Nama
aku Maizatul Nadrah, orang panggil Maizatul. Ada juga yang panggil aku Nadrah
tapi tidaklah ramai. Sekarang ini aku bukan nak bercerita tentang nama aku, itu
tak penting sebenarnya. Aku nak bercerita tentang cinta. Aku pasti semua orang
pasti ada kisah cinta tersendiri, sama macam aku. Bezanya, aku tak nak
bercerita tentang kisah cinta aku ketika aku sudah dewasa, sebaliknya kisah
cinta ini hadir ketika aku masih di alam persekolahan. Bukan sekolah menengah
tahu? Kisah cinta ini hadir tatkala aku berada dalam sekolah rendah.
Bila bercerita tentang kisah cinta
ketika zaman persekolahan, ramai yang menggelarkan ia sebagai cinta monyet. Ya,
aku tak nafikan semua itu tapi ada beberapa perkara dalam kisah aku yang membuatkan
aku tak pernah lupa akan kisah ‘cinta monyet’ aku ini. Hingga saat ini, tatkala
usiaku menginjak 26 tahun, kisah itu masih tersemat utuh di dalam benak
fikiranku.
* * *
Aku
memandang lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dia merupakan salah seorang
rakan sekelasku yang boleh dikatakan agak rapat denganku. Kami sekelas sejak
tahun ini, namun di manakah dia pada tahun lepas aku tak berapa pasti. Lagipun
bukan dia sahaja orang asing dalam kelas aku ini, masih ada beberapa orang
lagi. Jadi, perkara itu tidak aneh bagiku.
“Ustazah
ini memang saja nak tarik ramai orang kan? Nasib baik kita memang dah masuk
kelas mengaji itu, jadi boleh abaikan surat ustazah ini kan?” ujarnya lalu
menggulung kertas yang dipegangnya sedari tadi.
Aku
hanya memandang wajahnya. Kami boleh dikatakan kerap bertemu, kerana kami
sekelas di sekolah agama, kelas kami bersebelahan di sekolah kebangsaan dan
kami juga mengikuti kelas mengaji yang sama pada waktu malam. Ramai orang
mengatakan bahawa dia menyimpan perasaan padaku, tapi aku sengaja memilih untuk
tidak percaya. Bukan kerana aku tidak menyukainya, tetapi kerana perasaan yang
sangat matang itu hadir tatkala usia kami berdua masih di alam kanak-kanak.
Jujur aku katakan, aku juga menyimpan perasaan yang sama tetapi belum masanya
untuk aku luahkan.
Oh
ya, terlupa aku nak cerita. Namanya, Zulqarnain. Orangnya mempunyai raut wajah
yang tidaklah sekacak mana, namun sejuk mataku memandang. Dia ini memang nakal,
sampai para ustazah, ustaz dan cikgu di sekolah memang mengenalinya kerana
kenakalannya di dalam kelas. Akan tetapi, dia akan menjadi kurang nakal jika
aku berada berhampirannya.
Dia
pernah membuat ustazah kami menjerit kerana dia ingin memelukku yang sedang
memadam papan hitam di hadapan kelas. Mujur kawan-kawan perempuan kami menjerit
memanggilku, kalau tidak alamatnya aku ini dah kena peluk lelaki ajnabi seawal
usia lapan tahun!
Dia
juga sangat menyukaiku sehinggakan semua kawan baiknya terpaksa menjadi
penyiasat bergeraknya. Semua tindak-tandukku, semuanya dilaporkan kepadanya.
Kadang-kadang aku sengaja menggunakan kawan-kawan baikku untuk memberitahunya
khabar-khabarku bagi mengelakkan kawan-kawannya mengganggu keamananku. Kasihan
aku pada kawan-kawannya, kerana mereka juga adalah kawan-kawanku. Sudah pasti
aku memahami kesusahan mereka.
Namun,
apabila terlalu lama aku memilih untuk tidak berterus-terang akan perasaanku
padanya, dia mulai resah. Tambahan pula, ada lelaki lain yang juga menyimpan
perasaan padaku di kalangan kawan-kawannya. Dia bimbang aku tidak membalas
perasaannya dan memilih insan lain sebagai yang teristimewa dalam hidupku.
Bagaimanalah seorang budak lelaki berusia sembilan tahun ketika itu boleh
berfikir sehingga ke arah itu sedangkan aku masih lagi memikirkan berapa banyak
anak patung yang mahu dibeli nanti?
* * *
“Maizatul,
Zul minta aku tanya kau sesuatu. Boleh tak?” tanya Diandra, kawan sekelasku
sebaik sahaja dia duduk di sebelahku. Ketika itu, kami sedang berehat di kantin
sekolah. Memang rutin kami untuk makan di kantin ketika rehat sebelum pergi
bermain di dataran sekolah.
“Apa
dia?” tanyaku pula. Namun, aku masih leka menikmati kuih karipap yang dibeli
daripada makcik kantin tadi.
“Dia
nak tahu kau suka dia tak? Dia dah setahun lebih sukakan kau, tapi kau buat tak
tahu saja. Kadang-kadang nampak macam suka, kadang-kadang nampak macam tak. Aku
nak tolong jawabkan pun aku tak reti. Jadi, aku tanya kau sendiri,” ulas
Diandra, lebih daripada sekadar bertanya.
Aku
kaget. Bagaimana aku hendak menjawab soalan yang aku tak ada jawapannya? Aku
sukakan dia sepertimana dia menyukaiku, tapi aku merasakan masa ini kurang
sesuai untuk berfikir soal cinta, kahwin dan seangkatan dengannya. Hilang terus
selera aku nak menelan karipap makcik ini.
“Mai,
jawablah soalan aku itu! Kau tak kasihan dengan aku ke? Aku letih nak dengar
soalan Zul hari-hari. Dulu, aku tengok dia boleh saja tanya sendiri pada kau
tapi sekarang, nak bercakap dengan kau pun dah malu. Bila dah malu, habis semua
orang kena jadi mata-mata dia. Penatlah begini!” Diandra mula berasa bengang
apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.
Aku
sedar hakikat itu. Kawan-kawan kami semuanya dah mula letih dengan kisah cinta
bertepuk sebelah tangan seorang Zulqarnain. Hanya kerana aku tidak pernah
berterus-terang tentang hakikat yang bertapak di dalam hatiku semenjak aku
mengetahui isi hatinya. Dia menghukum kawan-kawan kami hanya kerana dia berasa
dirinya terancam dengan sikapku itu. Memang aku tahu semua itu salah, namun
berterus-terang juga kurasakan salah buat ibu bapaku yang mengharapkan kejayaan
anaknya ini. Sungguh aku bingung.
“Macam
inilah, Dian. Kau beritahu dia, kita ini muda lagi. Belum sampai masanya untuk
kita fikir soal cinta. Kalau betul kami ada jodoh, dah terpisah lama pun jumpa
juga. Bukankah ustazah pernah cerita tentang ini? Sekarang, kita semua fokus
pada belajar dulu. Okay?” jawabku, sedikit tegas. Jawapan ini kurasakan jawapan
selamat yang boleh aku berikan padanya tanpa aku mengetahui bahawa ada perkara
yang lebih besar yang bakal berlaku.
* * *
Setahun
berlalu lagi, kami menjadi renggang sejak aku memberikan ‘jawapan selamat’ itu
kepadanya. Namun, aku tahu dia masih lagi mengintip pergerakanku dalam diam.
Sengaja aku biarkan kerana aku telah terbiasa dua tahun diperlakukan begitu.
Lagipun, dia tidak mengganggu aku secara terang-terangan lagi sekarang. Itu
sudah cukup selesa buat aku.
Dia
tidak lagi menghadiri kelas mengaji yang kami berdua hadiri sebelum ini.
Membuatkan aku mula berasa sunyi sedikit demi sedikit tanpanya. Bagi aku, aku
hanya dapat berbual dengannya ketika kelas mengaji sahaja kerana tiada
kawan-kawan yang menyakat kami berdua. Ketika itu sahaja, aku menjadi diri aku
yang sebenar di hadapannya. Mengapa dia tidak perasan semua itu?
Andai
dulu, dia yang rajin mengorek tentang diriku. Kini, giliran aku pula mengorek
tentang dirinya. Aku mulai rajin bertanyakan perihal dirinya daripada kakak
kepada kawan baiknya, Aina. Ini adalah kerana kak Aina juga mengetahui tentang
kami daripada adiknya, Khairul. Maka, aku menggunakan kebetulan itu untuk mengorek
tentang dirinya memandangkan mereka juga kebetulan merupakan jiran. Banyak yang
telah aku ketahui tentangnya, seperti kedudukan rumahnya, keluarganya dan juga
pelajarannya. Namun, aku meminta kak Aina agar tidak memberitahu sesiapa
tentang tindakanku ini.
Setelah
sekian lama aku tidak mendengar khabar beritanya, akhirnya hari tersebut telah
berlaku seusatu yang telah mengubah segalanya buat kami berdua. Peristiwa itu
bermula apabila kak Aina yang ketika itu bersamaku dipanggil oleh salah seorang
rakan sekelas Zulqarnain. Aku mula terpinga-pinga apabila aku mendengar nama
Khairul dan Zulqarnain disebut. Namun begitu, aku tambah hairan apabila kak
Aina melarang aku mengikutinya apabila aku katakan aku ingin melihat apa yang
berlaku.
Tanpa
mempedulikan nasihat kak Aina, aku mengekori kak Aina dalam diam. Aku melilih
untuk bersembunyi di sebalik dinding berhampiran dengan tempat mereka berada.
Aku dapat melihat kak Aina sedang cuba meleraikan pergaduhan antara Zulqarnain
dan Khairul, namun aku hanya dapat mendengar kak Aina acap kali bertanyakan
mengapa mereka berdua bertengkar. Selebihnya, aku kurang jelas.
“Sedar
diri kau itu sikit, Zul! Dia itu budak pandai, kau ingat dia nak ke pandang
muka kau lagi? Jangan mimpilah! Kau itu dia pandang ibarat semut saja tau?”
jerit Khairul. Jeritan itu dapat aku dengari dengan jelas sedangkan jarak aku
dengan mereka agak jauh sebenarnya. Aku terkesima mendengar luahan hati seorang
kawan baik buat insan yang sekian lama menyimpan perasaan padaku. Ya Allah, apa
yang aku dah buat ini? Sungguh aku tak pernah memandang rendah padanya, kerana
aku sangat menyukainya. Aku tahu semuanya salah aku, kerana aku memilih untuk
berdiam diri. Namun, aku punyai sebab aku sendiri. Aku harap dia memahami aku.
Aku
membuat keputusan untuk pergi dari situ. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk
mendengar pertengkaran hebat antara dua orang kawan baik hanya kerana aku.
Cukuplah setakat itu. Perkara itu sahaja sudah mengganggu benak fikiran aku
yang hanya berusia sepuluh tahun ketika itu, yang sepatutnya hanya perlu kisah
akan mainan atau pelajaran sahaja. Bukan tentang perhubungan manusia yang
kompleks ini.
* * *
Beberapa
hari kemudian, aku sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran mengejutnya di kelas
mengaji. Malam itu, dia tidak seperti selalu, dia memilih untuk duduk di sudut
dinding surau sehingga dia dipanggil oleh ustaz yang mengajar pada hari itu.
Namun begitu, aku menyedari akan tindakannya memandangku apabila aku tidak
memandangnya. Pada mulanya, aku memandangnya kembali apabila menyedari itu,
namun dengan pantas dia menukar arah pandangannya. Namun selepas itu, aku
biarkan sahaja dia memandangku sepuasnya. Aku dapat melihat dari ekor mata, dia
merenungku lama. Hairan juga melihatnya begitu, namun aku memilih untuk tidak
peduli tanpa mengetahui bahawa itulah kali terakhir aku bertemu dengannya.
Tak
lama selepas itu, aku dikhabarkan oleh kak Aina bahawa dia telah berpindah
sekolah kebangsaan dan berhenti sekolah agama. Kelas mengaji juga tidak lagi
dihadirinya sejak hari itu. Kata kak Aina, dia patah hati dengan tindakanku
yang tidak pernah berterus-terang dan semenjak pertengkarannya dengan Khairul
itu, dia sudah tidak dapat menahan malu pada semua orang yang mengetahui
tentang perasaannya yang tidak berbalas itu. Dia memilih untuk berpindah
sekolah agar hatinya tidak bertambah luka apabila melihat diriku.
Aku
terbungkam. Tiga tahun kehadirannya dalam hidupku yang selama ini kusangkakan
rimas itu telah bertukar menjadi hari-hari sunyi selepas itu. Terasa berbeza
tanpa dirinya yang seringkali menggangguku. Namun, aku ubah perhatianku kepada
pelajaran dengan harapan aku akan melupakan semua ini suatu hari nanti.
* * *
Enam
belas tahun berlalu, kisah cinta ini masih jelas dalam ingatanku. Meskipun bagi
orang lain, ini adalah cinta monyet namun bagiku inilah kisah cinta pertama
yang sangat member pengajaran padaku. Sejak dia pergi dari hidupku, semua kisah
cintaku selepas itu serba tak kena. Tak ada lelaki yang dapat bertahan lama
dalam hidupku. Entah kenapa jadi begitu, aku juga tak tahu.
Walaupun
rumah kami berdekatan, namun Tuhan tidak pernah menemukan kami sejak itu. Aku
tak pasti sama ada dia masih mengingatiku atau tidak, tetapi aku tak pernah
melupakannya. Biar rasa rinduku padanya aku simpan menjadi gulungan memori yang
tak mampu aku persembahkan buat sesiapapun kerana aku tahu dia terlalu baik
untuk insan seperti aku. Kali terakhir aku mendengar tentangnya adalah pada
lima tahun lepas, ketika itu dia masih melanjutkan pelajarannya dalam bidang
kejuruteraan di luar negara sedang aku yang dikatakan ‘budak pandai’ ketika itu
hanya mampu melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di dalam negara
sahaja. Begitulah roda hidup berputar, sekejap kita di atas, sekejap lagi kita
di bawah.
Mungkin
ini adalah kifarah atas sikapku terhadap seorang Zulqarnain suatu ketika
dahulu. Aku telah menyebabkan dirinya dipandang remeh oleh kawan-kawannya hanya
kerana mereka semua menyangkakan cintanya itu tidak pernah berbalas, sedangkan
aku ketika itu turut sama memendam rasa sepertinya. Perasaan bersalah yang aku
rasakan kepadanya semenjak dia menghilangkan diri aku simpan sehingga saat ini.
Jujur aku katakan, aku sangat mengharapkan kehadirannya sekali lagi dalam
hidupku kerana aku ingin memohon sejuta kemaafan daripadanya di atas semua peristiwa
yang berlaku sepanjang tiga tahun dia menyukaiku. Andai dia dapat memaafkanku,
itu sudah cukup bagiku. Aku tak layak meminta apa-apa lagi daripadanya.
Sampai disini sahaja kisah cintaku yang dapat aku nukilkan. Kisah cintaku ini bukanlah kisah cinta yang biasa anda baca di dalam novel, dan cerpen. Bukan juga kisah cinta seperti yang terpapar di layar perak dan layar kaca. Akan tetapi, kisah cintaku ini hanyalah kisah cinta yang aku sampaikan ikhlas daripada sekeping hati yang masih mengharapkannya. Aku berharap kami tidak lagi berada berdekatan tapi pada hakikatnya jauh.
Sampai disini sahaja kisah cintaku yang dapat aku nukilkan. Kisah cintaku ini bukanlah kisah cinta yang biasa anda baca di dalam novel, dan cerpen. Bukan juga kisah cinta seperti yang terpapar di layar perak dan layar kaca. Akan tetapi, kisah cintaku ini hanyalah kisah cinta yang aku sampaikan ikhlas daripada sekeping hati yang masih mengharapkannya. Aku berharap kami tidak lagi berada berdekatan tapi pada hakikatnya jauh.
0 comments:
Post a Comment