Wednesday, April 27, 2016

Kasih Tak Terbanding Part 9...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Alhamdulillah dapat lagi aku mencoret dalam belog tersayang aku ini. Aku tak nak cakap banyak, moh semua layan sambungan cerpen bersiri ini. Untuk link sebelumnya, sila klik link-link dibawah:


“Apa ini, Aamir? Kau tahu kan betapa susahnya nak dapatkan Ida dulu? Kenapa kau pergi ceraikan dia?” tanya Syahira, berang dengan tindakan Aamir.

“Sabar sayang, biar dia jelaskan,” tegur Syahmi setelah melihat Syahira begitu.

“Aku tak nak jawab soalan kau sebab aku rasa jawapannya aku dah beritahu dalam surat yang aku minta kau bagi Ida hari itu,” jawab Aamir.

“Itu hanya alasan, Aamir!”

“Terpulanglah kau nak fikir apa. Aku lebih tahu apa yang terbaik untuk aku dan dia.”

“Kau pasti akan menyesal dengan tindakan kau. Aku akan pastikan.”

“Kalau dia nak cari yang lain, aku tak boleh nak halang tapi kalau dia betul-betul kenal bekas suaminya ini, dia tahu kenapa aku buat begini.”

“Bro, boleh aku tanya sikit tak?” tanya Syahmi pula.

“Apa dia?”

“Isteri muda kau ada di mana sekarang? Siapa yang jaga dia?”

“Akulah, sejak dia disahkan ada penyakit itu, mak ayah dia langsung tak ambil peduli. Aku dah pergi rumah mereka, pintu pun mereka tak buka untuk aku. Agaknya mereka ingat aku pembawanya kot.”

“Mak kau pula?”

“Mak aku lagi teruk! Dulu itulah menantu kesayangannya, sekarang dengar nama pun tak mahu. Berdesing telinga aku dengar dia memekak. Dulu aku tak mahu, dia juga yang memaksa. Sekarang bila dah jadi begini, tak ada siapapun nak bantu aku jaga dia.”

“Bila kau pergi kerja, siapa jaga dia?”

“Aku upah jururawat peribadi. Mujur dia pernah jaga pesakit macam bini aku, jadi tak payah nak diajar lagi. Cuma upahnya boleh tahan juga, sebab itulah aku ambil dia kerja siang saja, naya aku nak ambil kerja 24 jam.”

“Teruk sangat ke bini kau sampai kena berjaga bagai?” tanya Syahira, bingung.

“Bro, dia tak tahu ke bini kau sakit apa?” tanya Syahmi pula.

“Tak, bro. Aku memang tak beritahu dia. Ira, bini aku itu ikut qada’ dan qadar dia saja. Kalau Allah nak jemput awal, awallah dia. Kalau Allah nak panjangkan umurnya, lama lagilah nafasnya. Itu saja aku mampu katakan.”

“Bro, aku ada lagi satu soalan. Lelaki yang bersama bini kau dulu, mana dia sekarang?”

Soalan Syahmi membuatkan Aamir terkesima. Tak lama kemudian, dia mengeluh berat.

“Dia dah meninggal dunia minggu lepas. Kena bunuh, ditolak dari balkoni apartmen dia sendiri.”

“Kejadian lelaki kena tolak dari tingkat 14 itu dia ke? Innalillah wainnailaihi rajiun. Macam mana kau tahu?”

“Polis cari bini aku untuk bantu siasatan. Terkejut polis bila tengok isteri aku punya keadaan, sebab isteri aku termasuk dalam suspek utama kejadian itu.”

“Kalau dia sihat, memang mati lelaki itu dia kerjakan aku rasa,” jawab Syahira.

“Itulah, aku kasihan dengan dia. Selalu dia duduk termenung lepas itu menangis. Siapapun di tempat dia pasti akan berasa yang sama kan?” ujar Aamir lalu mengeluh berat.

Syahmi dan Syahira pula hanya mendiamkan diri, kematian kata-kata.

     *      *     *     *      *

“Abang dah balik?” tanya Rohana apabila dia melihat kelibat Aamir yang baru saja memasuki biliknya.

“Sudah, abang ambil cuti separuh hari. Ada hal nak kena jumpa Ira dengan Syahmi tadi.”

“Oh ya ke. Ira itu kawan abang ke kak Ida?”

“Kawan kami, tapi dia kawan baik kak Ida. Kenapa?”

“Tanya saja. Oh ya, kenapa Ana tengok abang tak balik rumah kak Ida? Hari-hari abang balik sini.”

“Abang tak berani, takut tersalah langkah. Nanti sakit pula Ida.”

“Sayang betul abang pada Ida.”

“Mahunya tak sayang, Ana tahu berapa lama abang tunggu Ida itu?”

“Kalau ikut gaya percakapan abang, mesti dah lama tunggu kan?”

“Ida itu bekas teman wanita abang waktu kolej dulu, lima tahun lepas kami putus baru kami kahwin.”

“What? Maksudnya, abang tak bersama dengan kak Ida sampai nikah?”

“Tak, abang masuk meminangnya senyap-senyap. Itupun kami memang tak berhubung sepanjang lima tahun itu.”

“Apa dia, abang? Abang tak bercakap dengan dia? Habis itu, kenapa dia terima?”

“Katanya sebab abang jawapan istikharah dia.”

“Abang, Ana ingat nak ajak abang solat berjemaah. Ana dah lama tak solat, mungkin sebab Allah duga Ana. Kadang-kadang Ana memang rasa cemburu dengan Kak Ida walaupun mama abang nampak macam tak suka dia, tapi jauh di sudut hati mama Ana tahu mama itu sayang sangat dengan Kak Ida. Mungkin sebab dia terdesak nakkan zuriat saja, dia suruh abang berkahwin dengan Ana. Akhirnya, Ana pun tak boleh bagi zuriat pada abang,” keluh Rohana lalu menangis.

“Ana, semua yang terjadi ada hikmahnya. Bukan sesuka hati Dia nak berikan semua ini pada kita. Kita kena yakin dengan ketentuan-Nya. Abang nak salahkan Ana pun tak boleh, benda dah jadi. Kalau abang fikirkan marah abang sekalipun, masalah kita takkan pernah selesai. Jadi, kita kena fikir apa yang harus kita lakukan sekarang.”

“Abang jangan buat begini kerana simpati. Ana akan rasa bersalah nanti.”

“Sebab simpatilah abang masih buat begini. Masih boleh jaga Ana. Kalau abang dah tak ada sekelumit simpati pun, memang abang biarkan Ana. Kalau nak cakap tentang sayang, mak dengan ayah Ana yang kita memang sedia maklum sayangkan Ana, tatang Ana macam minyak yang penuh pun rasa malu bila jadi begini. Mama abang yang sanjung Ana, puja Ana dulu, tinggalkan Ana begitu saja. Jadi tak perlu Ana harapkan kasih sayang abang sebab itu takkan menjamin keikhlasan abang menjaga Ana. Cukup Ana tahu Ana punya tempat dalam hati abang, itu saja.”

Mata Rohana mula berkaca apabila mendengar penerangan panjang lebar Aamir. Hendak menyesal sekarang pun dah tak berguna. Memang dia tahu sangat suaminya itu tidak menyayanginya sebanyak mana madunya disayangi. Namun akhirnya, insan itu jugalah yang sentiasa ada untuknya.

     *     *     *     *     *

“Sakitlah, Azhar! Apa main tarik-tarik ini? I boleh jalan sendirilah!” jerit Syahira setelah dia diseret oleh Azhar yang muncul dari belakang. Sakitnya tangannya hanya Tuhan saja yang tahu.

“Kalau I bagi you jalan sendiri, you akan cari jalan nak larikan diri. Macam I baru kenal you semalam kan? You itu bini I, I kenal sangat dengan you.”

“Pembetulan, it is ex wife! Jangan nak perasan sangat, kita baru saja habis edah minggu lepas. Jadi you memang dah taka da kena-mengena dengan I lagi.”

“You ini nak I buat macam mana ya baru you nak faham? I sayangkan you!”

“Kalau sayangkan I, you tak cari lain. You yang cari pasal, sekarang nak salahkan I pula! You jangan jadi lelaki gila talaklah, Azhar! Sedar sikit, you tak layak dapat kasih sayang I lagi setelah apa yang you buat pada I!”

Kata-kata Syahira benar-benar mencabar keegoan seorang Azhar. Azhar bertindak melempang Syahira sekuat hatinya menyebabkan wanita itu rebah ke sofa bersebelahan mereka dan tidak sedarkan diri.

Azhar cuba mengejutkan Syahira namun wanita itu masih tidak sedarkan diri. Azhar merasakan ini merupakan peluang keemasan baginya dan tanpa berlengah, dia terus mencempung bekas isterinya itu lalu membawanya keluar dari pejabat wanita itu. Setiap orang yang bertanya perihal tindakan Azhar itu, dia akan mengatakan dia ingin membawa Syahira ke klinik.

Namun begitu, tanpa Azhar menyedari, dia telah melintasi Syahmi yang sedang menuju ke bilik Syahira bagi menjemputnya kekasihnya itu makan tengahari. Syahmi yang pada mulanya tidak menyedari bahawa yang dicempung Azhar itu adalah Syahira, akhirnya cuba mengekori mereka berdua secara diam.

     *     *     *     *     *

Nadira yang sedang baring itu bangun kerana merasakan sakit yang sangat kuat pada perutnya. Dia ke bilik air kerana dia ingin membuang air, namun langkahnya terhenti apabila dia menyedari lantai bilik tidurnya dipenuhi darah.

Dia mencapai telefon bimbitnya dan menelefon Syahira, namun tidak berjawab. Tanpa berfikir panjang, dia menelefon Aamir. Nasibnya baik kerana kali ini bekas suaminya itu menjawab panggilannya.

“Hello, assalamualaikum kak. Ini Ana, ada apa kak?”

“Wa’alaikumussalam. Ana tolong panggil abang suruh datang sini, akak ada pendarahan. Tolong Ana,” jawab Nadira lalu memutuskan panggilan.

Setelah 15 minit bergelut dengan kesakitan yang teramat, barulah dia mendengar sayup-sayup suara Aamir memanggil namanya. Tak lama selepas itu, dunianya gelap-gelita.


     *     *     *     *     *

Amir yang sedang menunggu keputusan pemeriksaan Nadira di hospital memegang sampul surat yang ditemuinya ketika mencari kad pengenalan bekas isterinya itu. Tanpa berlengah, dia membuka sampul tersebut dan mula membaca satu per satu bait kata-kata yang dikarang oleh Nadira itu:

Buat Aamir Arsyad,

Ida ingin memohon sejuta ampun dan maaf daripada abang kerana di saat abang membaca warkah, mungkin Ida sedang bertarung nyawa bagi melahirkan seorang lagi khalifah di muka bumi ini. Khalifah pinjaman Allah buat kita berdua, mungkin satu-satunya khalifah kita. Seperti yang abang sedia maklum, kandungan Ida ini sangat berisiko dan apa-apapun boleh jadi ketika Ida melahirkan nanti.

Ida sudah lama mengetahui bahawa kandungan Ida ini bermasalah, sejak bulan kelima lagi. Kini, kandungan Ida akan menjangkau bulan kelapan tak lama lagi. Doktor telah menasihati Ida supaya tidak bersendirian kerana dikhuatiri Ida akan turun darah.

Jangan terkejut andai bila-bila masa saja dari saat Ida di hospital, pihak hospital akan meminta abang memilih antara anak dan Ida. Andai itu terjadi, pilihlah anak kita abang. Itu saja hajat abang dan mama abang, Ida tahu. Cukuplah abang dah bahagiakan Ida sepanjang dua tahun lebih kita bernikah, Ida tak ada apa-apa sesalan lagi.

Ida faham, abang ceraikan Ida kerana abang tak mahu Ida dan anak kita terkena jangkitan penyakit Ana. Ida tak salahkan abang, memang tak ada sesiapapun akan faham niat abang. Andai panjang umur Ida, Ida tetap akan setia menanti abang kembali dalam hidup Ida.
Akan tetapi, andai umur Ida tak panjang, Ida minta tiga perkara saja daripada abang, ampunkan segala dosa Ida pada abang dan halalkan makan minum Ida. Jaga anak kita baik-baik, Ida tahu abang boleh jaga dia.

Akhir kata, Ida nak abang tahu Ida sayang sangat abang.

Yang benar,
Sayyidah Nadirah Ahmad Tarmizi

Bergenang air mata lelaki Aamir setelah habis membaca warkah daripada insan yang sangat dicintainya itu. Belum sempat lagi melepaskan rasa, Dr. Julia, yang merawat Nadira sedari tadi berdiri di hadapannya. Dia mendongakkan kepalanya bagi melihat wajah doktor tersebut.

“Encik Aamir, saya dah lakukan pemeriksaan pada Puan Nadira. Berat buat saya katakan bahawa peluang untuk saya selamatkan keduanya amat tipis. Jadi, saya memerlukan jawapan daripada Encik Aamir. Siapa yang perlu saya selamatkan? Puan Nadira ataupun kandungan?”

Terkesima Aamir mendengar soalan doktor tersebut. Ternyata ramalan Nadira benar belaka. Namun, Aamir melepaskan keluhan berat. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Dia panik.

*bersambung*

Foot print: Hati ini tersimpan 1001 macam perasaan...

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com