Tuesday, June 27, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 27

 Link terdahulu:

Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13

"Suraya keguguran. Dia masih dalam pembedahan," jawab Puan Wardah, ringkas.

Lily terbungkam. Apa lagi dugaan yang Allah nak berikan buat sepupunya itu?

"Jadi, dia di mana sekarang?" tanya Lily lagi.

"Gleneagles."

"Okay, kakak akan ke sana. Ibu nak ikutkah?" tanya Lily, ingin menguji isi hati ibunya.

"Nak, tapi Cempaka tidur bukan?" tanya Puan Wardah, serba salah.

"Tak apa, kita angkat saja dia. Ibu bersiaplah, Lily hendak bersiap, selepas itu nak siapkan botol susu Cempaka sekali."

"Baiklah, ibu pergi bersiap," jawab Puan Wardah lalu menuju ke bilik tidurnya untuk bersiap.

Lily hanya memandang pemergian ibunya. Dia berharap ibunya kini sudah boleh menerima sepupunya sebagai ahli keluarganya.

      *      *       *       *      *

Rashdan yang baru sahaja pulang dari kerja dapat melihat Zulaikha sedang menidurkan Zara. Rashdan berjalan menuju ke arah sofa di mana Zulaikha berada.

Melihat ketibaan Rashdan, Zulaikha menghulurkan tangannya tanda ingin bersalam. Rashdan menyambut tangan isterinya itu dan Zulaikha bertindak mencium tangan Rashdan.

"Abang nak air?" tanya Zulaikha, lembut.

"Tak apa, Ika tidurkan Zara dulu," jawab Rashdan, berbasa-basi.

Rashdan baru sahaja ingin melangkah pergi apabila Zulaikha menarik tangannya bagi menahannya. Rashdan hanya memandang isterinya tanpa sebarang kata-kata.

"Ika nak minta ampun dengan abang. Ika tak sepatutnya meragui kasih sayang abang pada Ika dan cemburu dengan Su. Ika cuma rasa tak yakin setiap kali Ika lihat Su,"

"Ika kena tahu, abang yang lepaskan Su. Bukan Su yang lepaskan abang. Abang tak layak untuk dapatkan dia semula walaupun Ika lepaskan abang sekalipun. Jadi, abang dah redha yang kami hanya boleh jadi kawan."

Zulaikha hanya mampu mendiamkan diri mendengar kata-kata Rashdan itu. Dia tahu ada benarnya kata-kata suaminya itu.

"Ika minta ampun ya abang," ulang Zulaikha lalu mencium tangan Rashdan semula.

"Abang maafkan Ika."

"Oh ya, abang. Tadi Lily call Ika."

"Ada apa dia call Ika?" tanya Rashdan, hairan.

"Su, dia ada di hospital sekarang. Keguguran," jelas Zulaikha, ringkas.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Hospital mana?" tanya Rashdan.

"Hospital yang sama dengan Haziq."

"Ika nak pergi? Kita bawa Zara, di sana kita bergilir tunggu anak."

Zulaikha hanya mengangguk. Melihat respon Zulaikha, Rashdan mengambil Zara dari pangkuan Zulaikha lalu mendukung anaknya itu.

"Ika pergi bersiap. Abang tunggu dengan Zara," ujar Rashdan.

Tanpa berlengah, Zulaikha menuju ke arah bilik tidur mereka untuk menukar pakaiannya. Rashdan hanya memerhatikan pemergian isterinya itu.

     *     *     *     *     *

Haziq sedang memandang Suraya apabila dia menyedari bahawa isterinya itu sudah sedarkan diri. Dia dapat melihat wanita itu memegang perutnya dalam keadaan sakit sebelum terkejut melihatnya berada di birai katil.

"Abang sudah sedar?" tanya Suraya, sedikit serak.

Haziq terkejut. Dia diberitahu oleh bapanya tadi bahawa isterinya tidak mengetahui tentang dirinya yang koma sejak seminggu lepas. Bagaimana pula isterinya boleh mengetahuinya?

"Apa maksud Su?" tanya Haziq, hairan.

"Su tahu abang koma, Su terdengar Makcik Jun berbual di telefon sebelum Su pengsan. Bila abang sedar semula?" tanya Suraya setelah menjelaskan keadaan sebenarnya.

"Pagi tadi, sebelum Su dikejarkan ke sini."

"Abang, kenapa perut Su sakit?"

Haziq tidak terus menjawab, dia tak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaan ini tanpa mengganggu perasaan isterinya.

"Su tumpah darah, anak kita sudah tidak bernyawa semasa doktor periksa tadi. Jadi, mereka terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan janin. Keadaan Su yang lemah membuatkan doktor tak mahu berikan Su ubat untuk keluarkan janin itu sendiri," jawab Haziq, lemah.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya air matanya yang mengalir deras membuatkan Haziq memegang tangan isterinya.

"Semua ini bukan salah Su, Allah belum izinkan lagi untuk kita menimang cahaya mata. Jangan salahkan diri," tegas Haziq dalam lembut.

"Su minta maaf, abang. Emosi Su lemah, sampaikan anak kita tak mampu diselamatkan."

"Kasih sayang abang pada Su takkan berkurangan dengan semua ini. Abang tunggu Su lama tahu? Abang tak kisah tentang anak, semua itu rezeki Allah," jelas Haziq sambil mengucup tangan isterinya.

"Su tahu tapi Su tak dapat nak bagi zuriat pada abang."

"Su, kita boleh cuba lagi. Sudah, abang tak nak Su fikirkan soal ini lagi."

"Abang tak sedihkah anak kita sudah tiada?" soal Suraya, berang.

"Tipulah kalau abang kata abang tak sedih tapi tak sesedih yang abang rasa semasa sayang nikahi Muhaimin dahulu," jawab Haziq, jujur.

"Apa abang ini? Tak ada kaitan pun dua perkara itu."

"Ada, sebab kalau hilang anak, boleh cuba lagi tapi kalau abang hilang sayang lagi, anak pun takkan ada."

Kata-kata Haziq membuatkan Suraya terbungkam. Ada benarnya kata-kata itu.

     *     *     *     *     *

Lily dan Puan Wardah sedang berbual dengan Datuk Muhsin dan Datin Nurina perihal keadaan Haziq dan Suraya apabila Encik Wahab tiba.

Lily yang menyedari kehadiran Encik Wahab berjalan menuju ke arah bapanya itu sebelum bertindak mencium tangan lelaki itu.

"Ayah dari mana? Dari pagi Lily tak nampak ayah," ujar Lily selepas dia mencium tangan ayahnya.

"Ayah pergi kedai tadi. Dari kedai itulah ayah terus ke sini. Su bagaimana?" tanya Encik Wahab selepas menjawab pertanyaan Lily.

"Alhamdulillah, pembedahan sudah selesai."

"Siapa yang melawat dia sekarang? Kalau tak ada sesiapa, ayah nak naik," ujar Encik Wahab.

"Haziq ada dengan Su sekarang."

"Haziq? Dia sudah sedar?"

"Sudah. Kata Pakcik Muhsin, Haziq sedarkan diri terlebih dahulu sebelum Suraya tumpah darah. Jadi, kami semua sepakat untuk biarkan laki bini itu selesaikan perihal keguguran itu sebelum kita semua bertemu dengan Su dan Haziq."

"Alhamdulillah, akhirnya semuanya dah selesai," jawab Encik Wahab, lega.

"Ayah datang dengan siapa?" tanya Lily sambil memandang belakang Encik Wahab.

Encik Wahab dapat melihat perubahan riak wajah Lily itu. Tahulah dia yang anaknya sudahpun mengetahui siapakah gerangan yang menghantarnya ke hospital itu.

"Kau buat apa di sini?" sergah Lily.

Mujurlah Encik Wahab cepat-cepat memegang tangan puterinya itu bagi menghalang wanita itu menyerang lelaki yang bersamanya.

"Ayah yang minta dia hantarkan ayah," jawab Encik Wahab, ringkas.

"Sudah hantar boleh balik terus, bukan? Kenapa pula nak sibuk di sini?" tanya Lily, kasar.

Puan Wardah mendekati Lily selepas melihat tingkah laku anaknya dari jauh itu.

"Apa ini, Lily? Malulah orang tengok!" bisik Puan Wardah.

"Biarlah orang tengok, biar orang tahu yang lelaki inilah yang curang dengan Lily dulu!"

"Astaghfirullah hallazim! Apa ini Lily? Kamu ini sudah kena rasuk hantukah?"

"Mamat inilah yang buatkan Lily kena rasuk hantu! Cakaplah, kau buat apa di sini?" jerkah Lily sekali lagi.

"Dia nak lawat Haziq dan Su, Lily ini kenapa?" tanya Encik Wahab.

"Macamlah tak boleh datang masa lain! Hendak juga datang semasa aku ada kat sini! Kau sebenarnya nak tengok muka aku sajakan?"

"Kalau betul pun, apa salahnya? Kau itu bukannya isteri orang! Sudah jadi mak orang, perangai itu jaga sikit boleh tak? Dulu, kau marahkan mak kau, tapi kau buat juga perangai macam dia buat dulu!" sampuk Rashdan yang datang dari belakang Aduka yang sedari tadi berdiri di sebelah Encik Wahab membuatkan Lily terkejut.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com