Friday, August 30, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 6

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4
Bahagian 5

"Kau tunggu apa lagi, Haziq? Kejarlah dia!" jeritan Tarmizi kepada Haziq itu sangat jelas di telinganya. Namun, selepas itu pandangannya mulai kelam.

Sedar-sedar sahaja, Suraya sudah berada di dalam bilik tidur rumahnya. Kata Lily, malam itu juga Haziq menghantarnya pulang dan memohon maaf kepada Lily atas kejadian yang berlaku.

Suraya mencapai telefon bimbit Oppo Reno miliknya yang terletak di meja sisi katilnya. Ada emel masuk daripada Haziq yang meluluskan perletakan jawatannya dan memintanya untuk menghantarkan surat perletakan jawatan untuk simpanan Sumber Manusia.

Suraya melihat ke luar rumahnya melalui jendela yang terletak berhampiran katilnya. Mengharapkan kekuatan akan datang kepadanya bagi melupakan insan yang bertakhta di dalam hatinya itu.

     *     *     *     *     *

"Ini kerja gila, Haziq! Sudah terang-terang perasaan kau berbalas, kau boleh suruh dia terima Muhaimin? Kau ini manusia jenis apa woi?" tanya Tarmizi, berang dengan sikap Haziq yang menolak cinta Suraya tempoh hari. Atas sikap Haziq inilah, acara team building mereka terpaksa dibatalkan selepas Suraya pengsan akibat terlalu terkejut.

"Aku cuma nak dia bahagia. Aku tahu aku tak boleh bahagiakan dia!" jawab Haziq.

"Atas alasan apa kau tak boleh bahagiakan dia? Duit? Kekayaan?" tanya Tarmizi lagi.

"Zaman sekarang, semuanya perlukan duit. Manalah terbanding diri aku ini dengan Muhaimin. Lagipun, semua orang tahu Muhaimin ini orangnya setia," jawab Haziq.

"Memanglah dia setia, kalau dia cintakan orang itu. Kes Suraya ini, pilihan keluarga kot! Beragaklah kau ini!" ujar Tarmizi, geram dengan jawapan Haziq itu.

"Tapi sekurang-kurangnya hidup Suraya akan lebih baik jika dengan Muhaimin," jawab Haziq lagi.

"Kau, kalau bab berikan alasan, memang kaulah yang hebat! Aku bagi amaran satu saja, jangan nanti beberapa bulan kemudian, kau datang pada aku sedih-sedih, kata kau rindukan Suraya. Waktu itu jangan marah kalau aku tumbuk muka kau!"

"Kalau benda itu terjadi, aku izinkan kau tumbuk muka aku. Tak apa."

"Apa masalah kau ini? Orang lain buat macam-macam untuk buat orang yang dia suka, sukakan dia balik. Ada yang siap guna ilmu hitam lagi. Kau, dah dapat bulan jatuh riba, kau boleh tolak mentah-mentah. Siap malukan dia lagi. Tak fahamlah aku," bebel Tarmizi.

"Sebab dia bulan jatuh ke ribalah, aku tolak Ji. Aku takut, kalau aku terima dia, suatu hari nanti dia akan pergi tinggalkan aku."

"Kalau dia terima Muhaimin, tetapi hubungan mereka tak menjadi, apa yang kau nak buat?"

Haziq memandang Tarmizi. Kenapa dia tidak memikirkan kemungkinan itu? Ada benarnya kata-kata Tarmizi itu.

"Kalau hubungan mereka tak menjadi sekalipun, itu bukan masalah aku."

"Apa pulak? Sudah tentu itu masalah kau, kaulah punca dia terima Muhaimin bukan? Jadi, aku nak kau janji dengan aku, sekiranya hubungan mereka berdua putus di tengah jalan, kau kena pulihkan Suraya semula. Tak kiralah dengan kerelaan dia mahupun tidak. Faham?" tegas Tarmizi. Baginya, Haziq perlu diajar.

Haziq mendiamkan dirinya. Dia perlu tahu, adakah dia mampu untuk menyembuhkan Suraya sekiranya Suraya menghadapi kemurungan lagi?

     *     *     *     *     *

Haziq membaca mesej yang dihantar oleh Suraya itu buat kali kelapan. Sejak gadis itu menghantar mesej itu buatnya, selang sepuluh minit pasti dia akan membuka mesej tersebut lagi. Mesej yang berbunyi:

"Demi kasih dan sayang saya untuk encik Haziq, saya akan minta keluarga Muhaimin untuk masuk meminang saya. Saya minta maaf andai luahan hati saya menyakitkan hati encik, sungguh tak ada niat untuk saya lukakan hati orang yang saya sayang. Saya doakan encik berbahagia dengan hidup encik, tak kiralah apa yang encik lakukan dan siapa yang encik pilih."

"Aku tak nak kau pilih dia, Suraya tapi aku tak sanggup tengok keluarga aku berantakan kalau keluarga Muhaimin tahu aku orang yang kau cintai. Aku harap bila kebenaran itu muncul kelak, kau akan memahami aku," Haziq bermonolog sendiri.

Masih dia ingat lagi kejadian 17 tahun lepas antara Muhaimin dan dirinya. Kejadian itu nyaris memusnahkan syarikat ayahnya.

"Apa hak kau nak sukakan Elly? Elly itu girlfriend aku!" bentak Muhaimin, geram.

"Aku cuma sukakan dia tapi dia, sukakan kau. Hati aku, mana boleh aku kawal bro!"

Muhaimin berang dengan jawapan yang diberikan oleh Haziq itu, lalu memegang kolar baju Haziq sebelum ditolaknya lelaki itu ke dinding, membuatkan belakang Haziq dalam kesakitan.

"Aku nak kau pindah dari kolej ini, aku tak nak tengok muka kau lagi! Kalau minggu depan, aku nampak muka kau di kolej ini, aku akan pastikan kau dan keluarga kau merempat tepi jalan! Faham?" tegas Muhaimin sebelum melepaskan pegangannya pada kolar baju Haziq 

Bunyi azan yang berkumandang dari telefon bimbit iPhone XS miliknya membuatkan lamunannya terhenti. Haziq hanya memilih untuk beristighfar dan berharap agar semua itu tak berlaku lagi.

"Cukuplah sekali aku terkena, aku tak nak kena lagi dengan orang yang sama," ujar Haziq sebelum menuju ke arah bilik air untuk mengambil wudhuk.

     *     *     *     *     *

"Sampai bila Haziq nak menduda ni? Papa tak faham kenapa Haziq susah sangat nak buka pintu hati pada orang lain. Masih teringatkan arwahkah?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

Haziq hanya memandang ayahnya itu. Lelaki itu sangat mengharapkan dirinya kembali menjadi suami orang selepas bercerai hidup dengan bekas isterinya beberapa bulan sebelum wanita itu pergi meninggalnya buat selamanya.

Siti Nurhashima, cinta pertamanya sejak sekolah menengah. Sanggup menunggunya selama hampir 10 tahun untuk menjadi isterinya, namun perkahwinannya hanya mampu bertahan 9 bulan sahaja atas permintaan isterinya untuk melepaskannya setelah dia disahkan menghadapi kanser serviks tahap 3.

Puas dia memujuk untuk memanjangkan usia perkahwinannya, tetapi permintaan Hashima yang beriya-iya meminta Haziq melepaskannya, dia akur. Tanpa dia sangka, seminggu selepas itu, wanita itu meninggal dunia di dalam bilik pembedahan akibat kesilapan pakar bedah.

Meskipun ramai yang menyuruhnya mewakili keluarga Hashima untuk menyaman pakar bedah tersehut, tetapi keluarga bekas isterinya itu sudahpun bersedia untuk kehilangan Hashima dan nekad tidak mahu memanjangkan isu ini. Lagipun, arwah sepertinya sudah mengetahui bahawa ajalnya bakal tiba kerana dia sudahpun memindahkan kesemua hartanya kepada keluarganya, termasuklah Haziq sendiri. Namun begitu, duit yang diterima Haziq telah diserahkan kepada ibu bapa Hashima yang mempunyai banyak tanggungan.

"Haziq, papa tanya, kamu mengelamun pula!" suara Datuk Muhsin itu mengejutkan lamunan Haziq.

"Tak, bila papa sebut pasal arwah, tiba-tiba teringat kat dia. Esok ingat nak jenguk kubur arwahlah," jawab Haziq, bersahaja.

"Kamu ini pandai sangat mengelak bukan? Papa tanya bila kamu nak cari isteri yang baru, kamu cakap pasal arwah. Kamu masih tak boleh lupakan dia ke?"

"Papa, mana mungkin Haziq boleh lupakan insan yang pernah bertakhta di hati Haziq. Hashima tetap punya tempat dalam hati Haziq, walaupun Haziq ketemu dengan yang baru sekalipun."

"Kamu sudah temui pengganti?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

Dalam Kesamaran Bahagian 5

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4

"Kenapa pula?" tanya Aduka, terkejut dengan kenyataan Rashdan tadi.

"Lily itu seorang yang kental. Dia dengan Suraya membesar dalam persekitaran yang kental membuatkan keduanya kuat dan tabah. Akan tetapi, jangan sesekali kau suruh mereka berdua berputus asa. Memang takkan jalan punya. Melainkan kau sendiri buat dia putus asa dengan kau," jawab Rashdan.

"Jangan risau, aku akan buat dia berputus asa dengan aku. Aku cuma terlalu sayangkan dia dan aku tak mahu dia terus terluka. Cukup-cukuplah masalah keluarga dia selama ini," ujar Aduka sambil mengelap air matanya yang mula mengalir.

Rashdan hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat Aduka yang sesekali cuba menahan kesakitan pada kepalanya. Dia hanya mampu mendoakan agar semuanya berjalan lancar dan cinta Aduka dan Lily takkan terlerai walaupun cuba diputuskan.

      *      *      *       *      *

"Kenapa pandang saya begitu, Suraya?" tanya Haziq yang menyedari Suraya sudah merenungnya sekian lama sehinggakan dia berasa kurang selesa untuk menyambung kerja yang dilakukannya.

"Saya hairan, kenapa encik layan saya baik dulu, tapi sekarang macam acuh tak acuh saja?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Daripada awak tanya saya soalan merepek ini, ada baiknya awak sambung gunting kertas itu," jawab Haziq, bersahaja.

"Kenapa pula? Saya nak tahu juga saya ada buat salahkah sampai encik layan saya begini. Setidak-tidaknya, saya boleh improve diri saya," ujar Suraya.

"Salah itu bukan pada awak, tapi pada saya. Sudah, sambung kerja itu. Awak ingat dengan pandang muka saya ini, kerja awak itu boleh siapkah? Jangan sampai saya buat awak tunggu saya habis kerja baru boleh balik nanti," jawab Haziq, sinis.

"Kalau encik rasa puas tahan saya daripada balik, tahanlah. Saya tak kisah pun."

"Awak tak kisah, tapi saya kisah. Selepas awak siap gunting kertas itu, awak boleh balik. Bukan gerak pun kerja saya dengan perangai awak ini."

Suraya memandang wajah Haziq. Haziq tampak tenang, tapi sesekali tangannya menggigil membuatkan dia merasakan ada yang tidak kena dengan Haziq.

"Suraya, berhenti tenung muka saya bagitu!"

Mendengar amaran Haziq, sepantas kilat perhatian Suraya kembali ke arah kertas-kertas yang diguntingnya sedari tadi. Mereka berdua sedang menyiapkan barangan untuk digunakan sebagai bahan bantuan semasa bengkel kesihatan mental di premis klien mereka dua hari lagi.

"Saya minta maaf, encik kalau pandangan saya mengganggu fokus encik," ujar Suraya, perlahan.

"Saya maafkan, tapi tolonglah jangan buat begitu lagi. Boleh cair saya begini," jawab Haziq yang masih pura-pura sibuk menyemak modul yang hendak digunakan di dalam bengkel itu nanti.

"Cair? Dengan saya? Macam susah nak percaya," ujar Suraya, bersahaja.

"Mana awak nak tahu saya akan cair ataupun tidak? Saya lelaki, awak perempuan, sudah fitrah kalau kita berdua cair antara satu sama lain. Jadi, bahagian manakah yang awak susah nak percaya itu?"

"Saya ini bukannya cantik," jawab Suraya.

"Cantik itu subjektif. Bagi saya, awak cantik. Cukup cantik. Kalau pengiktirafan dunia yang awak mahukan, mungkin awak takkan dapat tapi kalau pengiktirafan saya yang awak nak, awak sudah dapat. Jangan pernah sesekali berkata awak tak cantik, kerana Allah ciptakan seorang manusia itu cukup sempurna di mata yang Allah pilih untuk melihat."

 Suraya terdiam. Sekali kaunselor di depan matanya ini sudah bersyarah, payah untuk dia menjawab syarahan lelaki itu. Maka, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja.

     *     *     *     *     *

"Comelnya anak kamu, Ika. Siapa namanya?" tanya Lily tatkala mengusap-usap bayi berusia sebulan itu.

"Zara Raisha. Mula-mula nak letak nama dia bermula dengan R, tapi nama untuk Z pula tak ada yang sesuai dengan Raisha. Terpaksalah Rashdan terbalikkan," jawab Zalikha yang sedang melipat kain baju Zara.

"Sedaplah, tak kisahlah macam manapun susunannya, asalkan maksudnya elok-elok. Betul tak, Su?" ujar Lily sambil memandang ke arah Suraya yang sedang termenung itu.

Melihat tiada respon dari Suraya, Zalikha mula memegang bahu Suraya lembut membuatkan Suraya terkejut lalu memandang mereka berdua yang sudahpun memandangnya.

"Kau ini kenapa, Su?" tanya Lily, hairan dengan sikap Suraya yang kebelakangan ini seringkali termenung.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis. Zalikha yang melihat keadaan Suraya itu mulai bimbang.

"Lily, kamu tolong Ika bancuhkan air. Hauslah," jawab Zalikha.

"Nak air apa?" tanya Lily.

"Air milo panas untuk Ika. Untuk kau orang, ikutlah air apa-apapun," jawab Zalikha sambil tersenyum.

Lily seolah-olah memahami niat Zalikha itu beredar menuju ke arah dapur. Zalikha berhenti melipat kain lalu berpusing menghadap Suraya.

"Kenapa ini, Su?" tanya Zalikha, lembut.

"Entahlah, Ika. Hati ini nak orang lain, tapi orang itu tak tahulah sukakan kita ke tak. Ada orang lain yang nak, tapi hati ini pula tak berkenan. Lagipun, orang lain itupun ada orang lain yang direbutkan," jawab Suraya sambil mengeluh.

"Biar Ika teka, Su nakkan Haziq tapi ada calon lain yang nakkan Su. Cuma, ibu Lily nak calon Su itu untuk Lily. Betul?" tanya Zalikha.

"Rashdan dah beritahu ya?" tanya Suraya, sedikitpun tidak terkejut dengan tekaan Zalikha itu.

"Baguslah tahu. Jadi, sekarang ini Ika nak tanya Su, hati Su nakkan siapa?" tanya Zalikha.

"Hati ini nakkan Haziq, tapi entahlah. Su tak yakin, Ika."

"Dapatkan jawapan Haziq dulu, selepas itu baru Su fikir sama ada nak terima calon Su ataupun tidak."

Mendengar jawapan Zalikha, Suraya terkesima. Ada benarnya kata-kata Zalikha itu, dia harus selesaikan soal hatinya dengan Haziq dahulu, barulah dengan Muhaimin, lelaki yang dipilih ayah saudaranya itu buatnya.

     *     *     *     *     *

"Baiklah, sekarang giliran Suraya pula! True or dare?" tanya Puteri, PA Tarmizi yang dipertanggungjawabkan untuk mengacarakan aktiviti malam ini.

Suraya memandang sekeliling, dan perasan akan kehadiran Haziq di tempat mereka berkumpul membuatkan dia tahu apa yang harus dia pilih untuk menjawab soalan Puteri itu.

"True!" jawab Suraya, yakin.

"Baiklah, dengar sini baik-baik. Suraya, betulkah awak ada perasaan cinta buat majikan awak?" tanya Puteri sambil tersengih-sengih.

Suraya menelan air liur. Dia tahu, semua orang di dalam pejabat itu tahu akan keserasian di antara dirinya dan Haziq. Bohonglah jika tiada sesiapapun di antara mereka ingin tahu tentang perasaan antara Suraya dan Haziq.

"Jawapan saya, ya."

Mendengar jawapan Suraya, riuh rendah semuanya menjerit keriangan. Almaklumlah, Suraya dan Haziq seringkali digelar sebagai pasangan bahagia agensi dan rata-rata semuanya mengharapkan hubungan mereka lebih dari sekadar majikan dan pekerja.

"Sejak bila?" tanya Haziq, tiba-tiba membuatkan kesemuanya senyap.

Suraya tahu, dia tidak boleh lari lagi. Dia harus tamatkan teka-teki ini malam ini juga.

"Sejak dua tahun lepas tapi saya tak ingat sejak bila yang tepatnya," jawab Suraya.

Selepas Suraya memberikan jawapannya, Haziq dilihat bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke tempat Suraya berdiri. Wajahnya yang tenang membuatkan semua orang yang berada di situ menantikan apakah jawapan yang ingin Haziq berikan.

"Terima kasih, Suraya sebab simpan perasaan buat saya. Saya hargai perasaan awak itu. Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya tidak layak untuk terima perasaan awak ini. Tolonglah, berikan perasaan awak kepada yang lebih layak. Bukan saya orang yang awak cari," jawab Haziq sambil memandang ke arah Suraya yang sedari tadi memandangnya.

Suraya cuba mencari keikhlasan Haziq di dalam matanya, tetapi hampa.

"Saya tak cukup sempurnakah di mata encik Haziq?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Awak sudah cukup sempurna di mata saya. Yang tidak sempurna itu adalah saya, Suraya. Bukan awak," jawab Haziq, cuba menahan air matanya.

"Apa maksud encik?" tanya Suraya.

"Pilihlah lelaki yang menunggu awak itu. Bukan saya," jawab Haziq, ringkas.

"Encik ingat soal hati ini semudah ABC kah? Hari ini suka orang ini, esok suka orang lain? Tidak, encik. Saya ambil masa untuk sukakan encik, pastinya akan ambil masa untuk lupakan! Bagaimana pula saya nak terima orang lain sedangkan hati saya untuk encik? Atas dasar apakah saya perlu menerima dia?"

"Awak belum terima dia lagi, bagaimana awak tahu awak takkan dapat lupakan saya? Ini bukan fairy tale, Suraya! Happily ever after itu tak wujud! Move on, dan terimalah orang yang sudah sedia menantikan awak, bukan saya!" Haziq mula meninggikan suaranya.

Suraya masih lagi memandang tepat ke arah mata Haziq. Dia nampak ada sinar tekad di dalam mata lelaki itu, dia tahu walau apapun perasaan lelaki itu kepadanya, lelaki itu sudah tekad untuk melepaskannya saat ini. Dia tahu dia sudah tidak boleh mengubah pendapat lelaki ini lagi. Akhirnya, dia mengeluh.

"Baiklah, encik Haziq. Sekiranya itu yang encik mahukan, saya akan turutkan. Akan tetapi, saya nak encik Haziq terima syarat saya pula!"

"Apa dia?" tanya Haziq, perlahan.

"Saya tak nak tengok muka encik Haziq lagi selepas ini. Jangan risau, saya takkan suruh encik Haziq keluar dari syarikat, cuma saya nak encik luluskan perletakan jawatan saya serta-merta bermula dari saat ini. Itu saja syarat saya!" ujar Suraya sebelum berlalu pergi dari situ. Dia tahu dia harus keluar dari situ kerana malunya apabila ditolak mentah-mentah oleh orang yang disayangi selama dua tahun di khalayak ramai.

"Kau tunggu apa lagi, Haziq? Kejarlah dia!" jeritan Tarmizi kepada Haziq itu sangat jelas di telinganya. Namun, selepas itu pandangannya mulai kelam.

*BERSAMBUNG*

Thursday, August 29, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 4

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3

"Kenapa kau tak cari aku dulu?" tanya Suraya tanpa menjawab soalan Lily tadi. Rashdan hanya mampu menelan air liur kerana dia tahu dia harus menjawab soalan Suraya ini.

"Jawablah sajalah, Dan. Sudah sampai masanya untuk dia tahu," ujar Lily sambil memandang Rashdan.

"Waktu kau pindah dulu, aku memang marah sangat dengan kau sebab tak jawab pengakuan aku. Berbulan-bulan aku memikirkan sama ada perasaan aku berbalas atau tidak. Sebulan aku buat solat istikharah patut atau tak aku cari kau, minta jawapan kau. Kau tahu apa yang aku dapat?" jelas Rashdan sambil memandang tepat ke arah Suraya.

"Apa dia?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Aku dapat ketenangan untuk melupakan kau. Allah permudahkan urusan aku selepas itu. Aku berkenalan dengan Zalikha, aku luahkan perasaan aku dan dia terus terima. Selepas dua bulan berkawan, aku masuk meminang dan keluarga dia terima. Kami bertunang terus dan enam bulan selepas itu, aku bernikah dengan dia. Selepas itu, barulah aku jumpa kau semula. Apa maksudnya itu?" terang Rashdan.

"Aku bukan untuk kau, dan engkau bukan untuk aku," jawab Suraya, perlahan.

"Pandai pun! Kau fikir, aku tak rasa bersalahkah bila kau muncul semula dalam hidup aku, tak serupa orang sudah gayanya? Mujur aku jumpa Lily dan dia terangkan pada aku tentang kes kau kena tipu mentah-mentah dengan si buaya darat itu. Atas sebab itulah, aku kenalkan kau dengan isteri aku dan isteri aku yang temukan kau dengan Haziq. Daripada seorang klien, kau diambil bekerja dengannya sebagai PA dia. Nikmat Allah manakah yang kau nak dustakan ini, Su?" sambung Rashdan lagi.

"Bab ini, aku setuju dengan Rashdan. Pada aku, Haziq sudah sembuhkan luka kau dulu. Cuma, kau kena terima andai kata Haziq itu bukan jodoh kau. Dia bantu kau dulu sebab itu kerja dia," ujar Lily pula.

Mendengar syarahan Rashdan dan pendapat Lily, Suraya mengeluh. Ada benarnya kata-kata mereka berdua. Dia saja yang tersalah anggap.

     *     *     *     *     *

Zalikha baru sahaja selesai menidurkan anak sulungnya apabila Rashdan duduk di birai katil mereka. Sudah dua hari dia pulang dari hospital, tapi inilah pertama kali Rashdan keluar agak lama. Dia tahu Rashdan keluar bertemu dengan Lily dan Suraya. Barangkali pasti ada masalah besar yang menimpa mereka berdua sehinggakan Rashdan pulang dengan wajah yang serabut.

"Abang ada masalah?" tanya Zalikha, ingin tahu.

Rashdan tidak menjawab, sebaliknya hanya menggelengkan kepalanya.

"Jadi, siapa yang ada masalah? Su atau Lily?" Zalikha menukar soalannya.

"Kedua-duanya ada masalah. Tentang calon suami mereka berdua," jawab Rashdan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

"Kenapa dengan calon suami mereka berdua?" tanya Zalikha, hairan.

"Orangnya adalah orang yang sama," jawab Rashdan sebelum mengeluh.

"Apa dia? Abang biar benar! Lelaki itu buaya daratkah sampai mahukan keduanya?" tanya Zalikha, tidak faham dengan situasi itu.

"Bukanlah, lelaki itu memilih Su tetapi ibu Lily mahukan lelaki itu bersama dengan Lily."

"Masih belum pulihkah hubungan Su dengan ibu Lily itu?" tanya Zalikha lagi.

Rashdan menggelengkan kepalanya.

"Parah juga ini. Habis itu, pakcik kata apa?"

"Pakcik nak Su yang kahwini lelaki itu."

"Su terima?"

"Belum lagi. Dia runsing, dia tak nak hampakan pakcik tapi hatinya sudah dimiliki orang lain."

"Orang lain itu siapa?"

"Haziq."

"Haziq? Bos Su itukah?"

Rashdan hanya menganggukkan kepalanya.

"Astaghfirullah hallazim. Apa punya cerita ini? Lily kan sudah ada Aduka, kenapa dia nak pening?"

"Masalahnya, Aduka tak nak kahwin sekarang. Dia belum bersedia dan sedia untuk lepaskan Lily sekiranya Lily terima cadangan ibunya itu."

"Astaghfirullah hallazim. Kenapa jadi begini, abang?"

"Entahlah, abang rasa Aduka ada masalah kot. Sepanjang kita kenalinya, tak pernah lagi dia buat hal begini. Nanti abang cuba risik-risik dari Aduka tentang masalahnya."

"Jangan paksa diri, abang. Sebesar manapun perasaan bersalah abang pada Su, yang lepas itu biarkan lepas. Lagipun, Su dah redha bukan abang dengan dia tiada jodoh?" tanya Zalikha.

"Abang rasa Su terima hakikat, tapi belum redha sepenuhnya. Dia masih salahkan diri dia atas apa yang dah berlaku," jawab Rashdan sambil mengeluh.

"Ika tak salahkan dia untuk berasa begitu. Mungkin ketika itu dia sukakan abang, tapi dia tak sedar perkara itu. Tak apalah, nanti Ika cuba berbincang dengannya."

Rashdan hanya memandang isterinya lalu tersenyum. Pening kepalanya tatkala melihat gadis yang pernah dia sayangi hidup menderita sepanjang hidupnya.

     *     *     *     *     *

Rashdan hanya memandang kehadiran Aduka yang memilih untuk duduk bersebelahan dengannya dengan perasaan hairan. Aduka tampak pucat, tidak seperti selalu.

"Kau sakitkah, bro? Kalau sakit, kenapa datang?" tanya Rashdan, hairan dengan tindakan Aduka itu.

"Aku rasa ada orang di sekeliling Lily kena tahu keadaan aku. Aku tak nak benda ini jadi masalah kemudian hari. Atas sebab itulah, aku gagahkan diri aku datang jumpa kau, Dan. Kau saja harapan aku," jelas Aduka sambil memandang Rashdan.

Rashdan terpinga-pinga. Masalah apa pula ini?

"Apa benda ini, Aduka?" tanya Rashdan, ingin tahu.

"Aku sakit, ada ketumbuhan dalam kepala aku. Ketumbuhan ini berbalik, jadi risiko untuk dibedah semakin tinggi. Aku tetap akan jalani pembedahan itu tapi sebelum aku jalani pembedahan itu, aku akan minta putus dengan Lily," terang Aduka, tenang.

"Kenapa kau nak kena putus dengan Lily? Masih ada harapan, bukan?" tanya Rashdan lagi.

"Ada, dalam 30%. Tapi sekalipun aku selamat, aku mungkin akan lumpuh atau percakapan aku akan terganggu. Aku tak nak Lily menderita untuk menjaga aku seumur hidupnya. Kau faham tak?" ujar Aduka lallu menekup mukanya.

"Aku faham, tapi aku tak pasti adakah Lily akan terima ataupun tidak kalau kau minta putus tanpa alasan?"

"Aku tak ada pilihan, sebab itulah aku nak minta tolong kau. Kau boleh tolong cover aku tak?" tanya Aduka.

"Kau sayang dia ataupun tidak sebenarnya, Aduka?" tanya Rashdan dengan riak wajah yang sangat serius membuatkan Aduka terkesima mendengar soalan tersebut.

"Kenapa kau tanya begini, Dan?" tanya Aduka tanpa menjawab soalan Rashdan itu.

"Aku tanya kau, kau tanya aku balik. Bila kita nak dapat jawapan?"

"Aku sayang, sayang sangat. Aku cuma tak nak Lily terluka kerana ada kekasih yang bakal mati ini. Aku tak nak dia bersedih seumur hidupnya kalau dia kehilangan aku," jawab Aduka, jujur.

"Aku tolong kau, bukan sebab kau sakit atau dah nak mati, tapi sebab aku tahu perasaan kau jujur. Ad, semua orang akan mati. Bezanya bila, di mana dan bagaimana. Ya, kau memang sakit dan nampak seperti tiada harapan untuk sembuh tapi ajal dan maut itu kerja Tuhan, bro. Bukan kerja kita. Siapa tahu kalau-kalau nanti yang sihat ini pergi dulu? Aku tak suka kau gunakan sakit kau sebagai alasan untuk tolak Lily jauh-jauh dari hidup kau. Kau tak berhak untuk tentukan hidup dia akan bahagia ataupun tidak jika tiada kau," terang Rashdan panjang lebar.

"Aku tahu, tapi aku tak nak Lily terseksa dengan aku. Itu saja," jawab Aduka, tidak puas hati.

"Aku tahu niat baik kau, tapi aku juga tahu kekuatan Lily dan aku tahu sekiranya dia tahu kenyataan ini, dia tetap takkan lepaskan kau walaupun dia tahu dia akan kehilangan kau," sambung Rashdan lagi.

"Kenapa pula?" tanya Aduka, terkejut dengan kenyataan Rashdan tadi.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, August 28, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 3

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2

"Apa masalahnya? Saya single, awak single. Tak salah, bukan?" duga Haziq.

"Betul, tapi bukankah encik tak bersetuju dengan hubungan sesama rakan sekerja?" tanya Suraya pula.

"Betul, tapi kalau saya pilih awak sekalipun, awak ingat saya akan bagi awak sambung bekerja dengan sayakah?" duga Haziq lagi.

"Betul juga. Kenapalah saya tak terfikir? Eh, bukannya encik nak kat saya pun! Tak payah fikirlah!"

"Kalaulah kau tahu betapa payahnya aku nak memendam perasaan ini, Suraya," getus hati kecil Haziq yang sesekali menjeling ke arah Suraya. Dia tahu dia tak mampu memikirkan hidupnya tanpa gadis itu, tetapi untuk maju ke hadapan, tidak sama sekali. Cukuplah dia memendam rasa selama bertahun-tahun ini.

     *     *     *     *     *

Lily sedang membalas mesej pelanggannya apabila seseorang duduk berhadapan dengannya. Seseorang yang dinantikan sekian lama, seseorang yang sudah lama hilang dari hidupnya. Seseorang yang dia berharap dia dapat buang jauh-jauh.

"You dah lama tunggu ke?" tanya lelaki yang baru sahaja tiba dan memilih untuk duduk berhadapan dengan Lily itu.

"Of course! You tahu tak, dengan masa yang I bazirkan untuk tunggu you ini, kalau I balik bungkus barang-barang jualan yang nak diposkan, rasanya sudah siap kot! You pergi mana?" tanya Lily selepas sedas sindiran tajam diberikan kepada lelaki itu.

"I ada kecemasan tadi," bohong Aduka, lelaki yang membuatkan Lily menunggu selama hampir sejam itu. Dia memilih untuk merahsiakan sebab kelewatannya supaya Lily tidak bimbang akan keadaannya.

"You ini selalu lambat, tahu? I pun tak tahulah macam mana I boleh bertahan dengan you sampai setahun lebih," ngomel Lily sambil mencebik.

"I am so sorry. I tak janji I takkan buat lagi, tapi I will try my best to change," jawab Aduka sambil tersenyum manis.

"Ayat selamat betul you bagi I ya? Mungkin ayat selamat inilah yang ikat hati I pada you, sebab you tak bagi I harapan palsu. Baiklah, I maafkan you selagi mana hati I mampu," ujar Lily sambil membalas senyuman Aduka tadi.

"Thank you, sayang. Kenapa you nak jumpa I ini?" tanya Aduka, menukar topik perbualan.

"Ibu suruh kita kahwin, sebab sudah hampir 5 tahun kita berkenalan. Takkan tak cukup lagi untuk berkahwin?" tanya Lily.

"Ini ibu yang tanya atau you?" duga Aduka.

"Ibulah. I tahu masalah you, takkan I nak paksa you pula! Cuma..."

"Cuma apa?" tanya Aduka lagi.

"Cuma ibu beriya sangat nak I kahwini calon yang nakkan sepupu I itu. Dia teringin nak menantu kaya, tapi ayah I bantah sebab ayah orang itu cuma nakkan sepupu I, bukan I. I sudah penat nak tengok keluarga I berantakan sebab perselisihan faham antara ibu dengan sepupu I," jelas Lily.

"Macam mana pun, bukankah ibu you lebih patut you patuhi?" tanya Aduka, tidak mengerti.

"Betul, tapi hak menikahkan itu bukankah milik ayah?" tanya Lily pula.

Aduka terdiam. Ada benarnya kata-kata Lily itu. Dia mengerti Lily inginkan bantuannya untuk pulihkan keadaan, tetapi dia tidak mampu untuk menunaikan hajat Lily itu. Dia sendiripun tidak tahu berapa lama lagi jangka hayatnya. Itu bukan kerjanya, tapi itu kerja Allah.

"I minta maaf, I masih belum boleh nikahi you. Kalau calon itu adalah yang terbaik untuk you, I akan lepaskan you. Jangan risau, you boleh fikirkan dulu. Bila you dah ada keputusan you nanti, please inform me so I will know whether to let you go or to remain with you," ujar Aduka sebelum beredar dari situ.

Terpinga-pinga Lily melihat kepergian Aduka itu. Kekasih yang dikenalinya selama 5 tahun sanggup melepaskannya kepada calon yang sama sekali tidak dia ingini? Apa masalahnya?

     *     *     *     *     *

"Macam mana, Lily? Setuju tak dengan cadangan ibu?" tanya Puan Wardah sebaik sahaja duduk bersebelahan dengannya di atas sofa itu.

"Apa ini, ibu? Ibu panggil Lily balik hanya sebab perkara ini?" tanya Lily, sebal dengan pertanyaan ibunya itu.

"Habis itu, takkan aku nak ke rumah kau? Jumpa anak sial itu? Memang tidaklah!" Puan Wardah meninggikan suaranya membuatkan hati Lily bertambah sebal.

"Anak yang ibu panggil sial itu anak saudara ibu tahu? Ayah itu wali dia yang sah tahu? Kenapa ibu nak menidakkan hakikat itu?" tanya Lily bertubi-tubi.

"Aku tak ada anak saudara pembunuh macam dia itu!" jerit Puan Wardah membuatkan Encik Wahab yang sedang membaca dan adik Lily, Camellia yang sedang makan di dapur berlari menuju ke ruang tamu, tempat mereka berdua berada.

"Apa ini, ibu? Bukan salah Suraya keluarga dia meninggal dunia. Mereka bertiga kemalangan semasa dalam perjalanan nak menjemputnya pulang dari asrama kot. Itu tak menjadikan sebab kenapa ibu kena letakkan semua salah di atas bahunya!" bentak Lily.

"Kau dah pandai melawan? Kau melawan cakap aku sebab anak sial itukah? Kenapa dengan semua orang dalam rumah ini? Sudah kena jampi dengan budak itukah?" tanya Puan Wardah bagai dirasuk syaitan.

"Ibu, Lia rasa baik ibu berhenti tuduh kak Su bukan-bukan. Dia dah buat macam-macam untuk pulihkan keluarga kita seperti sediakala, sehingga sanggup keluar dari sini untuk puaskan hati ibu. Dia tak kacau ibu pun, kenapa ibu nak kacau hidup dia? Lia tak faham," jelas Camellia, hairan dengan sikap ibunya itu.

"Kau diam, Lia! Kau pun sama saja dengan ayah dan kakak kamu ini! Kalau dia tak wujud, tak adalah keluarganya mati, tak adalah ibu dengan ayah kau ini bercerai dan tak adalah adik kamu itu mati. Faham tak?" jawab Puan Wardah lagi.

"Apa yang terjadi bukan ditentukan oleh awak, saya mahupun Suraya, Wardah. Itu semua Allah punya kerja. Cakap kamu itu boleh tak serupa orang beriman sikit?" sampuk Encik Wahab, lembut tapi tegas.

"Sebab saya berimanlah, saya tak bunuh dia! Kalau saya ini tak ada iman, dah lama budak sial itu mati saya kerjakan!" jawab Puan Wardah, berang.

"Kalau betul awak masih beriman, apakah rukun iman keenam?" tanya Encik Wahab.

"Percaya pada Qada' dan Qadar," jawab Puan Wardah, perlahan.

"Apa itu Qada' dan Qadar?" tanya Encik Wahab lagi.

"Perkara yang sudah dan belum berlaku," jawab Puan Wardah dengan wajah yang merah akibat menahan marah dan malu.

"Tapi kata-kata awak ini menggambarkan awak ini beriman ataupun tidak? Tak payah jawab, simpan jawapan awak itu dalam hati awak. Awak tahu Wardah, awak memang tak bunuh Suraya, tapi awak dah bunuh dia dalam kepala awak itu dengan segala sumpah seranah yang awak taburkan pada dia. Hidup kita ini Wardah dan anak-anak ayah yang amat dikasihi, macam roda. Hari ini kita buat orang, esok Allah bayar tunai tahu? Boleh jadi suatu hari nanti Allah akan bayar kata-kata awak hari ini dengan sesuatu kelak. Saya tak doakan, tapi saya takut perkara itu berlaku kerana kegagalan saya mendidik anak dan isteri saya," terang Encik Wahab dengan air mata yang mengalir.

Melihat respon Encik Wahab, Puan Wardah terkelu. Sepanjang perkahwinan mereka, belum pernah sekalipun suaminya itu mengalirkan air mata di hadapannya. Puan Wardah berjalan menuju ke arah Encik Wahab lalu mencapai tangan lelaki itu sebelum menciumnya.

"Wardah minta ampun, abang. Wardah sedar Wardah silap," ujar Wardah lalu menangis.

"Bukan pada abang yang patut Wardah minta ampun tapi pada Allah dan pada Suraya," jawab Encik Wahab sebelum menarik Puan Wardah ke dalam pelukan.

"Wardah tak kuat, abang. Wardah malu," jawab Puan Wardah.

"Tak apa, perlahan-lahan," jawab Encik Wahab sambil mengusap-usap belakang isterinya.

Lily hanya melihat semuanya dengan harapan ibunya akan berhenti menjodohkannya dengan Muhaimin, lelaki yang telah memilih Suraya untuk dijadikan isteri itu. Baginya, Suraya harus keluar dari keluarganya cara baik. Bukan dihalau atau disumpah, tetapi dengan perkahwinan.

     *     *     *     *     *

"Kau orang berdua ini kenapa?" tanya Rashdan yang sedang menghirup air teh ais yang dipesannya tadi. Runsing kepalanya melihat wajah suram dua orang kawannya itu.

"Aku tengok mak ayah aku bergaduh sebab minah ini semalam. Murung aku dibuatnya," jawab Lily, lemah.

"Kau pula kenapa?" tanya Rashdan kepada Suraya yang duduk bersebelahan dengan Lily itu.

"Aku rasa Haziq itu sesuatu sangat perangainya. Takkan dia dah tahu aku suka dia kot?" ujar Suraya, hairan.

"Kenapa dengan dia?" tanya Rashdan lagi.

"Dia layan aku acuh tak acuh saja. Tak seperti sebelum ini. Sepatah aku tanya, sepatah jugalah dia jawab. Aku ada buat salahkah?" luah Suraya.

"Kau tak tanya dia?" tanya Lily pula.

"Sudah, tapi tak ada jawapan. Dia buat senyap saja, kadang-kadang dia tukar topik," jawab Suraya.

"Aku rasa dia masih belum bersedia untuk jawab soalan kau itu. Kau bagi dia masa, in shaa Allah semuanya akan kembali pulih nanti," ujar Rashdan sambil tersenyum nipis.

"Alahai, kalaulah aku berterus-terang tentang perasaan aku pada kau 12 tahun lepas dulu, mungkin hubungan kita tak jadi begini bukan?" tanya Suraya membuatkan Lily dan Rashdan sama-sama terkedu. Keduanya tahu soalan itu dituju kepada Rashdan.

Lily hanya mampu mengeluh, dia tahu 12 tahun lepas Rashdan dan Suraya saling sayang-menyayangi tetapi Allah sudah tetapkan mereka berdua tiada jodoh. Suraya berpindah rumah tanpa menjawab pengakuan cinta Rashdan itu dan akhirnya mereka terputus hubungan. Tatkala mereka berdua bertemu semula 2 tahun lepas, Rashdan baru sahaja berkahwin dengan Zalikha, gadis yang dikenalinya di tempat kerjanya.

"Apa kau merepek ini, Su? Benda sudah lepas bukan?" tanya Lily lagi.

"Kenapa kau tak cari aku dulu?" tanya Suraya tanpa menjawab soalan Lily tadi. Rashdan hanya mampu menelan air liur kerana dia tahu dia harus menjawab soalan Suraya ini.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, August 27, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 1

Suraya sedang menaip laporan yang disuruh oleh majikannya apabila seorang lelaki mendekatinya. Melihat kehadiran lelaki itu, Suraya mula membuat muka masam tanda protes dengan kehadiran lelaki tersebut.


"Amboi, Suraya! Awak sambut kedatangan saya dengan wajah yang paling manis di dunia ya? How sweet of you!" sindir lelaki itu.

Sindiran lelaki itu membuatkan Suraya tidak lagi mempamerkan wajah masamnya itu. Dia memilih untuk tidak mempamerkan apa-apa ekspresi wajah bagi menyembunyikan perasaan menyampahnya terhadap lelaki itu. Malas hendak bertegang urat dengan lelaki itu, bukannya menang pun!

"Laporan untuk Rekabina Holdings dah siap?" tanya Haziq, lelaki yang sedari tadi berada di hadapan Suraya itu.

"Sudah, ada atas meja encik. Oh ya, tadi Puan Penny ada call. Dia dah set appointment untuk jumpa encik esok jam 3 petang," jawab Suraya, masih mengekalkan wajah tanpa ekspresi itu.

"Baiklah, nanti saya tengok. Tentang Puan Penny, nanti hantarkan pengesahan temu janji jam 3 petang esok. Ada apa-apa lagi?" tanya Haziq lagi.

"Tempat untuk team building bulan depan sudah ditetapkan. Kita akan buat di Taman Botani Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam memandangkan bajet kita tahun ini kurang. Saya dah dapatkan kelulusan encik Tarmizi, hanya encik sahaja yang belum luluskan. Dokumen tentang itu ada di atas meja encik juga," terang Suraya lagi.

Suraya merupakan pembantu peribadi Haziq di agensi perkhidmatan kaunseling milik Haziq bin Datuk Muhsin dan Ahmad Tarmizi bin Abdul Karim itu. Sudah tiga tahun dia berkhidmat di bawah seliaan Haziq, meskipun kadangkala lelaki itu suka mencari gaduh dengannya, tetapi lelaki itu juga seorang yang sangat bertimbangrasa. Tidak ada seharipun cutinya ditolak oleh lelaki itu, malah adakalanya ketika dia ditimpa masalah, lelaki itu pasti akan tampil memberikan bantuan. Itulah yang membuatkan hati Suraya mula bertaut terhadap majikannya sendiri.

"Suraya Hani binti Abdul Wahid, awak mengelamun apa?" tanya Haziq apabila menyedari responnya tidak diendahkan oleh pembantu peribadinya itu.

Pertanyaan Haziq itu membuatkan Suraya terkejut lalu memandang Haziq.

"Apa dia, encik?" tanya Suraya sambil tersengih.

"Awak ini, Suraya! Suka mengelamun bila saya tengah bercakap. Saya tanya, kaunselor yang lain berapa ramai yang akan hadir termasuklah kaunselor sambilan?" tanya Haziq, geram dengan respon Suraya itu.

"Kaunselor tetap yang akan hadir, kalau termasuk encik, lima. Kaunselor jemputan, sepuluh."

"Siapa kaunselor jemputan yang tak dapat hadir itu?"

"Puan Hasnah dan Dato' Salleh. Puan Hasnah ada kenduri kahwin anaknya manakala Dato' Salleh pula ada urusan di luar negara."

"Baiklah, kalau begitu kita teruskan dengan rancangan asal. Staf pula ada berapa orang yang akan hadir?" tanya Haziq lagi.

"Pengurusan, semua akan hadir. Staf sokongan, hanya Liyana yang tidak hadir."

"Liyana itu memanglah, dia cuti bersalin bukan? Awak ini buat hal betullah!"

Mendengar respon Haziq, Suraya hanya mampu tersengih serupa kerang busuk.

"Baik, kalau begitu awak sudah boleh keluarkan memo pada semua staf tentang ini."

"Baik, encik. Ada apa-apa lagi yang encik perlukan?" tanya Suraya, masih tersenyum.

"Alahai, dia bantai senyumlah pula! Jangan cair, Haziq!" getus hati kecil Haziq tatkala melihat senyuman manis Suraya itu.

"Tak ada, awak boleh sambung kerja. Eh, kejap! Tolong buatkan saya kopi. Saya mengantuk ini," pinta Haziq lalu masuk ke dalam biliknya yang terletak bersebelahan dengan meja tempat Suraya duduk.

Suraya hanya memandang kepergian Haziq dengan perasaan sebal. Entah mengapa, sejak ketemu Haziq, dia sangat bencikan kopi sedangkan dulu dia tak mampu bertahan jika sehari tidak minum kopi walau secawan.

     *     *     *     *     *

Lily sedang tidur di dalam biliknya apabila dia terdengar bunyi pintu rumahnya dihempas bagai nak pecah. Bunyi itu sungguh tidak asing lagi baginya kerana itu petanda mood teman serumahnya yang juga sepupunya itu sangat tidak baik.

"Apa lagilah yang si Haziq ini buat pada minah ini?" ngomel Lily lalu bangun dan menuju keluar dari bilik.

Keluar saja dari bilik, dia dapat melihat teman serumahnya sedang berbaring di atas sofa rumah mereka. Lily memandang ke arah jam dinding yang terletak di atas televisyen. Sudah jam sembilan malam, jadi sudah hampir lima jam dia tertidur. Lebur solat Maghribnya.

"Apa lagi kau ini, minah? Sikit lagi aku rasa pecah pintu rumah kita ini," tanya Lily, sinis.

"Kau jangan nak bagi aku marah, minah! Hati aku dah sakit sangat ini," jawab Suraya yang baru sahaja menanggalkan selendang yang membaluti kepalanya. Rimas pula rasanya memakai selendang itu selama 11 jam.

"Haziq buat apa lagi kat kau?" tanya Lily lagi.

"Pasal kopi pun nak cari gaduh dengan aku, geram betul aku! Makin meluap-luap benci aku kat dia ni," jawab Suraya, bengang.

"Eleh, kau! Depan dia, tak berani pula kau nak mengomel begini. Belakang dia saja kau beriya. Kau suka dia ya?" duga Lily sambil tersenyum sinis.

Suraya menelan air liur. Sangkaannya perasaannya sejak dua tahun lepas tidak dapat dihidu. Nampaknya rahsianya sudah mula terbongkar.

"Kau tak payah fikir sangatlah! Aku dah lama perasan kau sukakan dia. Sengaja aku tak nak tegur, sebab aku ni sepupu kau. Aku tahu sangat kau mesti akan cepat panik punya kalau sesiapa tahu perasaan kau. Dulu dengan Khairul pun begitu juga. Sampaikan aku kena jadi posmen tak bergaji kau!" terang Lily sambil tersengih.

Mendengar penjelasan Lily, Suraya bertindak mencapai kusyen yang terletak di kakinya lalu membaling ke arah Lily. Namun, kusyen tersebut berjaya ditangkap oleh Lily lalu dia membawa kusyen tersebut duduk di sofa berhampiran tempat Suraya berbaring.

"Sudahlah tu, aku takkan sebut soal hati dan perasaan kau lagi. Aku tahu kau takut kena reject lagi kan?" tanya Lily, cuba menenangkan hati Suraya.

Suraya hanya mengangguk lemah. Malas untuk dia berbicara soal cinta selepas dia ditolak mentah-mentah oleh lelaki yang pernah disukainya dulu. Bertahun-tahun dia ambil masa untuk lupakan lelaki itu. Andai dia tidak bertemu dengan Haziq, entah berapa lama lagi yang harus dia ambil masa untuk lupakan semuanya.

"Oh ya, ayah tanya bila kau nak balik rumah?" tanya Lily, memecah kesunyian setelah beberapa ketika dia melihat tiada respon dari Suraya.

"Tengoklah nanti," jawab Suraya, hambar.

"Kau masih marahkan ibu aku ke?" tanya Lily.

"Tak adalah marah, aku cuma terkilan. Aku bersusah-payah pujuk ayah supaya nikah semula dengan ibu kau, aku sangkakan bila ayah setuju semuanya akan pulih."

"Kau cuma tak sangka yang ibu masih salahkan kau atas penceraian mereka?" tanya Lily lagi.

Suraya mengangguk. Dia tak mahu berterus-terang tentang perbualannya bersama ibu Lily yang membuatkan dia membungkus kain bajunya dan keluar dari rumah pakcik dan makciknya seawal jam 3 pagi hujung tahun lepas.

"Ibu tak salahkan kau, dia cuma berangin sahaja ketika itu. Janganlah kau nak hukum diri kau atas sebab ini. Sudahlah raya tahun ini kau tak balik raya, atas alasan kau kerja padahal sedap saja kau pergi bercuti ke Phuket," jelas Lily lagi.

"Aku tak nak keruhkan keadaan. Lagipun, aku sudah dewasa, boleh jaga diri aku sendiri. Tak perlu nak kena ada penjaga untuk jaga aku. Kau tak tahu berapa dalam perasaan bersalah aku yang aku tanggung selama ini kerana pecah-belahkan keluarga kau. Kalau aku tak muncul, ibu kau dengan ayah takkan bercerai dan adik kau takkan..."

"Sudah! Itu semua Qada' dan Qadar, Allah dah tuliskan begitu, pasti ada hikmahnya," potong Lily, pantas.

Suraya hanya mendiamkan diri. Dia tahu Lily takkan suka jika masa lalu diungkit sehingga ke arah itu. Namun begitu, itulah yang ditanggungnya selama ini. Peristiwa itulah yang kerapkali disebut-sebut oleh makciknya sehingga ke perbualan terakhirnya bersama ibu Lily itu.

     *     *     *     *     *

"Kau ingat kau dah satukan aku dengan laki aku, aku akan terima kau dalam hidup aku? Kalau itu yang kau fikir, Suraya, kau silap. Aku takkan sesekali terima kau dalam hidup aku, faham?" jerkah Puan Wardah sebaik sahaja masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama Lily itu.

"Saya tak minta Mak Ngah terima saya, cukuplah Mak Ngah maafkan saya kerana jadi sebab Mak Ngah dengan ayah bercerai," jawab Suraya, dengan air mata yang ditahan.

"Apa? Ayah? Gelilah aku dengar! Kau boleh panggil ayah kepada orang yang kau bunuh itu ayah? Manusia jenis apa kau ini? Jangan-jangan kau bunuh anak aku sebab nak gantikan dia tak? Eh, sedarlah diri itu sikit! Kau itu anak yatim piatu, kaulah punca mak ayah dan adik-beradik kau mati kan? Selepas itu, kau jangkitkan sial kau itu pada keluarga aku pula!"

"Kalau Mak Ngah dah jijik sangat dengan saya, cakap sajalah. Tak perlu nak babitkan keluarga saya dalam hal ini," jawab Suraya, sebak. Air mata yang ditahan sedari tadi itu mula mengalir.

"Memang aku jijik! Aku nak kau berambus dari rumah ini! Kau tak pernah dan takkan ada tempat dalam rumah ini! Kau keluar sekarang!" jerit Puan Wardah bagai dirasuk syaitan membuatkan Encik Wahab, suami kepada Puan Wardah masuk ke dalam bilik tersebut.

"Apa semua ini?" tanya Encik Wahab tatkala melihat Puan Wardah sebegitu.

"Ini, anak sial ini! Kenapa abang bawa dia balik?" tanya Puan Wardah.

Pertanyaan Puan Wardah yang dianggap kurang ajar itu telah membuatkan Encik Wahab menampar isterinya di hadapan anak saudaranya itu.

"Abang tampar saya? Demi anak sial ini, abang tampar saya?" tanya Puan Wardah, geram diperlakukan begitu.

"Kau lagi sekali panggil dia anak sial, aku..."

"Ayah! Cukup sekali saja ayah buat begitu pada Mak Ngah, jangan sebab Su ayah buat lagi. Tak apa ayah, Su keluar dari rumah ini. Lagipun, Su bukannya budak tadika yang nak kena bela, nak kena bagi makan. Lily dan Camellia perlukan ayah, malah mereka lebih berhak ke atas ayah daripada Su," ujar Suraya sambil mengemaskan pakaian dan barangan peribadinya untuk dimasukkan ke dalam beg pakaian miliknya.

"Su nak ke mana pagi-pagi buta ini? Bahaya. Sekurang-kurangnya tunggu sampai lepas Subuh," jawab Encik Wahab, bimbang akan keselamatan anak saudaranya itu.

"Su dah hubungi Rashdan tadi, dia dalam perjalanan nak jemput Su," jelas Suraya yang masih lagi mengemaskan barangannya.

"Kenapa susahkan Rashdan? Ayah pun boleh hantarkan," ujar Encik Wahab.

"Abang jangan nak mengada! Dia sudah ada jantan yang nak jemput, biarlah! Untung-untung boleh bawa balik rumah, ajak tidur sekali!" jerkah Puan Wardah, menyampuk.

"Elok sangatlah perangai awak itu, Wardah! Ataupun awak pernah buat begitu sepanjang kita bercerai?" sindir Encik Wahab yang membuatkan Puan Wardah terkesima.

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com