Thursday, September 19, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 16

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

"Haziq, bos Su dulu? Suraya pengsan di mana?" tanya Lily, cemas.

"Ya, saya. Dia pengsan di rumah papa saya, dia masih belum sedarkan dirinya. Jadi, saya ingat saya ada perkara yang saya nak bertanyakan kepada awak memandangkan saya berpeluang berbicara dengan awak sekarang," jawab Haziq.

"Apa dia?" tanya Lily, hairan.

"Sejak bila Su hilang ingatan tentang saya?" tanya Haziq.

Sekali lagi Lily terkejut dengan pertanyaan itu kerana setahunya, Suraya tidak pernah hilang ingatan tentang Haziq. Bahkan, dia sentiasa ingat kejadian di mana dia ditolak mentah-mentah oleh Haziq di hadapan seluruh rakan sekerja mereka 5 tahun lalu dan masih trauma akannya.

"Saya pun tak pasti, encik Haziq. Suraya tak pernah lagi berbicara tentang encik Haziq sejak dia menikahi Muhaimin. Katanya, dia tak nak Muhaimin dengar tentang ini. Bimbang dia disalah ertikan," bohong Lily.

Kedengaran Haziq mengeluh di hujung talian membuatkan Lily bertambah bimbang. Bimbang kalau-kalau Haziq mengetahui pembohongannya. Almaklumlah, lelaki itu merupakan seorang kaunselor.

"Pasti Suraya tahu akan perangai Muhaimin. Cuma, saya hairan bagaimana Suraya boleh kenakan syarat pernikahan mereka dengan menyuruhkan Tan Sri Mazlan supaya tidak mengganggu perhubungan antara Muhaimin dan Camellia?" tanya Haziq lagi.

Lily terpana. Nampaknya Haziq sudah tahu tentang penceraian Suraya dan sebabnya sekali. Adakah Haziq tahu tentang kes tangkap khalwat itu?

"Saya rasa, supaya dia boleh meminta cerai dengan mudah, sekiranya perlu," jawab Lily sebelum mengeluh.

"Maksud awak?" tanya Haziq, kurang mengerti.

"Beginilah, saya ceritakan dari mula. Selepas awak suruh Su memilih Muhaimin, Suraya telah bertemu dengan papa encik Haziq semasa dia sepatutnya bertemu dengan Tan Sri Mazlan. Datuk Muhsin telah menawarkan bantuan kepada Su untuk menyiasat Muhaimin dan dalam masa yang sama, meminta Su untuk menjadi anak angkat Datuk dan Datin. Kata Datuk, sekiranya Su bercerai dengan Muhaimin kelak, dia minta Su untuk tinggal bersama mereka supaya keluarga saya tidak berantakan sekali lagi."

"Maksud awak, papa saya dah bertemu dengan Suraya sebelum Suraya menikahi Muhaimin?" tanya Haziq, terkejut.

"Ya, betul. Su setuju dengan kedua-dua tawaran Datuk dan beberapa hari selepas itu, dia mengetahui perihal hubungan Muhaimin dan Camellia. Atas sebab itulah, Su memberikan syarat itu kepada Tan Sri kerana dia gagal untuk pujuk encik Haziq mengahwini anak bongsu Tan Sri," sambung Lily lagi.

"Apa? Tan Sri Mazlan suruh Suraya pujuk saya 5 tahun lepas? Tapi, Suraya tak pernah bertemu dengan saya selepas dia berhenti kerja," ujar Haziq, keliru.

"Datuk tak bagi. Katanya, keputusan encik Haziq tak mungkin berubah."

"Pasti lebih pahit buat Suraya untuk pujuk lelaki yang dicintainya supaya berkahwin dengan perempuan lain. Saya tahu sangat perasaan itu."

"Sebab encik buat dulu, bukan?"

"Betul, saya sudah buat dulu. Sejak saya mengetahui tentang niat Tan Sri Mazlan untuk bermenantukan Suraya, saya ambil keputusan untuk berputus asa. Peritnya dibelasah dan dimalukan Muhaimin dulu masih saya ingati, masakan saya nak hadapinya semula?"

"You are selfish, encik Haziq," ujar Lily, ringkas tapi menusuk kalbu bagi yang mendengar.

"Kenapa?"

"Semua orang di sekeliling Su fikir tentang diri mereka sendiri. Adakah sesiapa yang betul-betul memikirkan perasaan Su? Demi kebahagiaan keluarga saya, demi melindungi encik Haziq, demi menyelamatkan Camellia, dan demi memuaskan keluarga Tan Sri Mazlan, Su menikahi Muhaimin, lelaki yang sama sekali tidak pernah ada di dalam hatinya. Lelaki yang menyintai dan dicintai sepupunya sendiri. Empat tahun menjadi isteri Muhaimin, tidak ada sesaatpun Su menjadi seorang manusia biasa. Ada sesiapapun peduli? Mujurlah papa dan mama encik Haziq sentiasa ada untuk Su. Saya rasa kalau mereka berdua tiada, pastinya Su sudah lama gila!"

Kedengaran Haziq beristighfar setelah mendengar jawapan Lily itu. Lily mengharapkan dengan kebenaran yang pahit ini, Haziq akan menebus semua kesalahannya kepada Suraya.

"Jadi, atas sebab Muhaimin dengan Camellia nyaris ditangkap khalwat, barulah Suraya minta cerai?" tanya Haziq lagi.

"Ya," jawab Lily, pendek.

Haziq mengeluh.

"Teruk sangatkah layanan Muhaimin pada Su?" tanya Haziq lagi, perlahan.

"Muhaimin tak pernah sekalipun sentuh Su selama empat tahun mereka bernikah. Sekali pun tidak! Akan tetapi, meskipun Muhaimin membenarkan Su untuk sambung pengajiannya, Su dihadiahkan pengawal peribadi yang memerhatikannya 24jam sehari. Malah, akaun bank, telefon bimbitnya akan sentiasa dikawal selia oleh Muhaimin. Secara teknikalnya, Su hidup seperti seorang tawanan selama empat tahun, tetapi masih menyelamatkan maruah suaminya di saat-saat akhir perkahwinannya! Apakah sepupu saya itu tak layak hidup seperti seorang manusia?" luah Lily lalu menangis.

Tiada jawapan daripada Haziq dapat kedengaran.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

"Encik Haziq ini tak ada hati perutkah? Dia sayangkan encik Haziq dulu, tapi encik Haziq suruh dia kahwini orang lain. Kali ini, siapa pula yang encik Haziq nak suruh dia kahwini?"

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

"Setidaknya, tidaklah seteruk apa yang Su rasa," jawab Lily, selamba.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

"Tawanlah hatinya semula. Dia terlupa, ingatkan dia. Jangan pernah sakiti hatinya lagi," jawab Lily.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Kalau encik tak pernah cuba, macam mana encik nak tahu? Dulu, ada jalan mudah, encik tak nak gunakan. Sekarang, kalau encik masih sayangkan dia, silalah hadapi jalan sukar itu," ujar Lily, cuba menduga Haziq.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata Lily tadi.

"Semua orang di sekeliling encik dan Suraya tahu tentang ini. Cuma, saya tak pasti sama ada Suraya tahu ataupun tidak mengenai perasaan encik ini. Itu encik kena cari sendiri," jawab Lily.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

"Waalaikumussalam," jawab Lily sebelum memutuskan talian.

Lily tahu dia tidak sepatutnya menyampaikan kepada Haziq mengenai hal ini, tetapi dia sudah tidak sanggup lagi melihat Suraya berendam air mata tatkala teringat semua peristiwa lampaunya. Tambahan pula, dia kini menetap di rumah keluarga lelaki yang dicintainya selama ini.

     *     *     *     *     *

Suraya terjaga dan mendapati dirinya berada di atas katil. Dia melihat sekelilingnya, ternyata dia berada di dalam bilik tidurnya.

Suraya melihat dirinya, masih berpakaian. Kepalanya pening, tidak pasti mengapa. Setahunya, dia tidaklah mempunyai repressed memories seperti yang diberitahu kepada Haziq. Mengapakah dia berasa pening dan loya? Sudah alang-alang begini, lebih baik dia buat Haziq anggap ingatannya sudahpun pulih.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

Suara Haziq membuatkan dia bangun dan berlujur di atas katil. Dia ternampak Haziq sedang berdiri menghadap tingkap biliknya sambil bercakap di dalam telefon. Lama dia merenung telefon itu sebelum menyedari itu merupakan telefon bimbitnya!

Namun begitu, dia memilih untuk mendiamkan diri. Dia tak tahu apakah yang dibualkan oleh Haziq itu, jadi lebih selamat untuk dia mendengarnya terlebih dahulu.

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

Kata-kata Haziq itu mengejutkan Suraya. Benar, dia tahu lelaki itu juga menderita. Akan tetapi, penderitaan itu adalah hasil dari keputusannya sendiri. Jika lelaki itu berterus-terang, pasti segalanya yang berlaku kepada dirinya dan lelaki itu tidak berlaku.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

Suraya masih memandang Haziq yang masih tidak menyedari bahawasanya dia sudah terjaga. Perasaan hairan mula menular dalam sanubarinya.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Ada, ruang dalam hati saya masih lagi milik awak, Haziq. Tak pernah berubah," getus hati kecil Suraya.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq untuk kesekalian kalinya.

Suraya terbungkam. Sangkaannya, hanya dia sahaja mengetahui akan perasaan Haziq, itupun setelah diberitahu oleh ibu bapa Haziq sendiri. Rupanya ada lagi yang mengetahui.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

Tak lama selepas itu, Haziq menurunkan telefon bimbit Suraya yang dipegangnya itu lalu berpaling ke arah katil Suraya dan dia kelihatan sangat terkejut apabila mendapati Suraya sedang merenungnya dalam keadaan berlujur.

"Lily call awak tadi," ujar Haziq sambil menuju ke arah katil Suraya sebelum menyerahkan semula telefon bimbit Suraya itu.

"Terima kasih," jawab Suraya, pendek.

"Doktor beritahu tadi, tekanan darah awak rendah. Esok saya akan ambilkan ubat awak, awak kena makan ubat ikut arahan doktor," jelas Haziq, tanpa dipinta.

"Tak apalah, saya ambil sendiri esok."

"Jangan degil boleh? Saya akan ambilkan, doktor bagi awak cuti sakit esok. Saya akan ambilkan surat cuti awak dengan ubat sekali esok. Awak duduk di rumah sahaja," tegas Haziq.

"Awak kerja esok, bukan? Tak payahlah susah-susah," ujar Suraya, hambar.

"Saya cuti esok, lagipun selama 5 tahun saya tak ambil cuti. Jadi, biarkan saya ambil ubat dan surat cuti awak. Awak duduk rumah diam-diam," jawab Haziq, tegas.

Suraya terkesima mendengar kata-kata Haziq itu, tetapi disembunyikan untuk menduga Haziq.

"Saya pergi dengan awak boleh? Yang sakitnya, saya bukannya awak," cadang Suraya.

Lama Haziq berfikir membuatkan dia mulai resah. Entah apalah yang bermain di dalam fikiran lelaki itu.

"Jawab soalan saya dulu, dan saya akan bawa awak ke klinik esok," ujar Haziq sambil merenung Suraya.

"Apa soalannya?" tanya Suraya.

"Kenapa awak setuju hendak bernikah dengan Muhaimin dulu? Jujurlah," tanya Haziq, lembut.

"Atas sebab awak," jawab Suraya, sangat perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Haziq membuatkan Haziq terkejut dengan jawapan yang diberikan.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, September 18, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 15

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14

Haziq terbungkam. Dia seakan tidak boleh menghadam kata-kata Rashdan itu.

"Bercerai? Sejak tahun lepas?" tanya Haziq lagi, untuk pastikan yang dia tidak bermimpi.


Rashdan dan Aduka mengangguk, serentak. Melihat reaksi mereka berdua, Haziq berasa lututnya longgar lalu hampir terjatuh seandainya tidak disambut oleh Rashdan yang sudah sedia berdiri tatkala melihat reaksi Haziq itu.


"Kau okay ke tak ini?" tanya Rashdan selepas memastikan Haziq duduk di tempatnya tadi.


"Kenapa mereka bercerai?" tanya Haziq, cemas.


"Bab itu aku rasa lebih baik kau tanya Su sendiri. Dia lebih berhak untuk menceritakan, lagipun aku sendiripun tak tahu sebab sebenarnya dia memilih untuk bercerai," jawab Rashdan.


"Aku tak rasa Su akan beritahu aku," ujar Haziq.


"Kenapa pula?" sampuk Aduka.


"Sebab Su tak ingat aku pernah wujud dalam hidupnya!" jawab Haziq.


"Apa dia?" tanya Rashdan dan Aduka, hampir serentak.


      *      *     *     *     *


Datuk Muhsin sedang menonton televisyen apabila kedengaran bunyi pintu dibuka dan ditutup. Setahunya, semua penghuni rumah agam itu ada di rumah. Siapa pula yang balik? Hazlinakah?


Akan tetapi, Datuk Muhsin terkejut tatkala dia melihat kelibat Haziq memasuki ruang tamu rumahnya lalu mendekatinya. Sejak 5 tahun lalu, dia hanya akan pulang ke rumah tatkala runsing ataupun ingin melarikan diri daripada sesuatu. Jadi, Datuk Muhsin sama sekali tidak menjangkakan kepulangan anak keduanya ini.


"Apa khabar, papa?" tanya Haziq, lemah sambil mencium tangan Datuk Muhsin.


"Sihat Alhamdulillah. Apa mimpi kamu pulang ke rumah papa hari ini? Ada masalah apa kali ini?" tanya Datuk Muhsin, separuh memperli separuh bimbang.


"Masalah jiwa," jawab Haziq, pendek setelah dia berbaring di atas sofa panjang.


"Kalau nak baring, pergi baring di dalam bilik kamu. Jangan berbaring di sini. Tak manis," ujar Datuk Muhsin tatkala melihat tingkah laku anaknya.


"Siapa pula yang nak tengok Haziq berbaring di sini?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata ayahnya.


"Abang, jom makan. Lauk sudah siap semuanya. Astaghfirullah hallazim budak bertuah ini! Apa baring di sini?" ujar Datin Nurina yang tiba-tiba muncul untuk memanggil suaminya makan tetapi terlihat anak bujangnya pula.


"Apa benda semua orang ini?" tanya Haziq sambil bangun dan duduk bersandar di atas sofa itu.


"Sudah makan?" tanya Datin Nurina.


"Tak ada seleralah, mama dengan papa makanlah dulu. Haziq nak masuk biliklah memandangkan semua orang marah sangat Haziq berbaring di sini," jawab Haziq lalu bangun menuju ke tingkat atas.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina berpandangan sesama sendiri. Apakah Haziq tidak menyedari kereta di luar itu ada lebih satu?


"Mama, papa, jomlah makan. Su lapar ini!" ujar Suraya yang datang dari dapur.


Suara itu telah menghentikan langkah Haziq. Dia pasti dirinya mendengar suara yang tidak asing tetapi tidak kena pada tempatnya. Dengan perlahan, Haziq mengatur langkah kembali ke tingkat bawah.


Setibanya dia di ruang tamu, semua orang yang ada di situ tadi telahpun hilang. Jadi, dia bergerak menuju ke arah ruang makan.


Di situ, dia dapat melihat makcik Jun sedang menyiapkan makanan kepada Datuk Muhsin, Datin Nurina dan seorang lagi wanita. Setahunya, adik-beradik lainnya semuanya duduk sendiri. Jadi, siapa pula wanita ini yang memanggil ayahnya papa dan ibunya mama?


Makcik Jun yang melihat kelibat Haziq tiba segera beredar ke dapur. Melihat tindak-tanduk makcik Jun, Datuk Muhsin memandang sekeliling dan terlihat Haziq mendekati tempat Suraya duduk.


"Eh, kata tak ada selera tadi? Tiba-tiba laparkah?" tanya Datuk Muhsin sambil menjeling ke arah Suraya yang sudahpun mulai cemas.


"Dia ini siapa?" tanya Haziq lalu menuding ke arah Suraya yang masih lagi misteri baginya.


"Ini anak angkat papa dan mama, Suraya."


"Suraya Hani?" tanya Haziq, inginkan kepastian.


"Ya, Suraya Hani. Bekas PA kamu," jawab Datin Nurina.


Dalam masa yang sama, Suraya memalingkan wajahnya ke arah Haziq membuatkan Haziq terkedu. Sudahlah dia baru sahaja menerima berita penceraian wanita ini petang tadi, malam ini wanita itu ada di hadapannya, di rumah agam keluarganya!


"Apa semua ini, papa, mama?" tanya Haziq selepas duduk di sebelah Suraya. Sengaja dia memilih tempat tersebut untuk menguji Suraya.


"Apa semua ini apa?" tanya Datuk Muhsin, pura-pura tidak memahami maksud Haziq itu.


"Bagaimana Suraya boleh berada di sini?" tanya Haziq, tidak faham.


"Papa sudah beritahu bukan? Dia anak angkat papa dan mama," jawab Datuk Muhsin, selamba.


"Sejak bila Suraya tinggal di sini? Kenapa Haziq tak tahu?" tanya Haziq lagi.


"Macam mana kamu nak tahu kalau balik pun setahun sekali? Suraya tinggal di sini sejak tahun lepas," jawab Datin Nurina pula.


"Sejak Suraya bercerai dengan Muhaimin, begitu?" tanya Haziq sambil menjeling ke arah Suraya.


Mendengar soalan Haziq, Suraya kaget. Setahunya lelaki itu tidak mengetahui status perkahwinannya kini.


"Yalah, kenapa?" tanya Datin Nurina, pura-pura tidak menyedari bahawasanya anaknya sudahpun mengetahui status perkahwinan Suraya yang disembunyikan itu.


"Suraya, kenapa awak bercerai dengan Muhaimin?" tanya Haziq sambil memandang ke arah Suraya pula.


"Kenapa nak tahu?" tanya Suraya, tenang.


"Jadi, saya bolehlah tahu kenapa awak tak ingat apa-apapun tentang saya!" ujar Haziq.


"Betulkah Su tak ingat apa-apa tentang Haziq?" tanya Datin Nurina, hairan.


Suraya hanya menggelengkan kepalanya. Datuk Muhsin memandang Datin Nurina sambil menggelengkan kepala tanda memohon supaya jangan ditanya apa-apa lagi.


"Jawablah, Suraya!" jerkah Haziq.


"Tak serasi," jawab Suraya, selamba.


"Sudah empat tahun berkahwin, baru nak kata tak serasi?" tanya Haziq sambil membuka aplikasi Instagram di telefon bimbitnya. Matanya meliar mencari sesuatu sebelum diserahkan telefon bimbitnya kepada Suraya.


"Now, explain!" tegas Haziq sambil memandang Suraya yang sedang menatap foto persandingan Muhaimin dan Camellia yang tertera di skrin telefon bimbit Haziq itu.


Suraya hanya mampu mengeluh. Sangkaannya, sekiranya dia berpura-pura tidak mengingati lelaki itu, perasaan bersalah dan ingin tahu lelaki itu akan pudar tetapi dia silap.


"Pengantin perempuan ini sepupu saya. Adik kepada Lily. Dia adalah teman wanita Muhaimin sedari mula, tetapi Tan Sri Mazlan inginkan saya untuk jadi menantunya. Jadi, saya tetapkan syarat, saya akan mengahwini Muhaimin dan Muhaimin akan terus bercinta dengan Camellia untuk selama mana yang dia mahu," jelas Suraya selepas menyerahkan semula telefon bimbit Haziq itu kepada tuannya.


"Kenapa awak buat syarat begitu?" tanya Haziq lagi.


"Saya tak tahu, saya tak ingat kenapa," bohong Suraya. Dia tahu sebabnya, tapi jika dia berterus terang, Haziq pasti akan mengetahui bahawa dia tiada kehilangan memori tentang Haziq.


"Baiklah, jadi bagaimana boleh bercerai?" tanya Haziq, mengalahkan polis pencen.


"Sebab Muhaimin dan Camellia nyaris ditangkap khalwat di rumah yang kami duduki," jawab Suraya, perlahan.


Haziq tergamam apabila mendengar jawapan Suraya itu. Dia sudah dapat menduga mengapa wanita itu sanggup menghilangkan memori tentangnya. Bagi wanita itu, dia adalah punca hidupnya seperti ini. Dia adalah punca segalanya.


"Saya minta maaf," ujar Haziq.


"Untuk apa?" tanya Suraya, hairan.


"Sebab paksa awak memilih Muhaimin dulu. Saya sudah rosakkan hidup awak selama empat tahun ini," jawab Haziq yang sedang menahan sebak.


Jawapan Haziq mengejutkan Suraya, Datuk Muhsin dan Datin Nurina. Mereka bertiga tahu bukan mudah Haziq ingin mengakui kesalahannya itu.


"Atas sebab apa saya nak ikut cakap awak, Haziq? Awak siapa pada saya? Saya pilih Muhaimin sebab ayah, bukan sebab awak!" ujar Suraya sebelum dadanya terasa sesak dan kepalanya mulai sakit.


Suraya hanya mampu memegang dadanya lalu berdiri ingin menuju ke arah dapur. Akan tetapi, baru sahaja dua langkah, dia sudahpun rebah.


Melihat Suraya yang pengsan itu, Haziq bertindak mencempungnya lalu dibawanya ke ruang tamu sebelum makcik Jun meminta Haziq membawa wanita itu ke dalam bilik tidur milik wanita itu.


Setibanya dia di dalam bilik tidur Suraya yang terletak bersebelahan dengan biliknya, dia meletakkan wanita itu di atas katil. Makcik Jun menghidupkan penghawa dingin bilik tersebut apabila Datuk Muhsin dan Datin Nurina muncul di dalam bilik itu.


"Papa sudah call Dr. Omar, dalam 15 minit lagi dia sampai. Nasib baiklah dia ada di rumah, kalau tidak jenuh nak tunggu dia," ujar Datuk Muhsin.


Haziq hanya mengangguk sambil memandang wajah Suraya yang tampak pucat itu. Dia sudah boleh menduga apakah yang sedang berlaku kepada wanita ini, dan dia mengharapkan ingatan wanita itu akan pulih seperti sediakala.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu anak mereka masih menyayangi wanita yang terbaring di atas katil itu, meskipun cuba untuk dia menafikannya.


     *     *     *     *     *


Lily yang mula berasa tidak sedap hati itu mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi ibunya. Lama dia tunggu sebelum Puan Wardah menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum ibu, buat apa itu?" tanya Lily, cuba menyembunyikan getar di dalam suaranya.

"Waalaikumussalam Lily, ibu baru sahaja lepas makan. Lia dengan Muhaimin balik hari ini, mereka belikan sate kajang Haji Samuri tadi. Alhamdulillah kenyang," jawab Puan Wardah, ceria.

Lily hanya mampu menarik nafas lega apabila mendengar jawapan ibunya. Pasti sesuatu berlaku kepada Suraya, fikirnya.

"Oh ya ke? Ibu sihat?" tanya Lily lagi.

"Sihat Alhamdulillah, ayah kamu pun sihat juga. Ibu tengok wajah Lia sekarang makin berseri-seri, pasti ada isi," ujar Puan Wardah.

Lily terkedu mendengar kata-kata Puan Wardah. Ingatannya tentang video panas Muhaimin dan Camellia tiba-tiba menerjah. Mujurlah sepupunya itu bijak mengendalikan situasi itu, kalau orang lain, pasti keluarganya akan menanggung malu yang teramat.

"Jangan yakin sangat ibu, takut kalau tak ada nanti, ibu yang kecewa," jawab Lily, lembut.

"Ada punya, jangan risaulah. Ibu pasti."

"Yalah, ibu. Jangan cakap Lily tak beritahu. Ibu, Adrian panggil. Lily letak dulu ya," bohong Lily sebelum mematikan talian.

Tanpa berlengah, Lily menelefon telefon bimbit Suraya pula. Lama juga dia tunggu sebelum dia mendengar suara asing menjawab telefon tersebut.

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

*BERSAMBUNG*

Tuesday, September 17, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 14

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13


"Kau tak tipu aku, bukan?" tanya Lily, seakan tidak percaya.

"Aku sudah tahu kau akan cakap begini, sebab itulah aku tak nak beritahu kau," jawab Suraya.

"Lia tak pernah buat perangai sebegini!" ujar Lily, geram.

"Kau tak tahu, tak semestinya dia tak pernah buat. Aku berjaya korek rahsia daripada pegawal peribadi Muhaimin, kata mereka itu bukan kali pertama mereka berdua berkhalwat. Selalunya mereka buat kerja ini di hotel, tetapi malam itu Muhaimin tak mahu keluar dari rumah. Jadi, Lia datang ke rumah tanpa mengetahui ada jiran kami yang busybody," jawab Suraya.

"Astaghfirullah hallazim! Kenapa kau masih tutup aib mereka?" tanya Lily.

"Sebab ini," jawab Suraya lalu membuka sebuah video yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya sebelum diserahkan kepada Lily.

Riak wajah Lily sama sekali berubah tatkala melihat video tersebut. Sungguh tidak dia sangka sejauh itu adik iparnya membawa adiknya ke dunia maksiat.

"Seteruk manapun layanan ibu kau pada aku, adik kau tak bersalah dalam hal itu. Malah, dia sudah cuba yang terbaik untuk ubah pendirian ibu kau. Seorang sepupu aku, seorang lagi suami aku. Kau bayangkan bagaimana perasaan aku tatkala terjumpa mereka dalam keadaan begitu? Sedangkan aku ini yang halal buatnya, tak pernah sekalipun dia sentuh," jelas Suraya sambil menahan sebak.

"Jadi, kau minta cerai malam itu juga?" tanya Lily lagi.

"Ya, dan Muhaimin setuju asalkan video itu tak keluar ke pengetahuan umum. Esoknya, kami bertemu dengan keluarga Muhaimin dan Muhaimin ceritakan semuanya termasuklah kewujudan video tersebut. Atas sebab itulah, aku berjaya bercerai dengannya dan adik kau berjaya mengahwininya," sambung Suraya lagi.

Lily terbungkam. Zulaikha pula terkedu mendengar kisah tragis perkahwinan Suraya itu. Bagaimana seorang wanita mampu tabah melihat hubungan sulit suaminya di hadapan mata sedangkan dirinya tak pernah disentuh, jauh sekali dipedulikan?

     *     *     *     *     *

Rashdan yang sedang menemani Zara tidur terkejut apabila mendengar bunyi pintu bilik tidur Zara dibuka. Kelihatan Zulaikha berjalan mendekatinya sebelum menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Rashdan menyambut tangan tersebut dan Zulaikha mencium tangannya sebelum dilepaskan. Begitulah rutin setiap kali salah seorang pulang ke rumah.

"Pergi mana tadi?" tanya Rashdan, perlahan.

"Makan, Su belanja makan di restoran Mohd Chan. Katanya, sempena kami berdua datang temankan dia release stress," jawab Zulaikha, ceria.

"Abang okay saja, sekali-sekala buat girls day out apa salahnya? Lagipun, kasihan Su, dia bukannya ada suami nak temankan dia," ujar Rashdan, simpati.

"Yalah, kasihan dia," jawab Zulaikha, cuba menahan sebak akibat daripada kisah Suraya tadi.

"Oh ya, sayang. Tadi Aduka call, dia sudah sembuh sepenuhnya. Bebas dari ketumbuhan. Lega abang, sayang. Bertahun-tahun dia tak boleh berjalan, mujurlah semangat dia kuat," jelas Rashdan sambil tersenyum.

"Oh ya ke? Alhamdulillah, lega rasanya abang. Jemputlah dia datang ke rumah. Jangan risau, saya akan pastikan Lily tak datang sini kalau dia ada," jawab Zulaikha.

"Lily macam mana? Dia ada sebut pasal Aduka?" tanya Rashdan, ingin tahu.

Zulaikha menggelengkan kepala.

"Tak terkejut. Benci sangatlah itu dia pada Aduka sebab tinggalkan dia dulu. Lily itu kalau dah benci, bayang pun dia tak sudi nak tengok," sambung Rashdan.

"Abang ni, sudah tahu jawapannya, lagi nak tanya?" tanya Zulaikha.

" Saja nak manja-manja dengan sayang. Jom tidur, abang mengantuklah."

"Abang, sebenarnya Suraya dah jumpa Haziq semula," ujar Zulaikha, tiba-tiba membuatkan Rashdan terkejut.

"Bukankah Su tinggal di rumah keluarga Haziq? Takkan tak pernah jumpa?" tanya Rashdan, hairan.

Zulaikha menggelengkan kepala. Terbeliak biji mata Rashdan melihat reaksi isterinya itu.

"Ika biar betul? Sekalipun tak pernah bertemu?"

"Tak, abang."

"Habis itu, apa yang berlaku?"

"Haziq sangkakan Suraya itu masih isteri Muhaimin."

"Subhanallah! Apa masalahnya mamat itu? Skru kat otak itu dah longgarkah?"

"Tak tahulah tapi dah serupa orang tak betul nampak gayanya."

Rashdan menggelengkan kepala. Hairan sungguh dirinya dengan sikap Haziq itu. Apalah yang boleh membuatkan dia berusaha mendapatkan suri hatinya?

      *     *     *     *     *

Aduka sedang duduk menghadap Tasik Titiwangsa apabila Rashdan duduk bersebelahan dengannya.

"Kau dah habis jogging?" tanya Rashdan tatkala melihat Aduka sedang memegang botol air mineral.

"Sudah, aku jogging dari jam 7 pagi tadi. Sekarang sudah jam 8.30 pagi," jawab Aduka.

"Alhamdulillah, sejak kau pulih ni, kau aktif bersenam. Jaga diri kau elok-elok, lama lagi nak pakai badan kau ini," ujar Rashdan sambil menepuk bahu Aduka.

"Aku tahu. Dua kali aku hidup semula, kali ini aku akan pastikan aku jalani cara hidup sihat," jawab Aduka.

"Baguslah kalau begitu. Oh ya, hujung minggu ini, jemputlah datang ke rumah. Ika beriya nak jamu kau sempena kau sembuh semula."

"Aku sahajakah?"

"Setakat ini aku jemput kau saja. Kalau kau izinkan aku jemput yang lain, baru aku jemput yang lain," jawab Rashdan sambil menyalakan api rokok.

"Kau ini bila nak berhenti merokok?" tanya Aduka, sambil memandang ke arah lain, mengelak untuk menghidu asap rokok tersebut.

"Aku dah kurangkan kekerapan aku merokok, tapi susahlah nak berhenti. Aku ada banyak perkara yang aku kena hadap sendiri," ujar Rashdan.

"Apa masalahnya?" tanya Aduka.

"Aku sebenarnya diberhentikan kerja, ada lagi 2 minggu sebelum aku habis notis. Aku tak tahu bagaimana nak beritahu dengan Ika. Aku buntu. Aku sedang cari kerja lain, tapi setakat ini masih belum berjaya," jelas Rashdan lalu menghisap rokok yang dinyalakannya sedari tadi.

"Kenapa kau tak nak beritahu Ika?" tanya Aduka, hairan.

"Aku tak nak dia kecewa dengan aku. Dia sudah minta aku tukar perabot di rumah itu, sudah hampir 10 tahun perabot tersebut digunakan. Aku tak sampai hati nak katakan tidak padanya," jawab Rashdan,

"Kalau kau tak beritahu dia apa masalah kau, macam mana dia nak faham?" tanya Aduka, hairan.

"Aku pun tak tahulah. Dulu, aku pernah bergaduh dengan dia sebab aku tak belikan dia telefon baru yang dia nak. Waktu itu, aku tak ada bajet lebih sebab mak aku sakit," jawab Rashdan sambil mengeluh.

"Payah juga kalau begitu. Yalah, bukannya kita boleh jangkakan apa yang nak berlaku bukan? Beginilah, aku akan usahakan untuk tolong carikan kau jawatan kosong di mana-mana syarikat," ujar Aduka sambil tersenyum.

"Kau serius?"

"Seriuslah, kau sudah bantu aku selama 5 tahun kebelakangan ini. Daripada aku tak boleh bangun, sampailah aku sihat. Jadi, aku mohon jasa baik kau, padamkan rokok itu untuk aku. Kau boleh pilih nak beritahu Ika sekarang ataupun kemudian, tapi kalau kau tanya aku, aku sarankan sekarang. Lagipun, anak kau sudah masuk tadika. Kalau kau tak bekerja, siapa nak bayar duit tadika Zara?"

"Betul juga. Terima kasih, Aduka. Oh ya, kau nak aku jemput yang lain tak untuk makan-makan kau?" tanya Rashdan.

"Aku rasa tak perlulah, aku belum bersedia nak beritahu hal sebenarnya kepada Lily. Lagipun, dia sudah ada keluarga sendiri bukan?"

"Baiklah, aku faham. Aku doakan kau bertemu dengan yang lebih baik nanti," jawab Rashdan sambil menepuk bahu Aduka.

Sedang mereka berpandangan antara satu sama lain, tiba-tiba seseorang berdiri di hadapan mereka, membuatkan keduanya memandang ke arah seseorang itu.

"Haziq?" tanya Rashdan, terkejut.

"Haziq? Ex-boss Suraya itu?" tanya Aduka, inginkan kepastian.

"Yalah, aku Haziq, ex-boss Suraya. Aduhai, sampai bila-bilapun aku rasa nama aku akan tetap associated dengan Suraya," ujar Haziq sambil menepuk dahi.

"Kau buat apa di sini?" tanya Rashdan, terpinga-pinga. Dia sama sekali tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu, di sini.

"Jogging, apa lagi nak buat di sini? Tengah aku jogging tadi, aku ternampak kau orang berdua, jadi aku datanglah sini. Kau Aduka bukan? Boyfriend Lily, sepupu Suraya?" tanya Haziq selepas menjawab soalan Rashdan tadi.

"Ex-boyfriend, actually. Bagaimana kau tahu? Padahal kita tak pernah bertemu," jawab Aduka.

"Kau pernah bergambar dengan Suraya bukan? Dia letakkan gambar kau orang di media sosial. Bagaimana pula kau tahu tentang aku?" ujar Haziq.

Mendengar pertanyaan Haziq, Aduka dan Rashdan saling berpandangan. Sukar untuk mereka berdua menjawab soalan itu.

"Let me guess, Suraya mesti selalu mengumpat aku dulu, bukan?"

Mendengar tekaan Haziq, Aduka dan Rashdan hanya mampu tersengih. Pecah rahsia Suraya selama 5 tahun ini.

"Aku tahu saja selama ini, sebab itu aku tak terkejut sangat. Oh ya, kau kata tadi kau sudah putus dengan Lily, bila dan kenapa?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Sebelum Suraya bernikah lagi, aku sudah putus dengan Lily. Aku ada masalah besar yang tak mahu Lily tahu," jawab Aduka sambil mengeluh.

"Jadi, sampai sekarang Lily masih tak tahu?" tanya Haziq.

"Kalau dia tahu sekarang, aku tak boleh nak bayangkan apa jadi weh," sampuk Rashdan.

"Kenapa?"

"Lily sudah berkahwin, sudah beranak satu pun," jawab Rashdan.

"Ya ke? Su pula anak berapa?" tanya Haziq, ingin tahu.

Mendengar soalan Haziq, Rashdan dan Aduka saling berpandangan. Biar betul dia ini!

"Su mana ada anak," jawab Aduka.

"Takkanlah lima tahun kahwin, tak ada anak?" tanya Haziq lagi.

"Tak ada, Haziq. Suraya dengan Muhaimin tak pernah ada anak dan pembetulan, mereka hanya berkahwin selama empat tahun sahaja," jawab Rashdan pula.

"Eh? Lima tahun bukan? Kau salah kirakah?" tanya Haziq, tidak puas hati.

"Suraya sudah bercerai dengan Muhaimin sejak dari tahun lepas lagi. Bukankah kau ada bertemu Suraya baru-baru ini, dia tak beritahukah?" tanya Rashdan selepas menjawab soalan Haziq itu.

Haziq terbungkam. Dia seakan tidak boleh menghadam kata-kata Rashdan itu.

*BERSAMBUNG*

Friday, September 13, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 13

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12

"Aku tanya kau tadi, kenapa kau tak jawab Ji?" tanya Haziq, berang disindir sebegitu.


"Aku nak panggil dia cik ke puan ke, aku punya pasal! Kau itu, bergaduh dekat tempat orang, cantik sangat ke perangai?" sindir Tarmizi, bengang dengan perangai Haziq itu.

"Sudahlah itu, encik Tarmizi, encik Haziq. Jangan sebab saya, kamu berdua bergaduh pula," ujar Suraya, cuba meleraikan pergaduhan.

"Dia punya bebal ini tak boleh nak bawa berbincang dah, Su! Saya geram," jawab Tarmizi.

"Apa yang bebalnya? Kau tahu kan, Suraya ini isteri orang? Aku pula yang kau bebalkan kenapa?" tanya Haziq, tak mengerti.

"Sudahlah, saya akan jawab semua soalan encik Haziq. Apa dia?" ujar Suraya bagi menukar topik.

"Buat apa nak bercakap dengan awak tentang perkara yang awak tak ingat? Buang masa!" bentak Haziq lalu beredar keluar.

Tarmizi memandang Suraya dengan perasaan hairan. Suraya pula hanya mempamerkan wajah mendung bagi menyembunyikan resah hatinya.

"Sampai bila Su nak pura-pura lupa? Sudah hampir seminggu sejak kau orang bertemu di majlis Puteri, sepanjang itulah dia tak fokus, tak bermaya, marah-marah," terang Tarmizi.

"Saya tahu saya tak sepatutnya buat begitu, tapi sakit saya nak lupakan dia, bagaimana pula? Bagaimana pula dengan keperitan 4 tahun menjadi isteri Muhaimin? Tapi sedetik pun saya tak mampu nak salahkan dia. Saya tahu niatnya, traumanya sebelum saya kahwini Muhaimin lagi," jelas Suraya.

"Teruk sangatkah layanan Muhaimin?" tanya Tarmizi, ingin tahu.

"Saya bukannya isteri, tapi kucing dalam sangkar. Setiap gerak geri saya, perbelanjaan saya dikawal sepenuhnya oleh Muhaimin. Bila difikirkan, macam tawanan pun ada," jawab Suraya.

"Bagaimana awak boleh tunggu sampai 4 tahun?" tanya Tarmizi lagi.

"Saya tunggu dia buat silap, barulah saya paksa dia ikut rancangan saya," jawab Suraya sambil tersenyum.

"Kenapa seksa diri, Su?" tanya Tarmizi lalu mengeluh.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis.

      *     *     *     *     *

"Cempaka sudah tidur?" tanya Lily sambil menggosok pakaian di sudut bilik tidurnya.

"Sudah, cepat dia terlelap. Barangkali penat sangat agaknya," ujar Adrian, suami Lily yang dinikahinya sejak tiga tahun lepas.

"Alhamdulillah, lega Lily. Dia cepat lena bukannya sebab penat, tapi sebab daddy dia tidurkan," jawab Lily sambil menghadiahkan senyuman kepada suaminya itu.

"Lily jangan senyum begitu, anak kita belum umur setahun lagi. Nanti takut termengandung pula," seloroh Adrian sambil tersenyum.

Lily yang baru sahaja selesai menggantung pakaian kerja Adrian itu berjalan menuju ke arah katil lalu duduk di birai katil berdekatan dengan tempat Adrian berlujur.

"Apa salahnya? Kalau Lily termengandung, abanglah jaga Cempaka," ujar Lily sambil tersenyum nakal.

"Abang rasa, abang nak pergi tandas sekejap," jawab Adrian lalu bangun dari katil menuju ke arah bilik air.

Melihat reaksi suaminya, Lily tergelak kecil. Dia mengenali Adrian ketika Adrian masih bekerja sebagai despatch di sebuah syarikat kourier yang sering digunakan untuk menghantar barang-barang jualannya.

Pada mulanya, Adrian sekadar bergurau senda dengannya. Akan tetapi, melihat kesungguhan Adrian, hatinya terbuka untuk berkenalan dengan lelaki itu.

Setelah setahun berkawan, akhirnya Adrian meminangnya dan mereka bertunang selama setahun sebelum bernikah. Ketika mereka berkahwin, Adrian sudahpun bekerja sebagai penyelia di syarikat kourier lain.

Meskipun hidupnya tidak mewah seperti Suraya, tetapi dia bahagia mendapat seorang suami yang ringan tulang dalam mengerjakan rumah tangga. Hidupnya bahagia, tidak seperti Suraya yang seringkali makan hati dengan sikap suami dan bapa mentuanya itu.

Dia juga bersyukur kerana kehadiran Adrian telah mengubat lukanya ditinggalkan Aduka 5 tahun lalu. Sejak mereka berpisah, sekalipun dia tidak bertemu lagi dengan lelaki itu. Dia berharap lelaki itu gembira dengan penggantinya kelak.

"Lily sayang, penat abang tunggu sayang habis termenung. Fikirkan apa itu?" tanya Adrian yang sedang tercegat di hadapan Lily membuatkan Lily tertawa.

"Apa yang kelakar itu?" tanya Adrian lagi.

"Tak ada, tiba-tiba teringatkan Su. Dia kahwin dulu, tapi kita yang ada anak."

"Sudah bukan jodoh dia, tapi Allah dah tulis dia jaga jodoh adik Lily. Setidaknya, kita tahu Su dah buat yang terbaik. Oh ya, kenapa Su tak datang majlis Lia hari itu? Bukankah dia event planner?

"Dia takkan berada di tempat yang sama dengan ibu, itu azam dia sejak kahwin dengan Muhaimin dulu."

"Habis itu, dia tinggal di mana sekarang?" tanya Adrian, hairan.

"Rumah keluarga angkatnya. Orang itu sudah tawarkan tempat tinggal sejak sebelum Su berkahwin dengan Muhaimin lagi."

"Siapa keluarga angkatnya?"

"Keluarga bekas majikannya," jawab Lily sambil mengeluh.

"Sudah, jangan nak mengeluh lagi. Penat dah abang berdiri ni. Jom kita tidur," ujar Adrian sebelum menutup lampu bilik dan terus menuju ke arah katil semula.

     *     *     *     *     *

Lily sedang meneguk air suam yang dipesannya apabila Suraya dan Zulaikha tiba di situ. Tanpa berlengah, keduanya duduk berhadapan dengan Lily.

"Kau orang datang sekalikah?" tanya Lily, hairan dengan kehadiran serentak keduanya.

"Ya, aku kebetulan jumpa klien di kawasan rumah Ika. Jadi, alang-alang jemputlah sekali. Balik nanti Rashdan jemput lepas dia selesai urusannya," jawab Suraya.

"Siapa jaga Zara?" tanya Lily lagi.

"Adik ipar Ika ada di rumah. Dia yang tolong jagakan," jawab Zulaikha.

"Alahai, boleh saja cakap adik Rashdan," ujar Suraya sambil tertawa.

"Kau pula, jauhnya jumpa klien. VIP ke?" tanya Lily.

"Aku jumpa bekas majikan akulah. Next event aku adalah Annual Dinner mereka," jelas Suraya sambil tersenyum.

"Jumpa Haziqkah?" tanya Zulaikha, ingin tahu.

"Tak, Su dah jumpa Haziq minggu lepas. Teruk juga bergaduhnya. Hari ini jumpa Encik Tarmizi dan Puteri," jawab Suraya.

"Kau bergaduh apa?" tanya Lily pula.

"Dia ingat aku masih lagi isteri Muhaimin. Hilang akal dia bila orang panggil aku cik. Macam dia pula Muhaimin," jawab Suraya sambil mencebik mukanya.

Mendengar kata-kata Suraya itu, terbahak-bahak Lily dan Zulaikha ketawa.

"Seriuslah? Kalau dia pernah berkahwin dengan kau, orang panggil gila talak tapi yang ni, gila bayang!" ujar Lily sambil tertawa.

"Biarkan dia, papa kata suruh ajar dia cukup-cukup. Jadi, aku ajarlah," ujar Suraya sambil tersenyum.

"Su masih tinggal dengan keluarga Haziqkah?" tanya Zulaikha.

"Papa pernah saja tawarkan rumah baru pada Su, tapi Su tolak. Su lagi selesa tinggal di rumah mereka. Meriah, suka sangat. Mungkin sebab keluarga mereka mengingatkan Su kepada arwah keluarga Su kot," jawab Su, menahan sebak.

Lily serba salah mendengar jawapan Suraya itu. Dia tahu, keluarganya tidak mampu memberikan kasih sayang yang Suraya impikan kerana sikap ibunya sehinggakan sepupunya itu terpaksa menumpang kasih pada keluarga orang.

"Aku minta maaf sebab tak mampu buat ibu aku terima kau. Aku ingatkan lepas pengorbanan kau lepaskan Muhaimin, ibu aku akan terima kau tapi dia masih lagi begitu walaupun dia dah dapat menantu idamannya," ujar Lily dengan perasaan bersalah.

Mendengar kata-kata Lily, Suraya tersenyum nipis. Dia tahu tak ada apa yang boleh mengubah pendirian ibu saudaranya itu. Situasi ini hanya akan berubah jika ibu saudaranya sendiri yang ingin berubah.

"Macam aku beritahu Lia dulu, apa yang terjadi antara ibu kau dan aku bukan tanggungjawab kau. Aku sanggup tunggu sampai ibu kau maafkan aku. Biarlah masa yang tentukan segalanya," jawab Suraya sambil tersenyum.


"Apa yang jadi antara kau dengan Muhaimin sewaktu kau ambil keputusan nak bercerai dengan dia dulu?" tanya Lily, ingin tahu.


"Apa jadi apa? Aku dapat tahu dia bercinta dengan Lia belakang aku, jadi aku minta cerailah," jawab Suraya, selamba.


"Takkanlah 4 tahun kau berkahwin, baru kau tahu? Mereka dah berkawan selama 8 tahun kot!" ujar Lily.


"Kau ingat hidup aku ini semasa jadi isteri Muhaimin samakah dengan sebelum berkahwin?" tanya Suraya, ingin menduga.


"Ya, aku faham tapi takkan sekalipun tak pernah kantoi?" duga Lily.


"Apa yang kau nak sampaikan sebenarnya?" tanya Suraya, penat hendak terus mengelat.


"Aku tahu kau dah tahu tentang hubungan Lia dengan Muhaimin sebelum kau jadi isterinya lagi. Aku ingat lagi kemurungan yang kau hadapi tak lama selepas kahwini Muhaimin. Mula-mula aku ingatkan sebab kau bergelut nak lupakan Haziq tapi kau tak ada sebut apa-apapun tentang Haziq baik kepada aku, Ika mahupun Rashdan. Jadi, aku syak kau dah tahu," jelas Lily.


Suraya melepaskan keluhan berat tatkala penjelasan itu diberikan. Zulaikha hanya mengangguk bagi mengiyakan kata-kata Lily itu.


"Ya, aku dah tahu. Aku boleh ceritakan apa yang terjadi malam sebelum Muhaimin jatuhkan talak ke atas aku di hadapan keluarganya, tapi dengan syarat," jawab Suraya.


"Apa dia?" tanya Zulaikha.


"Cerita ini habis di sini. Suami kau orang, keluarga kau orang, sesiapapun tak boleh tahu. Termasuklah Rashdan," sambung Suraya lagi.


Zulaikha dan Lily saling berpandangan antara satu sama lain sebelum kedua menganggukkan kepala mereka.


"Sebenarnya, adik kau nyaris kena tangkap khalwat dengan bekas suami aku malam itu. Aku pergi spa malam itu, tapi hati aku tak sedap. Jadi, aku baliklah rumah terus. Aku sampai rumah 5 minit sebelum pegawai pencegah maksiat datang. 5 minit itulah yang selamatkan maruah bekas suami aku dan adik kau," jelas Suraya dengan mata yang mulai bergenang.


"Kau tak tipu aku, bukan?" tanya Lily, seakan tidak percaya.


*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com