Part sebelumnya:
Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
*****
"Kenapa?" tanya Dora pula.
"Sebab kau selalu salahkan diri kau. Sebelum kau maafkan orang lain, kau kena maafkan diri kau dulu," jawab Zaidah, tenang.
"Kau jumpa Zaini 6 bulan lepas kau putus dengan Hez dulu, bolehlah cerita."
"Tapi waktu aku putus dengan Fakrul dulu, aku patah hati sekali dengan kau dan Amy bukan? Lupa? Aku putus dengan Fakrul, Amy putus dengan Wan tapi kau sudah lama putus pun join sekaki."
Dora terdiam. Dia baru tersedar hakikat itu.
"Kau berhak untuk dapat yang lebih baik, bukan lelaki tak guna seperti itu," jelas Zaidah.
"Kau tahu, kadang-kadang aku cemburu dengan Amy. Ramai lelaki mahukan dia, sampai ada yang sanggup buat apa saja untuk memilikinya."
"Kau pasti itu adalah perkara yang menguntungkannya? Kau tengok dia betul-betul, dia gembirakah?" tanya Zaidah.
"Sekurang-kurangnya orang yang dia sayang, sayangkannya."
"Siapa? Wan? Atau sir Syafiq?" tanya Zaidah, tercengang.
"Kau rasa?" tanya Dora.
"Tak mungkin dia sayangkan sir Syafiq, jadi Wankah?" teka Zaidah.
"Terpulang kau nak fikir yang mana," ngelat Dora.
"Kau ini saja bukan? Suka cerita tak habis," ujar Zaidah sambil membaling kusyen ke arah Dora.
Dora tidak menjawab, sebaliknya hanya tertawa riang.
* * * * *
"Amy, boleh aku cakap sikit tak?" tanya Raisha, memecah kesunyian selepas melihat Amelia diam seribu bahasa.
"Apa dia?" tanya Amelia.
"Kau dengan sir Syafiq tak ada apa-apa hubungankah? Aku tengok dia sayang sangat pada kau, sampai sanggup bagi upah double daripada bayaran Grab, siap belanja makan sekali hanya untuk aku berjumpa dengan kau. Kau tak rasakah perasaan dia itu?" tanya Raisha, hairan.
"Tak, biasa saja," bohong Amelia.
"Aku bukan apa, tengah tak ada siapa nakkan dia, kau terima sajalah. Jangan bila dia dah pilih orang lain nanti, kau sibuk pula tercari-cari dia," ujar Raisha.
"Ada saja orang nakkan dia, aku sudah berikan green light tapi dia yang lari dari orang itu. Aku pun kalau boleh nak dia bahagia, tapi bukan aku orangnya," jelas Amelia.
"Kenapa pula?" tanya Raisha, ingin tahu.
"Aku tak boleh berkahwin, kalau aku berkahwin, ada potensi untuk suami dan bakal anak aku meninggal muda. Kau tengok sajalah arwah suami aku dulu, tak sampai sehari kami bernikah, dia sudah meninggal dunia. Berminggu-minggu aku hadap ubat-ubatan, suntikan, tak ada orang tahu apa yang aku hadapi selama aku dalam wad. Naik mati jiwa aku bila aku asyik bergantung pada ubat penenang untuk kekal hidup. Tak ada orang faham semua itu. Tak juga sir Syafiq kau itu!" luah Amelia tanpa menyedari bahawasanya Syafiq berada di belakangnya, mendengar segala luahan hatinya.
Raisha menyedari kehadiran Syafiq itu, namun sengaja dibiarkan kerana lelaki itu perlu tahu apa yang wanita kesayangannya itu rasakan.
"Habis itu, apa sebenarnya perasaan kau? Apa yang ada dalam jiwa kau yang dah nak mati itu?" tanya Raisha lagi.
"Seseorang yang tidak layak untuk aku sebut namanya. Aku tak pernah rasa aku layak dan aku takkan pernah layak untuknya. Jadi, aku rasa aku nak terima lamaran bekas kekasih aku sebaik sahaja aku habis iddah. Aku tak nak sir terus-terusan mengharapkan aku ini," jelas Amelia sambil mengeluh.
Jawapan Amelia membuatkan Raisha yang berada di hadapan dan Syafiq yang berada di belakangnya terbungkam. Sehingga ke tahap itukah Amelia membenci hakikat yang Syafiq menyayanginya sepenuh hati? Apa tidak ada lagikah ruang untuk lelaki itu dalam hatinya?
* * * * *
Tiga bulan berlalu sejak kejadian di Pulau Pinang itu, semenjak itulah bermula zaman 'neraka dunia' buat Amelia.
Segala projek yang diketuai oleh Syafiq sendiri pasti akan diseliakan oleh Amelia. Setiap kerja Amelia pasti akan ada sesuatu yang tidak kena di mata Syafiq. Antaranya, kertas kerja tidak lengkap, bajet tidak rasional, kesalahan daripada subkontraktor, perancang majlis mahupun katering juga diletakkan di bahu Amelia.
Amelia memang sudah letih ingin melayan kerenah Syafiq, dia pernah menghilangkan diri selama seminggu akibat tertekan dengan Syafiq tetapi tiada tindakan diberikan ke atasnya atas alasan kesihatannya. Naik buntu Amelia hendak lari daripada 'neraka' yang Syafiq ciptakan buatnya. Akhirnya, dia mengalah dan menghadapinya dengan tenang.
Petang itu, sepatutnya dia bertemu dengan Redzuan untuk membincangkan tentang lamaran Redzuan tiga bulan lepas seperti yang dijanjikan. Akan tetapi, tiba-tiba malam itu Syafiq menyuruhnya menyiapkan kertas kerja projek baru yang ingin dikendalikannya dan mahu kertas kerja itu siap sebelum jam 10 pagi esok.
Maka, dia terpaksa membatalkan rancangannya dengan Redzuan dan menyiapkan kertas kerja itu secepat mungkin.
Pada mulanya, dia ingin menyiapkan kertas kerja itu di tempatnya tetapi Syafiq menyuruhnya untuk menyiapkannya di dalam biliknya kerana bimbangkan keselamatannya yang duduk bersendirian di luar.
Dengan berat hati, Amelia menurut sahaja permintaan Syafiq. Mujurlah Emily juga berada di dalam bilik tersebut bagi membincangkan projek kendalian wanita itu bersama Syafiq. Jadi, Amelia berasa lebih selesa kerana mereka bertiga di dalam bilik tersebut.
"Sudah tidur tuan puteri itu, tuan. Nak saya kejutkan dia?" ujar Emily yang kebetulan menoleh ke arah Amelia yang lena tidur itu.
"Biarkan saja dia, lagipun kertas kerja itu bukan mahu hantar esokpun. Hantar minggu depan. Sengaja saya takutkan dia," jelas Syafiq sambil menyambung kerjanya.
"Don't you think you will make her hate you this way? Tuan mendera fizikal, mental dan emosinya, tak kasihankah?" tanya Emily, hairan.
"She tried to make me hate her first, I just make her pay for it. Itu sahaja. Lagipun, saya dapat tahu dia nak terima lamaran lelaki lain malam ini. Saya jadi geram, sebab itulah saya buat begitu. Sudahlah dia sudah seminggu tidur tak menentu, jadi biarlah dia tidur," terang Syafiq sambil memandang ke arah Amelia yang masih tidur itu.
"Berapa lama sangatlah tuan dapat elak perkara itu daripada berlaku? Bukankah orang kata if he or she was meant for you, he or she will? Kenapa tak percaya pada takdir Tuhan?" tanya Emily.
Soalan Emily membuatkan Syafiq kaget. Ada benarnya kata-kata Emily itu, apa yang telah dia lakukan?
"Entahlah, Emily. Sejujurnya, saya takut kehilangannya. Sangat takut. Saya sudah hilang dia dua kali. Saya takut saya akan kehilangannya untuk kali ketiga."
"Mungkin Tuhan tak izinkan tuan memilikinya sekarang sebab belum masanya lagi atau tuan bukanlah untuknya. Percaya pada takdir Tuhan, Dia akan tunjukkan jalan. Cara tuan bercakap seperti orang tak ada iman."
Pedih rasanya hati Syafiq ditempelak Emily. Bagaimana seorang Kristian seperti Emily lebih utuh kepercayaannya kepada Tuhan sedangkan dia bukannya alim di dalam agamanya? Sedangkan dia yang seharusnya lebih percaya dengan Qada' dan Qadar Allah, boleh berkata seperti itu? Nampaknya dia harus memperbaiki keimanannya itu.
"Terima kasih, Emily," ujar Syafiq selepas lama mendiamkan diri.
"Untuk apa, tuan?"
"Kerana menyedarkan saya tentang takdir Tuhan."
"Ramai orang sebangsa saya yang selalu menyalahkan Tuhan apabila berlaku perkara buruk di dalam hidup mereka. Tapi saya yakin, dalam hidup kita harus ada keseimbangan. Macam Yin dan Yang. Mana mungkin semua yang berlaku dalam hidup kita sentiasa baik? Pasti akan ada perkara buruk yang berlaku. Itu harus untuk membuatkan kita lebih tabah dan kuat dalam meneruskan hidup," jelas Emily.
Syafiq hanya tersenyum. Semoga Allah mengurniakan hidayah buat Emily untuk memeluk Islam kerana dia tampak lebih beriman daripada dirinya yang bergelar Islam lahiriah.
* * * * *
Dora membuka pintu rumah setelah dia mendengar bunyi ketukan pada pintu rumahnya.
"Amy, kenapa tak buka kunci? Tak bawa ke?" tanya Dora setelah mendapati Amelia berada di luar rumahnya.
"Aku mamai lagi ini. Mengantuk, tak jumpa kunci dalam beg ini," ujar Amelia sebelum duduk di atas sofa di ruang tamu.
"Habis itu, kau balik naik apa tadi? Tak nampak pun kereta kau. Kenapa kau kata kau mamai?" tanya Dora, hairan.
"Aku kena stay back tadi, siapkan kertas kerja tapi aku tertidur. Bos aku kejutkan aku tadi, sudah jam 9.30 malam. Rupanya sudah 2 jam aku tertidur. Jadi, bos aku dengan tuan Syafiq tak bagi aku drive balik, jadi tuanlah hantar aku balik memandangkan dia saja yang tahu rumah aku di mana," sambung Amelia lagi.
"Aku rasalah, kau lebih banyak tidur di pejabat berbanding di rumah. Kau sedar tak?" tanya Dora lagi.
Soalan Dora kali ini membuatkan Amelia terfikir. Benar, setiap kali Syafiq menyuruhnya membuat kerja tambahan, pasti dia akan tertidur akibat keletihan. Akan tetapi, tiada siapapun mengejutkannya kecuali sebelum mereka semua pulang. Seolah-olah rakan-rakannya tidak dibenarkan untuk mengejutkannya. Apabila ditanya, semuanya mengeluarkan jawapan yang sama. Dia tidur begitu lena sehingga mereka semua berasa sayang untuk mengejutkannya.
"Aku pun rasa begitu. Bila aku tertidur, pasti tuanlah yang akan menghantarkan aku pulang. Aku perasan juga pattern yang ini," ujar Amelia, menyokong pendapat Dora.
"Jadi, kau masih nak terima lamaran Wan?" duga Dora sambil memandang Amelia, tajam.
*BERSAMBUNG*
No comments:
Post a Comment