Saturday, January 21, 2012

Kekuatan Wanita Itu Part 11...


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog kelabu ini... Okay, hari ini ana nak sambung lagi cerpen bersiri ana...  =) Macam biasa, link part sebelumnya ada kat bawah ye:


Sarah sedang memasak apabila loceng pintu rumahnya berbunyi. Terus saja dia menutup api dapur lalu menuju ke pintu rumahnya dan membukanya. Kelihatan Raihana sedang berdiri dihadapannya.

"Assalamualaikum kak," sapa Raihana.

"Waalaikumussalam Ana, masuklah. Abang Fauzi tahu tak Ana nak datang?" jawab Sarah, gembira.

"Tahu, kak. Tadi Ana ada beritahu dia tapi dia pesan dia mungkin balik lewat. Nak jumpa kawan, katanya," terang Raihana.

"Oh ya ke. Dia memang selalu macam itu sejak kebelakangan ini. Dalam seminggu, mesti dua atau tiga hari dia akan balik lewat. Kadang-kadang kerja, kadang-kadang jumpa kawan. Duduklah, Ana," jawab Sarah.

Raihana duduk di sofa berhadapan dengan tempat Sarah berdiri.

"Ana nak minum apa-apa? Akak siapkan," tanya Sarah.

"Boleh juga, tapi tak kisah air apa-apapun. Terima kasih ya kak," jawab Raihana sambil tersenyum.

"Kalau macam itu, elok sangatlah. Akak pergi ambil air kejap, sebelum kamu sampai tadi akak ada bancuh sirap limau," terang Sarah sebelum beransur ke dapur untuk mengambil minuman.

Setelah Sarah beredar, Raihana mengambil telefon bimbitnya lalu membuka laman sesawang Facebook. Diamatinya status yang dihantar Fauzi petang tadi yang berbunyi:

"Sedang berbahagia bersama yang tersayang. Biarpun sibuk, namun tetap ada masa untuk dia. :)"

Hati Raihana mula diulit kebimbangan setelah mengamati status tersebut. Lantas dia teringat peristiwa minggu lepas di mana dia terlihat Fauzi sedang makan tengahari bersama Hafiz di sebuah restoran yang terletak di Ampang. Apa mungkin Fauzi membuat onar sekali lagi?

"Apa yang kamu tenung kat handphone itu, Ana? Macam nak telan handphone itu saja gayanya," seloroh Sarah sambil meletakkan dulang berisi jag dan air di atas meja. Selepas itu, sebuah gelas berisi sirap limau diletakkan dihadapan Raihana.

"Akak, nak tanyalah. Dah berapa lama abang Fauzi 'sibuk' ya?" tanya Raihana untuk mencari kepastian.

"Dah dekat sebulan dah. Kenapa?" tanya Sarah pula.

"Maaflah kalau Ana ganggu urusan rumahtangga akak, tapi ada tak abang Fauzi luangkan masa bersama akak dalam masa sebulan ini?" tanya Raihana lagi.

"Tak sangat. Kadang-kadang kalau kat rumah pun, ada saja orang yang call dan mesej. Katanya ada projek baru kat Terengganu," jawab Sarah.

"Tapi akak, syarikat kami mana ada projek baru kat Terengganu. Dia pun tak ada pegang mana-mana projek kebelakangan ini," nafi Raihana.

"Kamu biar betul, Ana?" tanya Sarah.

"Ya Allah akak, kita dah kenal sejak sekolah menengah kan? Pernah ke Ana tipu akak? Lagipun, Ana ada terjumpa Fauzi keluar dengan Hafiz minggu lepas. Itu yang Ana jumpa akak, nakkan kepastian. Ana tak naklah main cakap saja, nanti jadi fitnah berdosa Ana kak," terang Raihana.

"Terima kasih Ana atas maklumat Ana. Akak hargai sangat. Nanti akak cuba berbincang dengan abang Fauzi ya. Minumlah air itu, nanti tawar pula," jawab Sarah sambil tersenyum hambar bagi menyembunyikan keresahan jiwa yang menyelubungi.

Sesungguhnya Raihana benar, dia sudah lama tidak dilayan seperti mula-mula suaminya keluar hospital dulu. Hati kecil dapat merasakan sesuatu telah berlaku, namun dia cuba menidakkannya. Tapi dengan pernyataan yang Raihana berikan, hatinya semakin kuat mengatakan suaminya sedang mengulangi dosa silamnya sekali lagi. Nampaknya dia harus mengingatkan Fauzi sekali lagi. Namun persoalannya, mampukah dia bertahan lagi setelah dua kali berdepan dengan situasi yang serupa? Selalunya kali ketiga adalah titik penamat, dia bimbang sesuatu akan berlaku pada rumahtangga yang terbina selama 2 tahun setengah itu.

"Ya Allah, berikan aku kekuatan... Kekuatan yang cukup untuk aku menghadapi dugaan yang Kau berikan padaku buat kali ketiga... Semoga aku dapat menghalang suamiku daripada terus berbuat dosa dibumi-Mu ini, ya Allah... Amin..." doa Sarah dalam hati.

* bersambung*



p/s: Catch up later guys, daa~

Friday, January 20, 2012

Kekuatan Wanita Itu Part 10...


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog kelabu ini... Okay, hari ini ana nak sambung lagi cerpen bersiri ana yang tetiba saja jadi hangat...  =) Macam biasa, link part sebelumnya ada kat bawah ye:


"Mak tak sangka Fauzi sanggup menconteng arang kat muka mak dan abah. Apa salah kami membesarkan kamu sampai kamu boleh jadi macam ni? Kalau mak tak paksa Sarah beritahu perkara sebenar, agaknya sampai hari ini mak tak tahu agaknya!" bentak Puan Ani. Kemarahannya benar-benar ketara sehingga matanya sudah bertukar merah. Sarah sudah tunduk ke lantai manakala Fauzi hanya mampu menelan air liur.

"Abah rasa, lebih baik kamu berkahwin saja. Kamu ada calon tak? Kalau tak, abah suruh mak kamu carikan," sampuk Encik Tajul sambil membaca akhbar.

"Siapa nak kahwin dengan orang macam dia, abang? Memalukan kita saja nanti!" bentak Puan Ani lagi.

"Fauzi nak kahwin dengan Sarah, mak, abah. Izinkan Fauzi," jawab Fauzi, lemah. Mendengar jawapan Fauzi, Sarah berpaling memandang lelaki itu. Adakah dia sekadar untuk menutup dosanya saja?
"Kau jangan buat main anak dara orang, Fauzi. Merana budak ni nanti, kau nak jawab apa dengan mak ayah dia?" tanya Puan Ani, melahirkan ketidak puasan hatinya dengan keputusan anak lelaki tunggalnya itu.

"Fauzi biseksual mak, bukan homoseksual. Walaupun Fauzi melakukan hubungan songsang, tetapi Fauzi masih ada perasaan terhadap wanita dan Fauzi sebenarnya tertarik dengan Sarah sejak hari pertama kami berkawan lagi. Cuma, Fauzi takut bertepuk sebelah tangan saja," terang Fauzi, takut-takut.

"Macam mana, Sarah? Setuju tak? Maaflah, pakcik kena tanya Sarah awal-awal sebab risau kalau-kalau Sarah..."

"Sarah terima cadangan Fauzi itu, pakcik, makcik. Sarah pun tak mahu tengok Fauzi terus tenggelam dalam dunia dia yang tiada kesudahannya itu. Izinkan Sarah bantu dia, pakcik, makcik," sampuk Sarah sebelum sempat Encik Tajul menghabiskan ayatnya.

"Kalau Sarah setuju, tak apalah. Insya-Allah minggu depan pakcik dengan makcik akan datang meminang Sarah ya. Pakcik dengan makcik hanya boleh harapkan Sarah untuk ubah Fauzi," jawab Encik Tajul, lega.

"Sarah? Mak dengan abah tahu tak?" pertanyaan Fauzi itu melenyapkan lamunan Sarah. Dia memandang Fauzi, wajah itu benar-benar ingin tahu kebenarannya.

"Mak dengan abah tahu sebelum kita kahwin, sebab itu abang masuk minang Sarah dulu," jawab Sarah, perlahan.

"Abang ni dah banyak susahkan Sarah kan?" keluh Fauzi.

"Taklah, Sarah yang terima. Mula-mula, mak tak nak gadaikan masa depan Sarah sebab anak dia yang comel ni, tapi Sarah nak nekad," jawab Sarah sambil menarik pipi suaminya.

Melihat reaksi Sarah, Fauzi tergelak kecil. Isterinya itu benar-benar tahu memujuk. Alhamdulillah kerana kurniakan isteri seperti Sarah buatnya.

*     *     *     *      *

"Hai, Fauzi. Lama tak jumpa. Sihat?" suara itu membuatkan Fauzi mula kurang selesa. Kenapalah insan ini hadir tatkala dia ingin membuangnya dari hidupnya?

"Sihat, kau buat apa kat sini? Aku tak rasa aku nak jumpa kau," jawab Fauzi hambar.

"Whoa, whoa, tiba-tiba ber'aku kau' ni kenapa? Dulu, bukan main sayang lagi. Takkan dah sayang bini kot?" sindir Hafiz.

"Aku cakap elok-elok, Hafiz. Jangan ingat kau pernah jadi kawan baik dan... ke..kasih aku, kau boleh pijak kepala aku sesedap rasa kau!" bentak Fauzi, marah.

"Rilekslah sayang, saya rindu awaklah," goda Hafiz sambil meraba pergelangan tangan Fauzi.

Entah mengapa, Fauzi dapat merasakan gelodak nafsu songsangnya telah tiba. Apa yang dia risaukan telahpun tiba. 

"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini," bisik hati kecil Fauzi.

"Alahai Fauzi, ingatan memang boleh hilang tapi nafsu tetap ada. Saya tahu awak nak, tapi awak menafikan saja. Marilah Fauzi, saya rindukan awak..." goda Hafiz lagi.

"Sudahlah! Sebelum aku naik angin, lebih baik kau keluar dari sini! Aku kata aku tak nak, aku tak naklah, yang kau..."

Belum sempat Fauzi menghabiskan ayatnya, Hafiz telahpun bertindak drastik dengan mengucup bibirnya. Mulanya dia meronta, tetapi akhirnya dia tewas jua...

*bersambung*



p/s: Catch up later guys, daa~

Thursday, January 19, 2012

Kekuatan Wanita Itu Part 9...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog kelabu ini... Alahai, kena tukar namanya... Dari blog biru jadi blog kelabu... Hahaha... Okay, hari ini ana nak sambung lagi cerpen bersiri ana yang tetiba saja jadi hangat... Thanks semua sebab menyokong cerpen bersiri ana sampai laaa ni... =) Macam biasa, link part sebelumnya ada kat bawah ye:



Selepas menunaikan solat Isyak, Fauzi mula berasa hairan kerana rumahnya sangat senyap. Selalunya pasti kedengaran bunyi televisyen ataupun bunyi isterinya memasak. Apakah yang terjadi di luar? Sudah larikah isterinya kerana apa yang dia lakukan siang tadi? Perasaan ingin tahu Fauzi itu membawanya ke pintu bilik dan membukanya dengan perlahan.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Sarah sedang tidur di atas lantai, betul-betul di hadapan pintu biliknya. Pasti Sarah tertidur ketika ingin memujuknya keluar, fikirnya. Lantas dia mencempung isterinya itu, lalu dibawanya ke dalam bilik tidur mereka dan diletakkan Sarah di atas katil.

"Sarah, abang bukan bermaksud nak buat Sarah sedih. Untuk orang yang hilang ingatan macam abang ni, mengetahui hakikat diri abang yang sebenar adalah sesuatu yang sangat sulit untuk abang jalani, sayang. Jadi, abang harap Sarah akan berterus terang supaya abang boleh kuat bersama Sarah. Maafkan abang ya, Sarah," luah Fauzi tanpa disedari yang Sarah sudahpun terjaga. Lantas dia bangun untuk turun ke bawah, tetapi tangannya dipegang erat oleh Sarah.

"Ampunkan Sarah, abang. Sarah tahu Sarah tak patut sorok kebenaran itu. Cuma Sarah takut abang tinggalkan Sarah," pujuk Sarah.

"Sayang, macam mana sayang boleh fikir macam itu? Memang abang pernah menduakan sayang, tapi Sarah tetap yang pertama dan yang halal buat abang."

"Tapi Sarah masih takut dengan bayang-bayang sendiri. Sekuat-kuat Sarah, Sarah tak mampu nak tanggung semuanya."

"Ya, abang tahu sayang. Sarah cuma manusia biasa, bukan bidadari syurga. Kerana itulah abang sayangkan Sarah, abang inginkan Sarah jadi Ainul Mardhiah abang kat syurga nanti. Tapi Sarah kena tolong abang masuk syurga dulu," jawab Fauzi.

Mendengar jawapan Fauzi, Sarah tersenyum. Benar, untuk memastikan dirinya ke syurga, dia harus membantu suaminya ke syurga dahulu.

"Apa yang Ana beritahu abang pasal masa silam abang?" tanya Sarah.

"Semuanya yang perlu abang tahu. Siapa abang, apa yang abang pernah buat pada Sarah dulu, apa yang Sarah harapkan dengan abang. Semuanya," jawab Fauzi.

"Semuanya? Termasuk Hafiz?" tanya Sarah lagi.

"Ya, sayang. Termasuk Hafiz. Sebab dia dah muncul, jadi Ana rasa abang perlu tahu siapa Hafiz. Cuma abang risau satu saja," keluh Fauzi.

"Apa dia, abang?" tanya Sarah.

"Abang takut abang kalah dengan diri abang lagi. Kerana ingatan abang yang kejap ada dan kejap tak ada ini, abang mudah untuk termakan pujuk rayu syaitan. Sebab abang masih keliru dengan diri sendiri. Itu yang abang harap sangat Sarah ada untuk bantu abang," luah Fauzi.

"Selagi Sarah boleh bantu abang, insya-Allah abang boleh harapkan Sarah. Tapi Sarah tak mampu nak janjikan apa-apa, sebab yang menentukan segalanya adalah Allah SWT," jawab Sarah, tenang.

"Pandai betul isteri abang ni berkata-kata ya. Kenapalah abang tak boleh tutup mata abang pada selain daripada bidadari abang ni?" keluh Fauzi lagi.

"Mungkin sebab Allah SWT masih ingin menguji kita. Untuk tengok sekuat mana iman kita. Perubahan bukan sesuatu yang mudah. Tambahan pula dengan ingatan abang yang kejap ada dan kejap tak ada itu kan, lagi rapuh iman abang pada Allah SWT."

"Hmm... itulah yang abang risaukan. Sungguh, mendengar Ana menceritakan hakikat itupun abang sudah keliru, apatah lagi untuk memahaminya."

"Tak apa, nanti kita fahamkan sama-sama ya. Memang kita takkan tahu berapa banyak masa yang kita ada, tapi kita boleh usaha kan?" tanya Sarah sambil tersenyum.

"Insya-Allah Sarah, tapi abang nak tahu satu saja lagi."

"Apa dia abang?"

"Mak dengan abah tahu tak anak mereka sebenarnya biseksual?" tanya Fauzi.

Mendengar soalan itu, Sarah berasa sangat terkejut. Kenapa suaminya itu ingin tahu adakah ibu bapa mentuanya tahu atau tidak sejarah silamnya itu?

*bersambung*



p/s: Catch up later guys. Daa~

Kekuatan Wanita Itu Part 8...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog biru ini... Hari ini ana nak sambung lagi cerpen ana untuk kali keduanya... Macam biasa, untuk link-link part sebelumnya, sila tekan bawah:


"Kawan baik ni kalau dah berjumpa, mesti ada drama air mata," seloroh Fauzi.

Mendengar kata-kata Fauzi, Raihana dan Sarah tersentak. Takkanlah orang yang amnesia boleh berbicara sebegini.

"Macam mana abang tahu?" tanya Sarah.

"Abang tak tahulah, bila tengok kamu berdua, tiba-tiba nampak keadaan yang sama tapi situasi, tempat dan pakaian yang berbeza. Macam dah selalu tengok je. Apa maknanya ya?" jawab Fauzi.

"Mungkin abang dah mula ingat kot. Alhamdulillah," jawab Sarah sambil mencuba untuk menyembunyikan rasa resahnya. Namun pantas dihidu Fauzi.

"Kenapa ini, sayang?" tanya Fauzi.

"Hah? Tak ada apa-apalah. Jom kita minum, air pun dah siap,"jawab Sarah untuk mengubah topik.

"Sarah cuba jangan tipu abang. Muka Sarah itu dah terlalu ketara, kenapa resah sangat ni?" tanya Fauzi lagi.

"Betul, tak ada apa-apalah. Cuma terkejut tadi tak hilang lagi."

Raihana yang memerhatikan mereka sudah mulai risau. Dia sudah tak tahan untuk melihat adegan mengelat Sarah lalu dia pun berlalu meninggalkan mereka berdua di dapur. Melihat tindakan Raihana, Fauzi merapatkan diri dengan Sarah lalu mendekatkan wajahnya dengan telinga Sarah.

"Jangan ingat abang tak ingat apa-apa, Sarah boleh sorok dari abang. Abang tanya Sarah hanya untuk melihat sejauh mana Sarah mampu untuk berterus terang. Abang tahu kenapa abang tak baik lagi dengan Hafiz, tak payah Sarah sorokkan. Raihana dah beritahu abang segalanya dalam perjalanan balik tadi, tapi abang tak bagi dia beritahu Sarah. Terima kasihlah Sarah sebab buat abang begini," bisik Fauzi lalu beredar menuju ke bilik tidur mereka di tingkat atas.

Mendengar bisikan suaminya, dia bungkam. Dia berlari mengejar suaminya, tetapi suaminya lebih pantas mengunci pintu biliknya. Raihana yang melihat adegan itu turut berlari mengikut Sarah. Sarah cuba mengetuk pintu.

"Abang, buka pintu ini abang! Dengarlah penjelasan Sarah dulu..." pinta Sarah sambil mengetuk pintu bilik mereka.

"Pergilah! Abang mahu bersendirian!" terdengar jeritan dari dalam bilik.

"Abang! Ampunkan Sarah, abang! Ampunkan Sarah!" raung Sarah dalam tangisan. Tangan yang kuat mengetuk pintu sedari tadi telahpun berhenti dan Sarah yang berdiri sudah duduk mencangkung. Tangisannya semakin lama semakin kuat.

Raihana hanya mampu melihat. Dia tahu tak guna masuk campur, itu urusan rumah tangga mereka. Dia hanya mampu berharap rajuk Fauzi tak berpanjangan.

*bersambung*



p/s: Catch up later guys... Daa~

Wednesday, January 18, 2012

Kekuatan Wanita Itu Part 7...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog ini... Jadi, setelah hampir seminggu tak menyambung cerpen, hari ini ana akan menyambungnya semula... Link dibawah adalah part yang sebelumnya:


"Kenapa tak jawab soalan Ana, akak? Ana tanya ini, kenapa mesti tipu dia?" tanya Raihana untuk kali kedua.

"Sebab akak tak nak bayang-bayang dosa silam abang Fauzi kembali lagi," jawab Sarah, ringkas.

"Habis itu, akak ingat dengan menipu macam ni, hakikat sebenar takkan keluar?" tanya Raihana lagi.

"Akak tak tipulah, memang Hafiz kawan baik abang Fauzi dulu. Cuma akak sembunyikan hakikat sebab akak tak mahu abang kecewa dengan dirinya sendiri. Itu tak elok untuk kesihatan dia," jawab Sarah lagi.

"Tapi kalau abang Fauzi dapat tahu hakikatnya nanti, apa pula katanya? Mesti dia akan sangka akak tipu dia kan?" Raihana masih tak berpuas hati.

"Andai satu hari nanti dia tahu kebenarannya, biarlah dia yang tentukan segalanya. Akak redha. Tapi buat masa sekarang, dia tak boleh tahu apa-apa," jawab Sarah.

"Memang, wanita ini Allah SWT dah ciptakan cukup tabah, akak. Air mata yang keluar dari wanita lebih ikhlas berbanding lelaki, kerana itu doanya lebih makbul. Tapi itu tak bermakna wanita boleh sesuka hati meletakkan dirinya dalam bahaya hanya untuk selamatkan lelakinya," bebel Raihana.

"Kerana wanita lebih tabahlah, wanita harus banyak berkorban. Dia harus korbankan keseronokan demi ketaqwaan. Dia harus korbankan cinta duniawi untuk cinta ukhrawinya. Dia harus korbankan kegembiraannya untuk kegembiraan orang-orang yang disayanginya. Dia juga harus korbankan diri untuk menyelamatkan insan tersayangnya."

"Kadang-kadang kak, ada bezanya antara pengorbanan dan kebodohan!" bentak Raihana.

"Pengorbanan atau kebodohan, biar Allah SWT yang menilai, bukan Ana ataupun akak. Akak cuma nak lakukan apa yang hati akak mahukan, selagi ianya tak melanggar syarak. Dia suami Sarah, Ana. Apa salahnya akak berkorban untuk dia?"

"Setelah bermacam-macam perkara yang menimpa akak sebelum ini, akak masih bersangka baik pada dia?"

"Akak ulang sekali lagi ya, dia suami akak dan selagi kami tak terpisah, dia tetap suami akak. Allah sendiri telah memerintahkan agar kita sentiasa bersangka baik atau husnuzon pada semua orang, apatah lagi suami?"

Raihana terdiam sejenak. Apalah yang telah merasuknya sehinggakan dia terlupa bahawa setiap hamba Allah sepatutnya bersangka baik pada yang lain. Astaghfirullah hallazim...

"Apapun, Ana cuma tak mahu akak menderita lagi. Itu saja," jawab Raihana.

"Terima kasih sebab mengambil berat, Ana tapi biarlah akak derita di dunia andai di akhirat kelak bahagia akan datang pada akak. Insya-Allah, akak yakin janji Allah itu pasti," jawab Sarah sambil tersenyum.

Melihat senyuman Sarah, Raihana terus memeluk rakan baiknya itu kerana ingin menahan sebak. Baginya, cukuplah derita yang ditanggung Sarah sebelum ini. Mengapalah ianya semakin bertambah? Namun dia tahu takdir Allah SWT bukanlah sesuatu yang kejam. Pasti akan ada hikmahnya kelak.


"Lamanya bancuh air. Buat air dulu ke?" pertanyaan itu mengejutkan kedua mereka. Pelukan mereka terlerai apabila melihat Fauzi sedang berdiri di hadapan mereka. Mata Raihana yang bergenang diseka pantas.

*bersambung*



p/s: Catch up later guys... Daa~

Thursday, January 12, 2012

Kekuatan Wanita Itu Part 6...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog biru ini... Dah beberapa hari ana tak sambut cerpen bersiri ana itu kan? Jadi hari ini ana nak sambung... Untuk link part sebelumnya, sila klik link-link dibawah ye:

"Macam mana kerja hari ini, abang? Okay?" tanya Sarah sebaik saja Fauzi duduk di sofa selepas pulang dari kerja. Raihana yang mengambil dan menghantar Fauzi pergi dan pulang dari kerja hanya tersenyum melihat wajah Sarah yang resah itu.

"Sarah risaukan abang ya? Kerja okay, cuma abang rasa macam baru mula kerja walaupun dah lama kerja kat situ," seloroh Fauzi lalu ketawa.

"Kenapa pula?" tanya Sarah lagi.

"Abang tak ingat sesiapapun kat pejabat itu kecuali Ana. Tak ke macam baru mula kerja itu?" tanya Fauzi pula.

"Maaf, abang. Sarah terlupa. Abang berbual dengan Ana dulu, Sarah pergi buat air," jawab Sarah lalu bingkas bangun. Namun pergerakannya terhenti apabila Fauzi memegang tangannya.

"Duduk sekejap, abang ada benda nak cakap," kata Fauzi, serius.

"Apa yang tak menyempatnya sampai tak boleh tunggu Sarah buat air?" tanya Sarah pula.

"Siapa Hafiz itu?" tanya Fauzi.

Mendengar soalan itu, Sarah tersentak. Semakin dia ingin lupakan nama itu, semakin kerap nama itu muncul dalam hidupnya. Sarah memandang Raihana, dia mengangguk tanda menyuruh Sarah sendiri memberitahunya.

"Sarah boleh jawab, tapi Sarah nak tahu dulu kenapa abang tanya," tegas Sarah.

"Dia datang jumpa abang dekat pejabat tadi, cakap nak betulkan keadaan. Apa keadaan yang nak diperbetulkan kalau abang sendiri tak boleh nak ingat dia siapa," jelas Fauzi.

"Sebenarnya, dia adalah kawan baik abang dulu," jawab Sarah, tenang.

Jawapan Sarah amat mengejutkan Raihana manakala Fauzi menjadi lebih hairan.

"Hafiz dengan abang dah berkawan sejak di Universiti Malaya dulu. Waktu abang belajar ijazah. Tapi abang dengan dia bergaduh dua tahun lepas kerana dia melakukan sesuatu yang abang dah tak boleh terima, jadi abang tak nak berkawan dengan dia lagi. Mungkin dia nak perbetulkan keadaan itu," terang Sarah lagi. Raihana yang menjadi pemerhati hanya mampu menggeleng lemah.

"Jadi, apa yang patut abang buat sekarang?" tanya Fauzi lagi.

"Kalau abang rasa abang nak berkawan semula dengan dia, terpulanglah. Sarah tak nak paksa," jawab Sarah, tenang.

"Kalau sampai abang tak nak berkawan lagi dengan dia, mesti benda besar kan? Abang dah tahu apa nak buat sekarang. Terima kasih sayang sebab terangkan pada abang, sekarang Sarah boleh pergi buat air. Abang hauslah," jawab Fauzi sambil tersenyum nakal.

Sarah tersenyum lalu bangun dan menuju ke dapur untuk membancuh air dan diikuti oleh Raihana. Kehadiran Raihana ke dapur tidak dipedulikan Sarah malah Sarah terus membancuh air seolah-olah Raihana itu halimunan.

"Kenapa akak tipu dia? Kenapa tak terus terang saja?" tanya Raihana.

Mendengar soalan Raihana, Sarah yang sedang mengacau air limau itu berhenti. Suasana sepi tanpa suara dari kedua mereka.

*bersambung*



p/s: Catch up later guys... Daa~

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com