Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...
Rasanya dah lama tak berbual dengan korang semua kan? Almaklumlah, sibuk benar menyambung cerpen bersiri yang timbun-timbun itu. Sebenarnya post ini lain sikit daripada yang sebelumnya. Post ini aku nak persembahkan sebuah cerpen aku yang telah selamat ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan buku. Seperti yang telah dijanjikan kepada seseorang, seandainya cerpen ini tidak diterima, cerpen ini akan aku nukilkan dalam blog biru ini. So, here we go!
“Terima
kasih sebab sudi terima abang dalam hidup Ilya, abang janji abang takkan
sia-siakan Ilya. Seumur hidup abang akan abang habiskan dengan mencintai Ilya
seadanya Ilya,” ucap seorang lelaki yang sedari tadi asyik memintal-mintal
rambutku ini. Naik rimas rasanya orang main rambut aku ini. Nasiblah dia ini
suami aku, kalau orang lain aku hempuk juga dengan kerusi meja mekap bilik aku
ini!
“Kenapa Ilya diam? Ilya suka ya
abang main rambut Ilya?” tanya lagi si suami, setelah melihat tiada respon yang
aku berikan agaknya. Suka? Tolonglah! Aku cukup pantang orang usik rambut aku
tanpa sebab. Lainlah kalau nak tolong sikatkan ke, ikatkan ke, bolehlah tahan
lagi. Ini nak buat main, memang tidaklah!
“Abang… boleh tak abang berhenti
main rambut Ilya? Ilya tak selesa,” pintaku, terus terang. Walaupun hatiku dah
sebeban mengomel sedari tadi, tapi dia tetap suamiku. Aku harus menuturkan
segalanya dengan hemat agar aku tidak dilaknat malaikat di kala malam pertamaku
ini. Buat naya kalau aku tidur tanpa redha suami. Mak dah berbuih mulut pesan
benda yang sama pada aku sejak sebulan lepas, sampai naik lali telinga aku
dengar.
“Ingat Ilya, syurga seorang isteri terletak
pada redha si suami. Jangan bagi tidur kamu tanpa redha dia, malaikat laknat
nanti! Selama mak jadi isteri ayah kamu, mak jaga betul benda itu. Kalau mak
ada silap, mak cepat-cepat minta ampun pada ayah kamu. Mujur ayah kamu jenis
yang tak ambil hati, tapi suami kamu nanti kita tak tahu orangnya bagaimana. Jadi,
kita buatlah cara selamat. Faham tak, Ilya?” kata-kata mak tiba-tiba menerjah
macam atas skrin projector pula, siap dengan muka mak sekali! Ngeri betul mak
ini.
“Ilya fikir apa sampai abang panggil
tak dengar ini?” persoalan itu yang ditambah dengan cuitan manja si suami
mengejutkan aku dari imbas kembali mak tadi. Aku memandang suamiku, kosong.
Lantas hatiku tertanya-tanya kenapa dia yang jadi suami aku, bukan lelaki lain?
Kenapa ayah suka sangat lelaki ini, bukan lelaki lain? Bukan aku tak pernah bawa
lelaki lain jadi calon suami, tapi semuanya ayah tentang 100%. Macam-macam sebab-musabab
dia bagi, tak cukup matanglah, tak boleh bimbinglah, kedekutlah, baranlah. Ada
saja yang tak kena. Aku tak nafikan kata-kata ayah itu ada benarnya, tapi orang
kata kalau dah sayang, kentut pun bau wangi kot!
Suamiku, Mohd. Harris Izuan. Nama
yang senang tapi indah, serupa tuannya juga. Wajah memang melayu, melayu yang
kacak. Orangnya segak dan sasa, almaklumlah asyik habiskan masa bina otot di gimnasium
saja. Kerjaya, apa kurangnya. Pengurus projek di salah sebuah syarikat
pembinaan tersohor di Kuala Lumpur. Akan
tetapi, dia mengahwiniku di kala usianya menginjak 34 tahun manakala aku kini baru
berusia 25 tahun. Mana silapnya dia?
“Abang, boleh Ilya tanya sesuatu?”
tanyaku, dalam getaran gemuruh mengiringi. Bimbang soalanku bakal mengguris
hati sang suami. Kalau boleh pakai tibai, memang dah terjah ala-ala Nas Ahmad
dalam rancangan Galaksi TV9 itu. Hanya kerana statusnya sebagai suami, kenalah
berlapik sikit.
“Apa dia sayang?” suamiku memberikan
keizinannya untuk ditanya. Rasa macam nak terbang pertama kali rasanya. Suka,
tapi gementar dalam masa yang sama. Nasib tak campur sedih, marah, kecewa
semua, kalau ada semua itu, gila namanya!
“Kenapa abang kahwini Ilya? Ilya tak
cantik, tak kaya, tak ada kerja, baru habis belajar, belajar pun tak pandai
mana, apalah yang ada pada Ilya sampai abang boleh masuk meminang Ilya tanpa
pengetahuan Ilya? Lagi satu, mana abang tahu tentang Ilya sedangkan kita tak
pernah berkenalan secara rasmi?” tanyaku, bertubi-tubi. Konon nak berlapik,
akhirnya serupa Nas Ahmad juga terjahnya. Cuma baik sikit saja. Maafkan Ilya ya
abang.
“Kenapa Ilya cakap macam itu? Ilya,
cantik itu subjektif. Allah tak berikan kecantikan pada Ilya tapi kecantikan
itu hanya untuk mata yang benar-benar layak sahaja melihatnya. Biarlah satu
dunia nak kata Ilya tak cantik, gemuk, abang tak kisah. Pada abang, Ilya
tersangat okay. Cantik! Tak kaya? Tak ada kerja? Memanglah, sebab Ilya baru
habis degree kan? Mana sempat nak cari kerja, habis-habis belajar saja tak
sempat bergraduasi Ilya dah jadi isteri abang. Tak pandai, boleh belajar. Jadi,
Ilya bersiap siagalah, akan abang ajar Ilya cukup-cukup. Pada abang, Ilya dah
sembuhkan luka lama dalam hati abang yang abang biarkan berdarah selama
bertahun-tahun. Ilya tak perlu singgah dalam hati abang pun Ilya dah buat abang
angau habis kat Ilya. Kita memang tak berkenalan secara rasmi, Ilya dengan
abang cuma berkenalan melalui cerita kawan-kawan baik kita, Remy dan Tisha
saja, tapi cerita mereka tentang Ilya buat abang jatuh hati pada Ilya. Itu
punca abang minta mereka bawa abang jumpa mak dengan ayah Ilya. Dapat tak semua
jawapan soalan Ilya?” panjang lebar penerangan Encik Suami ini. Boleh pengsan
mendengarnya, lengkap betul! Sekali dengar, dah macam hero dalam cerita novel
dah. Cuma, bahagian yang sembuhkan luka itu aku macam tak berapa faham.
“Sembuhkan luka lama abang? Apa yang
terjadi dulu?” tanyaku lagi. Bagi menjawab persoalan hatiku tentang perkahwinan
kami yang agak lewat baginya. Selalunya orang yang berkahwin di kala usia yang
agak lanjut ini pernah menjadi suami orang a.k.a. duda. Jarang sekali nak jumpa
bujang terlajak dalam dunia serba pantas ini.
“Abang pernah bertunang dulu, lama
juga kenal bekas tunang abang itu. Sejak zaman universiti lagi. Kami sama
fakulti semasa degree sampailah kerja pun di tempat yang sama. Cuma yalah,
mungkin jodoh kami tak panjang, kami putus sebab dia ada orang lain. Kalau dia
duakan abang dengan lelaki, abang tak kisah. Ini tidak, dia duakan abang dengan
perempuan kot! Tercabar kelakian abang bila dapat tahu dia ada hubungan dengan
perempuan bertopengkan lelaki,” jawabnya yang mulanya bernada perlahan tetapi
kemudiannya nada suaranya semakin keras dan meninggi. Marah benar itu!
Perempuan bertopengkan lelaki? Maksud dia ‘pengkid’ ke? Bolehlah itu, sedap
juga gelaran beradap suami aku ini.
“Sebab itu saja abang terus tak
berminat nak bercinta lagi?” tanyaku lagi. Baik Ilya Maisarah, kau boleh jadi
wartawan dah ini! Dah pandai temuramah suami. Banyak benar soalannya ini. Aku
pandang Encik Harris di hadapanku ini, dia tersenyum manis. Aduh, janganlah
senyum macam itu! Cair aku nanti, sudahlah aku alergi dengan senyuman manis
menggoda jiwa macam senyuman suamiku ini.
“Mana boleh hilang minat macam itu
saja? Ilya ingat ini cerita drama melayu? Lepas putus cinta saja, jadi kaki
perempuan mainkan hati semua wanita? Atau tiba-tiba jadi tak berminat nak
bercinta dengan perempuan sebab takut kecewa lagi? Itu semua poyo! Mana mungkin
seorang pencinta wanita bukan buaya macam abang ini hilang minat nak bercinta
lagi? Ada juga abang sukakan beberapa perempuan lain selepas putus tunang, tapi
hampir kesemuanya dah berpunya. Isteri orang pun ada, tapi lagaknya serupa anak
dara! Menggatal sana sini, sedangkan suami dia percayakan dia ingatkan dia itu
baik sangat. Abang harap Ilya jangan jadi macam itu, malu abang nanti. Sudahlah
kena tanggung dosa Ilya, kena tanggung malu lagi. Minta dijauhkanlah,” terang
abang Harris lagi. Pencinta wanita bukan buaya konon! Ayat tak boleh gebang
lagi ke? Lelaki, kalau bagi madah berhelah memang hebat tapi dalam madah
berhelah dia, tersentap juga dengan cerita tentang isteri orang itu. Minta
dijauhkanlah aku daripada menjadi wanita sebegitu.
“Ilya ini bukan isteri yang
sempurna, jadi Ilya tak berani nak janji yang Ilya takkan jadi macam itu.
Andainya Ilya bakal jadi sebegitu, Ilya mohon sangat abang tegurlah Ilya,
ingatkan Ilya yang Ilya akan tersesat dalam cahaya. Kalau abang tegur Ilya dan
Ilya melawan, abang cari jalan lain untuk sedarkan Ilya. Ilya mohon itu pada
abang. Ilya hanya manusia biasa abang, sukar untuk Ilya jadi sempurna di mata
abang apatah lagi mata dunia. Boleh abang lakukan itu untuk Ilya?” pintaku pada
si suami. Aku perhatikan dia, lama dia mendiamkan diri. Semakin lama dia
berdiam, semakin resah menyelubungi benak hatiku. Apakah aku telah mengguris
hatinya? Ya Allah, janganlah sampai begitu sekali.
“Sebenarnya, abang ada perkara yang
abang nak pastikan dengan Ilya malam ini. Abang mohon Ilya jujur dalam
memberikan jawapan pada soalan abang ini. Abang dah tahu jawapannya, tapi abang
nak dengar sendiri dari mulut Ilya. Macam yang Ilya dah tahu, abang tahu Ilya
pernah bercinta dengan Remy dulu, bukan? Remy telah berterus terang dengan
abang sebelum kita bernikah, yang dia pernah sentuh Ilya secara tak sengaja.
Maksud abang, kamu berdua pernah bersetubuh bukan?” tanya Harris sambil
memandangku redup. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa untuk membuat
pengakuan tentang ini sebelum aku menikahinya? Benda ini amat penting rasanya.
Sejak peristiwa itu berlaku, aku sukar untuk membiarkan lelaki mendekatiku
sehingga Remy memohon maaf denganku setahun lepas. Itupun setelah tiga tahun
kami berpisah.
“Pertama sekali, Ilya mohon ampun
dengan abang, Ilya terlupa tentang ini. Ilya tahu perkara ini penting, Ilya
bukan menyembunyikan hakikat tapi Ilya memang betul-betul terlupa. Ya abang,
Ilya bukan seorang wanita suci macam orang lain di luar sana. Ilya sudah
dinodai oleh bekas teman lelaki Ilya ketika kami bercinta. Ilya tertipu dengan
janji manisnya, Ilya hanyut dengan pujuk rayunya sehingga Ilya lupakan Tuhan
yang menjadikan Ilya cukup sempurna. Andai sukar untuk abang terima diri Ilya,
abang buatlah keputusan yang abang rasa terbaik buat kita. Ilya terima,”
terangku berselangi air mata yang mula mengalir. Sukar untuk aku tolak, tapi
peristiwa hitam itu kembali menerjah ingatanku semula. Benarlah kata orang,
sekali kita membuat dosa, selamanya ia akan menghantui kita.
“Ilya boleh kata Ilya terlupa? Apa
ini? Kalau Remy tak berterus terang, agaknya sampai saat ini abang akan rasa
diperbodohkan! Andai Ilya berterus terang pada abang lebih awal, mungkin abang
tak semarah ini. Abang tahu Ilya hanya manusia biasa, pasti akan melakukan kesilapan
tapi kenapa Ilya tak berterus terang pada abang? Ilya boleh lupa dosa Ilya
dengan mudah? Abang kagum dengan Ilya, sebab setahu abang dosa kita takkan
meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat! Abang kecewa dengan Ilya.” nada
suara Harris sudah meninggi. Mendengar nada suaranya, aku tahu dia marah.
Perlahan aku mencapai tangannya, mencium tangannya sedangkan aku masih lagi
menangis kesal dengan kesalahanku. Dia menarik tangannya kembali, kasar. Aku
dapat melihat betapa basahnya tangannya dengan air mataku. Benar katanya, dosa
tak meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat agar ianya dijadikan
sempadan supaya tidak mengulanginya lagi. Semua ini memang salahku, aku akui
itu. Aku boleh terlepas pandang tentang perkara ini kerana menyangkakan benda
ini tak sepatutnya diberitahu, ternyata sangkaanku meleset. Aku silap dalam membuat
percaturan.
Aku lihat Harris sudah menukar baju.
Aku kaget, mana pula dia nak pergi ini? Aku bangun dan memegang bahunya tetapi
dia menepis tanganku terlebih dahulu. Dia mengambil beg pakaiannya yang masih
lagi belum disentuh lalu keluar dari bilikku ini. Aku tidak mengejar, kerana
tahu marahnya takkan reda malam ini juga. Aku hanya mampu melihat pemergiannya
dan setelah dia hilang, aku terduduk dan meraung kesedihan. Benar kata mak,
jangan tidur tanpa redha suami. Walaupun aku tak dapat melihat bagaimana
malaikat melaknatku, tapi aku dapat merasa bahang kepedihan itu. Terasa lemas
seketika, seperti dadaku penuh dengan sesuatu yang tak dapat digambarkan. Hanya
Tuhan tahu keperitan yang aku rasai malam itu sehinggakan kekecohan yang
berlaku di rumahku kerana tindakan suami keluar rumah malam itu tidak aku
endahkan.
“Ilya, bangun. Sudah masuk waktu
Subuh, ayah panggil berjemaah,” suara mak mengejutkan aku dari tidurku. Aku mencari
kelibat mak, mak sedang duduk di birai katil memandangku. Hairan tengok
pandangan mak yang tajam itu, aku menggosok mukaku. Rupanya ada sisa air mata
di pipi. Pasti aku menangis dalam tidur, buat kesekalian kalinya. Sejak
peristiwa hitam di kala malam pertama itu, hampir setiap malam aku menemui
suamiku dalam mimpi. Setiap malam mimpiku pasti sama. Seolah-olah Tuhan tak
mahu aku terlupa lagi. Aku lihat sekeliling, mak sudahpun keluar dari bilikku,
nak bersiap untuk solat berjemaah agaknya. Memang rutin harian kami sekeluarga
solat Subuh berjemaah kemudian bersarapan bersama.
Aku terpandang foto perkahwinanku
yang terletak di atas meja sisi katil. Dua bulan lebih perkahwinan, namun buat
sekalipun aku tidak disentuh oleh Encik Suami. Kata Remy dan Tisha, dia masih
marahkan aku atas kesilapanku itu. Namun, kata Remy, dia tidak pernah terfikir
untuk menceraikan aku. Hanya perlukan masa untuk merawat rawan di hatinya
kerana dia menyangkakan Remy menceritakan perkara tersebut hanya untuk
mengujinya atau berniat untuk menghalang perkahwinan kami tetapi apabila aku
mengiyakan, sukar untuk dia menerima hakikat tersebut. Aku tidak salahkannya,
andai aku berada di tempatnya, pasti aku akan melakukan perkara yang sama. Mana
ada manusia yang boleh menerima kesalahan insan tersayang sekelip mata? Hidup
ini bukan seperti novel cinta, semuanya tampak indah di mata pembaca.
Usai solat berjemaah, semua ahli
keluargaku mengemaskan sejadah dan pakaian solat masing-masing tetapi tidak
aku. Aku bingung. Aku pasti bukan ayah yang menjadi imam solat tadi, suara itu
bukan suara ayah. Aku rasa macam pernah mendengar suara itu, tapi di mana ya?
Sedang ligat otakku berfikir, seseorang duduk di hadapanku lalu menghulurkan
tangannya. Aku memandang tangan itu lalu memandang tuan punya tangan.
Subhanallah, apakah aku masih lagi bermimpi? Tangan yang aku kucup sehingga
basah kuyup dua bulan lepas akhirnya menghulurkan tangannya sekali lagi. Pantas
aku mencapai tangan tersebut lalu ku kucup selama yang aku mahu. Biar tuan
punya tangan itu tahu betapa aku merindukannya selama dia menghukumku. Biar
tuan punya tangan itu tahu betapa kesalnya aku atas segala kesalahanku
kepadanya. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa aku mengharapkan
pengampunannya. Aku dapat merasa tangannya yang sebelah lagi mengusap kepalaku.
Subhanallah, tenangnya rasa. Seolah-olah segala bebanan yang aku pikul selama
ini lenyap begitu sahaja. Aku memberanikan diri mengangkat wajahku
memandangnya.
“Abang maafkan Ilya atas segala dosa
Ilya pada abang selama kita bernikah. Abang minta maaf pada Ilya kerana
menjauhkan diri abang selama ini. Abang hanya menyerahkan nafkah zahir abang
pada Ilya melalui Tisha, abang datang rumah jenguk mak dan ayah Ilya semasa
ketiadaan Ilya, abang minta maaf. Abang bukan suami yang macam dalam drama
melayu, macam dalam novel cinta. Abang cuma manusia biasa yang Allah ciptakan
berpasangan dan abang tak boleh tolak kalau pasangan abang adalah Ilya. Walaupun
Ilya ada sejarah hitam sendiri, tapi abang akui Ilya adalah jodoh istikharah abang.
Abang kena belajar untuk redha. Memang susah, tapi abang masih mencuba. Maafkan
abang, Ilya.” Sebaknya hati mendengarkan penjelasan si suami. Aku tahu suamiku
bukan sempurna tapi aku tahu dia tak kejam. Siapa tak sayang isteri kan?
“Abang, Ilya sentiasa maafkan abang.
Abang bukan Encik Perfect 10, tapi abang sudah sempurnakan hidup Ilya. Tanpa
abang, sampai bilapun Ilya takkan sedar kesalahan Ilya. Lagipun, abang bukan
abaikan Ilya dan keluarga Ilya. Abang ingat Ilya tak tahu abang datang rumah
bila Ilya tiada? Ilya pernah meronda satu taman perumahan sampai tiga pusingan
hanya kerana tak nak kantoikan abang datang rumah jenguk mak ayah. Bila Ilya
balik, Ilya buat-buat tanya siapa datang tadi, mak ayah sikitpun tak mengaku.
Oh, abang komplot dengan mak ayah Ilya ya!” jawabku lalu tersengih macam kerang
busuk. Pecah tawa suamiku melihat aku tersengih agaknya. Kelakar sangat ke aku
tersengih? Tahulah aku tak cantik, sampai hati dia gelakkan aku! Nah, rasakan
cubitan ini!
“Adoi, sakit! MashaAllah, sakitnya
cubitan hebat isteri abang ini. Maafkan abang, tapi muka Ilya memang kelakar
bila tersengih tadi. Boleh masuk Maharaja Lawak Mega ini. Abang akan undi
sayang setiap minggu. Boleh?” seloroh suamiku. Amboi, sedapnya mulut mengata
aku! Dua bulan lepas bukan main melambung lagi pujian kat aku. Cantik itu
subjektiflah, cantik Ilya hanya untuk mata yang betul-betul layaklah, hari ini
dia boleh cakap muka aku boleh masuk Maharaja Lawak Mega? Teruk punya suami!
“Abang! Abang ini memang nak kena
ya?” jeritku lalu mengejar suamiku satu rumah. Mencanak dia melarikan diri
dariku. Jaga abang! Kalau dapat, Ilya buat sate!
Foot print: Cubaan kedua untuk hantar pada publisher. Ada 2 cerpen yang dah dikarang, cerpen yang tak dihantar bakal dipublishkan dalam blog. Tunggu tau! =)