Tuesday, February 28, 2012

Hapuskanlah Egomu Sayang Part 10...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi ana mencoret dalam blog kelabu ana ini... Maafkan ana sebab dah tak boleh nak update blog hari-hari sebab kesempitan waktu... So, ana ingat nak sambung cerpen lagi... Macam biasa, part sebelumnya ada di bawah:


Sudah seminggu Nadira koma, sepanjang seminggu itulah Aamir sentiasa disisinya. Sehinggakan dirinya sendiri pun sudah tak terurus lagi. Akibat daripada keadaan itu, Mak Aina dan Pak Zaini telah bertindak menginap di rumah anaknya di Shah Alam itu kerana melihat keadaan rumah anaknya yang tak terurus seperti tuannya juga sejak kemalangan yang menimpa puan besar rumah itu.

"Nak, baliklah rehat. Mama boleh tolong tengokkan Ida. Kamu itu mama tengok, dah teruk sangat dah ini. Dah naik cekung dah muka kamu. Balik ya, nak. Kalau ada apa-apa, mama hubungi kamu,"pujuk Mak Aina ketika dia dan Pak Zaini datang melawat Nadira yang sudahpun dipindahkan ke wad biasa setelah melepasi zon kritikal.

"Tak nak, mama. Aamir tak nak berganjak daripada Dira. Mungkin inilah balasan Allah pada Aamir sebab zalimi Dira dulu,"jawab Aamir.

Mak Aina terkesima mendengar jawapan Aamir. Lantas dia menarik kerusi lain yang terletak berhampiran dan duduk di depan Aamir.

"Apa yang kamu buat pada Dira, Aamir? Cuba cakap pada mama,"tanya Mak Aina, ingin tahu.

"Apa yang Aamir buat ini bukannya lepas kami dah jadi suami isteri, tapi 5 tahun lepas. Waktu Aamir buat keputusan nak lepaskan Dira dulu,"jelas Aamir, perlahan.

"Apa yang kamu buat waktu itu?"tanya Mak Aina lagi.

"Mama tahu kan dulu Aamir ada teman wanita? Diralah orangnya, mama. Tapi 5 tahun lepas, Aamir nekad nak lepaskan dia tapi Aamir berhutang dengan dia. Memang akhirnya Allah dah tunjukkan, dia adalah jodoh Aamir. Mungkin juga Allah beri Aamir peluang untuk tebus salah Aamir, tapi dalam masa yang sama Allah titipkan banyak dugaan pada Aamir, sepertimana Allah bagi dugaan pada Dira waktu kami bercinta dulu,"luah Aamir, sebak.

"Astaghfirullah hallazim, Aamir. Tapi mama tak faham, dugaan apa yang Aamir maksudkan pada Ida dulu?"tanya Mak Aina lagi.

"Dulu, Aamir duakan dia. Tapi Aamir tak lepaskan dia sebab Aamir dah janji nak berubah. Dia beri Aamir peluang, tapi Aamir buat kesalahan yang sama untuk kali kedua. Dia beri peluang lagi, Alhamdulillah selepas itu Aamir berubah tapi sebaik saja Aamir sedar yang Aamir hanya sayangkan dia, Aamir tinggalkan dia dengan alasan Aamir dah bosan. Dia tak percaya dan minta Aamir jelaskan, tapi Aamir tak jelaskan. Mungkin sebab itulah selepas Aamir sah jadi suami dia, dia layan Aamir acuh tak acuh, dia jadi macam orang asing. Banyak diam, bercakap bila perlu. Dia tahu Aamir tak boleh tengok dia diam, dia buat Aamir resah sangat. Tapi itulah yang dia lakukan, duga Aamir dengan kelemahan Aamir sendiri,"jelas Aamir, panjang lebar.

"Aamir, itulah yang kita panggil karma. Benar, Allah berikan jodoh kita itu orang yang kita sayang sekian lama tapi Allah takkan berikan dia dengan mudah sebab Allah tak nak Aamir sia-siakan dia sepertimana Aamir sia-siakan dia dulu. Matlamat tak menghalalkan cara, Aamir. Perasaan kamu berdua memang dah lama ada, tapi cara kamu berdua itulah yang salah. Mama kenal anak mama ini, kamu tinggalkan dia sebab kamu nakkan yang halal dengan dia. Tapi hati wanita ini lembut, walaupun pada luarannya dia ganas. Kalau Aamir terangkan situasi sebenar pada dia dulu, mungkin dia takkan ada untuk Aamir sekarang. Sebab dia dah lepaskan Aamir seluruhnya. Allah itu Maha Mengetahui, Dia dah tetapkan yang terbaik untuk kita sejak kita dalam rahim lagi. Yakin dengan takdir-Nya, Dia tak pernah salah. Tapi mama pun tak salahkan Ida, sebab dia buntu lepas Aamir tinggalkan dia. Bayang-bayang Aamir sentiasa ada dengan dia. Mungkin sebab itu dia menduga Aamir selepas kahwin, sebab dia takut kehilangan Aamir untuk kali kedua,"nasihat Mak Aina, panjang lebar pula.

"Maksud mama?"tanya Aamir, hairan.

"Dia sayangkan kamu, sangat. Dari dulu sampailah selepas dia dah jadi milik kamu. Dia masih menjaga maruah kamu sebagai seorang suami walaupun dia tak layan kamu seperti isteri lain. Dia masih jaga makan pakai kamu, walaupun dia tak bermanja dengan kamu. Dia masih tahu setiap kegemaran kamu, walaupun dia macam tak endahkan kamu. Dia masih tahu apa yang kamu tak suka, walaupun dia mengelak nak bertentang dengan kamu. Sebabnya satu saja, sebab dia sangat sayangkan kamu dan dia paling takut kehilangan kamu,"jawab Mak Aina sambil memandang Nadira yang terlantar di atas katil disebelahnya.

Terkelu Aamir mendengar penjelasan ibunya itu. Kenapa dia terlupa yang Nadira memang pandai berkias? Kenapa dia hanya lihat pada perkara yang tersurat tetapi tidak pada yang tersirat? Astaghfirullah hallazim, kenapalah hamba-Mu ini lalai, ya Allah?

"Mama tahu hari-hari kamu mengaji untuk dia. Mama yakin Ida pun tahu itu. Kalau Allah masih merestui hubungan kamu, insya-Allah Dia akan pulangkan Ida untuk kamu. Banyakkan tawakkal, banyakkan berdoa. Serahkan semuanya pada yang kat atas itu, nak. Dia yang berikan segalanya buat kita,"pujuk Mak Aina.

Aamir tidak menjawab, sebaliknya hanya mampu mengalirkan air matanya kerana terharu. Sesungguhnya Allah sedang mengujinya sekarang, dan sebagai suami dia harus kuat kali ini. Demi Allah dan demi seorang isteri. Sekilas dia memandang isterinya, dia terlihat jari-jemari isterinya bergerak-gerak. Dengan pantas dia berlari ke kaunter jururawat untuk menjelaskan keadaan isterinya. Mak Aina hanya mampu menggelengkan kepalanya saja.

"Alhamdulillah, Kau dah makbulkan doaku. Maka, Kau titipkanlah kebahagiaan buat anakku, Aamir Arsyad Ruzaini dan menantuku, Sayyidah Nadira Abdul Salim. Amin ya Rabbal 'Alamin..."doa Mak Aina, tanda syukurnya ke hadrat Illahi.

*bersambung*



Foot print: Cedera parah... =)

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com