Monday, February 16, 2015

Alasan Untuk Bahagia 8.1 (Akhir)...


"Aku terima nikahnya Fatin Najihah binti Ahmad Kusaini, dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai..."

         Dengan sekali lafaz, Najihah telahpun selamat menjadi suri di hati Amir. Upacara akad nikah itu hanya dihadiri oleh saudara mara dan teman-teman rapat atas permintaan Najihah sendiri. Dia lebih memikirkan tentang pembedahannya yang telah dijadualkan pada 4 minggu lagi di London. Akan tetapi, dia dan Amir harus ke sana 2 minggu lebih awal untuk pemeriksaan dan ujian yang hendak dilakukan oleh pakar neurologi di sana.

        Malam itu, Najihah terus masuk ke dalam biliknya selepas makan malam. Kepalanya rasa sakit yang teramat. Tindak-tanduk Najihah membimbangkan Amir, dan atas nasihat ibu mentuanya, Puan Wahidah, dia mengikut Najihah masuk ke dalam bilik. Apabila dia masuk, Najihah sedang duduk berteleku di atas katil. Amir menghampiri isterinya.

       "Awak okay tak ni, Jihah?" tanya Amir, risau.

       "Saya okay, dah makan ubat tadi. Itu yang naik atas terus, sebab nak makan ubat. Awak, boleh saya minta sesuatu?"

       "Apa dia?" tanya Amir.

       "Boleh saya panggil awak, 'abang'? Walaupun kita hanya beza setahun, tapi saya nak panggil awak abang."

        "Boleh, sayang. Oh ya, boleh abang tanya sesuatu?"

        "Apa dia?"

        "Why you chose me instead of him? You love him, right?"

        "Serius ke ni nak tahu?"

        "I'm serious, my dear."

        "To be honest, waktu Razin masuk meminang Jihah, Jihah buat solat istikharah. Jihah nampak belakang lelaki, sekali imbas memang macam Razin. So, that's why I chose him at first."

        "Then, what happened?"

         "Bila abang lapor diri, Jihah memang terkejut sebab abang pakai exactly the same macam dalam mimpi itu. I was so speechless at that time, tapi dah terlanjur bertunang dengan orang lain. Razin memang baik, dia betul-betul buat Jihah gembira tapi bila abang datang balik, Jihah rasa bersalah sangat dengan Razin. Worse when I was diagnosed with brain tumor. So, I decided to use that as the reason to pull off the wedding."

        "Jahat betul isteri abang ni. Abang minta maaf sebab Jihah sakit ini kerana abang. Memang patut abang dapat balasan macam ni."

        "Mulut abang ni, tak beringat betul! Jodoh ni abang, datang macam-macam cara. Ada orang datang cara elok, ada orang tak. Asalkan kita balik pada yang Maha Esa, Dia pasti tahu apa yang terbaik."

        Amir tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Dia memeluk Najihah lalu mengucup pipi Najihah. Terasa nyaman suasana malam itu.

     *     *     *     *     *
Najihah sedang memeriksa beg pakaiannya apabila pintu biliknya diketuk. Dia menuju ke arah pintu untuk membukanya dan dia terkejut melihat Indah di hadapannya. Dia memberi isyarat agar Indah masuk ke dalam biliknya.

          "Tengah kemas barang lagi ke? Esok dah nak gerak ke sana dah," tanya Indah apabila melihat beg pakaian bertaburan seantero bilik.

          "Nak periksa saja, takut ada yang tertinggal. Razin macam mana kak? Sihat tak?" Soal Najihah pula.

          "Razin? Macam itulah, mayat hidup. Dunia dia cuma pejabat dia saja. Semuanya dia buat dalam itu, makan, kerja, tidur, semuanya! Tapi termenung yang paling kerap dia buat."

          Najihah menuju ke arah meja soleknya. Dia membuka laci dan mengeluarkan dua pucuk surat. Dia menyerahkan keduanya kepada Indah.

          "Apa ni, Jihah?"

          "Satu ni surat perletakan jawatan, tolong berikan pada bahagian sumber manusia. Satu lagi ni surat peribadi, tolong berikan pada Razin. Boleh tak?"

           "Kenapa Jihah tak beritahu sendiri? Akak tak berani. Ini urusan kamu berdua."

           "Tolonglah akak. Dalam keadaan Jihah dan dia sekarang, kami tak sepatutnya bertemu. Lagipun, Jihah kena jaga hati Amir. Dia suami Jihah."

           "Baiklah, Jihah. Akak akan serahkan. Jihah bahagia ke sekarang?"

           "Alhamdulillah, akak. Kalau dah jodoh, berpisah pun tetap bertemu."

           Mendengar jawapan Najihah, Indah tersenyum lega. Setidaknya kurang satu beban di bahu Najihah.

           "Akak, tak nak cuba tawan hati Razin semula ke?" Tanya Najihah.

           "Biarlah masa tentukan, Jihah. Akak tak nak berharap sangat. Takut terluka lagi nanti. Lagipun, anak akak, Dahlia itu tengah membesar. Akak fokus pada dia dulu."

           "Kalau akak dah cakap begitu, apa lagi yang Jihah boleh komen kan?" jawab Najihah lalu tersenyum. Melihat senyuman Najihah, Indah yakin Najihah bahagia. Walaupun dia harus melukakan seseorang untuk bahagia.

     *     *     *      *       *
Razin sedang memandang ke arah luar tingkap apabila pintu biliknya diketuk. Namun, dia hanya mendiamkan dirinya kerana dia tahu insan yang mengetuk pintu biliknya itu pasti akan masuk tanpa kebenarannya jua.

            Ternyata telahan Razin benar. Indah masuk ke dalam biliknya apabila melihat tiada respon dari dalam bilik. Dia mendekati Razin, namun Razin masih lagi tidak berganjak dari apa yang dilakukannya sedari tadi.

           "Kalau Razin nak hidup macam mayat hidup sekalipun, buatlah. Asalkan baca surat Jihah ini dulu. Indah letak atas meja ya," ucap Indah lalu meletakkan sekeping sampul di atas meja. Razin masih tidak berganjak.

          "Tak apalah, Indah keluar dulu," ucap Indah lagi setelah melihat majikannya tidak menjawab lalu dia berjalan ke luar bilik.

          Razin berpaling dan mencapai sampul yang ditinggalkan Indah itu. Dia membuka sampul itu dan mengeluarkan surat yang dikirim oleh Najihah itu lalu membacanya. Air mata lelakinya mula mengalir selepas beberapa ketika.

     *     *     *     *     *
6 bulan kemudian...

"Indah, masuk sekejap!" laung Razin melalui interkom di biliknya. Tak sampai seminit, pintu biliknya dikuakkan dan Indah memasuki bilik tersebut perlahan-lahan. Melihat Indah berjalan agak perlahan, Razin bangun dan menuju ke arah Indah dan memimpin wanita itu ke kerusi berhadapan mejanya.

         "Indah okay ke tak ni? Kalau tak larat, tak payahlah kerja. Muntah-muntah lagi ke?" tanya Razin bertubi-tubi. Risau betul dia melihat Indah begitu.

         "Okay sikitlah. Tak apalah, kalau Indah cuti, siapa nak uruskan kerja cik abang ni? Sudahlah kita kena buatkan kerja Amir dengan Jihah," jawab Indah lalu ketawa.

         "Abang cakap sebab abang risau, Indah boleh ketawa? Indah ni memang betul-betullah nak kena. Oh ya, cakap pasal mereka berdua, Amir masih uruskan projek di Sabah itu lagi ke? Dia tak nak balik tengok isterinya ke? Pelik betul abang tengok dia itu, sejak dia masuk kerja 4 bulan lepas, dia langsung tak cerita pasal Jihah. Bila abang tanya, dia senyum tak ikhlas saja. Indah tahu apa-apa tak pasal ni?"

         "Abang, kalau Indah cerita, abang jangan marah ya."

         "Apa dia?"

         "Sebenarnya projek di Sabah itu sepatutnya dah siap. Tapi Amir buat deal dengan company Tan Sri Erman untuk restoran Tan Sri di Sarawak pula. Itu yang tak balik-balik."

         "Kenapa Amir tak bincang benda ini dengan abang?"

         "Kalau dia beritahu abang, mesti abang tak setuju dan suruh dia balik jenguk Jihah kan? Itu yang dia tak nak."

         "Kenapa pula?"

         "Sebab keadaan Jihah tak menggembirakan Amir. Petang ini kita pergi tengok Jihah, abang nilailah sendiri. Boleh tak?"

         Mendengar jawapan Indah, Razin terdiam. Pasti ada yang tak kena dengan Najihah dan Amir sehinggakan Amir membawa diri hingga ke Borneo.

     *     *     *      *     *
Razin melangkah masuk ke dalam bilik yang terletak di hujung sekali. Dia ternampak sekujur tubuh sedang duduk di tepi katil sambil memeluk bantal. Mata Razin mula bergenang melihat insan tersebut. Insan tersebut pernah sempurna di matanya, tapi kini dia hilang salah satu pancainderanya.

         "Abang masuk bilik Jihah nanti, abang jangan cakap apa-apa pasal penglihatannya. Takut dia sensitif pula," terngiang-ngiang kata-kata Indah di dalam kepalanya.

         Razin duduk di sebelah insan tersebut. Tindakannya telah membuat insan tersebut terkejut dengan kehadiran seseorang di sebelahnya.

         "Abang ke itu?" tanya Najihah. Razin tidak menjawab, hanya diam seribu bahasa. Hendak melihat sama ada Najihah boleh mengecamnya atau tidak.

        "Abang kan? Kenapa abang dah lama tak balik? Sejak kita balik dari London, abang hantar Jihah balik rumah mama dan terus keluar. Sampai sekarang tak balik-balik. Abang pergi mana? Mama cakap, abang kerja luar kat Sabah. Betul ke? Kenapa lama sangat? Tak cakap kat Encik Razin ke pasal Jihah? Sampai hati abang kerja luar lama-lama. Jihah tahulah Jihah dah..." Najihah tidak menghabiskan ayatnya, sebaliknya hanya menangis.

        Melihat keadaan Najihah, Razin mula sebak. Dia tak mampu untuk terus berada di situ. Dia bangun dan ingin beredar dari situ, tapi tangan Najihah lebih pantas mencapai seluarnya.

       "Abang jangan tinggalkan Jihah sendiri. Jihah takut abang. Dunia Jihah gelap. Walaupun doktor kata benda ini sementara, tapi Jihah tetap takut."

        Razin masih lagi tidak menjawab, sebaliknya hanya melepaskan pegangan Najihah pada seluarnya dan berlalu pergi.

         Razin menuju ke ruang tamu, Indah sedang duduk berbual dengan ibu Najihah, Puan Wahidah. Razin duduk di sebelah Indah. Air matanya masih bergenang, sebak dengan keadaan Najihah sedari tadi.

         "Kenapa abang?" tanya Indah, risau melihat keadaan Razin yang kelihatan agak murung.

         Razin tidak menjawab, sebaliknya mencapai telefon bimbitnya di dalam poket lalu menghubungi seseorang. Kedengaran suara Amir di hujung talian.

         "Hello, Encik Razin. Ada apa call saya terus ni?"

         "Amir, saya nak awak balik KL penerbangan pertama esok dan terus lapor diri di pejabat jam 9 pagi esok. Kalau awak tak muncul sampai habis waktu pejabat esok, awak dipecat!" arah Razin lalu memutuskan talian.

        "Kenapa abang cakap begitu pada Amir?" tanya Indah, hairan.

        "Makcik, betul ke Amir tak balik rumah sejak dia bawa Najihah balik sini? Dia ingat saya ni Amir tadi," tanya Razin kepada Puan Wahidah. Wajah Indah berubah mendengar pertanyaan Razin itu.

        "Dia balik, cuma dia tak tidur dalam bilik Najihah. Dia tidur dalam bilik tetamu di tingkat bawah. Bila makcik tanya, katanya dia tak sanggup nak tengok Najihah dalam keadaan begitu."

         "Bukankah Najihah perlukan Amir dalam keadaan begini? Kenapa Amir buat begitu?" luah Indah yang masih terkejut dengan cerita Puan Wahidah itu.

         "Najihah itu nampak saja kuat, tapi dia lemah sebenarnya. Tak salah tekaan kamu, Najihah perlukan Amir dalam keadaan begini. Namun, Amir itu nampak lemah, tapi kuat sebenarnya. Cuma bila dia lihat Najihah begitu, dia jadi sebak. Kalau kamu di tempatnya, adakah kamu nak orang yang kamu sayang sedar yang kamu sedang bersedih kerana dia? Walaupun Amir tak masuk bilik Najihah, tapi Amir setiap hari bangun solat malam untuk mendoakan isterinya itu. Janganlah kamu salahkan Amir, dia juga manusia biasa seperti kita. Kalau rasa cara dia salah, tegurlah sebaiknya. Jangan dihina atau dituding kesalahan padanya. Dia juga mangsa keadaan seperti Najihah."

         Razin dan Indah berpandangan sesama sendiri. Mereka semakin keliru.

     *     *     *     *     *
"Jihah apa khabar? Sihat?" tanya Indah setelah dia duduk di sebelah Najihah. Najihah hanya tersenyum bagi menjawab pertanyaan Indah itu.

          "Abang Razin cakap apa bila keluar dari bilik tadi?" tanya Najihah.

          Terkejut bukan kepalang Indah mendengar soalan Najihah. Ternyata Najihah dapat mengecam Razin dengan baik walaupun mereka tidak pernah bersua muka sejak dia pulang dari London.

          "Akak ingat Jihah tak cam Razin. Sebab Razin cakap dia ingat Razin itu Amir," jawab Indah.

          Mendengar jawapan Indah, Najihah ketawa.

          "Akak, mungkin Jihah tak nampak tapi Jihah tak bodohlah. Abang Razin dengan abang Amir mana guna minyak wangi yang sama. Lagipun tangan abang Razin halus, orang kaya kan. Jihah sengaja buat begitu supaya abang Razin bawa abang Amir balik. Jihah tahu abang Razin mampu lakukannya."

          "Kalau dia tak buat macam itu sebab dia nak Jihah balik, macam mana?" duga Indah.

          "Akak, Amir dah beritahu Jihah semasa di London. Akak dengan abang Razin dah bernikah 5 bulan lepas. Takkanlah abang Razin sanggup nak tunggu isteri orang macam Jihah ni sedangkan isterinya sendiri dah cukup cantik?"

          "Kalau betul jodoh Jihah dengan Amir kuat, insya-Allah Amir akan balik. Akak yakin."

           Mendengar kata-kata Indah, Najihah tersenyum lega.

     *     *     *     *     *
"Kenapa Encik Razin panggil saya balik? Projek kata Sabah itupun tak habis lagi," tanya Amir selepas dia duduk berhadapan dengan Razin.

         "Kalau tak pandai nak bohong, tak payahlah bohong. Buat tambah marah saya saja, Amir. Awak ingat saya tak hubungi Tan Sri Erman ke? Dia kata, awak dah seminggu di Sarawak. Uruskan projek di sana pula. Kenapa awak tak bincang dengan saya tentang hal ini?" luah Razin.

         "Saya minta maaf, saya bimbang Encik Razin tak luluskan."

        "Saya akan luluskan kalau awak beritahu saya, tapi saya tetap akan suruh awak balik. Saya akan hantar Hairi pula uruskan projek di Sarawak. Kenapa awak buat begini? Awak tak bimbangkan Jihah ke?"

        "Saya tak boleh terus-terusan tengok Jihah begitu, Encik Razin. Jiwa saya sakit. Saya rasa diri saya tak guna sebab tak boleh buat apa-apapun untuk Jihah. Sedangkan saya punca dia jadi begitu."

         "Sekalipun awak tak boleh sembuhkan dia, awak tetap kena ada disisinya. Sokong dia, jangan bagi dia putus asa. Benda ini soal kekuatan, hanya kekuatannya saja yang boleh sembuhkan dia. Tapi kalau awak tak ada dengan dia, apa lagi yang dia ada?"

          Mendengar kata-kata Razin, Amir terdiam. Ada benarnya kata-kata Razin itu.

     *     *     *     *     *
Najihah tersedar dari tidurnya apabila dia merasakan ada orang memeluknya. Dia cuba menghidu bau yang datang dari insan yang tidur disebelahnya, ternyata bau yang muncul sangat dikenalinya. Dia berasa sangat bahagia berada dalam pelukan insan tersebut.

        "Dah bangun ke sayang?" pertanyaan yang datang dari insan yang memeluknya itu tambah menggembirakan Najihah. Suara yang sangat dirindui kini berada dekat dengannya lagi.

        "Dah. Bila abang balik?" tanya Najihah lalu bangkit dan bersandar di kepala katil.

        "Pagi tadi, tapi abang masuk kerja dulu. Encik Razin suruh masuk menghadap dia. Jadi tak dapatlah isteri abang ini ambil bau Sarawak."

         "Sarawak? Bukan Sabah ke?" tanya Najihah, hairan.

         "Projek kat Sabah dah habis, abang dapat tawaran sambung di Sarawak pula. Dah seminggu abang di sana, tapi semalam Encik Razin suruh balik."

          Mendengar jawapan Amir, Najihah tersenyum. Amir yang melihat senyuman isterinya mula merasa hairan.

          "Jihah dah jumpa Encik Razin ke?" duga Amir.

          "Sudah, semalam. Dia ingat Jihah tak cam dia, sebab Jihah pura-pura ingatkan dia itu abang," jawab Najihah lalu ketawa.

          "Macam itu pula. Sayang, abang minta maaf sebab abaikan Jihah dulu. Abang terlupa yang Jihah perlukan abang dalam keadaan Jihah sekarang. Abang minta maaf ya," luah Amir lalu mengusap pipi Najihah.

          Najihah mengambil tangan Amir lalu diciumnya. Sungguh dia rindu dengan tangan itu, meskipun tangan itu kasar namun terasa hangat apabila dipegang.

          "Jihah minta maaf sebab tak sempurna dimata abang. Abang tak salahpun, kenapa nak minta maaf? Jihah sentiasa maafkan abang."

           Amir menarik Najihah ke dalam pelukannya. Hanya tangisan yang kedengaran selepas itu.

     *     *     *     *     *
"Sedapnya bau! Jihah masak apa itu?" tanya Amir yang sedari tadi memerhatikan Najihah yang sedang asyik memasak di dapur.

         "Sayur campur pun sedap ke abang oi? Pelik saja abang ini," jawab Najihah.

         "Sayang goreng ikan masin pun sedap kat lidah abang tau? Oh ya, Kak Indah dengan Abang Razin dah dalam perjalanan. Sekejap lagi mereka sampailah. Mana lauk yang lain? Abang tolong siapkan atas meja. Pinggan dengan gelas abang dah susun dah."

          "Ada atas kabinet itu. Abang ambillah. Sayang nak cedok sayur ini dalam mangkuk sekejap," jawab Najihah lalu mencapai mangkuk di sebelahnya untuk mengisi sayur campur dalam kuali itu.

           Selepas selesai mencedok, Najihah membawa mangkuk tersebut ke meja makan. Sedang asyik dia memperbetulkan susunan lauk, kedengaran loceng pintu berbunyi. Amir yang datang dari dapur terus meluru ke pintu sebelum sempat Najihah melangkah. Ternyata sejak Najihah mengandung, Amir memang banyak membantunya dalam melakukan kerja rumah.

          Tak lama selepas itu, muncul Indah dan Razin di meja makan. Indah mendekati Najihah dan mereka berpelukan. Selepas itu, Amir muncul bersama seorang bayi lelaki.

          "Duduklah, abang, akak. Jemputlah makan. Jihah pun duduk sekali. Abang nak main dengan Izzat sekejap. Geram tengok dia," kata Amir yang kemudiannya mencium pipi bayi yang didukungnya berkali-kali.

          "Ini siapa yang kenan dengan Izzat ini? Akak tengok mak buyung pun tak over macam Amir," seloroh Indah setelah melihat kerenah Amir.

          "Apa nak hairan, kak? Dia juga yang kena morning sickness dulu, lupa ke? Sampai kena ambil MC selang sehari. Melepek saja di rumah. Nasib baiklah saya ini kerja juga, kalau tak makan pasirlah jawabnya," seloroh Najihah pula.

          "Untunglah kamu, Jihah. Kalau abanglah, memang angkat bendera putihlah jawabnya. Nak tolong kak Indah kamu jaga Izzat pun abang tak larat," sampuk Razin yang sedari tadi memerhatikan mereka bertiga.

         "Oh ya, macam mana abang Razin boleh menikah dengan kak Indah?" tanya Najihah.

         "Surat kamulah, lupa? Bukan ke dalam surat itu kamu sebut yang kak Indah dah lama tunggu abang? Kamu pun dah mengaku yang kamu memang sayangkan Amir sejak dulu lagi dan kamu terima abang sekadar alasan untuk bahagia kan?" jawab Razin, selamba.

         "Sebab itu saja?" tanya Najihah lagi, hairan.

         "Abang dah buat solat istikharah, abang yakin kak Indah memang untuk abang. Selebihnya, biarlah Allah tentukan," jawab Razin lagi.

         Mendengar kata-kata Razin, Najihah tersenyum puas. Ternyata tiada lagi alasan untuk bahagia dari pihak sesiapapun kerana ternyata ianya hanya melukakan banyak hati. Kini, dia bahagia dengan Amir dan dia pasti Indah bahagia dengan Razin. Buktinya? Indah dan Razin telahpun mempunyai Izzat yang sudahpun berusia 3 bulan dan dia kini mengandung 6 bulan hasil perkahwinannya dengan Amir. Sejak matanya sembuh 6 bulan lepas, Amir sentiasa ada disisinya tak kira senang ataupun susah. Tak salah dia meninggalkan Razin kerana dia ingin Razin bahagia.

TAMAT

Foot print: Penat perah otak karang ayat jam 3 pagi. Maaf kalau mengecewakan.

Friday, February 13, 2015

Alasan Untuk Bahagia Part 7...


"Apa awak merepek ni? Awak minta tolong sebagai kawan, saya tolong awak sebagai kawanlah. Awak meragui keikhlasan saya?"

       "Awak masih sayangkan saya ke?"

       "Sebab itu awak meragui saya, Fatin Najihah?"

       Najihah terbungkam. Amir Arsyad yang dia kenal hanya akan memanggilnya dengan nama penuh bila dia sedang marah. Najihah mula rasa bersalah kerana bertanya begitu.

       "Saya bukan apa, saya bimbang saya akan tersepit di tengah-tengah."

       "Apa kata hati awak, Jihah? Fikir masak-masak, jangan buat tindakan yang bakal membuatkan awak menyesalinya."

       "Saya tak tahu, saya mulai buntu. Dalam keadaan saya sekarang, saya tak mampu memilih sesiapapun dalam hidup saya, tapi tindakan saya pasti akan melukai Encik Razin."

       "Saya rasa lebih baik awak berterus terang, Jihah. Tindakan awak menyulitkan banyak pihak. Macam mana kalau Encik Razin buat keputusan macam sebelum ni? Boleh awak hidup begitu?"

       Kata-kata Amir membuatkan Najihah terfikir sejenak. Ada benarnya kata jejaka dihadapannya ini.

     *     *     *     *     *
Razin memandang insan di sebelahnya itu. Sejak dia bersetuju untuk makan tengahari dengannya, dia tidak mengeluarkan sepatah pun dari mulutnya. Hanya diam seribu bahasa. Sangkaannya setelah dia batalkan 'hukuman'nya semalam, dia akan kembali normal. Rupanya dia masih lagi begitu. Pening Razin dibuatnya.

       "Jihah memang tak nak bercakap dengan abang ke? Abang tengok tadi Jihah cakap dengan Amir bukan main lagi."

       "Dah seminggu tak jumpa, kami bincang pasal kerjalah. Esok kan dia cuti. Apa masalah abang?"

      "Abang tak suka, dia bekas kekasih Jihah. Abang cemburu."

       "Jihah tak pernah cemburukan abang dengan kak Indah, sedangkan kak Indah pun bekas kekasih abang juga."

       Razin menjeling Najihah. Bengang betul dia mendengar respon tunangannya. Apa perasaannya tak penting ke? Najihah sedar tindakan Razin, namun dia tidak mempedulikan reaksi Razin itu.

       "Amir masih sayangkan Jihah. Abang pun tak pasti apa perasaan Jihah pada dia. Abang takut Jihah tinggalkan abang."

       "Kak Indah pun masih sayangkan abang, tapi Jihah percaya abang takkan khianati Jihah. Kenapa abang tak boleh nak percayakan Jihah?"

       Razin terkesima. Benar, apa yang dilakukan oleh Najihah bersama Amir juga dilakukan oleh dirinya bersama Indah. Salah dia juga. Tak patut dia hukum Najihah sedang dirinya juga bersalah.

       "Baiklah, abang boleh cuba untuk percayakan Jihah. Jadi, abang harap Jihah tak khianati abang."

       Mendengar kata-kata Razin, Najihah tersenyum. Senyumannya membuatkan Razin berasa lega. Mungkin benar kata Najihah, dia harus belajar mempercayai.

     *     *     *     *     *
Amir sedang melintasi bilik Najihah apabila dia terlihat Najihah sedang memegang kepalanya. Lantas, dia memasuki bilik Najihah.

       Tindakan Amir membuatkan Najihah kaget, namun selepas dia menyedari bahawa Amir yang memasuki biliknya, dia kembali memegang kepalanya.

       "Sakit kan? Kenapa tak makan ubat? Ubat mana? Saya ambilkan."

       Amir mula mencari ubat Najihah di atas meja Najihah yang berselerak itu. Namun, tindakan Najihah yang memegang lengan baju kemejanya menghentikan proses mencari itu.

       "Tak payah cari, saya tertinggal beg ubat kat rumah."

       "What? Sakit ni macam mana?"

       Belum sempat Najihah menjawab, dia sudahpun rebah ke lantai. Amir tidak membuang masa lalu mencempung Najihah keluar menuju ke lif.

       Tindakan Amir mengundang buah mulut semua orang di dalam pejabat, sehinggakan berita tersebut sampai ke telinga Razin dan Indah. Dengan pantas, Razin mengejar Amir.

       Namun begitu, dia terlewat seminit dua sahaja kerana ketika dia tiba di pintu hadapan bangunan pejabat mereka, kereta Nissan Almera milik Amir melintasinya.

     *     *     *     *     *
"Encik Amir, saya rasa ketumbuhan dalam otak cik Najihah dah semakin membesar. Kalau tak dibedah dalam masa sebulan, dia akan buta. Tolong nasihatkan dia, saya tak nak perkara itu terjadi pada cik Najihah," terang Doktor Hazeline setelah pemeriksaan dilakukan ke atas Najihah.

       "Saya tak tahu apa yang dia tunggu. Saya cuba ikut rentak dia, doktor tapi saya tak tahu kenapa dia menangguhkan pembedahannya. Tak apalah, nanti saya bincang dengan dia semula. Saya minta diri dulu."

       Amir berjalan keluar. Keluar saja dari bilik doktor, langkahnya terhenti dek dua kelibat yang sangat dikenalinya. Amir memandang dua insan dihadapannya lalu menelan air liur. Dia tahu rahsia Najihah tak mampu lagi untuk disimpan.

       "Saya rasa lebih baik Encik Razin minta penjelasan daripada doktor sendiri. Bukan daripada saya."

       "I will, but I will also need ypur explanation afterwards."

       Razin menuju ke dalam bilik Doktor Hazeline manakala Indah hanya kekal berdiri di mana dia berdiri sedari tadi.

       Amir mendekati Indah. Dia tahu Indah pasti ada soalan untuknya.

       "Jihah sakit teruk kan?"

        Amir mengangguk lemah.

       "Ada kesan lain ke penyakit dia tu?"

       "Buta."

       Indah terbungkam. Dia tak dapat menahan sebak dari apa yang didengarinya. Dia hilang kekuatan lalu terduduk di atas lantai sambil menangis teresak-esak.

       Melihat Indah, air mata lelaki Amir juga tumpas petang itu. Sempatkah untuk selamatkan Najihah?

     *     *     *     *     *
"Abang, Jihah minta maaf kerana tak mampu berterus terang. Jihah harap abang faham keadaan Jihah."

       "Tak apa, Jihah. Abang faham dan abang maafkan Jihah. Kita pergi London untuk pembedahan Jihah ya?"

       "Jihah akan pergi, selepas kita selesai urusan kita berdua."

       "Maksud Jihah?"

       "Kita putus. Jihah tak nak pasang harapan pada abang. Manalah tahu kalau umur Jihah tak panjang."

       "Kita ikhtiar dulu."

       "Jihah akan ikhtiar, tanpa abang. Tolonglah abang, kalau abang sayangkan Jihah, lepaskan Jihah."

       Razin kehilangan kata-kata. Dia menatap wajah insan kesayangannya itu. Wajah itu langsung tidak memandangnya sedari tadi. Keluhan berat dilepaskan.

       "Baiklah, abang lepaskan Jihah. Jihah bersiaplah untuk ke sana. Abang akan uruskan hal pertunangan kita," jawab Razin, tenang. Jawapan Razin itu dibalas dengan pandangan Najihah.

       "Terima kasih abang. Maafkan Jihah dan halalkan makan minum Jihah. Nah, cincin abang. Ini bukan hak Jihah lagi," ucap Najihah lalu menanggalkan cincin tunangnya dan diserahkan kepada Razin semula.

       *       *       *       *       *
"Kenapa minta putus pada Razin? Apa salah dia, Jihah?" Tanya Indah yang ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan Najihah tadi.

       "Jihah ni boleh pergi bila-bila masa saja, akak. Bukan Jihah yang abang Razin cari. Kak Indah, Dahlia perlukan ayah. Abang Razin perlukan isteri. Jihah tahu akak orang yang paling sesuai untuk ambil tempat Jihah dalam hidup abang Razin."

       "Razin tak cintakan akak dah, itu semua sejarah. Dia cintakan Jihah. Jihah faham tak?"

       "Mungkin akak betul, tapi kalau abang Razin tak ada sekelumit perasaan pada akak pun, mana mungkin dia masih lagi fobia dengan kecurangan? Mana mungkin dia ambil akak jadi pembantu perobadinya?"

       "Apapun, masa kami dah lama habis."

       "Kalau dah jodoh, abang Razin tetap akan jadi milik akak. Trust me."

       Indah terdiam. Tak guna berbalah dengan orang yang menegakkan keputusannya. Dia harus beralah. Dia tahu itu.

       *       *       *       *       *
Amir sedang memotong buah epal yang dibelinya tadi. Sejak Najihah putus tunang, hanya dia saja tempat Najihah mengadu. Indah juga tidak lagi melawat Najihah sejak kali terakhir mereka bersua minggu lepas.

       "Amir, saya nak tanya sesuatu boleh?" Tanya Najihah sambil memandang Amir.

       "Apa dia, Jihah?"

       "Kita kahwin nak?"

       Pertanyaan Najihah menghentikan perbuatannya sedari tadi. Dia memandang Najihah. Najihah nampak serius.

       "Kenapa tiba-tiba? Kenapa saya, bukan Encik Razin?"

       "Nak ke tak nak? Tolonglah awak, jangan tanya semua soalan itu. Saya tak ada jawapannya."

       Air mata Najihah mulai gugur. Amir berasa tak senang hati melihat Najihah menangis sebegitu. Namun, hatinya keliru. Sangat keliru.

*bersambung*

Foot print: Siapakah yang korang rasa layak jadi suami Najihah? Amir atau Razin? Boleh bagi jawapan korang diruangan comment. Tarikh tutup undian adalah pada 12.00 tengah malam, 17/02/2015. Mohon beri kerjasama. Terima kasih.

Thursday, February 12, 2015

Kasih Tercipta Part 12...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Jenuh nak sambung "Alasan Untuk Bahagia". Sebab mood nak sambung cerpen tu tak sampai, so sambung cerpen ni dulu. Okay? Untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:



Ridhuan meneliti setiap inci susuk tubuh Arissa. Cantik, sepatutnya Arissa jadi miliknya bukan adiknya. Dia mengusap pipi Arissa, lembut. Beruntungnya si gila tu dapat memiliki gadis cantik ini, tapi Syazwan takkan bahagia. Tidak selagi Ridhuan tidak bahagia.

       Sedang dia leka dengan Arissa, dia tidak menyedari Syazwan sudahpun di belakangnya. Hati suami mana yang tak terbakar melihat isterinya sedang dicabul oleh lelaki lain. Lebih teruk lelaki itu adalah abangnya sendiri.

       Syazwan mula berang melihat abangnya mula mengucup leher Arissa. Dia mendekati Ridhuan lalu ditarik lengan Ridhuan dan menumbuknya. Akibat tumbukan itu, Ridhuan tergolek ke tepi katil.

       Ridhuan bangkit. Bibirnya luka. Ditenungnya Syazwan dengan pandangan penuh dendam. Dia pasti dia takkan melepaskan Syazwan. Ridhuan tidak membalas tumbukan Syazwan lalu keluar dari bilik.

       Syazwan mendekati Arissa. Dia cuba mengejut Arissa, namun Arissa masih tak sedarkan diri. Syazwan panik, dia tak tahu apa yang perlu dilakukan.

     *     *     *     *     *
Datuk Shahrizal, Datin Rosnah dan Izwan sedang menonton televisyen di ruang tamu apabila Ridhuan bergegas turun ke bawah. Terkejut mereka bertiga apabila melihat Ridhuan begitu.

       "Kenapa dengan kau ni Rid? Macam kena sampuk hantu saja?" Tanya Datin Rosnah.

       "Syaz, ibu. Dia tumbuk Rid tadi. Tiba-tiba saja, padahal Rid tak buat apa-apapun."

       "Budak tu memang cari nahas betul! Mana dia, Rid? Abah nak ajar dia sikit!" Bentak Datuk Shahrizal lalu menuju ke tangga untuk ke tingkat atas.

       Melihat tindakan Datuk Shahrizal, mereka yang lain mengikut langkah Datuk Shahrizal.

       Setibanya mereka berempat ke dalam bilik Syazwan, Syazwan sedang memeluk Arissa yang sedang menangis teresak-esak. Menyedari kehadiran Datuk Shahrizal, Datin Rosnah, Ridhuan dan Izwan, mereka berdua berpandangan sesama sendiri.

       "Kenapa kamu tumbuk abang kamu, Syaz? Kamu memang dah gila ya?" tengking Datuk Shahrizal lalu merenung ke arah Syazwan.

       Soalan abahnya terbiar sepi oleh Syazwan. Dia tahu apa jua jawapan yang dia berikan, walaupun untuk Arissa, tetap dianggap palsu oleh abahnya.

       Arissa memandang suaminya, dia tahu dilemma suaminya itu. Bukan mudah untuk mempertahankan diri di mata insan yang menganggap suaminya buruk belaka.

       "Abang tumbuk abang Rid sebab Arissa. Abang Rid cuba cabul Arissa, abah," jawab Arissa, perlahan.

       "Kau jangan nak buat lawak, Arissa! Kau tu bukan selera Rid, aku kenal anak aku!"

       "Abah kata abah kenal anak abah? Jadi, Rid sajalah anak abah maksudnya?" Tempelak Arissa, hilang sabar. Dia berang dengan sikap bapa mentuanya yang bongkak itu.

       "Kau tu menantu saja, apa hak kau nak cakap aku macam tu? Kau tu kenal sangat ke suami kau tu? Kau tahu ke dia ada masalah mental? Kau tahu ke dia pernah mencuri? Tahu?"

       "Arissa tahu, abah. Kesemuanya. Cuma, Arissa kesal dengan sikap abah yang berat sebelah. Apa yang abang Rid cakap dengan abah sampai abah masuk bilik kami? Mesti dia cakap abang tumbuk dia tanpa sebab kan? Nak bagi nampak macam abang tu tengah sakit mental kan? Senanglah dia nak ganggu Arissa kalau abang masuk wad kan? Macam tu? Arissa kecewa dengan sikap semua orang dalam rumah ini yang tak berterus terang sedari mula. Hanya abang Syaz saja yang berterus terang, sedikit demi sedikit. Sejak sebelum kami bernikah lagi. Tapi yang lain? Ada yang beritahu apa-apa tak?" bentak Arissa panjang lebar sehinggakan semua yang berada di situ terdiam seribu bahasa.

       "Kalau abah dah meluat sangat dengan Syaz, Syaz akan keluar. Mulai hari ini, selepas Syaz keluar, kami berdua takkan ganggu abah sekeluarga lagi. Kalau boleh, jangan cuba cari kami, kami takkan pulang lagi," sampuk Syazwan.

       Keputusan Syazwan tidak mengubah pendirian Datuk Shahrizal sedangkan Datin Rosnah sudah meraung dan merayu agar anaknya itu mengubah fikirannya. Ridhuan pula, tersenyum puas kerana rancangannya sudah berjaya.

     *     *     *     *     *
"Aku rindulah kat kau, Mai! Mana kau tahu aku kat sini?"tanya Arissa selepas menghidangkan teh dan kuih-muih di atas meja kopi di hadapan Umairah.

       "Aku pun rindu kau juga. Syaz mana? Dah lama aku tak jumpa sepupu kesayangan aku tu! Aku tahu pun daripada maklang."

       "Oh ya, aku lupa ibu tahu aku kat rumah mak abah aku. Syaz suruh aku beritahu dia. Syaz? Dia kerja. Almaklumlah, sejak kerja makan gaji dengan orang ni, tak bolehlah nak mengelat. Alhamdulillah aku tengok dia rasa tenang sangat di sini. Mak dengan abah pun layan dia elok saja."

       "Kenapa kau orang tak duduk rumah di Ipoh tu? Kenapa duduk rumah mak abah kau?"

       "Aku tahulah rumah aku ni tak segah rumah besar abah Syaz tu, tapi setidaknya rumah ini lebih 'berisi' dan sepupu kau tu sihat saja duduk di sini. Sebenarnya, dia yang nak balik sini. Katanya, adillah duduk rumah aku pula. Lagipun, rumah di Ipoh itukan abah yang belikan. Memang taklah abang nak duduk sana kan?"

       "Oh, mengata orang ya?" Suara itu mengejutkan keduanya lalu mereka sama-sama memandang ke arah punca suara.

*bersambung*

Foot print: Al-Fatihah buat Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan Allahyarham Tuam Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sunday, February 8, 2015

Alasan Untuk Bahagia Part 6...


Indah memandang Najihah, lama. Dia tahu Najihah tidak marah, tapi kenapa Najihah bertindak begini? Keliru memburu sanubari Indah.

       "Mestilah kak Indah tak pernah kena kurung, Jihah. Tapi Jihah betul-betul cari pasal dengan Razin. Kalau Jihah berterus terang, mungkin Razin tak marah begini."

       "Apapun yang Jihah buat, itu adalah tindakan Jihah yang hanya Jihah tahu sebabnya. Jadi, apapun akibatnya, Jihah terima. Lagipun, Amir dulu orangnya memang protektif. Jihah dah biasa," jawab Najihah sambil tersenyum kelat.

       "Jihah memang tak nak beritahu sebabnya? Terpulanglah, tapi kalau Razin terus kurung Jihah macam mana?"

       "Terpulang pada dia. Jihah redha."

       Indah menggelengkan kepala melihat respon Najihah. Dia mengharapkan Razin tahu bagaimana hendak memujuk Najihah, supaya mereka berdua dapat bekerja semula.

     *     *     *     *     *
"Encik Razin, saya nak minta Encik Razin hantarkan dokumen ini pada cik Najihah. Minta dia tolong semak. Boleh?" Tanya Khairul setelah menahan Razin yang ingin pulang.

     "Macam tahu-tahu saja saya nak ke sana, kan Kay? Baiklah, saya berikan pada dia. Esok saya ambil balik," jawab Razin lalu mengambil fail di tangan Khairul.

       "Boleh saya tanya sesuatu yang peribadi tak?"

       "Apa dia, Kay?"

       "Saya harap Encik Razin benarkanlah cik Najihah dan kak Indah bekerja semula. Saya tak tahu apa yang terjadi tapi saya kasihan dengan Encik Amir. Kelam kabut dia nak uruskan kerja cik Najihah. Dah seminggu dia overtime. Dia kena berehat juga."

       Razin terdiam mendengar buah fikiran Khairul. Dia tahu dia dah tersalah membuat keputusan. Dia hanya memikirkan perasaan hatinya tanpa menyedari ramai yang terjejas dek keputusannya.

       "Saya akan fikirkan. Terima kasih, Kay. Oh ya, mana Amir? Saya nak jumpa dia sebentar."

       "Dia ada di biliknya. Tengah siapkan quotation untuk tender Honey-Bee Bakery."

       "Terima kasih, Kay. Awak baliklah dulu," jawab Razin lalu menuju ke bilik Amir. Belum sempat dia mengetuk pintu bilik, Amir telah membukamya terlebih dahulu. Keduanya terkejut melihat satu sama lain.

       "Ada apa Encik Razin datang ni? Saya dah berikan perkembangan Yummy Bites pada Kay."

       "Tahu, ada kat saya ni. Dia minta Jihah semak dulu baru saya ambil. Awak teman saya ke sana. Boleh tak?"

       Pertanyaan Razin tidak dijawab oleh Amir. Lama dia mendiamkan diri membuatkan Razin diulit keresahan.

       "Tak apalah, saya tak nak kacau daun. Encik Razin pergilah pujuk Jihah. Kalau tak boleh juga, esok kita pergi balik, saya akan pujukkan."

       "Baiklah kalau begitu, Amir. Saya gerak dulu."

       Amir hanya memandang kepergian Razin. Hilang saja kelibat Razin dari pandangan, Amir menguntumkan senyuman.

     *     *     *     *     *
"Abang minta maaf andai tindakan abang membuatkan Jihah murung. Abang tahu abang tak patut kurung Jihah tanpa sebab yang munasabah. Maafkan abang," rayu Razin setelah dia duduk berhadapan dengan sofa tempat Najihah berbaring sambil menonton televisyen. Indah pula di dapur sedang membancuh minuman.

       Indah tidak mempedulikan Razin. Baginya kemarahannya takkan padam dengan mudah. Dia kecewa dengan tindakan terburu-buru Razin.

       "Abang bukan apa Jihah, selain kak Indah, ada beberapa orang perempuan lain yang curang dengan abang. Mereka hanya kejar harta kekayaan abang. Jadi abang takut Jihah pun buat perkara yang sama."

       Najihah masih lagi membisu. Dia terus menonton drama Istikharah Cinta di televisyen. Namun, Razin tahu Najihah tidak fokus bila adegan yang kelakar tidak mengundang tawa Najihah.

       "Jihah jangan buat abang begini. Abang rasa lemas."

       "Jihah pun lemas."

       "Maafkan abang."

       "Tiada apa yang perlu Jihah maafkan."

       Razin memandang tunangannya itu. Meskipun suaranya kedengaran, jasadnya masih lagi kaku di atas sofa itu. Masih lagi matanya memandang ke arah skrin televisyen.

       "Jihah benci abang?"

       "Tak."

       "Sayang abang?"

       "Sayang."

        "Esok masuk kerja ya sayang."

       Najihah menoleh ke arah Razin. Kelihatan Razin mengangkat keningnya, nakal. Menyampah pula melihat Razin begitu.

       "Betul ni? Jihah tak mimpi?"

       "Betul. Esok Jihah dengan Indah masuk kerja. Abang nak beri Amir cuti pula. Kasihan dia."

       Najihah terkesima. Dia tahu Amir pasti kepenatan menggantinya. Biarlah Amir cuti pula.

       "Baik, abang. Esok Jihah masuk kerja, jadi Amir boleh cuti lusa. Boleh kan abang?"

       Sekelip mata saja wajah Najihah yang sugul sedari tadi kelihatan berseri semula. Razin hanya tersenyum bahagia. Indah yang menghendap mereka dari tadi tergelak kecil.

     *     *     *     *     *
"Terima kasih sebab beritahu saya pasal kedatangan Encik Razin semalam. Pandai awak bermadah kan?"

       Amir hanya tersenyum mendengar pujian Najihah itu. Sejak bila Najihah pandai memuji pun dia tak tahu.

       "Sama-sama. Kita kena ambil hati dia juga. Kalau tak, dia akan terus-terusan mengesyaki kita berdua. Saya yakin awak tak nak dia tahu kan?"

       "Saya belum bersedia nak beritahu. Mungkin bila saya dah bersedia, saya sendiri akan beritahu dia."

       "Saya faham, Jihah. Saya tak paksa."

       "Saya tak faham satu perkara saja. Kenapa awak sudi tolong saya? Saya tunang orang, mana mungkin saya boleh memilih awak."

       Amir memandang Najihah. Dia tak tahu apa yang harus dijawab.

*bersambung*

Foot print: wish me luck! =)

Tuesday, February 3, 2015

Alasan Untuk Bahagia Part 5...


"Cakap, Indah. Amir dengan Jihah kenapa?" Bentak Razin setelah melihat Indah terdiam sebegitu.

       "Jihah dengan Amir tak masuk ofis petang ni. Dia ada lagi satu meeting lepas meeting dengan Yummy Bites," jawab Indah, perlahan. Dia tak mahu Razin mengamuk, tapi dia tahu perkara itu pasti akan berlaku.

       "Kenapa Jihah tak beritahu Razin sendiri? Kenapa dia beritahu Indah? Tanya Razin bertubi-tubi.

       Indah kaget. Dia sebolehnya tidak mahu menjawab soalan itu. Namun, dia kenal benar Razin. Sukar untuk mengelat andai dia sudah bertanya.

         "Mungkin dia tahu Razin marahkan dia. Razin, Jihah itu bukan macam Indah. Indah sedar Indah buat Razin jadi begini. Cuma, Razin jangan layan Jihah seolah-olah Jihah itu betul-betul buat dosa. Kalau begini, sampai bila Razin nak dapat jodoh?"

        Razin terkesima. Sudah lama Indah tidak berbicara tentang masa lampau mereka. Terlalu lama. Memang dirinya mengakui, pengalaman pahit bersama Indah dahulu membentuk dirinya menjadi seorang yang prejudis. Sejak dia bersama Najihah, sangkaannya dia telah berubah. Namun, ternyata dia silap.

      *     *     *     *     *
"Betul ke apa yang kita buat ni? Kenapa tak terus terang saja? Jangan buat Encik Razin macam orang bodoh, Jihah! Awak tahu dia tak bodoh kan?" Tanya Amir selepas Najihah meletakkan telefon bimbitnya di atas meja kembali.

       "Saya bukan sengaja nak buat dia begitu. Saya kena jumpa doktor Hazeline petang ni dan saya tak nak dia tahu. Jadi, awak kena temankan saya. Boleh tak, Amir?"

       Amir hanya mengangguk lemah. Tak guna berdebat dengan Fatin Najihah, dia bijak membahas. Hanya kuasa veto saja yang mampu membatasnya, namun kuasa itu bukan miliknya lagi tapi milik Encik Razin.

       Telefon bimbit Najihah berbunyi tanda mesej Whatsapp masuk. Dia mengambil telefon bimbitnya, nama "Razin" tertera sebagai pengirim. Najihah pun membaca mesej yang berbunyi:

See me when you arrived at the office tomorrow morning. No objection. No excuse.

Najihah tersenyum membaca mesej Razin itu. Mai dah kuasa veto tunang aku ni! Dengan pantas, Najihah menaip mesej balasan yang berbunyi:

I will, abang. Menurut perintah.

Belum sempat dia meletakkan semula telefon bimbitnya, Razin sudah menjawab mesejnya. Najihah membuka ruang perbualannya dengan Razin dan membaca mesej yang berbunyi:

Make sure. Kalau tak, abang bagi 'cuti' khas pada Jihah. Tak payah Jihah apply pun.

       Najihah tidak membalas. Aduhai, Razin memang menggunakan kuasa veto padanya kali ini. Dirinya mula diulit rasa bimbang.

        Amir hanya memerhatikan Najihah. Dia tahu mesej yang diterima Najihah itu daripada Encik Razin. Marah benar majikannya itu. Najihah ini memang pandai cari pasal.

     *     *     *     *     *
Razin bergegas berlari menuju ke arah wad yang berada di hujung tingkat 3 Hospital Pantai Bangsar itu. Dibelakangnya Indah cuba untuk mengejar, namun kelajuan Razin terlalu payah untuk dikejar.

       Razin berhenti apabila dia ternampak kelibat Amir di kaunter jururawat. Amir yang terkejut dengan kehadiran Razin dengan kelajuan sebegitu mengurut-urut dadanya.

       "Kenapa dengan Najihah, Amir? Macam mana dia boleh masuk wad ni? Tadi kata meeting dengan klien kan?" Tanya Razin, bertubi-tubi. Sanubarinya penuh dengan kebimbangan.

       "Belum sebab jumpa lagi dia dah pengsan. Kebetulan dia nak ambil keputusan ujian dia semalam, dia pengsan depan bilik doktor. Memang masuk wadlah ceritanya."

       "Jadi, doktor tak beritahu kenapa dengan dia?"

        "Kalau itu, lebih baik Encik Razin tanya doktor sendiri. Saya tak tahu, sebab saya bukan waris dia."

       Razin terdiam. Benar kata Amir, mana mungkin doktor memberitahu Amir tentang keadaan Najihah. Dia bukan waris. Dengan pantas, Razin menuju ke bilik doktor dan meninggalkan Indah bersama Amir.

       "Sayang betul Encik Razin pada Najihah, betul tak Amir?"

        "Betul kak Indah. Cuma, saya tak tahu sejauh mana jodoh mereka. Itu kita kenalah sama-sama doakan."

        Tersentak Indah mendengar ayat Amir. Akan tetapi, kata-kata Amir itu ada benarnya. Jodoh, pertemuan, ajal, maut, semuanya milik Illahi.

     *     *     *     *     *
Najihah membuka matanya. Dia nampak tunangannya sedang duduk di sebelah katil dan sedang bermain dengan telefon bimbitnya.

       "Bila abang sampai?"

       Soalan itu menghentikan apa yang dilakukan Razin. Dia memandang gadis yang terbaring di atas katil berhadapan dengannya. Gadis itu nampak cekung sedikit daripada ketika mereka bertunang. Hatinya mula diulit bimbang, namun segera disembunyikan kerana bimbang diketahui Najihah.

       "Abang dah sampai tak lama selepas Amir beritahu Jihah pengsan. Jihah sakit apa ni? Doktor kata Jihah stress. Jihah stress apa?"

       "Biasalah hal kerja, mesti ada stress kan abang?"

       "Jihah cuti sajalah. Abang bagi Jihah cuti dua minggu. Abang tak nak tengok Jihah ada di ofis."

      "Cuti? Habis itu Jihah nak buat apa? Tak naklah!"

      "Bantah ya? Baiklah Najihah, abang bagi cuti 2 minggu plus tak boleh pergi mana-manapun kecuali dengan izin abang. Abang dah beritahu mama dengan ayah Jihah,  mereka setuju. Jadi, Jihah kena stay rumah 2 minggu. Abang dah 'cutikan' Indah untuk teman Jihah dan upah bodyguard untuk jaga rumah Jihah. Kalau Jihah keluar, tahulah abang nak buat apa nanti!"

       Padan muka kau, Najihah! Sudah dapat cuti, kena kurung dalam rumah sendiri lagi! Tanggunglah kau. Padah dapat tunang bos sendiri.

     *     *     *     *
"Macam mana dengan Najihah, Indah? Merajuk betul dia dengan Razin sampai tiga hari dah dia off telefon dia," tanya Razin di hujung talian.

       "Dia asyik tidur saja. Bangun pun untuk makan dan solat. Kalau rindu sangat, datanglah jumpa dia sendiri. Indah pun risau tengok dia. Banduan penjara pun tahu memberontak, tapi dia diam saja sejak Razin 'hukum' dia."

       "Laaa... ye ke. Razin ingat dia bercakap dengan Indah. Jadi, dia mogok habislah tiga hari ini?"

       "Tak ada maknanya. Tiga hari keluar hospital, tiga hari kena perintah berkurung, tiga hari juga tak bercakap. Macam duduk dengan orang bisu dah Indah rasa."

       "Tak apalah, Razin datang petang ini. Kalau tak jalan juga, kenalah suruh Amir pujuk. Razin ada meeting ini, nanti kita jumpa. Assalamualaikum."

       Talian terputus. Indah menjawab salam lalu meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Dia menuju ke bilik Najihah lalu membuka pintu bilik tersebut. Kelihatan Najihah sedang membaca buku di birai katilnya. Indah duduk di sebelah Najihah, namun kehadirannya tidak diendahkan.

      "Jihah marah kak Indah ke?"

      Pertanyaan itu terbiar tanpa jawapan.

       "Atau Jihah marah Razin hukum Indah begini?"

        Najihah menutup buku yang dibacanya lalu memandang Indah. Tiada sebarang riak perasaan tertera di wajahnya. Seolah-olah insan tanpa perasaan. Hanya pandangan kosong buat Indah.

        "Kak Indah pernah kena kurung tak?"

        Indah kaget. Soalannya dibalas dengan soalan yang tidak tahu bagaimana untuk dijawab.

*bersambung*

Foot print: gementar hati ini...

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com