Sunday, February 24, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 10

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9

*****

"Kau kenal Amy? Amelia?" tanya Redzuan pula.

"Aku boyfriend Zai, kenal Zai tak? Nama penuhnya Zaidah," ujar Ruzaini.

"Kenal, sekali dengan Dora dulu. Betullah, kita bercakap tentang Amy yang sama. Kecilnya dunia ini!" ujar Redzuan, sedikit teruja.

"Kau kenal Dora juga? Itulah, kecilnya dunia ini kan?" tanya Ruzaini sambil tertawa.

"Mereka masih lagi bertigakah? Amy apa khabar sekarang? Lama aku tak jumpa mereka, sejak aku habis belajar dulu. Aku satu batch dengan Azam, jadi mereka bertiga itu junior kami."

"Itulah masalah sekarang. Sekarang ini Amy dengan Azam, kau tak tahukah?"

"Tak. Sampai hati dia tak beritahu aku! Baguslah, mereka berdua pun sama-sama baik," jawab Redzuan, teruja.

"Memang itu yang aku fikirkan, sebab itulah aku dan Zai kenalkan mereka."

"Habis itu, kenapa suara kau macam tak suka saja?" tanya Redzuan, hairan.

"Entahlah. Harap-harap apa yang aku bimbangkan tak jadilah. Oh ya, bila kau nak masuk? Aku tak tahulah setakat mana Azam dah kemas bilik dia tapi bilik dia akan jadi bilik kau. Kau pergilah tengok dulu biliknya. Bilik tengah itu. Maaflah, aku tak dapat nak tunjukkan pada kau," ujar Ruzaini sambil menudingkan jari ke arah bilik tidur Azam.

"Tak apa, aku masuk sendiri. Sebenarnya, aku nak tinggalkan sebahagian barang aku saja dulu di sini sebab sewa rumah lama aku akan tamat hujung bulan ini. Jadi, aku akan masuk hujung minggu ini. Aku pergi tengok bilik dulu ya?" ujar Redzuan sebelum menuju ke arah bilik tidur Azam.

Ruzaini mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di sebelahnya lalu menghantar mesej melalui Whatsapp kepada Zaidah. Harapannya ianya dapat membantu teman wanitanya dalam menyelesaikan masalah kawan baiknya itu.

     *     *     *     *     *

Syafiq sedang menonton televisyen apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia melihat skrin telefon bimbitnya sebelum menjawab panggilan telefon itu.

"Hello, Panjang. Ada apa-apa maklumat?" tanya Syafiq sebaik sahaja menjawab panggilan tersebut.

"Ada, bos. Cik Diyana dan encik Azam sudahpun bertolak jam 8 pagi tadi. Sekarang ini, mereka sedang berhenti rehat di Ipoh sebelum meneruskan perjalanan mereka," jawab Panjang, orang yang diupah bagi mengikuti gerak-geri Amelia.

"Bagus. Aku nak kau maklumkan semua perkembangan pada aku. Aku cuba ke sana menaiki kapal terbang bersama ibu bapa Diyana secepat mungkin. Apa-apa hal, aku akan beritahu kau semula," jawab Syafiq sebelum memutuskan talian.

Sesungguhnya dia telah sedia maklum akan keberangkatan Azam dan Amelia kerana Dora telah memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Dia telah menempah 5 tiket penerbangan buat dirinya, ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah.

Pada mulanya, Zaidah ingin mengajak Ruzaini tetapi Ruzaini memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur bagi mengelakkan masalah lain.

Mereka berlima akhirnya menjejakkan kaki di Alor Setar pada jam 5 petang sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis. Pada mulanya, Syafiq memilih Hotel Putra Regency sebagai tempat penginapan tetapi ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah tidak bersetuju kerana kos penginapan di situ agak mahal dan bimbang kalau pasangan kekasih itu memilih hotel yang sama.

Namun, setelah dimaklumkan bahawa kedua mereka pasti akan memilih Hotel Seri Malaysia atau hotel-hotel lain sebagai pilihan penginapan, mereka yang lain akur dengan pilihan Syafiq.

Syafiq mendapat maklumat bahawa Azam dan Amelia telah tiba di Perlis pada jam 5 petang dan menginap di Hotel Fyna selama semalam memandangkan malam itu mereka berdua harus tidur berasingan. Hanya hotel itu sahaja yang menawarkan bilik bujang yang selesa di Perlis.

Malam itu, Syafiq dikunjungi oleh Encik Ruslan setelah selesai dia menikmati makan malam menggunakan perkhidmatan bilik kerana terlalu penat. Syafiq menjemput lelaki itu duduk di atas sofa sebelum dia duduk di atas sofa bersebelahan.

"Ada apa pakcik datang berjumpa dengan saya?" tanya Syafiq sambil tersenyum.

"Pakcik sudah fikirkan cadangan Syafiq tadi. Pakcik rasa kita tunggu sahaja mereka berdua pulang semula ke Malaysia selepas mereka bernikah. Daripada kita bergaduh di tanah orang dan pakcik mungkin akan hilang anak pakcik selamanya, lebih baik kita bergaduh di tanah sendiri. Betul tak?" jelas Encik Ruslan.

"Saya setuju. Pakcik jangan risau, kita sama-sama akan selamatkan Amelia ya?" ujar Syafiq lalu menggenggam erat tangan Encik Ruslan.

"Pakcik harap sangat dapat kamu jadi menantu pakcik sebenarnya. Pakcik yakin kamu boleh membimbing Amelia, tapi itulah..."

"Pakcik, Allah takkan bagi sesuatu itu dengan mudah. Kalau tak, pasti kita takkan hargai pemberian-Nya. Saya yakin pakcik, dengan usaha saya dan doa daripada pakcik, mungkin Allah akan buka pintu hati Amelia suatu hari nanti. Tak salah mencuba," Syafiq memotong.

Kata-kata Syafiq membuatkan Encik Ruslan berfikir sejenak sebelum akhirnya mengangguk setuju. Semoga sahaja Allah melindungi keluarganya daripada anasir-anasir jahat yang ingin merosakkan.

     *     *     *     *     *

Pagi itu, Amelia sudahpun selamat menjadi isteri Mohd Azam dengan dua kali lafaz. Ternyata kedua mereka tampak sangat gembira dan Azam berasa sangat lega kerana akhirnya berjaya memilik Amelia.

Namun begitu, mereka berdua tidak tahu bahawa berita pernikahan mereka sudahpun diketahui oleh ibu bapa Amelia atas maklumat Panjang berikan kepada Syafiq. Mereka hanya perlu memilih masa yang sesuai untuk menyerang pasangan pengantin baru itu.

"Baby, balik Malaysia nanti kita nak tidur hotel mana ya? Tak sabar By nak tidur dengan Baby," ujar Azam, teruja.

"Baby tak kisah, tidur hotel manapun boleh asalkan Baby dengan By," jawab Amelia sambil menyeringai.

"Kalau boleh isteri By ini tak nak renggang bukan? 24 jam nak berkepit saja. Kita tidur Hotel Putra Brasmana boleh? Esok kita nak ke Langkawi pula," cadang Azam.

"Baby ikut saja cakap By. By kan suami baby sekarang," jawab Amelia sambil memeluk Azam dari tepi.

"Cuma, itulah. Duit By dah nak habis, nanti nak pakai di Langkawi lagi."

Mendengar kata Azam, Amelia mengeluarkan kad ATM miliknya lalu diserahkan kepada Azam.

"Nah, kad baby. No PIN baby letak tarikh lahir By," jelas Amelia sebelum menyimpan semula dompetnya ke dalam beg tangan.

Petang itu, mereka tiba di Kuala Perlis. Setelah mereka mendaftar masuk ke dalam bilik hotel, Azam bingkas mandi dan bersiap-siap untuk keluar membuatkan Amelia hairan.

"By nak ke mana?" tanya Amelia, ingin tahu.

Nama panggilan 'by' itu merupakan singkatan kepada perkataan 'hubby' yang bermaksud suami. Sengaja Amelia memilih nama panggilan tersebut kerana dia ingin nampak lebih manja.

Azam yang sedang menitiskan minyak pengasih yang digunakan ke atas Amelia selama ini di atas jarinya menuju ke arah Amelia lalu duduk bersebelahan Amelia sebelum memegang bahu wanita itu bagi mencalit minyak tersebut.

"Baby duduk sini sekejap ya? By ada hal sikit nak uruskan di Kangar, nanti By balik, kita pergi makan ya? Be a good girl," ujar Azam, lembut.

Akibat daripada dicalit minyak pengasih itu, Amelia mula berasa pening lalu menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Melihat reaksi Amelia, Azam bingkas keluar dari bilik meninggalkan Amelia sendirian.

"Alahai, Amelia. Kau pun aku dapat, harta kau pun selamat aku kikis! Kau tunggulah, akan aku buat kau jadi hamba cari duit untuk aku!" ujar Azam, teruja.

Sebaik sahaja dia tiba di pintu utama hotel, dia terus sahaja menaiki kereta Proton Saga berwarna perak yang sudah menanti di depan hotel sedari tadi. Di dalam kereta tersebut, ada seorang wanita yang memandu kereta tersebut.

"Miss me, darling?" tanya Azam kepada wanita sebaik sahaja dia menutup pintu kereta.

"Jenuh I nak tunggu you tahu? Kenapa lama sangat? Pergi nikah sahaja kan?" tanya Olivia, wanita yang memandu kereta yang dinaiki Azam itu.

"Chill darling, I kena pastikan dia dengar kata dulu, baru boleh tinggalkan dia. Lagipun, I nak simpan dia lama lagi kot!" jelas Azam sambil memegang bahu Olivia.

"Mana duit yang you janji nak bagi pada I, sayang? Jangan nak bolot sendiri pula, nanti you yang I guna-gunakan pula!" tanya Olivia sambil tersenyum manis.

"Rileks, kita pergi bank dulu. Eh, kejap! I laparlah, kita pergi makan dululah. Setakat pergi makan, duit I ada lagi."

"Nak ke mana?" tanya Olivia.

"Blackwood, sayang. Apa kelas makan nasi kandar?" jawab Azam sambil tersenyum senget.

Olivia yang mengerti senyuman Azam itu terus memecut laju bagi memenuhi permintaan Azam itu.

     *     *     *     *     *

"Pakcik, makcik, saya ada berita baik dan berita tak baik nak sampaikan pada pakcik dan makcik. Nak dengar yang mana satu?" ujar Syafiq yang baru sahaja tiba di meja makan yang menempatkan yang lain-lain selepas bercakap di telefon bersama Panjang tadi.

"Apa dia, Syafiq? Jangan buat pakcik seram. Ada apa-apa jadi pada Amelia ke?" tanya Encik Ruslan, bimbang.

"Amelia selamat, Alhamdulillah tapi Azam, telah meninggal dunia akibat kemalangan di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis tadi. Orang saya memaklumkan yang arwah bersama dengan seorang wanita ketika kejadian. Kereta hangus terbakar," jelas Syafiq dengan wajah yang mendung.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Amelia sudah tahukah?" tanya Puan Kursiah pula.

"Sudah, saya sudah memaklumkan kepadanya menggunakan telefon saya yang lain tadi. Dia dalam perjalanan ke hospital. Jadi, jom kita ke sana."

Sebaik sahaja selesai Syafiq menerangkan, kesemua mereka bingkas bangun untuk berangkat ke hospital.

Mereka berlima tiba di hospital 20 minit kemudian. Ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah turun dahulu manakala Syafiq pergi meletakkan kereta yang disewanya.

Keempat-empat mereka berjalan menuju ke arah bilik mayat di mana Amelia sudahpun berada di situ dengan berpakaian baju kurung berwarna putih. Tanggapan mereka itulah baju nikahnya siang tadi.

Puan Kursiah mendekati Amelia terlebih dahulu. Dia memegang bahu Amelia, namun tiada respon daripada wanita itu.

"Lia, ibu ini nak," ujar Puan Kursiah, lembut.

Mendengar kata-kata Puan Kursiah, Amelia memalingkan wajahnya ke arah Puan Kursiah lalu bangun dan memeluk ibunya.

"Ibu, nampak Azam tak? Ada orang call Lia kata Azam dah meninggal tapi Lia tak percayalah. Takkanlah Azam nak tinggalkan Lia? Kalau Lia jumpa orang itu, memang Lia kerjakan dia! Suka-suka saja tipu Lia kata Azam dah meninggal," ujar Amelia selepas meleraikan pelukan.

"Nak, orang itu tak tipu. Azam memang dah tak ada," jawab Puan Kursiah yang mana air matanya sudahpun berlinangan.

"Ibu pun sama! Taklah, Azam tidur saja kat dalam tu. Lia baru sahaja tengok, dia tengah tidur. Sekejap lagi dia bangunlah itu," tegas Amelia.

Melihat keadaan Amelia, Puan Kursiah memandang Encik Ruslan, Dora dan Zaidah meminta pertolongan. Encik Ruslan mendekati Amelia lalu membisikkan al-Fatihah ke telinga anaknya tetapi baru sahaja habis satu ayat, dengan rakus Amelia menolak ayahnya ke tepi.

"Apa ini? Panaslah! Janganlah mengaji kat tepi telinga Lia, ayah!" jerit Amelia seperti orang gila.

Melihat Amelia yang semakin agresif, Dora dan Zaidah mula memegang kiri dan kanan Amelia bagi menghalang Amelia untuk bergerak sebelum Encik Ruslan mengambil sebotol air mineral daripada Puan Kursiah yang merupakan air Ruqyah yang dibuat oleh ustaz yang dia bertemu untuk mengubati Amelia.

Dengan perlahan, Encik Ruslan membaca selawat seperti yang diajar oleh usaz tersebut sebelum menyapukan ke muka Amelia. Pada mulanya Amelia meronta-ronta sehingga nyaris terlepas pegangan Dora dan Zaidah sebelum akhirnya pengsan.

Syafiq yang baru sahaja tiba di situ mendekati Dora, Zaidah dan Amelia lalu mencempung Amelia dengan persetujuan Encik Ruslan.

"Zai, kamu tolong hubungi Zaini dan tanya tentang keluarga Azam. Kamu dan Dora tunggu di sini, saya akan hantar pakcik, makcik dan Diyana pulang ke hotel dulu. Nanti saya datang semula," ujar Syafiq sebelum berlalu pergi ditemani oleh Encik Ruslan dan Puan Kursiah.

Zaidah terus sahaja menelefon Ruzaini bagi mendapat maklumat tentang keluarga Azam seperti diarahkan.

"Hello, sayang. Ada apa-apa beritakah tentang mereka berdua?" tanya Ruzaini sebaik sahaja dia menjawab panggilan.

"Bad news, Azam dah meninggal dunia malam tadi. Kemalangan jalan raya," jelas Zaidah dengan nada yang kendur.

"Innalillah wainnailaihi rajiun, habis itu Amy bagaimana?" tanya Ruzaini lagi.

"Masalahnya, dia berada di dalam kereta dengan seorang wanita tetapi wanita itu bukan Amelia," jawab Zaidah.

"Apa dia?" tanya Ruzaini dengan suara yang sangat lantang.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com