Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...
Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:
Seminggu kemudian, Asyraf dan Nisa membuat keputusan untuk berpindah semula ke rumah mereka bagi memudahkan mereka berdua dalam mencari ingatan. Sejak mereka berdua bertemu, keduanya telah mula mengingati semula memori yang telah hilang sedikit demi sedikit. Namun, impak terbesar terletak pada Asyraf akibat daripada mimpi yang sudah 11 hari menjamu tidur malamnya. Mimpi itulah yang mengundang kepada perubahannya.
"Abang termenung saja sejak kita balik rumah kita. Abang tak sihat ke?" Tanya Nisa selepas dia meletakkan dulang berisi teko berisi kopi susu dan sepiring kuih keria yang dibelinya sewaktu pulang dari rumah Puan Aina tadi. Ibu mentuanya itu meminta Nisa datang memasak lauk kegemarannya, Asam Pedas ayam.
"Abang okay. Penat sikit, hal kerja," bohong Asyraf. Baginya, lebih baik Nisa tahu sendiri perkara yang disembunyikannya. Dia tak kuat dalam menyampaikan perkara ini.
"Betul ni? Nisa bukan apa, Nisa nampak abang tertekan sangat. Macam ada masalah besar. Kalau abang cerita pada Nisa, mungkin Nisa boleh tolong," pujuk Nisa demi mengorek masalah suaminya itu.
Asyraf tidak menjawab, sebaliknya hanya mencapai secawan kopi yang telah dituang Nisa tadi. Setelah dia meletakkan semula cawannya, kepalanya diserang sakit yang lebih kuat daripada biasa. Selama kepalanya sakit itulah, satu per satu memori yang terpadam sebelum ini menerjah ruang fikirannya. Tahulah dia bahawa ingatannya hampir pulih.
"Ya Allah, abang! Hidung abang berdarah! Sekejap Nisa pergi ambil tisu," jerit Nisa lalu menuju ke dapur. Dia mencapai tisu dapur lalu kembali semula ke ruang tamu. Setibanya dia di sana, dia melihat suaminya telah pengsan.
"Abang, bangun! Abang!" jerit Nisa, mencuba untuk mengejutkan Asyraf namun hampa. Tanpa berlengah, dia menelefon doktor yang merawat mereka berdua. Namun, ketika dia menunggu panggilan itu bersambung, tangannya ditarik membuatkan langkahnya terhenti.
"Abang dah okay dah, Nisa. Terkejut tengok darah kat hidung abang saja," jelas Asyraf lalu tersenyum tawar. Bukan apa, kesan sakit kepala tadi masih bersisa.
Nisa tidak menjawab, sebaliknya hanya menangis. Asyraf yang melihat isterinya begitu menarik Nisa ke dalam pelukannya.
"Maaf, sayang. Kalau boleh, biarlah Nisa tak tahu ingatan abang dah pulih. Andai Nisa tahu, nescaya Nisa akan membenci abang seumur hidup Nisa," Asyraf bermonolog di dalam hatinya.
* * * * *
Rania yang sedang menghirup limau ais yang dipesannya tadi terkejut akan sekujur tubuh yang duduk di hadapannya. Namun, selepas itu, dia tersenyum manja.
"Lama tunggu, sayang?" Tanya lelaki yang berada di hadapannya berbasa-basi.
"Taklah, untuk Bie, sayang sanggup tunggu hatta seribu tahun sekalipun. Kenapa lambat, Bie?"
"Bie lambat sebab ambil dokumen ini daripada Asyraf. Sejak dia hilang ingatan ni, mudah betul nak tipu dia. Hari ini dia dah luluskan pengeluaran duit syarikat sebanyak RM76,638.75 untuk dipindahkan dalam akaun syarikat yang kita reka. Sayang tak payah goda dia pun, kita boleh kaya begini," jelas Nazrin, panjang lebar sambil tersenyum bangga.
"Now that's my boy! Cuma, sayang pelik satu perkara. Macam mana Asyraf boleh kemalangan dulu?"
"Rania sayang, did you think with his skills on driving, dia boleh terlanggar pokok tepi jalan itu dengan mudah ke? Kejadian dia terjumpa isterinya curang itupun Bie yang reka. Sewaktu dia sibuk bergaduh dengan Johnny kat restoran itulah Bie pergi potong wayar brek kereta Honda dia. Cara kuno kan, sayang? Kuno-kuno pun, rancangan itulah yang buat kita mewah sekarang."
Mendengar penjelasan Nazrin, Rania tersenyum. Sesungguhnya keduanya tidak menyedari ada telinga yang mendengar perbualan mereka.
* * * * *
Nisa sedang mengemas bilik tidurnya apabila dia terlanggar fail yang berada di atas kabinet. Fail itu terjatuh dan semua isinya berterabur di atas lantai. Nisa mengutip semula kertas-kertas yang berterabur bagi menyimpan semula kertas-kertas tersebut, namun matanya tertancap pada beberapa keping foto yang terselit di celah-celah kertas yang berterabur itu.
Dia mengutip semua foto yang ada di situ, alangkah terkejutnya dia apabila melihat dirinya sedang berjalan seiringan dengan seorang lelaki. Lelaki ini dia tak boleh ingat siapa, namun melihat foto tersebut, nampaknya seperti mereka agak intim. Apa semua ini?
"Nisa buat apa tu?" soalan yang didengarinya membuatkan Nisa lebih kaget dari saat dia menemui foto itu tadi!
*bersambung*
0 comments:
Post a Comment