Tuesday, August 18, 2015

Rasa yang Sama Part 13 (Akhir)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:

"Maksud Inspektor, isteri saya letakkan telefon bimbit dia dalam kereta saya? Saya sendiripun tak pernah terfikir nak buat begitu," ujar Asyraf selepas mendengar penjelasan Inspektor Ismail.

     "Ada satu lagi perkara yang memudahkan kami untuk mengesan Encik Asyraf sebenarnya," terang Inspektor Ismail.

     "Apa dia, Inspektor?" tanya Asyraf, bingung.

     "Ada orang buat laporan bahawasanya dia tahu kedudukan Encik Asyraf ketika itu. Dia telah membongkar semua jenayah yang Cik Rania lakukan bersamanya, termasuklah kes gelapkan wang syarikat Encik Halim."

     "Nazrin?" teka Asyraf.

     Inspektor Ismail mengangguk tanda mengiyakan. Asyraf tak mampu untuk berkata apa-apa kerana terkejut dengan jawapan yang diberikan.

     "Saya nak jumpa dia, boleh?" tanya Asyraf.

     *     *     *     *     *
"Kenapa kau nak jumpa aku, Asyraf? Aku ini tak layak dipanggil kawan, aku ini manusia jenis makan kawan," ujar Nazrin sebaik sahaja dia duduk berhadapan Asyraf.

     "Sejahat-jahat kau, kau tetap kawan aku. Kau cuma buat silap, semua orang buat silap bro. Kau, aku, kita semua buat silap. Yang bezanya, kau jumpa jalan pulang atau tidak sahaja."

     "Aku yang buat kau dengan Nisa kemalangan dulu, sampai kau orang hilang ingatan. Aku yang curi duit syarikat, aku yang buat kau kena tahan polis dulu, semuanya aku! Kau tak faham-faham lagi ke?" Nazrin mula meninggikan suaranya.

     "Aku tahu, aku tahu juga kau yang rancang kecurangan isteri aku."

     "Kau tahu dan kau masih berkawan dengan aku? Kau gila ke bro?"

     "Hak menghakimi kau atas apa yang kau pernah lakukan itu bukan hak aku, bro. Itu hak Allah. Aku yakin pasti ada sebab kenapa Dia rancangkan semuanya. Setiap kejadian ada hikmah, bro. Cuma bezanya cepat atau lambat hikmah itu akan tiba saja."

     Mendengar kata-kata Asyraf, air mata Nazrin mengalir laju. Terkenangkan khilaf dan kebodohan sendiri yang akhirnya memakan diri.

     *     *     *     *     *
5 tahun kemudian...

"Bro, mana serai untuk renjis minyak ni? Kau nak aku renjis minyak guna apa ni, guna kain kau yang ada kat ampaian itu ke?" sindir Nazrin.

     "Nah, aku lupa bro! Maaflah, janganlah nak buat ayat sarkastik sangat bro!" jawab Asyraf yang berlari-lari anak menyerah serai yang telah diikat kepada Nazrin yang sedang mengipas ayam yang dibakar.

     Nazrin hanya menggelakkan Asyraf yang berlari-lari itu. Yang lebih menggelikan hati adalah kelibat budak lelaki yang turut sama berlari di belakang Asyraf seolah-olah mengejar lelaki tersebut.

     "Bro, tu anak kau kat belakang kau itu kau ajak sekali ke? Tahan ke dia asap-asap ini? Dia kan macam ibunya," sindir Nazrin lagi.

     Asyraf menoleh lalu mendukung budak lelaki tersebut. Aiman bin Asyraf Rasyid, kini berusia empat tahun setengah merupakan anak sulung Asyraf dan Annisa. Rupanya ketika dia berdepan dengan Rania, Annisa telahpun mengandungkan anaknya.

     "Abang, lambat lagi ke? Nisa lapar!" jerit Nisa dari pintu dapur sambil mengusap perutnya yang buyut itu. Semenjak Nisa mengandungkan anak keduanya, selera makannya naik mendadak sehinggakan hampir setiap jam dia akan mengunyah sesuatu.

     "Nisa baru saja makan roti tadi, dah lapar balik ke? Aduhai, botaklah kepala abang begini!" seloroh Asyraf.

     "Tak apalah, abang kan sayang Nisa, kenalah terima. Betul tak Nazrin?" Perhatian Nisa beralih kepada Nazrin pula.

     "Siapa tak sayang bini oi?" seloroh Nazrin pula.

     Pecah tawa Nisa dan Nazrin akibat lawak Nazrin tadi. Asyraf hanya mampu menahan malu akibat dikenakan oleh kawan baik sendiri.

     "Bro, isteri ini amanah Allah. Dalam rumahtangga, bukan hanya rasa yang sama itu kena ada, tapi sifat saling melengkapi itupun kena ada juga bro. Apa yang dia kurang, kau tambahkan. Apa yang kau kurang, dia tambahkan. Jujur aku cakap, aku cemburu dengan kau sebab kau ada Nisa. Aku sentiasa berdoa agar satu hari nanti aku dapat isteri macam Nisa. Boleh melengkapkan aku," terang Nazrin, panjang lebar.

     "Terima kasih, bro. In shaa Allah, aku akan ingat nasihat kau itu," jawab Asyraf lalu memeluk Nazrin. Keduanya tak mampu menahan sebak lalu mengalirkan air mata.

     Nisa yang melihat drama sebabak di hadapannya hanya mampu tersenyum bertemankan air mata yang tiba-tiba gugur.

*Tamat*

Foot print: Tak nampak hala tuju... :'(

Friday, August 14, 2015

Rasa yang Sama Part 12...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:

"Pilihan pertama, you datang di alamat yang bakal I whatsapp you nanti bersama Nisa. Jadi, apa-apa jadi pada you atau Nisa, you guys were together. Pilihan kedua, you datang di alamat yang sama, but alone. If you chose this option, I cannot guarantee the safety of Nisa if I am not satisfied with you later. Mungkin you tak berpeluang nak tengok muka dia buat kali terakhir," arah Rania di hujung talian.

     Nisa sudah mula diulit rasa bimbang. Dia tahu Asyraf mungkin dalam bahaya. Bukan sahaja Asyraf, malah dia juga dalam bahaya tidak kira di mana dia berada sekalipun.

     "Apapun pilihan you, I nak ingatkan you satu perkara. Jangan ada sesiapapun cuba hubungi pihak polis. Kalau I dapat tahu, I akan pastikan Nisa takkan dapat hidup lagi," sambung Rania lagi.

     Asyraf memandang isterinya. Dia tahu, apa saja tindakannya, dia perlu menyelamatkan isterinya terlebih dahulu. Namun, dia perlu ada rancangan yang teliti.

     "Baik, I datang."

     "Good boy, Asyraf. See you later, alligator," kedengaran bunyi Rania memutuskan talian.

     Tak lama kemudian, kedengaran bunyi tanda Whatsapp masuk. Asyraf mengambil telefon bimbit lalu membuka Whatsapp tersebut. Selepas selesai membaca, dia meletakkan semula telefon bimbitnya di tempat tadi.

     "Abang bawa Nisa balik, abang rasa Nisa lebih selamat di rumah ayah dan mama Hajar. Abang akan maklumkan perkara ni pada abah supaya hantar polis ke tempat ni andai sebelum tengah malam abang masih belum pulang. Okay, sayang?"

     Nisa hanya mengangguk lemah. Dalam hatinya sudah terbuku kerisauan yang teramat kerana dia tahu wanita yang menghubungi suaminya tadi boleh meragut nyawa suaminya.

     "Apa-apapun, abang be careful. I don't want to lose you."

     "I will, my dear. I will."

     *     *     *     *     *
"Lambat betul you ni. Jenuh I tunggu. Roy, bawa dia ke sini!" Arah Rania setelah melihat Asyraf berjalan menuju ke arahnya.

     Roy mendekati Asyraf. Asyraf yang mengerti hanya mengangguk lalu mengikuti langkah Roy mendekati Rania. Asyraf disuruh Roy untuk duduk berhadapan Rania.

      "You mesti tertanya-tanya kenapa I suruh you datang sini kan? I suruh you datang sini sebab I tak puas hati kenapa hidup you masih tak rosak lagi? I sangka lepas you kena tahan, you akan dipenjarakan. Lepas itu, apa yang you cakap pada Nazrin sampai dia boleh rasa bersalah ha?" tengking Rania bagi melepaskan kemarahannya yang terbuku selama ini.

     Asyraf tidak menjawab, sebaliknya hanya kekal membatu sedari dia duduk tadi. Tindakan Asyraf benar-benar menggugat kesabaran Rania. Dia mengambil pistol dari tangan Roy yang berdiri di sebelahnya lalu mengacukannya ke arah kepala Asyraf.

     "Kalau kau nak selamat, aku nak seluruh bahagian kau dalam syarikat! All of them! Di depan kau ada surat pemindahan hak milik, aku cuma nak kau tanda tangan sahaja. Itupun kalau kau nak nyawa kau dan Nisa terjamin. Kau ingat aku tak boleh bunuh dia walaupun dia berada di rumah mak ayah dia?" arah Rania.

     "Apa jaminan kau yang kau akan lepaskan aku andai aku tanda tangan surat ini? Tak ada kan? Jadi, kenapa aku harus tanda tangan?"

     Mendengar pertanyaan Asyraf, Rania ketawa besar. Ternyata Asyraf lebih arif akan perancangannya. Dia memang mahu menamatkan riwayat hidup seorang Asyraf Rasyid, geram rasanya apabila insan itu tidak termakan godaannya.

     "Mungkin kalau kau tanda tangan, aku akan selamatkan nyawa Nisa. Who knows?" duga Rania.

     Asyraf terdiam. Dia harus memikirkan jalan agar dia tidak perlu memindahkan semua hak miliknya kepada gadis di hadapannya ini. Jalan yang akan menyelamatkan nyawanya dan juga isterinya. Tak lama selepas itu, dia terfikir satu jalan. Dengan pantas, Asyraf menandatangani surat yang berada di hadapannya.

     Rania yang melihat tindak-tanduk Asyraf hanya tersenyum sinis. Ternyata Asyraf telah jatuh ke dalam perangkapnya. Selepas Asyraf selesai menandatangani surat itu, Rania mengambil surat tersebut lalu diserahkan kepada Roy.

    "Sekarang, ucapkan selamat tinggal pada dunia, wahai Asyraf Rasyid Halim," ucap Rania lalu menarik picu pistol yang dipegang.

     Asyraf hanya mampu menutup matanya dan berserah kepada Tuhan atas ajal dan mautnya. Kedengaran bunyi tembakan, namun dirinya tidak berasa apa-apa kesakitan pun. Dia membuka matanya, kelihatan Rania telah terbaring di atas lantai berlumuran darah, manakala Roy dan konco-konco Rania yang lain sedang digari oleh pihak polis. Asyraf bingung, bagaimanakah pihak polis dapat menjejakinya?

     "Encik Asyraf Rasyid?" tanya seorang polis kepadanya.

     "Ya, saya. Bagaimana tuan boleh cari saya?"

     "Encik Asyraf, saya Inspektor Ismail daripada bahagian siasatan jenayah IPD Dang Wangi. Saya akan jelaskan semuanya nanti, tapi saya perlukan Encik Asyraf untuk ikut kami ke balai polis. Kereta encik di luar bukan? Anggota kami akan pandu kereta encik," terang Inspektor Ismail.

     Asyraf hanya mengangguk lemah.

*bersambung*

Saturday, August 8, 2015

Dekat tapi Jauh...

Nama aku Maizatul Nadrah, orang panggil Maizatul. Ada juga yang panggil aku Nadrah tapi tidaklah ramai. Sekarang ini aku bukan nak bercerita tentang nama aku, itu tak penting sebenarnya. Aku nak bercerita tentang cinta. Aku pasti semua orang pasti ada kisah cinta tersendiri, sama macam aku. Bezanya, aku tak nak bercerita tentang kisah cinta aku ketika aku sudah dewasa, sebaliknya kisah cinta ini hadir ketika aku masih di alam persekolahan. Bukan sekolah menengah tahu? Kisah cinta ini hadir tatkala aku berada dalam sekolah rendah.

            Bila bercerita tentang kisah cinta ketika zaman persekolahan, ramai yang menggelarkan ia sebagai cinta monyet. Ya, aku tak nafikan semua itu tapi ada beberapa perkara dalam kisah aku yang membuatkan aku tak pernah lupa akan kisah ‘cinta monyet’ aku ini. Hingga saat ini, tatkala usiaku menginjak 26 tahun, kisah itu masih tersemat utuh di dalam benak fikiranku.

                        *                      *                      *                      
Aku memandang lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dia merupakan salah seorang rakan sekelasku yang boleh dikatakan agak rapat denganku. Kami sekelas sejak tahun ini, namun di manakah dia pada tahun lepas aku tak berapa pasti. Lagipun bukan dia sahaja orang asing dalam kelas aku ini, masih ada beberapa orang lagi. Jadi, perkara itu tidak aneh bagiku.

“Ustazah ini memang saja nak tarik ramai orang kan? Nasib baik kita memang dah masuk kelas mengaji itu, jadi boleh abaikan surat ustazah ini kan?” ujarnya lalu menggulung kertas yang dipegangnya sedari tadi.
Aku hanya memandang wajahnya. Kami boleh dikatakan kerap bertemu, kerana kami sekelas di sekolah agama, kelas kami bersebelahan di sekolah kebangsaan dan kami juga mengikuti kelas mengaji yang sama pada waktu malam. Ramai orang mengatakan bahawa dia menyimpan perasaan padaku, tapi aku sengaja memilih untuk tidak percaya. Bukan kerana aku tidak menyukainya, tetapi kerana perasaan yang sangat matang itu hadir tatkala usia kami berdua masih di alam kanak-kanak. Jujur aku katakan, aku juga menyimpan perasaan yang sama tetapi belum masanya untuk aku luahkan.

Oh ya, terlupa aku nak cerita. Namanya, Zulqarnain. Orangnya mempunyai raut wajah yang tidaklah sekacak mana, namun sejuk mataku memandang. Dia ini memang nakal, sampai para ustazah, ustaz dan cikgu di sekolah memang mengenalinya kerana kenakalannya di dalam kelas. Akan tetapi, dia akan menjadi kurang nakal jika aku berada berhampirannya.

Dia pernah membuat ustazah kami menjerit kerana dia ingin memelukku yang sedang memadam papan hitam di hadapan kelas. Mujur kawan-kawan perempuan kami menjerit memanggilku, kalau tidak alamatnya aku ini dah kena peluk lelaki ajnabi seawal usia lapan tahun!

Dia juga sangat menyukaiku sehinggakan semua kawan baiknya terpaksa menjadi penyiasat bergeraknya. Semua tindak-tandukku, semuanya dilaporkan kepadanya. Kadang-kadang aku sengaja menggunakan kawan-kawan baikku untuk memberitahunya khabar-khabarku bagi mengelakkan kawan-kawannya mengganggu keamananku. Kasihan aku pada kawan-kawannya, kerana mereka juga adalah kawan-kawanku. Sudah pasti aku memahami kesusahan mereka.

Namun, apabila terlalu lama aku memilih untuk tidak berterus-terang akan perasaanku padanya, dia mulai resah. Tambahan pula, ada lelaki lain yang juga menyimpan perasaan padaku di kalangan kawan-kawannya. Dia bimbang aku tidak membalas perasaannya dan memilih insan lain sebagai yang teristimewa dalam hidupku. Bagaimanalah seorang budak lelaki berusia sembilan tahun ketika itu boleh berfikir sehingga ke arah itu sedangkan aku masih lagi memikirkan berapa banyak anak patung yang mahu dibeli nanti?

            *                      *                      *                      
“Maizatul, Zul minta aku tanya kau sesuatu. Boleh tak?” tanya Diandra, kawan sekelasku sebaik sahaja dia duduk di sebelahku. Ketika itu, kami sedang berehat di kantin sekolah. Memang rutin kami untuk makan di kantin ketika rehat sebelum pergi bermain di dataran sekolah.

“Apa dia?” tanyaku pula. Namun, aku masih leka menikmati kuih karipap yang dibeli daripada makcik kantin tadi.

“Dia nak tahu kau suka dia tak? Dia dah setahun lebih sukakan kau, tapi kau buat tak tahu saja. Kadang-kadang nampak macam suka, kadang-kadang nampak macam tak. Aku nak tolong jawabkan pun aku tak reti. Jadi, aku tanya kau sendiri,” ulas Diandra, lebih daripada sekadar bertanya.

Aku kaget. Bagaimana aku hendak menjawab soalan yang aku tak ada jawapannya? Aku sukakan dia sepertimana dia menyukaiku, tapi aku merasakan masa ini kurang sesuai untuk berfikir soal cinta, kahwin dan seangkatan dengannya. Hilang terus selera aku nak menelan karipap makcik ini.

“Mai, jawablah soalan aku itu! Kau tak kasihan dengan aku ke? Aku letih nak dengar soalan Zul hari-hari. Dulu, aku tengok dia boleh saja tanya sendiri pada kau tapi sekarang, nak bercakap dengan kau pun dah malu. Bila dah malu, habis semua orang kena jadi mata-mata dia. Penatlah begini!” Diandra mula berasa bengang apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.

Aku sedar hakikat itu. Kawan-kawan kami semuanya dah mula letih dengan kisah cinta bertepuk sebelah tangan seorang Zulqarnain. Hanya kerana aku tidak pernah berterus-terang tentang hakikat yang bertapak di dalam hatiku semenjak aku mengetahui isi hatinya. Dia menghukum kawan-kawan kami hanya kerana dia berasa dirinya terancam dengan sikapku itu. Memang aku tahu semua itu salah, namun berterus-terang juga kurasakan salah buat ibu bapaku yang mengharapkan kejayaan anaknya ini. Sungguh aku bingung.
“Macam inilah, Dian. Kau beritahu dia, kita ini muda lagi. Belum sampai masanya untuk kita fikir soal cinta. Kalau betul kami ada jodoh, dah terpisah lama pun jumpa juga. Bukankah ustazah pernah cerita tentang ini? Sekarang, kita semua fokus pada belajar dulu. Okay?” jawabku, sedikit tegas. Jawapan ini kurasakan jawapan selamat yang boleh aku berikan padanya tanpa aku mengetahui bahawa ada perkara yang lebih besar yang bakal berlaku.
            *                      *                      *                      
Setahun berlalu lagi, kami menjadi renggang sejak aku memberikan ‘jawapan selamat’ itu kepadanya. Namun, aku tahu dia masih lagi mengintip pergerakanku dalam diam. Sengaja aku biarkan kerana aku telah terbiasa dua tahun diperlakukan begitu. Lagipun, dia tidak mengganggu aku secara terang-terangan lagi sekarang. Itu sudah cukup selesa buat aku.

Dia tidak lagi menghadiri kelas mengaji yang kami berdua hadiri sebelum ini. Membuatkan aku mula berasa sunyi sedikit demi sedikit tanpanya. Bagi aku, aku hanya dapat berbual dengannya ketika kelas mengaji sahaja kerana tiada kawan-kawan yang menyakat kami berdua. Ketika itu sahaja, aku menjadi diri aku yang sebenar di hadapannya. Mengapa dia tidak perasan semua itu?

Andai dulu, dia yang rajin mengorek tentang diriku. Kini, giliran aku pula mengorek tentang dirinya. Aku mulai rajin bertanyakan perihal dirinya daripada kakak kepada kawan baiknya, Aina. Ini adalah kerana kak Aina juga mengetahui tentang kami daripada adiknya, Khairul. Maka, aku menggunakan kebetulan itu untuk mengorek tentang dirinya memandangkan mereka juga kebetulan merupakan jiran. Banyak yang telah aku ketahui tentangnya, seperti kedudukan rumahnya, keluarganya dan juga pelajarannya. Namun, aku meminta kak Aina agar tidak memberitahu sesiapa tentang tindakanku ini.

Setelah sekian lama aku tidak mendengar khabar beritanya, akhirnya hari tersebut telah berlaku seusatu yang telah mengubah segalanya buat kami berdua. Peristiwa itu bermula apabila kak Aina yang ketika itu bersamaku dipanggil oleh salah seorang rakan sekelas Zulqarnain. Aku mula terpinga-pinga apabila aku mendengar nama Khairul dan Zulqarnain disebut. Namun begitu, aku tambah hairan apabila kak Aina melarang aku mengikutinya apabila aku katakan aku ingin melihat apa yang berlaku.

Tanpa mempedulikan nasihat kak Aina, aku mengekori kak Aina dalam diam. Aku melilih untuk bersembunyi di sebalik dinding berhampiran dengan tempat mereka berada. Aku dapat melihat kak Aina sedang cuba meleraikan pergaduhan antara Zulqarnain dan Khairul, namun aku hanya dapat mendengar kak Aina acap kali bertanyakan mengapa mereka berdua bertengkar. Selebihnya, aku kurang jelas.

“Sedar diri kau itu sikit, Zul! Dia itu budak pandai, kau ingat dia nak ke pandang muka kau lagi? Jangan mimpilah! Kau itu dia pandang ibarat semut saja tau?” jerit Khairul. Jeritan itu dapat aku dengari dengan jelas sedangkan jarak aku dengan mereka agak jauh sebenarnya. Aku terkesima mendengar luahan hati seorang kawan baik buat insan yang sekian lama menyimpan perasaan padaku. Ya Allah, apa yang aku dah buat ini? Sungguh aku tak pernah memandang rendah padanya, kerana aku sangat menyukainya. Aku tahu semuanya salah aku, kerana aku memilih untuk berdiam diri. Namun, aku punyai sebab aku sendiri. Aku harap dia memahami aku.

Aku membuat keputusan untuk pergi dari situ. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk mendengar pertengkaran hebat antara dua orang kawan baik hanya kerana aku. Cukuplah setakat itu. Perkara itu sahaja sudah mengganggu benak fikiran aku yang hanya berusia sepuluh tahun ketika itu, yang sepatutnya hanya perlu kisah akan mainan atau pelajaran sahaja. Bukan tentang perhubungan manusia yang kompleks ini.
            *                      *                      *                      
Beberapa hari kemudian, aku sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran mengejutnya di kelas mengaji. Malam itu, dia tidak seperti selalu, dia memilih untuk duduk di sudut dinding surau sehingga dia dipanggil oleh ustaz yang mengajar pada hari itu. Namun begitu, aku menyedari akan tindakannya memandangku apabila aku tidak memandangnya. Pada mulanya, aku memandangnya kembali apabila menyedari itu, namun dengan pantas dia menukar arah pandangannya. Namun selepas itu, aku biarkan sahaja dia memandangku sepuasnya. Aku dapat melihat dari ekor mata, dia merenungku lama. Hairan juga melihatnya begitu, namun aku memilih untuk tidak peduli tanpa mengetahui bahawa itulah kali terakhir aku bertemu dengannya.

Tak lama selepas itu, aku dikhabarkan oleh kak Aina bahawa dia telah berpindah sekolah kebangsaan dan berhenti sekolah agama. Kelas mengaji juga tidak lagi dihadirinya sejak hari itu. Kata kak Aina, dia patah hati dengan tindakanku yang tidak pernah berterus-terang dan semenjak pertengkarannya dengan Khairul itu, dia sudah tidak dapat menahan malu pada semua orang yang mengetahui tentang perasaannya yang tidak berbalas itu. Dia memilih untuk berpindah sekolah agar hatinya tidak bertambah luka apabila melihat diriku.

Aku terbungkam. Tiga tahun kehadirannya dalam hidupku yang selama ini kusangkakan rimas itu telah bertukar menjadi hari-hari sunyi selepas itu. Terasa berbeza tanpa dirinya yang seringkali menggangguku. Namun, aku ubah perhatianku kepada pelajaran dengan harapan aku akan melupakan semua ini suatu hari nanti.
            *                      *                      *                      
Enam belas tahun berlalu, kisah cinta ini masih jelas dalam ingatanku. Meskipun bagi orang lain, ini adalah cinta monyet namun bagiku inilah kisah cinta pertama yang sangat member pengajaran padaku. Sejak dia pergi dari hidupku, semua kisah cintaku selepas itu serba tak kena. Tak ada lelaki yang dapat bertahan lama dalam hidupku. Entah kenapa jadi begitu, aku juga tak tahu.

Walaupun rumah kami berdekatan, namun Tuhan tidak pernah menemukan kami sejak itu. Aku tak pasti sama ada dia masih mengingatiku atau tidak, tetapi aku tak pernah melupakannya. Biar rasa rinduku padanya aku simpan menjadi gulungan memori yang tak mampu aku persembahkan buat sesiapapun kerana aku tahu dia terlalu baik untuk insan seperti aku. Kali terakhir aku mendengar tentangnya adalah pada lima tahun lepas, ketika itu dia masih melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di luar negara sedang aku yang dikatakan ‘budak pandai’ ketika itu hanya mampu melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di dalam negara sahaja. Begitulah roda hidup berputar, sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah.

Mungkin ini adalah kifarah atas sikapku terhadap seorang Zulqarnain suatu ketika dahulu. Aku telah menyebabkan dirinya dipandang remeh oleh kawan-kawannya hanya kerana mereka semua menyangkakan cintanya itu tidak pernah berbalas, sedangkan aku ketika itu turut sama memendam rasa sepertinya. Perasaan bersalah yang aku rasakan kepadanya semenjak dia menghilangkan diri aku simpan sehingga saat ini. Jujur aku katakan, aku sangat mengharapkan kehadirannya sekali lagi dalam hidupku kerana aku ingin memohon sejuta kemaafan daripadanya di atas semua peristiwa yang berlaku sepanjang tiga tahun dia menyukaiku. Andai dia dapat memaafkanku, itu sudah cukup bagiku. Aku tak layak meminta apa-apa lagi daripadanya.


Sampai disini sahaja kisah cintaku yang dapat aku nukilkan. Kisah cintaku ini bukanlah kisah cinta yang biasa anda baca di dalam novel, dan cerpen. Bukan juga kisah cinta seperti yang terpapar di layar perak dan layar kaca. Akan tetapi, kisah cintaku ini hanyalah kisah cinta yang aku sampaikan ikhlas daripada sekeping hati yang masih mengharapkannya. Aku berharap kami tidak lagi berada berdekatan tapi pada hakikatnya jauh.

Monday, July 6, 2015

Kekesalan yang Tak Terungkap (Suamiku Dalam Mimpi)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Rasanya dah lama tak berbual dengan korang semua kan? Almaklumlah, sibuk benar menyambung cerpen bersiri yang timbun-timbun itu. Sebenarnya post ini lain sikit daripada yang sebelumnya. Post ini aku nak persembahkan sebuah cerpen aku yang telah selamat ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan buku. Seperti yang telah dijanjikan kepada seseorang, seandainya cerpen ini tidak diterima, cerpen ini akan aku nukilkan dalam blog biru ini. So, here we go!

“Terima kasih sebab sudi terima abang dalam hidup Ilya, abang janji abang takkan sia-siakan Ilya. Seumur hidup abang akan abang habiskan dengan mencintai Ilya seadanya Ilya,” ucap seorang lelaki yang sedari tadi asyik memintal-mintal rambutku ini. Naik rimas rasanya orang main rambut aku ini. Nasiblah dia ini suami aku, kalau orang lain aku hempuk juga dengan kerusi meja mekap bilik aku ini!

            “Kenapa Ilya diam? Ilya suka ya abang main rambut Ilya?” tanya lagi si suami, setelah melihat tiada respon yang aku berikan agaknya. Suka? Tolonglah! Aku cukup pantang orang usik rambut aku tanpa sebab. Lainlah kalau nak tolong sikatkan ke, ikatkan ke, bolehlah tahan lagi. Ini nak buat main, memang tidaklah!

            “Abang… boleh tak abang berhenti main rambut Ilya? Ilya tak selesa,” pintaku, terus terang. Walaupun hatiku dah sebeban mengomel sedari tadi, tapi dia tetap suamiku. Aku harus menuturkan segalanya dengan hemat agar aku tidak dilaknat malaikat di kala malam pertamaku ini. Buat naya kalau aku tidur tanpa redha suami. Mak dah berbuih mulut pesan benda yang sama pada aku sejak sebulan lepas, sampai naik lali telinga aku dengar.

            “Ingat Ilya, syurga seorang isteri terletak pada redha si suami. Jangan bagi tidur kamu tanpa redha dia, malaikat laknat nanti! Selama mak jadi isteri ayah kamu, mak jaga betul benda itu. Kalau mak ada silap, mak cepat-cepat minta ampun pada ayah kamu. Mujur ayah kamu jenis yang tak ambil hati, tapi suami kamu nanti kita tak tahu orangnya bagaimana. Jadi, kita buatlah cara selamat. Faham tak, Ilya?” kata-kata mak tiba-tiba menerjah macam atas skrin projector pula, siap dengan muka mak sekali! Ngeri betul mak ini.

            “Ilya fikir apa sampai abang panggil tak dengar ini?” persoalan itu yang ditambah dengan cuitan manja si suami mengejutkan aku dari imbas kembali mak tadi. Aku memandang suamiku, kosong. Lantas hatiku tertanya-tanya kenapa dia yang jadi suami aku, bukan lelaki lain? Kenapa ayah suka sangat lelaki ini, bukan lelaki lain? Bukan aku tak pernah bawa lelaki lain jadi calon suami, tapi semuanya ayah tentang 100%. Macam-macam sebab-musabab dia bagi, tak cukup matanglah, tak boleh bimbinglah, kedekutlah, baranlah. Ada saja yang tak kena. Aku tak nafikan kata-kata ayah itu ada benarnya, tapi orang kata kalau dah sayang, kentut pun bau wangi kot!

            Suamiku, Mohd. Harris Izuan. Nama yang senang tapi indah, serupa tuannya juga. Wajah memang melayu, melayu yang kacak. Orangnya segak dan sasa, almaklumlah asyik habiskan masa bina otot di gimnasium saja. Kerjaya, apa kurangnya. Pengurus projek di salah sebuah syarikat pembinaan tersohor di Kuala Lumpur.  Akan tetapi, dia mengahwiniku di kala usianya menginjak 34 tahun manakala aku kini baru berusia 25 tahun. Mana silapnya dia?

            “Abang, boleh Ilya tanya sesuatu?” tanyaku, dalam getaran gemuruh mengiringi. Bimbang soalanku bakal mengguris hati sang suami. Kalau boleh pakai tibai, memang dah terjah ala-ala Nas Ahmad dalam rancangan Galaksi TV9 itu. Hanya kerana statusnya sebagai suami, kenalah berlapik sikit.

            “Apa dia sayang?” suamiku memberikan keizinannya untuk ditanya. Rasa macam nak terbang pertama kali rasanya. Suka, tapi gementar dalam masa yang sama. Nasib tak campur sedih, marah, kecewa semua, kalau ada semua itu, gila namanya!

            “Kenapa abang kahwini Ilya? Ilya tak cantik, tak kaya, tak ada kerja, baru habis belajar, belajar pun tak pandai mana, apalah yang ada pada Ilya sampai abang boleh masuk meminang Ilya tanpa pengetahuan Ilya? Lagi satu, mana abang tahu tentang Ilya sedangkan kita tak pernah berkenalan secara rasmi?” tanyaku, bertubi-tubi. Konon nak berlapik, akhirnya serupa Nas Ahmad juga terjahnya. Cuma baik sikit saja. Maafkan Ilya ya abang.

            “Kenapa Ilya cakap macam itu? Ilya, cantik itu subjektif. Allah tak berikan kecantikan pada Ilya tapi kecantikan itu hanya untuk mata yang benar-benar layak sahaja melihatnya. Biarlah satu dunia nak kata Ilya tak cantik, gemuk, abang tak kisah. Pada abang, Ilya tersangat okay. Cantik! Tak kaya? Tak ada kerja? Memanglah, sebab Ilya baru habis degree kan? Mana sempat nak cari kerja, habis-habis belajar saja tak sempat bergraduasi Ilya dah jadi isteri abang. Tak pandai, boleh belajar. Jadi, Ilya bersiap siagalah, akan abang ajar Ilya cukup-cukup. Pada abang, Ilya dah sembuhkan luka lama dalam hati abang yang abang biarkan berdarah selama bertahun-tahun. Ilya tak perlu singgah dalam hati abang pun Ilya dah buat abang angau habis kat Ilya. Kita memang tak berkenalan secara rasmi, Ilya dengan abang cuma berkenalan melalui cerita kawan-kawan baik kita, Remy dan Tisha saja, tapi cerita mereka tentang Ilya buat abang jatuh hati pada Ilya. Itu punca abang minta mereka bawa abang jumpa mak dengan ayah Ilya. Dapat tak semua jawapan soalan Ilya?” panjang lebar penerangan Encik Suami ini. Boleh pengsan mendengarnya, lengkap betul! Sekali dengar, dah macam hero dalam cerita novel dah. Cuma, bahagian yang sembuhkan luka itu aku macam tak berapa faham.

            “Sembuhkan luka lama abang? Apa yang terjadi dulu?” tanyaku lagi. Bagi menjawab persoalan hatiku tentang perkahwinan kami yang agak lewat baginya. Selalunya orang yang berkahwin di kala usia yang agak lanjut ini pernah menjadi suami orang a.k.a. duda. Jarang sekali nak jumpa bujang terlajak dalam dunia serba pantas ini.

            “Abang pernah bertunang dulu, lama juga kenal bekas tunang abang itu. Sejak zaman universiti lagi. Kami sama fakulti semasa degree sampailah kerja pun di tempat yang sama. Cuma yalah, mungkin jodoh kami tak panjang, kami putus sebab dia ada orang lain. Kalau dia duakan abang dengan lelaki, abang tak kisah. Ini tidak, dia duakan abang dengan perempuan kot! Tercabar kelakian abang bila dapat tahu dia ada hubungan dengan perempuan bertopengkan lelaki,” jawabnya yang mulanya bernada perlahan tetapi kemudiannya nada suaranya semakin keras dan meninggi. Marah benar itu! Perempuan bertopengkan lelaki? Maksud dia ‘pengkid’ ke? Bolehlah itu, sedap juga gelaran beradap suami aku ini.

            “Sebab itu saja abang terus tak berminat nak bercinta lagi?” tanyaku lagi. Baik Ilya Maisarah, kau boleh jadi wartawan dah ini! Dah pandai temuramah suami. Banyak benar soalannya ini. Aku pandang Encik Harris di hadapanku ini, dia tersenyum manis. Aduh, janganlah senyum macam itu! Cair aku nanti, sudahlah aku alergi dengan senyuman manis menggoda jiwa macam senyuman suamiku ini.

            “Mana boleh hilang minat macam itu saja? Ilya ingat ini cerita drama melayu? Lepas putus cinta saja, jadi kaki perempuan mainkan hati semua wanita? Atau tiba-tiba jadi tak berminat nak bercinta dengan perempuan sebab takut kecewa lagi? Itu semua poyo! Mana mungkin seorang pencinta wanita bukan buaya macam abang ini hilang minat nak bercinta lagi? Ada juga abang sukakan beberapa perempuan lain selepas putus tunang, tapi hampir kesemuanya dah berpunya. Isteri orang pun ada, tapi lagaknya serupa anak dara! Menggatal sana sini, sedangkan suami dia percayakan dia ingatkan dia itu baik sangat. Abang harap Ilya jangan jadi macam itu, malu abang nanti. Sudahlah kena tanggung dosa Ilya, kena tanggung malu lagi. Minta dijauhkanlah,” terang abang Harris lagi. Pencinta wanita bukan buaya konon! Ayat tak boleh gebang lagi ke? Lelaki, kalau bagi madah berhelah memang hebat tapi dalam madah berhelah dia, tersentap juga dengan cerita tentang isteri orang itu. Minta dijauhkanlah aku daripada menjadi wanita sebegitu.

            “Ilya ini bukan isteri yang sempurna, jadi Ilya tak berani nak janji yang Ilya takkan jadi macam itu. Andainya Ilya bakal jadi sebegitu, Ilya mohon sangat abang tegurlah Ilya, ingatkan Ilya yang Ilya akan tersesat dalam cahaya. Kalau abang tegur Ilya dan Ilya melawan, abang cari jalan lain untuk sedarkan Ilya. Ilya mohon itu pada abang. Ilya hanya manusia biasa abang, sukar untuk Ilya jadi sempurna di mata abang apatah lagi mata dunia. Boleh abang lakukan itu untuk Ilya?” pintaku pada si suami. Aku perhatikan dia, lama dia mendiamkan diri. Semakin lama dia berdiam, semakin resah menyelubungi benak hatiku. Apakah aku telah mengguris hatinya? Ya Allah, janganlah sampai begitu sekali.

            “Sebenarnya, abang ada perkara yang abang nak pastikan dengan Ilya malam ini. Abang mohon Ilya jujur dalam memberikan jawapan pada soalan abang ini. Abang dah tahu jawapannya, tapi abang nak dengar sendiri dari mulut Ilya. Macam yang Ilya dah tahu, abang tahu Ilya pernah bercinta dengan Remy dulu, bukan? Remy telah berterus terang dengan abang sebelum kita bernikah, yang dia pernah sentuh Ilya secara tak sengaja. Maksud abang, kamu berdua pernah bersetubuh bukan?” tanya Harris sambil memandangku redup. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa untuk membuat pengakuan tentang ini sebelum aku menikahinya? Benda ini amat penting rasanya. Sejak peristiwa itu berlaku, aku sukar untuk membiarkan lelaki mendekatiku sehingga Remy memohon maaf denganku setahun lepas. Itupun setelah tiga tahun kami berpisah.

            “Pertama sekali, Ilya mohon ampun dengan abang, Ilya terlupa tentang ini. Ilya tahu perkara ini penting, Ilya bukan menyembunyikan hakikat tapi Ilya memang betul-betul terlupa. Ya abang, Ilya bukan seorang wanita suci macam orang lain di luar sana. Ilya sudah dinodai oleh bekas teman lelaki Ilya ketika kami bercinta. Ilya tertipu dengan janji manisnya, Ilya hanyut dengan pujuk rayunya sehingga Ilya lupakan Tuhan yang menjadikan Ilya cukup sempurna. Andai sukar untuk abang terima diri Ilya, abang buatlah keputusan yang abang rasa terbaik buat kita. Ilya terima,” terangku berselangi air mata yang mula mengalir. Sukar untuk aku tolak, tapi peristiwa hitam itu kembali menerjah ingatanku semula. Benarlah kata orang, sekali kita membuat dosa, selamanya ia akan menghantui kita.

            “Ilya boleh kata Ilya terlupa? Apa ini? Kalau Remy tak berterus terang, agaknya sampai saat ini abang akan rasa diperbodohkan! Andai Ilya berterus terang pada abang lebih awal, mungkin abang tak semarah ini. Abang tahu Ilya hanya manusia biasa, pasti akan melakukan kesilapan tapi kenapa Ilya tak berterus terang pada abang? Ilya boleh lupa dosa Ilya dengan mudah? Abang kagum dengan Ilya, sebab setahu abang dosa kita takkan meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat! Abang kecewa dengan Ilya.” nada suara Harris sudah meninggi. Mendengar nada suaranya, aku tahu dia marah. Perlahan aku mencapai tangannya, mencium tangannya sedangkan aku masih lagi menangis kesal dengan kesalahanku. Dia menarik tangannya kembali, kasar. Aku dapat melihat betapa basahnya tangannya dengan air mataku. Benar katanya, dosa tak meninggalkan kita walaupun kita telah bertaubat agar ianya dijadikan sempadan supaya tidak mengulanginya lagi. Semua ini memang salahku, aku akui itu. Aku boleh terlepas pandang tentang perkara ini kerana menyangkakan benda ini tak sepatutnya diberitahu, ternyata sangkaanku meleset. Aku silap dalam membuat percaturan.

            Aku lihat Harris sudah menukar baju. Aku kaget, mana pula dia nak pergi ini? Aku bangun dan memegang bahunya tetapi dia menepis tanganku terlebih dahulu. Dia mengambil beg pakaiannya yang masih lagi belum disentuh lalu keluar dari bilikku ini. Aku tidak mengejar, kerana tahu marahnya takkan reda malam ini juga. Aku hanya mampu melihat pemergiannya dan setelah dia hilang, aku terduduk dan meraung kesedihan. Benar kata mak, jangan tidur tanpa redha suami. Walaupun aku tak dapat melihat bagaimana malaikat melaknatku, tapi aku dapat merasa bahang kepedihan itu. Terasa lemas seketika, seperti dadaku penuh dengan sesuatu yang tak dapat digambarkan. Hanya Tuhan tahu keperitan yang aku rasai malam itu sehinggakan kekecohan yang berlaku di rumahku kerana tindakan suami keluar rumah malam itu tidak aku endahkan.

            “Ilya, bangun. Sudah masuk waktu Subuh, ayah panggil berjemaah,” suara mak mengejutkan aku dari tidurku. Aku mencari kelibat mak, mak sedang duduk di birai katil memandangku. Hairan tengok pandangan mak yang tajam itu, aku menggosok mukaku. Rupanya ada sisa air mata di pipi. Pasti aku menangis dalam tidur, buat kesekalian kalinya. Sejak peristiwa hitam di kala malam pertama itu, hampir setiap malam aku menemui suamiku dalam mimpi. Setiap malam mimpiku pasti sama. Seolah-olah Tuhan tak mahu aku terlupa lagi. Aku lihat sekeliling, mak sudahpun keluar dari bilikku, nak bersiap untuk solat berjemaah agaknya. Memang rutin harian kami sekeluarga solat Subuh berjemaah kemudian bersarapan bersama.

            Aku terpandang foto perkahwinanku yang terletak di atas meja sisi katil. Dua bulan lebih perkahwinan, namun buat sekalipun aku tidak disentuh oleh Encik Suami. Kata Remy dan Tisha, dia masih marahkan aku atas kesilapanku itu. Namun, kata Remy, dia tidak pernah terfikir untuk menceraikan aku. Hanya perlukan masa untuk merawat rawan di hatinya kerana dia menyangkakan Remy menceritakan perkara tersebut hanya untuk mengujinya atau berniat untuk menghalang perkahwinan kami tetapi apabila aku mengiyakan, sukar untuk dia menerima hakikat tersebut. Aku tidak salahkannya, andai aku berada di tempatnya, pasti aku akan melakukan perkara yang sama. Mana ada manusia yang boleh menerima kesalahan insan tersayang sekelip mata? Hidup ini bukan seperti novel cinta, semuanya tampak indah di mata pembaca.

            Usai solat berjemaah, semua ahli keluargaku mengemaskan sejadah dan pakaian solat masing-masing tetapi tidak aku. Aku bingung. Aku pasti bukan ayah yang menjadi imam solat tadi, suara itu bukan suara ayah. Aku rasa macam pernah mendengar suara itu, tapi di mana ya? Sedang ligat otakku berfikir, seseorang duduk di hadapanku lalu menghulurkan tangannya. Aku memandang tangan itu lalu memandang tuan punya tangan. Subhanallah, apakah aku masih lagi bermimpi? Tangan yang aku kucup sehingga basah kuyup dua bulan lepas akhirnya menghulurkan tangannya sekali lagi. Pantas aku mencapai tangan tersebut lalu ku kucup selama yang aku mahu. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa aku merindukannya selama dia menghukumku. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa kesalnya aku atas segala kesalahanku kepadanya. Biar tuan punya tangan itu tahu betapa aku mengharapkan pengampunannya. Aku dapat merasa tangannya yang sebelah lagi mengusap kepalaku. Subhanallah, tenangnya rasa. Seolah-olah segala bebanan yang aku pikul selama ini lenyap begitu sahaja. Aku memberanikan diri mengangkat wajahku memandangnya.

            “Abang maafkan Ilya atas segala dosa Ilya pada abang selama kita bernikah. Abang minta maaf pada Ilya kerana menjauhkan diri abang selama ini. Abang hanya menyerahkan nafkah zahir abang pada Ilya melalui Tisha, abang datang rumah jenguk mak dan ayah Ilya semasa ketiadaan Ilya, abang minta maaf. Abang bukan suami yang macam dalam drama melayu, macam dalam novel cinta. Abang cuma manusia biasa yang Allah ciptakan berpasangan dan abang tak boleh tolak kalau pasangan abang adalah Ilya. Walaupun Ilya ada sejarah hitam sendiri, tapi abang akui Ilya adalah jodoh istikharah abang. Abang kena belajar untuk redha. Memang susah, tapi abang masih mencuba. Maafkan abang, Ilya.” Sebaknya hati mendengarkan penjelasan si suami. Aku tahu suamiku bukan sempurna tapi aku tahu dia tak kejam. Siapa tak sayang isteri kan?

            “Abang, Ilya sentiasa maafkan abang. Abang bukan Encik Perfect 10, tapi abang sudah sempurnakan hidup Ilya. Tanpa abang, sampai bilapun Ilya takkan sedar kesalahan Ilya. Lagipun, abang bukan abaikan Ilya dan keluarga Ilya. Abang ingat Ilya tak tahu abang datang rumah bila Ilya tiada? Ilya pernah meronda satu taman perumahan sampai tiga pusingan hanya kerana tak nak kantoikan abang datang rumah jenguk mak ayah. Bila Ilya balik, Ilya buat-buat tanya siapa datang tadi, mak ayah sikitpun tak mengaku. Oh, abang komplot dengan mak ayah Ilya ya!” jawabku lalu tersengih macam kerang busuk. Pecah tawa suamiku melihat aku tersengih agaknya. Kelakar sangat ke aku tersengih? Tahulah aku tak cantik, sampai hati dia gelakkan aku! Nah, rasakan cubitan ini!

            “Adoi, sakit! MashaAllah, sakitnya cubitan hebat isteri abang ini. Maafkan abang, tapi muka Ilya memang kelakar bila tersengih tadi. Boleh masuk Maharaja Lawak Mega ini. Abang akan undi sayang setiap minggu. Boleh?” seloroh suamiku. Amboi, sedapnya mulut mengata aku! Dua bulan lepas bukan main melambung lagi pujian kat aku. Cantik itu subjektiflah, cantik Ilya hanya untuk mata yang betul-betul layaklah, hari ini dia boleh cakap muka aku boleh masuk Maharaja Lawak Mega? Teruk punya suami!

            “Abang! Abang ini memang nak kena ya?” jeritku lalu mengejar suamiku satu rumah. Mencanak dia melarikan diri dariku. Jaga abang! Kalau dapat, Ilya buat sate!

Foot print: Cubaan kedua untuk hantar pada publisher. Ada 2 cerpen yang dah dikarang, cerpen yang tak dihantar bakal dipublishkan dalam blog. Tunggu tau! =)

Saturday, July 4, 2015

Rasa yang Sama Part 11...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:


"Kakak, ingatkan siapa tadi. Haruslah, rindu sangat dengan bidadari Asyraf ni," seloroh Asyraf setelah melepaskan pelukannya.

     Nisa yang melihat telatah Asyraf dan Adriana mula tersipu-sipu malu. Dua beradik ni kalau berjumpa, ada saja sesi sakat-menyakat. Mujur dua lagi adik mereka, Ariana dan Asfan belajar di luar. Seorang di Universiti Malaysia Kelantan dan seorang lagi di Kolej Matrikulasi Johor. Adik-beradik Asyraf ada empat semuanya, dua lelaki dan dua perempuan.

     Nisa pula merupakan anak sulung keluarga dan mempunyai dua orang adik perempuan. Seorang bernama Farhana dan yang bongsu bernama Haryana. Kedua-dua mereka juga masih belajar. Seorang di Universiti Teknologi MARA manakala yang bongsu di Universiti Kuala Lumpur, German-Malaysia Institute.

     "Nisa, mengelamun ya?" Pertanyaan Asyraf menghentikan lamunan Nisa. Suaminya itu tahu benar perangainya yang suka mengelamun. Serta-merta merah padam mukanya ditegur begitu.

     "Nisa, buah hati Nisa depan mata sahaja. Tak payah nak menung jauh sangat!" Seloroh Adriana pula.

     Bertambah merah padam wajah Nisa disakat oleh dua beradik itu. Rasanya macam nak lari dari situ akibat terlampau malu.

     "Oh ya, Asyraf. Akak datang ni sebenarnya nak beritahu yang abah nak jumpa di bilik bacaan dia. Pergilah dulu. Adegan manja-manja kamu itu sambung nanti," pesan Adriana sebelum dia beredar. Dalam diam sempat lagi dia menyakat adik lelakinya itu 

     *     *     *     *     *
Nazrin sedang termenung apabila Rania duduk di hadapannya. Rania yang sedang mengelap rambutnya yang baru sahaja dibasuh terhenti seketika melihat teman lelakinya termenung.

     "Bie, kenapa termenung? Sayang perasan sejak Bie balik dari lawat Asyraf di lokap, Bie asyik termenung. Kenapa?" Tanya Rania, ingin tahu.

     "Bie rasa bersalah pula buat Asyraf begitu. Dia tahu Bie yang 'songlap' duit syarikat tapi dia kata pada orang dia yang buat hanya untuk lindungi Bie," jelas Nazrin sambil menggaru kepalanya yang tak gatal itu 

     "Baguslah itu, Bie. Biar dia yang meringkuk dalam penjara itu. Apalah yang Bie nak rasa bersalah sangat? Bie dengar cakap sayang, jangan Bie cuba-cuba nak serah diri pada polis, nahas Bie nanti! Sayang akan selesaikan hal ini, sayang akan pasti Asyraf Rasyid akan kehilangan semuanya."

     "Sayang, jom kita kahwin."

     "Bie ni kenapa? No way, I won't get married now! Sayang nak enjoy dulu. Sayang tak nak terikatlah, Bie. Please understand me," jawab Rania, tegas.

     Nazrin hanya mampu mengeluh. Bertuahnya Asyraf punyai isteri setabah Nisa. Kenapalah Rania tak begitu?

     *     *     *     *     *
Nisa sedang menunggu kedatangan Asyraf yang sepatutnya menjemput dia sebaik sahaja dia habis membeli barang dapur. Suaminya itu tidak dibenarkan oleh pihak polis dan bapa mentuanya untuk muncul di khalayak ramai membuatkan dia terpaksa membeli belah sendirian. Mujur suaminya masih dibenarkan menghantar dan menjemputnya.

     Tidak lama kemudian, kereta Toyota Vios putih yang dinantikan itu tiba. Dengan pantas, Nisa memasukkan barang-barang dan masuk ke dalam kereta 

     "Banyaknya barang. Nisa beli seluruh Tesco ke apa?" Seloroh Asyraf setelah Nisa masuk ke dalam kereta.

     "Mama nak masak nasi hujan panas malam ini. Kenalah Nisa siapkan bahan-bahannya," jawab Nisa, selamba.

     Belum sempat Asyraf mengeluarkan suara, perbualan mereka terganggu dek kerana deringan telefon bimbit Asyraf. Asyraf melihat skrin, namun hanya "Private Number" yang tertera di skrin telefon. Dia menyerahkan telefon bimbitnya kepada Nisa sebagai isyarat menyuruh Nisa menjawabnya.

     "Hello?" Nisa menjawab panggilan tersebut.

     "Saya nak bercakap dengan Encik Asyraf Rasyid Halim," kedengaran suara wanita di hujung talian.

     "Dia tiada. Siapa ini?

     "Tak perlu berpura-pura, Puan Annisa. Saya tahu dia dengan awak sekarang. Saya nampak dia jemput awak di Tesco Ampang tadi. Lebih baik awak berikan telefon itu padanya sekarang!" Arah wanita itu.

     "Dia tahu abang dengan Nisa," ulas Nisa lalu menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepada Asyraf.

     Asyraf menekan butang 'rakam' dan 'pembesar suara' lalu meletakkan telefon bimbitnya di antara brek tangan dan gear.

     "Hello, saya Asyraf Rasyid. Siapa ini?" Tanya Asyraf bagi memulakan bicara.

     "Well, well, Asyraf. Do you still remember me?"

     Asyraf dan Nisa saling berpandangan. Keduanya bingung seketika. Namun, tak lama selepas itu, Asyraf mula tersenyum.

     "Nida Rania Fajria Abdullah, dah lama tak dengar khabar berita you! Kenapa you call I ni?"

     "Listen here, Asyraf. I dengar you kena tahan dengan polis, tapi I tak sangka I boleh ternampak you hari ini. I dengar you mengaku salah, tapi hairan bagaimana you boleh keluar lokap?"

     "Ikat jaminlah, apa lagi? Tanya soalan cerdik begini kenapa?"

     "You ingat I ini bodoh ke? I rasa tak puas kalau I tak dapat musnahkan hidup you. Nak tunggu penjara macam lambat sangat. Jadi, I nak berikan you dua pilihan."

     "Apa dia?"

*bersambung*

Wednesday, July 1, 2015

Rasa yang Sama Part 10...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:


"Nazrin, terima kasih sebab sudi lawat aku. Sejak aku dalam lokap ni, kau seorang saja yang sudi lawat aku. Bini aku pun tak sudi nak lawat aku. Malu agaknya ada suami macam aku ni," ucap Asyraf sebaik saja dia duduk berhadapan dengan Nazrin di dalam bilik bertemu.

     Nazrin melihat Asyraf atas bawah. Kawan yang dikenali sejak sekolah menengah itu memakai pakaian khas untuk banduan lokap, berselipar jepun dan tangannya digari. Namun, riak wajahnya tidak menggambarkan yang dia tidak berpuas hati dicampak ke dalam lokap. Nazrin dan Asyraf sama-sama mengetahui bahawa Asyraf tidak menyeleweng wang syarikat, namun mengapa dia seperti redha ditahan reman?

     "Tak ada hal, bro. Kita dah berkawan selama 12 tahun. Aku pasti akan sentiasa ada untuk kau. Cuma aku hairan sesuatu, Asyraf."

     "Apa dia, Nazrin?"

     "Macam mana abah kau boleh laporkan kau pada polis? Kau memng seleweng duit syarikat ke?"

     "Aku tak seleweng duit syarikat pun. Abah laporkan aku sebab aku mengaku pada dia aku yang seleweng duit syarikat tu. Lagipun, aku yang tandatangan cek itu, jadi aku terpaksa bertanggungjawab atas itu walaupun bukan aku yang buat."

     "Sebab itu saja?" Tanya Nazrin lagi. Nazrin telah mula berasa seronok kerana tembelangnya belum lagi pecah.

     "Aku mengaku sebab aku nak lindungi seseorang yang aku hargai sangat kehadirannya dalam hidup aku. Aku tahu dia tak bermaksud nak buat begitu pada aku, walaupun dia dah buat macam-macam pada aku."

     "Maksud kau, Nisa?"

     "Bukan. Ada orang lain. Orang itu bukan seleweng duit syarikat saja, dia dah fitnah Nisa, potong wayar brek kereta Honda aku sampai aku dengan Nisa kemalangan, suruh teman wanitanya goda aku sewaktu aku hilang ingatan dan tipu aku dengan wujudkan syarikat palsu untuk berurusan dengan syarikat."

     Kata-kata Asyraf membuatkan Nazrin tersentak. Dia tak menyangka sama sekali Asyraf mengetahui semua itu adalah rancangannya.

     "Nazrin, aku tak kisah kalau aku kena habiskan masa aku dalam penjara untuk orang itu. Asalkan aku harap satu perkara saja, aku nak orang tu berubah. Aku harap bila aku keluar penjara nanti, orang itulah yang akan tunggu aku kat pintu keluar nanti, peluk aku dan minta maaf atas segalanya. Aku akan maafkan dia, bro. In shaa Allah kalau umur aku dan dia masih ada waktu tu," sambung Asyraf lagi.

     "Aku harap juga dia layan teman wanita dia elok-elok. Bimbing gadis itu kembali pada fitrah. Kahwini dia, kalau gadis itu diyakini jodoh. Jangan buat wanita ini macam alat, mereka bukan diciptakan untuk itu."

     Nazrin masih lagi berdiam diri. Kelu lidahnya mendengar kata-kata Asyraf. Sungguh, hari ini dia malu dengan Asyraf, dirinya sendiri dan paling utama, dia malu pada Tuhan. Rancangan selama 10 tahun seakan lebur dek kata-kata tajam yang dilontar oleh kawan baiknya itu. Namun, dia masih takut untuk berdepan dengan kesalahannya itu. Dia tak mahu menghabiskan hidupnya di dalam penjara. Tidak sama sekali.

     "Asyraf, aku rasa aku balik dululah. Aku harap kau tabah dalam menghadapi semua ini. Aku tahu kau kuat, tak seperti aku. Lain kali aku datang lagi," jawab Nazrin lalu bangun meninggalkan Asyraf sendirian di dalam bilik tersebut.

     Asyraf tidak memandang pemergian Nazrin, sebaliknya hanya tunduk memandang lantai. Air mata lelakinya tak mampu dia tahan. Andai benar itu kesudahannya yang Tuhan tentukan untuknya, dia redha.

     *     *     *     *     *
Nisa baru selesai melakukan solat Isyak apabila pintu biliknya dibuka. Sejak Asyraf ditahan, dia tidak pulang ke rumahnya ataupun rumah ayahnya, sebaliknya kekal di rumah ibu bapa mentuanya. Namun, dek kerana dia demam panas selama dua hari, Adriana terpaksa pergi ke rumahnya untuk mengambil pakaiannya.

     Seminggu tanpa Asyraf di sisi benar-benar menggugat kewibawaannya. Hanya Allah tahu betapa beratnya rasa hidup tanpa suami di sisi. Namun, dia redha andai benar suami terpaksa dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dia lakukan. Berapa tahun sekalipun, dia pasti akan menunggu.

     "Annisa Faiha, mengelamun saja. Sampai abang panggil pun, Nisa tak menyahut."

     Itulah suara yang dirindui Nisa. Ternyata dia benar-benar merindui sehinggakan suara itu kedengaran seperti berada di hadapannya. Air matanya mula mengalir. Namun, lamunannya terhenti serta-merta apabila terasa ada tangan yang menyeka air matanya.

     Nisa memandang ke hadapannya. Ada insan yang dirinduinya sedang melutut di hadapannya. Astaghfirullah hallazim, suaminya berada dihadapan, tapi dia menyangkakan dirinya bermimpi.

     "Abang dah balik?" Tanya Nisa, inginkan kepastian.

     Asyraf memandang Nisa, lalu menghadiahkan senyuman yang paling manis kepada bidadarinya itu.

     Melihat reaksi Asyraf, Nisa terus memeluk si suami. Tak terungkap rasa gembira di hatinya melihat kepulangan suami tersayang. Cukuplah seksanya hidup tanpa cinta suami selama seminggu. Tak sanggup rasanya nak hadapi lagi.

     "Nisa rindukan abang," hanya itu yang mampu Nisa ucapkan buat si suami.

     "Abang pun rindukan sayang. Rindu sangat," jawab Asyraf, sambil tersenyum.

     "Suami isteri ini kalau dah jumpa, orang lain pun lupa!" Ada suara tiba-tiba menyampuk telah mengejutkan keduanya dari 'drama swasta' mereka.

*bersambung*

Monday, June 29, 2015

Rasa yang Sama Part 9...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:


Nisa mulai hairan apabila dia menyedari laluan pemanduan Asyraf sudah berubah menuju ke tempat lain. Nisa memandang Asyraf, Asyraf kelihatannya sangat serius. Seperti ada yang memenuhi ruang fikiran suaminya.

     "Abang nak ke mana ni? Ini bukan jalan nak balik rumah kita," tanya Nisa setelah melihat Asyraf tidak menyedari bahawa dia telah memerhatikan suaminya itu sedari tadi.

     "Abang nak balik rumah abah sekejap. Nak ambil barang kejap," jawab Asyraf, hambar.

     "Abang okay? Kenapa suara abang lain macam ni?" Tanya Nisa lagi.

     "Nisa, boleh tolong abang tak?"

     "Tolong apa, abang?"

     "Walau apapun yang terjadi lepas ni, abang nak sayang tahu abang ada sebab kenapa abang buat semua ni. Abang sayangkan Nisa, dah jadi tanggungjawab abang untuk lindungi Nisa. Siapapun yang jumpa Nisa selepas ni, cakap bukan-bukan tentang abang, siap bagi bukti sekalipun, abang harap Nisa boleh percayakan abang. Sepertimana abang percaya Nisa tak curangi abang dengan mamat bajet tu dulu. Maafkan abang andai abang tak mampu nak bantu Nisa cari memori Nisa selepas ni. Nisa jangan sendirian, kalau apa-apa jadi, Nisa balik rumah ayah atau abah. Boleh tak Nisa?"

     Belum sempat Nisa menjawab, kereta Toyota Vios milik Asyraf telahpun berhenti di destinasi yang dituju. Nisa melihat luar, rumah agam milik Encik Halim, ayah mentuanya berada di hadapannya. Namun yang menghairankan Nisa, terdapat sebuah kereta polis di sebelah kereta yang dipandu Asyraf itu.

     Mereka berdua keluar dari kereta. Tanpa berlengah, Asyraf berjalan memasuki rumah seolah-olah dia sudah tahu tentang kehadiran polis tersebut. Nisa mengikuti dari belakang.

     "Assalamualaikum semua," sapa Asyraf pada semua orang yang berada di ruang tamu. Nisa melihat sekeliling, terdapat dua orang pegawai polis, ayah dan ibu mentuanya, kakak iparnya dan suami kakak iparnya. Melihat semua orang, dia bertambah hairan.

     "Wa'alaikumussalam. Encik Asyraf Rasyid?" Tanya salah seorang pegawai polis yang bangun mendekati mereka berdua.

     "Ya, saya. Ada apa encik?" Tanya Asyraf, terkejut.

     "Saya Inspektor Hafizi dari bahagian siasatan jenayah Bukit Aman. Saya terpaksa menahan reman Encik Asyraf Rasyid atas tuduhan menyeleweng duit syarikat Hartamanah Holdings Sdn. Bhd. sebanyak kira-kira RM80,000. Saya harap Encik Asyraf dapat bekerjasama," jelas Inspektor Hafizi lalu menggari tangan Asyraf.

     Asyraf hanya berdiam dan membiarkan Inspektor Hafizi menggari tangannya. Tanpa berlengah, Inspektor Hafizi dan rakan sekerjanya, Sarjan Izani membawa Asyraf keluar dari rumah lalu menuju ke arah kereta polis yang dilihat oleh Nisa tadi.

     Nisa tidak berkata apa-apa kerana terlalu terkejut. Puan Aina dan kakak ipar Nisa, Adriana mendekati Nisa dan bertindak memeluk Nisa yang sudahpun berlinangan air mata.

     Sebaik sahaja kereta polis yang membawa Asyraf pergi, pandangan Nisa mulai kelabu dan akhirnya hitam.

     *     *     *     *     *
"Nazrin, saya nak awak tolong saya. Saya nak awak ambil alih semua kerja-kerja Asyraf berkuatkuasa serta-merta. Semua jadual kerja Asyraf, saya akan minta Yanti email pada setiausaha awak," arah Encik Halim sebaik sahaja Nazrin duduk di hadapannya.

     "Asyraf mana? Kenapa dia tak habiskan kerjanya?" Tanya Nazrin terpinga-pinga.

     "Saya percayakan kamu sebab kamu kawan baik Asyraf. Jadi saya harap kamu tak keluarkan cerita ini dari bilil saya."

     "Baiklah, Encik Halim, tapi apa ceritanya?"

     "Asyraf ditahan polis malam semalam. Saya terpaksa melaporkan anak saya kepada polis kerana dia seleweng duit syarikat."

     "Hah? Macam mana Encik Halim boleh buat begitu? Dia kan anak encik," bantah Nazrin.

     "Dia sendiri yang mengaku dan dia mengizinkan saya untuk menghukumnya mengikut undang-undang. Saya kena jaga ahli lembaga pengarah juga, apa pilihan yang saya ada?" Jelas Encik Halim, sedikit sedih.

     "Ya tak ya juga. Baiklah, kalau itu kata Encik Halim. Boleh saya tahu di mana dia ditahan? Saya nak lawat dia."

     "Bukit Aman. Pergilah, dia perlukan kamu. Nisa demam panas, jadi dia tak dapat nak lawat Asyraf."

     "Baiklah, saya akan pergi. Banyak bersabar, Encik Halim. Ini semua dugaan, encik."

     "Terima kasih, Nazrin."

     "Sama-sama. Saya minta diri dulu, Encik Halim," Nazrin bangun lalu beredar dari bilik Encik Halim. Dia mengukir senyuman sinis sebaik sahaja dia membelakangi Encik Halim. Ternyata berita itu yang dinantinya selama ini.

     Encik Halim melihat pemergian Nazrin. Selepas itu, dia mengambil telefon bimbitnya lalu menghubungi seseorang.

     "Assalamualaikum, Inspektor. Saya dah sampaikan berita itu pada dia. Selebihnya, saya serahkan pada Inspektor. Terima kasih banyak-banyak, Inspektor. Ya, ya, baiklah. Saya akan pastikan keselamatan Nisa terjamin. Baiklah, wa'alaikumussalam."

*bersambung*

Rasa yang Sama Part 8...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Nampaknya dalam masa terdekat ni, aku dah kembali menjadi penulis sepenuh masa. Oh ya, link part sebelumnya, ada di bawah ya:


Nisa yang terkejut dengan pertanyaan Asyraf dengan pantas memasukkan semula foto-foto yang dilihatnya tadi ke tempat asalnya lalu mengangkat fail tersebut lalu diletakkan di tempatnya.

      "Nisa okay ke tak ni?" Tanya Asyraf selepas soalannya tadi terbiar sepi tanpa jawapan.

     "Nisa okay, abang. Abang jangan risau, kepala Nisa sakit sikit," bohong Nisa lalu bangun dan ingin beredar keluar.

     Namun, langkahnya terpaksa dihentikan apabila Asyraf bertindak memaut lengannya. Nisa mulai kaget.

     "Nisa nampak apa dalam fail tadi itu?"

      Nisa terkesima, sangkaannya untuk melepaskan diri meleset sama sekali.

     "Do you love me, abang? Even I am not a good wife for you?" Tanya Nisa. Nada suaranya mula berubah sebak.

     "Yes, my dear. I do love you, and you are not a bad wife as you thought you were. Gambar itu yang Nisa tak patut percaya," jawab Asyraf. Dia memandang isterinya itu. Wanita itu masih membelakanginya.

     "Kenapa Nisa tak perlu percaya bukti yang ada depan mata, abang? Nisa tak boleh nak ingat apa yang terjadi ketika gambar itu diambil! Nisa ingat semua perkara tentang kita, tapi Nisa tak ingat tentang perkara ni langsung! Abang mesti dah tahu sebelum kita kemalangan. Jangan-jangan kita kemalangan sebab ini tak, abang?" Nisa akhirnya menoleh memandang suaminya. Ada mutiara jernih di kelopak matanya.

     "Cukuplah sekali abang salah faham pada Nisa, abang tak nak hukum Nisa dan diri abang lagi."

     "Abang, don't tell me you do remember this?"

     "Abang dah ingat semuanya. Everything about us, apa yang buat kita kemalangan, everything. Trust me, I know why those photos turn out that way, but I am still gathering evidences. Jadi, abang harap Nisa boleh percayakan abang. Please..." rayu Asyraf lalu memegang erat tangan Nisa.

     Nisa buntu. Apakah dia harus mempercayai suaminya atau mempercayai foto tersebut? Sakit kepalanya memikirkan perkara itu, namun dia menahan kesakitan itu kerana tak mahu membimbangkan suaminya.

     *     *     *     *     *
"Eh, Asyraf! Kenapa kamu balik tak telefon mama dulu? Mana Nisa?" Tanya Puan Aina bertubi-tubi setelah dia melihat anak lelaki sulungnya masuk ke dalam rumah dengan beg pakaiannya.

     "Nisa nak balik rumah mama Hajar, without me. Kami bergaduh sikit, dan Asyraf bagi dia masa untuk bertenang," jawab Asyraf lalu duduk di sofa bertentangan dengan ibunya.

     "Gaduh? Kenapa?" Tanya Puan Aina lagi.

     "Ingatan Asyraf dah pulih, tapi ingatan Nisa belum. Jadi, ada perkara yang Nisa hanya tahu sekerat saja, dan perkara itu merunsingkan Nisa. Asyraf cuba terangkan padanya, tapi dia tak nak bagi Asyraf peluang. Jadi, Asyraf rasa lebih baik dia balik ke sana. Biar fikirannya tenang dulu," jelas Asyraf, hambar.

     "Sabar banyak-banyak. Ini dugaan kamu. Oh ya, abah kamu suruh kamu masuk pejabat. Katanya penting."

     "Baiklah, mama. Asyraf pergi salin pakaian dulu," jawab Asyraf lalu beredar menuju ke bilik tidurnya.

     Puan Aina hanya memerhatikan anak lelakinya beredar, dan akhirnya mengeluh.

     *     *     *     *     *
"Abang ni kenapa? Nisa tak buat semua itu abang!" Rayu Nisa tatkala dirinya diheret Asyraf keluar dari restoran itu.

     "Kalau tak buat, apa yang Nisa buat kat situ dengan mamat bajet itu?" Tanya Asyraf ketika dia membuka pintu kereta Honda City warna perak di hadapan mereka lalu menolak Nisa masuk ke dalam kereta.

     Nisa hanya menurut dan selepas itu pintu kereta ditutup oleh Asyraf dengan kuat. Nisa dapat melihat Asyraf berjalan menuju ke pintu tempat pemandu dan masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin.

     "Nisa dapat mesej daripada seseorang yang memaklumkan bahawa abang ada masalah dengan dia. Kalau Nisa tak nak abang masuk penjara, dia suruh Nisa datang," jelas Nisa.

     "Nisa jangan pandai-pandai buat cerita!"

     "Abang! Abang tak percaya Nisa ke? Kita dah kenal hampir 10 tahun!"

     Bunyi telefon bimbit mengejutkan Nisa dari tidurnya. Dia beristighfar apabila dia sedar bahawa dia bermimpi tadi. Dengan segera, dia mencapai telefon bimbit yang berdering itu. Dilihat nama "Encik Suami" di skrin tanda Asyraf yang menghubunginya. Dia memilih untuk menjawab panggilan tersebut.

     "Assalamualaikum, abang. Lambatnya call," Nisa memulakan bicara setelah dia mendapati tiada sebarang bunyi daripada hujung talian.

     "Wa'alaikumussalam, Nisa. Abang baru balik dari pejabat, ada hal sikit abah minta tolong. Nisa buat apa?" Jawab Asyraf di hujung talian.

     "Nisa dah terlelap tadi, tapi terkejut dengar bunyi telefon. Jadi, terbangunlah."

     "Ya ke? Abang minta maaf sebab ganggu Nisa tidur."

     "Nisa memang tunggu abang call, sebab ada benda nak cakap."

     "Apa dia, sayang?"

     "Esok ambil Nisa, boleh? Kita balik rumah. Nisa dah okay, Nisa dah faham apa yang abang cuba sampaikan tadi. Nisa tahu Nisa tak salah, jadi Nisa serahkan semuanya pada abang. Nisa minta ampun, abang."

     "Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang perlu abang maafkan. Esok lepas kerja, abang ambil Nisa. Abang nak tidur dah ni, esok ada meeting. Good night, my dear. I love you."

     "Love you too, Encik Suami. Assalamualaikum."

     "Wa'alaikumussalam, puan isteri," jawab Asyraf sebelum talian diputuskan. Nisa meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja sisinya lalu baring semula.

     *     *     *     *     *
"Kamu betul-betul nekad nak buat cara ini ke, Asyraf? Abah tak mahu gadaikan reputasi Asyraf hanya untuk membongkarkan sebuah rahsia," tanya Encik Halim, inginkan kepastian.

     "Ya, abah. Lepas selesai semuanya, then I will take over this company. That's our deal. Asyraf akan tunaikan permintaan abah. Asyraf tahu benda ni berisiko tinggi tapi ini saja cara dia akan terlepas pandang. Asyraf nak tengok apa yang dia nak buat," jelas Asyraf.

     "Kalau macam itu, bila kita nak mulakan?" Tanya Asyraf.

     "Now," jawab Asyraf, pendek.

     "What? Are you crazy, Asyraf?" Tanya Encik Halim, separuh menjerit.

*bersambung*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com