Wednesday, March 27, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 21

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16
Part 17
Part 18
Part 19
Part 20

*****

"Tuan sukakan Amelia?" tanya Aina, ingin tahu.

"Apalah gunanya saya sukakan dia kalau dia tak punya perasaan yang sama?" tanya Syafiq pula.

"Pada pandangan saya, Amelia ada perasaan pada tuan sebenarnya. Cuma, saya tak pasti kenapa dia menolak mentah-mentah perasaannya sendiri," terang Aina.

"Maksud awak?"

"She's in denial."

"Awak jangan bagi harapan pada saya. Tiga tahun lebih tahu saya kena tolak mentah-mentah dengannya. Tiga kali dia tolak saya, kalau awak salah tanggapan, mana saya nak letak muka?" ujar Syafiq.

"Saya perempuan dan dia pun sama. Jadi, saya yakin dengan hipotesis saya," jawab Aina sambil tersenyum.

"Pandai-pandai saja awak ini. Sudah, buat apa yang saya suruh dan buatkan saya kopi," arah Syafiq bagi menghalau Aina keluar dari biliknya supaya perbualan mereka tidak berpanjangan.

     *      *      *      *      *

Dora yang sedang memasak lauk makan malam itu hanya memerhatikan Amelia yang sedang termenung itu.

Sejak Zaidah bernikah dengan Ruzaini hujung minggu lepas, dia sentiasa memastikan Amelia tidak bersendirian. Jika dia bekerja syif malam, pasti dia akan kerap menelefon Amelia yang berada di rumah.

Namun begitu, dia tidak sama sekali menyangka rakan-rakan sekerjanya telah menukar jadual kerjanya sehinggakan dia hanya perlu bekerja syif malam hanya di antara dua hingga lima hari sahaja dalam sebulan semenjak Amelia sakit semenjak kematian arwah Azam dulu.

Malah, sejak pernikahan Zaidah pula, sekiranya dia perlu bekerja syif malam, Syafiq akan menahan Amelia di pejabat dan mengupah pengawal peribadi mengekori Amelia bagi memastikan keselamatan wanita itu.

"Kenapa kau termenung itu, Amy? Mari tolong aku ni, ada faedahnya," ujar Dora sambil mengelap pinggan untuk dibawa ke meja makan.

Mendengar kata-katanya, Amelia bangun lalu menuju ke arahnya. Sebaik sahaja wanita itu tiba, dia terus menghulurkan pinggan yang sudah dilap itu kepada Amelia.

Amelia pula mengambil pinggan tersebut tanpa sepatah kata dan membawanya ke meja makan.

Melihat Amelia yang masih belum bersuara itu, Dora tahu Amelia punya masalah.

"Kau ada masalah ke, Amy? Kau jangan begini, kita tinggal berdua saja sekarang. Kalau kau senyap begini, boleh sawan aku seorang diri," ujar Dora, sedih.

Dia dapat melihat Amelia memandangnya. Namun, masih tiada jawapan daripada wanita itu.

Dora kenal sangat Amelia, jika masih tiada jawapan, bererti wanita itu tidak bersedia untuk berkongsi.

"Mak ayah aku, dia suruh aku menikah lagi selepas habis tempoh Iddah," jawab Amelia, hambar.

"Habis itu, kau jawab apa?" tanya Dora.

"Aku seboleh-bolehnya tak nak, sebab aku dah boleh duga siapa bakal suami aku itu. Aku kenal ayah aku itu, dia takkan buka mulut jika tiada calonnya," jelas Amelia.

"Siapa orangnya?" tanya Dora, ingin tahu.

"Raja Mohamad Syafiq," jawab Amelia, ringkas.

"Tuan punya badan ada cakap apa-apakah pada kau?" tanya Dora lagi.

"Tak adapun, sejak aku bernikah dengan arwah Wan, dia tak ada lagi berbicara soal peribadi aku. Semuanya soal kerja. Lagipun, dia tak lagi melayan aku dengan baik," terang Amelia.

"Jadi, kenapa kau syak dia? Aku rasa, selagi tuan punya badan tak hantar rombongan, kau tak boleh main serkap jarang saja. Manalah tahu kot orang lain pula," ujar Dora.

"Tapi mak ayah aku perkenan dia jadi menantu," jawab Amelia.

"Itu tidak bermakna dia masih berminat pada kau. Kau pula, masih sayangkan dia?" tanya Dora.

"Tipulah kalau aku kata aku sudah tak sayangkan dia lagi. Dia sanggup uruskan pengebumian kedua-dua arwah suaminya sedangkan tiga kali aku tolak dia. Mana ada lelaki yang sanggup buat begitu."

"Kalau kau tahu apa yang dia sanggup buat untuk kau, aku rasa kau takkan lepaskan dia walaupun kau tahu mungkin nyawanya akan terancam."

"Apa maksud kau, Dora?"

Mendengar soalan Amelia, Dora kaget.

"Hah? Tak ada apalah. Sudah, jom makan," ujar Dora sambil menarik nafas lega. Mujurlah selepas dia menutup keterlanjuran bicaranya tadi, Amelia tidak menjawab. Jika tidak, pasti dia terpaksa mereka cerita tentang Syafiq.

      *      *      *      *      *

Zaidah dan Ruzaini baru sahaja tiba di lapangan terbang KLIA dari Jakarta, Indonesia untuk berbulan madu apabila dia mendapat berita tentang kemasukan ibu Ruzaini, Puan Rosnah di hospital akibat paru-parunya bocor.

Tanpa berlengah, mereka berdua bergegas ke Hospital Serdang untuk menemui ibu mereka itu.

"Assalamualaikum ibu," ujar Ruzaini sebaik mereka berdua memasuki bilik wad Puan Rosnah.

"Waalaikumussalam, Zaini, Zaidah. Bila sampai KL?" tanya Puan Rosnah selepas menjawab salam Ruzaini itu.

"Baru saja, ibu. Kenapa ibu tak beritahu Zaini ibu masuk hospital? Kalau kami tahu, kami balik cepat sikit," jawab Zaini selepas mencium tangan ibunya itu.

"Itu yang ibu tak mahu itu. Zaini dengan Zaidah pergi bulan madu, ibu tak nak kacau. Selagi ibu boleh bertahan, ibu akan bertahan. Ibu tak nak kerana ibu, kamu berdua berselisih faham," ujar Puan Rosnah.

"Tak ada apalah, ibu. Bulan madu boleh pergi lagi, ibu ada seorang saja. Kalau kami dapat tahu lebih awal, pasti kami akan balik lebih awal," jawab Zaidah pula.

"Zaidah, ibu ini perempuan juga seperti kamu. Ibu tahu apa yang akan kamu rasakan. Ibu lebih dulu menjadi menantu, pasti ibu lebih memahami perasaan kamu," jelas Puan Rosnah.

Mendengar kata-kata ibu mentuanya itu, Zaidah terus memeluk erat wanita itu. Bersyukur sangat rasanya mendapat ibu mentua yang memahami.

"Cuma, ibu harap sangat sebelum ibu tutup mata, ibu boleh timang cucu," sambung Puan Rosnah.

Zaidah terkedu. Bukan dia tak mahu menunaikan permintaan Puan Rosnah, tetapi soal rezeki ini payah hendak dijangka. Lagi pula, dia telah disahkan oleh doktor mempunyai peluang yang agak tipis untuk mengandung akibat daripada masalah hormon yang dihadapinya sejak bangku sekolah lagi.

Ruzaini juga terkedu mendengar permintaan ibunya itu kerana dia tahu isterinya tidak mudah untuk mengandung. Pada sangkaannya, jika mereka berusaha, mereka mungkin akan ada peluang itu. Namun, dia sama sekali tidak menjangka yang ibunya akan memberikan tekanan kepada mereka suami isteri.

"In shaa Allah ibu, kalau ada rezeki, pasti ibu akan timang cucu," jawab Zaidah sambil tersenyum manis.

Ruzaini yang melihat itu tahu senyuman Zaidah hanya dipaksa. Isterinya itu pasti sudah bergelora di dalam hatinya. Dia bukannya tak tahu sikap isterinya yang hanya ingin menjaga hati orang sehingga melukakan hatinya sendiri.

Ruzaini juga tahu sikap ibunya dalam memberi tekanan. Ibunya pasti takkan berputus asa sehingga dia tak mendapat apa yang dimahukannya. Dia bimbang tekanan itu akan membuatkan peluang Zaidah lebih tipis akibat stress.

Pening dia memikirkan masalah yang baru tiba ini. Dia hanya boleh berharap yang Allah akan permudahkan segalanya.

      *      *      *      *      *

Syafiq sedang mengemaskan laporan yang bersepah di atas mejanya apabila pintu biliknya diketuk.

"Masuk!" jerit Syafiq dari tempat dia berdiri.

Tak lama kemudian, pintu dibuka dan Amelia masuk ke dalam bilik lalu berdiri di hadapan meja Syafiq.

"Tuan panggil saya, ada apa ya?" tanya Amelia, ingin tahu.

Syafiq tidak menjawab, masih lagi leka dengan kerjanya. Sengaja dia membiarkan Amelia menunggunya selesai.

Amelia pula hanya memandang Syafiq sambil menantikan jawapan kepada soalannya tadi. Dia bukannya tak tahu, Syafiq suka menduga kesabarannya dengan cara begini.

Hampir sepuluh minit Syafiq membiarkan Amelia berdiri di situ, namun Amelia masih lagi kekal berdiri tanpa sepatah kata. Selepas Syafiq selesai menyusun failnya, dia duduk di atas kerusinya lalu memandang Amelia.

"Saya nak awak uruskan projek kita di Pulau Pinang itu sampai habis," ujar Syafiq, memecah kesunyian.

"Bukankah memang saya dengan tuan yang uruskan projek itu?" tanya Amelia, hairan.

"Ya, tapi saya nak awak uruskan di sana sampai habis acara tersebut," jawab Syafiq.

"Maksud tuan?" tanya Amelia, tidak faham.

"Saya nak awak bekerja di sana selama tiga bulan," ujar Syafiq, selamba.

"Tiga bulan?" tanya Amelia lagi, tidak percaya.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com