Tuesday, June 18, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 24 (AKHIR)

Part sebelumnya:

Part 22
Part 23

*****

"Apa pening sangat ayat awak ini?" tanya Danial.

"Dia tak nak kahwin sebab dah dua kali kematian suami!" ujar Dora, membuatkan Danial terkedu.

"Tapi jodoh, ajal, maut semuanya kat tangan Allah bukan? Kenapa kena berfikiran begitu?" tanya Danial, semakin hairan.

"Katanya, badi keluarga."

"Astaghfirullah hallazim! Itu semua syirik, Dora! Awak kenal tunang dia? Saya nak jumpa, nak ajar dia macam mana nak sedarkan kawan awak itu," ujar Danial, serius.

"Kenal, sebab dia bekas pensyarah kami."

"Kiranya Amy bakal bernikah dengan bekas pensyarah kamu semua? Hebatnya!"

"Bukankah orang tak galakkan?" tanya Dora.

"Kalau masih belajar, memanglah. Takut ada unsur berat sebelah. Dalam kes mereka, bukankah kamu semua dah lama tamat belajar? Jadi, siapalah yang boleh halang jodoh orang, betul tak?"

"Betul juga kata awak. Tak apa, nanti saya hubungi tunang dia," jawab Dora sambil tersenyum riang.

*****

"Ada apa awak nak jumpa saya di sini? Kenapa kita tak jumpa di rumah saja? Tiba-tiba ajak pergi Taman Tasik Titiwangsa ni," tanya Syafiq selepas duduk di atas bangku bersebelahan Amelia.

"Kenapa tuan nak memperisterikan saya? Tuan tak takutkah apa yang berlaku pada arwah Azam dan Redzuan akan berlaku pada tuan juga?" tanya Amelia sambil merenung ke mata Syafiq. Dia harus menghalang perkahwinan ini untuk keselamatan Syafiq.

"Awak, ini bukan pejabat. Kenapa nak kena panggil saya tuan? Lagipun, awak bakal isteri saya. Saya tak takut pada apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Surat wasiat saya pun dah disahkan. Saya ikhlas nak memperisterikan awak," jawab Syafiq, tenang.

"Mudahnya awak berkata-kata! Kalau apa-apa jadi pada awak, yang sengsaranya saya! Saya yang ditinggalkan inilah yang menanggung segalanya!" Amelia meninggikan suaranya setelah berdiri menghadap Syafiq yang masih duduk.

Melihat reaksi Amelia, Syafiq bingkas bangun menghadap Amelia. Baginya, pemikiran ini harus ditamatkan.

"Apa maksud awak? Awak bukannya ada perasaan pada saya, jadi kenapa takut?" tanya Syafiq, hairan melihat tunangnya bagai meroyan hilang anak.

"Awak rasa saya buat semua ini sebab saya tak sayangkan awakkah? Awak ingat, saya tak nak berkahwin dengan awak sebab saya tak sayangkan awakkah? Saya buat semua ini sebab saya terlalu sayangkan awak, awak tahu tak?" tanya Amelia, bertubi-tubi.

Syafiq terkesima mendengar soalan-soalan Amelia. Adakah ini bermaksud cintanya telah berbalas?

"Kenapa pula?" tanya Syafiq, semakin hairan.

"Mujurlah arwah Azam sebatang kara dan saya menikahinya dalam keadaan separa sedar. Lagi pula, dia tidak meninggal dunia di hadapan mata saya. Jadi, pemergiannya tidaklah memberikan kesan kepada saya. Tambahan pula, saya langsung tidak pernah menyintainya," jelas Amelia satu persatu.

"Bagaimana pula dengan arwah Redzuan? Dia merupakan bekas teman lelaki awak zaman universiti bukan? Pasti awak cintakan dia," tanya Syafiq tentang Redzuan pula.

"Dulu, memanglah tetapi masakan saya boleh terima lelaki yang dah tinggalkan saya separuh gila dulu? Saya terima dia dulu sebab dia berjanji takkan sentuh saya tanpa kerelaan saya sendiri. Tak sangka selepas dua hari dia menikahi saya, dia kalah dengan nafsunya sendiri. Dia cuba perkosa saya, tetapi saya pengsan semasa bergelut dengan dia. Apabila saya sedar semula, dia sudahpun terbujur kaku tak bernyawa di atas lantai. Keluarga arwah pula menyalahkan saya seratus peratus atas kematian anak lelaki sulung mereka. Mana mungkin saya mampu untuk mengulanginya semula?" terang Amelia lagi.

Syafiq terbungkam. Banyak lagi rupanya hal yang masih belum tersingkap. Sangkaannya sudah banyak yang telah dia ketahui.

"Semasa awak luahkan perasaan awak pada saya dulu, saya kata saya tak ada perasaan pada awak. Itu semua kerana saya tak sedar tentang perasaan saya sendiri. Saya cuma sedar selepas awak berhenti kerja, bila awak tiada depan mata saya, barulah saya tercari-cari. Akan tetapi, kerana keadaan keluarga saya, saya merasakan inilah yang terbaik buat kita," sambung Amelia lagi.

Syafiq masih lagi mendiamkan diri. Dia mahu tunangannya itu melepaskan segala yang terbuku di benak hati wanita itu.

"Cuma, saya tak sangka saya akhirnya ditakdirkan untuk bertemu dengan awak semula. Saya cuba lari, tapi awak sentiasa mengejar saya. Pada sangkaan saya, selepas kematian arwah Azam, saya boleh jauhkan diri saya daripada awak dengan menghantar surat peletakan jawatan tetapi awak tolak mentah-mentah permintaan saya dan awak ubah kontrak pekerjaan saya supaya saya sentiasa terikat dengan awak. Ketika itu, saya tidak melawan atas alasan perasaan bersalah saya tetapi sebenarnya kerana saya masih mahu melihat awak walaupun dari jauh. Saya tahu saya tak mampu nak balas perasaan cinta awak secara terang-terangan, cukuplah sekadar menjaga awak dari jauh."

"Kenapa sampai begini awak lakukan demi saya? Saya ikhlas ingin menerima awak dalam hidup saya, bukan kerana nafsu ataupun keinginan lain."

"Semuanya sebab saya terlalu sayangkan awak sehinggakan saya rela melepaskan awak demi kebahagiaan awak. Saya sangka bila saya pinta awak kahwini Deena, awak sanggup menurut permintaan saya tetapi rupanya kasih sayang awak tak cukup dalam untuk lepaskan saya," jawab Amelia dengan air mata yang mula berlinang.

"Awak pasti kasih sayang saya tak cukup dalam, Diyana? Saya telah lepaskan awak sebanyak tiga kali. Tiga kali, Diyana! Awak boleh nilaikah sedalam mana cinta saya sedangkan saya sendiri tak pernah menilai sedalam mana cinta awak pada sesiapapun!" Syafiq mulai panas hati dengan kenyataan Amelia yang menghakiminya tanpa mengetahui kebenaran sebenarnya.

Amelia tergamam. Dia terlupa bahawasanya telah tiga kali dia menolak lelaki itu dalam hidupnya. Begitu mudah dia menilai ceteknya kasih sayang lelaki itu.

"Semasa awak terkena ubat guna-guna Azam, awak fikir siapakah yang membantu Dora dan ibu bapa awak untuk mencari dan mengubati awak? Awak fikir mencari awak tak perlukan modal dan tenaga? Awak pernah tahukah siapa yang menghubungi awak bagi memaklumkan tentang kemalangan Azam dan membawa lelaki durjana itu ke hospital? Saya! Awak pernah tahukah?"

Amelia terdiam. Patutlah semuanya berlaku begitu cepat. Patutlah ibu bapanya dapat menemukannya di hotel penginapan yang Azam tempah dengan mudah. Patutlah dia terus dibawa bertemu dengan pakar perubatan Syifa' sebaik sahaja pengebumian arwah Azam. Apabila ditanya bagaimana semua ini boleh berlaku, keluarganya dan Dora hanya mengambil langkah mendiamkan diri.

"Semasa kematian Redzuan, awak fikir adakah keluarga arwah akan terus mendiamkan diri? Pasti mereka akan lakukan sesuatu terhadap awak kerana telah menjadi punca kematian anak mereka. Sayalah yang telah membayar pampasan kepada keluarga arwah bagi mendiamkan mereka. Saya taja adik-adik arwah untuk sambung belajar supaya mereka boleh ganti tempat arwah bagi menjaga ibu bapa mereka. Apakah secetek ini kasih sayang saya kepada awak?"

Mendengar penjelasan Syafiq, Amelia terduduk semula di atas bangku. Wanita itu mula menangis. Syafiq hanya memandang Amelia begitu kerana matlamatnya belum lagi tercapai.

"Awak lebih kisahkan keluarga saya sekiranya apa-apa terjadi kepada saya, bagaimana pula dengan saya? Adakah dengan berkahwin dengan Deena, boleh membahagiakan saya? Adakah dengan menjadi pak sanggup anak luar nikahnya, saya boleh bahagia? Begitukah maksud pengorbanan awak? Kalau begitu, saya akan menikahi Deena yang sudah hilang kewarasan itu selepas menikahi awak!"

"Bukan begitu maksud saya. Saya cuma tak mahu nyawa awak tergadai," jawab Amelia dalam sedu-sedan.

"Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya datang daripada Allah, bukan awak, bukan saya, bukan juga makhluk Allah yang 'menjaga' keluarga awak itu! Kalau Allah sudah kata ajal saya akan tiba, maka tibalah dia! Mungkin juga ajal saya yang awak bimbangkan tetapi ajal awak hadir dulu. Pernah awak fikirkan tak?"

Amelia mulai berhenti menangis. Kata-kata Syafiq tak dapat dibidas lagi.

"Saya mahu berkahwin dengan awak atas nama Allah, saya ingin cuba selesaikan masalah keluarga awak. Sekiranya Allah izinkan, maka semuanya akan baik-baik saja dan sekiranya tidak, sekurang-kurangnya saya tidak ralat. Urusan hidup mati kita biar Allah sahaja tentukan."

Amelia hanya menunduk kaku memandang lantai bumi. Malunya dia kepada tunangannya tidak mampu dia ungkapkan. Lebih malunya dia kepada Allah kerana imannya goyah akibat daripada sumpahan yang dikatakan melanda keluarganya.

"Saya hantar awak balik, saya nak awak solat sunat taubat, solat sunat istikharah, solat sunat hajat, dan solat sunat tahajjud, mohon ampun pada Allah atas kekhilafan awak selama ini dan mohon hidayah dalam menyelesaikan konflik keluarga awak, mohon agar segala urusan kita berdua dipermudahkan. Faham, Diyana?"

Amelia tidak berkata apa-apa, sebaliknya hanya mengangguk lemah.

     *     *     *     *     *

"Subhanallah, cantiknya kau Amy! Tak sangka aku dapat tengok kau secantik ini pada hari pernikahan kau!" ujar Dora, gembira melihat Amelia yang baru selesai diandam oleh mak andam yang ditempahnya.

Amelia manis berbaju kurung berwarna putih, siap berselendang putih dan memakai veil berwarna emas. Tiga kali pernikahan dan inilah pernikahannya yang paling meriah.

"Maaf semua, aku lambat. Almaklumlah, bawa perut ini payah sikitlah," ujar Zaidah yang baru sahaja tiba di situ membuatkan semua yang berada berdekatan dengannya tertawa.

Zaidah cantik memakai jubah berwarna merah jambu dan bertudung bawal berwarna merah manakala Dora manis memakai baju kurung berwarna merah hati dan berselendang berwarna merah jambu.

"Yalah, orang sudah berbadan dualah katakan," seloroh Dora sambil tersengih-sengih.

"Kau sibukkan orang pula, kau itu bila lagi?" tanya Amelia pula.

"In shaa Allah, suatu hari nanti. Doakan aku gang," jawab Dora sambil tersenyum.

"Amiinn..." bergema ruangan muslimah mengaminkan doa Dora itu.

Dari jauh, Amelia dapat melihat Syafiq segak berbaju melayu putih, bersamping emas dan bersongkok sedang duduk bersembang dengan bapanya. Rupanya mereka berdua sudah akrab semenjak dirinya mulai 'bercinta' dengan arwah Azam lagi. Dora dan Syafiqlah yang mula-mula perasan akan perubahannya akibat penangan minyak pengasih yang digunakan oleh arwah dulu. Akan tetapi, Syafiq tidak membenarkan sesiapapun berbuat apa-apa sehinggalah dia menghilangkan diri kerana bimbang dirinya akan bertindak agresif.

Atas sebab keakraban mereka jugalah, ayahnya membenarkan arwah Redzuan mengahwini dirinya. Syafiq telah bertemu dengan arwah selepas arwah menghantar rombongan meminang dan arwah telah memberikan janji yang sama kepada Syafiq dan ayahnya sepertinya mana yang dijanjikan kepadanya.

Yang paling penting, atas keakraban mereka berdua jugalah, ayahnya telah memaksanya untuk mengahwini Syafiq atas kuasa veto wali Mujbirnya. Kata ayahnya, Syafiq merupakan calon pilihannya sejak mula. Cuma masanya belum tiba.

Bagaimanapun, Amelia cuma berserah kepada takdir tentang hidup mati mereka selepas pernikahan ini. Setelah seminggu dia bermunajat di sebuah madrasah di Perak, dia akhirnya mendapat keyakinan untuk melawan keadaan yang menimpanya bersama-sama dengan Syafiq. Baginya, Allah adalah sebaik-baik pelaksana.

Hari itu, semua menjadi saksi dirinya sah bergelar isteri kepada Raja Mohamad Syafiq Raja Shamsuddin dengan sekali lafaz. Hanya Allah tahu betapa bersyukurnya dirinya mendapat seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan boleh membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah. Jika tidak kerana suaminya itu, pasti imannya akan lebih goyah disebabkan oleh masa lalunya.

     *     *     *     *     *

Amelia melihat sekelilingnya, suasana yang asing membuatkan dia hairan. Puas dia memikirkan dimanakah dia berada.

Sedang dia memikirkan, tiba-tiba muncul seorang lelaki berjubah hitam putih di hadapannya. Tidak pernah dia melihat lelaki itu sebelum ini membuatkan perasaannya sedikit takut.

"Jangan takut, tuan hamba. Hamba merupakan penjaga keluarga tuan hamba yang telah berkhidmat sejak 100 tahun yang lalu," ujar lelaki itu.

"Penjaga? Jadi, awak yang telah mengambil nyawa ahli-ahli keluarga baru saya?" tanya Amelia, inginkan kepastian.

Mendengar soalan Amelia, lelaki itu tersenyum. Tindakan lelaki itu menghairankan Amelia.

"Setiap kematian dalam keluarga tuan hamba semuanya bersebab. Akan tetapi, saya hanya akan menceritakan sebab-sebab kematian suami-suami tuan hamba sahaja," jelas lelaki itu.

"Kenapa dengan suami-suami saya?"

"Suami pertama tuan hamba mengahwini tuan hamba tanpa kerelaan tuan hamba. Menggunakan ilmu hitam, dia cuba memiliki diri tuan hamba dan semua harta benda tuan hamba malah berniat untuk menduakan tuan hamba setelah memiliki tuan hamba. Atas sebab itulah, dia telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan pulang dari kedai."

"Bagaimana pula dengan suami kedua saya?"

"Suami kedua tuan hamba nampak suci pada luarannya, seolah-olah tiada kepincangan pada awalnya. Akan tetapi, lelaki itu berniat untuk memiliki tuan hamba sejak mula. Cuma, dia tidak menggunakan apa-apa ilmu. Apa yang tidak disangkanya adalah permintaan tuan hamba untuk tidak menyentuh tuan hamba tanpa izin tuan hamba. Permintaan itu sengaja dipersetujuinya dengan harapan tuan hamba akan berubah fikiran tetapi keengganan tuan hamba membuatkan dia hilang pertimbangan lalu ingin merampas kesucian tuan hamba. Atas sikap gelojohnya, dia diserang sakit jantung dan meninggal dunia serta-merta."

"Jadi, tak ada kena-mengena dengan awak?"

Lelaki itu tersenyum, lalu menggelengkan kepalanya.

"Bagaimana pula suami saya yang sekarang? Apakah dia akan selamat?" tanya Amelia, cemas.

"Suami tuan hamba yang sekarang merupakan lelaki yang terbaik buat tuan hamba. Lelaki itu telah banyak berkorban untuk tuan hamba dan telah banyak menyelamatkan nyawa tuan hamba. Dia jugalah adalah sebab kenapa saya muncul pada malam ini," jawab lelaki itu, tenang.

"Kenapa?"

"Dia adalah lelaki yang lahir pada 15 Safar yang sepatutnya membatalkan perjanjian hamba dengan nenek moyang tuan hamba itu. Hamba yakin, suami tuan hamba boleh membimbing tuan hamba dengan baik."

"Maksudnya?"

"Bermula malam ini, hamba tidak lagi akan berkhidmat untuk keluarga ini. Hamba telah berjanji dan hamba akan tunaikan janji itu. Selamat tinggal," ujar lelaki itu lalu berjalan pergi dari situ.

Amelia terjaga dari tidurnya. Ternyata mimpinya kali membuatkan dia menarik nafas lega. Dengan pantas, dia menuju ke arah bilik air untuk mandi.

Setelah Amelia selesai mandi Junub, dia berasa hairan melihat Syafiq yang masih lagi lena tidur. Dia mendekati Syafiq lalu menggoyangkan bahagian kaki lelaki itu yang berselimut itu.

"Awak, bangunlah. Mandi dulu, lepas itu kita solat Subuh," ujar Amelia sambil menggoyangkan kaki Syafiq.

Namun begitu, melihat Syafiq yang masih tidak bergerak mula membuatkan Amelia resah. Perlahan-lahan dia mendekatkan tangannya dengan hidung Syafiq.

Sebaik sahaja tangannya mendekati bahagian muka Syafiq, Syafiq bertindak menarik Amelia membuatkan Amelia jatuh tersembam di atas Syafiq.

Menyedari dirinya telah dipermainkan, Amelia memukul Syafiq sepuas hatinya sebelum bangun dari katil. Geram hatinya diperlakukan begitu.

"Apa ini awak! Ingat hidup mati ini benda main-mainkah? Tengok, saya kena ambil wudhu' semula! Sudah, pergi mandilah!" ngomel Amelia sebelum membaling bantal yang berada berdekatan tempat dia berdiri ke arah suaminya itu.

"Maaflah, saja nak tengok sebanyak mana sayangnya isteri saya ini pada saya. Oh ya, kita dah berkahwin kot, takkan nak bersaya awak lagi kot? Panggil abang. Boleh tak sayang?"

"Tengoklah nanti," jawab Amelia, selamba sebelum menuju ke arah bilik air untuk memperbaharui wudhu'nya yang terbatal tadi gara-gara gurauan kasar suaminya.

Pagi itu, selepas solat Subuh berjemaah, pasangan suami isteri itu menuju ke dapur untuk menikmati sarapan. Ketika mereka berdua tiba, Puan Rasyida dan Raja Shamsuddin sudahpun berada di meja makan.

"Awalnya turun sarapan! Takkan sudah lapar kot?" seloroh Raja Shamsuddin sebelum tertawa.

"Ish, merepeklah abang ini! Ke situ pula dia. Sudah, jangan dilayan ayah kamu ini. Mari makan Syafiq, Amelia," sampuk Puan Rasyida pula.

Syafiq dan Amelia memilih untuk duduk bersebelahan. Tak lama selepas itu, Syahir dan Khairunnisa pula yang datang mendekati meja makan.

"Aik? Pengantin baru lagi cepat turun? Adakah ada orang itu bimbangkan suaminya?" tanya Syahir, hairan.

"Yalah, abang. Kau tahu, bila dia kejutkan aku tadi. Tengok aku tak bergerak saja, dia terus letak jari kat hidung aku. Tahulah aku isteri aku sayang aku rupanya!" jawab Syafiq sambil tersengih.

Amelia yang panas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Syafiq mula menjeling ke arah suaminya. Tindakannya mengundang tawa seluruh ahli keluarga yang berada di meja makan.

"Sayang nak tahu kenapa abang selamat?" tanya Syafiq, bersahaja.

"Sebab abang lahir pada 15 Safar bukan? Tahulah," jawab Amelia, selamba.

"Mana sayang tahu?" tanya Syafiq, hairan dengan jawapan Amelia.

"Pertama, sebab abang yakin sangat nak bernikah dulu. Kedua, sebab Yana dah dapat mimpi malam tadi. Katanya, khidmatnya dah tamat kerana Yana pilih abang. Mulai saat Yana mimpi itu, keluarga Yana tak lagi akan terkorban akibat daripada ilmu-ilmu nenek moyang Yana. Dia sudah berjanji dan dia harus kotakan janjinya."

Melopong seluruh ahli keluarga Raja Shamsuddin mendengar cerita Amelia. Almaklumlah, ini kali pertama mereka menghadapi situasi begini. Selalunya dengar cerita orang sahaja.

"Alhamdulillah Amelia, semuanya sudah selesai. Sudah boleh pergi bulan madu. Cuma, sebelum pergi, pastikan projek KLCC itu siap dulu!"

"Apa ini ayah, cerita hal kerja di rumah? Mentang-mentanglah semua orang kecuali mama bekerja di syarikat ayah. Bosanlah!" sampuk Syahir sebelum semuanya tertawa.

      *      *      *      *      *

Syafiq baru sahaja bangun dari tidurnya apabila dia mendapati ada sesuatu yang berbeza di atas meja solek milik isterinya. Dengan pantas dia bangun dari katil lalu menuju ke arah meja tersebut.
Kotak itu tiada bertulis apa-apa membuatkan dia lebih tertarik untuk membukanya. Sebaik sahaja dia membuka, dia terlihat ada sekeping gambar yang dicetak melalui mesin ultrasound dengan sekeping nota yang berbunyi:

Tiada hadiah yang lebih baik buat abang yang dapat sayang berikan. Happy anniversary dear husband. Hope you like the gift!
With love,
Your wife and future mother of your child

Setelah membaca nota tersebut, Syafiq mengambil gambar yang terletak di dalam kotak itu dengan perasaan yang sangat gembira. Dia dapat merasakan air matanya mengalir kerana terlalu gembira.

"Alhamdulillah..." hanya itu sahaja yang mampu dia ungkapkan dalam perasaan gembiranya.

"Abang suka?" tanya Amelia yang tiba-tiba datang memeluk Syafiq dari belakang.

"Suka. Suka sangat, sayang. Terima kasih," jawab Syafiq sebelum memeluk Amelia.

"Di sebalik kisah cinta biasa kita, ada lelaki luar biasa yang hadir dalam hidup sayang," luah Amelia, tiba-tiba.

"Di sebalik kisah cinta biasa kita, ada seorang wanita luar biasa yang tercipta buat abang," jawab Syafiq sebelum mencium dahi isterinya dengan penuh kasih sayang.

*TAMAT*

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 23

Part sebelumnya:


*****

"Apa dia, bie? Janganlah buat I begini!" ujar Zaidah, bimbang.

"Amy sekarang ini bekerja di Penang untuk tiga bulan," jawab Ruzaini.

"Jadi?" tanya Zaidah.

"Tak ada apapun. Itu saja beritanya," jawab Ruzaini sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata Ruzaini, Zaidah merengus geram. Tak sangka suaminya berjaya mengenakannya.

"Tapi Syafiq kena tikam, dia sekarang berada di wad," sambung Ruzaini lagi.

"Tikam? Terukkah? Siapa tikam?" tanya Zaidah, risau.

"Aik? Bukan main lagi you punya bimbang?" tanya Ruzaini, sinis.

"Mestilah, dia pensyarah I dulu, mestilah I bimbang. Jawablah soalan I, bie!"

"Dia okay, sayang. Mentang-mentang mengandung, bukan main over lagi ya?" sindir Ruzaini lagi.

"Maaflah, bie. Bie, jom pergi Penang. Rindu Amy pula rasanya," ajak Zaidah, manja.

"Boleh tapi hujung minggu depan ya? Bie nak selesaikan semua kerja tertunggak dulu, baru boleh pergi bercuti," jawab Ruzaini sambil tersenyum. Dia sudah dapat menduga hati isterinya itu.

"Yalah, jangan bagi alasan pula selepas ini!"

Ruzaini hanya tersenyum sebelum memeluk Zaidah. Dia tahu isterinya masih belum biasa dengan ketiadaan kawan-kawan baiknya itu.

*****

"Kenapa ibu dengan ayah suruh Lia balik kampung ini? Lia baru bercadang nak balik minggu depan saja. Yalah, nanti kalau singa lapar itu tengok Lia tak masuk pejabat lusa, mahu dicarinya satu Malaysia nanti," tanya Amelia setelah selesai membasuh pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan malam.

"Duduk dulu, Lia," pinta Encik Roslan.

Amelia hanya menurut perintah bapanya itu. Hairan mula menular di dalam benak hatinya.

Dia dapat melihat ibunya mengeluarkan dua bekas cincin dari dalam beg tangannya yang sengaja dibawa keluar bersamanya dari dalam bilik tidurnya. Terus sahaja dihulurkan keduanya kepada Amelia.

"Apa ini ibu, ayah?" tanya Amelia lalu membuka kedua-dua bekas cincin itu. Terdapat sebentuk cincin belah rotan di dalam sebuah bekas dan cincin emas bertatahkan berlian di dalam bekas yang lagi satu. Wanita manakah yang tidak memahami maksud kedua-dua cincin itu, tetapi mengapakah semua ini berlaku di luar pengetahuannya?

"Minggu lepas ada orang datang meminang kamu, ayah terima dan minta dia bawakan cincin tunang sekali. Dulang hantaran pertunangan kamu ada di dalam bilik adik. Sengaja ibu sorokkan supaya kamu tak mengesyaki apa-apa," ujar Encik Roslan.

"Apa ini, ayah? Kenapa ayah dengan ibu tak berbincang dengan Lia dulu?" tanya Amelia, berang.

"Kalau ayah berbincang dengan kamu, kamu akan terimakah? Tak, bukan? Jadi, terpaksalah ayah gunakan kuasa veto ayah. Kamu patut bersyukur ayah cuma tunangkan kamu tanpa kebenaran, kalau ayah nak nikahkan kamu tanpa kebenaran pun boleh tahu?"tegas Encik Roslan setelah melihat respon Amelia itu.

"Ayah tunangkan Lia dengan siapa? Kenapa tak bagi Lia berkenalan dengan orang itu dulu?" tanya Amelia, hairan.

"Dengan siapa lagi, singa lapar kamu itulah! Suka hati kamu saja gelarkan orang singa lapar, alih-alih tunang kamu sendiri!" sindir Encik Roslan sambil tersenyum sinis.

"Syafiq?" tanya Amelia, inginkan kepastian.

"Yalah, siapa lagi. Lia jangan nak mengada lagi nak putuskan hubungan ini, ayah tak izinkan! Cukuplah dua kali Lia ikut kepala sendiri, kali ini ayah nak Lia ikut cakap ayah. Noktah!" tegas Encik Roslan sebelum beredar masuk ke dalam bilik tidurnya meninggalkan Puan Kursiah dan Amelia.

"Ibu..." Amelia cuba memujuk Puan Kursiah pula.

"Tak ada, jangan cuba nak pujuk ibu pula. Luluh hati ibu sewaktu tengok anak ibu ini disihir sampai masuk wad sakit jiwa dulu pun belum habis lagi, ditambah pula tengok anak ibu dipersalahkan atas kematian suami yang lain pula. Jadi, kali ini berikan peluang pada kami pula memilih jodoh terbaik Lia," jelas Puan Kursiah sebelum berlalu pergi meninggalkan dirinya sendiri.

"Aduh, macam mana ni?" ngomel Amelia sendiri sebelum mengeluh berat.

*****

Hari ini hari pertama Amelia masuk semula ke pejabat selepas sekian lama bertugas di Pulau Pinang. Malah, hari ini juga hari pertama dia keluar ke rumah dengan status sebagai tunangan Raja Mohd Syafiq.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bahagian tempat dia bertugas, kedengaran bunyi letupan dan hon membuatkan dia terkejut. Dia memandang ke arah bunyi-bunyian itu bermula. Kelihatan rakan-rakan sekerjanya meletupkan konfeti dan membunyikan hon sebagai tanda menyambut kepulangannya.

Di sebalik mereka, terlihat Emily memegang sebiji kek beserta lilin mendekatinya. Mengira bilangan lilin tersebut, Amelia terpinga-pinga.

"Hari ini bukan hari jadi saya, Emily."

"Saya tahu, hari jadi kamu minggu lepas tapi kamu masih di Penang bukan? Tak salah nak sambut double celebration, eh silap, triple celebration bukan?" jawab Emily sambil tersengih.

"Okay, triple ya? Birthday saya, kepulangan saya dan?"

"Pertunangan awaklah! Nak kata lupa, elok saja pakai cincin tunang," jawab Emily sambil mengenyitkan sebelah matanya.

"Mereka semua tahukah?" tanya Amelia yang mana wajahnya mula merona merah akibat malu diusik begitu.

"Tahu, hari selepas pertunangan awak itu, tuan belanja semua orang sarapan, awak tahu tak?" jawab Emily.

"Biar betul!"

"Betullah! Cepat, tiup lilin ini! Penat saya pegang! Ada awak jumpa bos pegang kek untuk anak buahnya tak?"

Tanpa berlengah, dia meniup lilin di atas kek itu dan semua orang bertepuk tangan selepas lilin itu padam.

"Tahniah, Amelia. Saya yakin awak akan bahagia kali ini," ujar Emily sebelum meletakkan kek tersebut di atas meja Amelia lalu memotong kek tersebut.

Amelia tidak menjawab, sebaliknya hanya membatu di tempat mana dia berdiri tadi.

"Takkan terkejut sampai terus batu kot?" tanya seseorang yang mana suaranya amat dikenali Amelia.

Amelia menoleh dan terkejut melihat kehadiran Dora di situ. Dia memeluk Dora erat selepas dilepaskan dengan wajah yang mencurigakan.

"Kau kerja sini?" tanya Amelia dengan nada yang sedikit keras.

Dora tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.

"Kenapa tak beritahu hari itu?" tanya Amelia lagi.

"Saja, nak surprise kau. Lagipun, aku perlukan kerja baru segera dan tuan sahaja yang sentiasa tawarkan aku kerja. Dari dulu lagi. Jadi, aku terimalah."

"Wah, dah panggil tuan sekarang! Dulu, aku seorang saja panggil tuan, janggal sangat rasanya."

"Eleh, kau. Selepas ini, kau tak boleh panggil dia tuan lagi bukan?" sindir Dora.

"Tak mungkin, aku tetap kena panggil dia tuan di pejabat."

"Kau rasa, dia nak bagi kau kerjakah?"

"Dia kena bagi, kalau tak, aku tak nak kahwin dengan dia!"

"Jadi, awak setujulah nak berkahwin dengan saya?" sampuk Syafiq yang entah bila munculnya.

Amelia memandang Syafiq, ada jambangan bunga lili di tangannya. Dia hanya melihat Syafiq mendekati mereka berdua dan Dora mula menjauhkan dirinya untuk memberi peluang kepada Syafiq pula.

"Welcome back, Diyana. I hope you like this," ujar Syafiq lalu menyerahkan jambangan bunga ini kepada Amelia.

"Tuan tahu saya suka bunga lili?" tanya Amelia, terkejut.

"Saya tahu semuanya tentang awak, lebih daripada apa yang awak tahu," jawab Syafiq, menyangkakan hati tunangnya itu sudah mula lembut melihatkan layanannya baik.

"Kalau begitu, kenapa saya suka bunga ini?" tanya Amelia.

"Sebab kata orang, bunga lili ini bunga syurga."

Amelia tergamam. Perkara ini bukannya semua orang tahu. Dora sendiripun tidak pernah tahu kenapa dia sukakan bunga lili. Pasti ibu atau ayah yang beritahu.

"Tuan, selepas habis kerja ini, kita jumpa ya? Saya ada benda nak beritahu tuan," ujar Amelia.

"Baik, tuan puteri. Saya jemput awak dari sini nanti," jawab Syafiq sebelum beredar.

Amelia hanya mampu mengeluh melihat sikap tunangnya yang tidak pernah berputus asa itu.

*****

Dora hanya mampu merenung Danial yang sedang minum itu. Sungguh dia tidak boleh menghadam kata-kata lelaki itu.

"Sudah elok-elok awak bekerja di sini, kenapa nak pergi sampai Australia pula? Habis itu, kita ini bagaimana?" tanya Dora, geram dengan berita yang diterimanya tadi.

"Saya terima tawaran kerana itu impian saya. Saya harap awak faham. Kita akan tetap bersama, melainkan awak itu sudah ada yang lain," jawab Danial.

"Saya bimbang awak yang curang nanti," ujar Dora sambil mencebik.

"Baik, kalau begitu kita bertunang sebelum saya ke sana. Okay?"

"Awak seriuskah?"

"Betul, saya serius nak jadikan awak suri hati saya. Cukuplah saya membujang, umur saya bukannya muda lagi. Hujung minggu ini saya hantar rombongan merisik ke rumah awak, boleh?" tanya Danial sambil memegang tangan Dora.

Dora tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang Danial dengan wajah yang terpinga-pinga.

"Awak tak sudikah nak jadi isteri saya?" tanya Danial setelah beberapa ketika Dora memandangnya.

"Sudi, datanglah. Nanti awak maklumkan kepada saya hari apa dan pukul berapa ibu bapa awak nak datang," jawab Dora sambil tersenyum.

Mendengar jawapan Dora, Dora dapat melihat wajah Danial yang muram tadi bertukar riang. Harapannya, agar ini adalah jodohnya.

"Oh ya, hari itu awak kata ada berita baik tentang kawan-kawan baik awak yang awak nak kongsi. Apa dia?" tanya Danial.

"Kawan saya yang Zai itu pregnant! Lepas itu, kawan saya yang Amy itu pula dah selamat ditunangkan," jelas Dora, teruja.

"Wow! Good news! Sekejap, Amy ditunangkan? Maksud awak, bukan pilihan dia?" tanya Danial, hairan.

"Payah nak kata. Pilihan mak ayah dia tapi pilihan dia juga. Cuma, memang dia ditunangkan tanpa pengetahuannya."

"Kenapa?" tanya Danial, semakin hairan dengan penjelasan Dora itu.

"Dia sudah tolak cinta tunang dia tiga kali dan mungkin dia akan berusaha untuk tolak cinta tunang dia lagi," jawab Dora.

"Apa pening sangat ayat awak ini?" tanya Danial.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, April 2, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 22

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16
Part 17
Part 18
Part 19
Part 20
Part 21

*****

"Tiga bulan?" tanya Amelia lagi, tidak percaya.

"Ya, tiga bulan. Saya siapkan rumah, ada elaun perjalanan, elaun kerja luar, boleh claim perbelanjaan, awak kerja saja. Sesekali saya akan ke sana untuk bantu awak. Boleh?" tanya Syafiq selepas menerangkan segala kemudahan yang bakal Amelia terima sekiranya dia menerima tawaran Syafiq.

Amelia mendiamkan diri. Bukan dia tak mahu menerima, tetapi apakah yang Syafiq cuba lakukan di sini? Apakah dia tidak lagi disayangi sehinggakan dipindahkan jauh dari lelaki itu?

"Apakah tuan sudah membenci saya?" tanya Amelia, terus terang.

Syafiq terkesima mendengar soalan spontan Amelia itu. Dia sama sekali tidak menyangka itu adalah soalan yang keluar dari mulut wanita itu. Sangkaannya, wanita itu pasti ingin pergi jauh setelah semua yang berlaku di pejabat mereka.

"Saya tiada jawapan untuk soalan awak itu. Saya hanya mahu awak tenangkan diri awak. Kalau awak masih di sini, awak pasti akan terganggu dengan caci maki dan umpatan orang tentang awak," jelas Syafiq.

"Saya tak kisah, saya dah biasa. Dulu, lepas arwah Azam meninggal juga saya hadapi perkara yang sama. Apa bezanya?" bantah Amelia.

"Sekali, masih ada lagi yang akan kasihan tetapi dua kali, belum tentu. Rata-rata orang akan kata itu badi," jawab Syafiq.

"Sudah memang badi pun, sebab itulah tuan tiba-tiba tak nak berkahwin dengan saya bukan? Nak campak saya jauh-jauh supaya tuan boleh bernikah dengan Deena bukan?" tanya Amelia, tidak puas hati.

"Awak cemburu?" tanya Syafiq, ingin tahu.

"Tak adalah, saya rasa memang patut pun tuan pilih dia. Lagipun, dia sudah lama tunggu tuan," jawab Amelia.

"Jangan risau, saya tak pilih dia pun tapi kalau awak, saya tak tahulah," ujar Syafiq, sambil tertawa.

Bengang Amelia mendengar kata-kata Syafiq itu. Seakan ingin mencabar kesabarannya.

"Saya tak rasa tuan akan pilih saya, melainkan tuan tak takut nyawa tuan pula melayang," jawab Amelia, selamba.

"Awak cabar saya?"

"Terpulanglah tuan nak kata apa. Saya tak kisah."

"Baiklah. Kita tunggu dan lihat. Awak akan bertolak ke Penang Isnin depan, dengan saya. Saya akan bimbing awak selama seminggu, selepas itu semuanya di bawah kendalian awak."

"Baiklah kalau begitu, saya doakan semua urusan perkahwinan tuan berjalan lancar," jawab Amelia sambil tersenyum sinis.

"Terima kasih atas doa awak. Awak boleh keluar sekarang," arah Syafiq yang pening dengan perangai Amelia itu.

Mendengar arahan Syafiq, Amelia berjalan keluar dari bilik tersebut. Syafiq hanya memandang kepergian wanita itu sambil menggelengkan kepala.

      *      *      *       *        *

Deena baru sahaja habis menghirup teh O yang dibancuh oleh Puan Rasyida apabila tiba-tiba dia mula menangis.

"Kenapa ini, Deena? Takkan teh O makcik boleh buat Deena menangis pula?" tanya Puan Rasyid, hairan dengan tindakan Deena.

"Makcik, Deena ada perkara yang ingin Deena beritahu makcik. Deena tak sangka perkara ini boleh terjadi pada Deena," ujar Deena dalam esak tangisnya.

"Apa dia, Deena?" tanya Puan Rasyida, bimbang melihatkan keadaan Deena itu.

"Deena mengandung, makcik. Dah tiga bulan," jawab Deena sambil menangis.

"Apa? Mengandung? Anak siapa?" tanya Puan Rasyida, bertubi-tubi.

"Anak... Anak..." jawab Deena, tersekat-sekat.

"Anak Syafiq, makcik."

"Apa? Kamu biar betul, Deena!"

"Betul, makcik. Takkan Deena nak tipu makcik pula!" jawab Deena sambil menangis.

"Syafiq ini betullah nak kena!" bentak Puan Rasyida, geram dengan apa yang didengarinya.

"Makcik, suruhlah Syafiq kahwini Deena. Takkan anak Deena ini nak hidup tanpa ayah pula," pujuk Deena dalam esak tangis.

"Apa semua ini mama, Deena?" tanya Syahir yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

"Adik kamu ini, sudah hamilkan Deena. Mama tak pernah ajar anak mama buat begini. Malunya!" terang Puan Rasyida, berang.

"Deena, saya rasa awak balik dulu. Nanti bila kami sekeluarga dah berbincang, kami akan panggil Deena semula. Boleh?" ujar Syahir, cuba berdiplomasi.

"Tak mahu! Selagi Deena tak dapat persetujuan Syafiq, Deena tak mahu balik!" bentak Deena, geram.

"Baiklah, kalau begitu. Jangan cakap saya tak bagi amaran. Mama, Syafiq bagi mama ini. Dia suruh mama baca sekiranya Deena datang minta mama paksa dia mengahwini Deena," ujar Syahir sambil menyerah sekeping sampul surat bersaiz A4 kepada Puan Rasyida.

Puan Rasyida mengambil sampul surat tersebut lalu dikeluarkan isi kandungannya sebelum membaca setiap helaian yang terkandung di dalam sampul tersebut.

Berkerut-kerut wajahnya membaca isi kandungan surat tersebut. Sesekali dia memandang Deena dengan riak wajah tak percaya.

Melihat reaksi Puan Rasyida, Deena cuba merampas kertas-kertas itu dari tangan Puan Rasyida tetapi berjaya ditepis oleh Puan Rasyida yang kebetulannya baru sahaja selesai membaca kesemua kertas-kertas di dalam sampul tersebut.

"Betulkah semua ini, Syahir?" tanya Puan Rasyida, inginkan kepastian.

"Betullah, mama. Tiga bulan lepas, bukankah Syafiq sedang sibuk dengan Amelia? Amelia sakit teruk bukankah ketika itu?" ujar Syahir, cuba meyakinkan ibunya.

"Apa semua ini?" tanya Deena lalu merampas sampul surat yang berada di dalam tangan Puan Rasyida dan membukanya. Dibaca isi kandungannya satu persatu.

Melopong Deena membaca isi kandungan sampul surat itu. Dia sama sekali tidak menyangka isi kandungan itu kesemuanya menceritakan tentang dirinya.

Daripada setiap perhubungannya di belakang Syafiq sejak ketika mereka masih bersama buat kali pertama sehinggalah kini, semuanya dicatatkan di dalam laporan tersebut. Lengkap dengan butiran setiap kekasih gelapnya.

Lebih mengejutkan, butiran tentang kandungannya yang diperoleh ketika pemeriksaan baru-baru ini juga ada di dalam laporan itu juga.

"Ini mencabul privasi Deena! Deena boleh saman Syafiq!" jerit Deena seperti orang hilang akal.

"Syafiq sudah tahu Deena akan buat begitu, jadi Syafiq sudah siapkan semuanya," jawab Syafiq yang muncul daripada pintu utama yang dibiarkan terbuka oleh Syahir tadi.

Sengaja dia menyuruh abangnya itu masuk dahulu kerana dia ingin melihat bagaimanakah respon Deena tentang perihal ini.

"Apa maksud Syafiq?" tanya Deena, hairan.

Syafiq mengeluarkan telefon bimbitnya lalu membuka fail rakaman suara di mana Deena mengatakan anak di dalam kandungannya itu anaknya. Setelah ditemui, terus sahaja dia memainkan rakaman itu.

Pucat lesi wajah Deena mendengar suaranya sendiri telah dirakam oleh Syafiq.

"Agak-agaknya kalau Syafiq saman malu Deena, boleh menang tak?" tanya Syafiq, bersahaja.

Panas hati Deena mendengar pertanyaan Syafiq itu. Tanpa berlengah, dia mengambil beg tangannya lalu bangun menuju ke arah Syafiq.

"Did you think by doing this, I will give up on you? No way!" ujar Deena sebelum beredar dari situ.

Syafiq, Syahir dan Puan Rasyida hanya melihat pemergian Deena dengan perasaan bercampur-baur. Entah apalah yang ingin Deena lakukan selepas ini, itulah yang mereka bertiga sama-sama bimbangkan.

      *      *      *      *      *

"Sorry, babe. Mesyuarat aku habis lambat tadi. Pembekal aku buat hal, peninglah!" ngomel Amelia sebaik sahaja duduk berhadapan Raisha.

"Tak apa, aku faham. Biasalah, wakil boslah katakan. Macam mana hidup di Penang? Sudah sebulan kau kerja di sini, seronok tak?" tanya Raisha.

"Seronok itu memanglah, tapi aku rasa ada benda yang tak lengkap. Kosong," jawab Amelia, hairan.

"Kenapa pula?" tanya Raisha.

"Hidup aku rasa tak lengkap. Macam ada yang hilang," jawab Amelia.

"Bab itu, aku rasa aku tahu siapa yang boleh tolong kau," jawab Raisha lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang.

"Babe, kau boleh keluar sekarang," ujar Raisha sebelum memutuskan panggilan tersebut.

"Kau call siapa?" tanya Amelia, hairan dengan tingkah laku Raisha.

"Dia call akulah," jawab seseorang yang berada di belakang Amelia membuatkan Amelia menoleh kerana suara itu sangat dikenalinya.

Dora yang berdiri di belakang Amelia tersenyum riang lalu membuka depa tangannya sebagai isyarat ingin memeluk teman baiknya itu.

Memahami isyarat Dora, Amelia bingkas bangun lalu memeluk Dora. Rindu sangat dia pada wanita itu kerana sudah sebulan dia tidak bertemu gadis itu. Hanya sekali-sekala saja dia menelefon gadis itu bagi mengubati kerinduan.

"Kau cutikah?" tanya Amelia, hairan melihat kemunculan Dora.

"Aku sudah berhenti kerja, minggu lagi satu baru aku lapor diri di syarikat baru. Jadi, aku nak bercuti-cuti Malaysia dengan kau di sini untuk lima hari. Boleh?" jawab Dora sambil tersenyum.

"Kenapa kau berhenti kerja?" tanya Amelia lagi.

"Aku tak boleh nak bekerja di situ lagi kerana aku melanggar salah satu peraturan di situ," jawab Dora sambil tersenyum.

"Peraturan apa pula ini?"

"Aku bercinta dengan rakan sekerja akulah. Jadi, kami berdua dah berbincang, aku buat keputusan untuk berhenti kerja."

"Kau bercinta? Tak beritahu aku pun," ujar Amelia sambil mencebik.

"Ini aku beritahulah ini."

"Jadi, kau dapat kerja di mana?" tanya Amelia.

"Adalah. Nantilah aku beritahu kau, aku laparlah. Jomlah kita makan," ngelat Dora sebelum berjalan menuju ke kerusi bersebelahan tempat yang Amelia duduk tadi dan duduk di atasnya.

Amelia hanya mengikuti jejak Dora lalu memandang ke arah Raisha.

"Kenapa kau tenung aku begitu?" tanya Raisha yang menyedari dirinya ditenung Amelia.

"Sampai hati kau rahsiakan semuanya daripada aku, bukan? Beginilah kawan?" tanya Amelia, geram diperlakukan begitu.

"Aku minta maaflah, Amy. Aku dah janji dengan Dora, dia yang minta aku rahsiakan," jawab Raisha, serba salah.

"Tak apalah, aku gurau sajalah," jawab Amelia sambil tertawa melihat wajah Raisha yang penuh dengan perasaab bersalah itu.

"Oh ya, kau kata tadi hidup kau dah sekian lama kosong. Sudah terisi belum?" tanya Raisha, menyindir Amelia.

"Sikitlah," jawab Amelia sambil tersengih.

"Kau rindu aku ataupun sir Syafiq sebenarnya?" tanya Dora pula.

Soalan Dora membuatkan Amelia terkedu. Dia baru menyedari bahawasanya dia telah menemukan jawapan yang dia cari.

"Apa maksud kau?" tanya Amelia, pura-pura tidak memahami maksud Dora.

"Aku tahu kau rindu dengan sikapnya yang selalu susahkan hidup kau itu. Di sini, kau adalah wakilnya, dalam erti kata lain, kau adalah bos. Jadi, mana ada orang lain yang nak susahkan hidup kau sepertimana yang dia lakukan. Betul tak?" terang Dora.

"Betullah agaknya."

"Tak payah nak agaknya sangatlah, Amy. Itulah isi hati kau yang sebenarnya. Oh ya, dia kirim salam. Katanya, dia minta maaf tak dapat nak ke sini untuk pantau kerja kau. Dia sebenarnya berada di dalam wad," jelas Dora lagi.

"Kenapa dia masuk wad?" tanya Amelia, risau.

"Dia kena tikam minggu lepas. Mujurlah tikaman itu tak dalam. Orang yang tikam dia kena tahan sehari selepas itu, tapi sayang..."

"Sayang apa?" tanya Amelia, ingin tahu.

"Dia keguguran akibat terlalu stress. Disebabkan hal itu, dia sekarang gila meroyan," jawab Dora.

"Perempuan ke yang tikam sir itu?" tanya Raisha pula.

"Yalah, mana ada lelaki mengandung. Aduhai, kau ini pun! Siapa ya namanya? Kalau tak silap aku, Lina ke Deena entah," jawab Dora.

"Deena," ujar Amelia, ringkas.

"Ha, Deena! Eh, kau kenal dia ke Amy?"

"Kenal, bekas teman wanita tuan. Selalu kacau dia di pejabat. Dengan aku-aku sekali kena kacau," jawab Amelia.

"Sedih betul hidup kau dengan sir Syafiq ini! Kau kematian suami sampai dua kali, sir pula kena hadap mantan yang gila. Alahai, kau orang berdua sesuai sangat aku rasa. Nikah sajalah," jelas Raisha.

"Ish, apa kau ini? Aku dengan tuan tak setaraf. Dia bos, aku kuli. Mana sama level," jawab Amelia.

"Tak apalah, kau jadilah kuli dia di pejabat dan di rumah. Alang-alang nak jadi kuli sangat kan?" ujar Dora lalu ketawa.

Mendengar kata-kata Dora, Amelia bertindak mencubit peha Dora membuatkan wanita itu terjerit kecil. Namun, tak lama selepas itu, mereka bertiga pun tertawa.

      *       *      *       *        *

Ruzaini sedang menonton televisyen apabila dia terdengar jeritan Zaidah. Dengan pantas, dia berlari menuju ke bilik tidur mereka memandangkan isterinya itu berada di dalam bilik mereka.

Sebaik sahaja dia tiba, kelihatan Zaidah sedang duduk di birai katil sambil memandang ke arah tangannya. Dengan perlahan, dia mendekati isterinya lalu duduk bersebelahan wanita itu.

Dia memandang tangan Zaidah, ada alat penguji kehamilan dengan dua garis merah tertera di skrin alat tersebut. Tak dapat digambarkan kegembiraan di hati apabila melihat itu memandangkan dia tahu maksud di sebalik dua garisan itu.

"Serius ke ni?" tanya Ruzaini, teruja.

"Betullah ini. Takkan I nak tipu you pula," jawab Zaidah sambil tersenyum.

"Jom kita pergi klinik, buat pemeriksaan menyeluruh. I tak sabar nak beritahu semua ini," jelas Ruzaini, seronoknya tak terkira.

"Sebenarnya, I sudah pergi semalam. Saja I buat test ini kali kedua, sebab I nak beritahu you saja, sayang."

"Saja kenakan I ya sayang? Oh ya, I ada berita kurang baik sebenarnya nak beritahu you. I baru saja dapat tahu daripada Syafiq semalam. Masih fikir macam mana nak beritahu you," jelas Ruzaini, dengan riak wajah yang agak mendung.

"Apa dia sayang? You jangan takutkan I, ada apa-apa jadi pada Amy ke?" tanya Zaidah, cemas.

Ruzaini tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang isterinya dengan wajah yang muram.

"Apa dia, bie? Janganlah buat I begini!" ujar Zaidah, bimbang.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, March 27, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 21

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16
Part 17
Part 18
Part 19
Part 20

*****

"Tuan sukakan Amelia?" tanya Aina, ingin tahu.

"Apalah gunanya saya sukakan dia kalau dia tak punya perasaan yang sama?" tanya Syafiq pula.

"Pada pandangan saya, Amelia ada perasaan pada tuan sebenarnya. Cuma, saya tak pasti kenapa dia menolak mentah-mentah perasaannya sendiri," terang Aina.

"Maksud awak?"

"She's in denial."

"Awak jangan bagi harapan pada saya. Tiga tahun lebih tahu saya kena tolak mentah-mentah dengannya. Tiga kali dia tolak saya, kalau awak salah tanggapan, mana saya nak letak muka?" ujar Syafiq.

"Saya perempuan dan dia pun sama. Jadi, saya yakin dengan hipotesis saya," jawab Aina sambil tersenyum.

"Pandai-pandai saja awak ini. Sudah, buat apa yang saya suruh dan buatkan saya kopi," arah Syafiq bagi menghalau Aina keluar dari biliknya supaya perbualan mereka tidak berpanjangan.

     *      *      *      *      *

Dora yang sedang memasak lauk makan malam itu hanya memerhatikan Amelia yang sedang termenung itu.

Sejak Zaidah bernikah dengan Ruzaini hujung minggu lepas, dia sentiasa memastikan Amelia tidak bersendirian. Jika dia bekerja syif malam, pasti dia akan kerap menelefon Amelia yang berada di rumah.

Namun begitu, dia tidak sama sekali menyangka rakan-rakan sekerjanya telah menukar jadual kerjanya sehinggakan dia hanya perlu bekerja syif malam hanya di antara dua hingga lima hari sahaja dalam sebulan semenjak Amelia sakit semenjak kematian arwah Azam dulu.

Malah, sejak pernikahan Zaidah pula, sekiranya dia perlu bekerja syif malam, Syafiq akan menahan Amelia di pejabat dan mengupah pengawal peribadi mengekori Amelia bagi memastikan keselamatan wanita itu.

"Kenapa kau termenung itu, Amy? Mari tolong aku ni, ada faedahnya," ujar Dora sambil mengelap pinggan untuk dibawa ke meja makan.

Mendengar kata-katanya, Amelia bangun lalu menuju ke arahnya. Sebaik sahaja wanita itu tiba, dia terus menghulurkan pinggan yang sudah dilap itu kepada Amelia.

Amelia pula mengambil pinggan tersebut tanpa sepatah kata dan membawanya ke meja makan.

Melihat Amelia yang masih belum bersuara itu, Dora tahu Amelia punya masalah.

"Kau ada masalah ke, Amy? Kau jangan begini, kita tinggal berdua saja sekarang. Kalau kau senyap begini, boleh sawan aku seorang diri," ujar Dora, sedih.

Dia dapat melihat Amelia memandangnya. Namun, masih tiada jawapan daripada wanita itu.

Dora kenal sangat Amelia, jika masih tiada jawapan, bererti wanita itu tidak bersedia untuk berkongsi.

"Mak ayah aku, dia suruh aku menikah lagi selepas habis tempoh Iddah," jawab Amelia, hambar.

"Habis itu, kau jawab apa?" tanya Dora.

"Aku seboleh-bolehnya tak nak, sebab aku dah boleh duga siapa bakal suami aku itu. Aku kenal ayah aku itu, dia takkan buka mulut jika tiada calonnya," jelas Amelia.

"Siapa orangnya?" tanya Dora, ingin tahu.

"Raja Mohamad Syafiq," jawab Amelia, ringkas.

"Tuan punya badan ada cakap apa-apakah pada kau?" tanya Dora lagi.

"Tak adapun, sejak aku bernikah dengan arwah Wan, dia tak ada lagi berbicara soal peribadi aku. Semuanya soal kerja. Lagipun, dia tak lagi melayan aku dengan baik," terang Amelia.

"Jadi, kenapa kau syak dia? Aku rasa, selagi tuan punya badan tak hantar rombongan, kau tak boleh main serkap jarang saja. Manalah tahu kot orang lain pula," ujar Dora.

"Tapi mak ayah aku perkenan dia jadi menantu," jawab Amelia.

"Itu tidak bermakna dia masih berminat pada kau. Kau pula, masih sayangkan dia?" tanya Dora.

"Tipulah kalau aku kata aku sudah tak sayangkan dia lagi. Dia sanggup uruskan pengebumian kedua-dua arwah suaminya sedangkan tiga kali aku tolak dia. Mana ada lelaki yang sanggup buat begitu."

"Kalau kau tahu apa yang dia sanggup buat untuk kau, aku rasa kau takkan lepaskan dia walaupun kau tahu mungkin nyawanya akan terancam."

"Apa maksud kau, Dora?"

Mendengar soalan Amelia, Dora kaget.

"Hah? Tak ada apalah. Sudah, jom makan," ujar Dora sambil menarik nafas lega. Mujurlah selepas dia menutup keterlanjuran bicaranya tadi, Amelia tidak menjawab. Jika tidak, pasti dia terpaksa mereka cerita tentang Syafiq.

      *      *      *      *      *

Zaidah dan Ruzaini baru sahaja tiba di lapangan terbang KLIA dari Jakarta, Indonesia untuk berbulan madu apabila dia mendapat berita tentang kemasukan ibu Ruzaini, Puan Rosnah di hospital akibat paru-parunya bocor.

Tanpa berlengah, mereka berdua bergegas ke Hospital Serdang untuk menemui ibu mereka itu.

"Assalamualaikum ibu," ujar Ruzaini sebaik mereka berdua memasuki bilik wad Puan Rosnah.

"Waalaikumussalam, Zaini, Zaidah. Bila sampai KL?" tanya Puan Rosnah selepas menjawab salam Ruzaini itu.

"Baru saja, ibu. Kenapa ibu tak beritahu Zaini ibu masuk hospital? Kalau kami tahu, kami balik cepat sikit," jawab Zaini selepas mencium tangan ibunya itu.

"Itu yang ibu tak mahu itu. Zaini dengan Zaidah pergi bulan madu, ibu tak nak kacau. Selagi ibu boleh bertahan, ibu akan bertahan. Ibu tak nak kerana ibu, kamu berdua berselisih faham," ujar Puan Rosnah.

"Tak ada apalah, ibu. Bulan madu boleh pergi lagi, ibu ada seorang saja. Kalau kami dapat tahu lebih awal, pasti kami akan balik lebih awal," jawab Zaidah pula.

"Zaidah, ibu ini perempuan juga seperti kamu. Ibu tahu apa yang akan kamu rasakan. Ibu lebih dulu menjadi menantu, pasti ibu lebih memahami perasaan kamu," jelas Puan Rosnah.

Mendengar kata-kata ibu mentuanya itu, Zaidah terus memeluk erat wanita itu. Bersyukur sangat rasanya mendapat ibu mentua yang memahami.

"Cuma, ibu harap sangat sebelum ibu tutup mata, ibu boleh timang cucu," sambung Puan Rosnah.

Zaidah terkedu. Bukan dia tak mahu menunaikan permintaan Puan Rosnah, tetapi soal rezeki ini payah hendak dijangka. Lagi pula, dia telah disahkan oleh doktor mempunyai peluang yang agak tipis untuk mengandung akibat daripada masalah hormon yang dihadapinya sejak bangku sekolah lagi.

Ruzaini juga terkedu mendengar permintaan ibunya itu kerana dia tahu isterinya tidak mudah untuk mengandung. Pada sangkaannya, jika mereka berusaha, mereka mungkin akan ada peluang itu. Namun, dia sama sekali tidak menjangka yang ibunya akan memberikan tekanan kepada mereka suami isteri.

"In shaa Allah ibu, kalau ada rezeki, pasti ibu akan timang cucu," jawab Zaidah sambil tersenyum manis.

Ruzaini yang melihat itu tahu senyuman Zaidah hanya dipaksa. Isterinya itu pasti sudah bergelora di dalam hatinya. Dia bukannya tak tahu sikap isterinya yang hanya ingin menjaga hati orang sehingga melukakan hatinya sendiri.

Ruzaini juga tahu sikap ibunya dalam memberi tekanan. Ibunya pasti takkan berputus asa sehingga dia tak mendapat apa yang dimahukannya. Dia bimbang tekanan itu akan membuatkan peluang Zaidah lebih tipis akibat stress.

Pening dia memikirkan masalah yang baru tiba ini. Dia hanya boleh berharap yang Allah akan permudahkan segalanya.

      *      *      *      *      *

Syafiq sedang mengemaskan laporan yang bersepah di atas mejanya apabila pintu biliknya diketuk.

"Masuk!" jerit Syafiq dari tempat dia berdiri.

Tak lama kemudian, pintu dibuka dan Amelia masuk ke dalam bilik lalu berdiri di hadapan meja Syafiq.

"Tuan panggil saya, ada apa ya?" tanya Amelia, ingin tahu.

Syafiq tidak menjawab, masih lagi leka dengan kerjanya. Sengaja dia membiarkan Amelia menunggunya selesai.

Amelia pula hanya memandang Syafiq sambil menantikan jawapan kepada soalannya tadi. Dia bukannya tak tahu, Syafiq suka menduga kesabarannya dengan cara begini.

Hampir sepuluh minit Syafiq membiarkan Amelia berdiri di situ, namun Amelia masih lagi kekal berdiri tanpa sepatah kata. Selepas Syafiq selesai menyusun failnya, dia duduk di atas kerusinya lalu memandang Amelia.

"Saya nak awak uruskan projek kita di Pulau Pinang itu sampai habis," ujar Syafiq, memecah kesunyian.

"Bukankah memang saya dengan tuan yang uruskan projek itu?" tanya Amelia, hairan.

"Ya, tapi saya nak awak uruskan di sana sampai habis acara tersebut," jawab Syafiq.

"Maksud tuan?" tanya Amelia, tidak faham.

"Saya nak awak bekerja di sana selama tiga bulan," ujar Syafiq, selamba.

"Tiga bulan?" tanya Amelia lagi, tidak percaya.

*BERSAMBUNG*

Monday, March 25, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 20

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16
Part 17
Part 18
Part 19

*****

"Tolong apa?" tanya Dora.

"Saya akan hubungi doktor untuk ke rumah awak supaya dia dapat periksa Amelia. Kalau teruk sangat, saya akan minta dia hubungi ambulans. Bayaran semua saya tanggung," jawab Syafiq.

"Terima kasih, sir. Apa-apa saya akan maklumkan pada sir. Enjoy your trip," ujar Dora sebelum memutuskan talian.

"Kau rasa, Amy boleh terimakah kita asyik minta tolong sir setiap kali dia ada masalah?" tanya Zaidah sebaik sahaja Dora memutuskan talian.

"Dia tak pernah tahupun, sebab dia tak nak ambil tahu. Kau lupakah, semasa di Perlis dulu, Amy separa sedar? Dia tak ingat pun siapa yang ada dengan dia di sana. Semasa di Langkawi, dia terlalu sedih sampaikan sir berdiri sebelah diapun dia tak nampak. Dia cuma ingat sir bawakan kita ke rumah arwah Wan saja," jawab Dora.

"Kali ini?" tanya Zaidah, bimbang.

"Rileks, sir tak ada di sini. Dia di Penang, dia cuma hantarkan doktor saja datang sini periksa Amy. Jadi, kau jangan risau," jawab Dora sambil tersenyum.

"Nasib baik, seram aku kalau Amy tahu apa yang kita buat ini," ujar Zaidah.

Dora mengambil tuala yang terletak di atas dahi Amelia lalu membawanya ke bilik air untuk dibasahkan dan diletakkan semula di atas dahi Amelia sementara menanti ketibaan doktor.

      *      *      *      *      *

Syafiq yang baru sahaja menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluarnya perasan akan seseorang yang amat dikenalinya.

Dia ternampak orang itu sedang asyik berpelukan dengan pasangannya dan berjalan menuju ke arah sebuah bar yang terletak berhampiran dengan tempat Syafiq berdiri.

Syafiq tidak terkejut akan perkara yang dilihatnya itu kerana ini bukan kali pertama dia terserempak dengan pasangan kekasih itu. Mereka berdua selalu sahaja dilihat ke kelab malam atau bar dan hanya pulang selepas keduanya mabuk.

Khabarnya, mereka berdua bersedudukan tanpa ikatan perkahwinan membuatkan Syafiq bertambah loya dengan pasangan itu. Biarpun dirinya hidup mewah sejak dari kecil, namun bapanya memberikan didikan agama yang sangat tegas membuatkan dia dan abangnya sama sekali tidak berani untuk berbuat perkara yang dilarang agama.

Baginya, dunia korporat yang begitu kotor harus diubah kerana landasannya sudah lari dari syariat Islam. Ramai usahawan Islam yang menggadaikan agamanya demi wang yang kononnya menjamin kebahagiaan.

Pernah juga syarikatnya mengalami kemerosotan jualan akibat daripada polisi syarikat mereka yang tidak melibatkan arak dan dadah di dalam setiap acara yang mereka anjurkan. Namun begitu, kebijaksanaan Syakir dalam menghadapi krisis itulah yang menyelamatkan syarikat daripada gulung tikar.

Melihat arah dari mana pasangan itu datang, dia pasti pasangan itu datang dari bilik hotel. Mungkin juga mereka menginap di hotel yang sama.

Tanpa berlengah, dia menelefon Panjang, penyiasat persendirian yang selalu berkhidmat untuknya.

"Hello, aku ini. Aku nak kau semak sesuatu," ujar Syafiq sebaik sahaja panggilan disambung.

"Apa dia, bos?" tanya Panjang.

"Ingat tak perempuan yang aku minta kau semak latar belakangnya itu? Aku nak kau semak semua rekod perjalanannya dan penginapan sejak tiga tahun lalu," arah Syafiq.

"Bila nak, bos?" tanya Panjang lagi.

"Secepat mungkin," jawab Syafiq, ringkas.

"Baik, bos. Nanti sudah ada, saya hubungi bos. Ada apa lagi, bos?"

"Tak ada," ujar Syafiq sebelum memutuskan talian.

Syafiq menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poketnya sebelum berjalan pulang ke bilik hotelnya.

     *      *      *      *      *

"Baik, semua. Minta perhatian team. Hari ini team kita ada 5 orang baru. Kenalkan, ini Omar, Uma, Raymond, Danial dan Gayatri. Mereka berlima akan mula bekerja di sini dan saya harap kamu semua boleh membantu mereka menyesuaikan diri," terang Pheobe, pengurus bahagian tempat Dora berkhidmat.

Dora meneliti kelima-lima mereka. Perhatiannya tertumpu kepada Danial, satu-satunya lelaki melayu di kalangan lima orang tersebut.

Setelah habis taklimat dari Pheobe, Dora mendapati Danial akan berada di dalam kumpulan yang sama dengannya. Memandangkan dia mempunyai lima tahun pengalaman, maka dia akan mula bekerja sebagai eksekutif kanan.

Sedang Dora sibuk menjawab emel daripada pelanggan, tiba-tiba Danial mendekatinya.

"Awak, boleh tolong saya sikit?" tanya Danial, ramah.

"Apa dia?" tanya Dora pula sambil menoleh ke arahnya.

"Tolong temankan saya makan tengahari nanti boleh?" tanya Danial lagi.

Dora terkedu. Belum pernah lagi dia berjumpa orang baru yang mencari rakan sekerja berlawanan jantina untuk menemaninya makan tengahari.

"Kenapa awak tak pergi makan bersama yang lain?" tanya Dora, hairan.

"Saya rasa saya berminat nak berkenalan dengan awak," ujar Danial, jujur.

Sekali lagi Dora terkedu. Bagaimana seseorang boleh menjadi sebegini jujur dan berterus terang?

"Boleh ataupun tidak, cik Dora?" tanya Danial lagi apabila melihat tiada reaksi daripada Dora.

"Macam mana awak tahu nama saya?" tanya Dora, hairan.

"Senarai pekerja terbaik bulanan. Bukankah awak pekerja terbaik bulan lepas?" tanya Danial, inginkan kepastian.

Mendengar jawapan Danial, Dora mengangguk. Benar, dia merupakan pekerja terbaik bulan lepas. Bagaimanakah dia boleh terlupa tentang itu?

"Kalau begitu, bolehlah. Ada apa-apa lagi, encik Danial?" tanya Dora selepas menjawab pelawaan Danial tadi.

Danial hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya lalu beredar dari situ. Dora hanya memandang kepergian Danial dengan perasaan keliru.

      *      *      *      *      *

Syafiq baru sahaja tiba dari Pulau Pinang apabila dia mendengar sesuatu di kalangan para pekerja syarikat.

"Aku dengar Amelia bahagian pemasaran itu kematian suami lagi. Baru saja nikah, suaminya mati sakit jantung. Alahai, bala apalah yang dibawanya!" ujar pekerja pertama.

"Itulah, takut juga aku. Takut terkena badi dia, jenuh aku nanti. Agaknya tak kahwinlah aku sampai ke tua!" jawab pekerja kedua.

Syafiq yang berada di belakang mereka berdua di dalam lif hanya mendengar sahaja perbualan mereka berdua sambil merakam apa yang mereka bualkan.

Sebaik sahaja dia tiba di pejabat, dia menyuruh Aina masuk ke dalam bilik sekali dengannya.

"Ada apa, tuan?" tanya Aina sambil tersenyum.

"Saya sudah hantarkan sebuah rakaman suara ke emel awak. Saya nak awak berikan kepada bahagian sumber manusia, suruh mereka cari pekerja tingkat lima yang manakah yang berbuat sedemikian. Selepas mereka jumpa, bawa mereka berdua berjumpa dengan saya."

"Kenapa, tuan?" tanya Aina, hairan.

"Saya dengar mereka bergosip tentang Amelia dan ayat yang mereka gunakan boleh menjadi fitnah," jawab Syafiq.

"Tuan, boleh saya cakap sikit?" tanya Aina lagi.

"Apa dia?"

"Tuan tak rasakah yang tuan terlalu melindungi Amelia? Tuan tak rasakah layanan tuan ini mungkin merimaskan Amelia? Sudahlah dia tak boleh berhenti kerja, setidaknya tuan seharusnya biarkan dia menghadapi masalahnya sendiri," jelas Aina.

"Masalahnya, kalau sampai cerita badi, takkan saya nak berdiam diri saja?"

"Saya faham, saya yakin Amelia pun tak minta hidupnya jadi begini. Cuma, pada pendapat saya, itu merupakan dugaannya. Biar dia sahaja yang hadapinya. Ya, dia pernah mengalami depresi. Saya tahu tuan bimbangkan soal itu tapi saya yakin kali ini Amelia lebih kuat. Kalau tidak, pasti sekarang ini dia bukan di sini tapi di wad sakit jiwa," sambung Aina lagi.

"Saya sudah hilang dia tiga kali, Aina. Jangan biar saya hilang dia lagi. Lagipun, saya nak jumpa pekerja itu saja. Bukannya nak pecat mereka," jawab Syafiq.

"Tuan sukakan Amelia?" tanya Aina, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

Sunday, March 24, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 19

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10
Part 11
Part 12
Part 13
Part 14
Part 15
Part 16
Part 17
Part 18

*****

"Apa?" tanya Syafiq, inginkan kepastian.

"Amy kata Redzuan sudah tidak bernafas. Dia tengah tunggu ambulans nak bawa Redzuan ke hospital. Saya nak ke sana, sir nak ikut tak?" tanya Dora setelah menjawab soalan Syafiq itu.

"Baik, saya ikut. Kita akan naik penerbangan pertama ke Langkawi esok, saya akan tempah apa saja penerbangan yang paling cepat. Awak bersiap saja, nanti bila saya dah dapat tiket penerbangan, saya akan beritahu awak."

"Baiklah, sir. Saya tunggu," jawab Dora sebelum memutuskan talian.

Dora mula mengemaskan pakaiannya yang ingin dibawa ke Langkawi. Sedang dia mengemas, dia mendapat pesanan ringkas daripada Syafiq.

Saya dah tempah tiket penerbangan. Penerbangan paling cepat pun jam 8.05pagi. Jam 6 pagi nanti saya jemput awak di rumah.

Tanpa berlengah, Dora menaip mesej balas kepada Syafiq:

Noted. Terima kasih sir.

Sebaik sahaja dia menghantar mesej tersebut, dia menutup beg pakaiannya lalu menuju ke bilik air untuk menggosok gigi. Dia harus tidur sekarang supaya dia dapat bangun pada jam 5 pagi nanti.

      *      *      *      *      *

Zaidah terjaga dari tidurnya akibat terdengar bunyi pintu rumahnya dikunci. Dia mencapai telefon bimbitnya, jam baru menunjukkan jam 6.10 pagi.

Menyedari itu, dia bingkas bangun. Setahunya hari itu Zaidah bekerja syif petang. Takkkan seawal itu rakan baiknya keluar rumah?

Dia membuka kunci skrin telefon bimbitnya dan menyedari mesej daripada Dora yang dihantar lebih kurang 15 minit lepas:

Aku pergi Langkawi pagi ini dengan sir Syafiq. Redzuan dah tak ada, so aku nak bawa dia dengan Amy balik. Apa-apa, aku update kau nak pergi mana. Tolong beritahu Zaini, kami perlukan bantuan kau orang nanti.

Terkedu Zaidah membaca mesej Dora itu. Selepas dia menutup ruang mesej Dora, barulah dia perasan mesej daripada Amelia pula yang berbunyi:

Kau orang, suami aku dah tak ada. Doktor dah sahkan dia dah meninggal semasa kat hotel. Tolong aku, aku takut.

Sekali lagi Zaidah terkedu. Apa lagi dugaan yang Allah berikan kepada wanita yang bernama Nur Diyana Amelia ini? Bukan seorang tapi dua orang suaminya meninggal dunia selepas bernikah dengannya.

Tanpa berlengah, dia mendial nombor Ruzaini. Panggilan itu telah dijawab sebelum bunyi deringan lagi.

"Ya, sayang. Awalnya call, I baru naksolat Subuh ini," ujar Ruzaini.

"Sayang, Wan dah tak ada," jawab Zaidah, perlahan.

"Apa dia? Apa maksud you tak ada?" tanya Ruzaini, kaget.

"Dia dah meninggal dunia jam 1 pagi tadi. Dora dengan sir Syafiq dalam perjalanan ke sana nak uruskan penghantaran pulang jenazah dan Amy," jawab Zaidah sebelum menangis.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Betullah apa yang I rasa. Sudah, pergi solat. Sedekahkah al-Fatihah untuknya. Nanti apa-apa, you call I."

"Okay, sayang. Love you," ujar Zaidah.

"Love you too," jawab Ruzaini sebelum memutuskan talian.

Zaidah meletakkan telefon bimbitnya di atas katil sebelum bergerak menuju ke bilik air untuk mandi.

      *      *      *      *       *

Pengebumian jenazah Redzuan telahpun selesai dilakukan. Semua orang sudahpun pulang dan hanya keluarga Redzuan, keluarga Amelia dan rakan-rakan rapat keduanya sahaja yang tinggal.

"Apa yang kau buat pada anak aku ya Amelia sampai dia meninggal dunia begini? Kau racuni dia ya?" tanya Puan Yatimah, ibu Redzuan.

Semua orang di situ terkedu mendengar soalan Puan Yatimah itu, terutamanya Amelia. Dia tidak menyangka soalan itu akan keluar dari mulut ibu mentuanya.

"Astaghfirullah hallazim, Timah! Cuba bawa mengucap," ujar Encik Ahmad, bapa Redzuan pula.

"Betul apa! Anak kita mana ada sakit apa-apa, tiba-tiba boleh kena serangan jantung dan terus meninggal. Abang tak pelikkah?" jelas Puan Yatimah, berang.

"Apa nak dipelikkan, itu semua kerja Allah. Awak itu bawa bertenang, nanti dengan awak sekali jalan!" jawab Encik Ahmad.

"Kalau saya nak jalan sekalipun, saya akan pastikan perempuan durjana ini jalan dulu!" bentak Puan Yatimah.

Amelia yang masih mendiamkan diri sedari tadi membuatkan hati Puan Yatimah semakin berang lalu bertindak mendekati Amelia dan menariknya bangun sebelum menamparnya.

"Apa ini kak? Sejahat manapun anak saya, apa hak akak nak tampar dia?" tanya Puan  Kursiah, menahan geram apabila melihat anak sendiri ditampar di hadapannya sedangkan dia sendiri tak pernah berbuat sedemikian.

"Kalau kau tak ajar anak kau elok-elok, mesti benda ini semua tak jadilah!" jerkah Puan Yatimah seperti dirasuk.

"Kalau akak rasa anak saya tak elok, kenapa akak bersetuju untuk menjadikan Amelia menantu akak?" tanya Puan Kursiah, hairan dengan sikap Puan Yatimah.

"Kalau tak kerana arwah ini yang tergila-gilakan anak kau, aku pun tak inginlah nak bermenantukan anak kau itu! Sekarang, aku nak anak kau cakap dengan aku, apa yang dia buat sampai anak aku meninggal tiba-tiba?" bentak Puan Yatimah.

Berang dengan sikap isterinya, Encik Ahmad bertindak menampar isterinya di hadapan semua orang membuatkan semuanya terkedu, termasuklah Puan Yatimah.

"Kenapa abang tampar saya? Abang tak pernah tampar saya selama 30 tahun kita bernikah!" tanya Puan Yatimah yang terkejut dengan tindakan Encik Ahmad.

"Samalah dengan Amelia, mak ayahnya tak pernah tampar dia, tapi Timah tampar dia depan semua orang. Apakah perasaannya? Begitulah perasaan Amelia," jelas Encik Ahmad.

"Sampai hati abang lebihkan orang luar daripada isteri abang ini?" tanya Puan Yatimah.

"Awak ini, belajar agama sana sini tapi tak semuanya awak praktikkan. Memang Amelia ini orang luar dulu, tapi sejak dia bernikah dengan anak kita, dia sudah jadi mahram kekal kita. Awak tahu tak?" sambung Encik Ahmad lagi.

"Tapi anak kita dah tak ada, dia bukan lagi menantu kita!" bentak Puan Yatimah.

"Ya, dia bukan lagi isteri anak kita, tapi kalau dah namanya mahram kekal, maksudnya dia masih lagi mahram kita walaupun anak kita dah tak ada. Kalau awak tak percaya cakap saya, carilah ustaz atau ustazah mana-mana dan bertanya pada mereka," terang Encik Ahmad.

Mendengar jawapan Encik Ahmad, Puan Yatimah bertambah geram dan bertindak mencekik Amelia.

Melihat tindakan Puan Yatimah, Encik Ahmad dan Encik Ruslan cuba meleraikan mereka berdua.

"Kalau kau tak wujud dalam anak aku, anak aku tak matilah! Kau berambus sekarang dan jangan datang lagi!" jerkah Puan Yatimah selepas dileraikan pegangannya pada leher Amelia oleh Encik Ahmad.

Encik Ruslan yang sudahpun berkecil hati dengan tindakan Puan Yatimah mendekati Encik Ahmad lalu bersalaman dengan lelaki itu.

"Saya minta diri dululah, Mat. Saya bimbang kalau lama lagi saya di sini, saya akan kehilangan anak saya dan awak akan kehilangan isteri awak," bisik Encik Ruslan di telingan Encik Ahmad.

"Baiklah, nanti kita jumpa lagi ya?" jawab Encik Ahmad sambil tersenyum kelat.

"Tak payah nak jumpa dia lagi! Buat apa abang nak berjumpa dengan pembunuh anak abang ini?" jerkah Puan Yatimah lagi.

Kata-kata Puan Yatimah tidak disahut sesiapa. Amelia ingin bersalaman dengan ibu mentuanya tetapi ditahan oleh Encik Ahmad membuatkan dia berputus asa.

Encik Ruslan, Puan Kursiah, dan Amelia beredar keluar dari rumah itu. Melihat tindakan keluarga Encik Ruslan, Zaidah dan Ruzaini mengikut jejak langkah keluar.

Syafiq bangun lalu menuju ke arah Encik Ahmad.

"Pakcik, saya Syafiq, majikan Amelia. Saya ada hal ingin berbincang dengan pakcik dan makcik," ujar Syafiq lalu memandang ke arah Dora yang baru sahaja bangun dari tempat duduknya.

"Boleh, tapi pakcik rasa bukan hari inilah. Emosi makcik kamu itu masih tak stabil. Kamu datang hari lain ya?" jawab Encik Ahmad.

"Baiklah, ini kad bisnes saya. Apa-apa, pakcik hubungi saja saya. Saya akan datang bertemu dengan pakcik dan makcik bila pakcik dan makcik sudah bersedia," jelas Syafiq sambil menghulurkan kad bisnesnya.

Encik Ahmad mengambil kad tersebut lalu disimpan di dalam kocek baju melayunya sebelum dia bersalaman dengan Syafiq.

Dora pula mendekati Puan Yatimah lalu menhulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita itu tetapi wanita itu tidak mengendahkannya membuatkan dia berputus asa lalu beredar mengikut Syafiq keluar dari rumah.

Syafiq dan Dora berjalan menuju ke arah kereta Syafiq yang diparkir berhampiran rumah Redzuan.

Setelah Dora dan Syafiq masuk ke dalam kereta, Encik Ruslan yang duduk di sebelah Syafiq memandang Syafiq membuatkan Syafiq berasa hairan.

"Kenapa pakcik?" tanya Syafiq.

"Ayah Redzuan kata apa tadi?" tanya Encik Ahmad.

"Dia suruh saya datang semula nanti. Tak apa pakcik, saya akan selesaikan semua ini. Saya akan pastikan mereka tak ganggu Amelia lagi," jawab Syafiq sambil tersenyum.

"Terima kasih, Syafiq. Pakcik tak tahu bagaimana nak balas jasa Syafiq," jelas Encik Ruslan.

"Tak apalah, lagipun Redzuan itu bekas anak murid saya juga," jawab Syafiq.

"Ya ke? Kecilnya dunia ini," jawab Encik Ruslan.

"Oh ya, pakcik. Bagaimana dengan urusan pembahagian harta arwah nanti? Saya tak rasa Puan Yatimah boleh terima hakikat yang Amelia layak menerima harta secara Faraid," tanya Syafiq.

"Saya tak nak harta itu, biarlah mak dia ambil semula. Kalau boleh, saya tak nak jumpa mak dia lagi. Cukuplah dia hina saya dan mak ayah saya," sampuk Amelia, tiba-tiba.

"Kalau begitu, nanti saya siapkan surat untuk uruskan berkenaan itu. Saya hantar kamu semua balik dulu, sebab saya nak masuk pejabat sekejap," ujar Syafiq selepas mendengar jawapan Amelia.

"Saya nak ikut masuk pejabat," ujar Amelia pula.

"Tak payah, awak cuti dulu. Lagipun, awak layak untuk cuti ehsan selama 3 hari. Jadi, awak balik berehat dulu. Bila awak rasa dah tenang, baru masuk kerja. Okay?" jelas Syafiq.

"Baiklah, tuan."

Mendengar jawapan Amelia, barulah Syafiq mulakan pemanduannya. Dia tahu inilah kali kedua dia menguruskan pengebumian suami Amelia, ternyata buatnya terasa sukar, apatah lagi buat Amelia.

      *      *      *      *      *

Malam itu, Dora dan Zaidah sedang menonton televisyen apabila dia terdengar jeritan Amelia.

Mendengar jeritan itu, bergegas keduanya memasuki bilik Amelia dan membuka lampu biliknya. Kelihatan wajah Amelia berkerut-kerut menahan kesakitan. Mukanya berpeluh dan tampak kemerah-merahan.

Dora memegang dahi Amelia, sangat panas. Dia memandang ke arah Zaidah yang baru sahaja tiba dengan tuala yang dibasahkan. Dia mengambil kain tersebut lalu diletakkan di atas dahi teman serumah mereka itu.

Namun begitu, selepas seminit, dia mendapati kain tersebut telah mulai kering.

"Panas sangat ini, kita bawa dia pergi klinik?" tanya Dora, bimbang.

"Nak minta tolong siapa? Zaini kerja malam hari ini," tanya Zaidah pula.

"Sekejap," ujar Dora lalu mengambil telefon bimbitnya di atas sofa yang diduduki mereka tadi.

Dia menghubungi seseorang. Tak lama selepas itu, panggilannya dijawab.

"Hello, Dora. Kenapa call malam-malam ini?" tanya Syafiq, di hujung talian.

"Amy demam panas. Boleh tolong bawakan ke klinik tak?" tanya Dora pula.

"Sejak bila dia demam panas?" tanya Syafiq, bimbang.

"Baru lagi ini," jawab Dora.

"Maaflah, saya ada di Pulau Pinang ini. Baru saja sampai. Tak dapat nak bawakan ke klinik, tapi saya boleh tolong awak perkara lain," ujar Syafiq.

"Tolong apa?" tanya Dora.

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com