Tuesday, August 18, 2015

Rasa yang Sama Part 13 (Akhir)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:

"Maksud Inspektor, isteri saya letakkan telefon bimbit dia dalam kereta saya? Saya sendiripun tak pernah terfikir nak buat begitu," ujar Asyraf selepas mendengar penjelasan Inspektor Ismail.

     "Ada satu lagi perkara yang memudahkan kami untuk mengesan Encik Asyraf sebenarnya," terang Inspektor Ismail.

     "Apa dia, Inspektor?" tanya Asyraf, bingung.

     "Ada orang buat laporan bahawasanya dia tahu kedudukan Encik Asyraf ketika itu. Dia telah membongkar semua jenayah yang Cik Rania lakukan bersamanya, termasuklah kes gelapkan wang syarikat Encik Halim."

     "Nazrin?" teka Asyraf.

     Inspektor Ismail mengangguk tanda mengiyakan. Asyraf tak mampu untuk berkata apa-apa kerana terkejut dengan jawapan yang diberikan.

     "Saya nak jumpa dia, boleh?" tanya Asyraf.

     *     *     *     *     *
"Kenapa kau nak jumpa aku, Asyraf? Aku ini tak layak dipanggil kawan, aku ini manusia jenis makan kawan," ujar Nazrin sebaik sahaja dia duduk berhadapan Asyraf.

     "Sejahat-jahat kau, kau tetap kawan aku. Kau cuma buat silap, semua orang buat silap bro. Kau, aku, kita semua buat silap. Yang bezanya, kau jumpa jalan pulang atau tidak sahaja."

     "Aku yang buat kau dengan Nisa kemalangan dulu, sampai kau orang hilang ingatan. Aku yang curi duit syarikat, aku yang buat kau kena tahan polis dulu, semuanya aku! Kau tak faham-faham lagi ke?" Nazrin mula meninggikan suaranya.

     "Aku tahu, aku tahu juga kau yang rancang kecurangan isteri aku."

     "Kau tahu dan kau masih berkawan dengan aku? Kau gila ke bro?"

     "Hak menghakimi kau atas apa yang kau pernah lakukan itu bukan hak aku, bro. Itu hak Allah. Aku yakin pasti ada sebab kenapa Dia rancangkan semuanya. Setiap kejadian ada hikmah, bro. Cuma bezanya cepat atau lambat hikmah itu akan tiba saja."

     Mendengar kata-kata Asyraf, air mata Nazrin mengalir laju. Terkenangkan khilaf dan kebodohan sendiri yang akhirnya memakan diri.

     *     *     *     *     *
5 tahun kemudian...

"Bro, mana serai untuk renjis minyak ni? Kau nak aku renjis minyak guna apa ni, guna kain kau yang ada kat ampaian itu ke?" sindir Nazrin.

     "Nah, aku lupa bro! Maaflah, janganlah nak buat ayat sarkastik sangat bro!" jawab Asyraf yang berlari-lari anak menyerah serai yang telah diikat kepada Nazrin yang sedang mengipas ayam yang dibakar.

     Nazrin hanya menggelakkan Asyraf yang berlari-lari itu. Yang lebih menggelikan hati adalah kelibat budak lelaki yang turut sama berlari di belakang Asyraf seolah-olah mengejar lelaki tersebut.

     "Bro, tu anak kau kat belakang kau itu kau ajak sekali ke? Tahan ke dia asap-asap ini? Dia kan macam ibunya," sindir Nazrin lagi.

     Asyraf menoleh lalu mendukung budak lelaki tersebut. Aiman bin Asyraf Rasyid, kini berusia empat tahun setengah merupakan anak sulung Asyraf dan Annisa. Rupanya ketika dia berdepan dengan Rania, Annisa telahpun mengandungkan anaknya.

     "Abang, lambat lagi ke? Nisa lapar!" jerit Nisa dari pintu dapur sambil mengusap perutnya yang buyut itu. Semenjak Nisa mengandungkan anak keduanya, selera makannya naik mendadak sehinggakan hampir setiap jam dia akan mengunyah sesuatu.

     "Nisa baru saja makan roti tadi, dah lapar balik ke? Aduhai, botaklah kepala abang begini!" seloroh Asyraf.

     "Tak apalah, abang kan sayang Nisa, kenalah terima. Betul tak Nazrin?" Perhatian Nisa beralih kepada Nazrin pula.

     "Siapa tak sayang bini oi?" seloroh Nazrin pula.

     Pecah tawa Nisa dan Nazrin akibat lawak Nazrin tadi. Asyraf hanya mampu menahan malu akibat dikenakan oleh kawan baik sendiri.

     "Bro, isteri ini amanah Allah. Dalam rumahtangga, bukan hanya rasa yang sama itu kena ada, tapi sifat saling melengkapi itupun kena ada juga bro. Apa yang dia kurang, kau tambahkan. Apa yang kau kurang, dia tambahkan. Jujur aku cakap, aku cemburu dengan kau sebab kau ada Nisa. Aku sentiasa berdoa agar satu hari nanti aku dapat isteri macam Nisa. Boleh melengkapkan aku," terang Nazrin, panjang lebar.

     "Terima kasih, bro. In shaa Allah, aku akan ingat nasihat kau itu," jawab Asyraf lalu memeluk Nazrin. Keduanya tak mampu menahan sebak lalu mengalirkan air mata.

     Nisa yang melihat drama sebabak di hadapannya hanya mampu tersenyum bertemankan air mata yang tiba-tiba gugur.

*Tamat*

Foot print: Tak nampak hala tuju... :'(

Friday, August 14, 2015

Rasa yang Sama Part 12...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:

"Pilihan pertama, you datang di alamat yang bakal I whatsapp you nanti bersama Nisa. Jadi, apa-apa jadi pada you atau Nisa, you guys were together. Pilihan kedua, you datang di alamat yang sama, but alone. If you chose this option, I cannot guarantee the safety of Nisa if I am not satisfied with you later. Mungkin you tak berpeluang nak tengok muka dia buat kali terakhir," arah Rania di hujung talian.

     Nisa sudah mula diulit rasa bimbang. Dia tahu Asyraf mungkin dalam bahaya. Bukan sahaja Asyraf, malah dia juga dalam bahaya tidak kira di mana dia berada sekalipun.

     "Apapun pilihan you, I nak ingatkan you satu perkara. Jangan ada sesiapapun cuba hubungi pihak polis. Kalau I dapat tahu, I akan pastikan Nisa takkan dapat hidup lagi," sambung Rania lagi.

     Asyraf memandang isterinya. Dia tahu, apa saja tindakannya, dia perlu menyelamatkan isterinya terlebih dahulu. Namun, dia perlu ada rancangan yang teliti.

     "Baik, I datang."

     "Good boy, Asyraf. See you later, alligator," kedengaran bunyi Rania memutuskan talian.

     Tak lama kemudian, kedengaran bunyi tanda Whatsapp masuk. Asyraf mengambil telefon bimbit lalu membuka Whatsapp tersebut. Selepas selesai membaca, dia meletakkan semula telefon bimbitnya di tempat tadi.

     "Abang bawa Nisa balik, abang rasa Nisa lebih selamat di rumah ayah dan mama Hajar. Abang akan maklumkan perkara ni pada abah supaya hantar polis ke tempat ni andai sebelum tengah malam abang masih belum pulang. Okay, sayang?"

     Nisa hanya mengangguk lemah. Dalam hatinya sudah terbuku kerisauan yang teramat kerana dia tahu wanita yang menghubungi suaminya tadi boleh meragut nyawa suaminya.

     "Apa-apapun, abang be careful. I don't want to lose you."

     "I will, my dear. I will."

     *     *     *     *     *
"Lambat betul you ni. Jenuh I tunggu. Roy, bawa dia ke sini!" Arah Rania setelah melihat Asyraf berjalan menuju ke arahnya.

     Roy mendekati Asyraf. Asyraf yang mengerti hanya mengangguk lalu mengikuti langkah Roy mendekati Rania. Asyraf disuruh Roy untuk duduk berhadapan Rania.

      "You mesti tertanya-tanya kenapa I suruh you datang sini kan? I suruh you datang sini sebab I tak puas hati kenapa hidup you masih tak rosak lagi? I sangka lepas you kena tahan, you akan dipenjarakan. Lepas itu, apa yang you cakap pada Nazrin sampai dia boleh rasa bersalah ha?" tengking Rania bagi melepaskan kemarahannya yang terbuku selama ini.

     Asyraf tidak menjawab, sebaliknya hanya kekal membatu sedari dia duduk tadi. Tindakan Asyraf benar-benar menggugat kesabaran Rania. Dia mengambil pistol dari tangan Roy yang berdiri di sebelahnya lalu mengacukannya ke arah kepala Asyraf.

     "Kalau kau nak selamat, aku nak seluruh bahagian kau dalam syarikat! All of them! Di depan kau ada surat pemindahan hak milik, aku cuma nak kau tanda tangan sahaja. Itupun kalau kau nak nyawa kau dan Nisa terjamin. Kau ingat aku tak boleh bunuh dia walaupun dia berada di rumah mak ayah dia?" arah Rania.

     "Apa jaminan kau yang kau akan lepaskan aku andai aku tanda tangan surat ini? Tak ada kan? Jadi, kenapa aku harus tanda tangan?"

     Mendengar pertanyaan Asyraf, Rania ketawa besar. Ternyata Asyraf lebih arif akan perancangannya. Dia memang mahu menamatkan riwayat hidup seorang Asyraf Rasyid, geram rasanya apabila insan itu tidak termakan godaannya.

     "Mungkin kalau kau tanda tangan, aku akan selamatkan nyawa Nisa. Who knows?" duga Rania.

     Asyraf terdiam. Dia harus memikirkan jalan agar dia tidak perlu memindahkan semua hak miliknya kepada gadis di hadapannya ini. Jalan yang akan menyelamatkan nyawanya dan juga isterinya. Tak lama selepas itu, dia terfikir satu jalan. Dengan pantas, Asyraf menandatangani surat yang berada di hadapannya.

     Rania yang melihat tindak-tanduk Asyraf hanya tersenyum sinis. Ternyata Asyraf telah jatuh ke dalam perangkapnya. Selepas Asyraf selesai menandatangani surat itu, Rania mengambil surat tersebut lalu diserahkan kepada Roy.

    "Sekarang, ucapkan selamat tinggal pada dunia, wahai Asyraf Rasyid Halim," ucap Rania lalu menarik picu pistol yang dipegang.

     Asyraf hanya mampu menutup matanya dan berserah kepada Tuhan atas ajal dan mautnya. Kedengaran bunyi tembakan, namun dirinya tidak berasa apa-apa kesakitan pun. Dia membuka matanya, kelihatan Rania telah terbaring di atas lantai berlumuran darah, manakala Roy dan konco-konco Rania yang lain sedang digari oleh pihak polis. Asyraf bingung, bagaimanakah pihak polis dapat menjejakinya?

     "Encik Asyraf Rasyid?" tanya seorang polis kepadanya.

     "Ya, saya. Bagaimana tuan boleh cari saya?"

     "Encik Asyraf, saya Inspektor Ismail daripada bahagian siasatan jenayah IPD Dang Wangi. Saya akan jelaskan semuanya nanti, tapi saya perlukan Encik Asyraf untuk ikut kami ke balai polis. Kereta encik di luar bukan? Anggota kami akan pandu kereta encik," terang Inspektor Ismail.

     Asyraf hanya mengangguk lemah.

*bersambung*

Saturday, August 8, 2015

Dekat tapi Jauh...

Nama aku Maizatul Nadrah, orang panggil Maizatul. Ada juga yang panggil aku Nadrah tapi tidaklah ramai. Sekarang ini aku bukan nak bercerita tentang nama aku, itu tak penting sebenarnya. Aku nak bercerita tentang cinta. Aku pasti semua orang pasti ada kisah cinta tersendiri, sama macam aku. Bezanya, aku tak nak bercerita tentang kisah cinta aku ketika aku sudah dewasa, sebaliknya kisah cinta ini hadir ketika aku masih di alam persekolahan. Bukan sekolah menengah tahu? Kisah cinta ini hadir tatkala aku berada dalam sekolah rendah.

            Bila bercerita tentang kisah cinta ketika zaman persekolahan, ramai yang menggelarkan ia sebagai cinta monyet. Ya, aku tak nafikan semua itu tapi ada beberapa perkara dalam kisah aku yang membuatkan aku tak pernah lupa akan kisah ‘cinta monyet’ aku ini. Hingga saat ini, tatkala usiaku menginjak 26 tahun, kisah itu masih tersemat utuh di dalam benak fikiranku.

                        *                      *                      *                      
Aku memandang lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dia merupakan salah seorang rakan sekelasku yang boleh dikatakan agak rapat denganku. Kami sekelas sejak tahun ini, namun di manakah dia pada tahun lepas aku tak berapa pasti. Lagipun bukan dia sahaja orang asing dalam kelas aku ini, masih ada beberapa orang lagi. Jadi, perkara itu tidak aneh bagiku.

“Ustazah ini memang saja nak tarik ramai orang kan? Nasib baik kita memang dah masuk kelas mengaji itu, jadi boleh abaikan surat ustazah ini kan?” ujarnya lalu menggulung kertas yang dipegangnya sedari tadi.
Aku hanya memandang wajahnya. Kami boleh dikatakan kerap bertemu, kerana kami sekelas di sekolah agama, kelas kami bersebelahan di sekolah kebangsaan dan kami juga mengikuti kelas mengaji yang sama pada waktu malam. Ramai orang mengatakan bahawa dia menyimpan perasaan padaku, tapi aku sengaja memilih untuk tidak percaya. Bukan kerana aku tidak menyukainya, tetapi kerana perasaan yang sangat matang itu hadir tatkala usia kami berdua masih di alam kanak-kanak. Jujur aku katakan, aku juga menyimpan perasaan yang sama tetapi belum masanya untuk aku luahkan.

Oh ya, terlupa aku nak cerita. Namanya, Zulqarnain. Orangnya mempunyai raut wajah yang tidaklah sekacak mana, namun sejuk mataku memandang. Dia ini memang nakal, sampai para ustazah, ustaz dan cikgu di sekolah memang mengenalinya kerana kenakalannya di dalam kelas. Akan tetapi, dia akan menjadi kurang nakal jika aku berada berhampirannya.

Dia pernah membuat ustazah kami menjerit kerana dia ingin memelukku yang sedang memadam papan hitam di hadapan kelas. Mujur kawan-kawan perempuan kami menjerit memanggilku, kalau tidak alamatnya aku ini dah kena peluk lelaki ajnabi seawal usia lapan tahun!

Dia juga sangat menyukaiku sehinggakan semua kawan baiknya terpaksa menjadi penyiasat bergeraknya. Semua tindak-tandukku, semuanya dilaporkan kepadanya. Kadang-kadang aku sengaja menggunakan kawan-kawan baikku untuk memberitahunya khabar-khabarku bagi mengelakkan kawan-kawannya mengganggu keamananku. Kasihan aku pada kawan-kawannya, kerana mereka juga adalah kawan-kawanku. Sudah pasti aku memahami kesusahan mereka.

Namun, apabila terlalu lama aku memilih untuk tidak berterus-terang akan perasaanku padanya, dia mulai resah. Tambahan pula, ada lelaki lain yang juga menyimpan perasaan padaku di kalangan kawan-kawannya. Dia bimbang aku tidak membalas perasaannya dan memilih insan lain sebagai yang teristimewa dalam hidupku. Bagaimanalah seorang budak lelaki berusia sembilan tahun ketika itu boleh berfikir sehingga ke arah itu sedangkan aku masih lagi memikirkan berapa banyak anak patung yang mahu dibeli nanti?

            *                      *                      *                      
“Maizatul, Zul minta aku tanya kau sesuatu. Boleh tak?” tanya Diandra, kawan sekelasku sebaik sahaja dia duduk di sebelahku. Ketika itu, kami sedang berehat di kantin sekolah. Memang rutin kami untuk makan di kantin ketika rehat sebelum pergi bermain di dataran sekolah.

“Apa dia?” tanyaku pula. Namun, aku masih leka menikmati kuih karipap yang dibeli daripada makcik kantin tadi.

“Dia nak tahu kau suka dia tak? Dia dah setahun lebih sukakan kau, tapi kau buat tak tahu saja. Kadang-kadang nampak macam suka, kadang-kadang nampak macam tak. Aku nak tolong jawabkan pun aku tak reti. Jadi, aku tanya kau sendiri,” ulas Diandra, lebih daripada sekadar bertanya.

Aku kaget. Bagaimana aku hendak menjawab soalan yang aku tak ada jawapannya? Aku sukakan dia sepertimana dia menyukaiku, tapi aku merasakan masa ini kurang sesuai untuk berfikir soal cinta, kahwin dan seangkatan dengannya. Hilang terus selera aku nak menelan karipap makcik ini.

“Mai, jawablah soalan aku itu! Kau tak kasihan dengan aku ke? Aku letih nak dengar soalan Zul hari-hari. Dulu, aku tengok dia boleh saja tanya sendiri pada kau tapi sekarang, nak bercakap dengan kau pun dah malu. Bila dah malu, habis semua orang kena jadi mata-mata dia. Penatlah begini!” Diandra mula berasa bengang apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.

Aku sedar hakikat itu. Kawan-kawan kami semuanya dah mula letih dengan kisah cinta bertepuk sebelah tangan seorang Zulqarnain. Hanya kerana aku tidak pernah berterus-terang tentang hakikat yang bertapak di dalam hatiku semenjak aku mengetahui isi hatinya. Dia menghukum kawan-kawan kami hanya kerana dia berasa dirinya terancam dengan sikapku itu. Memang aku tahu semua itu salah, namun berterus-terang juga kurasakan salah buat ibu bapaku yang mengharapkan kejayaan anaknya ini. Sungguh aku bingung.
“Macam inilah, Dian. Kau beritahu dia, kita ini muda lagi. Belum sampai masanya untuk kita fikir soal cinta. Kalau betul kami ada jodoh, dah terpisah lama pun jumpa juga. Bukankah ustazah pernah cerita tentang ini? Sekarang, kita semua fokus pada belajar dulu. Okay?” jawabku, sedikit tegas. Jawapan ini kurasakan jawapan selamat yang boleh aku berikan padanya tanpa aku mengetahui bahawa ada perkara yang lebih besar yang bakal berlaku.
            *                      *                      *                      
Setahun berlalu lagi, kami menjadi renggang sejak aku memberikan ‘jawapan selamat’ itu kepadanya. Namun, aku tahu dia masih lagi mengintip pergerakanku dalam diam. Sengaja aku biarkan kerana aku telah terbiasa dua tahun diperlakukan begitu. Lagipun, dia tidak mengganggu aku secara terang-terangan lagi sekarang. Itu sudah cukup selesa buat aku.

Dia tidak lagi menghadiri kelas mengaji yang kami berdua hadiri sebelum ini. Membuatkan aku mula berasa sunyi sedikit demi sedikit tanpanya. Bagi aku, aku hanya dapat berbual dengannya ketika kelas mengaji sahaja kerana tiada kawan-kawan yang menyakat kami berdua. Ketika itu sahaja, aku menjadi diri aku yang sebenar di hadapannya. Mengapa dia tidak perasan semua itu?

Andai dulu, dia yang rajin mengorek tentang diriku. Kini, giliran aku pula mengorek tentang dirinya. Aku mulai rajin bertanyakan perihal dirinya daripada kakak kepada kawan baiknya, Aina. Ini adalah kerana kak Aina juga mengetahui tentang kami daripada adiknya, Khairul. Maka, aku menggunakan kebetulan itu untuk mengorek tentang dirinya memandangkan mereka juga kebetulan merupakan jiran. Banyak yang telah aku ketahui tentangnya, seperti kedudukan rumahnya, keluarganya dan juga pelajarannya. Namun, aku meminta kak Aina agar tidak memberitahu sesiapa tentang tindakanku ini.

Setelah sekian lama aku tidak mendengar khabar beritanya, akhirnya hari tersebut telah berlaku seusatu yang telah mengubah segalanya buat kami berdua. Peristiwa itu bermula apabila kak Aina yang ketika itu bersamaku dipanggil oleh salah seorang rakan sekelas Zulqarnain. Aku mula terpinga-pinga apabila aku mendengar nama Khairul dan Zulqarnain disebut. Namun begitu, aku tambah hairan apabila kak Aina melarang aku mengikutinya apabila aku katakan aku ingin melihat apa yang berlaku.

Tanpa mempedulikan nasihat kak Aina, aku mengekori kak Aina dalam diam. Aku melilih untuk bersembunyi di sebalik dinding berhampiran dengan tempat mereka berada. Aku dapat melihat kak Aina sedang cuba meleraikan pergaduhan antara Zulqarnain dan Khairul, namun aku hanya dapat mendengar kak Aina acap kali bertanyakan mengapa mereka berdua bertengkar. Selebihnya, aku kurang jelas.

“Sedar diri kau itu sikit, Zul! Dia itu budak pandai, kau ingat dia nak ke pandang muka kau lagi? Jangan mimpilah! Kau itu dia pandang ibarat semut saja tau?” jerit Khairul. Jeritan itu dapat aku dengari dengan jelas sedangkan jarak aku dengan mereka agak jauh sebenarnya. Aku terkesima mendengar luahan hati seorang kawan baik buat insan yang sekian lama menyimpan perasaan padaku. Ya Allah, apa yang aku dah buat ini? Sungguh aku tak pernah memandang rendah padanya, kerana aku sangat menyukainya. Aku tahu semuanya salah aku, kerana aku memilih untuk berdiam diri. Namun, aku punyai sebab aku sendiri. Aku harap dia memahami aku.

Aku membuat keputusan untuk pergi dari situ. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk mendengar pertengkaran hebat antara dua orang kawan baik hanya kerana aku. Cukuplah setakat itu. Perkara itu sahaja sudah mengganggu benak fikiran aku yang hanya berusia sepuluh tahun ketika itu, yang sepatutnya hanya perlu kisah akan mainan atau pelajaran sahaja. Bukan tentang perhubungan manusia yang kompleks ini.
            *                      *                      *                      
Beberapa hari kemudian, aku sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran mengejutnya di kelas mengaji. Malam itu, dia tidak seperti selalu, dia memilih untuk duduk di sudut dinding surau sehingga dia dipanggil oleh ustaz yang mengajar pada hari itu. Namun begitu, aku menyedari akan tindakannya memandangku apabila aku tidak memandangnya. Pada mulanya, aku memandangnya kembali apabila menyedari itu, namun dengan pantas dia menukar arah pandangannya. Namun selepas itu, aku biarkan sahaja dia memandangku sepuasnya. Aku dapat melihat dari ekor mata, dia merenungku lama. Hairan juga melihatnya begitu, namun aku memilih untuk tidak peduli tanpa mengetahui bahawa itulah kali terakhir aku bertemu dengannya.

Tak lama selepas itu, aku dikhabarkan oleh kak Aina bahawa dia telah berpindah sekolah kebangsaan dan berhenti sekolah agama. Kelas mengaji juga tidak lagi dihadirinya sejak hari itu. Kata kak Aina, dia patah hati dengan tindakanku yang tidak pernah berterus-terang dan semenjak pertengkarannya dengan Khairul itu, dia sudah tidak dapat menahan malu pada semua orang yang mengetahui tentang perasaannya yang tidak berbalas itu. Dia memilih untuk berpindah sekolah agar hatinya tidak bertambah luka apabila melihat diriku.

Aku terbungkam. Tiga tahun kehadirannya dalam hidupku yang selama ini kusangkakan rimas itu telah bertukar menjadi hari-hari sunyi selepas itu. Terasa berbeza tanpa dirinya yang seringkali menggangguku. Namun, aku ubah perhatianku kepada pelajaran dengan harapan aku akan melupakan semua ini suatu hari nanti.
            *                      *                      *                      
Enam belas tahun berlalu, kisah cinta ini masih jelas dalam ingatanku. Meskipun bagi orang lain, ini adalah cinta monyet namun bagiku inilah kisah cinta pertama yang sangat member pengajaran padaku. Sejak dia pergi dari hidupku, semua kisah cintaku selepas itu serba tak kena. Tak ada lelaki yang dapat bertahan lama dalam hidupku. Entah kenapa jadi begitu, aku juga tak tahu.

Walaupun rumah kami berdekatan, namun Tuhan tidak pernah menemukan kami sejak itu. Aku tak pasti sama ada dia masih mengingatiku atau tidak, tetapi aku tak pernah melupakannya. Biar rasa rinduku padanya aku simpan menjadi gulungan memori yang tak mampu aku persembahkan buat sesiapapun kerana aku tahu dia terlalu baik untuk insan seperti aku. Kali terakhir aku mendengar tentangnya adalah pada lima tahun lepas, ketika itu dia masih melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di luar negara sedang aku yang dikatakan ‘budak pandai’ ketika itu hanya mampu melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di dalam negara sahaja. Begitulah roda hidup berputar, sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah.

Mungkin ini adalah kifarah atas sikapku terhadap seorang Zulqarnain suatu ketika dahulu. Aku telah menyebabkan dirinya dipandang remeh oleh kawan-kawannya hanya kerana mereka semua menyangkakan cintanya itu tidak pernah berbalas, sedangkan aku ketika itu turut sama memendam rasa sepertinya. Perasaan bersalah yang aku rasakan kepadanya semenjak dia menghilangkan diri aku simpan sehingga saat ini. Jujur aku katakan, aku sangat mengharapkan kehadirannya sekali lagi dalam hidupku kerana aku ingin memohon sejuta kemaafan daripadanya di atas semua peristiwa yang berlaku sepanjang tiga tahun dia menyukaiku. Andai dia dapat memaafkanku, itu sudah cukup bagiku. Aku tak layak meminta apa-apa lagi daripadanya.


Sampai disini sahaja kisah cintaku yang dapat aku nukilkan. Kisah cintaku ini bukanlah kisah cinta yang biasa anda baca di dalam novel, dan cerpen. Bukan juga kisah cinta seperti yang terpapar di layar perak dan layar kaca. Akan tetapi, kisah cintaku ini hanyalah kisah cinta yang aku sampaikan ikhlas daripada sekeping hati yang masih mengharapkannya. Aku berharap kami tidak lagi berada berdekatan tapi pada hakikatnya jauh.

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com