Monday, October 30, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 43...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 43: Pernikahan Kedua

Hafizal baru sahaja tiba di tingkat lapan apabila Ayra berjalan mendapatkannya. Pagi tadi, dia menyuruh Pak Din menghantar Ayra ke pejabat dahulu sebelum membawanya ke Citrapura Holdings untuk perjumpaan bersama Datuk Dahlan bagi membincangkan tentang projek perumahan baru syarikat di mana Datuk Dahlan ingin melabur di dalam projek tersebut.

"Ada apa, Mel? tanya Hafizal, cemas melihat Ayra berkelakuan begitu.

"Bakal isteri baru abang datang, dia pergi tandas sebentar," bisik Ayra di telinga Hafizal.

Hafizal hanya mengangguk lemah. Sangkaannya Salwa takkan mencarinya di pejabat, tetapi semakin hampir tarikh pernikahan mereka, semakin kerap wanita itu bertandang di pejabatnya. Semalam dia hadir untuk mengajaknya mengambil ukuran baju nikah dan bersanding. Akibat daripada terlewat, mereka berdua bersetuju untuk menyewa pakaian sedia ada sahaja memandangkan sukar untuk pereka pakaian pengantin untuk menyiapkan pakaian dalam masa seminggu. Mujur Salwa tak mencetuskan isu tentangnya.

Apa pula agaknya yang ingin dia lakukan hari ini? Pening Hafizal memikirkan sebab untuk dia menolak ajakan minah senget itu hari ini.

Sedang Ayra dan Hafizal berjalan menuju ke meja Ayra, kedengaran bunyi tapak kasut tumit tinggi berjalan mendekati mereka berdua. Bunyi tersebut membuatkan keduanya berpaling lalu memandang wanita yang memakai gaun separas lutut berwarna hijau muda, dan kasut stiletto berwarna sedondon itu sambil tersenyum nipis.

"Sayang, you ke mana? Puas I tunggu!" tanya Salwa sambil memegang lengan Hafizal. Hafizal mula berasa tidak selesa, apatah lagi melihat Ayra yang melihat ke arah lengan mereka yang bertaut itu dengan wajah tanpa ekspresi. Sesungguhnya dia lebih takutkan isterinya jika wanita itu tidak memberikan sebarang ekspresi berbanding sebaliknya.

"I ada meeting dengan papa you, itupun tak boleh ke?" jawab Hafizal, sinis. Dia cuba melepaskan pautan Salwa pada lengannya tetapi semakin kuat pula pegangannya.

"Oh ya ke. Kau ini pula, kenapa masih di sini? Sibuk saja!" Salwa mula menerjah Ayra yang masih lagi berdiri di hadapan mereka.

"Maaflah kalau saya mengganggu, tapi tuan ada mesyuarat dengan Tan Sri Tengku lagi sepuluh minit," ujar Ayra sambil memandang jam tangan yang dibelikan oleh Hafizal semalam. Sengaja dia tayangkan jam berjenama Fossil itu bagi membuatkan Salwa bengang dengannya.

"Banyak duit kau nak beli jam tangan mahal begitu? Oh ya, aku teringin nak tanya. Aku tak pernah tahu kau sudah berkahwin, tapi aku tengok orang dalam pejabat ini panggil kau puan dan perut kau pun sudah membesar. Bila kau menikah? Siapa suami kau?" tanya Salwa, terus terang.

Hafizal geli hati mendengar pertanyaan Salwa itu, lalu melihat ke arah isterinya yang sudahpun tersenyum lebar.

"Saya bernikah dengan CEO syarikat cik Salwa, suami saya yang berikan saya jam ini. Cantik bukan? Kalau cik nak, boleh suruh bakal suami cik ini tolong belikan," jawab Ayra sambil tersengih memandang Hafizal yang sudahpun merenung isterinya itu. Sakit pula hatinya mendengar kata-kata Ayra itu.

"Sayang, cantiklah jam dia! Boleh tak belikan I punya satu? Please, sayang..." pujuk Salwa sambil memandang wajah Hafizal sebelum Hafizal memandangnya pula.

"Boleh, sayang. Untuk you, bom atom pun I boleh beli!" jawab Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra. Sengaja ditekankan ayat keduanya itu bagi menyindir isterinya itu.

"Okay, we can go buy it now!" ujar Salwa, teruja.

Mendengar kata-kata Salwa, Ayra menepuk dahi. Hafizal pula hanya menggelengkan kepalanya.

"Not now, Salwa. I ada meeting dengan Tan Sri Tengku. You balik dulu, malam nanti I jemput you, kita pergi beli jam ini untuk letak atas dulang hantaran kita," arah Hafizal, lembut.

"Okay, sayang. See you tonight! Ayra, kau tolong tengok-tengokkan bakal suami aku! Pastikan tak ada perempuan yang nak goda dia. Aku tak nak ada madu lagi dua, cukuplah seorang," ujar Salwa sebelum beredar dari situ.

Hafizal dan Ayra hanya memerhatikan pemergian Salwa dengan senyuman sebelum keduanya ketawa besar apabila pintu lif yang dimasuki Salwa itu ditutup.

"Amboi, bukan main lembut lagi abang dengan dia ya? Kalau dengan Mel, bukan main lagi kuasa veto abang!" sindir Ayra sebelum beredar kembali menuju ke meja.

Hafizal pula terpinga-pinga sebelum berjalan menuju ke arah Ayra yang sedang memegang perutnya itu. Bukan main gembira lagi isterinya mengusap perutnya.

"Takkan cemburu kot? Mel tahu bukan abang cuma sayang Mel seorang?" tanya Hafizal sambil tersenyum nakal.

"Tahu, tapi cemburu itu harus kalau betul Mel sayang abang! Atau abang nak Mel tayang muka tanpa ekspresi itu?" tanya Ayra, ingin menguji.

Hafizal terkesima mendengar kata-kata Ayra itu. Mati akalnya kerana Ayra sudahpun mengetahui kelemahannya.

"Janganlah, sayang. Terima kasih sebab sudi cemburukan abang. Sudah, abang nak masuk ke dalam bilik. Nanti bila Tan Sri sudah sampai, maklumkan pada abang," ujar Hafizal sebelum memasuki bilik pejabatnya.

Entah mengapa dia merasakan Ayra sudah boleh dibawa bergurau dan tidak lagi hanya mengikut saja arahannya seperti dahulu. Mungkin juga pembawakan anak yang mengubahnya menjadi sebegitu. Namun, dia terfikir adakah kebahagiaan yang dia rasakan akan berubah setelah dia mengahwini Salwa?

     *     *     *     *     *

"Aku terima nikahnya Siti Salwa binti Dahlan dengan mas kahwinnya sepuluh ribu ringgit tunai," lafaz Hafizal bagi menjawab lafaz Ijab yang dilafazkan oleh Datuk Dahlan, wali kepada Salwa.

"Bagaimana, saksi? Sah?" tanya Tok Kadi yang menyaksi upacara akad nikah tersebut. Sekali lagi, Nazrin dan Khairul telah menjadi saksi pernikahan Hafizal kerana bagi Hafizal, lebih mudah jika mereka berdua kekal menjadi saksi pernikahan keduanya. Mujurlah keduanya bersetuju.

Namun begitu, dia berasa sedikit terkilan kerana Ayra tidak bersamanya pada hari ini. Ayra telah meminta izin untuk keluar sendirian kerana dia tak mahu menyaksikan pernikahan kedua suaminya. Terpaksa dia tunaikan permintaan isterinya itu kerana dia tahu hati wanita itu tetap terluka, namun dia perlu bernikah lagi satu untuk menyelamatkan maruah ibunya. Akan tetapi, dia telah menyuruh Apai memerhatikan Ayra dan memaklumkan pergerakan isterinya itu.

Selesai sahaja akad nikah dan sesi membatalkan wudhuk, Hafizal terus keluar menuju keluar masjid bagi menghirup udara segar. Dia berasa lemas dengan perhatian yang diberikan oleh para tetamu kepadanya. Almaklumlah, ketika dia bernikah dengan Ayra, dia tidak berpeluang merasai semua ini.

"Abang, boleh Mel minta sesuatu? Lagipun, esok abang akan bernikah dan kemudian terus ke Paris untuk berbulan madu selama seminggu. Jadi, Mel tak berpeluang melihat wajah abang selama seminggu," ujar Ayra, memecah kesunyian.

"Apa dia, sayang?" tanya Hafizal sambil mengusap perut Ayra. Kandungan Ayra yang telah mencecah 26 minggu itu sudah mula ketara walaupun semasa baring.

"Mel nak keluar mencari ketenangan pada hari pernikahan abang. Mel tak boleh hadiri pernikahan abang dengan Salwa. Mel minta maaf," ujar Ayra.

Hafizal memandang wajah isterinya. Isteri tidak menunjukkan sebarang ekspresi.
Jadi, mengapakah isterinya membuat permintaan begini?

"Kenapa pula?" tanya Hafizal, tidak mengerti.

"Mel tak boleh, Mel minta maaf. Kalau abang nak suruh Apai ikut Mel pun Mel tak kisah. Asalkan Mel keluar sendirian," pinta Ayra dengan pandangan penuh harapan.

Hafizal kalah dengan pandangan minta simpati yang diberikan oleh Ayra. Sempat lagi dia mengeluh sebelum memberikan jawapannya.

"Baiklah, tapi abang akan suruh Apai ikut sayang," jawab Hafizal.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya memeluk Hafizal tanda dia gembira dengan keizinan yang diberikan oleh Hafizal.

"Apa ini, pengantin duduk di luar? Kau kenapa, Izal? Tak sihat ke?" tanya Khairul, bimbang dengan keadaan Hafizal yang nampak resah.

"Aku rasa tak sedap hatilah, macam ada yang tak kena. Aku bimbangkan Ayra," jawab Hafizal.

"Oh ya, bila kau cakap, baru aku perasan. Ayra mana?" tanya Nazrin kepada Hafizal yang sedang menghubungi seseorang.

"Hello, Apai. Kau di mana?" tanya Hafizal setelah Apai menjawab panggilannya. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Nazrin tadi.

"Hello, bos. Saya di MRR2 ini, puan kemalangan. Berhampiran dengan TBS," jawab Apai di hujung talian.

"Ya Allah, dia macam mana?" tanya Hafizal, cemas.

"Dia pengsan ini, barangkali kerana terkejut tapi dia tak ada sebarang kecederaan luaran. Saya baru sahaja masukkan dia ke dalam kereta untuk dibawa ke Hospital Ampang. Apa-apa saya akan maklumkan pada bos," jawab Apai.

"Baiklah, roger and out," ujar Hafizal sebelum mematikan panggilan telefon.

"Naz, Kay, aku nak minta jasa baik kau orang berdua. Tolong hantar aku ke Hospital Ampang. Ayra kemalangan, dia dalam perjalanan ke hospital. Dia tak ada waris terdekat lain selain daripada aku," rayu Hafizal kepada Nazrin dan Khairul yang saling berpandangan itu.

Lama mereka berdua berfikir sebelum akhirnya mengangguk setuju. Mereka bertiga baru sahaja hendak melangkah apabila ada suara yang menghalang pergerakan mereka.

"Nak ke mana itu, Megat Hafizal?" tanya Puan Sri Halimatun, cuba menghalang tiga sekawan itu daripada meninggalkan majlis.

"Ijal ke hospital sebentar, nanti sebelum majlis resepsi malam nanti, Ijal ke hotel. Isteri Ijal kemalangan," jawab Hafizal lalu berpaling memandang ibunya bagi meraih simpati.

Hafizal dapat melihat wajah ibunya yang serba salah itu. Lebih-lebih lagi setelah perkarangan masjid itu tiba-tiba riuh dengan suara-suara umpatan orang akibat daripada kata-kata Hafizal tadi.

"Pergilah, daddy izinkan. Ingat, daddy nak Ijal maklumkan pada daddy tentang keadaannya. Malam nanti sebelum Ijal ke hotel, daddy akan suruh mak dengan ayah kamu temankan dia," jawab Tan Sri Mustaqim lalu tersenyum nipis.

Dia kenal benar ayahnya itu. Lelaki itu sentiasa tahu bagaimana hendak berdiplomasi, kerana itulah syarikatnya ambil masa yang singkat untuk berkembang pesat.

"Terima kasih, daddy. Ijal pergi dulu," ujar Hafizal lalu berpaling untuk meneruskan langkahnya.

"Siapa berikan you hak untuk  keluar dari majlis kita?" tanya Salwa yang berbusana putih dan dipenuhi dengan manik-manik berwarna krim, dilengkapi dengan selendang berwarna krim.

Pertanyaan Salwa membuatkan Hafizal tidak jadi untuk berpaling. Dia memandang wanita itu dengan perasaan yang bengang.

"Apa pula hak you nak halang I?" tanya Hafizal, sinis sebelum beredar meninggalkan majlis tersebut untuk berangkat ke hospital. Dia lebih bimbangkan isteri pertamanya, kerana wanita itu sedang mengandungkan zuriatnya.

*BERSAMBUNG*

Friday, October 27, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 42...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 42: Jangkitan

Sudah seminggu hidupnya dan Bob umpawa kaum Nomad setelah mereka berdua diisytiharkan sebagai pelarian. Dia dan Bob masih belum dapat dijejaki oleh anggota polis kerana keduanya terpaksa menyamar ketika berada di tempat awam. Sudah beberapa tempat mereka berdua berteduh sepanjang seminggu ini dari Kuala Lumpur, mereka bergerak menuju ke Sepang. Selepas berehat semalam, mereka menuju ke Port Dickson pula. Dua hari di sana, akhirnya mereka bergerak menuju ke Klebang, Melaka.

Bob dapat melihat kebelakangan ini Wafi sering batuk-batuk. Hatinya sudah mula bimbang andai majikannya dijangkiti penyakit yang sama seperti Qatrunnada. Puas dia memikirkan, akhirnya dia memberanikan diri bertanya kepada Wafi.

"Bos pernah buat pemeriksaan kesihatan tak?" tanya Bob, serba salah.

"Pernah, semasa belajar. Sejak itu, tak pernah lagi. Kenapa?" tanya Wafi yang hairan dengan pertanyaan Bob itu.

"Saya tengok bos selalu batuk-batuk, bos ini macam tak sihat saja," ujar Bob, mempamerkan wajah yang gelisah.

"Ala, sikit saja. Kau ini yang lain macam, kenapa banyak sangat tanya ini? Baik kau terus terang," jerkah Wafi, geram dengan sikap Bob itu.

"Sebenarnya, Qat sakit kronik. Jadi, saya lebih bimbangkan bos bila saya dapat tahu dia sakit, bukannya dia. Dia pun lebih bimbangkan bos, berbanding dirinya sendiri," ujar Bob sambil memandang Wafi dengan wajah yang resah.

Wafi bangun lalu menuju ke arah meja tulis yang terletak di sebelah kanan bilik itu. Dia mencapai air minuman yang disediakan lalu membuka botol itu dan meneguknya. Selepas itu, dia berjalan semula ke arah katil lalu memandang Bob dengan perasaan hairan.

"Aku tahulah Qat sakit, tapi kenapa kau orang kena risaukan aku? Bukannya Qat sakit AIDS pun sampai kena risaukan aku," bantah Wafi yang masih lagi berdiri.

Mendengar kata-kata Wafi, Bob mula berpeluh. Wajahnya yang pucat menambahkan perasaan hairan di benak hati Wafi.

"Qat memang dijangkiti HIV, sebab itulah saya lebih bimbangkan bos. Bos pun sudah mula tak sihat," jawab Bob, tersekat-sekat.

Terduduk Wafi mendengar kata-kata Bob. Kenapa dia tak pernah tahu tentang penyakit yang dihidapi oleh Qatrunnada? Kenapa mesti dia tahu sekarang?

"Kenapa kau tak beritahu aku lebih awal, Bob?" jerit Wafi, berang.

"Saya disuruh untuk merahsiakan tentang ini oleh Qat, tapi keadaan bos membuatkan saya tak boleh menyimpan rahsia ini lagi. Saya minta maaf," ujar Bob, takut.

"Kau tahu bukan aku sudah banyak terlanjur dengan dia? Kemungkinan aku ada penyakit itu, atau aku pembawanya jauh lebih tinggi!"

Bob memilih untuk berdiam, memandangkan dia tahu sudah pasti Wafi perlu bertenang terlebih dahulu. Dia hanya melihat sahaja Wafi yang membaling semua barang-barangnya ke lantai akibat terlalu marah.

Setelah beberapa ketika, Wafi akhirnya duduk semula di atas katil lalu menekup mukanya.

"Esok kita pergi buat ujian HIV, aku sudah tak peduli lagi kalau aku ditangkap polis kerana itu," jawab Wafi, lemah.

"Tak apa, bos. Saya ada caranya. Cuma, bos kena tunggu dalam tiga hari sebelum bos boleh buat ujian HIV," ujar Bob. Wafi hanya mengangguk mendengar kata-kata Bob kerana dia sendiri terlalu penat untuk berfikir sekarang.

      *     *     *     *      *

"Duduk, encik Shahid. Saya sudah menerima keputusan ujian darah encik. Sebelum itu, boleh saya tanya beberapa soalan? Saya harap encik dapat menjawab dengan jujur," terang Dr. Ong setelah Wafi duduk di hadapannya.

Wafi telah membuat ujian HIV dengan menggunakan nama palsu. Ini bagi mengelakkan dirinya dikesan oleh pihak berkuasa. Dia juga telah memakai kaca mata dan misai palsu bagi mengaburi mata orang.

"Apa dia, doktor?" tanya Wafi.

"Encik Shahid ada mengambil dadah dan berkongsi jarum suntikan?" tanya Dr. Ong.

"Tiada."

"Encik Shahid ada melakukan seks rambang atau bertukar-tukar pasangan?" tanya Dr. Ong lagi.

Lama Wafi mendiamkan diri sebelum dia akhirnya mengangguk sebagai jawapan kepada soalan itu.

"Sudah lamakah encik mempunyai gaya hidup sebegini?" tanya Dr. Ong.

"Dalam dua tahun. Kenapa doktor?" tanya Wafi pula.

"Oh begitu. Begini encik, keputusan ujian darah encik mendapati bahawa encik telah dijangkiti virus HIV, berkemungkinan besar dari salah seorang wanita yang encik tiduri. Saya harap encik dapat menerima semua ini dan menjalani rawatan agar kita dapat memanjangkan hayat encik."

"Apa yang patut saya lakukan sekarang?" tanya Wafi.

"Saya akan menguruskan sesi kaunseling kepada Encik Shahid bagi membincangkan tentang keputusan ujian ini dengan lebih jelas, kaedah pencegahan daripada menjangkiti orang lain, dan juga kaedah rawatan. Sekiranya Encik Shahid berasa tak sihat, saya sarankan Encik Shahid pergi ke hospital terdekat untuk rawatan khusus."

Wafi cuba menghadam apa yang diterangkan oleh Dr. Ong itu, namun mindanya seakan menolaknya. Dia mula menyesali apa yang telah berlaku kepada dirinya, namun dia harus menerima bahawa semua ini berlaku adalah kerana salahnya juga.

"Berapa lama masa yang saya ada?" tanya Wafi, ingin tahu.

"Memandangkan virus ini nampaknya baru, dengan penjagaan rapi dan rawatan yang betul, encik masih boleh bertahan lebih daripada sepuluh tahun. Itu hanya ramalan, semuanya bergantung kepada keazaman diri encik untuk berlawan juga," jelas Dr. Ong.

"Baiklah, doktor. Saya ikut saja arahan doktor," jawab Wafi. Sesungguhnya dia tak mahu memikirkan tentang semua ini sekarang. Kepalanya serabut, memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan diri. Kini, dia perlu memikirkan tentang kesihatannya juga. Bagaimanakah penerimaan keluarganya tentang semua ini?

      *     *      *      *      *

Sedar tak sedar, sudah hampir tiga bulan Wafi dan Bob melarikan diri dari cengkaman polis. Ini adalah kerana kesihatan Wafi yang kian merosot itu telah membuatkan badan lelaki itu mulai susut dan membuatkan wajahnya nampak cengkung. Oleh itu, wajahnya kelihatan seperti orang lain, tambahan pula dengan jambang yang sengaja disimpan bagi mengubah wajahnya.

Dia mendapat perkhabaran bahawa Ayra telah selamat melahirkan anak sulungnya minggu lepas. Namun begitu, tidak pula dia ketahui apakah jantina anak saudaranya itu memandangkan dia tak dapat mendekati keluarga tersebut kerana bimbang andai Hafizal ataupun Tan Sri Mustaqim menghubungi polis.

Akan tetapi, sejujurnya dia sudah tidak berdaya lagi untuk melarikan diri. Setiap hari dia memikirkan sama ada wajarkah untuk dia menyerah diri sahaja, namun sentiasa dihalang oleh Bob yang merasakan bahawa sia-sia andai mereka menyerah setelah berbulan-bulan lama menyembunyikan diri. Bagi Wafi pula, selama manalah seekor tupai mampu melompat tanpa sekalipun jatuh ke tanah? Lambat laun tupai itu pasti akan kepenatan dan akhirnya jatuh jua.

"Aku sudah fikir masak-masak, aku nak serah diri. Kalau kau tak mahu, kau larikan diri jauh-jauh. Aku takkan paksa," ujar Wafi yang sedang menuang air mineral ke dalam cawan miliknya. Mereka kini menetap di sebuah rumah yang disewa menggunakan identiti palsu Bob di Kuala Terengganu.

"Bos ini biar betul! Bos boleh dipenjara kalau bos serah diri. Saya tak kisah andai saya perlu menjalani hukuman penjara, saya sudah biasa tapi tidak bos," jawab Bob, bimbang.

"Aku sendiripun tak tahu sama ada aku boleh bertahan ataupun tidak hidup begini. Aku ini bukan sihat lagi, Bob. Lambat laun pasti aku hanya akan menjadi beban kau saja," terang Wafi, cuba meyakinkan Bob.

Bob tidak terus menjawab, sebaliknya dia hanya berdiam diri. Mungkin memikirkan sesuatu.

"Kalau begitu, baiklah. Kita serah diri," jawab Bob.

"Cuma, aku nak jumpa seseorang sebelum aku serah diri. Boleh tak?" tanya Wafi.

"Siapa, bos? Ayra? Hafizal?" tanya Bob sambil meneka jawapan yang mungkin diberikan oleh Wafi.

Wafi tidak menjawab soalan Bob, dia memilih untuk menatap wajah lelaki yang sudah menjadi pembantunya sejak dua tahun lepas. Lelaki itu sangat setia, membuatkan dia sangat sayangkan lelaki itu sehinggakan dia sanggup bergadai nyawa untuk pembantunya itu.

"Kenapa, bos? Ada benda yang mengganggu fikiran bos?" tanya Bob, hairan apabila melihat Wafi tidak menjawab soalannya.

"Terima kasih kerana setia dengan aku. Aku tak dapat nak balas jasa baik kau selama ini. Aku harap Tuhan akan memberikan belas kasihan-Nya kepada kau," jawab Wafi sambil tersenyum nipis.

"Saya tak layak untuk mendapat belas kasihan Tuhan, bos. Saya pun bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat untuk bos," jawab Bob sambil membalas senyumannya.

"Oh ya, aku nak jumpa Qat. Boleh kau uruskan itu?" tanya Wafi sambil memandang Bob.

Wajah Bob berubah apabila nama Qatrunnada disebut. Wafi berasa hairan dengan perubahan wajah Bob. Mengapakah reaksi Bob begini? Ada apa-apa yang berlaku pada Qatrunnadakah?

"Kenapa, Bob?" tanya Wafi, ingin tahu akan perubahan wajah Bob.

"Sebenarnya, bos... Qat..." jawab Bob tersekat-sekat sebelum dia mengeluh.

*BERSAMBUNG*

Kau Kunci Hatiku Bahagian 41...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 41: Yang Kotor Kembali Bersih

"Echa yang beritahu abang Ijal, daddy. Echa terpaksa," sampuk Ayra dari belakang membuatkan tiga beranak itu berpaling ke arah Ayra yang sedang berjalan menuju ke arah mereka sebelum memilih untuk duduk bersebelahan dengan Hafizal.

"Kenapa Echa beritahu Ijal? Bukankah Echa tak mahu buat Ijal susah hati?" tanya Tan Sri Mustaqim, hairan dengan tindakan menantunya itu.

"Betul, memang Echa tak mahu runsingkan kepala abang, lebih-lebih lagi apabila keluarga Salwa minta percepatkan perkahwinan abang dengannya tapi apa alasan yang Echa nak berikan jika abang suruh Echa pergi kerja? Dia tak tahu bahawa Echa sudah minta cuti tanpa gaji," jelas Ayra membuatkan Hafizal terpana.

"Mujurlah Wafi itu anak saudara daddy, kalau orang lain memang daddy sudah belasah cukup-cukup! Geram betul daddy dengan Wafi, sampai hati dia buat anak menantu daddy begini?" gumam Tan Sri Mustaqim.

"Cucu pun, daddy," jawab Ayra dan Hafizal, hampir serentak.

Mendengar respon Ayra dan Hafizal, kesemua mereka tertawa. Namun, tawa Ayra terhenti setelah Ayra memandang ke arah Hafizal. Rindunya dia pada pemilik wajah yang berada di sebelahnya itu. Kali terakhir mereka bersua muka adalah ketika Hafizal memberikan perintah berkurung kepadanya.

"Kenapa Mel pandang abang begitu?" tanya Hafizal.

"Tak ada, cuma nak pandang puas-puas sebab dua minggu lagi abang dah ada isteri baru," jawab Ayra, selamba. Dia tak mahu Hafizal terlupa tentang itu.

"Oh ya, bercakap tentang itu. Salwa tahukah Ijal di mana sepanjang lima bulan ini mummy?" tanya Hafizal kepada ibunya.

"Mahunya dia tak cari Ijal, sampai ke pejabat dia cari. Echa kata, mujur ketika dia datang ke pejabat itu, Wafi tiada di pejabat. Jadi, mudah sikit nak menipu. Kami semua mengatakan bahawa Ijal ada projek di London dan akan berada di sana selama beberapa bulan," jelas Puan Sri Halimatun.

"Bagaimana pula pernikahan ini boleh dipercepatkan?" tanya Hafizal lagi.

"Pihak perempuan yang minta ianya dipercepatkan, katanya Salwa sudah berusia 30 tahun. Jadi, dia ingin bernikah secepat mungkin memandangkan kamu berdua sudah mengenali satu sama lain," jawab Puan Sri Halimatun.

"Peliknya, tapi tak apalah. Lagipun, ini bukan kali pertama Ijal bernikah, jadi sijil kursus kahwin masih boleh digunakan. Cuma, ujian HIV kena buat semula kerana Ijal sudah enam bulan bernikah dengan Mel. Maka, keputusan ujian yang dahulu sudah tidak boleh digunakan. Jadi, yang tinggal hanyalah urusan kebenaran bernikah sahaja. Memandangkan Ijal memang lahir dan menetap di sini, jadi mudahlah. Bahagian Salwa, pandai-pandailah dia nanti," jelas Hafizal sambil tersenyum.

Ayra dapat merasakan tangan Hafizal mula menyentuh tangannya. Jika sebelum ini, dia pasti akan menepis setiap kali ianya berlaku, namun tidak kali ini. Sengaja dia membiarkan Hafizal melepaskan rindu dan dalam masa yang sama, dia juga ingin melepas rindu.

"Bos, Puan, Tan Sri, Puan Sri, jemput minum. Ini saya bancuhkan kopi, ada cucur ikan bilis sekali," ujar Fred dan Apai yang datang membawa dulang berisi teko, cawan dan sepiring cucur ikan bilis sebelum meletakkannya di atas meja kopi yang terletak di hadapan mereka berempat.

"Betulkah ini kamu berdua yang bancuh? Bukan Mel?" tanya Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra yang sedari tadi tunduk memandang kakinya yang mulai bengkak. Patutlah kakinya berasa sengal-sengal.

"Bukanlah, kalau kami tak datang tadi, mungkin puan yang akan bancuh air itu," jawab Fred, terus terang.

Ayra menyedari bahawa Hafizal sekali lagi menjeling ke arah Ayra. Sengaja Ayra mempamerkan wajah tanpa ekspresinya bagi menyakat suaminya. Padan muka lelaki itu tidak dapat membaca fikirannya.

"Bagus, kamu berdua bolehlah sambung makan di dapur itu. Terima kasih," ujar Hafizal sebelum melihat Fred dan Apai kembali ke dapur. Kemudian, dia mengambil seketul cucur dari dalam piring kuih itu lalu menyuakan cucur itu ke mulut Ayra. Melihat tindakannya, Ayra memandangnya dengan perasaan hairan terpancar pada wajahnya.

"Kenapa pula dengan suami aku ini?" tanya Ayra, dalam hatinya.

"Makanlah, Mel lapar bukan?" ujar Hafizal.

Ayra terpana. Bagaimanakah suaminya tahu bahawa dia sedang lapar? Tanpa berlengah, dia membuka mulutnya bagi memberi ruang pada suaminya untuk menyuapnya.

"Amboi, Ijal dengan Echa ini, romantik betul sampai tak nampak mummy dan daddy di sini," usik Tan Sri Mustaqim sambil tersenyum nakal.

"Apa daddy ini? Suap saja pun, takkan tak boleh kot?" tanya Hafizal, diiringi oleh senyuman.

Namun begitu, Ayra tidak membalas senyumannya. Dia tahu suaminya itu menghadiahkan senyuman itu buatnya buat penawar rindu, tetapi tidak semudah itu dia ingin membalasnya. Dia mahu boikot akibat kecewa suaminya tidak tidur bersamanya sejak mereka berdua dapat bersama semula. Dia hanya memandang wajah suaminya yang penuh dengan perasaan hairan itu.

     *     *     *     *     *

Ayra baru sahaja selesai memasak ayam masak kicap pedas, lauk kegemaran suaminya itu apabila loceng pintu rumahnya berbunyi. Baru sahaja dia ingin melangkah ke muka pintu, Mak Iti terlebih dahulu menegahnya daripada bergerak lalu menuju ke muka pintu rumah tersebut.

Tak lama kemudian, muncul kelibat Mak Iti dan Tan Sri Mustaqim di dapur membuatkan wajah Ayra berubah pucat. Dia tahu bapa mentuanya itu baru sahaja pulang dari Mustaqim Ventures kerana dia dikhabarkan bahawa pagi ini ada mesyuarat lembaga pengarah. Kehadirannya hanya diwakilkan oleh Hafizal memandangkan Hafizal merupakan proksinya kini.

Sangkaannya, Hafizal ada bersama Tan Sri Mustaqim tetapi dia akhirnya mampu menarik nafas lega apabila mendapati Tan Sri Mustaqim datang sendirian. Dengan segera dia berjalan ke arah bapa mentuanya lalu mencium tangan lelaki itu.

"Echa masak ke? Nanti kalau Ijal tahu Echa buat kerja rumah, mesti dia marah. Betul tak Kak Iti?" ujar Tan Sri Mustaqim sambil tersenyum nakal. Mak Iti dilihat hanya mengangguk lemah.

"Tak apa, Echa masak ayam masak kicap pedas, harap-harap dia terlupa tentang itu," jawab Ayra sambil membalas senyuman nakal bapa mentuanya.

"Pandai ya kamu masakkan lauk kegemarannya untuk buat dia lupa salah kamu?" duga Tan Sri Mustaqim sebelum mereka berdua tertawa.

"Oh ya, kenapa daddy datang ke rumah? Takkan datang nak jenguk Echa kot?" tanya Ayra, hairan dengan kedatangan lelaki itu ke rumahnya.

"Oh, terlupa pula! Ijal suruh kamu datang ke pejabat. Ada perjumpaan pekerja dan kamu diwajibkan hadir. Cepatlah siap, Ijal suruh kamu ke pejabat dengan daddy. Nanti kita balik bersama, kita jemput mummy, lepas itu kita balik sini semula. Mummy kamu mesti tak tolak masakan kamu punya!" ujar Tan Sri Mustaqim sambil mengangkat ibu jarinya ke atas.

Mendengar kata-kata bapa mentuanya, Ayra tersenyum lalu menuju ke tingkat atas. Terhibur pula dengan pujian lelaki itu. Siapa sangka orang kampung sepertinya dapat diterima sebagai menantu keluarga berada seperti keluarga Tan Sri Megat Mustaqim. Mujur dia masak lebih, jadi bolehlah dia menjamu kedua ibu bapa mentuanya itu malam nanti. Harap-harap itulah senjata terbaiknya bagi mengelakkan suaminya marahkan dia kerana memasak tadi.

     *     *      *     *     *

Setibanya Ayra dan Tan Sri Mustaqim di pejabat, kelihatan beberapa pasang mata memerhatikannya. Dia sama sekali tidak terkejut memandangkan dia hadir ke pejabat ditemani oleh Penasihat Mustaqim Ventures, sedangkan dia telah dituduh mengandungkan anak luar nikah hasil benih anak kepada lelaki itu.

"Kenapa, Echa? Echa rasa tak selesa mereka semua memandang Echa begitu?" tanya Tan Sri Mustaqim, seakan menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Ayra hanya mengangguk, membuatkan Tan Sri Mustaqim tersenyum.

"Biarkan mereka, mereka hanya cemburu. Mereka tak mampu menjadi menantu daddy, sebab Ijal sudahpun menikahi kamu. Orang cemburu memang begitu, sentiasa mencari alasan untuk menjatuhkan orang lain," pujuk Tan Sri Mustaqim.

Mendengar kata-kata Tan Sri Mustaqim, Ayra berasa lega. Begitu lembut kata-kata lelaki itu, terasa seperti sebuah pelukan hangat. Rindunya dia kepada arwah ayah.

Mereka berdua masuk ke dalam auditorium dan memilih untuk duduk di barisan hadapan sebelah kanan supaya mereka berdua tidak menjadi perhatian ramai. Tak lama selepas itu, Erni yang baru sahaja tiba mendekati mereka berdua lalu duduk di sebelah kanan Ayra manakala Hafizal yang masuk selepas Erni terus sahaja berjalan menuju ke arah pentas yang menempatkan podium bagi memulakan perjumpaan.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti yang anda semua sedia maklum, perjumpaan kali ini adalah untuk memaklumkan pertukaran CEO dan juga untuk menyelesaikan sebuah kes yang sudah tertunggak selama tiga bulan. Saya memohon maaf kerana telah mencuri sedikit masa anda semua sedangkan saya tahu anda semua sangat sibuk.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita bekas CEO kita, Encik Megat Wafi yang sedang diburu polis. Saya tidak mahu bercerita mengenai hal itu, namun saya ingin menyeru kepada anda semua agar berhenti membuat spekulasi tentang beliau. Selagi beliau belum disabitkan bersalah, saya tak mahu mendengar apa-apa komen atau pendapat mengenai perkara ini. Akan tetapi, syarikat ini masih memerlukan CEO bagi meneruskan operasinya. Jadi, sehubungan dengan ini, ahli lembaga pengarah telah membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Encik Wafi daripada jawatan CEO yang disandang beliau dan memilih saya sebagai pemangku CEO menggantikan beliau.

Satu lagi agenda kita pada petang ini, adalah untuk memperjelaskan berkenaan isu kehamilan salah seorang daripada staf kita yang didakwa mengandung anak luar nikah. Ini adalah kerana pernikahan staf tersebut tidak dilaporkan kepada bahagian sumber manusia, apatah lagi diwar-warkan kepada seluruh dunia. Maka, berdirinya saya di sini adalah untuk menjelaskan tentang perkara ini dan juga  meminta orang yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin ini untuk meminta maaf secara terbuka.

Memandangkan isu ini bukan isu baru, saya pasti sebahagian daripada staf syarikat ini sudahpun melupakan tentang perkara ini, lebih-lebih lagi kerana staf tersebut sedang bercuti panjang. Akan tetapi, sudah menjadi tanggung jawab saya untuk menjelaskan semuanya memandangkan saya adalah orang yang dikatakan menghamilkan staf tersebut tanpa sebarang ikatan pernikahan.

Jadi, saya, Megat Hafizal Megat Mustaqim ingin memohon maaf kepada isteri saya, Puan Ayra Melissa Mohd Elyas yang juga merupakan pembantu peribadi saya serta kepada seluruh warga Mustaqim Ventures di atas perselisihan faham yang terjadi," terang Hafizal panjang lebar.

Selepas ayat terakhir Hafizal, riuh rendah auditorium tempat perjumpaan itu diadakan dengan suara para pekerja bercakap antara satu sama lain. Ayra mula berasa sangat malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hafizal itu. Selama enam bulan lebih pernikahan mereka, tidak pernah sekalipun dia mendengar Hafizal menyebut dirinya sebagai isteri lelaki itu. Selalunya, hanya pembantu peribadi sahaja. Dia tidak sanggup untuk memandang Hafizal kerana pengumuman itu.

"Saya harap anda semua boleh memaafkan Ayra di atas perselisihan faham ini kerana semuanya berpunca daripada diri saya sendiri. Saya telah meminta isteri saya untuk merahsiakan pernikahannya di atas sebab-sebab tertentu dan ketika perkara ini berlaku, saya sedang berada di luar kawasan. Maka, saya sama sekali tidak menyangka bahawa isteri saya terpaksa menanggung segala beban bagi pihak saya selama khabar angin tersebar. Saya memohon maaf kepada beliau dan anda semua di atas permasalahan yang berlaku akibat daripada kekhilafan diri saya," sambung Hafizal lagi.

Ayra memandang Hafizal sebelum menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Dia merasakan inilah masa yang sesuai untuk berbaik dengan suaminya itu. Tambahan pula, semua orang sudah mengetahui status dirinya, maka tak manislah andai dirinya bermasam muka.

"Namun begitu, saya tidak boleh menerima sikap segelintir pekerja syarikat ini yang memilih untuk menyebarkan sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya. Jadi, saya ingin meminta pekerja itu sendiri datang ke hadapan bagi memohon maaf," jelas Hafizal sebelum kelibat Izreen berjalan menuju ke pentas auditorium dan akhirnya berdiri di sebelahnya.

Ayra tercengang melihat Izreen yang dengan beraninya berdiri di hadapan semua. Apakah yang sebenarnya dilakukan oleh Hafizal? Seluruh syarikat mengetahui Izreen tak mungkin akan mengakui kesilapannya. Mana mungkin dengan mudah dia tampil meminta maaf?

"Terima kasih Encik Hafizal. Saya tahu kesalahan saya terlalu besar untuk dimaafkan, kerana ianya sudah jatuh fitnah ke atas Ayra dan Encik Hafizal di atas perbuatan saya. Namun begitu, saya tetap ingin meminta maaf kepada Encik Hafizal, Ayra dan semua rakan sekerja di atas kesalahan yang saya lakukan. Peristiwa ini telah memberikan pengajaran hebat buat saya dan saya ingin berubah. Diharap anda semua dapat memaafkan dan mendoakan perubahan saya. Terima kasih," jelas Izreen sebelum turun semula menuju ke tempat duduknya.

Ayra tercengang, dia sama sekali tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun begitu, hatinya tahu dia perlu memaafkan. Tambahan pula, dia sudah melihat Hafizal memandang ke arahnya. Mungkin dia mahukan jawapan, jadi Ayra mengangguk sebagai tanda dia telah memaafkan Izreen atas kesilapannya.

"Terima kasih Izreen. Saya dan isteri saya telah memaafkan Izreen dan diharap anda semua dapat memaafkannya juga. Ingatlah, setiap manusia takkan terlepas daripada membuat kesilapan. Saya pernah silap, anda pernah silap, kita semua pernah silap dan menjadi tanggung jawab kita semua untuk memaafkan kerana kita tak punya hak untuk menghakimi sesama kita, hak itu milik Tuhan.

Jadi, saya harap isu ini akan berakhir di sini dan saya mohon anda semua mendoakan yang terbaik buat saya dan isteri saya. Saya juga berharap agar Puan Ayra dapat kembali bertugas di syarikat kita sebelum beliau cuti bersalin nanti kerana syarikat ini masih memerlukannya," pinta Hafizal sambil tersipu malu.

Tak semena-mena seluruh auditorium bersorak kepada Hafizal di atas keberanian meminta Ayra untuk bekerja semula di khalayak ramai. Ayra tahu tak mungkin dia dapat mengelak kali ini, akhirnya dia terpaksa mengalah.

"Baiklah, encik Hafizal. Bagi menunaikan permintaan awak, saya akan kembali bekerja esok," jawab Ayra, tiba-tiba.

Kedengaran bunyi tepukan seantero auditorium bagi meraikan kepulangan Hafizal dan Ayra ke syarikat itu semula. Bunyi tepukan itu membuatkan Ayra sangat malu, namun jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana pernikahannya dengan Hafizal diterima baik oleh pekerja syarikat. Akan tetapi, adakah rakan-rakan sekerjanya itu boleh menerima minah senget yang bakal menjadi madunya itu? Dia lebih bimbangkan itu.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, October 25, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 40...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 40: Arang Sudah Terpalit

"Echa yang beritahu abang Ijal, daddy. Echa terpaksa," sampuk Ayra dari belakang membuatkan tiga beranak itu berpaling ke arah Ayra yang sedang berjalan menuju ke arah mereka sebelum memilih untuk duduk bersebelahan dengan Hafizal.

"Kenapa Echa beritahu Ijal? Bukankah Echa tak mahu buat Ijal susah hati?" tanya Tan Sri Mustaqim, hairan dengan tindakan menantunya itu.

"Betul, memang Echa tak mahu runsingkan kepala abang, lebih-lebih lagi apabila keluarga Salwa minta percepatkan perkahwinan abang dengannya tapi apa alasan yang Echa nak berikan jika abang suruh Echa pergi kerja? Dia tak tahu bahawa Echa sudah minta cuti tanpa gaji," jelas Ayra membuatkan Hafizal terpana. Banyak betul yang dia tidak tahu selama dia dikurung oleh Wafi.

"Mujurlah Wafi itu anak saudara daddy, kalau orang lain memang daddy sudah belasah cukup-cukup! Geram betul daddy dengan Wafi, sampai hati dia buat anak menantu daddy begini?" gumam Tan Sri Mustaqim.

"Cucu pun, daddy," jawab Ayra dan Hafizal, hampir serentak.

Mendengar respon Ayra dan Hafizal, kesemua mereka tertawa. Namun, tawa Ayra terhenti membuatkan Hafizal memandang Ayra. Ayra sedang memandangnya, membuatkan dia mulai hairan.

"Kenapa Mel pandang abang begitu?" tanya Hafizal.

"Tak ada, cuma nak pandang puas-puas sebab dua minggu lagi abang dah ada isteri baru," jawab Ayra, selamba.

"Oh ya, bercakap tentang itu. Salwa tahukah Ijal di mana sepanjang lima bulan ini mummy?" tanya Hafizal kepada ibunya. Dia masih perlu mengambil tahu kesemua perkara yang dia sudah terlepas.

"Mahunya dia tak cari Ijal, sampai ke pejabat dia cari. Echa kata, mujur ketika dia datang ke pejabat itu, Wafi tiada di pejabat. Jadi, mudah sikit nak menipu. Kami semua mengatakan bahawa Ijal ada projek di London dan akan berada di sana selama beberapa bulan," jelas Puan Sri Halimatun.

"Bagaimana pula pernikahan ini boleh dipercepatkan?" tanya Hafizal lagi.

"Pihak perempuan yang minta ianya dipercepatkan, katanya Salwa sudah berusia 30 tahun. Jadi, dia ingin bernikah secepat mungkin memandangkan kamu berdua sudah mengenali satu sama lain," jawab Puan Sri Halimatun.

"Peliknya, tapi tak apalah. Lagipun, ini bukan kali pertama Ijal bernikah, jadi sijil kursus kahwin masih boleh digunakan. Cuma, ujian HIV kena buat semula kerana Ijal sudah enam bulan bernikah dengan Mel. Maka, keputusan ujian yang dahulu sudah tidak boleh digunakan. Jadi, yang tinggal hanyalah urusan kebenaran bernikah sahaja. Memandangkan Ijal memang lahir dan menetap di sini, jadi mudahlah. Bahagian Salwa, pandai-pandailah dia nanti," jelas Hafizal sambil tersenyum.

Tangannya cuba untuk memegang tangan Ayra, sangkaannya dia akan ditepis lagi kali ini. Akan tetapi, kali ini dia tidak ditolak kerana Ayra membiarkan sahaja Hafizal memegang tangannya. Jadi, ini amat menggembirakan bagi Hafizal.

"Bos, Puan, Tan Sri, Puan Sri, jemput minum. Ini saya bancuhkan kopi, ada cucur ikan bilis sekali," ujar Fred dan Apai yang datang membawa dulang berisi teko, cawan dan sepiring cucur ikan bilis sebelum meletakkannya di atas meja kopi yang terletak di hadapan mereka berempat.

"Betulkah ini kamu berdua yang bancuh? Bukan Mel?" tanya Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra yang sedari tadi tunduk memandang kakinya yang mulai bengkak.

"Bukanlah, kalau kami tak datang tadi, mungkin puan yang akan bancuh air itu," jawab Fred, terus terang.

Jawapan Fred membuatkan Hafizal sekali lagi menjeling ke arah Ayra. Ayra masih lagi mempamerkan wajah tanpa ekspresinya dan ini membuatkan hati Hafizal bertambah geram. Semakin lama, isterinya semakin hebat.

"Bagus, kamu berdua bolehlah sambung makan di dapur itu. Terima kasih," ujar Hafizal sebelum melihat Fred dan Apai kembali ke dapur. Kemudian, dia mengambil seketul cucur dari dalam piring kuih itu lalu menyuakan cucur itu ke mulut Ayra. Melihat tindakannya, Ayra memandangnya dengan perasaan hairan terpancar pada wajahnya.

"Makanlah, Mel lapar bukan?" ujar Hafizal yang membuatkan Ayra membuka mulut bagi memberi ruang kepada Hafizal untuk menyuapnya.

"Amboi, Ijal dengan Echa ini, romantik betul sampai tak nampak mummy dan daddy di sini," usik Tan Sri Mustaqim sambil tersenyum nakal.

"Apa daddy ini? Suap saja pun, takkan tak boleh kot?" tanya Hafizal, diiringi oleh senyuman. Sengaja dia menghadiahkan senyuman kerana dia tahu Ayra pasti sedang merinduinya kerana sudah hampir seminggu mereka tidak tidur bersama.

Namun begitu, Ayra tidak membalas senyumannya membuatkan dia bingung dengan kerenah isterinya itu. Apakah sebenarnya yang mengganggu fikiran Ayra?

     *     *     *     *     *

Pagi itu, Hafizal tiba di Mustaqim Ventures tanpa Ayra. Dia tak faham kenapa isterinya itu beria-ia mengingatkan bahawa wanita itu sedang dalam perintah berkurung, sedangkan dia sama sekali tidak kisah andai Ayra ingin bekerja. Bukannya dia tidak boleh mengawal isterinya itu, tetapi ternyata wanita begitu sukar difahami.

Dia menaiki lif menuju ke tingkat lapan. Wendy telahpun mengarahkan Erni untuk menggantikan Ayra untuk sementara waktu. Mudahlah baginya mengorek rahsia isterinya itu, fikirnya.

Setibanya dia di pejabatnya, Erni telah sedia menanti kehadirannya. Jadi, dia terus berjalan masuk ke dalam biliknya dan diikuti oleh Erni.

"Selamat kembali Encik Hafizal. Saya sudah kemaskan bilik encik dan saya perlukan arahan encik tentang barangan peribadi Encik Wafi. Ke manakah harus saya hantarkan?" ujar Erni sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Hafizal.

"Biarkan saja, nanti saya sendiri akan hantarkan barangan Encik Wafi di rumahnya. Hari ini saya ada apa-apa temu janji atau mesyuaratkah?" tanya Hafizal setelah memberikan jawapan kepada soalan Erni itu tadi.

"Hari ini Encik Hafizal cuma ada mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah pada jam sepuluh pagi. Tan Sri tak benarkan saya aturkan temu janji pada hari ini kerana dia ingin berikan ruang kepada Encik Hafizal untuk meneliti perkembangan syarikat," jelas Erni.

"Baiklah kalau begitu. Boleh saya tanya sesuatu?" tanya Hafizal lagi.

"Apa dia, Encik Hafizal?" tanya Erni pula.

"Siapa yang mulakan khabar angin tentang kandungan Ayra?" tanya Hafizal dengan riak wajah serius.

Mendengar soalan Hafizal, wajah Erni berubah pucat lesi. Hafizal merenung pemangku pembantu peribadinya itu kerana dia memerlukannya untuk memperbetulkan keadaan supaya isterinya boleh kembali bekerja.

"Erni, saya memang tiada di dalam syarikat sepanjang lima bulan ini, tetapi itu tidak bermakna saya tak tahu apa yang berlaku di dalam syarikat," sambung Hafizal lagi.

"Saya bukan apa, Encik Hafizal. Saya bimbang orang itu akan dipecat, saya pasti semua orang ada tanggungan masing-masing," jawab Erni, serba salah.

"Pertama, saya sama sekali tidak akan mendedahkan siapa yang memberikan maklumat tersebut. Kedua, jikalau orang itu menyedari bahawa dia mempunyai tanggungan, dia pasti akan berfikir dua puluh lima kali sebelum dia menyebarkan sesuatu yang dia sendiri tak pasti akan kesahihannya. Saya nak tanya awak, bilakah masa awak betul-betul pasti akan status kehamilan Ayra?" tanya Hafizal setelah cuba untuk meyakinkan Erni agar membuka mulut.

"Saya dapat tahu tentang pernikahan Encik Hafizal dan Ayra selepas berita itu tersebar. Saya terpaksa bertanya kepada Ayra tentang ini kerana ianya melibatkan imej encik dan Ayra," jawab Erni, jujur.

"Untuk itu, saya amat berterima kasih kepada awak kerana berusaha untuk mencari jawapannya. Akan tetapi, saya perlu tahu siapakah gerangan manusia yang memulakan semua ini untuk memulihkan nama baik kami berdua yang sudah tercalar ini. Jangan bimbang, saya hanya akan berikan amaran sahaja supaya dia beringat di masa hadapan," terang Hafizal.

"Orang Kak Reen, encik. Dia terdengar perbualan telefon Encik Wafi yang menyebut tentang kehamilan Ayra yang juga merupakan anak encik," jawab Erni, tersekat-sekat.

Melihat Erni, Hafizal tertawa. Tindakan Hafizal telah menyebabkan Erni berasa sangat hairan.

"Izreen, makcik kepoh pejabat kita ini?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Erni hanya mengangguk. Melihat reaksi Erni, Hafizal tersenyum lebar.

"Sudah saya duga. Tak apa, kali ini saya akan buat dia ingat bahawa dia salah jaja cerita orang. Sudah, Erni. Awak boleh sambung kerja awak, dan saya nak kopi. Saya dengar awak punya kopi sedap," arah Hafizal sambil tersenyum membuatkan wajah Erni yang pucat tadi bertukar menjadi ceria.

"Baiklah, encik. Saya bancuh sekarang," jawab Erni lalu beredar dari bilik Hafizal.

Setelah pemergian Erni, Hafizal menghidup komputer ribanya yang sedia terletak di atas mejanya sebelum menghantar sebuah emel kepada Wendy.

     *     *      *     *     *

Petang itu, Hafizal telah memanggil semua pekerja Mustaqim Ventures bagi menjelaskan kekeliruan yang telah terbiar selama berbulan lamanya. Dia juga mendapat tahu daripada Wendy bahawa Ayra sendiri yang meminta agar kekeliruan itu tidak diperjelaskan walaupun Wendy sudahpun mendapat bukti bergambar tentang pernikahannya dengan Ayra daripada Wafi.

Daripada perkhabaran yang diterima itu juga telah mengundang perasaan hairan di benak hati Hafizal tentang dua perkara. Pertama, mengapakah Ayra menghalang Wendy daripada membersihkan nama baiknya itu? Kedua, dari manakah Wafi mendapat gambar nikah mereka? Puas dia memikirkan, namun persoalan pertama itu lebih mengganggu fikirannya. Semakin lama, semakin sukar untuk dia memahami rentak Ayra.

Sebelum mesyuarat tersebut bermula, Hafizal juga telah meminta bapanya untuk memujuk Ayra supaya hadirkan diri ke mesyuarat ini kerana dia merupakan mangsa di dalam kes ini, maka kehadirannya diwajibkan. Mujurlah Ayra mahu mendengar kata kali ini, kalau tidak dia terpaksa membawa Erni untuk menjemput isterinya itu ke pejabat.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti yang anda semua sedia maklum, perjumpaan kali ini adalah untuk memaklumkan pertukaran CEO dan juga untuk menyelesaikan sebuah kes yang sudah tertunggak selama tiga bulan. Saya memohon maaf kerana telah mencuri sedikit masa anda semua sedangkan saya tahu anda semua sangat sibuk.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita bekas CEO kita, Encik Megat Wafi yang sedang diburu polis. Saya tidak mahu bercerita mengenai hal itu, namun saya ingin menyeru kepada anda semua agar berhenti membuat spekulasi tentang beliau. Selagi beliau belum disabitkan bersalah, saya tak mahu mendengar apa-apa komen atau pendapat mengenai perkara ini. Akan tetapi, syarikat ini masih memerlukan CEO bagi meneruskan operasinya. Jadi, sehubungan dengan ini, ahli lembaga pengarah telah membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Encik Wafi daripada jawatan CEO yang disandang beliau dan memilih saya sebagai pemangku CEO menggantikan beliau.

Satu lagi agenda kita pada petang ini, adalah untuk memperjelaskan berkenaan isu kehamilan salah seorang daripada staf kita yang didakwa mengandung anak luar nikah. Ini adalah kerana pernikahan staf tersebut tidak dilaporkan kepada bahagian sumber manusia, apatah lagi diwar-warkan kepada seluruh dunia. Maka, berdirinya saya di sini adalah untuk menjelaskan tentang perkara ini dan juga  meminta orang yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin ini untuk meminta maaf secara terbuka.

Memandangkan isu ini bukan isu baru, saya pasti sebahagian daripada staf syarikat ini sudahpun melupakan tentang perkara ini, lebih-lebih lagi kerana staf tersebut sedang bercuti panjang. Akan tetapi, sudah menjadi tanggung jawab saya untuk menjelaskan semuanya memandangkan saya adalah orang yang dikatakan menghamilkan staf tersebut tanpa sebarang ikatan pernikahan.

Jadi, saya, Megat Hafizal Megat Mustaqim ingin memohon maaf kepada isteri saya, Puan Ayra Melissa Mohd Elyas yang juga merupakan pembantu peribadi saya serta kepada seluruh warga Mustaqim Ventures di atas perselisihan faham yang terjadi," terang Hafizal panjang lebar.

Selepas ayat terakhir Hafizal, riuh rendah auditorium tempat perjumpaan itu diadakan dengan suara para pekerja bercakap antara satu sama lain. Sengaja Hafizal mendiamkan diri bagi memberi peluang kepada pekerjanya untuk bertenang dahulu sebelum dia menyambung ucapannya.

Hafizal memandang Ayra yang duduk di sudut hadapan sebelah kanannya. Wanita itu tidak memandangnya, sebaliknya hanya tunduk memandang lantai. Barangkali dia malu dengan pengumuman yang diberikan oleh Hafizal sebentar tadi.

"Saya harap anda semua boleh memaafkan Ayra di atas perselisihan faham ini kerana semuanya berpunca daripada diri saya sendiri. Saya telah meminta isteri saya untuk merahsiakan pernikahannya di atas sebab-sebab tertentu dan ketika perkara ini berlaku, saya sedang berada di luar kawasan. Maka, saya sama sekali tidak menyangka bahawa isteri saya terpaksa menanggung segala beban bagi pihak saya selama khabar angin tersebar. Saya memohon maaf kepada beliau dan anda semua di atas permasalahan yang berlaku akibat daripada kekhilafan diri saya," sambung Hafizal lagi.

Hafizal memandang Ayra sekali lagi. Ayra hanya memandangnya sebelum menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya tanda maaf diterima. Melihat reaksi Ayra, Hafizal tersenyum sendiri.

"Namun begitu, saya tidak boleh menerima sikap segelintir pekerja syarikat ini yang memilih untuk menyebarkan sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya. Jadi, saya ingin meminta pekerja itu sendiri datang ke hadapan bagi memohon maaf," jelas Hafizal sebelum dia melihat kelibat Izreen berjalan menuju ke pentas auditorium dan akhirnya berdiri di sebelahnya.

Hafizal memberikan ruang kepada Izreen untuk bercakap di podium yang disediakan. Dia memilih untuk berdiri di belakang Izreen.

"Terima kasih Encik Hafizal. Saya tahu kesalahan saya terlalu besar untuk dimaafkan, kerana ianya sudah jatuh fitnah ke atas Ayra dan Encik Hafizal di atas perbuatan saya. Namun begitu, saya tetap ingin meminta maaf kepada Encik Hafizal, Ayra dan semua rakan sekerja di atas kesalahan yang saya lakukan. Peristiwa ini telah memberikan pengajaran hebat buat saya dan saya ingin berubah. Diharap anda semua dapat memaafkan dan mendoakan perubahan saya. Terima kasih," jelas Izreen sebelum turun semula menuju ke tempat duduknya.

Hafizal memandang Ayra bagi mendapatkan jawapan Ayra bagi permohonan maaf Izreen tadi. Seperti memahami isyaratnya, Ayra mengangguk tanda dia telah memaafkan Izreen atas kesilapannya.

"Terima kasih Izreen. Saya dan isteri saya telah memaafkan Izreen dan diharap anda semua dapat memaafkannya juga. Ingatlah, setiap manusia takkan terlepas daripada membuat kesilapan. Saya pernah silap, anda pernah silap, kita semua pernah silap dan menjadi tanggung jawab kita semua untuk memaafkan kerana kita tak punya hak untuk menghakimi sesama kita, hak itu milik Tuhan.

Jadi, saya harap isu ini akan berakhir di sini dan saya mohon anda semua mendoakan yang terbaik buat saya dan isteri saya. Saya juga berharap agar Puan Ayra dapat kembali bertugas di syarikat kita sebelum beliau cuti bersalin nanti kerana syarikat ini masih memerlukannya," pinta Hafizal sambil tersipu malu.

Tak semena-mena seluruh auditorium bersorak kepada Hafizal di atas keberanian meminta Ayra untuk bekerja semula di khalayak ramai.

"Baiklah, encik Hafizal. Bagi menunaikan permintaan awak, saya akan kembali bekerja esok," jawab Ayra, tiba-tiba.

Kedengaran bunyi tepukan seantero auditorium bagi meraikan kepulangan Hafizal dan Ayra ke syarikat itu semula. Hafizal sama sekali tidak menyangka bahawa berita pernikahan ini disambut baik di kalangan pekerjanya. Namun, dia lebih bimbangkan reaksi pekerjanya jika mereka mengetahui akan pernikahan keduanya minggu hadapan. Mampukah mereka memahami situasinya kali ini?

*BERSAMBUNG*

Tuesday, October 24, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 39...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 39: Lepaskan Pergi


"Aku bukan apa, aku cuma tak mahu hidup tuan musnah. Virus ini boleh merosakkan seluruh kehidupannya. Dia anak orang berada, malah berdarah kerabat pula. Sudah pasti dia akan dipandang serong andai dia dijangkiti penyakit ini," luah Qatrunnada menyebabkan Bob terbungkam.

"Aku tahu kau sayangkan bos dan aku yakin bos sebenarnya sayangkan kau. Dia cuma keliru dengan perasaannya terhadap Ayra sahaja," ujar Bob sambil tersenyum.

Qatrunnada berasa hairan melihat perilaku Bob itu. Dalam keadaan inipun, lelaki itu boleh tersenyum?

"Aku tahu kau keliru. Jom kita ke gerai depan sana, aku belanja kau air. Kalau kau takut, kau boleh minta air mineral. Aku akan jelaskan kesemua pemerhatian aku," ajak Bob sebelum berjalan keluar dari klinik itu lalu mengiringi Qatrunnada menuju ke arah gerai yang terletak bertentangan dengan klinik tersebut.

Mereka berdua duduk di meja paling belakang sebelum pekerja gerai tersebut datang untuk mengambil pesanan. Bob memesan air teh ais manakala Qatrunnada memesan air mineral botol sahaja. Mujurlah gerai itu menjual air botol.

"Okay, sambung cerita kau cepat. Kenapa kau berani katakan yang tuan sayangkan aku?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Kau adalah satu-satunya wanita yang diberikan kebenaran untuk memasuki biliknya. Kau tahu tak, Ayra pun tak pernah masuk ke dalam biliknya?" ujar Bob, yakin.

"Takkanlah, Ayra itu bukankah teman wanita tuan?" tanya Qatrunnada, tidak percaya.

"Memanglah, tapi bagaimanapun Ayra itu tetap isteri Hafizal. Penat-penat dia buat mereka berdua bercerai, semasa kau buat mereka rujuk semula, dia tak marahkan kau pun. Betul tak?"

"Mungkin dia bukan jenis yang marah perempuan agaknya," jawab Qatrunnada, cuba menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bob itu.

"Aku ini sudah jadi pengawal peribadi bos selama lima tahun, Qat. Semuanya tentang bos aku tahu. Ayra sendiripun dia boleh marah selamba katak saja, kau tahu?"

"Takkan itu saja cukup untuk meyakinkan aku bahawa tuan sayangkan aku? Aku ini hamba tebusan dia aahaja," jawab Qatrunnada.

"Qat, kau sudah langsaikan hutang kau Khamis lepas sebenarnya tapi bos masih tak lepaskan kau. Cuma, dia tak suruh kau tiduri mana-mana lelaki lagi dah. Kau perasan tak?" tanya Bob.

"Ya ke? Patutlah aku pelik kenapa dia tak suruh aku bekerja sejak hari Khamis lepas. Maksudnya, aku boleh bebas?" tanya Qatrunnada, teruja.

"Kau nak bebas?" tanya Bob, ingin tahu.

"Siapa yang tak nak kebebasan? Cuma, apalah gunanya kebebasan andai hayat aku tak lama mana," jawab Qatrunnada, sebak.

"Qat, selagi ada esok untuk kau, selagi itulah kau masih ada harapan. Beginilah, nanti kau tanya bos sendiri mengenai kebebasan kau itu. Aku tak nak campur hal kau orang," jawab Bob lalu menghirup air teh ais yang dipesannya tadi.

Qatrunnada hanya memandang Bob dengan pandangan yang kosong. Entah mengapa perasaannya berbelah bagi.

     *     *     *     *     *

Ketika Qatrunnada memasuki bilik kurungan Hafizal, dia melihat Hafizal baru sahaja selesai solat.

"You solat sekarang? tak tahu pula selama ini you tahu solat," sindir Qatrunnada setelah duduk di atas kerusi berhampiran katil Hafizal.

"Lebih baik solat sekarang, daripada tak solat langsung," jawab Hafizal, sinis.

"You tak payahlah nak berbicara serupa orang alim, sedangkan you pun tawanan seseorang! You tak tahu sampai bila hayat you kan?" ujar Qatrunnada.

"You tahu tak, I cemburu dengan orang yang ada HIV, AIDS, Kanser dan juga banduan akhir, sebab Allah berikan mereka peluang untuk bertaubat dengan memberikan mereka anggaran jangka hayat mereka. Mereka dah tahu bila mereka akan mati, sayanglah kalau mereka tak bertaubat. Betul tak?" ujar Hafizal pula.

Kata-kata Hafizal membuatkan Qatrunnada tersentap. Sungguh, selama ini dia menyalahkan takdir di atas penyakit yang dihadapinya, namun dia sendiri tidak menyedari akan peluang yang Allah berikan kepadanya.

"I memang tawanan Wafi, I akuinya. Itu membuatkan I sendiri tak tahu bila ajal I akan tiba. Mungkinkah hari ini, mungkinkah esok? Entahlah," sambung Hafizal lagi.

Qatrunnada masih lagi mendiamkan diri, sungguh dia berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hafizal itu.

"Kenapa sudah dekat dua bulan you tak datang sini? Lama I tak nampak you," ujar Hafizal, tiba-tiba.

"Bagaimana you tahu I sudah dekat dua bulan tak datang jumpa you? Rindu ya?" seloroh Qatrunnada bagi menyembunyikan keresahannya.

"Sejak you letakkan dadah dalam makanan II kira hari yang berganti selepas itu. Bukan rindu, cuma tertanya-tanya. Selalunya you datang cari gaduh dengan I," jawab Hafizal, bersahaja.

"Ya ke? Hari ini berapa hari bulan, kalau betul you kira," tanya Qatrunnada, ingin menguji tahap pengiraan Hafizal.

"Hari ini satu hari bulan dua belas. Betul tak?" jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Wah, hebatnya! Betullah itu. Sedar tak sedar, sudah lebih dua bulan you hidup terkurung dalam ini ya? Eh, sekejap! Macam mana you tahu I yang letakkan dadah dalam makanan you?" ujar Qatrunnada sambil membalas senyuman Hafizal.

"Budak-budak ini beritahu semasa mereka hantar makanan. I tanya mana you, mereka kata you tak nak hantar makanan pada I lagi sejak kantoi hari itu. Begitulah cara I dapat tahu," jawab Hafizal.

"I dah dapat balasan I di atas semua dosa-dosa II rasa jijik sangat dengan diri I sendiri. I minta maaf sebab perangkap you dulu sehingga you hidup begini sekarang," jelas Qatrunnada.

"Semua orang ada sebab mereka sendiri mengapa mereka melakukan kesilapan. Semua manusia tak terlepas daripada berbuat silap, yang penting kita haruslah bertaubat sebelum Allah tarik nyawa kita," jawab Hafizal.

"I ini pelacur, Hafizal, bukan model seperti dulu. Bagaimana I nak solat sedangkan I sendiri bergelumang dengan maksiat?" tanya Qatrunnada.

"I tak bagus mana, tapi setahu I, dosa kita hanya Allah sahaja yang boleh menilai. Bukannya you sengaja pilih untuk jadi pelacur bukan? You terpaksa, untuk membayar hutang you pada Wafi. Kalau you nak bertaubat, you buat saja. Pilihan itu di tangan you," jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Boleh I berkongsi sesuatu dengan you tak?" tanya Qatrunnada, resah.

"Boleh, kalau I boleh tolong, I tolong. Apa dia?" tanya Hafizal pula.

"I telah dijangkiti virus HIV, I dianggarkan boleh hidup lebih kurang setahun lagi. Atas sebab itulah I tak nak hantar makanan pada you lagi, bukannya sebab kes dadah itu," jelas Qatrunnada, sebelum menangis. Dia tak dapat menyembunyikan kesedihannya walaupun dia tahu Hafizal sedang memandangnya.

     *     *     *     *     *

Qatrunnada sedang duduk di ruang tamu markas apabila Bob datang lalu duduk di sebelahnya. Wanita itu masih lagi leka dengan tablet milik Wafi yang dipinjam untuk bermain permainan video.

"Aku sudah berbincang dengan bos mengenai kau. Aku terpaksa beritahu bos yang kau sakit, tetapi aku tak beritahu dia apa penyakit yang kau hidapi. Jadi, bos kata, memandangkan kau telah melunaskan hutang kau dengan bos, bos lepaskan kau pergi," terang Bob sambil tersenyum.

Penerangan Bob membuat Qatrunnada berhenti bermain lalu meletakkan tablet yang dipegangnya sedari tadi di atas meja kopi dan memandang ke arah Bob.

"Ini beg tangan kau, dalam beg itu ada dompet kau, duit RM500, kunci rumah kau dan telefon bimbit kau. Telefon bimbit kau sudah tak boleh dihidupkan, jadi aku belikan telefon bimbit baru dengan model yang sama. Selain itu, ada sampul surat berisi RM10 ribu hasil pemberian bos untuk kos perubatan kau. Aku nak kau gunakan sebaiknya. Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, nombor telefon aku ada dalam telefon bimbit kau," jelas Bob, panjang lebar.

"Terima kasih, Bob. Eh, sekejap! Kunci rumah? Bukankah rumah aku telah diambil oleh tuan?"  tanya Qatrunnada, tak percaya.

"Taklah, rumah kau dia tak ambil. Katanya, itu hadiahnya buat kau kerana setia kepadanya. Dia tak tahu nak beri apa kepada kau, jadi aku cadangkan supaya dia pulangkan semula rumah kau kepada kau semula memandangkan dia belum lagi menjual rumah kau," terang Bob sambil tersenyum.

"Baiklah, kalau begitu. Jadi, bila aku boleh keluar?" tanya Qatrunnada, ingin tahu.

"Bos suruh kau keluar secepat mungkin, aku pun tak pasti kenapa. Katanya, dia mula rasa tak sedap hati. Cuma, aku tak dapat hantar kau pulang. Aku cuma dapat hantar kau di stesen bas sahaja. Tak apa ke?" tanya Bob.

"Tak apalah, aku pun nak balik kampung. Kau hantar sajalah aku di situ. Terima kasih sebab jaga aku selama dua bulan ini," ujar Qatrunnada.

"Aku jaga kau sebab aku kasihan dengan kau sebenarnya. Silap kau cuma satu saja, kau nak hidup senang tapi gara-gara itu, kau terpaksa jadi korban. Mujurlah kau tak perlu bayar hutang kau penuh kerana duit daripada Harry sudah dapat lunaskan lebih daripada setengah hutang asal kau. Lagipun, bos sebenarnya rasa bersalah sebab kau orang pertama yang serah diri kepada dia," terang Bob, serba salah.

"Tak kisahlah apapun sebabnya, aku sudah cukup bersyukur kerana ada kau dan tuan dalam hidup aku. Oh ya, nanti kau kirim salam pada Hafizal ya?" ujar Qatrunnada.

"Baiklah, Qat. Dah, jom aku hantar kau. Petang ini aku ada kerja sikit, tak boleh lambat," jawab Bob sebelum berlalu pergi dari situ. Qatrunnada pula hanya mengikuti langkahnya.

     *      *      *      *      *

Qatrunnada baru sahaja menaiki bas untuk pulang ke Muar, Johor dan membuka beg tangannya untuk menyimpan tiket basnya apabila dia menjumpai sehelai sampul surat yang lebih nipis daripada sampul surat berisi wang yang dilihat tadi. Tanpa berlengah, dia mengambil sampul surat tersebut lalu membacanya.

Buat Qatrunnada,

Aku tak pandai nak menulis surat, jauh sekali nak bermadah pujangga. Akan tetapi, aku perlu meluahkan segala perasaan aku sebelum terlambat. Aku minta maaf andai di saat kau membaca surat ini, kau telahpun selamat keluar dari markas kerana bagiku, keselamatan kau adalah keutamaanku.


Sejujurnya, aku berasa sangat terharu apabila kau menyerahkan diri kepada aku hanya untuk melunaskan hutang kau. Aku tak sangka seorang bekas model seperti kau sanggup melakukan kerja-kerja begitu hanya kerana mahu terus hidup. Aku tahu kau kecewa dengan sikap Harry yang melarikan dirinya setelah gagal melunaskan hutangnya pada aku, tetapi tak semua perempuan sanggup menggalas beban seperti yang kau lakukan.


Pada mulanya, aku sangkakan kau berbuat begitu hanya kerana kau terlalu sayangkan Harry, tetapi ternyata aku silap. Aku tak menyangka kau tidak memberikan apa-apa reaksi ketika aku ingin menjual Harry bagi melunaskan sebahagian daripada hutang tersebut. Kau benar-benar mengejutkan aku.


Semakin lama aku kenali kau, semakin jauh aku rasakan perasaan aku pada Ayra. Aku mulai sedar, hanya kau yang aku perlukan. Namun, perhubungan kita sudah pergi terlalu jauh dan aku sudah tidak boleh berhenti. Atas sebab itulah, aku jadikan kau teman tidurku.


Ketahuilah Qat, aku baru sahaja sedar bahawa aku sayangkan kau seadanya kau. Apabila aku dapat tahu yang kau sedang sakit, aku memilih untuk lepaskan kau agar kau dapat merawat penyakit yang kau hidapi. Untuk itu, aku siapkan sedikit duit untuk menampung kos perubatan kau dan sekiranya kau memerlukan lebih daripada itu, aku mahu kau hubungi aku. Aku telah minta Bob untuk simpankan nombor telefon aku di dalam telefon bimbit kau.


Pergilah sejauh yang boleh, dan jangan kembali lagi ke sini. Aku harap kau boleh teruskan hidup kau dengan baik dan aku sentiasa mendoakan kau akan bahagia hingga ke hujung hayat kau. Aku memang sayangkan kau, tetapi aku bukanlah lelaki terbaik buat kau. Carilah yang lebih sempurna.


Jaga diri. Andai ada jodoh, kita akan berjumpa lagi.



Yang benar,
Wafi

Sebaik sahaja Qatrunnada selesai membaca surat yang diberikan oleh Wafi itu, air matanya mulai mengalir tanpa henti.

*BERSAMBUNG*

Monday, October 23, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 38...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 38: Membuat Kerenah

Kesakitan pada perutnya membuatkan Ayra tersedar daripada pengsan. Ayra memegang perutnya dan wajahnya seperti sedang menahan kesakitan dan akhirnya dia terjerit kecil. Dia dapat melihat dari ekor matanya, suaminya, Fred dan seorang pegawai polis sedang memandangnya.

Hafizal meluru mendapatkan Ayra ketika dia mencuba untuk bangun dari pembaringannya. Hafizal cuba untuk membantu Ayra, namun tangannya lebih dahulu ditepis lembut oleh Ayra kerana dia tak mahu suaminya itu membantunya.

"Kenapa ini?" tanya Hafizal, hairan dengan sikap Ayra.

"Tak ada apa. Kita di mana?" tanya Ayra, sambil menggosok-gosok matanya.

"Kita di balai polis, Mel kena berikan keterangan kepada polis. Selepas itu, kita boleh pulang," jawab Hafizal sambil tersenyum.

Ayra berasa bimbang, namun sengaja tidak dipamerkan perasaannya pada wajahnya. Dia sudah terbiasa memandang orang lain tanpa sebarang ekspresi akibat daripada latihan Hafizal sebelum ini.

"Inspektor, saya nak berikan keterangan dulu. Perut saya sakit sangat ini," ujar Ayra lalu mencuba untuk bangun dari sofa yang didudukinya. Hafizal ingin membantunya, tetapi sekali lagi tangannya ditepis lembut. Dia tidak mahu suaminya tahu akan perasaan gusarnya itu.

Seorang konstabel wanita mendekati Ayra bagi membantu Ayra dan dia membenarkan konstabel wanita itu membantunya keluar dari bilik yang menempatkannya dan Hafizal sedari tadi.

Ayra tidak mahu Hafizal susah hati atas segala yang terjadi kepadanya sepanjang tiga bulan mereka berdua tidak ketemu. Namun begitu, dia tahu perangai telahpun mengundang seribu tanda tanya di dalam kepala suaminya itu.

     *     *     *     *     *

Ayra terjaga dari tidurnya lalu memandang Hafizal sebelum bangun terus dari pembaringannya. Ayra dapat melihat tindakannya membuatkan Hafizal memandang isterinya dengan perasaan hairan.

"Saya di mana ini? Bukankah tadi saya di balai polis?" tanya Ayra, panik.

Mendengar soalan Ayra, Hafizal tertawa. Reaksi Hafizal membuatkan Ayra terpinga-pinga.

"Mel punya sel otak tak boleh berhubungkah? Mel pengsan depan balai tadi, abang juga yang kena angkat Mel bawa balik," jawab Hafizal, sinis.

"Kalau tak ikhlas, kenapa bawa balik? Tinggalkan saja saya di situ," ujar Ayra, selamba. Geram pula mendengar jawapan Hafizal yang sarkastik itu.

"Sudahlah abang kena pikul dua orang, terima kasih pun tiada?" tanya Hafizal, bengang.

"Terima kasih, tuan. Jasa baik tuan saya hargai," jawab Ayra, cuba untuk mengelak daripada memandang Hafizal. Dia tak mahu Hafizal tahu isi hatinya.

"Kenapa tiba-tiba panggil abang 'tuan' semula ini? Ada buat salah ke?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Kenapa tuan baik sangat dengan saya? Tuan lupakah saya ini isteri yang curang? Lagi pula, mengandung anak luar nikah?" tanya Ayra, bertubi-tubi.

Soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang diberikan oleh Ayra itu telah membuatkan Hafizal melopong. Geli pula hatinya, namun cuba ditahan.

"Apa ini? Kita bernikah cara elok, bukan? Apa masalah Mel ini?" tanya Hafizal, semakin berang.

"Itu kata tuan. Kata orang?" jawab Ayra, masih lagi memandang ke arah lain. Biarlah suaminya ini marahkannya, tetapi dia harus melakukannya.

"Apa maksud Mel?" tanya Hafizal, hairan.

"Apa yang berlaku kepada tuan, semuanya kerana saya bukan? Tuan dikurung, tuan dipaksa bercerai dengan saya, semua harta tuan dirampas, tuan difitnah, tuan dipecat daripada jawatan tuan, tuan terpaksa melihat kecurangan isteri sendiri, dan tahukah tuan, tuan dituduh berzina dengan isteri sendiri?" terang Ayra, lalu merenung wajah suaminya.

"Apa maksud Mel berzina dengan isteri sendiri?" tanya Hafizal lagi.

"Wafi pernah ugut saya untuk serahkan semua harta tuan yang dimiliki oleh saya padanya, kalau saya gagal, dia akan sebarkan pada semua pekerja bahawa saya sedang mengandungkan anak luar nikah hasil benih tuan," ujar Ayra.

"Jadi, apa yang Mel lakukan?" tanya Hafizal, lagi.

"Saya tak serahkan harta tersebut, dan itulah hasilnya. Semua pekerja di pejabat sekarang memandang serong pada saya, kononnya saya mempunyai hubungan sulit dengan bekas majikan saya sendiri," jawab Ayra, kembali tunduk. Air matanya tak dapat dibendung lagi.

"Biarlah apa orang nak kata, Mel isteri abang dan tak ada sesiapapun yang boleh mengubah kenyataan itu," ujar Hafizal, cuba untuk memegang pipi isterinya tetapi ditahan oleh Ayra.

"Tak apalah, saya sudah pasrah. Saya anggap semua ini adalah balasan saya atas semua dosa-dosa saya kepada tuan. Lagipun, tuan pun bakal bernikah dengan cik Salwa. Satu saja saya minta, saya harap tuan tak beritahu cik Salwa bahawa saya adalah madunya," jelas Ayra.

"Kenapa tidak? Awak isteri saya, kenapa saya perlu menidakkan kebenaran itu?" bantah Hafizal. Wajahnya mula merona merah akibat menahan marah.

"Saya bukan anak Datuk seperti cik Salwa, manalah layak nak bergelar isteri kepada anak seorang Tan Sri. Tambahan pula, saya ini orang kampung sahaja, bukan graduan universiti luar negara seperti tuan dan cik Salwa..."

"Mel, stop it!" jerkah Hafizal, membuatkan Ayra tersentak lalu memandang Hafizal.

Hafizal pula memandang Ayra dengan perasaan marah yang begitu membara membuatkan Hafizal bangun lalu merentap tangan Ayra bagi memaksa wanita itu bangun. Selepas itu, Ayra disandarkan di dinding bilik tidur milik wanita itu dan serta-merta dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di kiri dan kanan wanita itu bagi mengelakkan Ayra untuk melarikan diri.

"Semasa abang melafazkan akad nikah kita dahulu, sedikitpun tak ada dalam kepala otak abang ini bahawa Mel sama sekali tidak layak untuk menjadi isteri abang! Kalau abang rasa Mel tak layak, do you think I will bought you from Harry?" tanya Hafizal selepas menghamburkan isi hatinya.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya tunduk memandang perutnya kerana perutnya sudah mula sakit.

"Kelayakan Mel sebagai isteri abang, bukan hak orang lain untuk menilai! Cukuplah Allah dan abang sahaja yang menilai semua itu! Mel faham tak?" sambung Hafizal lagi.

"Perlukah diungkit tentang hal tuan beli saya itu? I am just your possession, isn't it?" tanya Ayra pula, membuatkan Hafizal terbungkam.

"Cantik betul perangai Mel sekarang, kenapa jadi begini? Apa yang Mel nak sebenarnya? Mel nak bercerai ke?" tanya Hafizal, geram.

Ayra memandang Hafizal dengan mata yang tidak berkedip. Dia sama sekali tidak mengimpikan cerai, namun tak sangka lelaki itu tegar berfikiran begitu. Hafizal pula dilihat melarikan pandangannya terhadap isterinya itu kerana marah yang teramat.

"Saya minta maaf, tuan. Tolong jangan ceraikan saya, saya cuma nak padamkan perasaan bersalah saya pada tuan," jawab Ayra, perlahan.

"Dengan buat semua ini? Mel ingat bila Mel buat semua ini, abang akan salahkan Mel? Atau Mel memang minta dihukum? Begitu?" tanya Hafizal yang masih lagi berang.

"Apa sahaja yang boleh hilangkan perasaan bersalah saya," jawab Ayra sambil menahan kesakitan.

"Geram betullah abang dengan Mel ini! Melawan cakap suami lagi, sekarang anak kita pun marah mama dia!" bentak Hafizal lalu berpeluk tubuh. Seketika selepas itu, dia melepaskan keluhan berat.

Ayra yang tiba-tiba memegang perut itu, kesakitannya tidak dapat ditahan lagi. Dia tahu suaminya sangat marah, tetapi Ayra tidak mampu untuk memikirkan apa-apa lagi.

"Ayra Melissa, abang tak izinkan Mel keluar dari rumah sama sekali kecuali atas izin abang sampai satu tempoh yang abang akan berikan kelak," arah Hafizal dengan riak wajah tegas.

Ayra hanya memandangnya tanpa sebarang ekspresi. Akhirnya, dia mendapat apa yang diinginkan. Sengaja dia mencipta drama swasta itu semata-mata untuk membuatkan suaminya itu menghukumnya. Dia tak mahu mengeruhkan keadaan di pejabat, lebih-lebih lagi sejak seluruh syarikat mengetahui akan kehamilannya.

"Menurut perintah, tuan."

Mendengar jawapan Ayra, sekali lagi Hafizal mengeluh. Ayra pula hanya tersenyum nipis.

     *     *     *     *     *

Ayra berjalan turun dari biliknya di tingkat atas menuju ke dapur. Sejak Hafizal mengenakan perintah berkurung kepadanya, Hafizal tidak tidur sebilik dengannya. Dia tidur di biliknya, manakala Hafizal tidur di bilik lelaki itu. Mungkin kemarahan lelaki itu masih belum reda.

Sebaik sahaja dia tiba di dapur, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Cepat-cepat dia menjawab panggilan tersebut kerana bimbang Hafizal mendengarnya.

"Hello, Erni. Ada apa?" tanya Ayra sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Ayra, kenapa kau sudah seminggu tak datang kerja? Encik Wafi pun sama," tanya Erni di hujung talian.

"Aku tak ada jiwa nak bekerja sekarang, aku sudah hantarkan surat peletakkan jawatan aku pada bapa mentua aku minggu lepas tapi dia tolak. Dia berikan aku cuti tanpa gaji sampai aku terbuka hati nak bekerja semula. Kenapa Encik Wafi tak datang?" tanya Ayra, selepas menjelaskan keadaannya.

"Aku dengar khabar Encik Wafi diburu polis atas tuduhan pemerdagangan manusia. Tak sangka lelaki seperti Encik Wafi tegar melakukan sebegitu," ujar Erni.

"Kalaulah kau tahu akulah salah seorang mangsanya, malah aku sudah dua kali dijual. Tahukah kau?" bisik hati kecil Ayra.

"Ayra, dengar tak?" tanya Erni membuatkan Ayra tersentak dari lamunannya.

"Apa dia?" tanya Ayra pula.

"Aku dengar khabar lagi ahli lembaga pengarah telah memecat Encik Wafi semalam, dan akan diganti oleh Encik Hafizal semula. Cuma, aku hairan satu perkara saja," ujar Erni.

"Apa yang kau hairan?" tanya Ayra, pening dengan bebelan Erni itu.

"Siapakah pemilik saham yang Encik Hafizal wakilkan itu? Kenapa dia tak beli sahaja saham itu? Aku dengar pemegang saham yang Encik Hafizal wakilkan itu merupakan pemegang saham terbesar," terang Erni membuatkan Ayra tersenyum menahan gelak.

"Tanyalah Encik Hafizal sendiri, esok dia lapor diri bukan?" tanya Ayra, menahan ketawa.

"Bukankah kau isterinya, kau mesti tahu bukan?" tanya Erni pula.

"Hal-hal syarikat, tak semuanya aku tahu. Lagipun, aku kena perintah berkurunglah. Manalah aku tahu apa yang berlaku di luar," bohong Ayra sedangkan dia merupakan orang yang menanda tangani persetujuan memilih Hafizal sebagai CEO menggantikan Wafi yang dipecat.

"Entah-entah kau punya saham tak? Hafizal sayang sangat dengan kau, takkanlah dia tak berikan kau harta?" duga Erni.

"Sudahlah, aku nak ke tandas ini. Kacau saja kau. Lain kali kita cerita," ngelat Ayra sebelum memutuskan talian.

"Susah juga jadi isteri CEO ini ya? Puan tak penat ke kena temu ramah?" tanya Fred yang tiba-tiba muncul di sebelah Ayra membuatkan Ayra terkejut. Dia melihat ke belakang, hanya Apai sahaja yang berada di belakang Fred. Tanpa disedari, Ayra menarik nafas lega.

"Takut bos eh?" seloroh Fred lalu mereka berdua tertawa.

"Tak adalah. Mak Iti mana, Fred? Tak nampak dia pun," jawab Ayra lalu membuka tudung saji yang berada di atas meja dapur. Terdapat dua piring cucur ikan bilis di bawah tudung saji itu membuatkan Ayra berjalan menuju ke kabinet untuk mengambil piring dan sos cili sebelum kembali semula ke meja dapur.

"Dia pergi ke pasar dengan Pak Din. Bos suruh belikan ikan siakap. Tan Sri dan Puan Sri ada di ruang tamu, atas sebab itulah kami berdua ke dapur ini. Nak buatkan air," ulas Fred sambil membancuh kopi di dalam teko yang diambilnya daripada rak pinggan.

"Biarlah saya buatkan," ujar Ayra, mendekati Fred.

"Tak payah, nanti bos marah kami berdua. Dia tak benarkan puan buat sebarang kerja pun kalau boleh. Kalau bos tak ada di rumah, kami berdua boleh tolong pejam mata tapi kali ini susah sikit," jawab Apai, menegah Ayra daripada mendekati Fred.

"Habis itu, saya nak buat apa? Bosan tahu tak?" tanya Ayra sambil membuat muka sedih dengan harapan kedua-dua pengawal peribadinya itu lembut hati.

"Puan pergi ke ruang tamu, layan ibu bapa mentua puan itu," arah Apai lalu menolak Ayra keluar dari dapur.

Ayra tak punya pilihan selain daripada menuju ke ruang tamu. Setibanya dia di sana, dia ternampak Hafizal sedang berbual dengan ibu bapa mentuanya itu.

"Kamu tahu tak, semasa dia kena alahan dua bulan lepas, dia tak boleh nak bangun pun? Seminggu yang pertama itu, mana ada dia pergi kerja. Mengamuk si Wafi dengan dia, sejak itulah Echa selalu kena kerja lebih masa. Pernah sekali itu dia memandu ke pejabat, tapi malam itu daddy dengan ayah kena jemput dia ke pejabat kerana dia muntah-muntah," sambung Puan Sri Halimatun lagi.

Ayra terbungkam mendengar kata-kata ibu mentuanya itu. Oleh sebab itu, dia memilih untuk mencuri dengar sahaja perbualan mereka bertiga.

"Kenapa Wafi seksa Mel begitu?" tanya Hafizal, dengan riak wajah tidak puas hati.

"Dengar khabarnya, Wafi marah Echa tak serahkan harta yang kamu berikan kepadanya itu pada Wafi. Atas sebab itu jugalah, Wafi tidak membenarkan Echa untuk bertemu dengan kamu. Kamu tak tahu betapa peritnya hidup Echa sepanjang tiga bulan ini. Jadi, daddy harap apapun kerenahnya sekarang, kamu layankan sahaja," terang Tan Sri Mustaqim pula.

Ayra berasa terharu mendengar penjelasan bapa mentuanya. Sayang benar mereka berdua itu kepadanya walaupun dia hanyalah menantu di dalam keluarga itu.

"Daddy, betulkah seluruh syarikat menyangkakan Mel mengandung anak luar nikah?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Mendengar soalan Hafizal, Ayra mulai panik. Kenapa pula suaminya itu bertanyakan tentang ini kepada mereka berdua? Ibu bapa mentuanya itu tidak sepatutnya tahu tentang ini.

"Mana kamu tahu cerita ini?" tanya Tan Sri Mustaqim pula.

Soalan Tan Sri Mustaqim lebih mengejutkan Ayra. Dia tak menyangka bapa mentuanya itu tahu tentang perkara itu. Apa yang harus dia lakukan?

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com