Thursday, February 28, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 12

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11

*****

"Untuk apa?" tanya Syafiq, hairan kerana dia pasti Amelia tidak tahu penglibatannya di dalam kejadian di Perlis tempoh hari.

"Sebab tolong mak ayah saya cari saya hari itu. Tak ada sesiapun di antara mereka berempat yang ada duit banyak untuk pergi cari saya kecuali tuan. Jadi, saya yakin itu adalah sumbangan tuan. Terima kasih untuk itu," jelas Amelia sambil tersenyum.

Cair hati Syafiq melihat senyuman manis Amelia itu. Setelah bertahun-tahun dia tidak melihat senyuman manis wanita itu, akhirnya dia dapat melihatnya kembali.

"Sama-sama. Apa saja, asalkan awak bahagia."

"You know you deserved better," ujar Amelia.

"Only I know who is the best for me and for me, you are. Jadi, jangan paksa saya cari orang lain meskipun awak tak sukakan saya," terang Syafiq.

Amelia hanya memandang wajah Syafiq sebelum akhirnya mengangguk. Mungkin jika dia tidak memaksa, Syafiq akan berlalu pergi dari hidupnya sendiri.

     *     *     *     *     *

"Sorry, sayang. I lambat. Eh? Wan pun ada?" ujar Zaidah sebaik sahaja tiba di tempat Ruzaini dan Redzuan duduk sebelum duduk berhadapan dengan Ruzaini.

"Ala, dah biasa dah. I tak kisah pun. Lagipun, you baru sahaja balik dari jemput Amy balik bukan?" jawab Ruzaini sambil tersenyum.

"Eh, Amy dah discharge?" tanya Redzuan.

"Sudah, petang tadi. Sekarang ini parents dia tunggu dia. Jenuh kami kena kemas rumah, semua perkakas tajam kami kena kuncikan supaya dia tak buat hal lagi," jelas Zaidah.

"Betullah itu. Bagaimana dengan kesan ubat guna-gunanya?" tanya Redzuan lagi.

"Alhamdulillah, tengok gaya dah hilang. Tak ada dia sebut tentang arwah lagi. Cumanya, sejak dia keluar ini, dia jadi pendiam. Tak lagi riuh macam dulu. Cakap pun perlahan saja," terang Zaidah dengan wajah muram.

"Mungkin dia masih ada perkara yang dia pendamkan. Bagi dia masa, nanti lama-lama dia akan buka cerita sendiri. You dengan Dora kawan baik dia, takkan boleh dia pendam lama-lama," jelas Ruzaini pula.

"Kita pun tak tahu apa yang dia alami di dalam wad itu. Dua minggu itu mungkin pada kita sekejap, bagi dia lama. Sudahlah terkurung, tak boleh bawa masuk gajet, bosan kot!"

Mendengar kata-kata Redzuan, Ruzaini dan Zaidah hanya menganggukkan kepala. Mungkin betul kata-kata Redzuan itu.

"Kau orang ini bila nak bernikah? Kau orang dah bersama berapa lama?" tanya Redzuan, tukar topik.

Soalan Redzuan membuatkan Ruzaini dan Zaidah berpandangan sesama sendiri sebelum tertawa.

"Kau ini potonglah, Wan! Sebenarnya keluarga aku baru saja masuk meminang Zai ini, in shaa Allah kalau tak ada aral melintang, kami akan bertunang Sabtu ini," ujar Ruzaini sambil tertawa.

"Baik, soalan kedua aku pula siapa nak jawab?" tanya Redzuan lagi.

"Okay, sebenarnya dia dah cuba mengorat aku sejak sekolah menengah lagi. Cuma, kami baru bersama 3 tahun," terang Zaidah sambil tersenyum.

"Seriuslah?" tanya Redzuan, tidak percaya.

"Seriuslah. Aku mengorat dia semasa aku tingkatan 5 tapi aku tak sangka dia sudah ada yang punya. Arwah Azamlah yang bantu aku mengorat dia dulu," jelas Ruzaini.

"Habis itu, kau tunggu dia sampai dia putus cintakah?" tanya Redzuan, hairan.

"Tak adalah, lepas dia tolak aku, aku cari lain. Cuma, lepas dia putus cinta 4 tahun lepas, arwah Azam kenalkan aku dengan Zai semula tanpa tahu Zai inilah awek yang dia tolong aku mengorat dulu," sambung Ruzaini.

"Gilalah! Hebat kisah cinta kau orang!" ujar Redzuan sambil bertepuk tangan.

"Eh, sudah! Jangan nak tepuk sangat. Kau itu, bila nak ada makwe? Jangan cakap, selepas awek kau selepas Amy dulu, kau tak ada penggantinya? Gila hebat cinta kau pada dia!" ujar Zaidah pula.

"Mana ada? Aku dengan awek itu bukan lamapun, dua bulan saja. Kifarah dosa aku sakitkan hati Amy, aku pula yang terkena. Aku tak ada yang baru bukan sebab aku masih cintakan minah itu," terang Redzuan.

"Habis itu?" tanya Zaidah.

"Sebab aku masih cintakan Amy," jawab Redzuan.

"Apa?" tanya Zaidah dan Redzuan, serentak.

      *      *      *       *      *

Amelia baru sahaja bangun dari tidur apabila dia terdengar pintu rumahnya ditutup. Sangkaannya ibu bapanya pulang dari rumah adiknya di Petaling Jaya membuatkan dia membuka pintu biliknya tetapi sangkaannya meleset apabila dia melihat kelibat Dora yang baru sahaja duduk di ruang tamu.

Niat asalnya untuk mengajak Dora berbual terhenti apabila dia terlihat Dora menangis sendirian sambil menonton televisyen. Akan tetapi, cerita di televisyen merupakan rancangan bual bicara, mana mungkin Dora menangis kerana apa yang terpapar di kaca televisyen itu.

Amelia tahu kawan baiknya itu masih belum boleh menerima hakikat pemergian bekas teman lelakinya, Fikri tahun lepas.  Lelaki itu tiba-tiba menghilangkan dirinya tanpa khabar berita pada hari pertunangan mereka. Rombongan pihak lelaki tidak kunjung tiba dan panggilan ke telefon bimbit milik Fikri tidak dapat disambungkan kerana tidak aktif.

Hanya beberapa bulan lepas baru dia mendapat berita bahawa lelaki itu telah bernikah pada hari yang mana sepatutnya menjadi antara hari paling bahagia Dora dan sudah menetap di Australia sejak itu.

Mana mungkin cinta sejak sepuluh tahun lepas dapat dilupakan sekelip mata. Malah, peristiwa itulah yang membuatkan wanita itu tidak bercinta lagi.

Amelia hanya melihat Dora yang masih lagi menangis itu di kejauhan sahaja. Baginya, Dora perlukan privasi dan dia hormati pendirian kawan baiknya itu. Lagipun, sejak ibu bapanya menumpang sementara di rumah mereka, Dora tidur bersama Zaidah.

Amelia menutup semula pintu biliknya itu lalu duduk semula di atas katilnya. Sejak dia keluar dari wad psikiatri tiga hari lepas, dia hanya berkurung di dalam bilik. Dia memilih untuk tidak bercakap dengan sesiapapun dan hanya termenung.

Bukannya dia tak mahu berbual dengan sesiapa, tetapi dia terlalu letih untuk itu. Barangkali ubatnya membuatkan dia sentiasa berasa mengantuk. Mujurlah ubat itu hanya perlu dimakan selama lima hari sahaja.

Akan tetapi, ubat itu jugalah yang berjaya membuatkan dia lebih bertenang. Lebih-lebih lagi setelah puas bertarung dengan suasana selama dua minggu. Bukan mudah untuk duduk bersama-sama orang-orang yang tidak sihat mentalnya. Andai imannya tidak kuat, pasti mentalnya akan sama-sama tidak sihat.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi tanda ada notifikasi. Dia mengambil telefon bimbitnya dan melihat ada mesej masuk di aplikasi Whatsapp. Rupanya mesej daripada Redzuan yang berbunyi:

How's your day today? Saya harap awak gembira selalu.

Dengan pantas, dia menaip jawapan untuk dihantar kepada Redzuan yang berbunyi:

I am feeling better now. Thank you for asking.

Tak lama selepas dia menghantar mesej tadi, ada mesej baru pula yang masuk. Mesej itu berbunyi:

Good to hear that. Kalau awak ada apa-apa masalah, jangan simpan. Awak boleh ceritakan pada saya.

Amelia memandang mesej tersebut lama sebelum menjawab mesej itu dengan mesej yang berbunyi:

Thank you but no, thank you. Trust is something that is given, it should be earned. Especially for a broken one.

Tak berapa lama selepas itu, sebuah lagi mesej daripada Redzuan masuk yang berbunyi:

If you give me another chance, I will prove it to you. Please.

Amelia mengeluh. Nampaknya Redzuan tidak mahu mengalah. Dia menaip mesej balasan yang berbunyi:

Prove that you deserved to get another chance first, then only you can prove anything else. Saya tak nak pisang berbuah dua kali. Mohon fahami saya. Saya bukan lagi seorang perempuan yang layak dikasihi oleh sesiapapun.

Beberapa saat kemudian, datang lagi mesej daripada Redzuan yang berbunyi:

I will prove to you that I am the man for you. You will never regret it this time.

Amelia terkesima membaca mesej terakhir Redzuan itu. Malas hendak melayan lelaki itu, dia memilih untuk meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja sisi katil sebelum kembali berbaring. Rancangan asalnya hendak berbaring sebentar sebelum masuk waktu Asar, tetapi entah bila saatnya dia terlelap.

     *     *     *     *     *

Syafiq sedang menyemak dokumen perjalanannya ke Pulau Pinang apabila pintu biliknya diketuk.

"Masuk!" jerit Syafiq sebelum pintu biliknya dibuka.

Amelia masuk ke dalam bilik Syafiq sebelum berdiri di hadapan lelaki itu. Syafiq terkejut melihat wanita itu kerana setahunya sijil sakitnya masih lagi sah untuk dua hari lagi dan dia hanya perlu melapor diri pada minggu hadapan.

"Ada apa, Diyana?" tanya Syafiq, ingin tahu akan tujuan wanita ini berdiri di hadapannya.

"Saya nak berikan surat ini pada tuan dan saya perlukan penjelasan tuan tentang sesuatu," jawab Amelia lalu menyerahkan sekeping sampul surat kepada Syafiq.

Syafiq membuka sampul surat tersebut lalu membaca isi kandungan surat tersebut. Ianya merupakan surat perletakan jawatan Amelia berkuat kuasa sebulan.

"Baiklah, saya tolak perletakan jawatan awak. Penjelasan apa yang awak mahukan?" tanya Syafiq setelah memberikan jawapan kepada surat Amelia itu.

"Kenapa saya kena serahkan surat perletakan jawatan saya pada tuan? Saya bukannya melaporkan diri pada tuan, masih Emily. Lagi satu, kenapa tolak perletakan jawatan saya?"

"Kedua-dua penjelasan itu ada di dalam kontrak pekerjaan baru awak," jelas Syafiq, ringkas.

"Kontrak baru? Saya ada tanda tangan kontrak baru?" tanya Amelia, tidak mengerti.

Melihat reaksi Amelia Syafiq mengeluarkan fail pekerja milik Amelia yang masih dipulangkan kepada bahagian sumber manusia lalu membukanya. Syafiq menyelak fail tersebut sehingga ke bahagian kontrak sebelum diserahkan kepada Amelia.

Amelia membaca kontrak tersebut. Tak lama selepas itu, wajahnya mula berkerut-kerut membuatkan Syafiq yakin Amelia telah menemui klausa yang mengatakan bahawa Amelia tidak lagi melaporkan kepada Emily tetapi kepadanya.

Setelah beberapa ketika, sekali lagi wajah Amelia berkerut-kerut membuatkan Syafiq tahu bahawa Amelia telah menemui klausa yang menyatakan bahawa Amelia tidak boleh meletakkan jawatan selama tempoh kontrak tersebut, yakni lima tahun melainkan jika dia dibuang atau dia tidak lagi sihat untuk bekerja.

"Macam inipun boleh?" tanya Amelia, hairan.

"Boleh ataupun tidak, awak sudah tanda tanganinya. Bagaimana awak nak yakinkan sesiapa bahawa awak tidak sedar ketika menandatangani kontrak ini?" duga Syafiq.

Amelia hilang punca. Dia tidak sangka sehebat manapun dia lari, kali ini Syafiq berada dua langkah di hadapannya.

"Kenapa tuan buat saya begini? Kenapa perlu ikat saya dengan kontrak sebegini?" tanya Amelia, berang.

*BERSAMBUNG*

Monday, February 25, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 11

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10

*****

"Apa dia?" tanya Ruzaini dengan suara yang sangat lantang.

"Dia bersama dengan seorang perempuan cina ketika kemalangan. Namanya, Olivia Chee. Nak cari maklumat, kena tunggu polis dulu sebab semua barangan peribadi mereka berdua sudah terbakar dalam kemalangan itu," terang Zaidah.

"Olivia? Itu bekas teman wanitanya. Mereka berdua dikatakan putus sebelum kita bawa Azam jumpa Amy dulu. Takkanlah..."

"Sayang, simpan pendapat you tentang Olivia, I call sebab nak tahu ada tak sesiapa yang boleh kami call untuk maklumkan kematian Azam atau kebumikan dia?" potong Zaidah.

"Dia tak ada keluarga, dia dibesarkan di rumah anak yatim. Rumah itupun sudah ditutup lima tahun lepas selepas penyelia meninggal dunia," terang Ruzaini.

"Oh ya ke. Tak apalah, kita tanam di kampung Amy sajalah," ujar Zaidah.

"I ke sana ya?" tanya Ruzaini, risaukan Amelia yang pastinya masih di bawah pengaruh minyak pengasih Azam itu.

"Tapi esok pagi mungkin kami akan bawa jenazah balik. Sir Syafiq pun sudah hubungi pemandunya untuk jemput kami di sini," ujar Zaidah.

"Tak apa, I cuba kejar bas terakhir. Jadi, I akan sampai di Kangar jam 5 pagi. Sempat saja kejar kamu semua. Lagipun, I rasa tak sedap hatilah," jawab Ruzaini.

"Baiklah, apa-apa nanti you update I okay?"

"Ya, sayang. You too okay?" jawab Ruzaini sebelum.memutuskan talian.

Zaidah meletakkan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangannya sebaik sahaja panggilan diputuskan.

     *     *     *     *     *

Akhirnya, setelah pelbagai dugaan yang melanda kesemua mereka yang terlibat, petang itu dalam jam 3, barulah jenazah Azam dapat dikebumikan.

Pagi itu, pihak hospital yang dipertanggungjawabkan untuk memandikan jenazah telahpun diduga dengan keluarnya cecair hitam dari kemaluannya. Setelah beberapa ketika, barulah pihak hospital selesai memandikan jenazah.

Rancangan asal mereka untuk membawa pulang jenazah ke kampung Amelia di Linggi, Negeri Sembilan terpaksa dibatalkan akibat daripada tiga buah van jenazah kesemuanya pancit setelah menempatkan jenazah untuk dibawa pulang.

Urusan pengebumian akhirnya dilakukan di Perlis setelah puas Ruzaini dan Redzuan memujuk orang kampung terdekat untuk membenarkan jenazah ditanam di tanah perkuburan kampung mereka.

Akan tetapi, mereka diduga lagi apabila jenazah tidak boleh masuk ke dalam liang lahad meskipun beberapa kali penggali kubur mengorek semula. Atas permintaan imam masjid bersebelahan kubur, mereka melakukan solat hajat bagi memohon kemudahan pengebumian jenazah. Setelah solat selesai, barulah pengebumian dapat diselesaikan.

Namun begitu, setelah Talkin habis dibaca dan orang mulai beransur pulang, Amelia tiba-tiba meraung dan merayu untuk mengikut Azam sambil menguis tanah kubur Azam.

Akibat kudratnya terlalu kuat, Encik Ruslan meminta Syafiq dan Ruzaini memapah Amelia untuk dibawa ke masjid sebelum dia menjirus anaknya itu dengan air ruqyah yang sentiasa dibawanya di hadapan masjid.

Melihat kejadian itu, imam masjid mendekati Encik Ruslan selepas Syafiq mencempung Amelia masuk ke dalam kereta.

"Assalamualaikum encik, boleh saya bertanya sikit?" tanya imam masjid.

"Waalaikumussalam, imam. Apa dia?" tanya Encik Ruslan.

"Siapa arwah pada encik? Wanita yang meracau itu anak encik bukan? Siapa pula dia pada arwah?" tanya imam, hairan.

"Arwah itu... menantu saya. Dia baru sahaja bernikah dengan anak saya pagi semalam, malamnya pula meninggal dunia," jawab Encik Ruslan meskipun perit untuk dia melafazkan perkataan 'menantu'.

"Saya sebenarnya masih berkira-kira nak beritahu encik atau tak, tapi tengok gayanya macam anak encik terkena guna-guna," jelas imam.

"Kenapa imam berkata begitu?" tanya Encik Ruslan.

"Saya pernah tengok anak jiran saya terkena minyak pengasih dulu. Begini jugalah gayanya. Kena hantar pergi berubat ini," jawab imam.

"Sebenarnya saya memang tahu tentang ini. Itulah nak bawa dia balik ke kampung untuk berubat. Air yang saya sapukan pada mukanya tadi itu pun air ruqyah, bukannya air biasa," jelas Encik Ruslan.

"Kalau begitu, legalah saya. Saya bimbang encik tak tahu, sebab itulah saya sampaikan. Kalau begitu, saya minta diri dululah. Semoga Allah permudahkan urusan encik sekeluarga," ujar imam sebelum bersalaman dengan Encik Ruslan dan berlalu pergi.

"Baiklah, imam. In shaa Allah, amiinn..."

Sebaik sahaja imam masjid beredar, Encik Ruslan juga berjalan menuju ke arah kereta Syafiq.

"Apa yang imam tanyakan?" tanya Puan Kursiah selepas Encik Ruslan masuk ke dalam kereta.

"Dia tanya tentang Lia ini. Dia pun tahu Lia ini sakit," jelas Encik Ruslan, ringkas.

"Yalah, ketara sangat. Kesian Syafiq, asyik kena dukung Lia saja. Alahai Lia, kenapalah susah sangat kau nak nampak kebaikan Syafiq ini?" ujar Puan Kursiah, geram.

Syafiq yang sedari tadi hanya mendengar perbualan kedua suami isteri ini hanya diam membisu. Tak mampu untuk dia jawab kerana bimbang akan memberikan harapan pada ibu bapa Amelia dan dirinya sendiri juga.

     *      *      *      *       *

Dora, Zaidah, Ruzaini, Syafiq dan Redzuan pergi melawat Amelia di hospital hari itu. Sudah seminggu Amelia dimasukkan ke dalam wad psikiatri selepas cubaan bunuh diri yang dilakukan sehari selepas mereka pulang ke Kuala Lumpur. Mujurlah Dora menemuinya sebaik sahaja dia mengelar tangannya dan dia dibawa ke hospital dengan pantas.

Meskipun lukanya tidak dalam, tetapi atas nasihat doktor, dia telah dirujuk ke bahagian psikiatri kerana ianya boleh berulang sekiranya tidak dirawat.

Akan tetapi, semua orang tahu kemurungan Amelia itu merupakan kesan sampingan daripada minyak pengasih itu. Jadi, dia harus diubati secara perubatan alternatif seiring dengan perubatan moden.

Memandangkan wad psikiatri tidak membenarkan pesakit memakai tudung di dalam wad, Dora dan Zaidah masuk dahulu ke tempat melawat membawa tudung atas persetujuan doktor. Selepas 5 minit, barulah yang lain tiba.

Ketika Ruzaini, Syafiq dan Redzuan sampai, Dora dan Zaidah baru sahaja selesai memakaikan tudung pada Amelia. Dora, Zaidah dan Amelia duduk sebaris manakala Ruzaini, Syafiq dan Redzuan duduk bertentangan dengan mereka bertiga.

"Kau macam mana, Amy? Semakin baikkah?" tanya Ruzaini.

"Alhamdulillah, aku dah mula kembali ke alam nyata. Aku harap kau orang maafkan aku sebab susahkan kau orang," jawab Amelia.

"Tak apalah, Amy. Kami semua sayangkan kau, sebab itu kami pergi ke sana tolong kau," jawab Dora sambil memegang tangan Amelia.

"Terima kasih Dora, Zai sebab sentiasa ada untuk aku waktu itu. Wan, Zaini, terima kasih sebab uruskan pengebumian arwah Azam," ujar Amelia, perlahan.

Sebaik sahaja ayat itu habis, keempat-empat nama yang disebut mula berpandangan sesama sendiri. Kenapa hanya nama mereka yang disebut sedangkan Syafiq adalah orang yang paling banyak berjasa dalam hal ini?

Syafiq pula hanya mengekalkan wajah tanpa reaksi yang dipamernya sejak tadi. Dia hanya memerhatikan perubahan Amelia dan tidak mengendahkan perihal namanya yang tak disebut.

"Apapun, terima kasih semua datang melawat aku. Cuma, boleh tak aku nak bercakap sikit dengan sir Syafiq sekejap?" tanya Amelia.

Mendengar permintaan Amelia, Redzuan, Ruzaini, Zaidah dan Dora meninggalkan Amelia dan Syafiq berduaan.

"Tuan, boleh saya tanya sesuatu?" tanya Amelia, lembut.

Syafiq memandang wajah Amelia lalu mengangguk.

"Kenapa tuan masih nak berjumpa dengan saya walaupun saya dah kecewakan tuan dulu dan sekarang?" tanya Amelia lagi.

"Saya tak rasa apa yang berlaku pada awak itu salah awak. Jadi, kenapa nak rasa malu?" duga Syafiq.

"Tak adalah, setelah apa yang berlaku, mampukah tuan hadap muka saya ini?"

"Saya akan hadap muka awak walaupun awak bosan dengan saya. Jangan risaukan saya, awak itu kena sihat dulu. Nanti kita cerita balik lepas awak dah sihat sepenuhnya," ujar Syafiq.

"Baiklah, tuan. Apapun, terima kasih ya."

"Untuk apa?" tanya Syafiq, hairan kerana dia pasti Amelia tidak tahu penglibatannya di dalam kejadian di Perlis tempoh hari.

*BERSAMBUNG*

Sunday, February 24, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 10

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9

*****

"Kau kenal Amy? Amelia?" tanya Redzuan pula.

"Aku boyfriend Zai, kenal Zai tak? Nama penuhnya Zaidah," ujar Ruzaini.

"Kenal, sekali dengan Dora dulu. Betullah, kita bercakap tentang Amy yang sama. Kecilnya dunia ini!" ujar Redzuan, sedikit teruja.

"Kau kenal Dora juga? Itulah, kecilnya dunia ini kan?" tanya Ruzaini sambil tertawa.

"Mereka masih lagi bertigakah? Amy apa khabar sekarang? Lama aku tak jumpa mereka, sejak aku habis belajar dulu. Aku satu batch dengan Azam, jadi mereka bertiga itu junior kami."

"Itulah masalah sekarang. Sekarang ini Amy dengan Azam, kau tak tahukah?"

"Tak. Sampai hati dia tak beritahu aku! Baguslah, mereka berdua pun sama-sama baik," jawab Redzuan, teruja.

"Memang itu yang aku fikirkan, sebab itulah aku dan Zai kenalkan mereka."

"Habis itu, kenapa suara kau macam tak suka saja?" tanya Redzuan, hairan.

"Entahlah. Harap-harap apa yang aku bimbangkan tak jadilah. Oh ya, bila kau nak masuk? Aku tak tahulah setakat mana Azam dah kemas bilik dia tapi bilik dia akan jadi bilik kau. Kau pergilah tengok dulu biliknya. Bilik tengah itu. Maaflah, aku tak dapat nak tunjukkan pada kau," ujar Ruzaini sambil menudingkan jari ke arah bilik tidur Azam.

"Tak apa, aku masuk sendiri. Sebenarnya, aku nak tinggalkan sebahagian barang aku saja dulu di sini sebab sewa rumah lama aku akan tamat hujung bulan ini. Jadi, aku akan masuk hujung minggu ini. Aku pergi tengok bilik dulu ya?" ujar Redzuan sebelum menuju ke arah bilik tidur Azam.

Ruzaini mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di sebelahnya lalu menghantar mesej melalui Whatsapp kepada Zaidah. Harapannya ianya dapat membantu teman wanitanya dalam menyelesaikan masalah kawan baiknya itu.

     *     *     *     *     *

Syafiq sedang menonton televisyen apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia melihat skrin telefon bimbitnya sebelum menjawab panggilan telefon itu.

"Hello, Panjang. Ada apa-apa maklumat?" tanya Syafiq sebaik sahaja menjawab panggilan tersebut.

"Ada, bos. Cik Diyana dan encik Azam sudahpun bertolak jam 8 pagi tadi. Sekarang ini, mereka sedang berhenti rehat di Ipoh sebelum meneruskan perjalanan mereka," jawab Panjang, orang yang diupah bagi mengikuti gerak-geri Amelia.

"Bagus. Aku nak kau maklumkan semua perkembangan pada aku. Aku cuba ke sana menaiki kapal terbang bersama ibu bapa Diyana secepat mungkin. Apa-apa hal, aku akan beritahu kau semula," jawab Syafiq sebelum memutuskan talian.

Sesungguhnya dia telah sedia maklum akan keberangkatan Azam dan Amelia kerana Dora telah memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Dia telah menempah 5 tiket penerbangan buat dirinya, ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah.

Pada mulanya, Zaidah ingin mengajak Ruzaini tetapi Ruzaini memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur bagi mengelakkan masalah lain.

Mereka berlima akhirnya menjejakkan kaki di Alor Setar pada jam 5 petang sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis. Pada mulanya, Syafiq memilih Hotel Putra Regency sebagai tempat penginapan tetapi ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah tidak bersetuju kerana kos penginapan di situ agak mahal dan bimbang kalau pasangan kekasih itu memilih hotel yang sama.

Namun, setelah dimaklumkan bahawa kedua mereka pasti akan memilih Hotel Seri Malaysia atau hotel-hotel lain sebagai pilihan penginapan, mereka yang lain akur dengan pilihan Syafiq.

Syafiq mendapat maklumat bahawa Azam dan Amelia telah tiba di Perlis pada jam 5 petang dan menginap di Hotel Fyna selama semalam memandangkan malam itu mereka berdua harus tidur berasingan. Hanya hotel itu sahaja yang menawarkan bilik bujang yang selesa di Perlis.

Malam itu, Syafiq dikunjungi oleh Encik Ruslan setelah selesai dia menikmati makan malam menggunakan perkhidmatan bilik kerana terlalu penat. Syafiq menjemput lelaki itu duduk di atas sofa sebelum dia duduk di atas sofa bersebelahan.

"Ada apa pakcik datang berjumpa dengan saya?" tanya Syafiq sambil tersenyum.

"Pakcik sudah fikirkan cadangan Syafiq tadi. Pakcik rasa kita tunggu sahaja mereka berdua pulang semula ke Malaysia selepas mereka bernikah. Daripada kita bergaduh di tanah orang dan pakcik mungkin akan hilang anak pakcik selamanya, lebih baik kita bergaduh di tanah sendiri. Betul tak?" jelas Encik Ruslan.

"Saya setuju. Pakcik jangan risau, kita sama-sama akan selamatkan Amelia ya?" ujar Syafiq lalu menggenggam erat tangan Encik Ruslan.

"Pakcik harap sangat dapat kamu jadi menantu pakcik sebenarnya. Pakcik yakin kamu boleh membimbing Amelia, tapi itulah..."

"Pakcik, Allah takkan bagi sesuatu itu dengan mudah. Kalau tak, pasti kita takkan hargai pemberian-Nya. Saya yakin pakcik, dengan usaha saya dan doa daripada pakcik, mungkin Allah akan buka pintu hati Amelia suatu hari nanti. Tak salah mencuba," Syafiq memotong.

Kata-kata Syafiq membuatkan Encik Ruslan berfikir sejenak sebelum akhirnya mengangguk setuju. Semoga sahaja Allah melindungi keluarganya daripada anasir-anasir jahat yang ingin merosakkan.

     *     *     *     *     *

Pagi itu, Amelia sudahpun selamat menjadi isteri Mohd Azam dengan dua kali lafaz. Ternyata kedua mereka tampak sangat gembira dan Azam berasa sangat lega kerana akhirnya berjaya memilik Amelia.

Namun begitu, mereka berdua tidak tahu bahawa berita pernikahan mereka sudahpun diketahui oleh ibu bapa Amelia atas maklumat Panjang berikan kepada Syafiq. Mereka hanya perlu memilih masa yang sesuai untuk menyerang pasangan pengantin baru itu.

"Baby, balik Malaysia nanti kita nak tidur hotel mana ya? Tak sabar By nak tidur dengan Baby," ujar Azam, teruja.

"Baby tak kisah, tidur hotel manapun boleh asalkan Baby dengan By," jawab Amelia sambil menyeringai.

"Kalau boleh isteri By ini tak nak renggang bukan? 24 jam nak berkepit saja. Kita tidur Hotel Putra Brasmana boleh? Esok kita nak ke Langkawi pula," cadang Azam.

"Baby ikut saja cakap By. By kan suami baby sekarang," jawab Amelia sambil memeluk Azam dari tepi.

"Cuma, itulah. Duit By dah nak habis, nanti nak pakai di Langkawi lagi."

Mendengar kata Azam, Amelia mengeluarkan kad ATM miliknya lalu diserahkan kepada Azam.

"Nah, kad baby. No PIN baby letak tarikh lahir By," jelas Amelia sebelum menyimpan semula dompetnya ke dalam beg tangan.

Petang itu, mereka tiba di Kuala Perlis. Setelah mereka mendaftar masuk ke dalam bilik hotel, Azam bingkas mandi dan bersiap-siap untuk keluar membuatkan Amelia hairan.

"By nak ke mana?" tanya Amelia, ingin tahu.

Nama panggilan 'by' itu merupakan singkatan kepada perkataan 'hubby' yang bermaksud suami. Sengaja Amelia memilih nama panggilan tersebut kerana dia ingin nampak lebih manja.

Azam yang sedang menitiskan minyak pengasih yang digunakan ke atas Amelia selama ini di atas jarinya menuju ke arah Amelia lalu duduk bersebelahan Amelia sebelum memegang bahu wanita itu bagi mencalit minyak tersebut.

"Baby duduk sini sekejap ya? By ada hal sikit nak uruskan di Kangar, nanti By balik, kita pergi makan ya? Be a good girl," ujar Azam, lembut.

Akibat daripada dicalit minyak pengasih itu, Amelia mula berasa pening lalu menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Melihat reaksi Amelia, Azam bingkas keluar dari bilik meninggalkan Amelia sendirian.

"Alahai, Amelia. Kau pun aku dapat, harta kau pun selamat aku kikis! Kau tunggulah, akan aku buat kau jadi hamba cari duit untuk aku!" ujar Azam, teruja.

Sebaik sahaja dia tiba di pintu utama hotel, dia terus sahaja menaiki kereta Proton Saga berwarna perak yang sudah menanti di depan hotel sedari tadi. Di dalam kereta tersebut, ada seorang wanita yang memandu kereta tersebut.

"Miss me, darling?" tanya Azam kepada wanita sebaik sahaja dia menutup pintu kereta.

"Jenuh I nak tunggu you tahu? Kenapa lama sangat? Pergi nikah sahaja kan?" tanya Olivia, wanita yang memandu kereta yang dinaiki Azam itu.

"Chill darling, I kena pastikan dia dengar kata dulu, baru boleh tinggalkan dia. Lagipun, I nak simpan dia lama lagi kot!" jelas Azam sambil memegang bahu Olivia.

"Mana duit yang you janji nak bagi pada I, sayang? Jangan nak bolot sendiri pula, nanti you yang I guna-gunakan pula!" tanya Olivia sambil tersenyum manis.

"Rileks, kita pergi bank dulu. Eh, kejap! I laparlah, kita pergi makan dululah. Setakat pergi makan, duit I ada lagi."

"Nak ke mana?" tanya Olivia.

"Blackwood, sayang. Apa kelas makan nasi kandar?" jawab Azam sambil tersenyum senget.

Olivia yang mengerti senyuman Azam itu terus memecut laju bagi memenuhi permintaan Azam itu.

     *     *     *     *     *

"Pakcik, makcik, saya ada berita baik dan berita tak baik nak sampaikan pada pakcik dan makcik. Nak dengar yang mana satu?" ujar Syafiq yang baru sahaja tiba di meja makan yang menempatkan yang lain-lain selepas bercakap di telefon bersama Panjang tadi.

"Apa dia, Syafiq? Jangan buat pakcik seram. Ada apa-apa jadi pada Amelia ke?" tanya Encik Ruslan, bimbang.

"Amelia selamat, Alhamdulillah tapi Azam, telah meninggal dunia akibat kemalangan di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis tadi. Orang saya memaklumkan yang arwah bersama dengan seorang wanita ketika kejadian. Kereta hangus terbakar," jelas Syafiq dengan wajah yang mendung.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Amelia sudah tahukah?" tanya Puan Kursiah pula.

"Sudah, saya sudah memaklumkan kepadanya menggunakan telefon saya yang lain tadi. Dia dalam perjalanan ke hospital. Jadi, jom kita ke sana."

Sebaik sahaja selesai Syafiq menerangkan, kesemua mereka bingkas bangun untuk berangkat ke hospital.

Mereka berlima tiba di hospital 20 minit kemudian. Ibu bapa Amelia, Dora dan Zaidah turun dahulu manakala Syafiq pergi meletakkan kereta yang disewanya.

Keempat-empat mereka berjalan menuju ke arah bilik mayat di mana Amelia sudahpun berada di situ dengan berpakaian baju kurung berwarna putih. Tanggapan mereka itulah baju nikahnya siang tadi.

Puan Kursiah mendekati Amelia terlebih dahulu. Dia memegang bahu Amelia, namun tiada respon daripada wanita itu.

"Lia, ibu ini nak," ujar Puan Kursiah, lembut.

Mendengar kata-kata Puan Kursiah, Amelia memalingkan wajahnya ke arah Puan Kursiah lalu bangun dan memeluk ibunya.

"Ibu, nampak Azam tak? Ada orang call Lia kata Azam dah meninggal tapi Lia tak percayalah. Takkanlah Azam nak tinggalkan Lia? Kalau Lia jumpa orang itu, memang Lia kerjakan dia! Suka-suka saja tipu Lia kata Azam dah meninggal," ujar Amelia selepas meleraikan pelukan.

"Nak, orang itu tak tipu. Azam memang dah tak ada," jawab Puan Kursiah yang mana air matanya sudahpun berlinangan.

"Ibu pun sama! Taklah, Azam tidur saja kat dalam tu. Lia baru sahaja tengok, dia tengah tidur. Sekejap lagi dia bangunlah itu," tegas Amelia.

Melihat keadaan Amelia, Puan Kursiah memandang Encik Ruslan, Dora dan Zaidah meminta pertolongan. Encik Ruslan mendekati Amelia lalu membisikkan al-Fatihah ke telinga anaknya tetapi baru sahaja habis satu ayat, dengan rakus Amelia menolak ayahnya ke tepi.

"Apa ini? Panaslah! Janganlah mengaji kat tepi telinga Lia, ayah!" jerit Amelia seperti orang gila.

Melihat Amelia yang semakin agresif, Dora dan Zaidah mula memegang kiri dan kanan Amelia bagi menghalang Amelia untuk bergerak sebelum Encik Ruslan mengambil sebotol air mineral daripada Puan Kursiah yang merupakan air Ruqyah yang dibuat oleh ustaz yang dia bertemu untuk mengubati Amelia.

Dengan perlahan, Encik Ruslan membaca selawat seperti yang diajar oleh usaz tersebut sebelum menyapukan ke muka Amelia. Pada mulanya Amelia meronta-ronta sehingga nyaris terlepas pegangan Dora dan Zaidah sebelum akhirnya pengsan.

Syafiq yang baru sahaja tiba di situ mendekati Dora, Zaidah dan Amelia lalu mencempung Amelia dengan persetujuan Encik Ruslan.

"Zai, kamu tolong hubungi Zaini dan tanya tentang keluarga Azam. Kamu dan Dora tunggu di sini, saya akan hantar pakcik, makcik dan Diyana pulang ke hotel dulu. Nanti saya datang semula," ujar Syafiq sebelum berlalu pergi ditemani oleh Encik Ruslan dan Puan Kursiah.

Zaidah terus sahaja menelefon Ruzaini bagi mendapat maklumat tentang keluarga Azam seperti diarahkan.

"Hello, sayang. Ada apa-apa beritakah tentang mereka berdua?" tanya Ruzaini sebaik sahaja dia menjawab panggilan.

"Bad news, Azam dah meninggal dunia malam tadi. Kemalangan jalan raya," jelas Zaidah dengan nada yang kendur.

"Innalillah wainnailaihi rajiun, habis itu Amy bagaimana?" tanya Ruzaini lagi.

"Masalahnya, dia berada di dalam kereta dengan seorang wanita tetapi wanita itu bukan Amelia," jawab Zaidah.

"Apa dia?" tanya Ruzaini dengan suara yang sangat lantang.

*BERSAMBUNG*

Friday, February 22, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 9

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8

*****

"Apa dia? Sihir?" tanya Puan Rasyida, terkejut.

"Ya, mama. Sihir pengasih. Lelaki yang mama jumpa bersama Amelia itu bekas pelajar Syafiq juga. Senior Amelia. Kawan baik Amelia kata lelaki itu sudah mencuba untuk memikat Amelia sejak tiga tahun lepas tetapi Amelia tidak melayan. Akan tetapi, ada sekali mereka keluar bersama kawan-kawan lain tetapi mereka berdua pulang bersama. Sejak itulah, Amelia mula menjadi seperti yang mama lihat. Berpegangan sana-sini dengan lelaki itu tak kira masa, kalau boleh 24 jam nak bersama," terang Syafiq, panjang lebar.

"Kamu pernah bertemu mereka berdua?"

Syafiq hanya mengangguk bagi menjawab soalan ibunya.

"Mesti sakit bukan? Melihat orang yang kita sayang bermesraan dengan lelaki lain di hadapan kita?"

"Sakit itu tak terasa kalau dia betul-betul menyayangi lelaki itu dan bahagia tetapi hati ini lebih sakit kerana tahu ada jiwa yang terperangkap dalam jasad itu yang tak dapat menzahirkan apa yang dia rasa. Jiwa dia lama-kelamaan akan sakit, mama. Sakit dia, sakitlah Syafiq."

"Syafiq, kalau kita cintakan seseorang, lepaskanlah dia pergi. Kalau dia datang kembali, dia adalah milik kita selamanya. Syafiq kena redha apapun yang terjadi selepas ini. Sekiranya Syafiq dan berusaha tetapi nasib tak menyebelahi Syafiq, Syafiq kena tahu bila nak berhenti."

Mendengar kata-kata ibunya, Syafiq memegang erat tangan ibunya sebelum menciumnya.

"Baiklah, mama. Syafiq naik atas dulu. Nak mandi, melengas satu badan ni," ujar Syafiq sebelum beredar menuju ke tingkat atas.

"Sekejap sayang, mama nak ikut sekali. Tunggu mama tutup lampu sekejap," jawab Puan Rasyida sambil menutup suis lampu ruang tamu rumahnya sebelum menghampiri Syafiq yang menunggunya di mata tangga yang pertama. Selepas itu, dua beranak itupun naik ke tingkat atas bersama.

     *     *     *      *      *

"Amelia, cuti awak sudah diluluskan. Lima hari kan?" ujar Emily sebaik sahaja dia tiba di meja Amelia.

"Thank you, boss. Nanti saya bagi ole-ole ya?" jawab Amelia sambil tersengih.

"Saya tak kisah, tapi ada satu hal lagi," ujar Emily lagi.

"Apa dia, bos?"

"Tuan Syafiq nak jumpa awak. Ada benda dia nak tanya awak," jelas Emily lalu pergi dari situ.

Amelia yang hairan itupun berjalan menuju ke bilik Syafiq. Apabila dia tiba, Aina terus sahaja membukakan pintu untuknya dan menjemputnya masuk.

Amelia terus sahaja masuk ke dalam bilik Syafiq dan melihat Syafiq sedang memandangnya. Melihat reaksi Syafiq, dia bertambah hairan.

"Duduklah, Diyana. Terima kasih Aina," ujar Syafiq sambil tersenyum.

Amelia dapat mendengar bunyi pintu ditutup. Amelia hanya memandang Syafiq, membiarkan lelaki itu memulakan bicara.

"Kenapa nak cuti sampai seminggu?" tanya Syafiq, serius.

"Ada hal peribadi," jawab Amelia, bersahaja.

"What sort of peribadi?" tanya Syafiq lagi.

"Kenapa tuan banyak sangat tanya ini?" tanya Amelia.

"Tak adalah, saya kena tanya apa halnya staf saya kalau sampai mak ayahnya hubungi pejabat tanyakan perihal anaknya?" jelas Syafiq, selamba.

"Maksud tuan?" tanya Amelia, kurang faham.

"Mak ayah awak bertanya kenapa anaknya sudah dua minggu tak hubungi mereka. Mereka nyaris buat laporan polis tahu?" duga Syafiq.

"Itu bukan urusan tuan. Jaga sajalah tepi kain tuan sendiri!" bentak Amelia, berang.

"Masakan saya tak nak jaga tepi kain awak kalau awak masih orang yang saya sayang, Diyana," jawab Syafiq, sinis.

"Tak payah beranganlah, tuan. Saya tak hadaplah nak bersuamikan tuan. Kalau setakat berharta tapi tak ada timbang rasapun tak guna juga. Saya rasa tuan carilah perempuan lain yang setanding dengan tuan," bentak Amelia sebelum bangun, ingin meninggalkan bilik tersebut tetapi sempat tangannya direntap Syafiq.

"Duduk, saya belum habis lagi."

"Saya tak ada apa-apa yang saya nak katakan!"

"Duduk, Diyana!" jerkah Syafiq, lebih kuat daripada suara Amelia tadi.

Mendengar arahan Syafiq, Amelia duduk semula. Namun begitu, wajahnya mencuka tanda protes.

Syafiq mengeluarkan fail berwarna kuning yang tertulis nama Amelia di atasnya. Dia mengeluarkan dua set kertas lalu diletakkan berhadapan dengan Amelia.

"Apa ini?" tanya Amelia, sedikit kasar.

"Kontrak pekerjaan awak. Bacalah," ujar Syafiq.

Syafiq telah menukar kontrak pekerjaan Amelia kerana dia tahu Amelia pasti akan berhenti kerja selepas dia sembuh dan lelaki itu tidak mahu melepaskan pekerja sebaik dia. Jadi, Syafiq telah menukar kontrak pekerjaan Amelia dengan harapan Amelia tidak menyedari perubahan itu.

Amelia tidak membaca kontrak tersebut, sebaliknya terus menandatangani kedua-dua kontrak tersebut sebelum dipulangkan semula kepada Syafiq.

"Kenapa tak baca dulu?" tanya Syafiq, hairan.

"Ala, bukannya ada bezanya kontrak tahun lepas dengan tahun ini," jawab Amelia, angkuh.

"Baik, jangan menyesal tak sudah nanti. Nanti bahagian HR akan berikan salinan awak selepas mereka tanda tanganinya," jelas Syafiq.

"Baik, ada apa-apa lagi?" tanya Amelia, sinis.

"Tak ada, pergilah sambung kerja awak," jawab Syafiq.

Tanpa berlengah, Amelia terus bangun dan meninggalkan bilik tersebut. Syafiq yang melihat pemergian wanita itu hanya mampu melepaskan keluhan berat.

     *     *     *     *     *

Dora yang baru sahaja tiba di meja makan itu duduk bersebelahan dengan Puan Kursiah.

"Maaf, Dora lambat. Kena kerja lebih masa tadi," jelas Dora selepas bersalaman dengan Puan Kursiah.

"Awak bekerja shift ke, Dora?" tanya Syafiq yang duduk berhadapan dengannya.

"Yalah, sir. Susah nak cari kerja khidmat pelanggan waktu kerjanya ikut waktu pejabat," jawab Dora.

"Syarikat saya bahagian khidmat pelanggan ikut waktu pejabat. Awak nak cuba?" tanya Syafiq lagi.

"Tak payahlah, sir. Sudahlah sir nak tolong Amy, nak tolong saya sekali? Marah pula pengurusan syarikat sir nanti," tolak Dora, lembut.

"Oh ya, bercakap tentang Amelia, tadi saya provoke dia. Saya luahkan perasaan saya kali kedua, kaw-kaw saya kena reject! Lagi teruk daripada kali pertama," terang Syafiq, teruja.

"Yang kamu pergi provoke dia itu kenapa, Syafiq? Kan dah kena," ujar Encik Ruslan sambil tertawa kecil.

"Sebab saya nak suruh dia tanda tangan kontrak baru dia. Saya letak kontrak 10 tahun untuk dia. Kalau ikut hati saya, nak saja saya letak kontrak seumur hidup tapi kejam sangat itu," jawab Syafiq, bersahaja.

"Sayang betul kamu ini pada dia, Syafiq. Sampai sanggup buat begitu tapi sayangnya perasaan kamu tak dihargai," ujar Puan Kursiah pula.

"Biarlah, makcik. Saya tak kisah pun, saya tak minta perasaan saya berbalas," jawab Syafiq sambil tersenyum nipis.

"Tak apakah kamu tunggu anak pakcik ini? Umur Syafiq bukannya muda lagi, dah hampir 40 tahun. Pakcik tak nak sebab anak pakcik, kamu bergaduh dengan ahli keluarga kamu," ujar Encik Ruslan.

"Tak apalah, kalau ada jodoh tak ke mana pakcik, makcik. Soal hati ini bukan paksaan. Masuknya dia dalam hati bukan saya yang paksa, keluar juga bukan boleh saya paksa juga," terang Syafiq.

"Tapi kita boleh usaha, Syafiq. Takkanlah tak ada yang perkenan dengan kamu?" tanya Puan Kursiah pula.

"Tipulah kalau saya kata tak ada, makcik, pakcik. Tiga tahun saya cuba, saya cuba terima orang lain tapi hati saya masih dengan Amelia. Mungkin ada hikmah yang kita tak tahu," sambung Syafiq.

"Mungkin jugalah, Syafiq. Sayangnya anak pakcik buta hati nak nampak semua ini," ujar Encik Ruslan lalu mengeluh.

Puan Kursiah dan Dora hanya nampu berpandangan sesama sendiri. Cuba menangkap apa yang dimaksudkan oleh Encik Ruslan.

     *     *     *     *     *

Ruzaini yang baru sahaja bangun terkejut melihat Azam yang sedang menarik beg bagasi menuju ke arah pintu. Setahunya, lelaki itu tidak ada kerja luar. Ke manakah hala tujunya dengan beg tersebut?

"Bro, kau nak pergi mana bawa beg besar ini? Nak pindah ke?" tanya Ruzaini, hairan.

"Aku nak pergi kahwin," jawab Azam sambil tertawa.

"Kau seriuslah? Dengan siapa?" tanya Ruzaini.

"Dengan Amelialah, siapa lagi?"

"Kenapa aku tak tahu Amy nak kahwin dengan kau? Kau bawa dia kahwin lari ke apa?" tanya Ruzaini yang mula hairan dengan tindakan Azam.

Soalan Ruzaini tidak dijawab oleh Azam, sebaliknya hanya tersenyum.

"Kau biar betul, Zam! Mak ayah dia ada lagi kot!" jerkah Ruzaini.

"Kalau aku buat cara elok, mak ayah dia tahulah aku guna-gunakan dia!" jawab Azam sebelum menutup mulutnya.

"Kau guna-gunakan dia? Astaghfirullah hallazim, Azam! Berdosa kot!" jerit Ruzaini, terkejut.

"Perlahanlah sikit! Kau nak bagi satu taman ni dengar ke? Ya, aku guna-gunakan dia! Tiga tahun aku cuba cara elok, jangan kata nak terima aku, pandang aku pun dia tak sudi. Jadi, salahkah aku gunakan cara ini untuk tawan hati dia?"

"Matlamat tak halalkan cara, bro! Allah pasti akan balas nanti. Aku tak nak bersubahat," jawab Ruzaini.

"Kau jangan cuba-cuba beritahu Zai tentang ini! Nahas kau aku kerjakan nanti!"

"Kalau aku beritahu, apa yang kau nak buat?" tanya Ruzaini.

Mendengar pertanyaan Ruzaini, Azam terus bertindak menumbuk Ruzaini beberapa kali sehingga lelaki itu terjelepok di atas lantai.

"Kalau kau beritahu sesiapa, lebih teruk dari ini pun aku boleh buat! Jadi, jangan kau cuba-cuba beritahu kalau kau nak selamat! Faham?" Azam memberikan amaran kepada Ruzaini yang sedang mengerang kesakitan.

Tiba-tiba, muncul seorang lelaki yang mendekati mereka. Kemunculan lelaki itu sepertinya ditunggu oleh Azam.

"Hah, ini dia aku kenalkan. Ini Redzuan, housemate baru kau. Kawan aku di universiti dulu. Wan, kenalkan. Itu Ruzaini, housemate baru kau. Kawan sekolah aku dulu. Sudah, aku dah lambat! Aku gerak dulu, apa-apa kau tanya Zaini ya Wan," jelas Azam lalu meninggalkan Redzuan dan Ruzaini yang masih lagi terbaring di atas lantai.

Redzuan yang terpinga-pinga itu membantu Ruzaini untuk bangun. Mengucap panjang Redzuan melihat kecederaan Ruzaini yang dibelasah oleh Azam itu.

"Oh ya, Zaini! Barang-barang yang aku beli dalam rumah ini sekarang milik kau. Cuma, nanti aku akan balik semula untuk ambil kain baju aku. Apapun, aku minta maaf sebab tumbuk kau tadi," ujar Azam sebelum berlalu pergi.

"Bro, apa yang jadi ini? Kenapa kau jadi begini?" tanya Redzuan, bimbang.

Ruzaini yang baru saja dapat duduk memegang hujung bibir yang kebas ditumbuk oleh Azam tadi.

"Tak ada apalah, gaduh sikit saja. Eh, apa nama kau tadi?" jawab Ruzaini.

"Redzuan."

"Redzuan, bekas teman lelaki Amy itukah?" tanya Ruzaini, terkejut.

"Kau kenal Amy? Amelia?" tanya Redzuan pula.

*BERSAMBUNG*

Thursday, February 21, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 8

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7

*****

"Kalau begitu, baguslah. Pakcik setuju dengan rancangan kamu. Kiranya pakcik dengan makcik kena ikut kamu berdua balik KL ya?" tanya Encik Ruslan.

"Ya, betul. Segala urusan penginapan pakcik dan makcik akan saya tanggung. Ini saja yang boleh saya lakukan demi membantu Amelia."

"Makcik rasa kamu ini mesti sukakan Lia bukan?" tanya Puan Kursiah, tiba-tiba.

Mendengar soalan Puan Kursiah, Dora hanya tersenyum memandang Syafiq. Wajah Syafiq mulai panik dek kerana soalan itu.

"Pakcik pun dapat rasakannya. Betulkah Syafiq?" tanya Encik Ruslan pula.

"Makcik, tandas di mana? Tiba-tiba sakit perut pula," ngelat Syafiq.

Ketiga-tiga mereka yang lain mula tersenyum kambing mendengar jawapan Syafiq.

"Kamu jalan sampai hujung, kemudian belok kiri. Tandas kat situ," jawab Puan Kursiah.

Sebaik sahaja selesai penerangan Puan Kursiah, sepantas kilat Syafiq beredar meninggalkan pasangan suami isteri itu bersama Dora.

"Sebenarnya, pakcik, makcik, Lia pun sukakan dia. Tapi itulah, sebab masalah negara dia itulah, dia tolak Syafiq," jelas Dora sambil tersenyum.

"Alahai, Lia. Suka sangat serkap jarang. Inilah padahnya," jawab Puan Kursiah sambil menggelengkan kepalanya.

     *     *     *     *     *

"Makcik, kita nak ke mana ini?" tanya Deena yang hairan dengan kelakuan Puan Rasyida yang seperti mencari sesuatu.

"Makcik nak cari beg tangan baru, sebab beg tangan makcik dah putus talinya. Mujurlah makcik ada beg tangan kecemasan ini," ujar Puan Rasyida sambil menunjukkan beg tangan yang dipakainya.

"Oh ya ke, kenapa tak beritahu awal-awal? Deena tahu kedai mana nak bawa makcik kalau begitu," jawab Deena lalu memimpin tangan Puan Rasyida.

Namun begitu, Deena nyaris tergelincir akibat daripada tindakan Puan Rasyida yang berhenti tiba-tiba.

"Itu bukan Ameliakah?" tanya Puan Rasyida, hairan.

"Amelia? Siapa Amelia? Oh, teman Syafiq hari itukah? Mana dia makcik?" tanya Deena, ingin tahu.

Puan Rasyida menunjukkan kepada Deena di mana Amelia yang ketika itu sedang berjalan berpelukan bersama Azam.

"Makcik kata dia teman baru Syafiq, tapi dia keluar dengan lelaki lain sekarang! Perempuan beginikah makcik nak buat menantu," sindir Deena.

"Makcik tak ada berkata dia teman wanita Syafiq kerana Syafiq sendiri tak ada berkata apa-apa mengenainya. Tak apa, Deena. Nanti makcik berbincang dengan Syafiq. Kalau betul Amelia tak ada perasaan Syafiq, makcik akan suruh dia terima Deena semula. Boleh?" ujar Puan Rasyida.

"Baiklah, makcik. Deena setuju. Jom, makcik. Kita pergi beli beg tangan makcik," ajak Deena lalu memimpin tangan Puan Rasyida pergi dari situ.

     *     *     *     *     *

Zaidah baru sahaja pulang apabila melihat Amelia sedang menonton televisyen sambil berbual di dalam telefon. Dia cuba mencari kelibat Dora tetapi tiada di mana-mana.

"Amy, Dora tak balik lagikah?" tanya Zaidah.

Amelia yang sedang ralit berbual di telefon bimbitnya tidak mendengari soalan Zaidah membuatkan Zaidah bengang lalu berjalan masuk ke dalam bilik.

Bagi Zaidah, selalunya Amelia tidak begini. Walaupun suaranya perlahan sekalipun, pasti Amelia akan mendengarnya.

Tanpa berlengah, dia mendial nombor telefon Dora. Tak lama kemudian, kedengaran suara Dora di hujung talian.

"Hello Dora, kau kat mana? Kenapa tak ada di rumah? Kau bukan cuti ke hari ini?" tanya Zaidah, bertubi-tubi.

"Aku ada di Linggi sekarang. Ada hal sikit," jawab Dora di hujung talian.

"Linggi? Itu bukan kampung Amy ke? Kau buat apa di situ sampai kau balik kampung dia tanpa dia? Ini, aku tengok si Amy ini kalau bercakap dalam telefon dah tak hairan sekeliling dia lagi. Kenapa dengan dia?" tanya Dora bagaikan polis pencen.

"Itulah sebabnya kenapa aku balik kampung dia. Nak buat ubat dia," jelas Dora.

"Kenapa nak kena buat ubat? Aku tengok elok saja. Cuma yalah, sejak dia bercinta ini, dia dah tak peduli kiri kanan lagi dah," tanya Zaidah, hairan.

"Itulah sakitnya. Mana ada orang bercinta, kekasih duduk depan mata pun masih angau!" jelas Dora.

"Macam mana kau tahu dia begitu? Takkan kau nak kata Amy kena guna-guna pula? Azam tak begitulah!" bentak Zaidah.

"Aku tak kata apa-apa, kau yang buat kesimpulan sendiri! Lagipun, kau tinggal dengan Azamkah sampai kau tahu isi hati dia? Laki kau yang duduk serumah dengan diapun belum tentu tahulah! Aku tahu sebab aku pernah terjumpa mereka tengah dating. Kau tahu, persiapan kahwin lari mereka berdua semuanya guna duit Amy? Kau tahu tak?"

"Mereka berdua nak kahwin lari?" tanya Zaidah, tergamam.

"Ya! Jadi salahkah aku nak ajak mak ayah Amy ubatkan dia? Kalau kau jadi mak ayah dia, kau nak menantu begitukah?" jerkah Dora.

"Aku minta maaf, Dora. Aku tak tahu mereka nak kahwin lari. Habis itu, kau pergi sana naik apa? Kereta kau ada di sini, nak aku ambil kau balik sini ke?"

"Tak payah, aku datang sini dengan seseorang dan aku akan balik sana dengan dia. Cuma, aku nak minta kau jangan beritahu sesiapapun walaupun Zaini! Aku tak nak rancangan kami semua rosak," arah Dora, serius.

"Baik, cik Dora Elina. Menurut perintah. Apa-apa, beritahu aku tau? Bye," ujar Zaidah.

"Okay, you too. Bye," jawab Dora sebelum mematikan talian.

Setelah panggilan diputuskan, Zaidah berfikir sejenak. Benar, Amelia yang dikenalinya hilang terus selepas mereka berdua bercinta.

Meskipun rakan baiknya itu ada di rumah, namun selagi dia belum tidur, selagi itulah dia akan bercakap dalam talian dengan Azam. Kadang-kadang panggilan suara, kadang-kadang panggilan video.

Mungkin ada yang ingin mengambil kesempatan, atau mungkin juga dia tersilap menilai mana kaca mana permata. Semoga dia akan mendapat jawapannya nanti.

     *     *     *     *     *

Syafiq baru sahaja menutup pintu rumahnya apabila dia merasakan ada yang menyentuh bahunya. Dia berpaling dan alangkah terkejutnya dia melihat Puan Rasyida berada di belakangnya dengan bedak sejuk di muka.

"Apa ini, mama? Terkejut Syafiq!" ujar Syafiq sambil mengusap-usap dadanya.

"Syafiq pergi mana? Semalam ayah kata Syafiq ambil cuti kecemasan," tanya Puan Rasyida, ingin tahu.

"Ada hal sikit di Negeri Sembilan. Syafiq tidur di sana semalam," jawab Syafiq ala kadar.

"Oh ya ke. Semalam mama pergi shopping dengan Deena, mama terjumpa Amelia dengan seorang lelaki. Sakan berpelukan, tak macam Amelia yang mama jumpa di majlis tempoh hari. Bersalam dengan ayah kamu pun dia tolak cara baik," jelas Puan Rasyida, sedikit hairan.

"Mama, kenapa mama masih keluar dengan Deena? Mama bagi dia harapan palsu nanti. Syafiq tak suka," bantah Syafiq.

"Kamu sukakan Ameliakah? Amelia itu bukankah sudah ada pilihan sendiri? Syafiq terima sajalah Deena, Syafiq bukannya muda lagi. Sudah 38 tahun, bila mama boleh dapat cucu?" tanya Puan Rasyida bagi memujuk Syafiq.

"Mama, bukankah mama sudah ada dua orang cucu? Dah nak masuk tiga dah. Belajar bersyukur sikit, mama. Amelia itu ada masalah lain, mama. Itu bukan dirinya yang sebenar."

"Masalah apa, Syafiq?"

"Terkena sihir, mama."

"Apa dia? Sihir?" tanya Puan Rasyida, terkejut.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, February 20, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 7

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6

*****

"Rancangan apa, sir?" tanya Dora, ingin tahu.

"Kalau cerita sekarang, saya kena cerita sekali lagi pada mak ayah Diyana. Kita cerita sekali jalan sajalah," jawab Syafiq.

"Yalah, hari apa kita nak jumpa mak ayah Amy?" tanya Dora lagi.

"Secepat mungkin, sebab kita tak tahu bila mereka nak bernikah."

"Tentang itu, saya akan cuba tanya Amy nanti. Kalau sir nak cuba tanya pun boleh. Apa-apa kita mesej di Whatsapp saja," cadang Dora.

Syafiq hanya mengangguk setuju. Baginya, dia harus menghalang Amelia daripada terus memusnahkan hidupnya.

     *     *     *     *     *

Zaidah sedang menonton televisyen di ruang tamu apabila Dora pulang. Melihat Zaidah, dengan pantas dia mendekati Zaidah.

"Amy sudah pulangkah?" tanya Dora.

"Belum, dia keluar dengan Azamlah itu. Semalam pun dia pulang pukul 1 pagi," jawab Zaidah, selamba.

"Kau tak rasa pelikkah? Dulu dengan Wan pun dia tak balik selewat itu," ujar Dora, risau.

"Dora, Amy itu sudah 28 tahun. Bukannya budak-budak lagi. Tahulah dia jaga diri. Aku kenal Azam itu, dia takkan apa-apakan Amy punya!"

"Tapi masalahnya, dia sudahpun mengapa-apakan Amy!" jerit Dora dalam hati.

Tak semena-mena, kedengaran bunyi pintu dibuka membuatkan keduanya memandang ke arah pintu. Kelihatan Amelia baru sahaja masuk ke dalam rumah.

Amelia yang baru saja mengunci pintu rumahnya mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi seseorang.

"Sayang, saya dah kunci pintu rumah. I miss you, sayang," ujar Amelia sambil mencebik sebelum berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya.

Dora tidak dapat menerima apa yang dilihatnya. Dia mengharapkan Zaidah perasan apa yang dia cuba sampaikan. Malah, dia dapat melihat Amelia seperti orang yang sudah tiada jiwa. Sama seperti apa yang dilihat oleh Syafiq petang tadi.

"Orang baru bercinta memang begini, kalau boleh 24 jam nak berkepit. Romantiknya!" ujar Zaidah, teruja dengan perubahan drastik Amelia.

Dora hanya mampu menggelengkan kepalanya mendengar kata-kata Zaidah. Baginya, tak sesuai untuk menceritakan segalanya kepada Zaidah. Azam itu rakan baik Zaidah, pastinya Zaidah takkan percayakannya. Hanya Syafiq sahaja yang dia perlukan sekarang.

Sedang dia mengelamun, ada notifikasi Whatsapp di telefon bimbitnya. Dora menerima sebuah mesej dari Syafiq yang berbunyi.

Saya sudah refer pada seorang ustaz. Biasanya dalam kes begini, mangsa takkan beritahu sesiapapun bahawa dia akan bernikah. Jadi, saya dah hantar orang untuk mengawasi dan mengekori Diyana. Apa-apa hal, keep me updated.

Dengan pantas, Dora menjawab:

Noted, sir. Thank you for your help. Hanya sir yang saya boleh harapkan.

Tak lama selepas itu, Syafiq menghantar sebuah lagi mesej berbunyi:

Jangan risau, saya akan buat apa saja untuk melindungi Diyana termasuklah menggadaikan nyawa saya. Tentang kerjanya, saya akan cutikan dia nanti. Awak jangan risau, kita akan selesaikan semua ini bersama-sama.

Merasakan tidak perlu untuk menjawab mesej terakhir Syafiq, Dora menyimpan telefon bimbitnya di dalam poket seluarnya sebelum meninggalkan Zaidah sendiri untuk masuk ke dalam biliknya.

     *     *      *      *      *

Hari itu, Amelia masuk pejabat tetapi tidak mampu membuat apa-apa kerjapun. Akal fikirannya hanya dipenuhi dengan Azam dan segalanya yang dilakukan bersama lelaki itu.

Perubahan Amelia itu disedari oleh rakan-rakan sekerja dan pengurus bahagiannya. Mereka semua hairan kerana Amelia tidak begini sepanjang setahun dia bekerja di syarikat itu.

Semasa rakan-rakan sekerjanya berbincang tentang ini, Syafiq kebetulan sedang melintasi bahagian pemasaran dan menyedari kehadiran Amelia di pejabat. Tanpa berlengah, dia mendekati rakan-rakan sekerja Amelia.

"Kenapa ini?" tanya Syafiq, ingin tahu.

Melihat kehadiran Syafiq, semua pekerja bahagian pemasaran mulai resah kerana mereka semua tahu Amelia rapat dengan Syafiq.

"Tak ada apa tuan, cuma kami semua hairan dengan Amelia. Jasadnya di sini tapi akal fikirannya macam tiada di sini," ujar Emily, pengurus bahagian pemasaran.

"Saya tahu, semalam saya sudah dimaklumkan tentang ini oleh rakan serumah Amelia. Saya baru sahaja nak panggil awak, Emily. Saya ingat saya nak luluskan cuti kecemasan untuk Amelia sementara saya berbincang dengan ibu bapanya tentang perkara ini."

"Dia sakitkah, tuan?" tanya Izmir, salah seorang eksekutif pemasaran syarikat.

"Ya, dia sakit tapi bukan sakit nyata. Sakit tak nampak," jawab Syafiq.

"Dia kena sihir?" tanya Juwita, pembantu pemasaran.

Syafiq hanya mengangguk. Melihat reaksi Syafiq itu, semua yang berada di situ terkejut besar.

"Cuma, saya harap hal ini tak keluar dari bahagian ini. Kalau saya dapat tahu ada pekerja lain yang tahu tentang ini, awak semua saya cari dulu. Kalau ada sesiapa bertanya tentang ini, kata pada mereka awak semua tak tahu. Faham?" arah Syafiq, tegas.

Semuanya mengangguk faham. Melihat reaksi semuanya, Syafiq menarik nafas lega.

"Oh ya, kalau ada apa-apa masalah dengan Amelia, kamu semua terus maklumkan pada saya," ujar Syafiq sebelum beredar menuju ke arah Amelia.

"Diyana, minggu depan awak ikut saya kerja di luar. Ada projek baru di Pulau Pinang," ujar Syafiq, helah agar dia boleh mengetahui bilakah Amelia hendak bernikah.

Namun, tiada reaksi yang diberikan Amelia membuatkan dia menyentuh bahu Amelia.

Tindakannya membuatkan Amelia terkejut lalu memandangnya hairan.

"Awak ikut saya ke Pulau Pinang minggu depan? Kerja luar," tanya Syafiq, lagi.

"Tak boleh, tuan. Saya nak cuti minggu depan. Seminggu penuh," jawab Amelia sambil tersenyum.

Dengan jawapan Amelia itu, tahulah Syafiq bahawa Azam dan Amelia merancang untuk bernikah minggu depan. Jadi, dia harus bertemu ibu bapa Amelia esok atau lusa.

"Tak apalah kalau begitu, saya bawa orang lainlah. Terima kasih, Diyana," jawab Syafiq sebelum beredar dari bahagian pemasaran.

Selepas itu, Syafiq terus menuju ke bahagian sumber manusia untuk menguruskan hal cuti kecemasan Amelia.

     *     *     *     *     *

"Ada apa Dora datang ke rumah makcik dengan pakcik ini? Kenapa Lia tak ikut sekali?" tanya Puan Kursiah, ibu kepada Amelia setelah menghidangkan air kopi kepada Dora dan Syafiq.

"Saya datang inipun sebab Lialah, pakcik, makcik. Saya tak nak ada apa-apa masalah akan datang," jelas Dora, resah.

"Apa masalahnya, Dora? Oh ya, lelaki ini siapa pula?" tanya Encik Ruslan, bapa Amelia.

"Ini Syafiq, bekas pensyarah kami. Sekarang, dia adalah pengarah syarikat tempat Lia bekerja," terang Dora.

"Pengarah syarikat datang ke rumah pekerja? Ini bukan hal biasa. Apa masalahnya, Dora, Encik Syafiq?" tanya Encik Ruslan.

"Tak payah berencik-encik dengan saya, pakcik, makcik. Panggil saya Syafiq. Begini, saya dan Dora merasakan Amelia telah terkena minyak pengasih," jelas Syafiq.

"Betulkah, Dora?" tanya Encik Ruslan.

Dora hanya mengangguk bagi mengiyakan kenyataan Syafiq.

"Dia sudah seminggu terkena ubat guna-guna itu, pakcik, makcik. Dia sudah tak serupa orang lagi dah. 24 jam kalau boleh nak berkepit dengan lelaki itu. Minggu depan mereka merancang untuk kahwin lari," jelas Dora.

Kata-kata Dora telah mengejutkan Encik Ruslan dan Puan Kursiah. Encik Ruslan mula mengurut-urutkan dadanya.

"Pakcik, boleh saya tanya sesuatu?" tanya Syafiq.

"Apa dia, Syafiq?" tanya Encik Ruslan.

"Benarkah keluarga pakcik ada penjaga?" tanya Syafiq, ingin tahu.

"Apa yang kamu dengar?" tanya Encik Ruslan.

"Amelia pernah berkata kepada Dora yang dia takut hendak bernikah. Bimbang boleh menggadaikan nyawa suaminya," jelas Syafiq.

"Ish, budak bertuah ini! Percayalah dia bulat-bulat cakap bomoh itu!" Encik Ruslan meninggikan suaranya.

"Jadi, tak betul?" tanya Syafiq.

"Bukannya tak betul, cuma tak tepat. Nenek moyang pakcik memang ada mengamalkan ilmu tasawwuf dulu dan dia ada penjaga. Penjaga ini telah diturunkan dari satu peringkat ke peringkat. Akan tetapi, janjinya selepas 100 tahun, dia hanya akan berhenti berkhidmat selepas salah seorang daripada ahli keturunan tuannya bernikah dengan seorang lelaki yang lahir pada 15 Safar. Itu saja, tak ada tambahan lain. Cuma, ada makcik dia yang pergi berjumpa dengan bomoh selepas dua orang anaknya kehilangan pasangan dan anak secara berturut-turut. Bomoh itu menyalahkan penjaga tersebut atas kematian menantu dan cucu makciknya itu," jelas Encik Ruslan, panjang lebar.

Melopong Dora dan Syafiq mendengar penjelasan Encik Ruslan itu. Rupanya maklumatnya tidak lengkap dan ditokok tambah.

"Kalau begitu, saya ada rancangan untuk selesaikan hal Amelia," ujar Syafiq sambil tersenyum.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, February 19, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 6

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5

*****

"Amy, kau tak pergi kerjakah hari ini?" tanya Dora sebaik sahaja dia keluar bilik dan mendapati Amelia sedang duduk di atas sofa.

Pada awalnya, dia sangkakan dia tersalah hari tetapi dia yakin hari ini adalah hari Isnin. Jadi, Amelia sepatutnya pergi bekerja hari ini.

Dora melihat jam di dinding. Jam menunjukkan tepat pukul 10 pagi. Perasaan hairan mula menyelubungi sanubari Dora.

"Tak, malaslah. Sekejap lagi aku nak pergi dating. Tak sabarnya!" jawab Amelia dengan tona sangat teruja.

"Kau bercinta? Dengan siapa? Kenapa aku tak tahu hal ini?" tanya Dora bertubi-tubi. Dia masih teringat baru sahaja 3 hari lepas rakan baiknya itu menangis akibat terpaksa memendam perasaan. Alih-alih sudah berpunya pula?

"Azam sayang akulah. Kawan Zai yang bertahun-tahun dia cuba kenalkan itu. Menyesal aku tak setuju tiga tahun lepas, kalau tak mesti aku dah berkahwin dengan dia kan?" jawab Amelia, menyeringai.

"Azam? Mudahnya dia berubah hati? Apa yang tak kena ini?" fikir Dora.

"Kau ada teman lelaki, kau tak ceritapun dengan aku! Sudah berapa hari kau bercinta dengan dia?" tanya Dora, cuba mencari titik pertemuan tanda tanya dalam fikirannya.

"Sudah 28 jam, 15 minit, 29 saat aku jadi girlfriend dia. Tengok ini, aku siap dah ada cincin couple lagi. Cantik tak?" ujar Amelia sambil menayang cincin di jari manisnya.

"Cantik. Tak apalah kalau begitu, semoga kau bahagia. Aku nak pergi buat sarapan dulu," jawab Dora lalu menuju ke dapur.

Sepanjang dia berada di dapur, dia dapat mendengar beberapa kali telefon bimbit Amelia berbunyi tetapi tidak dijawab. Hanya panggilan telefon Azam sahaja yang dijawab berpandukan daripada ayat-ayat yang dituturkan oleh Amelia sepanjang percakapannya.

Tiba-tiba, Dora perasan Amelia berjalan menuju ke arah tandas yang terletak di dapur membuatkan Dora berlari menuju ke arah ruang tamu di mana letaknya telefon bimbit Amelia.

Dora cuba membuka kunci telefon bimbit Amelia, tetapi kod aksesnya telah ditukar. Pasti ianya berkaitan dengan Azam. Akan tetapi, nasibnya baik kerana ada seseorang yang menghubunginya menggunakan nombor landline. Jadi, dengan pantas Dora menaip nombor telefon tersebut lalu menghubungi semula nombor itu selepas deringan pada telefon bimbit Amelia berhenti.

Bagi mengelakkan syak wasangka, Dora memilih untuk mendail nombor yang disalinnya tadi di luar rumah mereka.

"Hello, Teraju Emas Sdn. Bhd. How may I assist you?" kedengaran suara operator di hujung talian membuatkan Dora mengetahui bahawa ianya merupakan nombor telefon pejabat Amelia.

"Hai, boleh sambungkan saya kepada Encik Raja Mohamad Syafiq. Katakan padanya Dora Elina ingin bercakap. Hal mustahak," jawab Dora.

"Sebentar ya, cik Dora."

Kedengaran lagu bergema di hujung talian selama lebih kurang dua minit sebelum ianya berhenti.

"Assalamualaikum, Dora. Ini saya Raja Mohamad Syafiq bercakap," ujar Syafiq di hujung talian.

Mendengar suara Syafiq, Dora menarik nafas lega.

"Waalaikumussalam, sir. Saya terpaksa menghubungi sir kerana saya harus memaklumkan sesuatu berkenaan Amelia," terang Dora.

"Tak payahlah awak panggil saya sir, saya bukannya pensyarah awak lagi sekarang. Panggil saya Syafiq saja. Kenapa dengan Amelia? Dia tak masuk kerja hari ini bukan? Dia sakitkah?" tanya Syafiq, bertubi-tubi.

"Tak boleh sir, rasa awkward panggil nama saja. Begini, sir. Saya rasa Amelia ini sakit buatan manusialah. Macam kena guna-guna pun ada," jawab Dora, resah.

"Apa dia? Awak biar betul! Kenapa awak cakap begitu?" tanya Syafiq, terkejut.

"Susah untuk saya jelaskan dalam telefon. Apa kata kita berjumpa di luar? Saya cuti hari ini, saya rasa macam nak intip Amelia. Sir ikut sekali, mungkin sir akan faham. Sir ambil nombor telefon saya, apa-apa kita berhubung dalam Whatsapp," jawab Dora sebelum memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Syafiq.

"Baiklah, kita jumpa lagi sejam. Apa-apa awak maklumkan kepada saya ya? Terima kasih Dora. Assalamualaikum," ujar Syafiq.

"Waalaikumussalam," jawab Dora sebelum memutuskan talian.

"Ya Allah, semoga Kau permudahkan jalanku untuk selesaikan semua ini," doa Dora dalam hati.

      *     *      *      *      *

"Sayang, hari ini kita pergi kedai emas nak tak?" tanya Azam, tiba-tiba.

Azam dapat melihat Amelia hanya memandang ke arahnya dengan wajah yang menyeringai. Hebat penangan ilmu ini, sekali jalan saja terus tumpas.

"Kedai emas? Saya tak kisah, awak nak ke hujung dunia pun saya ikut asalkan dapat bersama dengan awak," jawab Amelia yang masih lagi memandang Azam tanpa jemu.

Azam tersenyum riang. Rancangan untuk memiliki Amelia pasti akan berjaya tak lama lagi.

Tak lama selepas itu, mereka pun tiba di hadapan sebuah kedai emas. Sebelum mereka keluar dari kereta, Azam telah bertindak mencalit minyak lagi di bahu Amelia bagi menguatkan lagi rancangannya.

Setelah selesai, mereka berdua keluar menuju ke arah kedai emas. Azam berjalan seiringan Amelia di mana Amelia sentiasa memegang tangan Azam tanpa mahu lepas.

Sepanjang mereka di kedai emas, Azam telah berjaya memilih cincin-cincin yang ingin dia gunakan untuk perkahwinan mereka dan cincin-cincin tersebut dibayar sepenuhnya oleh Amelia. Melihat keadaan itu, Azam tersenyum puas. Amelia telah dapat ditawan sekali dengan harta bendanya.

Namun, Azam sama sekali tidak menyedari bahawasanya tindak-tanduknya bersama Amelia diperhatikan oleh dua orang, Dora dan Syafiq.

Selepas selesai urusan mereka di kedai emas, Azam membawa Amelia ke butik pakaian pula bagi memilih pakaian yang hendak dipakai ketika hari pernikahan mereka berdua nanti. Sekali lagi, Azam berjaya membuatkan Amelia membayar segalanya.

"Sayang, kita nak beli semua ini untuk apa?" tanya Amelia setelah keluar dari butik, hairan dengan tindakan Azam membeli cincin dan pakaian baru. Tambahan pula, pakaian tersebut merupakan sepasang baju kurung dan baju melayu berwarna sedondon.

"Kita nak pakai untuk hari nikah kitalah. Sayang suka tak?" tanya Azam setelah menjawab soalan Amelia.

"Suka! Bila kita nak nikah? Esok ke?" tanya Amelia, teruja.

"Ish, bukan esoklah! Minggu depan, sayang. Awak kena minta cuti dulu bukan?" jawab Azam sambil memegang pipi Amelia.

"Ala, saya tak boleh nak fokus kerjalah. Saya berhenti kerja sajalah, alang-alang kita sudah nak bernikah. Nanti saya duduk di rumah, jaga awak saja."

"Janganlah berhenti kerja dulu, nanti bila saya suruh baru pergi kerja. Buat masa ini, awak pergi kerja dulu ya?" pujuk Azam.

Amelia tidak membantah, sebaliknya hanya mengangguk sambil tersenyum. Semakin puas hati Azam melihat Amelia yang sudahpun menjadi seperti lembu dicucuk hidung di hadapannya.

     *     *     *      *     *

"Panasnya hati saya tengok Azam ini! Semua benda dia buat Amy bayarkan! Lelaki tak guna!" ngomel Dora sambil melayangkan penumbuknya di udara.

"Saya tengok Diyana macam sudah hilang jiwa. Azam depan matanya, tetapi gayanya seperti orang angau. Tengok gayanya, betullah macam yang awak syak. Terkena minyak atau jampi pengasih ini," ujar Syafiq sambil mengacau air kopinya.

"Habis itu, macam mana ini sir? Nak beritahu mak ayah Amy tak?" tanya Dora.

"Kita memang kena beritahu mak ayahnya, tapi kita tak boleh bertindak sekarang. Kalau melihat daripada kedai-kedai yang dibawa Azam tadi, nampak gayanya mereka nak bernikah."

"Bernikah? Nak kahwin lari?" tanya Dora, inginkan kepastian.

"Boleh jadi," jawab Syafiq.

"Masalahnya sir, Amy kata dia tak boleh bernikah. Keluarganya ada masalah lain," terang Dora.

"Masalah apa?" tanya Syafiq, hairan.

"Keluarga mereka tak boleh ada orang baru, ada kemungkinan nyawa orang baru itu boleh melayang kalau baru berkahwin atau melahirkan," jelas Dora.

"Apa dia? Awak biar betul?" tanya Syafiq, tak percaya.

"Betul, sir. Saya tak tipu. Sudah ramai yang terkorban. Katanya, ilmu nenek moyang makan tuan. Senang ceritalah," jawab Dora lagi.

"Kalau begitu, kita kena jumpa mak ayah Diyana. Saya ada rancangan tetapi saya perlukan kerjasama mak ayahnya," ujar Syafiq.

"Rancangan apa, sir?" tanya Dora, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 5

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4

*****

"Apa dia?" tanya Amelia, terkejut dengan jawapan yang didengarinya.

"Saya berhenti kerja sebab saya tak nak suatu hari nanti perasaan saya pada awak terbongkar, awak akan tanggung akibatnya. Saya mengajar awak, mungkin perasaan saya akan jejaskan gred awak suatu hari nanti. Itu apa yang saya fikirkan," jelas Syafiq.

"Bukankah menjadi pensyarah itu cita-cita tuan? Kenapa korbankan untuk pelajar biasa seperti saya?"

"Bagi orang lain, awak pelajar biasa tetapi tidak bagi saya. Sekiranya saya tak buat keputusan ini, mungkin awak takkan berada di sini sekarang. Saya boleh memohon kerja sebagai pensyarah semula jika saya mahukan, tetapi awak takkan boleh menjadi pelajar semula sekiranya nama baik awak tercemar kerana perasaan saya. Faham tak?"

Penjelasan Syafiq itu membuatkan Amelia terkelu. Sebegini besar pengorbanan lelaki ini buatnya, tetapi sayang tidak mampu dibalasnya.

     *     *     *     *     *

Deena sedang melayari aplikasi Facebook apabila ada panggilan masuk. Skrin yang tertera "Makcik Syida" membuatkan dia menjawab panggilan itu tanpa berlengah.

"Assalamualaikum, makcik. Ada apa ya?" tanya Deena, lemah.

"Waalaikumussalam, Deena. Makcik nak tanya, kenapa Deena tak dapat majlis makan malam syarikat keluarga makcik tadi? Syafiq tak beritahukah?" tanya Puan Rasyida, di hujung talian.

"Syafiq tak beritahu makcik?" tanya Deena, hairan.

"Beritahu apa?"

"Syafiq minta putus siang tadi. Takkan Deena nak buat muka tembok pula makcik datang majlis malam tadi? Nanti kalau Syafiq halau Deena, malulah Deena!"

"Jadi, betullah Syafiq minta putus? Budak bertuah ini! Patutlah dia bawa perempuan lain datang ke majlis tadi, katanya pekerja bawahannya tapi makcik tak rasa begitu," jelas Puan Rasyida.

Jawapan Puan Rasyida membuatkan Deena terkesima. Syafiq bawa perempuan lain ke majlis tadi? Siapa pula ini?

"Sampai hati Syafiq buat Deena begini, makcik! Apa salah Deena sampaikan Syafiq begitu mudah mencari ganti Deena?" tanya Deena, sebak.

"Makcik minta maaf bagi pihak Syafiq, Deena. Makcik pun tak sangka perkara akan jadi begini."

"Mudahlah makcik berkata, yang sakitnya Deena, makcik! Tiga tahun Syafiq berikan harapan pada Deena, makcik. Kenapa Syafiq buat Deena begini, makcik?"

"Bagi makcik ruang untuk cari jawapannya, nanti apa-apa makcik beritahu Deena ya? Assalamualaikum," jawab Puan Rasyida di hujung talian sebelum mematikan panggilan.

"Waalaikumussalam," jawab Deena sebelum bertindak membaling telefon bimbitnya ke atas katil sebelum menjerit sekuat hatinya.

"Kau memang nak kena, Syafiq! Aku akan pastikan kau takkan bahagia! Aku akan cari betina yang buat kau tinggalkan aku! Siap betina itu aku kerjakan!" jerit Deena seperti orang gila. Sakit hatinya apabila perasaannya dipermainkan sebegitu.

     *     *     *     *     *

Lama Amelia termenung di meja makan sehinggakan dia tidak menyedari kepulangan Dora dari tempat kerja. Dora yang melihat rakan baiknya begitu memilih untuk mendekatinya.

"Apa yang kau menungkan sampai begitu sekali?" tanya Dora sebaik sahaja dia duduk bertentangan dengan Amelia.

Dora dapat melihat Amelia terkejut dengan kehadirannya, namun dia membiarkan saja rakannya itu kembali ke alam nyata terlebih dahulu.

"Tak ada apalah. Lambat kau balik hari ini, kena overtime ya?" tanya Amelia pula.

"Yalah, sampai jam 12 tengah malam tadi. Kau itu, kenapa tak tidur lagi? Tahulah esok tak kerja. Zai mana?" tanya Dora pula selepas menjawab soalan Amelia tadi.

"Zai kalau hari Jumaat mana lagi, dating dengan Zainilah. Tengok wayang agaknya. Dora..."

"Ya?" jawab Dora, sedikit hairan.

"Kau tahu bukan ada perkara yang aku lebih senang berkongsi dengan kau?"

"Aku tahu dan apa yang kau kongsi dengan aku belum pernah sampai ke telinga Zai lagi. Jangan risaulah," jawab Dora sambil memegang tangan Amelia.

Amelia menyambut tangan Dora bagi menghilangkan keresahannya. Dora tahu ada sesuatu yang tak kena dengan Amelia.

"Aku sebenarnya ada orang yang aku sayang, sejak tiga tahun lepas lagi."

"Sir Syafiq?"

"Macam mana kau tahu?" tanya Amelia, terkejut dengan soalan yang diajukan oleh Dora.

"Aku dah lama tahu, cuma aku fikir mungkin kau belum sedar atau kau tak bersedia nak kongsi dengan aku. Jadi, aku diamkan saja."

"Kau tahu bukan masalah keluarga aku? Jadi, bagaimana aku nak zahirkan perasaan aku walaupun aku tahu ianya berbalas?"

"Aku faham dan aku tak salahkan kau pun.  Kau ada sebab kau yang kau seorang saja faham. Cumanya, kenapa tiba-tiba kau sebut tentang sir? Bukankah selepas dia kena reject dulu, dia terus berhenti kerja?"

"Itulah masalahnya," jawab Amelia dengan air mata yang mula berlinang.

Melihat air mata Amelia, Dora kaget. Sudah lama dia tidak melihat rakan baiknya itu menangis. Sudah lebih tiga tahun wanita itu tidak menangis di hadapannya.

"Kenapa ini?"

"Aku dapat tahu dia berhenti kerja sebab aku," jawab Amelia sebelum dia bertindak menangis lebih kuat.

Dora terkesima seketika. Mana pula Amelia ini tahu bahawasanya bekas pensyarah mereka itu berhenti kerja kerananya?

"Kau jumpa dia?" tanya Dora.

Amelia hanya mengangguk. Tangisannya masih kedengaran.

"Okay, pada aku itu hak dia dan apapun sebabnya, itu pilihan yang dia dah buat. Mungkin baginya, masa depan kau lebih utama sebab dia sayangkan kau."

Jawapan Dora membuatkan Amelia berhenti menangis. Dora dapat melihat Amelia mengesat air matanya.

"Kenapa aku tak boleh nak pilih dia? Kenapa Dora? Kenapa hidup aku kena begini?"

"Habis itu kau nak buat apa?"

"Apa lagi aku boleh buat? Aku akan bertemu dengan dia selalu, kami sepejabat. Aku kena berpura-pura tiada perasaan terhadapnya. Itu saja yang aku mampu lakukan," jawab Amelia lalu mengeluh.

"Apa dia? Kau sepejabat dengan dia? Dia baru masuk kerjakah?"

"Taklah, itu syarikat keluarganya. Cuma, aku baru saja tahu kewujudannya di situ. Bos aku kata, dia memang jarang masuk pejabat sebab dia lebih banyak urusan di luar. Kalau masuk sekalipun, sama ada awal pagi atau selepas waktu kerja. Manalah aku nak perasan, lagipun kerja akupun banyaknya di luar pejabat juga."

"Betul juga. Aku pun tak terfikir. Dia bekerja sebagai apa di sana?"

"Pengarah Komersial."

"Hebatnya! Untunglah dia, anak orang berada. Kau tengoklah Zai, contoh mithali anak orang berada. Langsung tak kerja, tahunya berjoli dengan buah hati."

"Sudah nasib badan kita ini lahiriah orang susah, hadap sajalah. Aku kerja eksekutif pemasaran, kau pula eksekutif khidmat pelanggan. Nama saja serumah, payah nak berjumpa sekarang kan?" jawab Amelia lalu ketawa.

Mendengar jawapan Amelia, Dora juga ikut ketawa. Lega hatinya apabila Amelia sudah kembali tenang. Harapannya agar suatu hari nanti, rakan baiknya sempat meluahkan perasaannya kepada bekas pensyarah mereka itu.

     *      *      *      *     *

"Lama lagikah aku nak kena tunggu ini, Zai? Lambatnya kawan kau ini!" ngomel Amelia setelah menghabiskan secawan teh tarik.

"Sabarlah sekejap. Zaini kata tadi mereka dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah itu," jawab Zaidah yang sedang melayari aplikasi Instagram di telefon bimbitnya.

Tidak lama kemudian, muncul dua orang lelaki di hadapan mereka berdua. Salah seorang daripadanya merupakan Ruzaini dan seorang lagi merupakan Azam. Ini merupakan pertemuan pertama Azam dan Amelia.

"Amy, kenalkan. Ini senior kita, Azam. Azam, inilah Amy yang kau minat sangat dulu. Jenuh aku nak temukan kau orang berdua," ujar Zaidah sambil tersenyum.

Amelia memilih untuk senyun sahaja memandangkan dia masih belum mesra dengan Azam. Entah mengapa sejak ketibaan Azam, hatinya rasa resah bagai ada yang tak kena.

"Amy, aku dengan Zaini kena pergi ini. Aku dah tempah tiket wayang pukul 9. Kau orang spend time together ya? Azam, kau jaga kawan aku elok-elok. Kalau tak, nahas kau!" ujar Zaidah sebelum dia dan Ruzaini bangun meninggalkan mereka berdua.

Amelia memandang Azam, orang tinggi dan sedikit berisi. Wajahnya tampak macho mungkin kerana wajahnya lebih matang. Akan tetapi, ada sesuatu pada Azam yang tidak digemari Amelia. Dia tahu Azam memandangnya dengan pandangan yang sangat tajam. Seolah-olah mahu menelannya.

"Awak selesakah nak lepak di sini? Atau awak nak tempat lain?" tanya Azam.

"Tak apa, kita makan di sini saja. Lain kali kita pergi tempat lain," jawab Amelia, ringkas.

"Awak datang sini naik apa?" tanya Azam.

"Saya datang sini naik kereta Zaidah. Alamak, dia mesti pandu kereta dia bukan?"

"Tak apa, Amy. Zaini tadi datang naik kereta saya. Jadi, saya hantar awak balik nanti."

"Tak apakah? Susahkan awak saja, saya boleh pesan Grab."

"Tak payahlah buang duit pesan Grab. Saya hantar awak balik."

Meskipun Amelia berasa kurang selesa, namun disebabkan Azam berkeras, dia akhirnya bersetuju untuk membenarkan Azam menghantarnya pulang tanpa mengetahui itulah permulaan rentetan kisah tragisnya.

*BERSAMBUNG*

Monday, February 18, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 4

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3

*****

"Sir Syafiq?" tanya Amelia, terkejut.

"Ya, saya. Cuma, saya bukan pensyarah awak lagi, saya bos kepada bos awak. Jadi, panggil saya tuan. Kat sini, semua orang panggil saya tuan sebab majoriti pengarah syarikat adalah keluarga saya."

"Oh ya, betul. Maafkan saya, tuan. Betul ke tuan dah maafkan saya?" tanya Amelia, inginkan kepastian atas apa yang didengarinya.

"Saya maafkan awak tapi saya ada satu permintaan," jawab Syafiq.

"Apa dia, tuan? Saya sanggup buat apa saja kalau tuan maafkan saya."

"Hati-hati dengan apa yang awak kata, Diyana. Saya suruh awak jadi isteri saya nanti, baru padan muka."

"Tuan masih ada hati pada saya lagikah? Macam tak percaya saja, tuan mesti bertemu dengan ramai anak-anak kerabat, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, takkan seorang pun tuan tak terpikat?"

"Tak."

"Kenapa?"

"Sebab mereka bukan awak."

Syafiq dapat melihat Amelia menelan air liur mendengar jawapan Syafiq itu.

"Saya tak bermaksud apa-apa, itu satu pujian saja. Awak ini, suka fikir bukan-bukan!" seloroh Syafiq sambil tertawa.

"Saya risau kalau-kalau tuan masih ada perasaan pada saya."

"Hati saya bukan masalah awak sekarang. Saya cuma nak awak jadi teman saya untuk majlis malam ini boleh?" tanya Syafiq.

"Teman tuan? Tak apakah?"

"Tak apa, sebab saya baru sahaja minta putus dengan teman asal saya tadi. Jadi, saya tak nak dia jadi teman saya malam ini. Nanti jadi awkward, awak faham bukan?" jelas Syafiq sambil tersenyum manis.

"Saya boleh saja jadi teman tuan, tapi baju yang saya pilih untuk ke majlis malam ni baju murah saja, mana padan dengan baju tuan nanti."

"Itu yang awak risaukan?" tanya Syafiq sambil tertawa.

Amelia hanya mengangguk. Melihat respon Amelia, semakin kuat tawa Syafiq.

"Tentang pakaian awak malam ini, jangan risau. Apa yang awak pakai dari hujung rambut sampai hujung kaki malam ini saya taja. Hari ini saya bagi pelepasan setengah hari bukan? Pukul 1 petang nanti, awak tunggu saya di lobi."

"Baiklah kalau begitu. Ada apa-apa lagikah tuan?"

"Tak ada apa-apa. Awak boleh sambung kerja awak," jawab Syafiq.

"Terima kasih, tuan."

Amelia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya tadi lalu berjalan keluar dari bilik Syafiq. Syafiq hanya memerhatikan pemergian Amelia sambil tersenyum.

     *     *     *     *     *

"Macam mana Zai? Dapat pujuk Amy tak?" tanya Azam selepas selesai menghirup air teh O ais yang dipesannya.

"Dapat, tapi buat masa ini dia masih sibuk lagi. Nanti bila dia dah lapang sikit, dia beritahu aku balik. Kau tahulah, kerja bahagian pemasaran ini bukannya mudah nak cari masa. Pagi petang siang malam kena kerja, mujurlah boleh claim OT tau?" jawab Zaidah yang sedang mengasingkan cili api daripada nasi gorengnya. Bukannya dia tak sukakan kepedasan, namun dia tidak lagi boleh makan cili api selepas pembedahan pembuangan apendiks yang dijalaninya tahun lepas.

"Legalah aku dengar. Aku bukan apa, aku tak nak orang lain rembat Amy sebelum aku cuba nasib. Aku dah lama sukakan dia. Kau ini Zai, dah tahu tak boleh makan cili api, kenapa kau pergi pesan nasi goreng kampung?"

"Aku tak boleh hiduplah tanpa cili dalam hidup aku, Zam. Cili api dengan aku dah sebati bersama. Sedih tau aku bila dapat tahu aku dah tak boleh makan cili api lagi," jawab Zaidah sambil menayangkan wajah sedihnya.

"Banyaklah alasan kau. Nanti kalau dah sakit, kau ingat insurans pejabat kau boleh cover semua perbelanjaan ke?"

Mendengar jawapan Azam, Zaidah hanya menyeringai membuatkan Azam mulai geram dengan rakan baiknya itu.

"Oh ya, mana si Ruzaini pergi? Dia tak takutkah tinggalkan awek dia dengan aku ni?" tanya Azam tiba-tiba.

"Dia kata dia pergi beli rokok kat 7E depan sana. Agaknya hisap sebatang dululah itu. 3 meter kan sekarang," jawab Zaidah sambil tertawa.

"Nasib baiklah aku dah taubat merokok. Kalau tak, tinggal seoranglah kau makan kat sini."

Mendengar kenyataan Azam, keduanya tertawa. Tawa mereka membuatkan seorang lelaki yang baru saja tiba di meja mereka memandang mereka dengan perasaan hairan.

"Oh, kutuk akulah tu kan?" tanya Ruzaini, lelaki yang baru tiba dan memilih untuk duduk di sebelah Zaidah itu.

"Yalah, nak kutuk siapa lagi bro! Kau orang ini, aku rasa dah hampir sepuluh tahun kau orang berkawan, bila nak upgrade status ini?" tanya Azam setelah menjawab soalan Ruzaini tadi.

"In shaa Allah, Zam. Kalau ada jodoh, mesti aku panggil kau jadi pengapit aku. Kalau tak kerana awek aku ini, kita tak bertemu semula kan? Selepas kau masuk sekolah teknik, aku langsung tak dapat cari kau lagi."

"Itulah, aku pun tak tahu si Zai ini rupanya awek yang aku tolong kau ngoratkan dulu. Yalah, dulukan tak pakai tudung, sekarang dah ayu jelita, mana aku nak cam," jawab Azam sambil tertawa.

"Ewah, ewah, sakan kau orang mengata aku kan?" sampuk Zaidah sambil mencebik mukanya.

"Eh, makcik! Aku puji kau, kau kata aku mengata kau. Tak reti beza dah ke?" jelas Azam sambil tersenyum sinis.

Mendengar jawapan Azam, mereka bertiga pun tertawa.

     *     *     *     *     *

"Terima kasih sebab jadi teman saya malam ini. Terkejut ahli keluarga saya bila saya datang dengan awak, Diyana. Barangkali mereka ingat awak ini bakal isteri saya agaknya," ujar Syafiq sambil ke arah Amelia yang duduk di sebelahnya.

Syafiq dapat melihat keresahan Amelia. Dia sama sekali tidak menyangka kehadirannya bersama Amelia ke majlis anugerah tadi disambut baik ibu bapanya. Kedua mereka sepertinya amat menyukai Amelia. Bukan ibu bapanya sahaja, malah abang dan kakak iparnya juga amat menyenangi peribadi Amelia.

Dia tahu Amelia tak pernah punya perasaan terhadapnya. Dia cuma mahukan seseorang untuk menemaninya sebagai gantian Deena, tetapi niatnya disalah ertikan oleh keluarganya. Dia tak tahu apa yang keluarga katakan kepada Amelia sehinggakan wanita itu merasa terbeban begini.

"Saya minta maaf kalau ahli keluarga saya membuatkan awak tak selesa. Mereka memang peramah," jelas Syafiq.

"Tak, keluarga tuan baik sangat. Cuma, harapan mereka membuatkan saya berasa serba salah," jawab Amelia, akhirnya meluahkan keresahan jiwanya.

"Tak apa, saya akan jelaskan perkara sebenar pada mereka. Saya harap perkara takkan menjejaskan hubungan kita sebagai rakan sekerja."

"Jangan risau, tuan. Saya tahu tempat saya."

"Oh ya, apakah perasaan awak kali pertama menghadiri majlis makan malam? Siap dapat anugerah lagi! Tahniah Diyana, awak memang layak."

"Terima kasih, tuan. Majlis ini sangat meriah, seronok sangat. Kali pertama saya hadir, tapi meja saya kat depan sekali," seloroh Amelia.

"Itu sebagai ganjaran sebab bertahan dengan kerenah saya semasa saya mengajar awak dulu."

"Oh ya, boleh saya tanya kenapa tuan berhenti kerja dulu?" tanya Amelia, ingin tahu.

"Betulkah awak nak tahu?" tanya Syafiq, inginkan kepastian.

"Kalau saya tak nak tahu, saya tak tanya tuan."

"Tapi awak boleh terimakah jawapannya nanti? Saya lebih bimbangkan itu," jawab Syafiq, bersahaja.

"Kenapa pula?"

"Saya tak nak awak simpan apa-apa perasaan bersalah pada saya kalau saya beritahu jawapannya."

"Beritahu sajalah, tuan."

"Saya berhenti sebab awak."

"Apa dia?" tanya Amelia, terkejut dengan jawapan yang didengarinya.

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com