Saturday, March 2, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 13

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12

*****

"Kenapa tuan buat saya begini? Kenapa perlu ikat saya dengan kontrak sebegini?" tanya Amelia, berang.

"Kenapa awak nak berhenti kerja?" tanya Syafiq pula, selamba.

"Sebab saya ini bekas pesakit jiwa. Masih layakkah saya untuk bekerja?" tanya Amelia selepas menjelaskan keadaannya.

"Things happened. Bukan salah awak pun. Kenapa awak kena berfikiran pesimis?"

"Mana mungkin saya boleh berfikiran optimis sedangkan ramai pekerja syarikat ini yang pandang enteng pada saya? Mereka mengatakan saya bergantung pada tuan untuk kekal di sini."

"Awak masih di sini kerana awak layak. Siapakah mereka itu? Bagi nama mereka dan saya akan pastikan esok mereka bukan lagi pekerja syarikat ini," jawab Syafiq, masih selamba.

"Jangan tutup periuk nasi orang kerana saya."

"Baiklah, kalau begitu. Jadi, awak boleh balik dan habiskan cuti sakit awak. Minggu depan awak masuk kerja. Okay?"

"Kenapa tuan masih melayan saya dengan baik setelah dua kali saya tolak tuan?"

Syafiq terkesima mendengar soalan Amelia. Dia memandang Amelia yang sudah berdiri hampir lima minit itu dengan perasaan terkejut.

"Bagaimana awak ingat awak tolak saya dua kali tetapi awak tak ingat awak tanda tangan kontrak baru?" tanya Syafiq, tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

"Ingatan saya tidak lengkap. Dalam satu-satu kejadian itu, ada bahagian yang akan hilang di sana sini. Jadi, ada yang saya ingat, ada yang tidak."

Setelah mendengar penjelasan Amelia, Syafiq mengangguk faham. Dia berhenti membuat apa-apa kerja lalu bangun dan menuju ke arah Amelia.

"Sudah, saya tak nak awak fikirkan apa-apa lagi. Balik berehat, jangan lupa makan ubat. Minggu depan masuk kerja macam biasa. Abaikan apa yang orang nak kata, sebab saya perlukan awak. Selasa depan, kita akan ke Pulau Pinang untuk mesyuarat pembentangan bajet event kerajaan negeri itu. Saya nak awak ikut saya ke sana untuk bantu saya. Dalam masa yang sama, saya akan pastikan awak tenangkan fikiran di sana. Faham?" jelas Syafiq, panjang lebar.

Amelia tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk faham sebelum beredar keluar dari bilik Syafiq.

Setelah pemergian Amelia, Syafiq menarik nafas lega. Bagai nak pecah dadanya menahan gelora di hati melihat Amelia di hadapan matanya.

     *      *      *      *      *

"Duduklah, Wan. Aku ambilkan air dan panggilkan Amy ya?" ujar Dora sebelum menuju ke bilik Amelia.

Dora mengetuk pintu bilik Amelia tetapi tidak berjawab. Dia mengetuk lagi tetapi masih tidak berjawab membuatkan dia membuka terus pintu bilik Amelia.

Terkedu Dora melihat Amelia yang sedang solat. Tanpa berlengah, dia menutup terus pintu bilik Amelia lalu menuju ke dapur untuk membuat air kopi buat Redzuan.

Sedang Dora membancuh kopi, kedengaran pintu bilik Amelia dibuka membuatkan Dora berjalan menuju ke arah Amelia yang sudahpun melangkah keluar.

"Amy, pakai tudung. Wan ada di hadapan sana," ujar Dora lalu menolak Amelia masuk semula ke dalam bilik sebelum menutup pintu bilik Amelia kembali.

Selepas itu, dia kembali membancuh kopi lalu membawa teko kopi dan cawan yang diletakkan di atas dulang menuju ke ruang tamu.

Tak lama selepas itu, muncul Amelia yang sudah bertudung itu duduk berhadapan dengan Redzuan. Dora pula baru sahaja selesai menghidangkan kopi kepada Redzuan sahaja memandangkan Amelia tidak minum kopi.

"Kenapa kau buatkan air kopi kalau kau sudah tahu Amy tak minum kopi?" tanya Redzuan, hairan.

"Saya tak boleh minum kopi dan teh untuk sementara waktu. Jadi, lebih baik buat air yang bukan kegemaran saya daripada saya terminum dan beri masalah pada semua orang. Ibu bapa saya baru sahaja nak melawat adik saya. Berikanlah peluang pada mereka berdua," jelas Amelia.

Dora hanya mengangguk bagi mengiyakan kata-kata Amelia sebelum beredar meninggalkan mereka berdua.

"Ada apa awak datang sini? Mujurlah Dora ada di rumah, kalau tidak saya pasti takkan bukakan pintu," ujar Amelia.

"Saya sudah mesej Dora dan Zai dulu sebelum datang. Lagipun saya pasti awak takkan dibiarkan sendirian minggu ini bukan?" terang Redzuan sambil tersengih.

"Betullah itu."

"Kenapa hambar sangat reaksi awak itu?" tanya Redzuan, hairan.

"Tak ada apalah. Saya memang begini sekarang."

"Saya mahukan Amelia yang saya kenali dulu."

"Amelia itu sudah mati. Jadi, kalau awak masih mahu berkawan dengan saya, terima sajalah Amelia yang di hadapan awak ini," jelas Amelia, geram.

"Berkawan sahajakah? Bagaimana dengan berkahwin?"

"Saya sudah tiada hati untuk berkahwin lagi."

"Tak bolehkah berikan saya peluang? Saya ingin membahagiakan awak," jelas Redzuan.

"Saya tak boleh nak bahagiakan awak, jadi apa yang akan awak dapat daripada perkahwinan kita?" tanya Amelia, hairan dengan sikap Redzuan.

"Saya dapat orang yang saya sayang sebagai isteri."

"Walaupun awak tak boleh sentuh saya?" duga Amelia.

Redzuan terkedu mendengar soalan Amelia itu. Mana mungkin seorang suami tidak bisa menyentuh isterinya?

"Kenapa pula?" tanya Redzuan.

"Sebab tak boleh. Saya boleh berikan benda lain kecuali itu. Tak boleh terima syarat saya? Mohon cari perempuan lain untuk menjadi isteri awak yang awak boleh sentuh bila saja awak mahukan," jelas Amelia sebelum bangun ingin meninggalkan Redzuan.

"Saya setuju."

Mendengar jawapan Redzuan, Amelia tersenyum sinis.

"Saya berikan 3 bulan untuk awak fikirkan masak-masak kerana bagi saya, walaupun pernikahan saya tak sah di Malaysia tetapi lebih molek jika kita tunggu tempoh iddah saya selesai. Jadi, awak gunakanlah masa itu untuk berfikir. Selepas 3 bulan, kita akan berbincang semula tentang ini," ujar Amelia sebelum beredar menuju ke arah Dora yang duduk di meja makan.

"Pandai-pandailah kau layan dia, aku nak tidur sekejap. Tiba-tiba rasa sakit kepala aku," jelas Amelia sebelum masuk semula ke dalam bilik tidur.

Dora hanya mengangguk lalu berjalan semula ke arah Redzuan sebelum duduk di tempat yang Amelia duduk tadi.

"Dia memang begitukah selama ini?" tanya Redzuan, hairan.

"Tak, sejak dia keluar dari wad baru dia begini. Dia lebih suka bersendiri, sudah tidak ceria seperti dulu. Dia tak menangis, tak ketawa, tak marah, macam tak ada emosi pun ada. Barangkali kesan ubat-ubatan yang dia makan agaknya," jawab Dora.

"Aku dengar juga orang kata ubat penenang memang akan berikan kesan begini. Tak sangka sebegitu hebat kesannya."

"Itulah. Harap-harap lepas pemeriksaannya lusa, dia tak perlu makan ubat-ubatan ini lagi."

Redzuan tidak menjawab kata-kata Dora, hanya keluhan sahaja kedengaran.

     *      *      *      *      *

Puan Rasyida sedang duduk minum pagi bersama suaminya, Raja Shamsuddin apabila anak sulungnya yang juga merupakan abang kepada Syafiq, Syahir dan isterinya, Khairunnisa mendekati meja makan lalu duduk berhadapan dengan Puan Rasyida.

"Mama masak apa pagi ini? Sebatu sudah boleh bau," ujar Syahir lalu melihat-lihat juadah yang terhidang di atas meja.

"Mama masak nasi lemak sambal sotong, kesukaan ayah kamu. Siapa suruh tak beritahu nak balik? Kalau mama tahu, mama masak sambal udang kesukaan kamu," jawab Puan Rasyida.

"Ala, mama ini. Nasi lemak mama, sambal yang manapun sedap saja. Bukan salah mamapun saya, ayah dan Syafiq suka sambal yang berbeza," jawab Syahir yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggannya.

"Seriuslah, abang? Abang, ayah dengan Syafiq sukakan sambal yang berbeza?" tanya Khairunnisa, tidak percaya.

"Betul, Nisa! Ayah kamu suka sambal sotong, suami kamu ini pula sukakan sambal udang, Syafiq pula pilihan dia sambal paru. Mama punya pilihan pun tak sama, mama suka sambal kerang," jelas Puan Rasyida sambil tertawa.

"Sebab itulah mama lagi suka beli nasi lemak kat kedai. Setiap orang dia beli sambal pilihan sendiri," sambung Syahir pula.

"Nisa pula suka sambal apa?" tanya Raja Shamsuddin, tiba-tiba.

"Kalau Nisa jawab ini, jangan ketawa tau?" tanya Khairunnisa, inginkan kepastian.

"Kenapa?" tanya Raja Shamsuddin lagi.

"Sebab Nisa suka sambal ikan bilis," jawab Khairunnisa sambil tersipu-sipu malu.

Mendengar jawapan Khairunnisa, Puan Rasyida menepuk dahi. Syahir dan Raja Shamsuddin pula ketawa.

"Kenapa ketawa sakan ini? Ada cerita kelakarkah?" tanya Syafiq yang baru sahaja tiba. Dia memilih untuk duduk bersebelahan dengan ibunya.

"Sambal nasi lemak kita semua takkan sama," jawab Syahir yang masih lagi ketawa.

"Kenapa? Kak Nisa suka sambal ikan bilis ke?" tanya Syafiq.

"Mana Syafiq tahu?" tanya Puan Rasyida, hairan.

"Syafiq agak antara sambal ikan bilis, telur dan ayam sahaja. Itu sahaja yang biasa orang beli," jawab Syafiq sebelum tersengih.

"Kau nak cari isteri makan sambal apa pula?" tanya Syahir.

"Bakal isteri saya suka sambal ayam," jawab Syafiq, selamba.

"Kau dah ada calon? Siapa? Deena?" tanya Syahir, tak percaya.

"Balik-balik Deena, tak ada orang lainkah?" ngomel Syafiq, geram.

"Apa salahnya Deena? Nak tunggu calon kamu itu, entah bilalah," jawab Puan Rasyida.

"Awak pun tahu? Siapa orangnya?" tanya Raja Shamsuddin.

"Katanya, pekerja syarikat juga. Ala, yang temankan dia sewaktu majlis makan malam hari itu," jawab Puan Rasyida.

"Amelia? Eksekutif pemasaran kita itu? Bukankah dia baru sahaja kematian suami?" tanya Syahir, terkejut dengan jawapan Puan Rasyida.

"Apa? Budak itu dah kahwin?" tanya Puan Rasyida.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment