Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog kelabu ini... Okay, hari ini ana nak sambung lagi cerpen bersiri ana... =) Macam biasa, link part sebelumnya ada kat bawah ye:
- Kekuatan Wanita Itu Part 1
- Kekuatan Wanita Itu Part 2
- Kekuatan Wanita Itu Part 3
- Kekuatan Wanita Itu Part 4
- Kekuatan Wanita Itu Part 5
- Kekuatan Wanita Itu Part 6
- Kekuatan Wanita Itu Part 7
- Kekuatan Wanita Itu Part 8
- Kekuatan Wanita Itu Part 9
- Kekuatan Wanita Itu Part 10
Sarah sedang memasak apabila loceng pintu rumahnya berbunyi. Terus saja dia menutup api dapur lalu menuju ke pintu rumahnya dan membukanya. Kelihatan Raihana sedang berdiri dihadapannya.
"Assalamualaikum kak," sapa Raihana.
"Waalaikumussalam Ana, masuklah. Abang Fauzi tahu tak Ana nak datang?" jawab Sarah, gembira.
"Tahu, kak. Tadi Ana ada beritahu dia tapi dia pesan dia mungkin balik lewat. Nak jumpa kawan, katanya," terang Raihana.
"Oh ya ke. Dia memang selalu macam itu sejak kebelakangan ini. Dalam seminggu, mesti dua atau tiga hari dia akan balik lewat. Kadang-kadang kerja, kadang-kadang jumpa kawan. Duduklah, Ana," jawab Sarah.
Raihana duduk di sofa berhadapan dengan tempat Sarah berdiri.
"Ana nak minum apa-apa? Akak siapkan," tanya Sarah.
"Boleh juga, tapi tak kisah air apa-apapun. Terima kasih ya kak," jawab Raihana sambil tersenyum.
"Kalau macam itu, elok sangatlah. Akak pergi ambil air kejap, sebelum kamu sampai tadi akak ada bancuh sirap limau," terang Sarah sebelum beransur ke dapur untuk mengambil minuman.
Setelah Sarah beredar, Raihana mengambil telefon bimbitnya lalu membuka laman sesawang Facebook. Diamatinya status yang dihantar Fauzi petang tadi yang berbunyi:
"Sedang berbahagia bersama yang tersayang. Biarpun sibuk, namun tetap ada masa untuk dia. :)"
Hati Raihana mula diulit kebimbangan setelah mengamati status tersebut. Lantas dia teringat peristiwa minggu lepas di mana dia terlihat Fauzi sedang makan tengahari bersama Hafiz di sebuah restoran yang terletak di Ampang. Apa mungkin Fauzi membuat onar sekali lagi?
"Apa yang kamu tenung kat handphone itu, Ana? Macam nak telan handphone itu saja gayanya," seloroh Sarah sambil meletakkan dulang berisi jag dan air di atas meja. Selepas itu, sebuah gelas berisi sirap limau diletakkan dihadapan Raihana.
"Akak, nak tanyalah. Dah berapa lama abang Fauzi 'sibuk' ya?" tanya Raihana untuk mencari kepastian.
"Dah dekat sebulan dah. Kenapa?" tanya Sarah pula.
"Maaflah kalau Ana ganggu urusan rumahtangga akak, tapi ada tak abang Fauzi luangkan masa bersama akak dalam masa sebulan ini?" tanya Raihana lagi.
"Tak sangat. Kadang-kadang kalau kat rumah pun, ada saja orang yang call dan mesej. Katanya ada projek baru kat Terengganu," jawab Sarah.
"Tapi akak, syarikat kami mana ada projek baru kat Terengganu. Dia pun tak ada pegang mana-mana projek kebelakangan ini," nafi Raihana.
"Kamu biar betul, Ana?" tanya Sarah.
"Ya Allah akak, kita dah kenal sejak sekolah menengah kan? Pernah ke Ana tipu akak? Lagipun, Ana ada terjumpa Fauzi keluar dengan Hafiz minggu lepas. Itu yang Ana jumpa akak, nakkan kepastian. Ana tak naklah main cakap saja, nanti jadi fitnah berdosa Ana kak," terang Raihana.
"Terima kasih Ana atas maklumat Ana. Akak hargai sangat. Nanti akak cuba berbincang dengan abang Fauzi ya. Minumlah air itu, nanti tawar pula," jawab Sarah sambil tersenyum hambar bagi menyembunyikan keresahan jiwa yang menyelubungi.
Sesungguhnya Raihana benar, dia sudah lama tidak dilayan seperti mula-mula suaminya keluar hospital dulu. Hati kecil dapat merasakan sesuatu telah berlaku, namun dia cuba menidakkannya. Tapi dengan pernyataan yang Raihana berikan, hatinya semakin kuat mengatakan suaminya sedang mengulangi dosa silamnya sekali lagi. Nampaknya dia harus mengingatkan Fauzi sekali lagi. Namun persoalannya, mampukah dia bertahan lagi setelah dua kali berdepan dengan situasi yang serupa? Selalunya kali ketiga adalah titik penamat, dia bimbang sesuatu akan berlaku pada rumahtangga yang terbina selama 2 tahun setengah itu.
"Ya Allah, berikan aku kekuatan... Kekuatan yang cukup untuk aku menghadapi dugaan yang Kau berikan padaku buat kali ketiga... Semoga aku dapat menghalang suamiku daripada terus berbuat dosa dibumi-Mu ini, ya Allah... Amin..." doa Sarah dalam hati.
* bersambung*
p/s: Catch up later guys, daa~
0 comments:
Post a Comment