Tuesday, June 18, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 23

Part sebelumnya:


*****

"Apa dia, bie? Janganlah buat I begini!" ujar Zaidah, bimbang.

"Amy sekarang ini bekerja di Penang untuk tiga bulan," jawab Ruzaini.

"Jadi?" tanya Zaidah.

"Tak ada apapun. Itu saja beritanya," jawab Ruzaini sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata Ruzaini, Zaidah merengus geram. Tak sangka suaminya berjaya mengenakannya.

"Tapi Syafiq kena tikam, dia sekarang berada di wad," sambung Ruzaini lagi.

"Tikam? Terukkah? Siapa tikam?" tanya Zaidah, risau.

"Aik? Bukan main lagi you punya bimbang?" tanya Ruzaini, sinis.

"Mestilah, dia pensyarah I dulu, mestilah I bimbang. Jawablah soalan I, bie!"

"Dia okay, sayang. Mentang-mentang mengandung, bukan main over lagi ya?" sindir Ruzaini lagi.

"Maaflah, bie. Bie, jom pergi Penang. Rindu Amy pula rasanya," ajak Zaidah, manja.

"Boleh tapi hujung minggu depan ya? Bie nak selesaikan semua kerja tertunggak dulu, baru boleh pergi bercuti," jawab Ruzaini sambil tersenyum. Dia sudah dapat menduga hati isterinya itu.

"Yalah, jangan bagi alasan pula selepas ini!"

Ruzaini hanya tersenyum sebelum memeluk Zaidah. Dia tahu isterinya masih belum biasa dengan ketiadaan kawan-kawan baiknya itu.

*****

"Kenapa ibu dengan ayah suruh Lia balik kampung ini? Lia baru bercadang nak balik minggu depan saja. Yalah, nanti kalau singa lapar itu tengok Lia tak masuk pejabat lusa, mahu dicarinya satu Malaysia nanti," tanya Amelia setelah selesai membasuh pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan malam.

"Duduk dulu, Lia," pinta Encik Roslan.

Amelia hanya menurut perintah bapanya itu. Hairan mula menular di dalam benak hatinya.

Dia dapat melihat ibunya mengeluarkan dua bekas cincin dari dalam beg tangannya yang sengaja dibawa keluar bersamanya dari dalam bilik tidurnya. Terus sahaja dihulurkan keduanya kepada Amelia.

"Apa ini ibu, ayah?" tanya Amelia lalu membuka kedua-dua bekas cincin itu. Terdapat sebentuk cincin belah rotan di dalam sebuah bekas dan cincin emas bertatahkan berlian di dalam bekas yang lagi satu. Wanita manakah yang tidak memahami maksud kedua-dua cincin itu, tetapi mengapakah semua ini berlaku di luar pengetahuannya?

"Minggu lepas ada orang datang meminang kamu, ayah terima dan minta dia bawakan cincin tunang sekali. Dulang hantaran pertunangan kamu ada di dalam bilik adik. Sengaja ibu sorokkan supaya kamu tak mengesyaki apa-apa," ujar Encik Roslan.

"Apa ini, ayah? Kenapa ayah dengan ibu tak berbincang dengan Lia dulu?" tanya Amelia, berang.

"Kalau ayah berbincang dengan kamu, kamu akan terimakah? Tak, bukan? Jadi, terpaksalah ayah gunakan kuasa veto ayah. Kamu patut bersyukur ayah cuma tunangkan kamu tanpa kebenaran, kalau ayah nak nikahkan kamu tanpa kebenaran pun boleh tahu?"tegas Encik Roslan setelah melihat respon Amelia itu.

"Ayah tunangkan Lia dengan siapa? Kenapa tak bagi Lia berkenalan dengan orang itu dulu?" tanya Amelia, hairan.

"Dengan siapa lagi, singa lapar kamu itulah! Suka hati kamu saja gelarkan orang singa lapar, alih-alih tunang kamu sendiri!" sindir Encik Roslan sambil tersenyum sinis.

"Syafiq?" tanya Amelia, inginkan kepastian.

"Yalah, siapa lagi. Lia jangan nak mengada lagi nak putuskan hubungan ini, ayah tak izinkan! Cukuplah dua kali Lia ikut kepala sendiri, kali ini ayah nak Lia ikut cakap ayah. Noktah!" tegas Encik Roslan sebelum beredar masuk ke dalam bilik tidurnya meninggalkan Puan Kursiah dan Amelia.

"Ibu..." Amelia cuba memujuk Puan Kursiah pula.

"Tak ada, jangan cuba nak pujuk ibu pula. Luluh hati ibu sewaktu tengok anak ibu ini disihir sampai masuk wad sakit jiwa dulu pun belum habis lagi, ditambah pula tengok anak ibu dipersalahkan atas kematian suami yang lain pula. Jadi, kali ini berikan peluang pada kami pula memilih jodoh terbaik Lia," jelas Puan Kursiah sebelum berlalu pergi meninggalkan dirinya sendiri.

"Aduh, macam mana ni?" ngomel Amelia sendiri sebelum mengeluh berat.

*****

Hari ini hari pertama Amelia masuk semula ke pejabat selepas sekian lama bertugas di Pulau Pinang. Malah, hari ini juga hari pertama dia keluar ke rumah dengan status sebagai tunangan Raja Mohd Syafiq.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bahagian tempat dia bertugas, kedengaran bunyi letupan dan hon membuatkan dia terkejut. Dia memandang ke arah bunyi-bunyian itu bermula. Kelihatan rakan-rakan sekerjanya meletupkan konfeti dan membunyikan hon sebagai tanda menyambut kepulangannya.

Di sebalik mereka, terlihat Emily memegang sebiji kek beserta lilin mendekatinya. Mengira bilangan lilin tersebut, Amelia terpinga-pinga.

"Hari ini bukan hari jadi saya, Emily."

"Saya tahu, hari jadi kamu minggu lepas tapi kamu masih di Penang bukan? Tak salah nak sambut double celebration, eh silap, triple celebration bukan?" jawab Emily sambil tersengih.

"Okay, triple ya? Birthday saya, kepulangan saya dan?"

"Pertunangan awaklah! Nak kata lupa, elok saja pakai cincin tunang," jawab Emily sambil mengenyitkan sebelah matanya.

"Mereka semua tahukah?" tanya Amelia yang mana wajahnya mula merona merah akibat malu diusik begitu.

"Tahu, hari selepas pertunangan awak itu, tuan belanja semua orang sarapan, awak tahu tak?" jawab Emily.

"Biar betul!"

"Betullah! Cepat, tiup lilin ini! Penat saya pegang! Ada awak jumpa bos pegang kek untuk anak buahnya tak?"

Tanpa berlengah, dia meniup lilin di atas kek itu dan semua orang bertepuk tangan selepas lilin itu padam.

"Tahniah, Amelia. Saya yakin awak akan bahagia kali ini," ujar Emily sebelum meletakkan kek tersebut di atas meja Amelia lalu memotong kek tersebut.

Amelia tidak menjawab, sebaliknya hanya membatu di tempat mana dia berdiri tadi.

"Takkan terkejut sampai terus batu kot?" tanya seseorang yang mana suaranya amat dikenali Amelia.

Amelia menoleh dan terkejut melihat kehadiran Dora di situ. Dia memeluk Dora erat selepas dilepaskan dengan wajah yang mencurigakan.

"Kau kerja sini?" tanya Amelia dengan nada yang sedikit keras.

Dora tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.

"Kenapa tak beritahu hari itu?" tanya Amelia lagi.

"Saja, nak surprise kau. Lagipun, aku perlukan kerja baru segera dan tuan sahaja yang sentiasa tawarkan aku kerja. Dari dulu lagi. Jadi, aku terimalah."

"Wah, dah panggil tuan sekarang! Dulu, aku seorang saja panggil tuan, janggal sangat rasanya."

"Eleh, kau. Selepas ini, kau tak boleh panggil dia tuan lagi bukan?" sindir Dora.

"Tak mungkin, aku tetap kena panggil dia tuan di pejabat."

"Kau rasa, dia nak bagi kau kerjakah?"

"Dia kena bagi, kalau tak, aku tak nak kahwin dengan dia!"

"Jadi, awak setujulah nak berkahwin dengan saya?" sampuk Syafiq yang entah bila munculnya.

Amelia memandang Syafiq, ada jambangan bunga lili di tangannya. Dia hanya melihat Syafiq mendekati mereka berdua dan Dora mula menjauhkan dirinya untuk memberi peluang kepada Syafiq pula.

"Welcome back, Diyana. I hope you like this," ujar Syafiq lalu menyerahkan jambangan bunga ini kepada Amelia.

"Tuan tahu saya suka bunga lili?" tanya Amelia, terkejut.

"Saya tahu semuanya tentang awak, lebih daripada apa yang awak tahu," jawab Syafiq, menyangkakan hati tunangnya itu sudah mula lembut melihatkan layanannya baik.

"Kalau begitu, kenapa saya suka bunga ini?" tanya Amelia.

"Sebab kata orang, bunga lili ini bunga syurga."

Amelia tergamam. Perkara ini bukannya semua orang tahu. Dora sendiripun tidak pernah tahu kenapa dia sukakan bunga lili. Pasti ibu atau ayah yang beritahu.

"Tuan, selepas habis kerja ini, kita jumpa ya? Saya ada benda nak beritahu tuan," ujar Amelia.

"Baik, tuan puteri. Saya jemput awak dari sini nanti," jawab Syafiq sebelum beredar.

Amelia hanya mampu mengeluh melihat sikap tunangnya yang tidak pernah berputus asa itu.

*****

Dora hanya mampu merenung Danial yang sedang minum itu. Sungguh dia tidak boleh menghadam kata-kata lelaki itu.

"Sudah elok-elok awak bekerja di sini, kenapa nak pergi sampai Australia pula? Habis itu, kita ini bagaimana?" tanya Dora, geram dengan berita yang diterimanya tadi.

"Saya terima tawaran kerana itu impian saya. Saya harap awak faham. Kita akan tetap bersama, melainkan awak itu sudah ada yang lain," jawab Danial.

"Saya bimbang awak yang curang nanti," ujar Dora sambil mencebik.

"Baik, kalau begitu kita bertunang sebelum saya ke sana. Okay?"

"Awak seriuskah?"

"Betul, saya serius nak jadikan awak suri hati saya. Cukuplah saya membujang, umur saya bukannya muda lagi. Hujung minggu ini saya hantar rombongan merisik ke rumah awak, boleh?" tanya Danial sambil memegang tangan Dora.

Dora tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang Danial dengan wajah yang terpinga-pinga.

"Awak tak sudikah nak jadi isteri saya?" tanya Danial setelah beberapa ketika Dora memandangnya.

"Sudi, datanglah. Nanti awak maklumkan kepada saya hari apa dan pukul berapa ibu bapa awak nak datang," jawab Dora sambil tersenyum.

Mendengar jawapan Dora, Dora dapat melihat wajah Danial yang muram tadi bertukar riang. Harapannya, agar ini adalah jodohnya.

"Oh ya, hari itu awak kata ada berita baik tentang kawan-kawan baik awak yang awak nak kongsi. Apa dia?" tanya Danial.

"Kawan saya yang Zai itu pregnant! Lepas itu, kawan saya yang Amy itu pula dah selamat ditunangkan," jelas Dora, teruja.

"Wow! Good news! Sekejap, Amy ditunangkan? Maksud awak, bukan pilihan dia?" tanya Danial, hairan.

"Payah nak kata. Pilihan mak ayah dia tapi pilihan dia juga. Cuma, memang dia ditunangkan tanpa pengetahuannya."

"Kenapa?" tanya Danial, semakin hairan dengan penjelasan Dora itu.

"Dia sudah tolak cinta tunang dia tiga kali dan mungkin dia akan berusaha untuk tolak cinta tunang dia lagi," jawab Dora.

"Apa pening sangat ayat awak ini?" tanya Danial.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com