Wednesday, July 1, 2015

Rasa yang Sama Part 10...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:


"Nazrin, terima kasih sebab sudi lawat aku. Sejak aku dalam lokap ni, kau seorang saja yang sudi lawat aku. Bini aku pun tak sudi nak lawat aku. Malu agaknya ada suami macam aku ni," ucap Asyraf sebaik saja dia duduk berhadapan dengan Nazrin di dalam bilik bertemu.

     Nazrin melihat Asyraf atas bawah. Kawan yang dikenali sejak sekolah menengah itu memakai pakaian khas untuk banduan lokap, berselipar jepun dan tangannya digari. Namun, riak wajahnya tidak menggambarkan yang dia tidak berpuas hati dicampak ke dalam lokap. Nazrin dan Asyraf sama-sama mengetahui bahawa Asyraf tidak menyeleweng wang syarikat, namun mengapa dia seperti redha ditahan reman?

     "Tak ada hal, bro. Kita dah berkawan selama 12 tahun. Aku pasti akan sentiasa ada untuk kau. Cuma aku hairan sesuatu, Asyraf."

     "Apa dia, Nazrin?"

     "Macam mana abah kau boleh laporkan kau pada polis? Kau memng seleweng duit syarikat ke?"

     "Aku tak seleweng duit syarikat pun. Abah laporkan aku sebab aku mengaku pada dia aku yang seleweng duit syarikat tu. Lagipun, aku yang tandatangan cek itu, jadi aku terpaksa bertanggungjawab atas itu walaupun bukan aku yang buat."

     "Sebab itu saja?" Tanya Nazrin lagi. Nazrin telah mula berasa seronok kerana tembelangnya belum lagi pecah.

     "Aku mengaku sebab aku nak lindungi seseorang yang aku hargai sangat kehadirannya dalam hidup aku. Aku tahu dia tak bermaksud nak buat begitu pada aku, walaupun dia dah buat macam-macam pada aku."

     "Maksud kau, Nisa?"

     "Bukan. Ada orang lain. Orang itu bukan seleweng duit syarikat saja, dia dah fitnah Nisa, potong wayar brek kereta Honda aku sampai aku dengan Nisa kemalangan, suruh teman wanitanya goda aku sewaktu aku hilang ingatan dan tipu aku dengan wujudkan syarikat palsu untuk berurusan dengan syarikat."

     Kata-kata Asyraf membuatkan Nazrin tersentak. Dia tak menyangka sama sekali Asyraf mengetahui semua itu adalah rancangannya.

     "Nazrin, aku tak kisah kalau aku kena habiskan masa aku dalam penjara untuk orang itu. Asalkan aku harap satu perkara saja, aku nak orang tu berubah. Aku harap bila aku keluar penjara nanti, orang itulah yang akan tunggu aku kat pintu keluar nanti, peluk aku dan minta maaf atas segalanya. Aku akan maafkan dia, bro. In shaa Allah kalau umur aku dan dia masih ada waktu tu," sambung Asyraf lagi.

     "Aku harap juga dia layan teman wanita dia elok-elok. Bimbing gadis itu kembali pada fitrah. Kahwini dia, kalau gadis itu diyakini jodoh. Jangan buat wanita ini macam alat, mereka bukan diciptakan untuk itu."

     Nazrin masih lagi berdiam diri. Kelu lidahnya mendengar kata-kata Asyraf. Sungguh, hari ini dia malu dengan Asyraf, dirinya sendiri dan paling utama, dia malu pada Tuhan. Rancangan selama 10 tahun seakan lebur dek kata-kata tajam yang dilontar oleh kawan baiknya itu. Namun, dia masih takut untuk berdepan dengan kesalahannya itu. Dia tak mahu menghabiskan hidupnya di dalam penjara. Tidak sama sekali.

     "Asyraf, aku rasa aku balik dululah. Aku harap kau tabah dalam menghadapi semua ini. Aku tahu kau kuat, tak seperti aku. Lain kali aku datang lagi," jawab Nazrin lalu bangun meninggalkan Asyraf sendirian di dalam bilik tersebut.

     Asyraf tidak memandang pemergian Nazrin, sebaliknya hanya tunduk memandang lantai. Air mata lelakinya tak mampu dia tahan. Andai benar itu kesudahannya yang Tuhan tentukan untuknya, dia redha.

     *     *     *     *     *
Nisa baru selesai melakukan solat Isyak apabila pintu biliknya dibuka. Sejak Asyraf ditahan, dia tidak pulang ke rumahnya ataupun rumah ayahnya, sebaliknya kekal di rumah ibu bapa mentuanya. Namun, dek kerana dia demam panas selama dua hari, Adriana terpaksa pergi ke rumahnya untuk mengambil pakaiannya.

     Seminggu tanpa Asyraf di sisi benar-benar menggugat kewibawaannya. Hanya Allah tahu betapa beratnya rasa hidup tanpa suami di sisi. Namun, dia redha andai benar suami terpaksa dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dia lakukan. Berapa tahun sekalipun, dia pasti akan menunggu.

     "Annisa Faiha, mengelamun saja. Sampai abang panggil pun, Nisa tak menyahut."

     Itulah suara yang dirindui Nisa. Ternyata dia benar-benar merindui sehinggakan suara itu kedengaran seperti berada di hadapannya. Air matanya mula mengalir. Namun, lamunannya terhenti serta-merta apabila terasa ada tangan yang menyeka air matanya.

     Nisa memandang ke hadapannya. Ada insan yang dirinduinya sedang melutut di hadapannya. Astaghfirullah hallazim, suaminya berada dihadapan, tapi dia menyangkakan dirinya bermimpi.

     "Abang dah balik?" Tanya Nisa, inginkan kepastian.

     Asyraf memandang Nisa, lalu menghadiahkan senyuman yang paling manis kepada bidadarinya itu.

     Melihat reaksi Asyraf, Nisa terus memeluk si suami. Tak terungkap rasa gembira di hatinya melihat kepulangan suami tersayang. Cukuplah seksanya hidup tanpa cinta suami selama seminggu. Tak sanggup rasanya nak hadapi lagi.

     "Nisa rindukan abang," hanya itu yang mampu Nisa ucapkan buat si suami.

     "Abang pun rindukan sayang. Rindu sangat," jawab Asyraf, sambil tersenyum.

     "Suami isteri ini kalau dah jumpa, orang lain pun lupa!" Ada suara tiba-tiba menyampuk telah mengejutkan keduanya dari 'drama swasta' mereka.

*bersambung*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com