai jam 12 tengah malam tadi. Kau itu, kenapa tak tidur lagi? Tahulah esok tak kerja. Zai mana?" tanya Dora pula selepas menjawab soalan Amelia tadi.

"Zai kalau hari Jumaat mana lagi, dating dengan Zainilah. Tengok wayang agaknya. Dora..."

"Ya?" jawab Dora, sedikit hairan.

"Kau tahu bukan ada perkara yang aku lebih senang berkongsi dengan kau?"

"Aku tahu dan apa yang kau kongsi dengan aku belum pernah sampai ke telinga Zai lagi. Jangan risaulah," jawab Dora sambil memegang tangan Amelia.

Amelia menyambut tangan Dora bagi menghilangkan keresahannya. Dora tahu ada sesuatu yang tak kena dengan Amelia.

"Aku sebenarnya ada orang yang aku sayang, sejak tiga tahun lepas lagi."

"Sir Syafiq?"

"Macam mana kau tahu?" tanya Amelia, terkejut dengan soalan yang diajukan oleh Dora.

"Aku dah lama tahu, cuma aku fikir mungkin kau belum sedar atau kau tak bersedia nak kongsi dengan aku. Jadi, aku diamkan saja."

"Kau tahu bukan masalah keluarga aku? Jadi, bagaimana aku nak zahirkan perasaan aku walaupun aku tahu ianya berbalas?"

"Aku faham dan aku tak salahkan kau pun.  Kau ada sebab kau yang kau seorang saja faham. Cumanya, kenapa tiba-tiba kau sebut tentang sir? Bukankah selepas dia kena reject dulu, dia terus berhenti kerja?"

"Itulah masalahnya," jawab Amelia dengan air mata yang mula berlinang.

Melihat air mata Amelia, Dora kaget. Sudah lama dia tidak melihat rakan baiknya itu menangis. Sudah lebih tiga tahun wanita itu tidak menangis di hadapannya.

"Kenapa ini?"

"Aku dapat tahu dia berhenti kerja sebab aku," jawab Amelia sebelum dia bertindak menangis lebih kuat.

Dora terkesima seketika. Mana pula Amelia ini tahu bahawasanya bekas pensyarah mereka itu berhenti kerja kerananya?

"Kau jumpa dia?" tanya Dora.

Amelia hanya mengangguk. Tangisannya masih kedengaran.

"Okay, pada aku itu hak dia dan apapun sebabnya, itu pilihan yang dia dah buat. Mungkin baginya, masa depan kau lebih utama sebab dia sayangkan kau."

Jawapan Dora membuatkan Amelia berhenti menangis. Dora dapat melihat Amelia mengesat air matanya.

"Kenapa aku tak boleh nak pilih dia? Kenapa Dora? Kenapa hidup aku kena begini?"

"Habis itu kau nak buat apa?"

"Apa lagi aku boleh buat? Aku akan bertemu dengan dia selalu, kami sepejabat. Aku kena berpura-pura tiada perasaan terhadapnya. Itu saja yang aku mampu lakukan," jawab Amelia lalu mengeluh.

"Apa dia? Kau sepejabat dengan dia? Dia baru masuk kerjakah?"

"Taklah, itu syarikat keluarganya. Cuma, aku baru saja tahu kewujudannya di situ. Bos aku kata, dia memang jarang masuk pejabat sebab dia lebih banyak urusan di luar. Kalau masuk sekalipun, sama ada awal pagi atau selepas waktu kerja. Manalah aku nak perasan, lagipun kerja akupun banyaknya di luar pejabat juga."

"Betul juga. Aku pun tak terfikir. Dia bekerja sebagai apa di sana?"

"Pengarah Komersial."

"Hebatnya! Untunglah dia, anak orang berada. Kau tengoklah Zai, contoh mithali anak orang berada. Langsung tak kerja, tahunya berjoli dengan buah hati."

"Sudah nasib badan kita ini lahiriah orang susah, hadap sajalah. Aku kerja eksekutif pemasaran, kau pula eksekutif khidmat pelanggan. Nama saja serumah, payah nak berjumpa sekarang kan?" jawab Amelia lalu ketawa.

Mendengar jawapan Amelia, Dora juga ikut ketawa. Lega hatinya apabila Amelia sudah kembali tenang. Harapannya agar suatu hari nanti, rakan baiknya sempat meluahkan perasaannya kepada bekas pensyarah mereka itu.

     *      *      *      *     *

"Lama lagikah aku nak kena tunggu ini, Zai? Lambatnya kawan kau ini!" ngomel Amelia setelah menghabiskan secawan teh tarik.

"Sabarlah sekejap. Zaini kata tadi mereka dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah itu," jawab Zaidah yang sedang melayari aplikasi Instagram di telefon bimbitnya.

Tidak lama kemudian, muncul dua orang lelaki di hadapan mereka berdua. Salah seorang daripadanya merupakan Ruzaini dan seorang lagi merupakan Azam. Ini merupakan pertemuan pertama Azam dan Amelia.

"Amy, kenalkan. Ini senior kita, Azam. Azam, inilah Amy yang kau minat sangat dulu. Jenuh aku nak temukan kau orang berdua," ujar Zaidah sambil tersenyum.

Amelia memilih untuk senyun sahaja memandangkan dia masih belum mesra dengan Azam. Entah mengapa sejak ketibaan Azam, hatinya rasa resah bagai ada yang tak kena.

"Amy, aku dengan Zaini kena pergi ini. Aku dah tempah tiket wayang pukul 9. Kau orang spend time together ya? Azam, kau jaga kawan aku elok-elok. Kalau tak, nahas kau!" ujar Zaidah sebelum dia dan Ruzaini bangun meninggalkan mereka berdua.

Amelia memandang Azam, orang tinggi dan sedikit berisi. Wajahnya tampak macho mungkin kerana wajahnya lebih matang. Akan tetapi, ada sesuatu pada Azam yang tidak digemari Amelia. Dia tahu Azam memandangnya dengan pandangan yang sangat tajam. Seolah-olah mahu menelannya.

"Awak selesakah nak lepak di sini? Atau awak nak tempat lain?" tanya Azam.

"Tak apa, kita makan di sini saja. Lain kali kita pergi tempat lain," jawab Amelia, ringkas.

"Awak datang sini naik apa?" tanya Azam.

"Saya datang sini naik kereta Zaidah. Alamak, dia mesti pandu kereta dia bukan?"

"Tak apa, Amy. Zaini tadi datang naik kereta saya. Jadi, saya hantar awak balik nanti."

"Tak apakah? Susahkan awak saja, saya boleh pesan Grab."

"Tak payahlah buang duit pesan Grab. Saya hantar awak balik."

Meskipun Amelia berasa kurang selesa, namun disebabkan Azam berkeras, dia akhirnya bersetuju untuk membenarkan Azam menghantarnya pulang tanpa mengetahui itulah permulaan rentetan kisah tragisnya.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com