Sunday, March 17, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 17

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16

*****

"Jadi, kau masih nak terima lamaran Wan?" duga Dora sambil memandang Amelia, tajam.

"Kalau itu saja yang boleh patahkan harapan tuan Syafiq pada aku, aku sanggup terima lamaran Wan," jawab Amelia, selamba.

"Kau biar betul, Amy? Sampai tahap ini kau sanggup gadaikan perasaan sendiri? Apa yang kau dapat?" tanya Dora yang terkejut dengan jawapan Amelia.

"Aku sanggup buat apa saja, asalkan dia bahagia. Aku tak nak apa-apa berlaku padanya, sebab itulah aku buat begini. Apa yang berlaku pada arwah Azam pun masih bermain di dalam kepala aku ini, kau rasa kalau apa-apa berlaku pada tuan Syafiq, aku boleh teruskan hidup akukah?"

"Jodoh, pertemuan, ajal, maut, semuanya di tangan Tuhan, bukannya tangan kau. Cuba bawa mengucap sikit!"

"Selagi kita boleh usaha, tak salah bukan? Lagipun, aku rasa Wan boleh turutkan permintaan aku. In shaa Allah, tak ada apa-apa."

"Sejujurnya Amy, aku rasa aku lebih percayakan sir Syafiq lebih mampu untuk tidak menyentuh kau selagi kau tak bersedia berbanding Wan. Wan memang tak gunakan minyak pengasih seperti arwah Azam, tetapi Wan juga nampak seperti obseskan kau. Dia pasti mahu memiliki kau sepenuhnya. Itu daripada apa yang aku lihatlah," jelas Dora.

"Dia pernah dapat aku dulu, takkanlah dia obses pada aku? Tuan Syafiq itu lebih patut obses, sebab dia tak pernah dapat."

"Kau pernah terlanjur dengan Wan ke?"

"Tak!" jerit Amelia yang terkejut dengan soalan Dora itu.

"Jadi, sama-sama tak pernah dapatlah. Tak ada maknanya bercinta itu boleh anggap dapat. Terpulanglah kau nak percayakan aku ataupun tidak. Sekiranya terjadi apa-apa nanti, jangan cakap aku tak bagi amaran pada kau," protes Dora sebelum bangun meninggalkan Amelia sendirian di ruang tamu itu. Malas hendak terus bertikam lidah.

      *      *      *      *      *

Alangkah terkejutnya Syafiq pagi itu tatkala melihat seorang wanita yang amat dikenalinya duduk di tempat duduknya. Sudahlah moodnya tidak berapa baik akibat marahkan Amelia tadi, terlihat insan lain di dalam biliknya telah menambahkan api kemarahannya.

"Aina!" jerit Syafiq membuatkan Aina cepat-cepat mendekatinya di pintu biliknya itu.

"Ya, tuan," jawab Aina, perlahan.

"Siapa bagi kamu arahan untuk biarkan perempuan ini duduk dalam bilik saya? Bukankah di hadapan meja kamu ada ruang menunggu?" jerkah Syafiq membuatkan Aina terkejut.

"Saya dah suruh cik Deena tunggu di luar, tetapi dia terus saja masuk ke dalam bilik tuan," jelas Aina, terketar-ketar.

"Lain kali, kalau dia degil, awak hubungi saja bahagian keselamatan. Sedangkan ayah sayapun akan tunggu sehingga saya berada di dalam bilik terlebih dahulu sebelum dia masuk, perempuan ini ingat dia siapa nak melanggar peraturan saya?" bebel Syafiq.

"Saya minta maaf, tuan."

"Saya maafkan, pergi sambung kerja dan jangan beri sesiapa masuk selagi perempuan ini tak keluar, faham?" arah Syafiq, tegas.

Aina hanya mengangguk sebelum beredar dari bilik Syafiq itu. Syafiq menutup pintu biliknya lalu berjalan menuju ke hadapan mejanya.

Deena yang melihat segalanya dari tadi hanya tersenyum puas melihat Aina dimarahi oleh Syafiq. Namun, dia sangkakan semua itu akan habis di situ tetapi ternyata sangkaannya meleset.

"Deena buat apa di sini? Tak penatkah hari-hari datang sini, kacau Syafiq kerja? Tak malukah para pekerja Syafiq mengata Deena perempuan tak tahu malu?" jerkah Syafiq, geram.

"Mama Syafiq yang suruh Deena datang tunjuk muka, supaya Syafiq tak lupakan Deena. Takkan itupun salah? Para pekerja Syafiq itu, Syafiq pecat saja. Biar padan muka mereka semua! Siapa suruh membawang saja kerjanya?" jawab Deena, angkuh.

"Ewah, ewah, Deena fikir Deena siapa nak buat keputusan dalam syarikat ini?" bentak Syafiq, berang.

"Bakal menantu mama dan ayah Syafiq," ujar Deena, selamba.

"Muka tak malu, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Deena, hati Syafiq tak pernah ada untuk Deena. Tidak dulu, tidak sekarang, mungkin tidak juga akan datang," sindir Syafiq.

"Tak apa, memang hati Syafiq tak pernah ada untuk Deena tapi tak mungkin Syafiq akan bantah cakap mama Syafiq, bukan?" ujar Deena, yakin.

"Kita tunggu dan lihat, apa yang akan Syafiq buat nanti ya? Jadi, buat masa sekarang, Deena boleh keluar dari sini dan jangan datang lagi. Jangan sampai Syafiq keluarkan notis halangan masuk untuk Deena ya?" jawab Syafiq, sinis.

Mendengar jawapan Syafiq, Deena merengus geram lalu bangun meninggalkan bilik tersebut.

Puas hati Syafiq dapat mengenakan Deena. Wanita sepertinya takkan pernah berubah. Dia bukannya tak tahu kenapa wanita beriya-iya untuk mengahwininya. Cuma, belum ada bukti kukuh untuk mematahkan usahanya.

Sejak dia melihat Deena seperti tidak pernah berputus asa untuk menawan hatinya, dia telah mengarahkan seorang penyiasat persendirian untuk menyiasat latar belakang Deena.

Seperti yang dijangkakan, Deena mempunyai seorang kekasih di belakangnya. Sejak dari mula, wanita itu mendekatinya hanya untuk mendapatkan duitnya bagi menyara dirinya dan lelaki itu.

Tambahan pula, Deena rupanya bersedudukan dengan lelaki itu semenjak lima tahun lepas. Sepanjang lima tahun itulah, Deena merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mencari rezeki bagi menyara mereka berdua. Sudah beberapa orang berpangkat dan berkedudukan telah menjadi mangsanya.

Dia hanya perlu menunggu masa yang sesuai untuk mematahkan niat wanita itu untuk memilikinya.

      *      *     *      *      *

"Akhirnya, Amy terima juga kau ya? Aku ingatkan Amy nak tolak kau kali ini," ujar Zaidah yang sedang mengagihkan air minuman yang baru sahaja tiba kepada semua orang yang berada di meja itu.

"Aku terima Wan sebab dia kata dia akan tunaikan janjinya pada aku. Itu yang membuatkan aku terima dia," jawab Amelia sambil menghirup air sirap limau yang dipesannya.

"Itulah, aku pun tak sangka Amy nak terima aku. Aku sebenarnya dah nak berputus asa, tapi akhirnya Allah makbulkan doa aku," ujar Redzuan sambil memandang ke arah Amelia yang duduk bersebelahan dengannya.

"Jadi, kau orang merancang nak bernikah bila?" tanya Ruzaini pula.

"Kami akan bernikah bulan depan kerana Amy tidak mahu bertunang lama-lama. Jadi, aku ikutkan saja. Lagipun, duit hantaran ikut pada berapa aku mampu berikan. Tak adalah susah aku nak cari duitnya," jelas Redzuan lagi.

Amelia hanya tersenyum nipis. Dia dapat melihat Dora tidak memberikan sebarang respon, apatah lagi untuk mengambil tahu soal perkahwinannya dan Redzuan. Dia tahu wanita itu marah dengannya kerana keputusan mengabaikan perasaannya sendiri untuk menerima Redzuan.

"Jadi, kau orang akan bernikah lebih awal daripada kami berdua dua minggulah! Alahai, aku tak tahulah kau orang akan datang kenduri aku ataupun tak," ujar Zaidah sambil memuncungkan mulutnya.

"Kalau panjang umur aku, in shaa Allah aku datang. Jangan risaulah," jawab Redzuan, ringkas.

"Ish, kenapa kau sebut pasal panjang umur ini?" seloroh Ruzaini pula.

"Yalah, manalah kita tahu nafas kita sampai bila bukan? Lebih baik aku jawab begini," jelas Redzuan.

"Yalah, Wan. Jadi, selepas nikah, kau orang nak tinggal di mana?" tanya Zaidah pula.

"Kami akan tinggal di rumah masing-masing sekarang, sampai aku jumpa rumah yang sesuai. Aku tak nak tergesa-gesa cari rumah tapi rumah yang kami dapat tak semenggah," terang Redzuan.

"Amy, kau okay? Kenapa kau diam?" tanya Zaidah lagi.

"Aku nak jawab apa, bukankah Wan dah jawab semua. Sudahlah," jawab Amelia.

"Yang kau pula Dora, kenapa kau diam dari tadi?" tana Zaidah kepada Dora yang sedari tadi menjadi pemerhati.

"Tak ada apalah. Aku penat melayan kerenah pelanggan yang pelik-pelik hari ini," bohong Dora.

"Itulah, hari itu sir Syafiq tawarkan kerja di syarikat dia, kau tak mahu," ujar Zaidah.

Amelia terkesima mendengar pernyataan Zaidah itu. Kenapa dia tidak tahu tentang ini?

"Dia tawarkan kerja khidmat pelanggan juga di sana, bukannya lari bidang. Sama saja. Lagipun, dia nak aku kerja sana untuk temankan Amy. Aku tak naklah Amy rasa tak selesa sebab dia tengok muka aku saja nanti," jawab Dora, selamba.

"Kenapa aku tak tahu soal ini?" tanya Amelia pula.

"Dia tawarkan pada aku semasa kau sakit hari itu tapi aku tolak serta-merta. Cukuplah dia dah banyak tolong kau, tak perlulah sampai tolong aku sekali," jelas Dora.

Dora dapat melihat wajah Redzuan mulai merah ketika nama Syafiq disebut. Dia tahu lelaki itu masih cemburukan Syafiq walaupun dia bakal memiliki Amelia.

      *       *       *       *       *

"Ada apa tuan nak bertemu dengan saya?" tanya Amelia sebaik sahaja dia duduk berhadapan dengan Syafiq.

Syafiq tidak terus menjawab, dia memandang wajah wanita yang duduk berhadapan dengannya. Tiada ekspresi pada wajah Amelia sejak dia melayan Amelia dengan buruk.

"Saya dengar awak nak bernikah minggu depan. Jadi, saya nak berikan hadiah kahwin awak siap-siap," jawab Syafiq sambil mengambil beg kertas yang terletak di tepinya lalu diserahkan kepada Amelia.

"Terima kasih tuan," jawab Amelia ketika mengambil beg tersebut daripada Syafiq.

"Boleh saya tahu, kenapa awak pilih Redzuan?" tanya Syafiq, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com