Tuesday, June 18, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 24 (AKHIR)

Part sebelumnya:

Part 22
Part 23

*****

"Apa pening sangat ayat awak ini?" tanya Danial.

"Dia tak nak kahwin sebab dah dua kali kematian suami!" ujar Dora, membuatkan Danial terkedu.

"Tapi jodoh, ajal, maut semuanya kat tangan Allah bukan? Kenapa kena berfikiran begitu?" tanya Danial, semakin hairan.

"Katanya, badi keluarga."

"Astaghfirullah hallazim! Itu semua syirik, Dora! Awak kenal tunang dia? Saya nak jumpa, nak ajar dia macam mana nak sedarkan kawan awak itu," ujar Danial, serius.

"Kenal, sebab dia bekas pensyarah kami."

"Kiranya Amy bakal bernikah dengan bekas pensyarah kamu semua? Hebatnya!"

"Bukankah orang tak galakkan?" tanya Dora.

"Kalau masih belajar, memanglah. Takut ada unsur berat sebelah. Dalam kes mereka, bukankah kamu semua dah lama tamat belajar? Jadi, siapalah yang boleh halang jodoh orang, betul tak?"

"Betul juga kata awak. Tak apa, nanti saya hubungi tunang dia," jawab Dora sambil tersenyum riang.

*****

"Ada apa awak nak jumpa saya di sini? Kenapa kita tak jumpa di rumah saja? Tiba-tiba ajak pergi Taman Tasik Titiwangsa ni," tanya Syafiq selepas duduk di atas bangku bersebelahan Amelia.

"Kenapa tuan nak memperisterikan saya? Tuan tak takutkah apa yang berlaku pada arwah Azam dan Redzuan akan berlaku pada tuan juga?" tanya Amelia sambil merenung ke mata Syafiq. Dia harus menghalang perkahwinan ini untuk keselamatan Syafiq.

"Awak, ini bukan pejabat. Kenapa nak kena panggil saya tuan? Lagipun, awak bakal isteri saya. Saya tak takut pada apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Surat wasiat saya pun dah disahkan. Saya ikhlas nak memperisterikan awak," jawab Syafiq, tenang.

"Mudahnya awak berkata-kata! Kalau apa-apa jadi pada awak, yang sengsaranya saya! Saya yang ditinggalkan inilah yang menanggung segalanya!" Amelia meninggikan suaranya setelah berdiri menghadap Syafiq yang masih duduk.

Melihat reaksi Amelia, Syafiq bingkas bangun menghadap Amelia. Baginya, pemikiran ini harus ditamatkan.

"Apa maksud awak? Awak bukannya ada perasaan pada saya, jadi kenapa takut?" tanya Syafiq, hairan melihat tunangnya bagai meroyan hilang anak.

"Awak rasa saya buat semua ini sebab saya tak sayangkan awakkah? Awak ingat, saya tak nak berkahwin dengan awak sebab saya tak sayangkan awakkah? Saya buat semua ini sebab saya terlalu sayangkan awak, awak tahu tak?" tanya Amelia, bertubi-tubi.

Syafiq terkesima mendengar soalan-soalan Amelia. Adakah ini bermaksud cintanya telah berbalas?

"Kenapa pula?" tanya Syafiq, semakin hairan.

"Mujurlah arwah Azam sebatang kara dan saya menikahinya dalam keadaan separa sedar. Lagi pula, dia tidak meninggal dunia di hadapan mata saya. Jadi, pemergiannya tidaklah memberikan kesan kepada saya. Tambahan pula, saya langsung tidak pernah menyintainya," jelas Amelia satu persatu.

"Bagaimana pula dengan arwah Redzuan? Dia merupakan bekas teman lelaki awak zaman universiti bukan? Pasti awak cintakan dia," tanya Syafiq tentang Redzuan pula.

"Dulu, memanglah tetapi masakan saya boleh terima lelaki yang dah tinggalkan saya separuh gila dulu? Saya terima dia dulu sebab dia berjanji takkan sentuh saya tanpa kerelaan saya sendiri. Tak sangka selepas dua hari dia menikahi saya, dia kalah dengan nafsunya sendiri. Dia cuba perkosa saya, tetapi saya pengsan semasa bergelut dengan dia. Apabila saya sedar semula, dia sudahpun terbujur kaku tak bernyawa di atas lantai. Keluarga arwah pula menyalahkan saya seratus peratus atas kematian anak lelaki sulung mereka. Mana mungkin saya mampu untuk mengulanginya semula?" terang Amelia lagi.

Syafiq terbungkam. Banyak lagi rupanya hal yang masih belum tersingkap. Sangkaannya sudah banyak yang telah dia ketahui.

"Semasa awak luahkan perasaan awak pada saya dulu, saya kata saya tak ada perasaan pada awak. Itu semua kerana saya tak sedar tentang perasaan saya sendiri. Saya cuma sedar selepas awak berhenti kerja, bila awak tiada depan mata saya, barulah saya tercari-cari. Akan tetapi, kerana keadaan keluarga saya, saya merasakan inilah yang terbaik buat kita," sambung Amelia lagi.

Syafiq masih lagi mendiamkan diri. Dia mahu tunangannya itu melepaskan segala yang terbuku di benak hati wanita itu.

"Cuma, saya tak sangka saya akhirnya ditakdirkan untuk bertemu dengan awak semula. Saya cuba lari, tapi awak sentiasa mengejar saya. Pada sangkaan saya, selepas kematian arwah Azam, saya boleh jauhkan diri saya daripada awak dengan menghantar surat peletakan jawatan tetapi awak tolak mentah-mentah permintaan saya dan awak ubah kontrak pekerjaan saya supaya saya sentiasa terikat dengan awak. Ketika itu, saya tidak melawan atas alasan perasaan bersalah saya tetapi sebenarnya kerana saya masih mahu melihat awak walaupun dari jauh. Saya tahu saya tak mampu nak balas perasaan cinta awak secara terang-terangan, cukuplah sekadar menjaga awak dari jauh."

"Kenapa sampai begini awak lakukan demi saya? Saya ikhlas ingin menerima awak dalam hidup saya, bukan kerana nafsu ataupun keinginan lain."

"Semuanya sebab saya terlalu sayangkan awak sehinggakan saya rela melepaskan awak demi kebahagiaan awak. Saya sangka bila saya pinta awak kahwini Deena, awak sanggup menurut permintaan saya tetapi rupanya kasih sayang awak tak cukup dalam untuk lepaskan saya," jawab Amelia dengan air mata yang mula berlinang.

"Awak pasti kasih sayang saya tak cukup dalam, Diyana? Saya telah lepaskan awak sebanyak tiga kali. Tiga kali, Diyana! Awak boleh nilaikah sedalam mana cinta saya sedangkan saya sendiri tak pernah menilai sedalam mana cinta awak pada sesiapapun!" Syafiq mulai panas hati dengan kenyataan Amelia yang menghakiminya tanpa mengetahui kebenaran sebenarnya.

Amelia tergamam. Dia terlupa bahawasanya telah tiga kali dia menolak lelaki itu dalam hidupnya. Begitu mudah dia menilai ceteknya kasih sayang lelaki itu.

"Semasa awak terkena ubat guna-guna Azam, awak fikir siapakah yang membantu Dora dan ibu bapa awak untuk mencari dan mengubati awak? Awak fikir mencari awak tak perlukan modal dan tenaga? Awak pernah tahukah siapa yang menghubungi awak bagi memaklumkan tentang kemalangan Azam dan membawa lelaki durjana itu ke hospital? Saya! Awak pernah tahukah?"

Amelia terdiam. Patutlah semuanya berlaku begitu cepat. Patutlah ibu bapanya dapat menemukannya di hotel penginapan yang Azam tempah dengan mudah. Patutlah dia terus dibawa bertemu dengan pakar perubatan Syifa' sebaik sahaja pengebumian arwah Azam. Apabila ditanya bagaimana semua ini boleh berlaku, keluarganya dan Dora hanya mengambil langkah mendiamkan diri.

"Semasa kematian Redzuan, awak fikir adakah keluarga arwah akan terus mendiamkan diri? Pasti mereka akan lakukan sesuatu terhadap awak kerana telah menjadi punca kematian anak mereka. Sayalah yang telah membayar pampasan kepada keluarga arwah bagi mendiamkan mereka. Saya taja adik-adik arwah untuk sambung belajar supaya mereka boleh ganti tempat arwah bagi menjaga ibu bapa mereka. Apakah secetek ini kasih sayang saya kepada awak?"

Mendengar penjelasan Syafiq, Amelia terduduk semula di atas bangku. Wanita itu mula menangis. Syafiq hanya memandang Amelia begitu kerana matlamatnya belum lagi tercapai.

"Awak lebih kisahkan keluarga saya sekiranya apa-apa terjadi kepada saya, bagaimana pula dengan saya? Adakah dengan berkahwin dengan Deena, boleh membahagiakan saya? Adakah dengan menjadi pak sanggup anak luar nikahnya, saya boleh bahagia? Begitukah maksud pengorbanan awak? Kalau begitu, saya akan menikahi Deena yang sudah hilang kewarasan itu selepas menikahi awak!"

"Bukan begitu maksud saya. Saya cuma tak mahu nyawa awak tergadai," jawab Amelia dalam sedu-sedan.

"Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya datang daripada Allah, bukan awak, bukan saya, bukan juga makhluk Allah yang 'menjaga' keluarga awak itu! Kalau Allah sudah kata ajal saya akan tiba, maka tibalah dia! Mungkin juga ajal saya yang awak bimbangkan tetapi ajal awak hadir dulu. Pernah awak fikirkan tak?"

Amelia mulai berhenti menangis. Kata-kata Syafiq tak dapat dibidas lagi.

"Saya mahu berkahwin dengan awak atas nama Allah, saya ingin cuba selesaikan masalah keluarga awak. Sekiranya Allah izinkan, maka semuanya akan baik-baik saja dan sekiranya tidak, sekurang-kurangnya saya tidak ralat. Urusan hidup mati kita biar Allah sahaja tentukan."

Amelia hanya menunduk kaku memandang lantai bumi. Malunya dia kepada tunangannya tidak mampu dia ungkapkan. Lebih malunya dia kepada Allah kerana imannya goyah akibat daripada sumpahan yang dikatakan melanda keluarganya.

"Saya hantar awak balik, saya nak awak solat sunat taubat, solat sunat istikharah, solat sunat hajat, dan solat sunat tahajjud, mohon ampun pada Allah atas kekhilafan awak selama ini dan mohon hidayah dalam menyelesaikan konflik keluarga awak, mohon agar segala urusan kita berdua dipermudahkan. Faham, Diyana?"

Amelia tidak berkata apa-apa, sebaliknya hanya mengangguk lemah.

     *     *     *     *     *

"Subhanallah, cantiknya kau Amy! Tak sangka aku dapat tengok kau secantik ini pada hari pernikahan kau!" ujar Dora, gembira melihat Amelia yang baru selesai diandam oleh mak andam yang ditempahnya.

Amelia manis berbaju kurung berwarna putih, siap berselendang putih dan memakai veil berwarna emas. Tiga kali pernikahan dan inilah pernikahannya yang paling meriah.

"Maaf semua, aku lambat. Almaklumlah, bawa perut ini payah sikitlah," ujar Zaidah yang baru sahaja tiba di situ membuatkan semua yang berada berdekatan dengannya tertawa.

Zaidah cantik memakai jubah berwarna merah jambu dan bertudung bawal berwarna merah manakala Dora manis memakai baju kurung berwarna merah hati dan berselendang berwarna merah jambu.

"Yalah, orang sudah berbadan dualah katakan," seloroh Dora sambil tersengih-sengih.

"Kau sibukkan orang pula, kau itu bila lagi?" tanya Amelia pula.

"In shaa Allah, suatu hari nanti. Doakan aku gang," jawab Dora sambil tersenyum.

"Amiinn..." bergema ruangan muslimah mengaminkan doa Dora itu.

Dari jauh, Amelia dapat melihat Syafiq segak berbaju melayu putih, bersamping emas dan bersongkok sedang duduk bersembang dengan bapanya. Rupanya mereka berdua sudah akrab semenjak dirinya mulai 'bercinta' dengan arwah Azam lagi. Dora dan Syafiqlah yang mula-mula perasan akan perubahannya akibat penangan minyak pengasih yang digunakan oleh arwah dulu. Akan tetapi, Syafiq tidak membenarkan sesiapapun berbuat apa-apa sehinggalah dia menghilangkan diri kerana bimbang dirinya akan bertindak agresif.

Atas sebab keakraban mereka jugalah, ayahnya membenarkan arwah Redzuan mengahwini dirinya. Syafiq telah bertemu dengan arwah selepas arwah menghantar rombongan meminang dan arwah telah memberikan janji yang sama kepada Syafiq dan ayahnya sepertinya mana yang dijanjikan kepadanya.

Yang paling penting, atas keakraban mereka berdua jugalah, ayahnya telah memaksanya untuk mengahwini Syafiq atas kuasa veto wali Mujbirnya. Kata ayahnya, Syafiq merupakan calon pilihannya sejak mula. Cuma masanya belum tiba.

Bagaimanapun, Amelia cuma berserah kepada takdir tentang hidup mati mereka selepas pernikahan ini. Setelah seminggu dia bermunajat di sebuah madrasah di Perak, dia akhirnya mendapat keyakinan untuk melawan keadaan yang menimpanya bersama-sama dengan Syafiq. Baginya, Allah adalah sebaik-baik pelaksana.

Hari itu, semua menjadi saksi dirinya sah bergelar isteri kepada Raja Mohamad Syafiq Raja Shamsuddin dengan sekali lafaz. Hanya Allah tahu betapa bersyukurnya dirinya mendapat seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan boleh membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah. Jika tidak kerana suaminya itu, pasti imannya akan lebih goyah disebabkan oleh masa lalunya.

     *     *     *     *     *

Amelia melihat sekelilingnya, suasana yang asing membuatkan dia hairan. Puas dia memikirkan dimanakah dia berada.

Sedang dia memikirkan, tiba-tiba muncul seorang lelaki berjubah hitam putih di hadapannya. Tidak pernah dia melihat lelaki itu sebelum ini membuatkan perasaannya sedikit takut.

"Jangan takut, tuan hamba. Hamba merupakan penjaga keluarga tuan hamba yang telah berkhidmat sejak 100 tahun yang lalu," ujar lelaki itu.

"Penjaga? Jadi, awak yang telah mengambil nyawa ahli-ahli keluarga baru saya?" tanya Amelia, inginkan kepastian.

Mendengar soalan Amelia, lelaki itu tersenyum. Tindakan lelaki itu menghairankan Amelia.

"Setiap kematian dalam keluarga tuan hamba semuanya bersebab. Akan tetapi, saya hanya akan menceritakan sebab-sebab kematian suami-suami tuan hamba sahaja," jelas lelaki itu.

"Kenapa dengan suami-suami saya?"

"Suami pertama tuan hamba mengahwini tuan hamba tanpa kerelaan tuan hamba. Menggunakan ilmu hitam, dia cuba memiliki diri tuan hamba dan semua harta benda tuan hamba malah berniat untuk menduakan tuan hamba setelah memiliki tuan hamba. Atas sebab itulah, dia telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan pulang dari kedai."

"Bagaimana pula dengan suami kedua saya?"

"Suami kedua tuan hamba nampak suci pada luarannya, seolah-olah tiada kepincangan pada awalnya. Akan tetapi, lelaki itu berniat untuk memiliki tuan hamba sejak mula. Cuma, dia tidak menggunakan apa-apa ilmu. Apa yang tidak disangkanya adalah permintaan tuan hamba untuk tidak menyentuh tuan hamba tanpa izin tuan hamba. Permintaan itu sengaja dipersetujuinya dengan harapan tuan hamba akan berubah fikiran tetapi keengganan tuan hamba membuatkan dia hilang pertimbangan lalu ingin merampas kesucian tuan hamba. Atas sikap gelojohnya, dia diserang sakit jantung dan meninggal dunia serta-merta."

"Jadi, tak ada kena-mengena dengan awak?"

Lelaki itu tersenyum, lalu menggelengkan kepalanya.

"Bagaimana pula suami saya yang sekarang? Apakah dia akan selamat?" tanya Amelia, cemas.

"Suami tuan hamba yang sekarang merupakan lelaki yang terbaik buat tuan hamba. Lelaki itu telah banyak berkorban untuk tuan hamba dan telah banyak menyelamatkan nyawa tuan hamba. Dia jugalah adalah sebab kenapa saya muncul pada malam ini," jawab lelaki itu, tenang.

"Kenapa?"

"Dia adalah lelaki yang lahir pada 15 Safar yang sepatutnya membatalkan perjanjian hamba dengan nenek moyang tuan hamba itu. Hamba yakin, suami tuan hamba boleh membimbing tuan hamba dengan baik."

"Maksudnya?"

"Bermula malam ini, hamba tidak lagi akan berkhidmat untuk keluarga ini. Hamba telah berjanji dan hamba akan tunaikan janji itu. Selamat tinggal," ujar lelaki itu lalu berjalan pergi dari situ.

Amelia terjaga dari tidurnya. Ternyata mimpinya kali membuatkan dia menarik nafas lega. Dengan pantas, dia menuju ke arah bilik air untuk mandi.

Setelah Amelia selesai mandi Junub, dia berasa hairan melihat Syafiq yang masih lagi lena tidur. Dia mendekati Syafiq lalu menggoyangkan bahagian kaki lelaki itu yang berselimut itu.

"Awak, bangunlah. Mandi dulu, lepas itu kita solat Subuh," ujar Amelia sambil menggoyangkan kaki Syafiq.

Namun begitu, melihat Syafiq yang masih tidak bergerak mula membuatkan Amelia resah. Perlahan-lahan dia mendekatkan tangannya dengan hidung Syafiq.

Sebaik sahaja tangannya mendekati bahagian muka Syafiq, Syafiq bertindak menarik Amelia membuatkan Amelia jatuh tersembam di atas Syafiq.

Menyedari dirinya telah dipermainkan, Amelia memukul Syafiq sepuas hatinya sebelum bangun dari katil. Geram hatinya diperlakukan begitu.

"Apa ini awak! Ingat hidup mati ini benda main-mainkah? Tengok, saya kena ambil wudhu' semula! Sudah, pergi mandilah!" ngomel Amelia sebelum membaling bantal yang berada berdekatan tempat dia berdiri ke arah suaminya itu.

"Maaflah, saja nak tengok sebanyak mana sayangnya isteri saya ini pada saya. Oh ya, kita dah berkahwin kot, takkan nak bersaya awak lagi kot? Panggil abang. Boleh tak sayang?"

"Tengoklah nanti," jawab Amelia, selamba sebelum menuju ke arah bilik air untuk memperbaharui wudhu'nya yang terbatal tadi gara-gara gurauan kasar suaminya.

Pagi itu, selepas solat Subuh berjemaah, pasangan suami isteri itu menuju ke dapur untuk menikmati sarapan. Ketika mereka berdua tiba, Puan Rasyida dan Raja Shamsuddin sudahpun berada di meja makan.

"Awalnya turun sarapan! Takkan sudah lapar kot?" seloroh Raja Shamsuddin sebelum tertawa.

"Ish, merepeklah abang ini! Ke situ pula dia. Sudah, jangan dilayan ayah kamu ini. Mari makan Syafiq, Amelia," sampuk Puan Rasyida pula.

Syafiq dan Amelia memilih untuk duduk bersebelahan. Tak lama selepas itu, Syahir dan Khairunnisa pula yang datang mendekati meja makan.

"Aik? Pengantin baru lagi cepat turun? Adakah ada orang itu bimbangkan suaminya?" tanya Syahir, hairan.

"Yalah, abang. Kau tahu, bila dia kejutkan aku tadi. Tengok aku tak bergerak saja, dia terus letak jari kat hidung aku. Tahulah aku isteri aku sayang aku rupanya!" jawab Syafiq sambil tersengih.

Amelia yang panas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Syafiq mula menjeling ke arah suaminya. Tindakannya mengundang tawa seluruh ahli keluarga yang berada di meja makan.

"Sayang nak tahu kenapa abang selamat?" tanya Syafiq, bersahaja.

"Sebab abang lahir pada 15 Safar bukan? Tahulah," jawab Amelia, selamba.

"Mana sayang tahu?" tanya Syafiq, hairan dengan jawapan Amelia.

"Pertama, sebab abang yakin sangat nak bernikah dulu. Kedua, sebab Yana dah dapat mimpi malam tadi. Katanya, khidmatnya dah tamat kerana Yana pilih abang. Mulai saat Yana mimpi itu, keluarga Yana tak lagi akan terkorban akibat daripada ilmu-ilmu nenek moyang Yana. Dia sudah berjanji dan dia harus kotakan janjinya."

Melopong seluruh ahli keluarga Raja Shamsuddin mendengar cerita Amelia. Almaklumlah, ini kali pertama mereka menghadapi situasi begini. Selalunya dengar cerita orang sahaja.

"Alhamdulillah Amelia, semuanya sudah selesai. Sudah boleh pergi bulan madu. Cuma, sebelum pergi, pastikan projek KLCC itu siap dulu!"

"Apa ini ayah, cerita hal kerja di rumah? Mentang-mentanglah semua orang kecuali mama bekerja di syarikat ayah. Bosanlah!" sampuk Syahir sebelum semuanya tertawa.

      *      *      *      *      *

Syafiq baru sahaja bangun dari tidurnya apabila dia mendapati ada sesuatu yang berbeza di atas meja solek milik isterinya. Dengan pantas dia bangun dari katil lalu menuju ke arah meja tersebut.
Kotak itu tiada bertulis apa-apa membuatkan dia lebih tertarik untuk membukanya. Sebaik sahaja dia membuka, dia terlihat ada sekeping gambar yang dicetak melalui mesin ultrasound dengan sekeping nota yang berbunyi:

Tiada hadiah yang lebih baik buat abang yang dapat sayang berikan. Happy anniversary dear husband. Hope you like the gift!
With love,
Your wife and future mother of your child

Setelah membaca nota tersebut, Syafiq mengambil gambar yang terletak di dalam kotak itu dengan perasaan yang sangat gembira. Dia dapat merasakan air matanya mengalir kerana terlalu gembira.

"Alhamdulillah..." hanya itu sahaja yang mampu dia ungkapkan dalam perasaan gembiranya.

"Abang suka?" tanya Amelia yang tiba-tiba datang memeluk Syafiq dari belakang.

"Suka. Suka sangat, sayang. Terima kasih," jawab Syafiq sebelum memeluk Amelia.

"Di sebalik kisah cinta biasa kita, ada lelaki luar biasa yang hadir dalam hidup sayang," luah Amelia, tiba-tiba.

"Di sebalik kisah cinta biasa kita, ada seorang wanita luar biasa yang tercipta buat abang," jawab Syafiq sebelum mencium dahi isterinya dengan penuh kasih sayang.

*TAMAT*

No comments:

Post a Comment