Friday, June 26, 2015

Rasa yang Sama Part 5...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Alhamdulillah, dua buah cerpen dah selamat disiapkan. Tinggal satu lagi. Haru-biru betul nak siapkan semuanya. Now, untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:

Nisa memandang pemilik suara di hadapannya. Ligat dia memikirkan bagaimana insan ini boleh berada di dalam bilik tidurnya. Namun, setelah puas berfikir, baru dia teringat mengapa.

     "Dah lama abang sampai? Maaf, Nisa tak sedar abang masuk tadi," sapa Nisa, lembut. Namun, ada getar pada suaranya.

     Melihat respon isterinya, Asyraf tersenyum. Adakah isterinya memang begini dengannya dulu? Alangkah ruginya dia tak ingat memori bersama isterinya.

     "Nak kata tak lama, lama juga. Cuma, abang baru masuk bilik Nisa sebab tadi mama Hajar suruh abang rasa lauk kegemaran abang yang mama masak. Sayang betul mama Hajar dengan abang," seloroh Asyraf dalam nakal.

      Mendengar jawapan suaminya, geram pula rasa hati Nisa. Dengan pantas, dia mencubit lengan Asyraf yang baru saja duduk disebelah Nisa. Jarak antara mereka yang sangat rapat membuatkan dengan mudah tangan Nisa melakukan kerja tersebut.

     "Aduh, sakit! Aduhai, Annisa Faiha! Nisa memang kuat mencubit ya?"

     "Abang saja yang rajin jadi mangsa cubitan Nisa. Orang lain tidak," jawab Nisa, selamba. Memang dia ingat, lelaki di sebelahnya saja yang rajin dicubitnya. Mana tidaknya, rajin sangat menyakatnya!

     "Ya ke? Seronoknya Nisa masih ingat bahagian itu, tak macam abang," ulas Asyraf. Nada suaranya mula mendatar tanda dia berasa iri hati dengan ingatan Nisa.

     "Sekurang-kurangnya abang ingat nama Nisa, tapi Nisa tak ingat nama abang," keluh Nisa.

     "Tak apa, abang boleh cerita. Nama abang, Asyraf Rasyid bin Halim. Anak kedua dari tiga adik-beradik. Oh ya, lauk kegemaran abang yang mama Hajar masak kat bawah tadi tu adalah..."

     "Gulai tempoyak ikan patin, yang itu Nisa tahulah. Nisa tak ingat beberapa perkara saja tentang abang, sebab Nisa masih ingat memori. Ingatan yang abang ada saja yang Nisa tak ada," sampuk Nisa sebelum sempat Asyraf menghabiskan ayatnya.

     Melihat respon Nisa, Asyraf terdiam. Dia memandang isterinya, isterinya sedang menguis kakinya pada permaidani yang mengalas kaki mereka berdua. Tiba-tiba, sesuatu menerjah ingatan Asyraf.

     *     *     *     *     *

"Nisa ni memang pantang jumpa karpet ya? Semua nak dikuis dengan kaki itu. Lama-lama botak karpet itu Nisa kuis," tanya Asyraf selepas dia melihat Nisa yang duduk disebelahnya asyik menguis kakinya pada permaidani yang baru dibelinya.

     "Ala, karpet ini sedaplah abang! Nisa tak tahan, nak kuis juga,"jawab Nisa, selamba.

     "Habislah abang, setiap tahun kena ganti karpet macam ini."

     "Tak payah, kita ubah saja kedudukan karpet ini. Sorokkan bahagian yang dah botak. Okay tak?" cadang Nisa sambil memeluk lengan Asyraf.

     Asyraf hanya tersenyum dan akhirnya...

     "Abang, okay ke tak ini?"pertanyaan Nisa menamatkan lamunannya. Tiba-tiba kepala Asyraf terasa sakit. Selama dia hilang ingatan, inilah kali pertama dia diserang sakit begini.

      Melihat tindakan Asyraf yang memegang kepalanya, Nisa tahu suaminya dapat mengingati sesuatu kerana dia juga mengalami simptom serupa setiap kali dia mengingati sesuatu. Dengan pantas, dia mencapai ubat penahan sakit di meja sisi katilnya lalu diserahkan kepada Asyraf.

     "Apa ni, Nisa?" tanya Asyraf kerana baginya, ubat itu masih lagi asing.

     "Ubat tahan sakit, untuk kurangkan sakit kepala abang itu. Makan lekas!" arah Nisa yang sedang menuang air ke dalam gelas. Biliknya memang tersedia gelas dan jag berisi air kerana ubat tahan sakit yang diambil sejak beberapa bulan yang lalu.

     Tanpa berlengah, Asyraf menelan ubat tersebut dan mengambil gelas berisi air yang disua oleh isterinya lalu meneguk air di dalam gelas itu. Tak lama kemudian, terasa sakit kepalanya semakin berkurangan.

     "Ini pertama kali ke abang teringat sesuatu?" tanya Nisa setelah melihat keadaan suaminya mulai lega.

     "Ya, ini pertama kali. Rasanya abang kena ambil preskripsi ubat tahan sakit pada doktor. Nisa selalu ke kena begini?"

     "Selalu, abang. Setiap kali Nisa teringat sesuatu yang baru, kepala Nisa akan sakit. Abang teringat apa tadi?"

     Jawapan Nisa membuatkan Asyraf terkesima. Dia mengeluh panjang.

     "Tadi Nisa kuis karpet itu kan? Abang teringat abang pernah tegur Nisa kuis karpet rumah kita. Eh, kita ada rumah sendiri ke?" tanya Asyraf.

     Mendengar soalan Asyraf, Nisa terpinga-pinga. Rumah? Ada ke? Kenapa dia kurang pasti tentang ini?

*bersambung*

Foot print: Lawak bila ada yang masih tak kenal aku macam mana. ;)

Monday, June 8, 2015

Kasih Tercipta Part 16 (Akhir)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Part ini sebenarnya dilakukan selepas selesai part 14 & 15. Sebelum idea kering, sambungkan sajalah. Jadi, untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

"Apa maksud kamu Ros? Bukan ke kamu mengandungkan anak abang?" tanya Datuk Shahrizal yang keliru dengan kenyataan isterinya.

"Memang betul, tapi anak itu dah meninggal sejak dilahirkan. Dia lemas akibat terbelit dengan urinya. Anak kita yang meninggal itu bukannya lelaki, tetapi perempuan."

"Habis itu, mana datangnya Rid ini ibu?" tanya Ridhuan pula, keliru.

"Ros tahu abang ada perempuan lain ketika itu dan perempuan itu mengandungkan anak abang. Dia datang jumpa Ros beritahu dan minta Ros pujuk abang supaya kahwini dia. Ros saja tak pernah buka cerita sebab Ros tahu abang akan apa-apakan dia kalau Ros minta abang kahwini dia, sebab dia seorang GRO bukan?"

"Jadi, Rid anak abah dengan GRO itu ke ibu?" tanya Ridhuan lagi.

"Ya, Rid. Sewaktu ibu melahirkan arwah kakak kamu itu, abah ada urusan kerja di Jepun, jadi dia tak dapat pulang serta-merta. Sehari selepas ibu bersalin, ibu dapat tahu yang dia juga telahpun bersalin dan lahirkan seorang anak lelaki."

"Habis itu, mana Heliza sekarang Ros? Macam mana anak Heliza boleh sampai pada Ros? Kenapa Ros tak pernah beritahu abang?"

"Adakah perkara akan berubah kalau Ros beritahu abang? Rid tetap anak abang dengan dia, Ros dah buat ujian DNA semasa mula-mula Ros terima Rid. Dia dah lama meninggal, semasa melahirkan Rid. Dia yang amanahkan orang untuk hantar Rid pada Ros untuk dibesarkan. Ternyata kehadiran Rid dapat mengisi kekosongan anak kita yang telahpun meninggal itu."

Terduduk Datuk Shahrizal mendengar pengakuan isterinya. Dia sangkakan dia cukup hebat, ternyata isterinya lebih hebat dalam mengatur strategi. Ridhuan pula masih terbungkam mendengar kebenaran tentang ibu kandungnya.

"Rid tetap darah daging Syaz, sedangkan Rid bukan darah daging ibu. Setiap kali Rid lukai Syaz, ibu sentiasa terfikir, kenapa ibu boleh besarkan Rid dengan sempurna sedangkan Rid adalah anak luar nikah suami ibu tapi Rid boleh aniaya adik kandung Rid sendiri?"

Ayat tersebut telah membuatkan Ridhuan tersentak. Namun, segalanya telah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur.

"Syaz mana, ibu?" tanya Rid, perlahan. Wajahnya nampak serabut sekali. Seolah-olah pelbagai perasaan bercantum dalam riak wajahnya.

"Rid nak apa lagi pada Syaz? Tak cukup ke Rid dera dia? Rid tahu tak, selama ini ibu lebihkan anak tiri ibu daripada anak kandung ibu sendiri? Rid tahu tak, betapa terseksanya hati ibu? Pernah tak Rid bayangkan apa perasaan ibu dan Arissa bila tengok keadaan Syaz lepas Rid seksa dia? Rid ini manusia jenis apa?" tanya Datin Rosnah lagi, kali ini suaranya mula meninggi.

Ridhuan tidak menjawab satupun soalan Datin Rosnah, hanya air mata yang menggantikan kata-kata yang tak mampu terungkap. Datuk Shahrizal terkesima mendengar soalan Datin Rosnah lalu bangun menghadap anak sulungnya.

"Rid buat apa pada Syaz? Jawab soalan abah ini, Muhammad Ridhuan!"

"Rid nak minta maaf, ibu, abah. Rid berdosa sangat pada semua orang. Betul kata Iz, Rid punca segalanya. Rid yang curi duit abah dulu, bukan Syaz. Rid seksa Syaz sejak hari itu sehingga dia alami kemurungan, dan Rid buat Syaz macam haiwan peliharaan sejak seminggu lepas," jawab Ridhuan dalam esak tangisnya.

Mendengar pengakuan Ridhuan, Datuk Shahrizal hilang akal lalu menampar Ridhuan.

"Anak tak guna!" jerit Datuk Shahrizal berkali-kali sambil menampar Ridhuan berulang kali.

"Abah, jangan pukul abang Rid lagi!" jerit Syazwan yang datang dari biliknya dan bertindak menarik tangan Datuk Shahrizal. Datuk Shahrizal berpaling menghadap Syazwan lalu memeluk anak keduanya sekuat hati. Syazwan yang menjerit kesakitan akibat luka di badannya dicengkam pelukan Datuk Shahrizal membuatkan dia meleraikan pelukan itu lalu melihat tubuh badan anaknya itu. Meskipun dia memakai seluar panjang dan t-shirt, namun luka di lengan Syazwan masih ketara untuk dilihat.

"Setelah apa yang Rid buat, Syaz masih boleh lindungi dia?" tanya Datuk Shahrizal, berang.

"Apapun yang dia buat, sekiranya dia dalam keadaan bahaya, Syaz akan tetap lindungi dia. Sebab dia satu-satunya abang Syaz. Same goes to Iz, abah. Betul, Syaz nampak macam tak ambil kisah hal keluarga tapi Syaz sengaja buat begitu sebab Syaz jauh hati dengan penilaian abah terhadap Syaz. Sedangkan apa yang semua orang dalam rumah ini buat, semuanya Syaz tahu. Termasuklah urus niaga abah dengan broker rumah itu."

Kenyataan Syazwan mengejutkan semua orang. Bagaiman Syazwan boleh selidik tentang gerak-geri keluarganya?

"Mana Syaz tahu pasal rumah itu?" tanya Datuk Shahrizal.

"Syaz tahu abah nak berikan rumah itu pada Syaz supaya Syaz tak duduk bersama keluarga mentua Syaz lagi. Syaz tak nak rumah itupun, abah. Abah boleh berikan pada abang Rid. Syaz akan tinggal disini, jaga ibu, jaga abah. Oh ya, abang! Syaz tak pernah ambil hati dengan apa yang abang lakukan pada Syaz. Syaz tahu abang tertekan dengan beban kerja yang abah berikan pada abang seorang sedangkan abah sepatutnya bahagikan antara kita berdua tapi disebabkan Syaz ini pencuri..."

"Jangan cakap macam itu, Syaz. Pencuri itu bukan Syaz, tapi abang. Abang minta maaf sebab biarkan Rid hidup dengan beban abang. Memang selayaknya abang terima bebanan kerja itu, mungkin sebagai balasan abang sebab abang tolak beban abang pada Syaz. Maafkan abang, Syaz!"

Syazwan tidak menjawab, sebaliknya menarik Ridhuan ke dalam pelukannya. Adegan itu mencuit perasaan semua yang ada disitu, termasuklah Arissa yang sedari tadi memerhatikan semuanya.

     *     *     *     *     *
"Abang ada nampak Wawa tak? Tadi dia main dalam bilik, jadi Arissa susukan Hazwan. Alih-alih tengok dah hilang," tanya Arissa setelah melihat Syazwan menutup pintu bilik.

"Wawa? Dia tengah main iPad dengan papa dia. Biarlah, lagipun abang Rid baru balik dari Argentina. Bagilah dua orang itu lepas rindu," jawab Syazwan lalu duduk disebelah Arissa yang masih lagi menyusukan anak kedua mereka, Aris Hazwan.

"Ya ke? Setiap kali abang Rid balik, Wawa mesti melekat dengan papa dia. Sampai ibu dengan abah dia pun dah tak laku dah. Sama juga kalau Iz balik, mesti berkepit dengan daddy dia. Aduhai!" ngomel Arissa yang mengundang tawa Syazwan.

Aris Hazwan bin Muhammad Syazwan, anak kedua Arissa Azalea dan Muhammad Syazwan yang lahir 3 tahun selepas kelahiran Arissa Irwani binti Muhammad Syazwan. 4 tahun berlalu sejak kejadian itu, namun ianya masih ada dalam fikiran Arissa dan Syazwan bukan sebagai igauan tetapi pengajaran.

Akibat tindakan Ridhuan 4 tahun lalu itulah, Datuk Shahrizal telah menghantarnya menguruskan projek syarikat di Argentina. Projek itu tamat beberapa minggu lepas dan Ridhuan pulang ke tanah air kelmarin. Pemergian Ridhuan telah membawa kepada perubahannya yang kini telah mula mengenal agama yang dianutinya selama ini. Atas perubahan ini jugalah, Datin Rosnah telah setuju dengan permintaan anak sulungnya tahun lepas yang inginkan ibu bapanya mencarikan jodoh untuknya sebagaimana adiknya terima 5 tahun lepas. Maka, minggu depan merupakan pernikahan Ridhuan dengan anak kawan sekolah Datuk Shahrizal, Nurul Iman binti Wahid, yang merupakan seorang guru sekolah rendah di Ipoh.

Manakala Muhammad Izwan bin Shahrizal, anak bongsu kepada Datuk Shahrizal dan Datin Rosnah, baru sahaja menamatkan pengajiannya di University of Manchester dalam jurusan biokimia. Sementara menunggu majlis graduasi, Izwan mengambil keputusan untuk mencari pengalaman kerja di London bagi melatih dirinya untuk berdikari.

Syarikat milik Datuk Shahrizal kini diuruskan oleh Syazwan sebagai CEO dan Ridhuan pula bakal dilantik sebagai COO syarikat tersebut setelah Datuk Shahrizal bersara tahun lepas. Syazwan telah menawarkan untuk memberikan jawatannya kepada Ridhuan namun ditolak mentah-mentah oleh Ridhuan kerana dia merasakan Syazwan lebih hebat mengambil hati pelanggan dan pemegang saham dengan hasil kerjanya.

Umairah, sepupu kepada tiga beradik itu yang juga kawan baik Arissa telahpun berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bakal bertunang dengan rakan sekerjanya tidak lama lagi. Kepulangan Ridhuan telah menyingkap kebenaran baru di mana bakal tunang Umairah rupanya adalah bekas rakan sekelas Ridhuan ketika di kolej dulu. Ternyata dunia ini sangat kecil.

Datin Rosnah merupakan insan yang paling gembira kerana pengorbanannya 31 tahun lalu tak sia-sia.Dia sentiasa mendoakan semoga arwah ibu kandung Ridhuan diberkati Allah SWT dan sebagai ibu yang membesarkan Ridhuan, dia berterima kasih pada Heliza binti Ghani kerana melahirkan seorang anak yang sangat hebat. Bermula detik kelahiran itulah, sebuah kisah kasih mula tercipta.

*Tamat*

Sunday, June 7, 2015

Kasih Tercipta Part 15...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Part ini sebenarnya dilakukan selepas selesai part 14. Sebelum idea kering, sambungkan sajalah. Jadi, untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

"Sebelum ibu marahkan kami, boleh tak kita keluar dulu dari bilik ini? Sebelum abang Rid balik," pinta Arissa apabila tersedar kedudukan mereka sekarang.

Permintaan Arissa ditunaikan dan mereka bertiga dibawa ke bilik Syazwan. Selepas itu, Datin Rosnah mengarahkan orang gajinya untuk menggantikan selimut yang telah diambil oleh Arissa sebelumnya bagi membalut tubuh Syazwan dan mengunci semula bilik Ridhuan.

Syazwan diarahkan oleh Datin Rosnah untuk mandi dahulu memandangkan rupa Syazwan menjelaskan bahawa dia sudah tidak mandi untuk jangka masa yang agak lama.

Setelah Syazwan selesai mandi, dia diminta oleh Datin Rosnah untuk duduk dan dia memilih untuk duduk bersama Arissa di birai katil mereka.

"Now, one of you must tell me the truth. Macam mana Syazwan boleh berada dalam bilik Rid dan dalam keadaan terikat dan telanjang?"

Arissa tidak menjawab, dan mula menangis. Syazwan tak sampai hati melihat Arissa begitu lalu bertindak memegang tangan isterinya.

"Syaz ikut abang Rid balik supaya dia tak apa-apakan Arissa, abah dan mama," jawab Syazwan. Ringkas dan jelas.

"Abang Rid bawa orang pergi serang rumah abah dan mama minggu lepas dan bawa abang lari. Kami semua kena ikat dengan mereka, jadi kami tak mampu nak bantu abang," sambung Arissa dalam esak tangisnya.

"Kalau yang itu, ibu masih boleh faham tapi kenapa Syaz ditelanjangkan? Sekali tengok macam..." Datin Rosnah akhirnya terdiam. Dia tak mampu menghabiskan ayatnya dan mula berasa sebak.

"Macam anjing kan ibu?" duga Syazwan dengan suara yang paling perlahan.

Melihat Syazwan, Arissa hanya mampu menahan kesedihan. Syazwan masih tidak tahu bahawasanya Arissa menyaksikan segala kejadian sebelum suaminya itu dilarikan. Maka, Arissa harus kuat demi berjuang bersama suaminya.

Datin Rosnah hanya mampu menitiskan air mata mengenangkan nasib anak keduanya yang didera secara fizikal dan mental oleh abang kandungnya sendiri.

     *     *     *     *     *
Sesungguhnya pengalaman menjadi 'haiwan peliharaan' abang kandung sendiri benar-benar menguji keupayaan mental Syazwan yang sudahpun terjejas akibat penderaan mental yang dilakukan abangnya sejak 5 tahun lepas.

Arissa hanya mampu menahan sebak melihat suaminya yang masih lagi mengigau walaupun telah ditidurkan menggunakan ubat tidur. Ternyata memori hitam itu terpahat di dalam ingatan suaminya hingga ke dalam lena.

Datin Rosnah telah mengarahkan mereka berdua untuk bersembunyi di dalam bilik mereka kerana dia khuatir Ridhuan akan mencari mereka sekiranya mereka berada di luar rumah. Bagi seorang ibu, tempat paling selamat adalah di rumah mereka sendiri. Arissa juga tidak menafikannya. Naluri keibuannya juga mengatakan perkara yang sama.

Arissa mengusap lembur rambut jejaka berusia 25 tahun itu. Badannya yang panas membuatkan Arissa pasti suaminya demam. Arissa menuju ke bilik air bagi menyediakan kain basah untuk diletakkan di dahi Syazwan.

Sebaik sahaja dia meletakkan kain basah itu di atas dahi suaminya, tangannya dipegang. Terkejut bukan kepalang dia, namun kemudiannya tenang apabila menyedari bahawa Syazwan telah terjaga dari tidurnya.

"Abang minta maaf, Arissa. Abang bukan suami yang baik, kalau Arissa malu dengan abang, abang boleh..."

Arissa yang meletakkan jari telunjuknya di bibir Syazwan menghentikan ayat Syazwan.

"Arissa bangga dengan abang, tak kira apapun yang abang Rid lakukan kepada abang. Arissa tahu abang lakukan semuanya untuk melindungi Arissa, mama, abah dan anak kita ni. Arissa tak rasa abang ni tak baik, malah abang dah cukup sempurna di mata Arissa."

Mendengar jawapan Arissa, Syazwan bangun dari pembaringannya dan memeluk permaisuri hatinya. Air mata lelakinya gugur lagi.

     *     *     *     *     *
Bunyi kaca jatuh yang datang dari bilik Ridhuan mengejutkan Izwan, Datuk Shahrizal dan Datin Rosnah yang sedang makan di ruang makan. Mereka tahu Ridhuan baru saja pulang selepas temu janji bersama klien tadi, jadi Izwan dan Datin Rosnah tahu mengapa Ridhuan mengamuk. Namun, perkara itu masih menjadi tanda tanya kepada Datuk Shahrizal menyebabkan dia berlari menuju ke bilik anak sulungnya itu. Melihat tindakan Datuk Shahrizal, Datin Rosnah dan Izwan mengikut jejak Datuk Shahrizal.

Di bilik Ridhuan, semua perabot tunggang terbalik dan bilik itu telah menjadi ibarat kapal dilanda garuda. Ridhuan yang sedang duduk di birai katil bangun menuju ke arah ibu, abah dan adiknya yang baru saja tiba di biliknya dengan riak wajah yang sangat bengis.

"Siapa yang masuk bilik Rid tadi ibu? Is it you?" tanya Ridhuan, kasar.

"Kenapa Rid tanya ibu soalan itu?" tanya Datin Rosnah semula, pura-pura tidak tahu apa yang berlaku.

"You know what is inside my room, are you? Iz, did you know about this?" tanya Ridhuan lagi.

Baik Datin Rosnah mahupun Izwan masih tidak menjawab soalan Ridhuan dan ini membuatkan Ridhuan berang lalu menumbuk Izwan. Tindakan Ridhuan mengejutkan kedua ibu bapanya dan Datin Rosnah bertindak menarik Izwan yang sedang mengerang kesakitan ke dalam pelukannya.

"Tak cukup ke apa yang Rid buat pada Syaz sampai Rid nak pukul Iz pula?" tengking Datin Rosnah.

"So, you do know about it. How did you know? Arissa datang mengadu pada ibu ke?" tanya Ridhuan dalam nada sinis.

"Tak, abang! Iz yang perasan bilik abang lain macam sejak minggu lepas! Kak Arissa pun dapat tahu dari ibu tadi!" bentak Izwan yang tidak berpuas hati dengan tindakan abangnya.

"Kau jangan kurang ajar, Iz! Kau baru habis SPM, keluar rumah pun tak lagi, ada hati nak lawan aku?" bentak Ridhuan lalu menampar Izwan.

"Puas hati abang?" tanya Datin Rosnah kepada Datuk Shahrizal, sinis.

"Macam mana hati aku nak puas kalau punca segala yang terjadi tak ada disini?" jawab Datuk Shahrizal, angkuh.

"Punca segalanya ada depan mata abah saja," sampuk Izwan lalu menuding ke arah Ridhuan. "Abang Syaz tak salah, baik dalam hal ini, mahupun hal-hal sebelum ini."

"Kau pun nak sebelahkan si pencuri itu ya, Iz? Kau ini anak abah ke bukan?" bentak Datuk Shahrizal.

"Setidak-tidaknya Syazwan dan Izwan memang anak Ros dan abang. Ridhuan saja yang bukan," jawab Datin Rosnah, sinis.

Kenyataan Datin Rosnah mengejutkan semua orang disitu.

*bersambung*

Saturday, June 6, 2015

Kasih Tercipta Part 14...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Sebenarnya aku tengah cari mood nak study tapi mata mengantuk sangat ni. Jadi, untuk buang masa, aku sambung cerpen ni dulu. Untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

"Apa yang kau tunggu lagi, Syaz? Aku suruh kau cium kaki aku!" bentak Ridhuan apabila melihat adiknya itu masih belum berganjak dari posisi asalnya.

Syazwan tidak menjawab tengkingan Ridhuan, dia hanya mampu mengalirkan air mata lelakinya. Abang kandungnya mencalarkan maruahnya dihadapan ibu bapa mentuanya. Hanya satu yang dia lega sekarang, Arissa masih belum sedarkan diri. Dia berfikir lebih baik dia turutkan saja permintaan itu sebelum tulang rusuk kirinya itu sedarkan diri.

"Baiklah, aku tunaikan permintaan kau Rid," ucap Syazwan lalu mengucup belah atas kaki kanan Ridhuan. Ridhuan yang melihat tingkah Syazwan tersenyum puas.

"Eh, siapa kata aku nak kau cium belah atas kaki aku? Tapak kakilah adikku sayang!" ejek Ridhuan lalu menyengetkan kaki kanannya bagi menayangkan tapak kakinya kepada Syazwan.

Tanpa berlengah, Syazwan mencium tapak kaki Ridhuan. Namun, mereka tidak menyedari tindak tanduk mereka diperhatikan Arissa yang sudahpun sedarkan diri. Sebak rasanya apabila melihat suami sendiri dihina di depan matanya oleh abang iparnya sendiri. Bagaimanakah seorang darah daging tegar mencemarkan maruah seorang insan sebegitu rupa?

"Bagus Syazwan ini. Dengar kata," kata Ridhuan dalam nada sinis sambil mengusap kepala Syazwan seperti membelai kepala anjing. Syazwan tidak memberikan apa-apa respon, hanya mampu mendiamkan diri.

"Fiz, kau ambil tali ini! Seret 'haiwan peliharaan' kita ini keluar. Adikku sayang, aku tak nak kau berjalan tahu? Aku nak kau merangkak serupa anjing," arah Ridhuan lalu menghulurkan hujung tali yang dipegangnya kepada Fiz.

"Toi, kau pergi buka ikatan tangan mak mentua anjing ini! Hanya mak mentua sahaja, biar makcik ini bukakan ikatan yang lain. Tangan saja tahu? Aku tak nak makcik ini kejar menantu kesayangannya pula!" arah Ridhuan lagi sebelum beredar lalu diikuti oleh Fiz yang bertindak menarik Syazwan yang merangkak keluar.

Selepas Toi membuka ikatan Mak Ana, dia berjalan keluar sambil mengacukan pisau kepada Mak Ana sebagai amaran. Mak Ana hanya memandang kepergian mereka sebelum membuka ikatan mulut dan kakinya, seterusnya membuka ikatan suami dan anaknya.

Setelah Arissa dilepaskan daripada belenggunya, dia tidak berganjak dari tempatnya. Hanya air mata sahaja yang mampu dikeluarkan setelah apa yang dia lihat. Melihat reaksi Arissa, Mak Ana memeluknya.

"Apapun yang orang buat pada Syaz, dia masih lagi suami kamu. Selagi itulah kamu mesti hormatkan dia walau bagaimana tercemarnya maruahnya dimata kamu. Lea, syurga kamu ada pada dia. Kamu kena kuat untuk dia," nasihat Mak Ana yang juga mula menitiskan air mata.

"Lea tahu mama, Lea cuma terkilan kenapa abang Rid sanggup buat begitu depan kita?"

"Manusia yang berkiblatkan hasutan syaitan ini lebih teruk daripada syaitan itu sendiri, Lea. Andai hidup kita berpandukan ajaran syaitan, maka darah pun tak mampu menghalangnya," jawab Pak Awi yang kesal dengan sikap Ridhuan.

     *     *     *     *     *
Sudah genap seminggu Syazwan dilarikan Ridhuan. Namun, disebabkan masih tiada khabar berita daripada keduanya, Arissa bertindak menyuruh Umairah mengintip Ridhuan. Hasil intipan Umairah mendapati Ridhuan melakukan rutin hidupnya seperti biasa dan dia juga tidak ke mana-mana selepas waktu kerja, sebaliknya terus pulang. Perubahan Ridhuan membuatkan Arissa dan Umairah hairan kerana mereka berdua sama-sama tahu yang Ridhuan bukan jenis manusia yang melekat di rumah.

Bukan hanya Arissa dan Umairah, tetapi perubahan Ridhuan turut mengundang rasa hairan di benak hati Datin Rosnah. Apabila disuarakan kepada Datuk Shahrizal, seperti biasa suaminya itu akan memuji perubahan Ridhuan sebagai sesuatu yang harus dipuji. Bukan seperti Syazwan yang tak pulang-pulang menjenguk ibunya.

Namun begitu, pertanyaan dan aduan daripada anak bongsunya lebih membimbangkan.

     *     *     *     *
"Ibu, abang Rid ada bela apa-apa haiwan peliharaan tak dalam rumah?" tanya Izwan, suatu hari ketika Datin Rosnah sedang menonton televisyen.

"Abang Rid kamu mana suka haiwan, macamlah kamu tak tahu Iz? Dia itu suka duit dan dirinya sendiri saja. Kenapa kamu tanya?"

"Tak adalah, sebab sejak minggu lepas setiap kali Iz lalu depan bilik abang Rid, mesti dengar bunyi sesuatu. Kadang-kadang dengar bunyi sesuatu langgar perabot, kadang-kadang dengar bunyi sesuatu langgar dinding. Iz seramlah ibu, takkan abang Rid membela kot?"

"Ish, kamu ini! Jangan nak merepek boleh tak? Tak apa, nanti ibu siasat," jawab Datin Rosnah.

     *     *      *     *     *
"Ada apa ibu minta Arissa balik rumah? Mana Iz? Bukan ke sekarang cuti sekolah?" tanya Arissa setelah dia duduk di atas sofa menghadap ibu mentuanya.

"Ibu rindu kamu dan Syaz. Syaz mana? Ibu dah siap kosongkan rumah nak suruh dia balik, dia tak ada pula."

Soalan Datin Rosnah membuatkan Arissa kaget. Apa yang harus dia jawab?

"Dia sibuk, ibu. Biasalah kerja bawah orang kan," tipu Arissa demi menyelamatkan keadaan.

"Oh ya ke. Sebenarnya ibu ada benda nak minta tolong Arissa ini."

"Apa dia, ibu?" tanya Arissa, hairan.

"Ikut ibu," arah Datin Rosnah lalu bangun. Arissa hanya menurut langkah Datin Rosnah yang akhirnya berakhir di hadapan bilik Ridhuan.

"Arissa, boleh tolong ibu bukakan pintu bilik Rid ini tak? Ibu tak kuatlah nak buka. Nah, ini kuncinya," pinta Datin Rosnah lalu menyerahkan kunci bilik Ridhuan kepada Arissa.

Arissa membuka pintu bilik tersebut, sebagaimana yang ibu mentuanya pinta. Selepas itu, dia bertindak memasuki bilik jejaka berusia 28 tahun itu secara perlahan-lahan. Bilik itu nampak normal, namun hati Arissa berdegup kencang seperti ada sesuatu yang tak kena dengan bilik itu. Tiba-tiba dia ternampak ada bayangan sesuatu di sudut bilik dibelakang dinding sebelah pintu. Dia bergerak ke hadapan lagi dan akhirnya...

"Astaghfirullah hallazim! Kenapa jadi macam ni?" jeritan Arissa membuatkan Datin Rosnah memberanikan diri memasuki bilik anak sulungnya. Alangkah terperanjatnya dia melihat Arissa sedang memeluk Syazwan yang hanya mempunyai selimut sebagai alas badannya. Itupun dia tahu Arissa yang memakaikan kepadanya.

"Kenapa Syaz boleh ada disini? Tadi Arissa kata dia kerja. Arissa tipu ibu ke?" soalan Datin Rosnah membuatkan Arissa terbungkam. Syazwan memandang isterinya sayu lalu menggelengkan kepala.

"Answer me, Arissa, Syazwan!" Datin Rosnah mula meninggikan suaranya.

Namun begitu, Arissa dan Syazwan masih lagi saling berpandangan. Tanpa memberikan sebarang jawapan.

*bersambung*

Thursday, June 4, 2015

Kasih Tercipta Part 13...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Seperti yang korang dah tau, cerpen "Alasan Untuk Bahagia" dah melabuhkan tirainya. So dah boleh sambung cerpen ni pula. Okay? Untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:



Syazwan yang melihat reaksi Umairah dan Arissa daripada pertanyaannya itu berasa geli hati. Muka masing-masing macam nampak hantu.

"Sah, tengah mengata abang! Apa nak jadilah dengan isteri abang ni? Hah, kau pun sama Mai! Datang rumah orang, mengata tuan rumah pula!" Bebel Syazwan setelah melabuhkan punggungnya bersebelahan Najihah.

"Mengata pun benda yang baik-baik saja yang datang dari mulut bini kau ni, Syaz. Tak pernah sekalipun aku dengar dia cakap benda buruk pasal kau. Kau sepatutnya bangga ada isteri macam dia," jawab Umairah, selamba.

Arissa masih lagi tunduk dan mendiamkan diri. Syazwan yang perasan keadaan isterinya itu bertindak memaut bahu isterinya. Tindakan Syazwan telah mengejutkan Arissa.

"Sayang kenapa? Abang tengok dari tadi Arissa diam saja. Abang bergurau saja pasal tadi, maafkan abang," pujuk Syazwan.

"Tahu, abang. Cuma hati ini tiba-tiba rasa tak sedap. Abang, kita pergi tidur mana-mana malam ni nak? Arissa rasa tak senanglah."

"Kenapa tiba-tiba saja ni? Dah 2 bulan kita duduk sini, abang tengok tak ada apa-apapun. Perasaan sayang kot."

"Hmmm... bila Arissa dah cakap pasal ni, baru aku ingat kenapa aku datang sini. Aku mimpi kau hari-hari sejak Rabu lepas, Syaz. Mimpi tak elok."

"Mimpi apa, Mai?"

"Aku mimpi kau jatuh dalam lubang besar, Arissa lak tersangkut di tebing lubang itu. Aku dapat tarik Arissa saja, tapi bila aku nak tarik kau, aku terjaga."

"Mimpi mainan tidur, Mai. Tak usah difikirkan. In shaa Allah, aku akan selamat."

Umairah dan Arissa saling berpandangan. Arissa hanya mampu mengeluh dengan jawapan suaminya itu.

*     *     *     *     *
Malam itu, Arissa tak dapat melelapkan mata. Masih terngiang-ngiang di cuping telinganya perihal mimpi Umairah tadi. Sungguh, dia memang rasa ada yang tak kena. Tapi apa?

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi bising di luar. Dengan pantas, dia bangun dan membuka pintu untuk melihat keadaan diluar. Namun, perutnya yang sarat membuatkan pergerakannya tidaklah selaju mana.

Sebaik saja dia tiba di ruang tamu, dia melihat mak dan ayahnya sedang bergelut untuk melepaskan diri dalam keadaan terikat. Dia menghampiri mereka untuk membuka ikatan, namun dengan pantas lengannya direntap seseorang menghentikan langkahnya. Dia berpusing untuk melihat gerangan yang memegangnya. Alangkah terkejutnya Arissa melihat abang iparnya bersama dua orang lelaki lain yang memegang tali dan pisau.

"Lama tak jumpa, Arissa! Arissa makin cantik sekarang. Pembawakan budak agaknya!" Ucap Ridhuan sambil ketawa terbahak-bahak.

Arissa tidak menjawab. Baginya buang masa menjawab pertanyaan lelaki gila sepertinya abang iparnya itu. Dia hanya menjeling tajam Ridhuan membuatkan Riduan berasa seronok diperlakukan begitu.

"Fiz, kau bawa perempuan ni ke kerusi makan sana dan kau ikat dia! Tapi pastikan perut dia tak terjerut. Nanti kalau apa-apa jadi pada anak tu, ibu aku bunuh aku nanti!"

Lelaki bernama Fiz itu menarik Arissa ke kerusi meja makan lalu mengikatnya. Arissa tidak melawan walaupun dia tak mahu berkompromi dengan Ridhuan.

Bagi menarik perhatian Syazwan yang masih lena, Arissa menjerit. Tindakan Arissa telah mengejutkan Ridhuan lalu dia bertindak menampar Arissa sehingga Arissa pengsan. Kemudian, Fiz mengambil kain lalu diikat mulut Arissa.

Jeritan Arissa mengejutkan Syazwan. Namun, Syazwan tidak terus keluar. Dia menelefon polis lalu dibiarkan talian terpasang dan diletakkan telefon bimbitnya dikocek. Selepas itu, dia keluar dari bilik.

"Akhirnya, VVIP kita keluar juga. Long time no see brother! Bahagia aku tengok kau sekarang. Badan pun dah makin membesar," sindir Ridhuan setelah dia melihat kelibat Syazwan menghampiri mereka.

"Kau nak apa, Rid? Kenapa kau ikat mak ayah mentua aku dan Arissa? Kalau kau nak apa-apakan aku, bawa aku saja. Jangan diusik mereka bertiga!" Tengking Syazwan sambil menghulurkan kedua pergelangan tangannya kepada Ridhuan.

"Aku tak nak kau seorang saja yang menderita, orang gila! Aku nak semua orang yang sayangkan kau dapat habuan sama sebab mereka sayangkan kau! Fiz, ikat tangan dia!"

Fiz mendekati Syazwan lalu mengikat pergelangan tangan Syazwan ke belakang. Dibiarkan baki tali itu terjuntai lalu diserahkan hujung tali itu kepada Ridhuan.

Ridhuan menarik hujung tali itu membuatkan Syazwan tersungkur dihujung kaki Ridhuan. Melihat keadaan itu, Ridhuan tersenyum puas.

"Kalau kau nak aku lepaskan mereka bertiga, aku nak kau cium kaki aku! Sekarang!"

Pak Awi dan Mak Ana yang melihat kejadian itu hanya mampu mengalirkan air mata  melihat menantu mereka dilayan bak anjing oleh darah dagingnya sendiri. Sebak hati mereka melihat Syazwan yang masih bertarung dengan dirinya.

Syazwan masih kaku diposisi lamanya. Dia tak mahu diperlakukan seperti anjing, namun nyawa tiga kesayangannya dalam taruhan. Apa yang perlu dia lakukan? Sungguh dia tak mengerti...

*bersambung*

Alasan Untuk Bahagia Part 8.2 (Akhir)...

"Awak buat apa di sini, Razin? Bukan ke awak dah janji dengan Jihah awak nak pergi hantar dia dan Amir ke lapangan terbang petang ini? Sudahlah pernikahan mereka pun awak tak pergi, janganlah begini Razin."

         Razin tidak menjawab pertanyaan Indah. Dia masih lagi memandang ke luar tingkap. Seolah-olah Indah tidak wujud di hadapannya. Begitulah Razin sejak Najihah memutuskan pertunangan mereka dua minggu lepas. Hanya terperuk di dalam bilik pejabatnya. Makan di situ, kerja di situ, tidur pun di situ. Pening juga Indah hendak menjawab dengan Tan Sri dan Puan Sri tentang keadaan Razin.

         "Kalau betul Razin nekad tak mahu jumpa Jihah sebelum dia berangkat, I think you should read this first before you make your decision," pesan Indah lalu meninggalkan sepucuk surat di atas meja Razin dan berlalu pergi.

         Razin mengambil surat tersebut lalu membukanya. Tulisan Najihah memenuhkan segenap keping kertas. Tanpa berlengah, Razin membaca satu persatu bait kata yang ditulis:

Ke hadapan Razin yang disayangi,

      Ketika surat ini awak baca, kita pastinya sudah tiada hubungan istimewa lagi. Maafkan saya kerana tak mampu berterus terang tentang penyakit saya lebih awal, hatta memilih Amir untuk dijadikan tempat mencurah rasa sedang dia hanya bekas kekasih dan awak adalah tunang saya. Saya akan jelaskan semuanya kepada awak dalam warkah ini.

      Saya pernah kemalangan 5 tahun lepas, di dalam kampus. Saya kematian jiwa akibat patah hati dengan Amir sehinggakan kereta di hadapan saya yang telahpun berkali-kali menekan hon bagi memberi amaran pun saya tak sedar. Sedar-sedar saja, saya sudahpun terbaring di katil hospital. Sejak itu, mata saya seringkali kabur tapi saya sangkakan itu hanya rabun ataupun panas saja. Begitu juga dengan sakit kepala, saya sangkakan ianya hanya migrain biasa.

      Namun, kesakitan di kepala itu makin lama makin teruk. Beberapa bulan lepas, baru saya dapat tahu yang saya mengalami ketumbuhan dalam otak akibat kemalangan itu dan ianya mungkin akan menjejaskan penglihatan saya secara kekal andai tidak dirawat. Terus terang, saya sangat takut ketika itu. Saya bimbang saya akan membebankan awak dan orang lain andai penglihatan saya hilang satu hari nanti.

      Oleh sebab itulah, saya merancang untuk melepaskan awak. Awak terlalu baik untuk saya, tapi hati saya dah pernah rasa sakit kerana cinta. Demi Allah, saya tak mahu awak rasa benda yang sama. Saya tahu satu hari nanti awak akan berterima kasih dengan saya.

      Pergilah cari kebahagiaan awak, Razin. Kak Indah sudah bertahun-tahun menanti saat dan ketika untuk menebus kesalahannya pada awak dulu. Jangan bebani dia lagi. Meskipun dia janda beranak satu, tapi setidak-tidaknya dia sihat dan sempurna, bukan macam saya yang masih bertarung dengan nyawa sendiri.

        Halalkan makan minum saya selama ini, dan maafkan saya atas kesalahan saya yang tak terungkap ini. Andai ada salah silap awak, saya telahpun maafkan sebab saya sendiri pun tak tahu sampai bila saya akan masih bernafas. Terima kasih atas segalanya.

Yang benar,
Fatin Najihah.

Mengalir air mata lelaki Razin membaca surat itu. Dengan sepantas kilat, dia mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi Amir. Selepas dua deringan, kedengaran suara Amir di hujung talian.

         "Saya nak bercakap dengan Najihah sebentar, boleh kan?" tanya Razin. Hanya diam di hujung talian buat seketika, dan kemudiannya kedengaran suara Najihah.

         "Assalamualaikum Razin."

         "Wa'alaikumussalam Najihah. Saya dah baca surat awak. Saya minta maaf, saya tak mampu nak hantar awak pergi ke London. Saya maafkan awak, atas semua kesalahan awak selama ini. Apapun terjadi nanti, saya akan tetap tunggu awak di sini. Awak ingat itu. Saya sayangkan awak seadanya awak, jadi jaga diri awak baik-baik. Surat perletakan jawatan awak yang awak hantar kelmarin, saya tak terima. Saya tukarkan kepada cuti tanpa gaji. Sama macam Amir. So, both of you kena masuk kerja bila semua dah selesai nanti, okay?" luah Razin, ditemani air mata yang mengalir laju.

          "Terima kasih, Razin sebab maafkan saya. Kalau masih ada kesempatan dan jodoh, insya-Allah kita pasti akan berjumpa lagi. Awak pun carilah kebahagiaan sendiri, jangan tunggu saya. Jaga diri awak elok-elok, jangan tinggal solat dan sentiasa doakan yang terbaik untuk saya ya? Terima kasih sebab sudi call saya, kalau tak ada apa-apa, saya letak dulu. Assalamualaikum."

          "Wa'alaikumussalam," jawab Razin lalu meletakkan telefonnya di atas meja. Selepas itu, hanya tangisan yang kedengaran. Indah hanya berupaya menggelengkan kepalanya apabila mendengar tangisan kawan baiknya itu.

     *     *     *     *      *
6 bulan kemudian...

Razin sedang bertungkus-lumus menyiapkan pembentangan projek FunTimes Bakery apabila pintu biliknya diketuk. Dia berhenti membuat kerja lalu mengarahkan insan yang mengetuk pintu biliknya itu masuk.

          "Razin, ada orang nak lapor diri hari ini," lapor Indah.

          "Siapa? Pengurus Operasi atau pembantunya? Atau keduanya?"

          "Pembantu Pengurus Operasi."

           "Panggil dia masuk," jawab Razin lalu menyambung kerjanya. Tak lama kemudian, pintu biliknya dikuak lagi dan kelibat Amir mula kelihatan masuk ke dalam bilik pejabat Razin.

            "Assalamualaikum bos. Apa khabar?" sapa Amir, selepas duduk di hadapan Razin.

            "Wa'alaikumussalam, Amir. Amboi, makin berisi. Awak buat apa kat London tu sampai berisi macam ni? Seronok sangat ke duduk di sana sampai 6 bulan?" seloroh Razin lalu menepuk bahu Amir.

            "Encik Razin, Indah tak beritahu Encik Razin apa-apa ke?" tanya Amir, hairan.

            "Indah? Kenapa dengan Indah?" tanya Razin pula.

            "Waktu dia minta cuti seminggu itu, dia tak beritahu apa-apa pada Encik Razin?"

            "Tak ada pun, kenapa? Lagipun, Indah minta cuti itu 4 bulan lepas kan? Lama dah."

            "Patutlah, baru saya faham."

            "Faham apa? Apa semua ini?"

            "Encik Razin, saya dan Najihah dah balik Malaysia 5 bulan lepas. Saya jumpa Indah dan beritahu semuanya sebab saya sangka Indah akan sampaikan pada Encik Razin, tapi nampak gayanya saya kena berterus terang sendiri pada Encik Razinlah ya?" Amir mula membuka cerita.

            "Berterus terang? Tentang apa?" soal Razin, hairan.

            "Saya dan Najihah tak jadi bernikah 6 bulan lepas. Saya sekadar menemani Najihah saja ke London, tanpa sebarang ikatan sah. Najihah lebih sayangkan Encik Razin, kerana Encik Razin telah sembuhkan luka saya."

             "Jadi, apa kena-mengena dengan Indah? Mana Najihah sekarang? Kenapa korang berdua tak masuk kerja terus?"

             "Sabar Encik Razin, satu persatu akan saya jelaskan pada Encik Razin. Sebenarnya, saya telahpun bernikah dengan Indah sewaktu Indah cuti seminggu tu. Saya sudah minta Indah jelaskan pada Encik Razin, tetapi katanya Encik Razin sibuk sangat."

             "Saya akui, saya memang sibuk sejak kamu berdua ke London. Jadi, Najihah bagaimana?"

             "Pembedahan dia berjaya, tapi dia mengalami kesan sampingan."

             "Kesan sampingan?"

             "Saya rasa lebih baik Encik Razin tengok sendiri. Saya bawakan Encik Razin."

*     *     *     *     *
Luluh hati seorang lelaki bernama Razin melihat keadaan Najihah yang hilang penglihatannya akibat pembedahan itu. Amir menerangkan bahawa penglihatan Najihah hilang hanya sementara akibat sisa darah beku yang tak dapat dibersihkan seluruhnya, jadi doktor memberikan ubat bagi mencairkan sisa darah beku tetapi tidak dapat menjangkakan berapa lama Najihah akan buta.

            "Kenapa Amir tak beritahu saya?"tanya Razin, sebak.

            "Saya dan Indah memang nak beritahu, tapi Najihah dah beri amaran pada kami supaya jangan beritahu Encik Razin. Saya berterus terang inipun atas permintaan pakcik Kusaini dan makcik Wahidah supaya kembalikan Razin dalam hidup Najihah. Najihah selalu mimpikan Encik Razin."

           "Betul tu, Razin. Rindu sangat dia pada kamu," sampuk Puan Wahidah yang tiba di ruang tamu membawa dulang berisi air teh dan kuih karipap.

           "Makcik, boleh saya bernikah dengan Najihah? Pakcik sebagai wali mujbir, bukankah boleh nikahkan Najihah tanpa kebenaran dia sendiri?"

           "Pakcik setuju dengan Razin. Pakcik dah tak sanggup tengok anak pakcik hari-hari menangis sebab rindukan kamu. Bila kita boleh langsung? Buat yang wajib sajalah, almaklumlah keadaan Najihah yang begitu."

            "Saya akan bincang dengan keluarga saya, dan saya akan maklumkan pakcik kemudian. Boleh?"

             Encik Kusaini memandang Amir dan Puan Wahidah. Keduanya mengangguk, lalu Encik Kusaini pun mengangguk. Melihat respon bapa kepada Najihah itu, Razin tersenyum lega.

     *     *     *     *     *
"Aku terima nikahnya Fatin Najihah binti Ahmad Kusaini dengan mas kahwin tiga ratus ringgit, tunai," lafaz kabul yang diucap oleh Razin telahpun disahkan oleh dua orang saksi. Maka, dengan sekali lafaz, Najihah akhirnya menjadi milik Razin.

            Setelah berdoa dan bersalam dengan tok kadi, Razin menuju ke bilik Najihah di tingkat atas. Dia masih ingat lagi, dia telah membantu bapa mentuanya membayar duit rumah ini sebagai hadiah pertunangannya 6 bulan lepas. Akhirnya, rumah ini jadi saksi pernikahannya dengan gadis pilihannya.

             Razin membuka pintu bilik Najihah. Terlihat Najihah sedang duduk dan bermain dengan comforter katilnya. Jelas kelihatan di mata Razin tangan Najihah yang menggigil akibat gemuruh. Dia merapati isterinya itu, dan akhirnya duduk di sebelah Najihah. Tangan Najihah di angkat, dan cincin emas yang digenggam sedari tadi disarungkan di jari manis isterinya itu.

             "Assalamualaikum, encik suami," tutur Najihah, lembut kerana malu.

             "Wa'alaikumussalam, puan isteri," jawab Razin, lembut. Dahi Najihah dikucup lembut, membuatkan air mata Najihah mengalir tanpa sedar.

             "Kenapa awak masih terima saya yang buta ini, Razin?" tanya Najihah dalam sedu sedan tangisan.

             "Sebab saya cintakan awak seadanya awak, ingat tak saya pernah beritahu sebelum awak ke London dulu? Walau apapun terjadi, saya akan tetap tunggu awak di sini," jawab Razin lalu mengelap air mata Najihah yang masih tersedu akibat menangis.

              Najihah mencari-cari tangan Razin. Razin yang seakan mengerti memegang tangan Najihah. Najihah terus mencium tangan Razin dan selepas itu, Razin dengan pantas menarik Najihah ke dalam pelukannya. Keduanya menangis dan ketawa dalam masa yang sama.

              "Macam mana awak tahu saya adalah Razin?" tanya Razin, inginkan kepastian.

              "Bau minyak wangi awak. Saya kenal sangat," jawab Najihah, jujur.

              "Kena tukar minyak wangi kalau macam ni," seloroh Razin.

              Najihah ketawa mendengar seloroh suaminya. Dalam hati, segala puji bagi Allah kerana menyatukan dia dan jodohnya meskipun dalam keadaan yang serba kekurangan.

     *      *     *     *     *
"Izzat! Jangan lari-lari, nanti mummy rotan nanti!" jerit Najihah setelah dia melihat Izzat berlari-lari mengejar anak kucing yang selalu datang bermain di rumahnya.

           Pekikan Najihah tidak diendahkan, bahkan makin ligat dia bermain. Melihat keletah anak kecil berusia 3 tahun itu, Najihah hanya tersenyum.

            "Apa yang Jihah jerit-jerit itu?" tanya Indah yang tiba dari dapur dengan dulang berisi kuih. Najihah mengambil piring-piring kuih itu lalu diletakkan di atas meja santai yang terletak di perkarangan rumahnya.

            "Itu ha, Izzat itu. Bukan main lagi dia, main kejar-kejar dengan kucing. Ikut perangai papa dia kan?" seloroh Najihah.

            "Agaklah, papa dia itu pantang jumpa kucing. Semua dibelainya. Tak cukup dengan kucing yang ada di rumah agaknya," luah Indah lalu ketawa.

            "Daddy dia pun sama saja, cuma niat nak membela terbantut sebab Jihah tak biasa dengan kucing."

            "Tak lama lagi, mummy Jihah nak bersalin. Adalah geng Izzat nanti."

            "Ala, mama Indah pun 4 bulan lagi nak bersalin kan?" sampuk Razin yang datang entah dari mana.

            "Indah lambat lagi, lagipun anak ketiga. Razin dengan Jihah baru anak pertama, lambat betul."

           "Nak buat macam mana, rezeki lambat. Mujur mummy Razin tak suruh Razin kahwin lain tau?"

            Mendengar ayat Razin, Najihah bertindak mencubit peha suaminya. Kuat jeritan Razin akibat sakit.

            "Kena cubit lagilah tu, Razin? Jaga-jaga, Jihah ni memang kuat mencubit. Nasiblah kau dapat bini kuat mencubit," seloroh Amir yang baru tiba. Dia duduk di sebelah Indah dan mencium pipi isterinya itu.

            "Waktu mata dia tak nampak lagi dia dah kuat mencubit. Naik lebam jugalah peha aku ni Amir." jawab Razin sambil menggosok-gosok pehanya.

             "Itu macam minta lagi itu," sindir Najihah.

             "Okay, okay, sorry sayang. Abang nak gurau pun tak boleh. Cium sikit," jawab Razin lalu menghadiahkan pipi Najihah sebuah ciuman. Muka Najihah terus merah akibat malu.

             Amir memandang Indah. Baginya, Indah sudah cukup sempurna. Kahwin-kahwin dapat anak free seorang, selepas itu diberikannya Amir Izzat dan kini sedang menantikan anak kedua hasil perkahwinan mereka.

             Bagi Razin pula, sejauh manapun dia dan Najihah terpisah atas alasan untuk bahagia, jodoh dan pertemuan itu rahsia Illahi. Alasan untuk bahagia itu tak mampu melawan takdir, kerana alasan itulah mereka bersatu akhirnya.

TAMAT

Foot print: Sejujurnya masih ada rasa cinta yang tak akan putus kerna alasanmu untukku bahagia....

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com