Tuesday, June 27, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 27

 Link terdahulu:

Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13

"Suraya keguguran. Dia masih dalam pembedahan," jawab Puan Wardah, ringkas.

Lily terbungkam. Apa lagi dugaan yang Allah nak berikan buat sepupunya itu?

"Jadi, dia di mana sekarang?" tanya Lily lagi.

"Gleneagles."

"Okay, kakak akan ke sana. Ibu nak ikutkah?" tanya Lily, ingin menguji isi hati ibunya.

"Nak, tapi Cempaka tidur bukan?" tanya Puan Wardah, serba salah.

"Tak apa, kita angkat saja dia. Ibu bersiaplah, Lily hendak bersiap, selepas itu nak siapkan botol susu Cempaka sekali."

"Baiklah, ibu pergi bersiap," jawab Puan Wardah lalu menuju ke bilik tidurnya untuk bersiap.

Lily hanya memandang pemergian ibunya. Dia berharap ibunya kini sudah boleh menerima sepupunya sebagai ahli keluarganya.

      *      *       *       *      *

Rashdan yang baru sahaja pulang dari kerja dapat melihat Zulaikha sedang menidurkan Zara. Rashdan berjalan menuju ke arah sofa di mana Zulaikha berada.

Melihat ketibaan Rashdan, Zulaikha menghulurkan tangannya tanda ingin bersalam. Rashdan menyambut tangan isterinya itu dan Zulaikha bertindak mencium tangan Rashdan.

"Abang nak air?" tanya Zulaikha, lembut.

"Tak apa, Ika tidurkan Zara dulu," jawab Rashdan, berbasa-basi.

Rashdan baru sahaja ingin melangkah pergi apabila Zulaikha menarik tangannya bagi menahannya. Rashdan hanya memandang isterinya tanpa sebarang kata-kata.

"Ika nak minta ampun dengan abang. Ika tak sepatutnya meragui kasih sayang abang pada Ika dan cemburu dengan Su. Ika cuma rasa tak yakin setiap kali Ika lihat Su,"

"Ika kena tahu, abang yang lepaskan Su. Bukan Su yang lepaskan abang. Abang tak layak untuk dapatkan dia semula walaupun Ika lepaskan abang sekalipun. Jadi, abang dah redha yang kami hanya boleh jadi kawan."

Zulaikha hanya mampu mendiamkan diri mendengar kata-kata Rashdan itu. Dia tahu ada benarnya kata-kata suaminya itu.

"Ika minta ampun ya abang," ulang Zulaikha lalu mencium tangan Rashdan semula.

"Abang maafkan Ika."

"Oh ya, abang. Tadi Lily call Ika."

"Ada apa dia call Ika?" tanya Rashdan, hairan.

"Su, dia ada di hospital sekarang. Keguguran," jelas Zulaikha, ringkas.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Hospital mana?" tanya Rashdan.

"Hospital yang sama dengan Haziq."

"Ika nak pergi? Kita bawa Zara, di sana kita bergilir tunggu anak."

Zulaikha hanya mengangguk. Melihat respon Zulaikha, Rashdan mengambil Zara dari pangkuan Zulaikha lalu mendukung anaknya itu.

"Ika pergi bersiap. Abang tunggu dengan Zara," ujar Rashdan.

Tanpa berlengah, Zulaikha menuju ke arah bilik tidur mereka untuk menukar pakaiannya. Rashdan hanya memerhatikan pemergian isterinya itu.

     *     *     *     *     *

Haziq sedang memandang Suraya apabila dia menyedari bahawa isterinya itu sudah sedarkan diri. Dia dapat melihat wanita itu memegang perutnya dalam keadaan sakit sebelum terkejut melihatnya berada di birai katil.

"Abang sudah sedar?" tanya Suraya, sedikit serak.

Haziq terkejut. Dia diberitahu oleh bapanya tadi bahawa isterinya tidak mengetahui tentang dirinya yang koma sejak seminggu lepas. Bagaimana pula isterinya boleh mengetahuinya?

"Apa maksud Su?" tanya Haziq, hairan.

"Su tahu abang koma, Su terdengar Makcik Jun berbual di telefon sebelum Su pengsan. Bila abang sedar semula?" tanya Suraya setelah menjelaskan keadaan sebenarnya.

"Pagi tadi, sebelum Su dikejarkan ke sini."

"Abang, kenapa perut Su sakit?"

Haziq tidak terus menjawab, dia tak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaan ini tanpa mengganggu perasaan isterinya.

"Su tumpah darah, anak kita sudah tidak bernyawa semasa doktor periksa tadi. Jadi, mereka terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan janin. Keadaan Su yang lemah membuatkan doktor tak mahu berikan Su ubat untuk keluarkan janin itu sendiri," jawab Haziq, lemah.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya air matanya yang mengalir deras membuatkan Haziq memegang tangan isterinya.

"Semua ini bukan salah Su, Allah belum izinkan lagi untuk kita menimang cahaya mata. Jangan salahkan diri," tegas Haziq dalam lembut.

"Su minta maaf, abang. Emosi Su lemah, sampaikan anak kita tak mampu diselamatkan."

"Kasih sayang abang pada Su takkan berkurangan dengan semua ini. Abang tunggu Su lama tahu? Abang tak kisah tentang anak, semua itu rezeki Allah," jelas Haziq sambil mengucup tangan isterinya.

"Su tahu tapi Su tak dapat nak bagi zuriat pada abang."

"Su, kita boleh cuba lagi. Sudah, abang tak nak Su fikirkan soal ini lagi."

"Abang tak sedihkah anak kita sudah tiada?" soal Suraya, berang.

"Tipulah kalau abang kata abang tak sedih tapi tak sesedih yang abang rasa semasa sayang nikahi Muhaimin dahulu," jawab Haziq, jujur.

"Apa abang ini? Tak ada kaitan pun dua perkara itu."

"Ada, sebab kalau hilang anak, boleh cuba lagi tapi kalau abang hilang sayang lagi, anak pun takkan ada."

Kata-kata Haziq membuatkan Suraya terbungkam. Ada benarnya kata-kata itu.

     *     *     *     *     *

Lily dan Puan Wardah sedang berbual dengan Datuk Muhsin dan Datin Nurina perihal keadaan Haziq dan Suraya apabila Encik Wahab tiba.

Lily yang menyedari kehadiran Encik Wahab berjalan menuju ke arah bapanya itu sebelum bertindak mencium tangan lelaki itu.

"Ayah dari mana? Dari pagi Lily tak nampak ayah," ujar Lily selepas dia mencium tangan ayahnya.

"Ayah pergi kedai tadi. Dari kedai itulah ayah terus ke sini. Su bagaimana?" tanya Encik Wahab selepas menjawab pertanyaan Lily.

"Alhamdulillah, pembedahan sudah selesai."

"Siapa yang melawat dia sekarang? Kalau tak ada sesiapa, ayah nak naik," ujar Encik Wahab.

"Haziq ada dengan Su sekarang."

"Haziq? Dia sudah sedar?"

"Sudah. Kata Pakcik Muhsin, Haziq sedarkan diri terlebih dahulu sebelum Suraya tumpah darah. Jadi, kami semua sepakat untuk biarkan laki bini itu selesaikan perihal keguguran itu sebelum kita semua bertemu dengan Su dan Haziq."

"Alhamdulillah, akhirnya semuanya dah selesai," jawab Encik Wahab, lega.

"Ayah datang dengan siapa?" tanya Lily sambil memandang belakang Encik Wahab.

Encik Wahab dapat melihat perubahan riak wajah Lily itu. Tahulah dia yang anaknya sudahpun mengetahui siapakah gerangan yang menghantarnya ke hospital itu.

"Kau buat apa di sini?" sergah Lily.

Mujurlah Encik Wahab cepat-cepat memegang tangan puterinya itu bagi menghalang wanita itu menyerang lelaki yang bersamanya.

"Ayah yang minta dia hantarkan ayah," jawab Encik Wahab, ringkas.

"Sudah hantar boleh balik terus, bukan? Kenapa pula nak sibuk di sini?" tanya Lily, kasar.

Puan Wardah mendekati Lily selepas melihat tingkah laku anaknya dari jauh itu.

"Apa ini, Lily? Malulah orang tengok!" bisik Puan Wardah.

"Biarlah orang tengok, biar orang tahu yang lelaki inilah yang curang dengan Lily dulu!"

"Astaghfirullah hallazim! Apa ini Lily? Kamu ini sudah kena rasuk hantukah?"

"Mamat inilah yang buatkan Lily kena rasuk hantu! Cakaplah, kau buat apa di sini?" jerkah Lily sekali lagi.

"Dia nak lawat Haziq dan Su, Lily ini kenapa?" tanya Encik Wahab.

"Macamlah tak boleh datang masa lain! Hendak juga datang semasa aku ada kat sini! Kau sebenarnya nak tengok muka aku sajakan?"

"Kalau betul pun, apa salahnya? Kau itu bukannya isteri orang! Sudah jadi mak orang, perangai itu jaga sikit boleh tak? Dulu, kau marahkan mak kau, tapi kau buat juga perangai macam dia buat dulu!" sampuk Rashdan yang datang dari belakang Aduka yang sedari tadi berdiri di sebelah Encik Wahab membuatkan Lily terkejut.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, June 21, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 26

 Link terdahulu:

Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13

"Pakcik akan beritahu kamu bila tiba masanya kelak. Buat masa ini, pakcik cuma nak tahu sama ada kamu masih mahukan anak pakcik ataupun tidak? Itu saja yang pakcik perlukan," tanya Encik Wahab.

Lama Aduka mendiamkan diri kerana dia sama sekali tidak pasti apakah ianya satu keputusan yang baik untuk kembali kepada Lily semula. Dia tahu begitu payahnya Lily ingin melupakan dirinya, dia tidak mahu berpaut kepada dahan yang sudah rapuh.

"Tak apalah kalau Aduka tak sudi. Pakcik faham," ujar Encik Wahab selepas melihat Aduka tidak memberikan apa-apa respon.

"Bukan begitu, pakcik. Saya ikhlas nak jaga Lily dan Cempaka, cuma saya tak rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya fikirkan diri saya sahaja. Saya tak nak Lily terima saya dalam keadaan tak rela atau terpaksa. Jadi, saya merasakan lebih baik saya cuba untuk memenuhi amanah arwah Adrian tanpa sebarang ikatan buat masa sekarang."

Encik Wahab terkesima mendengar penjelasan Aduka.

"Boleh pakcik tahu, kenapa Aduka lepaskan Lily dulu?"

"Saya sakit kritikal ketika itu dan saya tak mahu Lily bersusah-payah untuk menjaga saya yang mungkin koma, mungkin lumpuh."

"Selepas itu, apa yang terjadi pada kamu?"

"Saya koma selepas setahun dan terpaksa menjalani rehabilitasi selepas sedarkan diri semula."

Encik Wahab mendiamkan diri. Dia seorang lelaki, dia amat memahami situasi Aduka itu. Tidak salah tindakan Aduka di matanya. Cuma, bagaimana hendak membuatkan Lily faham bahawa itu adalah yang terbaik buat mereka ketika itu?

     *     *     *     *     *

Ketiadaan Datuk Muhsin dan Datin Nurina petang itu mengundang perasaan hairan di benak hati Suraya. Dia menyedari ibu bapa mentuanya itu pasti akan menghilangkan diri sama ada tengahari ataupun lewat petang.

Niat asalnya untuk meminta ibu mentuanya menemaninya untuk melakukan pemeriksaan kandungannya sebagai pendapat kedua tidak dapat dilaksanakan memandangkan ibu mentuanya tiada di rumah.

Jadi, dia berjalan menuju ke dapur dan terlihat Makcik Jun sedang bercakap di telefon bimbitnya. Pada mulanya, dia ingin keluar semula dari dapur tetapi langkahnya terhenti tatkala dia terdengar sebaris ayat yang mengundang perasaan hairan.

"Mak bukannya tak nak balik jenguh kubur arwah ayah kamu, tapi Suraya menantu Datuk sekarang dalam keadaan tak stabil. Datuk dan Datin pula harus menjaga Haziq di hospital."

Disebabkan ayat terakhir Makcik Jun, Suraya membuat keputusan untuk mencuri dengar perbualan pembantu rumahnya itu.

"Haziq macam itu jugalah, adik. Masih koma."

Terbungkam Suraya mendengar kata-kata Makcik Jun itu.

"Haziq koma? Kenapa papa dan mama tak beritahu aku?" Suraya bermonolog di dalam hatinya.

Suraya membuat keputusan untuk berjalan keluar dari dapur apabila kepalanya terasa pening. Namun, dia gagahkan jua untuk menahan kepeningan itu bagi mengelakkan Makcik Jun daripada mengetahui keberadaannya.

Namun begitu, usahanya gagal apabila dia mula hilang pertimbangan dan rebah ke atas lantai. Dia dapat mendengar jeritan Makcik Jun sebelum semuanya senyap dan pandangannya gelap.

     *      *      *      *     *

Datuk Muhsin sedang membacakan surah Yasin apabila dia terlihat jari telunjuk Haziq bergerak. Tanpa berlengah dia menekan butang panggilan kecemasan di tepi katil Haziq.

Tidak lama kemudian, seorang doktor dan seorang jururawat tiba.

"Doktor, tadi saya nampak jari anak saya bergerak," ujar Datuk Muhsin.

"Baiklah, pakcik. Saya periksa anak pakcik dulu. Minta pakcik tunggu di luar ya," ujar doktor tersebut sebelum menarik langsir yang mengelilingi katil Haziq itu.

Datuk Muhsin berjalan menuju ke luar bilik dan terlihat Datin Nurina sedang mengurut dadanya. Timbul rasa bimbang melihat keadaan Datin Nurina begitu.

"Abang, Su pengsan abang. Dia dalam perjalanan ke sini, Makcik Jun telefon ambulans tadi," ujar Datin Nurina, sedikit panik.

"Kalau begitu, awak tunggu dia di bawah. Abang sedang tunggu doktor periksa Haziq," jawab Datuk Muhsin.

"Kenapa denga Haziq?" tanya Datin Nurina, hairan.

"Tadi jari dia bergerak. Nanti apa-apa saya beritahu awak ya. Awak pergi tengok menantu kita dulu," jawab Datuk Muhsin.

Datin Nurina hanya mengangguk lalu berlalu pergi menuju ke arah lif yang terletak berdekatan.

"Ya Allah, Kau kuatkanlah anak dan menantuku ini," Datuk Muhsin bermonolog sendiri.

     *      *     *     *     *

Puan Wardah sedang melipat kain baju apabila telefon bimbit Lily yang terletak berhampiran dengannya berdering. Pada mulanya, dia mengabaikan sahaja kerana tidak mahu mengganggu privasi anaknya itu.

Namun begitu, setelah telefon bimbitnya berbunyi untuk kali ketiga, hati Puan Wardah mulai bimbang kerana dia tahu pasti panggilan itu penting.

Dia mencapai telefon bimbitnya, terpamer nama Lia di atas skrin. Tanpa berlengah, dia menjawab panggilan dari anak keduanya itu.

"Assalamualaikum kak, kenapa akak tak jawab panggilan Lia tadi?" tanya Camellia di hujung talian. Kedengaran suaranya sedikit panik.

"Waalaikumussalam Lia, ini ibu. Kakak tidurkan Cempaka di atas, dia terlupa ambil telefon bimbitnya. Ada apa, Lia?" jawab Puan Wardah, lembut.

"Oh, ibu rupanya. Lia cari kakak sebab nak minta kakak ke Gleneagles. Tadi pakcik Muhsin hubungi Muhaimin," terang Camellia.

"Gleneagles? Ada apa-apa jadi dengan Haziqkah?" tanya Puan Wardah, sedikit bimbang.

"Bukan Haziq, ibu. Kak Su, dia keguguran. Tadi dia pengsan di rumah, pembantu rumah jumpa dia sudah tumpah darah," sambung Camellia.

"Innalillah Wainnailaihi rajiun, jadi dia ada di sana sekarang? Bagaimana keadaan dia?" tanya Puan Wardah, panik.

"Doktor kata dia kehilangan banyak darah, dan Kak Su harus dibedah bagi mengeluarkan janin. Dia masih dalam bilik pembedahan. Haziq pula sudah sedarkan diri, tetapi dia masih menjalani ujian doktor."

"Kalau begitu, nanti ibu akan ke sana bersama kakak. Ayah sudah tahu?"

"Sudah, Lia sudah hubungi ayah tadi. Dia dalam perjalanan ke sana. Lia sedang tunggu abang balik jemput Lia. Nanti kami akan menyusul."

"Baiklah, kalau ada apa-apa berita, Lia sampaikan pada kami ya," jawab Puan Wardah sebelum mematikan talian.

Selepas itu, dia berlari menuju ke arah bilik Lily. Lily yang baru sahaja keluar dari bilik terkejut melihat ibunya berkejaran sambil memegang telefon bimbitnya.

"Kenapa, ibu?" tanya Lily, hairan dengan perilaku ibunya itu.

"Tadi Lia call kakak banyak kali, jadi ibu jawablah," jelas Puan Wardah.

"Baik, kenapa Lia call?" tanya Lily, ingin tahu.

"Suraya, dia pengsan dan tumpah darah tadi. Doktor kata dia keguguran," jawab Puan Wardah.

"Apa dia, ibu?" tanya Lily, terkejut.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, June 20, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 25

 Link terdahulu:

Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13

"Rashdan, kenapa diam?" tanya Lily, hairan dengan tindakan Rashdan yang mendiamkan diri itu.

"Aku bertengkar dengan Ika dan tak tidur bersama sejak semalam. Aku marah dengan sikapnya yang suka membandingkan dirinya dengan Su. Su dah berkahwin dua kali, kenapa masih tak mampu nak buangkan perasaan cemburu itu?" jawab Rashdan, lemah.

"Cinta pertama seorang lelaki pasti akan sentiasa dicemburui oleh pasangannya. Tak kiralah apapun status wanita itu sekarang."

"Then, kenapa tak halang aku berkawan semula dengan Su dulu? Alih-alih nak cemburu pula. Sekarang inipun aku tak tahu nak beritahu dia tentang Haziq kena tembak ataupun tidak. Kalau dia tahu, nanti bukan-bukan pula dia merepek."

Lily terdiam. Ada benarnya juga kata-kata Rashdan itu.

"Tak apa, biar aku beritahu dia. Aku rasa kau jangan datang hospital dulu. Tunggu aku beritahu dia dulu, tengok dia nak buat apa."

"Baiklah kalau begitu. Oh ya, ada orang panggil aku. Nanti apa-apa hal, kau hantar mesej pada aku ya?"

"Yalah," jawab Lily, pendek sebelum talian diputuskan oleh Rashdan.

Tanpa berlengah, Lily menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg tangannya semula lalu memasuki keretanya sebelum memandu keluar dari perkarangan rumahnya.


       *       *      *       *      *

Suraya terjaga dari tidurnya dan mendapati yang dia berada di atas katil di dalam bilik tidurnya. Dia melihat sebelah, tiada kelibat Haziq kelihatan membuatkan dia berasa hairan. Terus dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas rak bersebelahan katilnya, sudah jam 10 pagi membuatkan dia bertambah hairan kerana kebiasaannya, Haziq akan mengejutkannya untuk solat Subuh jikalau dia tidak bangun menjelang waktu Subuh.

Tanpa berlengah, dia bangun menuju ke arah bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk sebelum dia menunaikan solat Qada' Subuh pagi tadi.

Setelah selesai, dia keluar dan turun ke tingkat bawah di mana dia dapat melihat Datuk Muhsin dan Datin Nurina sedang menonton televisyen. Dia bertindak mendekati mereka berdua lalu duduk bersebelahan dengan Datin Nurina.

"Abang mana, ma? Su tak nampak bayang dia pun hari ini," tanya Suraya yang hairan dengan ketiadaan suaminya itu.

"Haziq? Dia ke Sarawak, katanya kawannya semasa dia di sana sakit. Dia minta maaf kerana tak sempat nak beritahu kamu," bohong Datuk Muhsin.

"Samarahan? Kawan dia yang mana? Kenapa tak adapun dia mesej?"

"Tak ada isyaratlah itu. Nanti-nanti dia telefonlah itu," bohong Datin Nurina pula.

Suraya tidak sama sekali menyedari bahawa dia sudah tidak sedarkan diri selama setengah hari sejak dia pulang ke rumah semalam. Atas persetujuan keluarga Haziq dan Suraya, mereka semua sepakat untuk merahsiakan keadaan Haziq yang masih dalam koma itu dan semua yang terjadi kelmarin dari pengetahuan Suraya. Sekiranya perlu, biarlah Suraya ingat sendiri.

"Su, tengahari ini mama dengan papa nak ke Pavilion, nak beli hadiah hari jadi Lina. Kamu nak ikut tak?" tanya Datin Nurina, cuba mengumpan menantunya itu agar dia keluar rumah. Dia tidak mahu Suraya terperap saja di rumah.

"Tapi ma, esok Isnin. Su kena kerja. Kalau ikut ma, nanti penat," jawab Suraya sambil memeluk lengan ibu mentuanya itu.

"Su tak ingatkah? Su cuti seminggu," duga Datin Nurina.

"Cuti seminggu? Kenapa?" tanya Suraya, hairan.

"Doktor bagi cuti seminggu kerana Su mengandung."

Jawapan Datin Nurina membuatkan Suraya bertambah hairan kerana dia sama sekali tidak mengingati bahawa dia mengandung. Jauh sekali mengingati bahawa dirinya cuti seminggu.

"Kenapa Su tak ingat Su cuti seminggu?" tanya Suraya, hairan.

"Su ingat tak Su pergi hospital kelmarin?" tanya Datin Nurina pula.

"Ingat, tapi tak ingat sebab apa. Rupanya sebab mengandung."

Datin Nurina memandang Datuk Muhsin. Tentang itu, mereka tidaklah mereka cerita kerana Suraya memang disahkan mengandung sebulan hasil pemeriksaan doktor ketika dia tiba di hospital kelmarin. Akan tetapi, gara-gara dia kerapkali kehilangan ingatan setiap kali pengsan, dia tidak meyedari doktor telah mengesahkan bahawasanya dirinya mengandung.

"Kalau begitu, bolehlah Su ikut."

"Kalau macam itu, siaplah. Mama malas nak masak, jadi kita makan di sana sajalah. Bagi peluanglah makcik Jun kamu rehat."

Mendengar kata-kata Datin Nurina, Suraya tidak menjawab dan terus saja bangun menuju ke biliknya.

Sebaik sahaja Suraya hilang dari pandangan, Datin Nurina menarik nafas lega.

"Kalau Haziq tak sedar juga, macam mana?" tanya Datin Nurina.

"Kita sama-sama doakan Haziq akan sedar semula secepat mungkin. Kalau tak, terpaksa dia kata dia koma kerana sebab lain."

"Sebab lain?"

"Kemalangan, mungkin. Asalkan Su tak ingat semula peristiwa hari itu."

Datin Nurina hanya mengangguk setuju cadangan Datuk Muhsin itu. Baginya, keselamatan menantu dan cucunya lebih utama buat masa ini.

     *     *     *     *     *

Muhammad sedang merokok di tepi kereta Muhaimin apabila Muhaimin tiba di keretanya itu. Melihat kehadiran majikannya, Muhammad membuang puntung rokoknya lalu memijaknya.

"Bagaimana, Mat? Jumpa bukti?" tanya Muhaimin.

"Jumpa, bos! Saya jumpa sebuah kereta berdekatan yang mempunyai dashcam dan merakam kejadian tersebut dengan jelas. Cumanya, ini hanya mampu membuatkan orang-orang bawahan Tan Sri saja yang ditangkap polis. Kita tak ada bukti Tan Sri terlibat!"

"Siapa pula kata kita tak ada? Hari itu awak bawa kereta siapa ke tempat mereka bawa Suraya itu?" tanya Muhaimin sambil tersenyum sinis.

"Kereta bos sebab nak cepat. Sekejap, kereta bos ada dashcam?" tanya Muhammad, kurang mengerti.

"Adalah, Mat! Pergi ambil rakaman dashcam saya dan semak kalau-kalau Tan Sri ada dalam rakaman hari itu," jawab Muhaimin sambil menepuk lengan Muhammad.

"Baik, bos!" jawab Muhammad sebelum menuju ke arah pintu pemandu kereta Muhaimin dan membukanya bagi mengambil kad memori kamera papan pemuka kereta Muhaimin. Selepas itu, dia menutup kembali pintu kereta itu lalu beredar dari situ.

Muhaimin hanya memerhatikan pemergian Muhammad sebelum telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarnya dan mendapati nama ayahnya tertera di skrin. Dia mengambil keputusan untuk menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum papa, papa ada di mana?" tanya Muhaimin, risau.

"Waalaikumussalam, papa ada di Bukit Kayu Hitam sekarang. Boleh tak kamu masukkan lima belas ribu ringgit dalam akaun papa sekarang?" tanya Tan Sri Mazlan pula di hujung talian.

"Papa nak buat apa duit banyak-banyak ini? Mat beritahu Muhaimin yang papa tembak Haziq, betulkah?"

"Janganlah banyak cerita, sekarang ini kamu ada duit sebanyak itu ataupun tidak?" bentak Tan Sri Mazlan tatkala disoal sebegitu oleh anaknya.

"Papa, Muhaimin baru saja dapat anak. Mana ada duit sebanyak itu. Papa nak pergi Siamkah?" tanya Muhaimin lagi.

Pertanyaan Muhaimin itu tidak dijawab, sebaliknya talian terus terputus. Melihat respon bapanya itu, tahulah dia bahawasanya bapanya ingin melarikan diri ke Thailand.

Tanpa berlengah, Muhaimin terus menghubungi seseorang.

"Hello Inspektor Saad, ini saya Muhaimin. Saya dapat berita bahawa ayah saya berada di Bukit Kayu Hitam sekarang," ujar Muhaimin sebaik sahaja orang yang berada di hujung talian menjawab panggilannya.

"Hello, encik Muhaimin. Kalau saya tak kenal kamu berdua, saya tak percaya kamu berdua ini anak-beranak. Kamu pastikah dengan tindakan kamu melaporkan ayah kamu ini?" tanya Inspektor Wahab, pegawai polis yang ditugaskan untuk menyiasat kes penculikan dan mencederakan Haziq dan Suraya.

"Saya lebih banyak terhutang budi dengan Suraya yang belum dibalas. Lagipun, bapa saya harus kembali ke pangkal jalan. Bukannya saya tak nasihatkan dia, Inspektor. Mungkin ini saja jalan yang boleh menyedarkan dia."

"Baiklah, kalau begitu. Saya akan uruskan perihal bapa kamu tapi kamu hati-hati. Kamu tahu perangai ayah kamu bukan?"

"Ya, saya tahu. Terima kasih Inspektor."

"Sama-sama. Saya ada hal ini, kalau ada perkembangan tentang ayah kamu, saya akan maklumkan pada encik Muhaimin ya. Assalamualaikum," jawab Inspektor Saad.

"Baiklah, waalaikumussalam."

Muhaimin terus sahaja memutuskan talian lalu menyimpan telefon bimbitnya kembali. Pening dia memikirkan soal bapanya dan bekas isterinya merangkap sepupu iparnya itu. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.

     *     *     *     *     *

Aduka sedang menyemak stok perniagaannya di bilik stor apabila dia mendengar loceng yang digantung di pintu masuk kedainya berbunyi. Dia yang baru sahaja membuka kedai menjual makanan sejuk beku sebulan yang lalu terus berjalan menuju ke hadapan kedai kerana sangkaannya ada pelanggan yang datang.

Namun begitu, kelibat seorang lelaki tua yang amat dikenalinya membuat dia terkesima kerana dia sama sekali tidak menyangka lelaki itu akan mencarinya di tempat kerja.

"Assalamualaikum Aduka," ujar Encik Wahab.

"Waalaikumussalam, pakcik. Saya sihat, bagaimana pula dengan pakcik?" jawab Aduka sebelum mendekati lelaki itu dan bersalaman dengannya.

"Pakcik sihat, Alhamdulillah. Semenjak makcik kamu dah berbaik dengan Suraya, pakcik rasa hidup pakcik makin tenang."

Mendengar kata-kata Encik Wahab, Aduka tersenyum. Dia amat mengetahui bagaimana ibu Lily itu membuatkan seluruh keluarga mereka huru-hara akibat kebenciannya terhadap Suraya dahulu.

"Faham sangat perasaan pakcik itu. Alhamdulillah, urusan pakcik sekarang dipermudahkan. Betapa besarnya impak makcik terhadap keluarga pakcik sekarang. Oh ya, maafkan saya. Pakcik, jemput duduk. Biasalah kedai kecil, sini sajalah tempat yang sesuai untuk berbual. Belakang sana cuma ada stor," jemput Aduka sambil menunjukkan kerusi yang berada berdekatan dengan kaunter bayaran.

Encik Wahab duduk di kerusi yang ditunjukkan oleh Aduka tadi manakala Aduka pula menuju ke peti ais untuk mengambil air mineral lalu dibawa kepada Encik Wahab. Dia meletakkan botol air mineral itu di atas meja berhadapan Encik Wahab sebelum dia duduk di kerusi berhadapan dengan lelaki itu.

"Maaflah, air yang lain manis. Tak sesuai untuk pakcik."

"Tak apalah, ini pun dah cukup. Pakcik datang nak berbual dengan kamu, bukannya nak minum air," seloroh Encik Wahab sebelum ketawa.

Aduka juga ikut ketawa mendengar kata-kata Encik Wahab itu. Terhibur jugalah hatinya dengan telatah bapa mentua tak jadinya itu.

"Pakcik sebenarnya ada perkara nak berbincang dengan kamu, mengenai Lily."

Kata-kata Encik Wahab selepas itu membuatkan Aduka terbungkam.

"Lily? Kenapa dengan dia?"

"Pakcik sebenarnya bimbang dengan keadaannya sejak pemergian Adrian, tapi pakcik tahu hatinya masih belum boleh memaafkan kamu atas tindakan kamu menghancurkan hatinya dulu."

Aduka tidak menjawab kerana dia tahu itulah yang berlaku sekarang.

"Cuma, Rashdan ada beritahu pakcik yang sebenarnya kamu tak curang dulu. Betulkah?"

"Saya curang ataupun tidak, benda itu sama sekali takkan mengubah pendirian Lily buat saya. Semasa saya membuat keputusan untuk berpura-pura curang dahulu, saya sudah bersedia untuk menghadapi implikasinya. Jikalau bukan kerana amanah Adrian, pastinya saya sudah hilangkan diri seluruhnya dari hidup Lily."

"Aduka tahu tak, sebenarnya orang perempuan ini, dia marah sebab dia sayang?"

"Tahu, tapi Lily bukan marah saya. Dia benci saya, pakcik."

Mendengar kata-kata Aduka, Encik Wahab tertawa. Hairan Aduka melihat respon Encik Wahab itu.

"Lily tak benci kamu, dia cuma marah. Kalau Lily bencikan seseorang, memang teruk kamu kena belasah dengan dia semasa pertama kali kamu bertemu dia semula. Cuma kamu ingat balik, semasa kamu bertemu dia semula dahulu, siapa yang paling bimbang?" tanya Encik Wahab selepas menjelaskan keadaan sebenarnya.

"Paling bimbang? Saya perasan Rashdan dan Ika minta maaf banyak kali pada Lily, malah semasa Su dan Haziq tiba, Su nampak macam tak senang duduk. Kenapa pakcik?"

"Itu adalah kerana Rashdan dan Su amat mengenali Lily. Ketika Rashdan mula-mula kenal Su dahulu, Lily pernah membelasah bekas teman lelakinya ketika itu kerana bencikan lelaki itu yang hampir meragut kesuciannya. Mujurlah Su tak sedap hati dan dia bersama Rashdan pergi mencari Lily, kalau tak sudah meninggal budak itu anak pakcik kerjakan."

Melopong Aduka mendengar kata-kata Encik Wahab itu. Masih ada sisi Lily yang tidak dia ketahui meskipun hampir sepuluh tahun dia mengenali wanita itu.

"Akan tetapi, Rashdan memberitahu pakcik yang Lily hanya bertikam lidah sahaja dengan kamu."

"Itu sebab ada Adrian. Malah, hari itupun dia kena marah dengan Adrian kerana saya," jawab Aduka, lemah.

"Adrian takkan mampu menghalang Lily sekiranya dia sudah tekad hendak menumbuk muka kamu. Mungkin kamu akan lebam setepek di muka," seloroh Encik Wahab lagi.

Akan tetapi, kali ini seloroh Encik Wahab tidak membuatkan Aduka tertawa. Dia masih memikirkan mengapa Lily tidak membencinya.

"Pakcik tahu, jauh di sudut hati Lily, kamu masih ada tempat istimewa itu. Kalau tidak, masakan Adrian mengamanahkan anak dan isterinya buat kamu?" sambung Encik Wahab lagi setelah melihat tiada respon dari Aduka.

"Saya tak tahu bagaimana nak pulihkan keadaan, pakcik. Lily tak mahu bertemu dengan saya, apatah lagi hendak bawa berbincang," jawab Aduka.

"Kalau pakcik tolong kamu, bagaimana?" tanya Encik Wahab.

"Tolong apa, pakcik?" tanya Aduka, hairan.

*BERSAMBUNG*

Monday, June 19, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 24

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21
Bahagian 22
Bahagian 23

"Apa dia?" tanya Muhaimin, terkejut.

"Orang-orang Tan Sri memang lakukan seperti apa yang bos jangkakan. Baru saja tadi mereka buat operasi," jawab Mohamad.

"Baik, kau ikut saja mereka. Sebaik sahaja mereka tiba di mana-mana destinasi, kau berikan lokasi mereka pada aku. Kalau kau rasakan keadaan terlalu berbahaya, kau hubungi polis," arah Muhaimin.

"Bos nak libatkan polis dalam kes ini? Itu ayah bos kot!"

"Alahai, nanti dia terlepas jua! Aku cuma semuanya selamat, itu saja."

"Baiklah, bos. Apa-apa saya akan laporkan lagi," jawab Mohamad sebelum mematikan panggilan tersebut.

Muhaimin menyimpan semula telefon bimbitnya sebelum memandang Camellia yang sedari tadi memandangnya.

"Apa halnya sampai kena hubungi polis?" tanya Camellia, ingin tahu.

"Tak ada apa-apalah, sayang. Jom tidur," ngelat Muhaimin sebelum menarik tangan Camellia menuju ke dalam bilik tidur mereka yang terletak berhadapan dengan tingkap tempat mereka berdiri tadi.

     *     *     *     *     *

Haziq terjaga dari tidurnya dan mendapati kaki dan tangannya terikat. Dia cuba membuka matanya, semuanya gelap gelita membuatkan dia tak pasti dia berada di mana. Ternyata matanya juga telah ditutup dengan kain. Dia cuba membuka mulutnya, tetapi terasa seperti ada pita menutupi mulutnya membuatkan dia tak dapat bersuara.

Dia terdengar ada seseorang yang lain yang sedang bergerak, membuatkan dia pasti dia tidak keseorangan. Cuma dia tidak pasti adakah dia bersama dengan Suraya ataupun orang lain kerana sebelum dia tidak sedarkan diri, Suraya masih berada bersamanya.

Sedang dia cuba mencari jawapan, pita yang menutupi mulutnya dan kain yang menutup matanya ditarik dan dia membuka matanya. Meskipun silau, dia dapat melihat dirinya berada di hadapan seseorang yang sedang duduk di atas sofa.

Haziq melihat sekeliling, kelihatan Suraya yang sedang memandang orang yang berada di hadapan mereka itu membuatkan dia juga turut melihat ke arah orang tersebut. Alangkah terkejutnya dia melihat Tan Sri Mazlan yang berada di hadapan mereka suami isteri.

"Tan Sri buat apa ini?" tanya Haziq, hairan dengan situasi yang berlaku.

"Kau diam, Haziq! Aku hanya ada urusan dengan Suraya ini, kau duduk saja situ diam-diam kalau kau nak selamat," jawab Tan Sri Mazlan sambil memandang ke arah Suraya yang masih lagi mendiamkan diri.

"Urusan apa?" tanya Haziq lagi, setelah melihat Suraya masih tidak berkata apa-apa. Tekanya, Suraya sudah boleh menduga apa yang sedang berlaku.

"Su rasa kenapa saya nak susah-payah bawa Su dan Haziq ke sini ya?" tanya Tan Sri Mazlan kepada Suraya tanpa menjawab soalan Haziq itu.

"Saya akan serahkan video itu pada Tan Sri, kalau Tan Sri janji akan lepaskan kami berdua," jawab Suraya, perlahan.

"Nampaknya Su tahu apa yang saya nak, tapi bagaimana saya nak pastikan Su tak ada salinan di mana-mana?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Saya dah padamkan semua salinan lain, kecuali di dalam telefon bimbit saya dan dalam simpanan Muhaimin," jawab Suraya.

"Am, berikan Suraya telefon bimbitnya," ujar Tan Sri Mazlan.

Amri menyerahkan telefon bimbit Suraya kepada wanita itu lalu mengacukan pistol kepada Haziq manakala seorang lagi orang suruhan Tan Sri Mazlan meleraikan ikatan yang membelenggu pergelangan tangan Suraya.

Suraya membuka lokasi fail video yang dimahukan oleh Tan Sri Mazlan lalu menyerahkan kepada Amri. Amri mengambil telefon bimbit Suraya lalu menyerahkan kepada Tan Sri Mazlan.

Tan Sri Mazlan membuka fail tersebut bagi memastikan bahawa itu adalah fail yang betul. Selepas dipastikan fail itu merupakan video yang dimaksudkan, Tan Sri Mazlan menghempaskan telefon bimbit Suraya ke atas lantai sebelum memijaknya.

Tindakan Tan Sri Mazlan mengejutkan Haziq tetapi tidak Suraya. Suraya masih lagi kelihatan tenang walaupun ketika lelaki yang meleraikan ikatan tangannya bertindak mengikatnya semula.

"Saya anggap Suraya tak simpan salinan lain, seperti yang Suraya katakan. Saya tak nak Suraya gunakan itu sebagai senjata untuk mempergunakan Muhaimin di masa akan datang. Oh ya, Suraya sekarang buat apa? Susah betul saya nak cari Suraya," ujar Tan Sri Mazlan sambil tersenyum sinis.

Suraya tidak menjawab, membuatkan Tan Sri Mazlan hilang sabar dan mengambil pistol di tangan Amri lalu diacukan kepada Haziq.

"Saya sekarang bekerja dengan Haziq," jawab Suraya, cemas tatkala melihat tindakan Tan Sri Mazlan itu.

"Alahai, takkan setiap kali tanya, nak kena acukan pistol pada Haziq baru Suraya nak jawab kot? Apa istimewanya Haziq sampai Suraya jadi begini?" tanya Tan Sri Mazlan lagi.

Suraya memandang Haziq, Haziq menggelengkan kepalanya tanda isyarat supaya Suraya tidak menjawab soalan Tan Sri Mazlan itu. Suraya hanya menurut.

Melihat tiada jawapan daripada Suraya, Tan Sri Mazlan bertindak menembak ke arah Haziq. Meskipun Haziq sempat mengelak, tetapi peluru yang bergesel di pergelangan tangannya membuatkan lengan Haziq luka.

Tembakan yang dilepaskan Tan Sri Mazlan membuatkan Suraya terkejut lalu menjerit. Dia tidak kisah andai dirinya yang ditembak, tetapi dia sama sekali tidak mampu memaafkan dirinya andai ada apa-apa berlaku kepada Haziq.

"Jangan tembak lagi, saya jawab semua soalan Tan Sri!" jawab Suraya yang sudah mula ketakutan.

"Bagus, Suraya. Bukankah senang kalau dari mula Suraya bekerjasama dengan saya?" tanya Tan Sri Mazlan sebelum mengacukan pistol ke arah Suraya pula.

"Tan Sri, jangan apa-apakan Suraya! Tan Sri bunuh sajalah saya tapi jangan apa-apakan dia," ujar Haziq yang sudahpun mengengsot mendekati Suraya yang sudahpun menggigil ketakutan itu.

"Tak best kalau aku bunuh kau terus, Haziq! Perniagaan ayah kamu masih tetap maju walaupun aku bunuh kau sekarang," ujar Tan Sri Mazlan.

Sedang Tan Sri Mazlan mengacukan pistol kepada Suraya, tiba-tiba Mohamad yang datang secara mengejut membuatkan Tan Sri Mazlan melepaskan tembakan secara tidak sengaja. Tembakan yang sepatutnya terkena Suraya akhirnya terkena di bahagian perut Haziq.

Melihat suaminya ditembak membuatkan Suraya menjerit dan meraung. Tambahan pula, kaki tangannya yang terikat membuatkan dia tidak mungkin boleh memegang Haziq yang sedang mengerang kesakitan, juga dalam keadaan kaki tangan yang terikat.

Tan Sri Mazlan pula mulai panik dan terus melarikan diri, diikuti oleh konco-konconya. Mohamad tidak mengejar, sebaliknya mendekati Suraya lalu membuka ikatan Suraya. Selepas itu, dia bertindak menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.

Suraya mendekati Haziq setelah ikatannya dibuka, lalu memangku suaminya itu. Haziq masih lagi mengerang kesakitan, lebih-lebih lagi ketika Suraya mengangkatnya untuk dipangku.

"Abang, jangan tinggalkan Su abang! Abang jangan tidur tahu?" pinta Suraya bagi menghalang Haziq daripada pengsan.

"Ya, abang tahu. Lega abang Su tak apa-apa," jawab Haziq dengan suara yang tersekat-sekat.

"Cik Suraya, Encik Haziq, ambulans dalam perjalanan. Paling cepat mereka akan sampai dalam masa 15 minit lagi. Encik Haziq cuba bertahan ya?" sampuk Mohamad, setelah berjaya menghubungi talian kecemasan.

"Baik, terima kasih Mat. Bagaimana awak tahu saya di sini?" tanya Suraya, hairan dengan kemunculan Mohamad kerana setahunya, Mohamad merupakan pengawal peribadi Muhaimin.

"Bos suruh saya ekori Amri kerana dia sudah dapat menduga yang Tan Sri akan cuba menculik cik Suraya tapi tak sangka pula dia akan culik cik dengan Encik Haziq sekali," jawab Mohamad.

"Mereka tak ada pilihan sebab saya bersama Haziq ketika itu."

"Faham, lagipun cik Suraya sudah bernikah dengan Encik Haziq bukan? Saya terlupa pula tentang itu, rasanya bos ada beritahu."

"Tan Sri tahukah?" tanya Suraya, bimbang.

"Tak pastilah, puan. Mungkin tahu, mungkin tidak. Kali terakhir saya dengar, mereka belum tahu tapi mereka sudahpun mencari rekod pernikahan puan di Jabatan Agama setiap negeri."

Mendengar jawapan Mohamad, Suraya terkedu. Dia sama sekali tidak menduga bekas ayah mentuanya itu akan bertindak sejauh itu. Sangkaannya, cukup mereka diculik hanya untuk mengertak tetapi ternyata api kemarahannya lebih dalam dari itu.

"Su, tolong abang! Sakitnya!" teriak Haziq membuatkan Suraya kembali panik. Dia melihat Haziq sudah tidak mampu menahan kesakitan, tetapi masih tiada tanda-tanda ambulans akan tiba.

"Abang, jangan begini abang! Sekejap lagi ambulans sampai," jawab Suraya sambil mengusap wajah Haziq bagi menenangkan lelaki itu.

Namun begitu, Haziq tidak sedarkan diri sebaik sahaja Suraya menghabiskan ayat itu membuatkan Suraya kembali meraung.

"Abang! Jangan tinggalkan Su, abang!" jerit Suraya sebelum pandangannya kelam. Dia tidak dapat mengingati apa-apa lagi selepas itu.

     *     *     *     *     *

"Bagaimana dengan Haziq?" tanya Muhaimin sebaik sahaja menghantar Camellia untuk melawat Suraya yang masih berada di wad kecemasan.

"Dia baru sahaja selesai dibedah. Mujurlah peluru tak mengenai mana-mana organ dalamannya, tetapi dia sudahpun kehilangan banyak darah. Jadi, doktor tak boleh pastikan bila dia akan sedar semula," jawab Mohamad.

"Dia di mana sekarang?" tanya Muhaimin.

"Dia baru sahaja masuk ke dalam wad. Wad pembedahan penuh, jadi dia ditempatkan sementara di wad perubatan. Akan tetapi, saya tak pasti adakah dia boleh dipindahkan ke hospital lain ataupun tidak kerana keadaannya ketika tiba tadi agak kritikal."

"Tak apalah, itu biar keluarganya putuskan. Suraya pula bagaimana?" tanya Muhaimin lagi.

"Puan Suraya itu lagi satu hal. Agaknya dia trauma teruk, bila dia sedarkan diri tadi, doktor tanya apa yang berlaku, dia cakap dia tak ingat apa-apa. Doktor suruh dia cuba ingat semula, tiba-tiba dia pengsan. Bila doktor buat CT scan, doktor tak jumpa apa-apa kecederaan di mana-mana. Jadi, doktor terpaksa rujuk kes dia pada pakar psikiatri."

"Apa yang dia tak ingat?"

"Dia tak ingat apa yang berlaku pada dia sepanjang hari ini. Kali terakhir dia ingat adalah saat dia bangun tidur pagi semalam. Dia langsung tak ada tanya Haziq di mana, kerana dia ingat Haziq keluar ke kedai."

"Jadi, tak ada sesiapapun yang boleh beritahu polis saat mereka diculik?" tanya Muhaimin, sedikit terkejut.

Mohamad hanya menggelengkan kepala.

"Melainkan kalau Haziq sedar cepat, kalau Haziq koma, masak kita semua!" ulas Muhaimin.

"Sekiranya tiada siapa yang boleh sahkan mereka diculik dan ditembak, maka ayah bos selamatlah."

"Nampaknya begitulah. Akan tetapi, aku betul-betul harap polis tak lepaskan kes mereka," jawab Muhaimin.

"Kenapa?"

"Ayah aku berdendam bukan pada Suraya saja, tapi pada keluarga Haziq juga. Lagipun, kes video itu dah selesai bukan? Jadi, tinggal Haziq saja. Ayah aku sebenarnya marah sebab dia terlepas dua projek besar di tangan ayah Haziq," jawab Muhaimin.

"Projek mana?" tanya Mohamad.

"Projek hospital di Sarawak dan jalan raya di Sabah. Tender itu bukan sikit jumlahnya, kalau siap syarikat boleh dapat modal penuh untuk tahun depan."

"Patutlah, projek kerajaan rupanya."

"Itulah, tegahkan wang, akhlak binasa. Aku ini kalau tak jumpa Suraya dan Camellia, agaknya begitulah perangai aku juga."

"Alhamdulillah, bos. Allah itu Maha Kuasa."

Muhaimin terlihat Camellia menghampiri mereka dengan wajah yang resah.

"Kenapa ini?" tanya Muhaimin, sebaik sahaja Camellia berada di hadapannya.

"Suraya, dia sudah jumpa pakar psikiatri tadi. Doktor syak sama ada Suraya alami PTSD atau Repressed Memories," jelas Camellia.

"Okay, make sense. Jadi, kenapa muka you macam ini?" tanya Muhaimin, hairan bercampur lega kerana Suraya tidak alami apa-apa masalah besar.

"Masalahnya, dia asyik pengsan. Setiap kali dia bangun, bila dia cuba nak ingat apa yang berlaku padanya, dia akan pengsan. Doktor nak hantar dia pulang, tapi pihak polis nak juga keterangan daripadanya."

"Alamak, bagaimana ini?" tanya Mohamad.

"Tak apa, sekejap lagi I pergi jumpa inspektor itu. Rasanya kita kena hantar Suraya balik juga, bagi dia masa untuk bertenang. Kalau PTSD, mungkin masih ada harapan untuk dapatkan keterangan dia," jawab Muhaimin.

"PTSD itu apa? Repressed Memories pula? Apa beza kedua-duanya?" tanya Mohamad.

"PTSD itu adalah Post-Traumatic Stress Disorder, atau Kecelaruan Stres Postrauma di mana pesakit akan mengalami masalah psikologi akibat trauma akan satu-satu kejadian. Ada orang akan ada kecelaruan panik, ada yang hilang ingatan, ada yang fobia dan macam-macam lagi. Repressed Memories adalah salah satu penyakit yang berkaitan dengan PTSD ini, di mana pesakit akan melupakan satu-satu kejadian atau orang akibat trauma. Akan tetapi, Repressed Memories ini lebih kepada kejadian secara semula jadi, tak ada kaitan dengan kecederaan. Kiranya Suraya sendiri yang pilih nak lupakan kejadian itu," jelas Muhaimin.

"Mana you tahu semua ini?" tanya Camellia, hairan.

"I dengan Haziq bukankah pernah sama kolej? Kami sama-sama ambil jurusan psikologi, bukan?" tanya Muhaimin.

"Oh, yalah. Lupa pula I. Almaklumlah, sebab dia jadi kaunselor tapi you tak. Jadi, manalah I nak ingat," jawab Camellia sambil tersengih.

"Baguslah, bos. Belajar bidang lain, kerja bidang lain."

"Aku dulu konon nak rebel pada ayah aku, itulah jadinya."

Mendengar jawapan Muhaimin, Camellia dan Mohamad hanya mampu menahan tawa mereka. Bimbang kalau mereka ketawa, Muhaimin akan naik angin pula.

      *      *     *     *     *

Puan Wardah sedang menonton televisyen apabila Lily keluar dari bilik, siap berpakaian seperti hendak keluar. Sejak kematian Adrian, Lily dan Cempaka pindah masuk ke rumah ibu bapanya atas desakan Encik Wahab dan Suraya yang bimbangkan keselamatan dua beranak itu.

"Lily nak ke mana itu?" tanya Puan Wardah.

"Lily nak ke hospital, Lia call tadi. Haziq kena tembak depan mata Suraya," jawab Lily.

"Bagaimana Lia pula yang tahu? Tunggu ibu, ibu nak ikut," ujar Puan Wardah, ingin bangun untuk bersiap.

"Ibu, tak payah ikut Lily dulu. Lily tak bawa Cempaka, jadi nak minta tolong ibu tengok-tengokkan Cempaka. Lily dah tidurkan dia tadi. Lily ke sana dulu, nanti bila Lia dengan Muhaimin balik sini, kalau ibu nak pergi dengan ayah, bolehlah," tegah Lily.

"Oh, ya tak ya juga. Baiklah, nanti apa-apa Lily hubungi ibu."

"Baiklah, ibu."

"Keluarga Haziq dah maklumkan?" tanya Puan Wardah.

"Sudah, mereka dalam perjalanan ke sana. Lia hubungi mereka tadi sebab Su asyik pengsan saja."

"Yalah, Lily pergi cepat. Kasihan Lia dengan Muhaimin tunggu nanti," jawab Puan Wardah.

Lily menghulurkan tangannya sebelum disambut Puan Wardah lalu diciumnya tangan ibunya. Selepas itu, Lily segera meninggalkan rumah.

Sebelum sempat dia masuk ke dalam kereta, bunyi telefon bimbitnya yang tersimpan di dalam beg tangannya membuatkan dia terkejut. Dia mengambil telefon bimbitnya di dalam beg dan melihat skrin telefonnya tertera nama Rashdan. Tanpa berlengah, dia menjawab panggilan tersebut.

"Lily, betulkah apa yang aku baca? Haziq kena tembak?" tanya Rashdan, panik.

"Betullah, buat apa aku nak tipu kau pula? Aku dah nak gerak ke hospital ini. Kita jumpa di sana?" jawab Lily.

"Aku ke sana petang sikitlah, aku di pejabat Datuk Muhsin ini. Tandatangan surat tawaran kerja, aku dapat kerja itu."

"Kau dapat kerja itu? Alhamdulillah, tak payahlah kau nak tipu Ika lagi."

"Ika dah tahu aku menganggur, aku beritahu dia semalam."

"Habis itu, dia jawab apa?"

Rashdan tidak menjawab soalan Lily, sebalik hanya mendiamkan diri membuatkan Lily mulai resah.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, June 14, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 23

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21
Bahagian 22

Jawapan Rashdan membuatkan Zulaikha terkedu.

"Apa dia, abang?" tanya Zulaikha, inginkan kepastian.

"Abang sudah dua bulan menganggur. Pagi tadi abang pergi temu duga di syarikat ayah Haziq, sebab itu Ika nampak macam abang balik awal. Pada mulanya, abang ingat nak rahsiakan dan terus masuk kerja di syarikat baru andai abang diterima tapi bila Ika minta nak bercuti, abang jadi penat. Bulan lepas Ika minta tukar sofa, bulan sebelumnya Ika minta tukar dapur. Permintaan Ika yang itupun abang masih belum tunaikan, Ika dah minta benda lain?" jelas Rashdan, melepaskan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Salahkah Ika minta?" tanya Zulaikha, berang.

"Tak salah, tapi berpadalah."

"Itu sebab Ika tak tahu abang tak bekerja," jawab Zulaikha.

"Habis itu, kalau abang masih bekerja sekalipun, apakah Ika pasti abang mampu untuk tunaikan semua permintaan Ika dengan gaji abang ketika itu?"

Zulaikha terdiam.

"Ika, tolong jangan bandingkan hidup Ika dengan Su, atau Lily. Hidup kita semua tak sama. Betul, Su dapat suami dari golongan berada, bukan sekali tapi dua. Ika tahu bukan berapa lama dia menderita untuk dapatkan kebahagiaan? Itupun belum pasti lagi dia betul-betul bahagia ataupun tidak. Masalah rumah tangga dia, takkan dia nak cerita semua? Macam Lily pula, Ika tengok arwah Adrian sangat sabar melayan kerenah Lily tapi bagaimana pula dengan nasib Lily sekarang?"

Zulaikha masih lagi mendiamkan diri.

"Harta benda, bukan ukuran kebahagiaan. Ika sepatutnya bersyukur dengan apa yang Ika ada. Abang tak pernah duakan Ika, walaupun dengan kehadiran semula cinta pertama abang dulu. Itu saja dah buat Ika jauh lebih beruntung dari ramai isteri di luar sana. Ika sedar tak?" sambung Rashdan lagi sebelum ingin beredar keluar dari bilik itu.

"Sewaktu Su datang semula dalam hidup abang, pernahkah abang terlintas nak duakan Ika?" tanya Zulaikha, membuatkan langkah Rashdan.

"Tipulah kalau hati abang tak goyah, dia cinta pertama abang. Cuma, abang masih ada akal fikiran. Jangankan sebab benda yang tak pasti, abang buang benda yang pasti dalam tangan abang," jawab Rashdan sebelum menyambung langkahnya ke bilik tetamu lalu mengunci dirinya di dalamnya.

Mendengar jawapan suaminya itu, Zulaikha terduduk lalu menangis semahunya. Barulah dia sedar bahawa dia amat beruntung jika dibandingkan dengan Suraya dan Lily yang pernah dicemburuinya dalam diam itu.

     *     *     *     *     *

"Bos, saya ada benda penting nak laporkan pada bos," ujar Mohamad, pengawal peribadi Muhaimin sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.

"Apa dia?" tanya Muhaimin, sambil membelek laporan yang ada pada skrin tab miliknya.

"Ayah bos, dia arahkan orang untuk intip cik Suraya," jawab Mohamad.

"Kenapa pula?"

"Khabarnya, dia nak tahu kenapa bos pilih untuk bercerai dengan cik Suraya dulu dan ayah bos dah dapat salinan video bos dengan puan," jawab Mohamad lagi.

"Dia tahu di mana Suraya sekarang?"

"Nampak gayanya macam sudah tahu, cuma sekarang ini dia masih menyiasat apakah hubungan cik Suraya dengan encik Haziq, anak Datuk Muhsin."

"Dia tahu Suraya ada salinan video itu?"

"Tahu, bos."

"Kau ada sesiapa yang boleh ekori ayah aku tak?"

"Kenapa, bos?"

"Jawab sajalah!"

"Tapi itu Tan Sri Mazlan, bos! Siapa berani buat hal dengan dia?"

"Aku kenal ayah aku, sebab itulah aku suruh seseorang ekori dia. Kalau susah sangat, cari orang yang boleh ekori Amri. Bagaimana?" tanya Muhaimin.

"Lebih mudah cari orang untuk ekori Tan Sri, bos!"

"Nanti apa-apa perkembangan, cepat-cepat laporkan pada aku. Tak kira pukul berapa sekalipun, faham?"

"Faham, bos!" jawab Mohamad.

Muhaimin tidak menyambung perbualan mereka dan meneruskan kerjanya yang terhenti tadi. Dalam hatinya, dia berharap agar apa yang dia fikirkan tidak berlaku.

     *     *     *     *     *

Lily dan Suraya duduk di sebuah bangku berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak di mana Cempaka sedang bermain bersama Haziq. Walaupun kelihatan seperti Lily sedang memerhatikan Cempaka, namun Suraya tahu fikiran Lily sudahpun menerawang entah ke mana memandangkan dia tidak sama sekali menyedari kehadiran Aduka berdekatan mereka.

Namun begitu, ketika Cempaka mula mendekati Aduka yang duduk di bangku yang lain dan minta untuk didukung, Lily mula menyedari kehadiran lelaki lalu bangun menuju ke arah Aduka.

"Kenapa kau usik anak aku?" tanya Lily, cuba untuk merampas Cempaka daripada Aduka membuatkan semuanya terkejut termasuklah Cempaka. Tindakan Lily telah membuatkan Cempaka mula menangis dan meronta-ronta tidak mahu berenggang daripada dukungan Aduka.

Aduka tidak menjawab, sebaliknya dia cuba untuk tidak mencederakan Lily atau Cempaka. Namun, tingkah dua beranak itu menyukarkannya dan memberikan isyarat kepada Suraya dan Haziq untuk membantunya.

"Lily, cuba bawa bertenang. Bukan Aduka yang ambil Cempaka tapi Cempaka yang minta Aduka dukung dia," jelas Suraya sambil mencuba untuk meleraikan Lily dari Cempaka.

"Dia anak aku dengan abang Adrian, kenapa jantan ini sibuk nak dukung anak aku?" teriak Lily seperti orang kurang siuman.

"Cempaka cuma ajak Aduka bermain dengan dia saja," jawab Suraya sambil memeluk Lily yang meronta-ronta itu.

Mendengar jawapan Suraya, Lily menepis Suraya sehingga dia hilang keseimbangan lalu terjatuh. Mujur Suraya sempat disambut oleh Haziq yang berada di belakang mereka.

Suraya dan Haziq hanya mampu melihat Lily yang mengambil semula Cempaka dari dukungan Aduka sebelum berlalu pergi.

Sengaja Suraya dan Haziq tidak mengejar Lily kerana mereka tahu kedegilan Lily. Tak guna bertikam lidah dengan seseorang yang baru sahaja kehilangan, mana mungkin dia akan membuka hatinya.

"Sorry bro, dia masih belum stabil," ujar Haziq sambil memegang bahu Aduka yang masih lagi terkejut dengan tindakan Lily tadi.

"Aku okay, cuma aku bimbangkan Cempaka. Budak itu bukan tahu apapun, kenapa dia nak marah sangat?" tanya Aduka, hairan dengan perubahan sikap Lily.

"Dia tertekan, mana mungkin dia dapat menerima kehilangan Adrian dengan begitu mudah. Jadi, hanya kau saja tempat lepas geram yang dia ada," jawab Suraya yang masih memegang pinggangnya yang sakit akibat terjatuh tadi.

"Kalau tak kerana amanah arwah Adrian, memang tidaklah aku nak hadap muka dia lagi. Sayang macam manapun, kalau kau dilayan ibarat sampah, letihlah."

"Sabar banyak-banyak, pasti ada hikmahnya kenapa semua benda ini berlaku kepada kau," jawab Haziq.

"Aku cuba untuk bersabar, itu saja yang aku boleh lakukan. Akan tetapi, kalau dia tak nak bantu diri dia sendiri, macam mana?" tanya Aduka, tidak puas hati.

Mendengar kata-kata Aduka, Suraya dan Haziq terdiam. Mereka tahu Aduka tidak perlu untuk menjaga Lily dan Cempaka, tetapi atas sebab amanah yang diberikan oleh arwah Adrian, Aduka terpaksa diamkan. Pastinya lelaki itu akan penat jua akhirnya.

     *      *      *     *     *

"Sayang, kenapa termenung ni?" tanya Camellia setelah melihat Muhaimin termenung memandang ke arah luar tingkap.

Pertanyaan Camellia membuatkan Muhaimin berpaling dan memandang ke arah isterinya itu.

"Tak ada apa-apa. Cuma, terfikir soal kerja yang tak habis-habis itu," jawab Muhaimin sebelum memeluk isterinya.

"Sayang, I tengok you banyak berubah sejak kita kahwin. You dah mula nak solat, seronok I tengok," ujar Camellia, sambil tersenyum memandang Muhaimin.

"Sebab Allah dah berikan I isteri yang I nak, jadi apa lagi alasan I nak berpaling dari Dia?" tanya Muhaimin, inginkan persetujuan isterinya itu.

"Ya, Allah berikan you seorang isteri yang buruk bagi you tapi kalau tak kerana dia, kita takkan jadi suami isteri. Sampai I mati, I takkan lupa pengorbanan Kak Su pada kita," jawab Camellia.

"Andai katalah I terjatuh cinta pada Su dulu, apa yang akan you lakukan?" duga Muhaimin.

"I akan lepaskan you, dengan senang hati. Kak Su banyak berkorban untuk keluarga I, kalau you betul-betul sayangkan dia, I sanggup lepaskan you asalkan dia bahagia," jawab Camellia sambil tersenyum.

Mendengar jawapan dan melihat reaksi Camellia, Muhaimin tahu isterinya ikhlas dengan jawapannya. Benar, Suraya telah banyak berkorban untuk kebahagiaan semua orang sehinggakan dia lupa akan kebahagiaannya. Atas sebab itulah, Muhaimin nekad untuk melindungi Suraya sekiranya dia dalam bahaya.

"Sebab inilah I sayang you," jawab Muhaimin sebelum menguatkan pelukannya.

"I pun sayangkan you. Tambahan pula, you dah bagi I peluang untuk jadi ibu pada Mikail," ujar Camellia sambil tersenyum.

"Tak cukuplah Mikail seorang, I nak anak lima!" seloroh Muhaimin.

"Amboi!" ujar Camellia sebelum mencubit Muhaimin.

"Oh ya, hari itu ibu pergi jumpa Kak Su di rumah abang Haziq."

"Kenapa tiba-tiba ibu nak jumpa Su?" tanya Muhaimin, hairan.

"Dia nak minta maaf. Hari itu I tak tahan dengar ibu asyik salahkan Kak Su tentang apa yang dah terjadi, jadi I berterus-terang tentang apa yang berlaku antara kita bertiga malam itu," jawab Camellia.

"You tunjuk video itu pada ibukah?" tanya Muhaimin, setelah terkejut mendengar kenyataan Camellia itu.

"Ya, I tunjuk video itu guna komputer you. Kenapa?" tanya Camellia.

"Patutlah," jawab Muhaimin sebelum mengeluh.

"Kenapa, sayang?" tanya Camellia, hairan.

"Puas I fikir bagaimana ayah I tahu tentang video itu, sedangkan cuma I dengan Su saja yang ada salinannya. I terlupa nak beritahu, telefon bimbit kita berdua, komputer I semuanya ayah I boleh semak. Cuma, nasib baik you masih pakai telefon bimbit lama you, bukan?" jelas Muhaimin.

"Ayah boleh semak telefon dengan komputer kita?" tanya Camellia, inginkan kepastian.

"Ya, sayang. Sewaktu I masih bersama Suraya pun dia buat benda yang sama, sebab itulah sejak kami bercerai, Su jual kereta, komputer dan telefon bimbitnya. Malah, I sendiripun ada pasang pengesan pada barangan Su dulu," jawab Muhaimin.

"Habis itu, dengan I pun you ada pasangkah?" tanya Camellia, sedikit geram.

"I have to, sebab I dengan ayah ramai musuh. I tak nak sesiapa apa-apakan you. Tapi tak sebanyak yang I pasang pada Su dululah," jelas Muhaimin.

"I tak fahamlah, kenapa you pasang banyak pengesan pada Kak Su kalau you tak cintakan dia? You arahkan pengawal jaga dia juga, bukan?" tanya Camellia, hairan.

"Sebab I tak nak dia larikan diri," jawab Muhaimin, ringkas.

"Kenapa dia nak larikan diri, sedangkan dia yang setuju nak bernikah dengan you?"

"Manalah tahu, kalau-kalau dia tak tahan dengan I."

"Dia tahukah you buat semua itu?"

"Tahu," jawab Muhaimin.

"Kagum I dengan dia. Dengan layanan buruk you pada dia, kecurangan you, ditambah lagi dengan semua ini, dia masih boleh bertahan empat tahun dengan you? Wow!"

"Itulah, I pun kagum juga. I sangkakan dia tak pernah tahu, sampailah I terjumpa dia berborak dengan pengawal peribadi dia di halaman rumah. Siap bagi minum petang lagi! Teruk juga mereka berdua kena belasah," ujar Muhaimin.

"Rupanya sebab itu Kak Su kena belasah dengan you dulu. Kasihan dia, bukan salah dia pun," jawab Camellia.

Belum sempat Muhaimin menjawab, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia melihat nama Mohamad tertera di atas skrin, membuatkan dia segera menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Mat. Ada apa-apa yang kau nak laporkan?" tanya Muhaimin, sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, bos. Benda yang bos takutkan, dah terjadi!" jawab Mohamad, dengan nafas tercungap.

"Apa dia?" tanya Muhaimin, terkejut.

*BERSAMBUNG*

Thursday, February 6, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 22

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21

Lily memutuskan talian dan cuba untuk berdiri. Namun, lututnya terasa longgar dan pandangannya mulai kelam.

Sedar-sedar sahaja, dia sudahpun berada di atas katilnya. Dia dapat melihat ibunya duduk di birai katil manakala Suraya berdiri di belakang ibunya sambil mendukung Cempaka.

"Ibu, abang mana? Abang selamat, bukan? Dia tak apa-apa, kan?" tanya Lily, bertubi-tubi.

Mendengar pertanyaan Lily, Puan Wardah mula menangis teresak-esak. Suraya pula memalingkan wajahnya ke arah lain kerana tak mampu menatap wajah sepupunya itu.

"Ibu, jawablah! Abang okay kan? Dia akan balik kan? Su? Adrian okay kan?" tanya Lily dengan lebih lantang apabila ibunya dan Suraya tidak menjawab soalannya tadi.

Sekali lagi, Puan Wardah dan Suraya hanya mendiamkan diri. Tidak sanggup rasanya nak menidakkan soalan-soalan Lily itu. Cempaka pula tiba-tiba menangis.

Namun begitu, akibat kelantangan suara Lily, Encik Wahab masuk ke dalam bilik Lily. Dia mendekati Lily dan memegang bahu Puan Wardah sebagai isyarat minta isterinya itu bangun.

Puan Wardah bangun lalu membawa Suraya dan Cempaka keluar dari bilik Lily. Dia tahu dia takkan mampu melihat respon anaknya nanti.

Setelah pemergian Puan Wardah dan Suraya, Encik Wahab duduk di tempat yang diduduki Puan Wardah itu tadi. Dia memegang bahu Lily lalu menggosok-gosok bahu anak sulungnya itu.

"Lily, ayah tahu susah tapi anak ayah ini kena kuat. Kena belajar terima hakikat, kalau bukan untuk diri sendiri, setidaknya buatlah demi Cempaka. Dia perlukan kakak sepenuhnya selepas ini," pujuk Encik Wahab.

"Kenapa abang tinggalkan kakak sendirian, ayah? Kenapa abang pergi dulu?" tanya Lily lalu menangis semahu-mahunya.

"Tak ada yang dapat melawan takdir, sayang. Sudah tiba masa untuk Allah jemput Adrian dulu, siapa kita nak halang? Setidak-tidaknya, dia pergi dalam keadaan yang baik. Dia pergi ketika melakukan tugasnya untuk negara. Kakak kena bangga ada suami yang menjaga keselamatan negara sampai ke akhir hayatnya."

"Apa gunanya kalau dia tinggalkan anak dan isterinya lebih awal?" tanya Lily, masih lagi menangis.

"Kalau nak suami yang begitu, kenapa tak minta nak nikahi Muhaimin dulu?" duga Encik Wahab.

"Apa ini ayah? Takkanlah kakak nak nikahi teman lelaki Lia? Su dulupun tak nak nikahi dia, kenapa ayah tanya begini?" tanya Lily, terus berhenti menangis apabila ditanyakan soalan begitu.

"Bukankah kerjayanya tak memungkinkan dia mati awal? Tengok Su, dia menikahi Haziq, seorang kaunselor dan anak usahawan. Jadi, risikonya rendah," duga Encik Wahab lagi.

"Haziq pun pernah nyaris hilang nyawa, ayah."

"Nampak tak? Haziq yang kerja dalam pejabat pun nyaris hilang nyawa. Su nyaris tak bernikah lagi. Akan tetapi, Lily yang kehilangan suami lebih awal telah dikurniakan anak perempuan yang cukup sifat, cukup indah. Hadiah terbesar yang Adrian telah berikan pada Lily yang Su tak pernah rasa walaupun dia pernah menjadi isteri orang dulu," jelas Encik Wahab.

"Memanglah Su tak pernah ada anak, sebab Muhaimin tak pernah sentuh dia," jawab Lily.

"Ayah tahu, dan ayah juga tahu adik kamu itu pernah lakukan hubungan zina dengan bekas suami anak saudara ayah sendiri. Akan tetapi, hidupnya baru nak kecapi rahsia bahagia. Lily pula, tak perlu jalani kehidupan seperit Su, tapi dikurniakan zuriat penyambung keturunan lebih awal daripadanya. Hanya satu saja yang Allah tarik, suami Lily. Ayah pasti, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik," sambung Encik Wahab lagi.

Mendengar syarahan ayahnya, dia hilang punca.

"Lily perlukan masa, ayah. Berikan Lily masa," jawab Lily.

"Ayah tahu, secara logiknya mana ada manusia biasa yang boleh terima semua ini. Ayah cuma nak kakak belajar terima kenyataan. Itu saja," jelas Encik Wahab lalu menarik Lily ke dalam pelukannya.

Lily hanya mengangguk sebelum menangis sekuat hatinya. Encik Wahab hanya menggosok belakang Lily untuk menenangkan anak sulungnya itu.

     *     *     *     *     *

Tan Sri Mazlan baru sahaja masuk ke dalam pejabatnya apabila pintu pejabatnya diketuk. Tak lama selepas itu, kedengaran pintu dibuka dan seorang lelaki berkemeja hitam dan berseluar hitam masuk dan berjalan menuju ke arah Tan Sri Mazlan yang sedang berdiri berhampiran dengan sofa di hadapan mejanya.

"Bagaimana dengan kerja yang aku berikan, Amri? Sudah selesaikah?" tanya Tan Sri Mazlan sambil memerhatikan lelaki itu, Amri yang baru sahaja tiba di hadapannya.

"Sudah, patutlah susah sangat nak cari Suraya. Sebelum ini, dia bekerja sebagai perancang majlis dan tidak menetap di rumah sendiri," jawab Amri, pengawal peribadi Tan Sri Mazlan.

"Habis itu, dia menetap di mana?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Rumah Datuk Muhsin. Khabarnya, dia ada masalah dengan ibu mentua Muhaimin," jawab Amri.

"Perihal punca mereka bercerai? Sudah siasatkah? Sudah setahun, masih tak dapat sahihkan?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Masalahnya, memang rumah Muhaimin pernah didatangi Pegawai Pencegah Maksiat sehari sebelum Suraya meminta untuk bercerai dengan Muhaimin tetapi hasil siasatan menunjukkan bahawa Suraya juga ada di rumah ketika itu. Jadi, tiada tindakan lanjut memandangkan Muhaimin tidak berkhalwat dengan Camellia," jawab Amri.

"Tapi Camellia memang ada di dalam rumah?"

"Ya, Tan Sri."

"CCTV rumah Muhaimin?"

"Itulah yang melambatkan saya. Muhaimin telah menukar CCTV rumahnya seminggu selepas kejadian dan semua video dari CCTV lamanya telah dipadam serta-merta. Hanya Muhaimin atau Suraya sahaja yang berkemungkinan ada salinan video itu. Jadi, saya terpaksa gunakan cara lain dan ianya mengambil masa," jelas Amri.

"Kenapa?"

"Muhaimin tidak pernah mengakses video tersebut langsung sejak kejadian. Suraya pula telah bertundak menjual komputer peribadinya selepas mereka sah bercerai. Nasib baik minggu lepas ada orang yang mengakses video lain ketika kejadian melalui komputer peribadi Muhaimin. Itulah baru saya dapat salinan video ketika itu," sambung Amri.

"Video apa?"

"Saya sudah hantarkan salinan video tersebut pada email Tan Sri. Lebih baik Tan Sri tengok sendiri," jawab Amri sambil menunduk malu.

Tanpa berlengah, Tan Sri Mazlan mengeluarkan telefon bimbit lalu membuka email yang diterima daripada Amri. Terkedu dia melihat video yang dirakam oleh Suraya secara sembunyi setahun yang lalu.

"Kau rasa Suraya ada salinan video ini?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Berkemungkinan ada. Kalau saya jadi dia, saya takkan buang video begitu. Itu saja senjata yang saya ada," ujar Amri.

"Sekarang ini Suraya masih bekerja sebagai perancang majliskah?"

"Tak, Tan Sri. Sekarang dia bekerja sebagai PA Encik Haziq, anak Datuk Muhsin semula. Cuma, saya hairan," jawab Amri.

"Apa dia?"

"Dulu, ketika Suraya masih bekerja di syarikat milik Encik Haziq, Encik Haziq duduk di rumahnya sendiri. Akan tetapi, sejak dua bulan lepas, dia telah menyewakan rumahnya dan tinggal semula di rumah Datuk Muhsin," jelas Amri.

"Jadi, dia tinggal serumah dengan Suraya?"

Amri hanya mengangguk.

"Mereka pergi ke pejabat bersama atau berasingan?"

"Bersama kerana saya tak nampak lagi kereta Suraya di rumah Datuk Muhsin sejak sebulan lepas. Kalau Encik Haziq tak ke pejabat atau kerja luar, Suraya akan dihantar oleh pemandu Datuk Muhsin ke pejabat," ujar Amri.

"Pelik juga. Awak ada siasat tak kenapa?"

"Ada, Tan Sri tapi tak ada jawapan yang pasti. Jadi, pendapat saya adalah Encik Haziq dan Suraya telah menikah sebulan lepas. Itu saja yang saya syak."

"Tak ada rekod di Jabatan Agama?"

"Jabatan Agama Wilayah Persekutuan tiada. Saya masih menyemak Jabatan Agama negeri lain, tapi setakat ini tiada rekod pernikahan mereka di Selangor, Kedah, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak."

"Negeri mana yang belum dapat respon?"

"Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang."

"Cari Melaka atau Negeri Sembilan dulu. Kalau tak silap aku, Suraya orang Melaka. Alor Gajah."

"Baik, Tan Sri. Saya semak dulu. Apa-apa, saya akan maklumkan pada Tan Sri."

"Saya nak segera dan saya ada kerja baru untuk awak," jawab Tan Sri Mazlan, sambil tersenyum puas.

Amri hanya memandang Tan Sri Mazlan, menantikan arahan seterusnya. Dia sudah boleh menduga, namun tanpa arahan dari Tan Sri Mazlan, tiada tindakan akan dibuat.

      *      *      *      *       *

Zulaikha sedang menonton televisyen apabila Rashdan membuka pintu rumah mereka. Dia melihat jam, baru saja masuk pukul 11 pagi. Bagaimana pula suaminya ini boleh pulang awal ke rumah?

"Abang dah balik? Abang tak sihatkah?" tanya Zulaikha sebaik sahaja Rashdan duduk bersebelahannya.

Zulaikha menghulurkan tangannya untuk menyalami Rashdan. Rashdan menyambut tangan Zulaikha dan Zulaikha mencium tangan suaminya itu.

"Abang letih, jadi abang balik awal. Rasa tak sedap badan," jawab Rashdan, separuh berbohong, separuh lagi bercakap benar. Dia memang rasa tak sedap badan, tetapi Zulaikha masih lagi tidak tahu dia sedang menganggur.

"Oh ya ke? Abang nak saya buatkan air?" tanya Zulaikha.

Rashdan hanya menggelengkan kepala.

"Abang nak saya urut abangkah?" tanya Zulaikha lagi.

"Ika ada apa-apa nak beritahu abangkah?" tanya Rashdan setelah melihat tindak-tanduk Zulaikha.

Zulaikha memandang Rashdan. Barangkali setelah sekian lama bersama, tindak-tanduknya tidak lagi asing di mata Rashdan.

"Abang, jom kita pergi bercuti. Kalau abang tak banyak bajet, dalam Malaysia pun tak apa. Boleh?" tanya Zulaikha sambil tersenyum manis.

Rashdan tidak menjawab, sebaliknya hanya mengeluh. Dengan keadaan dirinya, jangankan hendak bercuti dalam Malaysia, hendak bermalam di hotel dalam perumahan mereka itupun satu kemewahan.

"Kenapa, abang?" tanya Zulaikha, melihat respon Rashdan.

"Dalam masa terdekat, tak kot. Abang tak ada bajet untuk benda-benda lain," jawab Rashdan, cuba mengelak daripada berterus-terang.

"Abang, kita sudah dekat 10 tahun berkahwin. Ika tak pernah abang bawa Ika pergi bercuti, bulan madu kita pun kita tak pernah pergi. Ini baru kali pertama Ika minta, abang kata abang tak ada duit? Mana pergi duit abang?" tanya Zulaikha, geram.

Rashdan masih mendiamkan diri.

"Abang! Ika tanya ini," ujar Zulaikha setelah melihat tiada respon dari Rashdan.

Rashdan hanya bertindak bangun dari sofa yang didudukinya menuju ke tingkat atas bagi menyembunyikan kekecewaannya dengan sikap Zulaikha kerana dia tahu, dia tidak boleh menyalahkan Zulaikha di atas kegagalannya menyediakan kemewahan kepada isteri dan anaknya.

Zulaikha mengejar Rashdan dan berjaya menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mereka ketika Rashdan hendak menutup pintu bilik tidur mereka.

Melihat Zulaikha yang berjaya masuk ke dalam bilik tidur mereka, Rashdan hanya berdiri di hadapan Zulaikha dan hanya memandang wajah isterinya dengan riak wajah serius.

"Kenapa dengan abang ini?" tanya Zulaikha, bertambah geram setelah melihat tindakan Rashdan.

"Abang tak bekerja sekarang! Jadi, jangan minta apa-apa dengan abang buat masa ini, faham?" jawab Rashdan, berang.

Jawapan Rashdan membuatkan Zulaikha terkedu.

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com