Monday, July 6, 2015

Kekesalan yang Tak Terungkap (Suamiku Dalam Mimpi)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Rasanya dah lama tak berbual dengan korang semua kan? Almaklumlah, sibuk benar menyambung cerpen bersiri yang timbun-timbun itu. Sebenarnya post ini lain sikit daripada yang sebelumnya. Post ini aku nak persembahkan sebuah cerpen aku yang telah selamat ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan buku. Seperti yang telah dijanjikan kepada seseorang, seandainya cerpen ini tidak diterima, cerpen ini akan aku nukilkan dalam blog biru ini. So, here we go!

“Terima kasih sebab sudi terima abang dalam hidup Ilya, abang janji abang takkan sia-siakan Ilya. Seumur hidup abang akan abang habiskan dengan mencintai Ilya seadanya Ilya,” ucap seorang lelaki yang sedari tadi asyik memintal-mintal rambutku ini. Naik rimas rasanya orang main rambut aku ini. Nasiblah dia ini suami aku, kalau orang lain aku hempuk juga dengan kerusi meja mekap bilik aku ini!

            “Kenapa Ilya diam? Ilya suka ya abang main rambut Ilya?” tanya lagi si suami, setelah melihat tiada respon yang aku berikan agaknya. Suka? Tolonglah! Aku cukup pantang orang usik rambut aku tanpa sebab. Lainlah kalau nak tolong sikatkan ke, ikatkan ke, bolehlah tahan lagi. Ini nak buat main, memang tidaklah!

            “Abang… boleh tak abang berhenti main rambut Ilya? Ilya tak selesa,” pintaku, terus terang. Walaupun hatiku dah sebeban mengomel sedari tadi, tapi dia tetap suamiku. Aku harus menuturkan segalanya dengan hemat agar aku tidak dilaknat malaikat di kala malam pertamaku ini. Buat naya kalau aku tidur tanpa redha suami. Mak dah berbuih mulut pesan benda yang sama pada aku sejak sebulan lepas, sampai naik lali telinga aku dengar.

            “Ingat Ilya, syurga seorang isteri terletak pada redha si suami. Jangan bagi tidur kamu tanpa redha dia, malaikat laknat nanti! Selama mak jadi isteri ayah kamu, mak jaga betul benda itu. Kalau mak ada silap, mak cepat-cepat minta ampun pada ayah kamu. Mujur ayah kamu jenis yang tak ambil hati, tapi suami kamu nanti kita tak tahu orangnya bagaimana. Jadi, kita buatlah cara selamat. Faham tak, Ilya?” kata-kata mak tiba-tiba menerjah macam atas skrin projector pula, siap dengan muka mak sekali! Ngeri betul mak ini.

            “Ilya fikir apa sampai abang panggil tak dengar ini?” persoalan itu yang ditambah dengan cuitan manja si suami mengejutkan aku dari imbas kembali mak tadi. Aku memandang suamiku, kosong. Lantas hatiku tertanya-tanya kenapa dia yang jadi suami aku, bukan lelaki lain? Kenapa ayah suka sangat lelaki ini, bukan lelaki lain? Bukan aku tak pernah bawa lelaki lain jadi calon suami, tapi semuanya ayah tentang 100%. Macam-macam sebab-musabab dia bagi, tak cukup matanglah, tak boleh bimbinglah, kedekutlah, baranlah. Ada saja yang tak kena. Aku tak nafikan kata-kata ayah itu ada benarnya, tapi orang kata kalau dah sayang, kentut pun bau wangi kot!

            Suamiku, Mohd. Harris Izuan. Nama yang senang tapi indah, serupa tuannya juga. Wajah memang melayu, melayu yang kacak. Orangnya segak dan sasa, almaklumlah asyik habiskan masa bina otot di gimnasium saja. Kerjaya, apa kurangnya. Pengurus projek di salah sebuah syarikat pembinaan tersohor di Kuala Lumpur.  Akan tetapi, dia mengahwiniku di kala usianya menginjak 34 tahun manakala aku kini baru berusia 25 tahun. Mana silapnya dia?

            “Abang, boleh Ilya tanya sesuatu?” tanyaku, dalam getaran gemuruh mengiringi. Bimbang soalanku bakal mengguris hati sang suami. Kalau boleh pakai tibai, memang dah terjah ala-ala Nas Ahmad dalam rancangan Galaksi TV9 itu. Hanya kerana statusnya sebagai suami, kenalah berlapik sikit.

            “Apa dia sayang?” suamiku memberikan keizinannya untuk ditanya. Rasa macam nak terbang pertama kali rasanya. Suka, tapi gementar dalam masa yang sama. Nasib tak campur sedih, marah, kecewa semua, kalau ada semua itu, gila namanya!

            “Kenapa abang kahwini Ilya? Ilya tak cantik, tak kaya, tak ada kerja, baru habis belajar, belajar pun tak pandai mana, apalah yang ada pada Ilya sampai abang boleh masuk meminang Ilya tanpa pengetahuan Ilya? Lagi satu, mana abang tahu tentang Ilya sedangkan kita tak pernah berkenalan secara rasmi?” tanyaku, bertubi-tubi. Konon nak berlapik, akhirnya serupa Nas Ahmad juga terjahnya. Cuma baik sikit saja. Maafkan Ilya ya abang.

            “Kenapa Ilya cakap macam itu? Ilya, cantik itu subjektif. Allah tak berikan kecantikan pada Ilya tapi kecantikan itu hanya untuk mata yang benar-benar layak sahaja melihatnya. Biarlah satu dunia nak kata Ilya tak cantik, gemuk, abang tak kisah. Pada abang, Ilya tersangat okay. Cantik! Tak kaya? Tak ada kerja? Memanglah, sebab Ilya baru habis degree kan? Mana sempat nak cari kerja, habis-habis belajar saja tak sempat bergraduasi Ilya dah jadi isteri abang. Tak pandai, boleh belajar. Jadi, Ilya bersiap siagalah, akan abang ajar Ilya cukup-cukup. Pada abang, Ilya dah sembuhkan luka lama dalam hati abang yang abang biarkan berdarah selama bertahun-tahun. Ilya tak perlu singgah dalam hati abang pun Ilya dah buat abang angau habis kat Ilya. Kita memang tak berkenalan secara rasmi, Ilya dengan abang cuma berkenalan melalui cerita kawan-kawan baik kita, Remy dan Tisha saja, tapi cerita mereka tentang Ilya buat abang jatuh hati pada Ilya. Itu punca abang minta mereka bawa abang jumpa mak dengan ayah Ilya. Dapat tak semua jawapan soalan Ilya?” panjang lebar penerangan Encik Suami ini. Boleh pengsan mendengarnya, lengkap betul! Sekali dengar, dah macam hero dalam cerita novel dah. Cuma, bahagian yang sembuhkan luka itu aku macam tak berapa faham.

            “Sembuhkan luka lama abang? Apa yang terjadi dulu?” tanyaku lagi. Bagi menjawab persoalan hatiku tentang perkahwinan kami yang agak lewat baginya. Selalunya orang yang berkahwin di kala usia yang agak lanjut ini pernah menjadi suami orang a.k.a. duda. Jarang sekali nak jumpa bujang terlajak dalam dunia serba pantas ini.

            “Abang pernah bertunang dulu, lama juga kenal bekas tunang abang itu. Sejak zaman universiti lagi. Kami sama fakulti semasa degree sampailah kerja pun di tempat yang sama. Cuma yalah, mungkin jodoh kami tak panjang, kami putus sebab dia ada orang lain. Kalau dia duakan abang dengan lelaki, abang tak kisah. Ini tidak, dia duakan abang dengan perempuan kot! Tercabar kelakian abang bila dapat tahu dia ada hubungan dengan perempuan bertopengkan lelaki,” jawabnya yang mulanya bernada perlahan tetapi kemudiannya nada suaranya semakin keras dan meninggi. Marah benar itu! Perempuan bertopengkan lelaki? Maksud dia ‘pengkid’ ke? Bolehlah itu, sedap juga gelaran beradap suami aku ini.

            “Sebab itu saja abang terus tak berminat nak bercinta lagi?” tanyaku lagi. Baik Ilya Maisarah, kau boleh jadi wartawan dah ini! Dah pandai temuramah suami. Banyak benar soalannya ini. Aku pandang Encik Harris di hadapanku ini, dia tersenyum manis. Aduh, janganlah senyum macam itu! Cair aku nanti, sudahlah aku alergi dengan senyuman manis menggoda jiwa macam senyuman suamiku ini.

            “Mana boleh hilang minat macam itu saja? Ilya ingat ini cerita drama melayu? Lepas putus cinta saja, jadi kaki perempuan mainkan hati semua wanita? Atau tiba-tiba jadi tak berminat nak bercinta dengan perempuan sebab takut kecewa lagi? Itu semua poyo! Mana mungkin seorang pencinta wanita bukan buaya macam abang ini hilang minat nak bercinta lagi? Ada juga abang sukakan beberapa perempuan lain selepas putus tunang, tapi hampir kesemuanya dah berpunya. Isteri orang pun ada, tapi lagaknya serupa anak dara! Menggatal sana sini, sedangkan suami dia percayakan dia ingatkan dia itu baik sangat. Abang harap Ilya jangan jadi macam itu, malu abang nanti. Sudahlah kena tanggung dosa Ilya, kena tanggung malu lagi. Minta dijauhkanlah,” terang abang Harris lagi. Pencinta wanita bukan buaya konon! Ayat tak boleh gebang lagi ke? Lelaki, kalau bagi madah berhelah memang hebat tapi dalam madah berhelah dia, tersentap juga dengan cerita tentang isteri orang itu. Minta dijauhkanlah aku daripada menjadi wanita sebegitu.

            “Ilya ini bukan isteri yang sempurna, jadi Ilya tak berani nak janji yang Ilya takkan jadi macam itu. Andainya Ilya bakal jadi sebegitu, Ilya mohon sangat abang tegurlah Ilya, ingatkan Ilya yang Ilya akan tersesat dalam cahaya. Kalau abang tegur Ilya dan Ilya melawan, abang cari jalan lain untuk sedarkan Ilya. Ilya mohon itu pada abang. Ilya hanya manusia biasa abang, sukar untuk Ilya jadi sempurna di mata abang apatah lagi mata dunia. Boleh abang lakukan itu untuk Ilya?” pintaku pada si suami. Aku perhatikan dia, lama dia mendiamkan diri. Semakin lama dia berdiam, semakin resah menyelubungi benak hatiku. Apakah aku telah mengguris hatinya? Ya Allah, janganlah sampai begitu sekali.

            “Sebenarnya, abang ada perkara yang abang nak pastikan dengan Ilya malam ini. Abang mohon Ilya jujur dalam memberikan jawapan pada soalan abang ini. Abang dah tahu jawapannya, tapi abang nak dengar sendiri dari mulut Ilya. Macam yang Ilya dah tahu, abang tahu Ilya pernah bercinta dengan Remy dulu, bukan? Remy telah berterus terang dengan abang sebelum kita bernikah, yang dia pernah sentuh Ilya secara tak sengaja. Maksud abang, kamu berdua pernah bersetubuh bukan?” tanya Harris sambil memandangku redup. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa untuk membuat pengakuan tentang ini sebelum aku menikahinya? Benda ini amat penting rasanya. Sejak peristiwa itu berlaku, aku sukar untuk membiarkan lelaki mendekatiku sehingga Remy memohon maaf denganku setahun lepas. Itupun setelah tiga tahun kami berpisah.

            “Pertama sekali, Ilya mohon ampun dengan abang, Ilya terlupa tentang ini. Ilya tahu perkara ini penting, Ilya bukan menyembunyikan hakikat tapi Ilya memang betul-betul terlupa. Ya abang, Ilya bukan seorang wanita suci macam orang lain di luar sana. Ilya sudah dinodai oleh bekas teman lelaki Ilya ketika kami bercinta. Ilya tertipu dengan janji manisnya, Ilya hanyut dengan pujuk rayunya sehingga Ilya lupakan Tuhan yang menjadikan Ilya cukup sempurna. Andai sukar untuk abang terima diri Ilya, abang buatlah keputusan yang abang rasa terbaik buat kita. Ilya terima,” terangku berselangi air mata yang mula mengalir. Sukar untuk aku tolak, tapi peristiwa hitam itu kembali menerjah ingatanku semula. Benarlah kata orang, sekali kita membuat dosa, selamanya ia akan menghantui kita.

            “Ilya boleh kata Ilya terlupa? Apa ini? Kalau Remy tak berterus terang, agaknya sampai saat ini abang akan rasa diperbodohkan! Andai Ilya berterus terang pada abang lebih awal, mungkin abang tak semarah ini. Abang tahu Ilya hanya manusia biasa, pasti akan melakukan kesilapan tapi kenapa Ilya tak berterus terang pada abang? Ilya boleh lupa dosa Ilya dengan mudah? Abang kagum dengan Ilya, sebab setahu abang dosa kita takkan meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat! Abang kecewa dengan Ilya.” nada suara Harris sudah meninggi. Mendengar nada suaranya, aku tahu dia marah. Perlahan aku mencapai tangannya, mencium tangannya sedangkan aku masih lagi menangis kesal dengan kesalahanku. Dia menarik tangannya kembali, kasar. Aku dapat melihat betapa basahnya tangannya dengan air mataku. Benar katanya, dosa tak meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat agar ianya dijadikan sempadan supaya tidak mengulanginya lagi. Semua ini memang salahku, aku akui itu. Aku boleh terlepas pandang tentang perkara ini kerana menyangkakan benda ini tak sepatutnya diberitahu, ternyata sangkaanku meleset. Aku silap dalam membuat percaturan.

            Aku lihat Harris sudah menukar baju. Aku kaget, mana pula dia nak pergi ini? Aku bangun dan memegang bahunya tetapi dia menepis tanganku terlebih dahulu. Dia mengambil beg pakaiannya yang masih lagi belum disentuh lalu keluar dari bilikku ini. Aku tidak mengejar, kerana tahu marahnya takkan reda malam ini juga. Aku hanya mampu melihat pemergiannya dan setelah dia hilang, aku terduduk dan meraung kesedihan. Benar kata mak, jangan tidur tanpa redha suami. Walaupun aku tak dapat melihat bagaimana malaikat melaknatku, tapi aku dapat merasa bahang kepedihan itu. Terasa lemas seketika, seperti dadaku penuh dengan sesuatu yang tak dapat digambarkan. Hanya Tuhan tahu keperitan yang aku rasai malam itu sehinggakan kekecohan yang berlaku di rumahku kerana tindakan suami keluar rumah malam itu tidak aku endahkan.

            “Ilya, bangun. Sudah masuk waktu Subuh, ayah panggil berjemaah,” suara mak mengejutkan aku dari tidurku. Aku mencari kelibat mak, mak sedang duduk di birai katil memandangku. Hairan tengok pandangan mak yang tajam itu, aku menggosok mukaku. Rupanya ada sisa air mata di pipi. Pasti aku menangis dalam tidur, buat kesekalian kalinya. Sejak peristiwa hitam di kala malam pertama itu, hampir setiap malam aku menemui suamiku dalam mimpi. Setiap malam mimpiku pasti sama. Seolah-olah Tuhan tak mahu aku terlupa lagi. Aku lihat sekeliling, mak sudahpun keluar dari bilikku, nak bersiap untuk solat berjemaah agaknya. Memang rutin harian kami sekeluarga solat Subuh berjemaah kemudian bersarapan bersama.

            Aku terpandang foto perkahwinanku yang terletak di atas meja sisi katil. Dua bulan lebih perkahwinan, namun buat sekalipun aku tidak disentuh oleh Encik Suami. Kata Remy dan Tisha, dia masih marahkan aku atas kesilapanku itu. Namun, kata Remy, dia tidak pernah terfikir untuk menceraikan aku. Hanya perlukan masa untuk merawat rawan di hatinya kerana dia menyangkakan Remy menceritakan perkara tersebut hanya untuk mengujinya atau berniat untuk menghalang perkahwinan kami tetapi apabila aku mengiyakan, sukar untuk dia menerima hakikat tersebut. Aku tidak salahkannya, andai aku berada di tempatnya, pasti aku akan melakukan perkara yang sama. Mana ada manusia yang boleh menerima kesalahan insan tersayang sekelip mata? Hidup ini bukan seperti novel cinta, semuanya tampak indah di mata pembaca.

            Usai solat berjemaah, semua ahli keluargaku mengemaskan sejadah dan pakaian solat masing-masing tetapi tidak aku. Aku bingung. Aku pasti bukan ayah yang menjadi imam solat tadi, suara itu bukan suara ayah. Aku rasa macam pernah mendengar suara itu, tapi di mana ya? Sedang ligat otakku berfikir, seseorang duduk di hadapanku lalu menghulurkan tangannya. Aku memandang tangan itu lalu memandang tuan punya tangan. Subhanallah, apakah aku masih lagi bermimpi? Tangan yang aku kucup sehingga basah kuyup dua bulan lepas akhirnya menghulurkan tangannya sekali lagi. Pantas aku mencapai tangan tersebut lalu ku kucup selama yang aku mahu. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa aku merindukannya selama dia menghukumku. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa kesalnya aku atas segala kesalahanku kepadanya. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa aku mengharapkan pengampunannya. Aku dapat merasa tangannya yang sebelah lagi mengusap kepalaku. Subhanallah, tenangnya rasa. Seolah-olah segala bebanan yang aku pikul selama ini lenyap begitu sahaja. Aku memberanikan diri mengangkat wajahku memandangnya.

            “Abang maafkan Ilya atas segala dosa Ilya pada abang selama kita bernikah. Abang minta maaf pada Ilya kerana menjauhkan diri abang selama ini. Abang hanya menyerahkan nafkah zahir abang pada Ilya melalui Tisha, abang datang rumah jenguk mak dan ayah Ilya semasa ketiadaan Ilya, abang minta maaf. Abang bukan suami yang macam dalam drama melayu, macam dalam novel cinta. Abang cuma manusia biasa yang Allah ciptakan berpasangan dan abang tak boleh tolak kalau pasangan abang adalah Ilya. Walaupun Ilya ada sejarah hitam sendiri, tapi abang akui Ilya adalah jodoh istikharah abang. Abang kena belajar untuk redha. Memang susah, tapi abang masih mencuba. Maafkan abang, Ilya.” Sebaknya hati mendengarkan penjelasan si suami. Aku tahu suamiku bukan sempurna tapi aku tahu dia tak kejam. Siapa tak sayang isteri kan?

            “Abang, Ilya sentiasa maafkan abang. Abang bukan Encik Perfect 10, tapi abang sudah sempurnakan hidup Ilya. Tanpa abang, sampai bilapun Ilya takkan sedar kesalahan Ilya. Lagipun, abang bukan abaikan Ilya dan keluarga Ilya. Abang ingat Ilya tak tahu abang datang rumah bila Ilya tiada? Ilya pernah meronda satu taman perumahan sampai tiga pusingan hanya kerana tak nak kantoikan abang datang rumah jenguk mak ayah. Bila Ilya balik, Ilya buat-buat tanya siapa datang tadi, mak ayah sikitpun tak mengaku. Oh, abang komplot dengan mak ayah Ilya ya!” jawabku lalu tersengih macam kerang busuk. Pecah tawa suamiku melihat aku tersengih agaknya. Kelakar sangat ke aku tersengih? Tahulah aku tak cantik, sampai hati dia gelakkan aku! Nah, rasakan cubitan ini!

            “Adoi, sakit! MashaAllah, sakitnya cubitan hebat isteri abang ini. Maafkan abang, tapi muka Ilya memang kelakar bila tersengih tadi. Boleh masuk Maharaja Lawak Mega ini. Abang akan undi sayang setiap minggu. Boleh?” seloroh suamiku. Amboi, sedapnya mulut mengata aku! Dua bulan lepas bukan main melambung lagi pujian kat aku. Cantik itu subjektiflah, cantik Ilya hanya untuk mata yang betul-betul layaklah, hari ini dia boleh cakap muka aku boleh masuk Maharaja Lawak Mega? Teruk punya suami!

            “Abang! Abang ini memang nak kena ya?” jeritku lalu mengejar suamiku satu rumah. Mencanak dia melarikan diri dariku. Jaga abang! Kalau dapat, Ilya buat sate!

Foot print: Cubaan kedua untuk hantar pada publisher. Ada 2 cerpen yang dah dikarang, cerpen yang tak dihantar bakal dipublishkan dalam blog. Tunggu tau! =)

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com