Monday, January 20, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 17

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16

"Atas sebab awak," jawab Suraya, sangat perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Haziq membuatkan Haziq terkejut dengan jawapan yang diberikan.

"Kenapa saya?" tanya Haziq, hairan.

"Bukankah awak yang suruh saya terima Muhaimin dulu?" tanya Suraya sambil merenung ke arah Haziq.

"Awak sudah ingatkah?" tanya Haziq, terkejut dengan pertanyaan Suraya.

Suraya hanya mendiamkan diri dan terus merenung Haziq membuatkan Haziq mengerti apakah jawapan Suraya kepada soalannya tadi.

"Hanya semata-mata untuk saya?" tanya Haziq.

"Awak duduk sini, letihlah nak dongakkan kepala saya," ujar Suraya sambil menepuk-nepuk birai katilnya.

Haziq hanya menurut dan duduk di birai katil Suraya. Suraya hanya memandang wajah yang dirinduinya itu tanpa sebarang ekspresi.

"Bukan semata-mata untuk awak, tapi sekiranya awak terima pengakuan saya dulu, saya takkan terima Muhaimin dalam hidup saya. Saya lakukan sebab awak, sebab ayah, sebab Lia dan sebab Tan Sri Mazlan. Bagi saya, saya harus perbetulkan segalanya," jelas Suraya, masih merenung wajah Haziq.

"Sampai awak korbankan hidup awak selama 4 tahun untuk kami semua?" tanya Muhaimin, keliru.

"Saya sayangkan awak, ayah dan Lia. Kamu semua ada sesuatu yang buat saya sangat terhutang budi. Saya harus lindungi semuanya dari belenggu Tan Sri Mazlan. Kita sama-sama tahu perangai Tan Sri sekeluarga bukan?" jelas Suraya lalu tunduk ke bawah. Dia dapat rasakan air matanya bakal mengalir.

"Saya lepaskan awak kerana saya sangkakan Muhaimin akan bahagiakan awak. Jujur, saya tak berbohong. Setidaknya, Tan Sri Mazlan akan pastikan Muhamin akan bahagiakan awak. Akan tetapi, saya terlupa bahawasanya perangai Muhaimin dan papanya serupa. Saya tak sangka yang Muhaimin akan sia-siakan awak sepenuhnya," jawab Haziq lalu memandang ke arah Suraya.

"Nampaknya awak sudah tahu semuanya. Apa lagi yang boleh saya katakan?" ujar Suraya dengan air mata yang mengalir.

Meskipun Suraya menundukkan wajahnya, dia tahu Haziq pasti tahu dirinya sedang menangis. Jadi, dia hanya mengekalkan posisinya sekarang supaya ianya tidak terlalu ketara.

"Saya tak lepaskan awak untuk awak dilayan sebegitu, Suraya. Demi Allah, saya tidak berniat begitu. Saya minta maaf sangat-sangat," pinta Haziq.

"Saya tahu, saya tak pernah salahkan awak."

"Izinkan saya tebus kesalahan saya," ujar Haziq, lemah.

"Tebus kesalahan? Dengan?"

"Nikahi saya," jawab Haziq, kali ini tegas.

Mendengar kata-kata Haziq, air mata Suraya terus berhenti mengalir lalu dia mendongakkan wajahnya dan memandang Haziq kerana terkejut.

"Apa dia?" tanya Suraya.

"Nikahi saya. Saya nak jaga awak, dan saya pasti mama dan papa pun nak jaga awak juga. Saya nak tebus kesalahan saya lepaskan awak dulu," jelas Haziq.

"Saya rasa saya tak boleh nikahi awak sekarang," jawab Suraya sambil memandang wajah Haziq dengan perasaan sayu.

"Kenapa?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Saya tak bersedia untuk hadapi alam perkahwinan untuk kali kedua. Saya tak boleh buat masa ini. Saya minta maaf," jawab Suraya.

Haziq menarik nafas dalam lalu mengeluh. Suraya hanya mampu memandang Haziq dengan penuh perasaan bersalah. Dia tak mahu menerima Haziq dengan mudah kerana dia takut akan dikecewakan kali kedua.

     *     *     *     *     *

Zulaikha sedang menghidangkan air kepada Rashdan dan Aduka yang baru sahaja tiba apabila loceng pintu pagar rumahnya berbunyi. Zulaikha memandang Rashdan dengan perasaan keliru kerana setahunya, hanya Aduka yang dijemput datang ke rumah. Aduka masih belum bersedia untuk bertemu dengan Lily, lebih-lebih setelah mengetahui Lily sudahpun bahagia dengan suami dan anaknya.

Zulaikha berjalan menuju ke arah pintu lalu membukanya. Kelihatan Suraya dan Haziq berdiri di hadapan pintu rumahnya membuatkan dia sedikit terkejut. Kehadiran Suraya sudahpun mengejutkan, ditemani oleh Haziq lebih mengejutkan Zulaikha.

"Ika tak nak jemput Su masukkah? Oh, terkejut tengok Haziq? Su nak datang sendiri, tapi keluarga Haziq tak bagi Su pandu kereta sendiri. Tahu tak, kereta Su dah seminggu tidur kat garaj rumah papa," ujar Suraya sambil tersenyum.

Zulaikha memandang ke arah Haziq. Tampak ketara wajah bengang Haziq meskipun cuba disembunyikan. Pasti geram disindir sebegitu.

"Jemputlah masuk," ujar Zulaikha sambil tersenyum.

Zulaikha berjalan menuju ke dapur untuk mengambil gelas buat Suraya dan Haziq. Sekembalinya dia di hadapan, dia melihat Suraya dan Haziq masih berdiri di tempat terakhir dia tinggalkan mereka berdua tadi.

"Tak payah nak tenung begitu, memang Aduka," ujar Zulaikha lalu meletakkan gelas yang diambilnya tadi di atas meja kopi.

Suraya hanya mengangguk lalu duduk bersebelahan Zulaikha, manakala Haziq pula duduk bersebelahan Aduka. Kelihatan Aduka dan Haziq bersalaman, memandangkan mereka berdua pernah bertemu minggu lepas.

"Eh, sekejap. Bila masa Aduka dengan Haziq berkenalan ini?" tanya Zulaikha, hairan dengan tindakan keduanya itu.

"Minggu lepas, sewaktu abang jemput Aduka datang ke rumah, terserempak dengan Haziq. Cuma, yang abang tak faham, sejak bila kawan baik kita ini berbaik dengan bekas majikannya?" sindir Rashdan membuatkan wajah Suraya semakin masam.

"Itulah, Ika pun terkejut juga. Macam mana ya? Terjumpa di rumah keluarga sendirikah, encik Haziq?" tanya Zulaikha sambil tersenyum.

"Salah sendiri, setahun aku menetap di rumah keluarganya, tak pernah-pernah dia balik rumah semasa aku ada. Tiba-tiba saja dia balik, lepas itu ajak bergaduh pula," ujar Suraya, dengan niat menyindir Haziq pula.

"Eh, kau! Aku sindir kau, kau sindir dia. Kau orang berdua ini bukannya muda lagi, nak bergaduh macam budak-budak buat apa? Oh ya, ada hajat apa kau datang ke rumah aku ini?" tanya Rashdan selepas memarahi tindakan Suraya menyindir Haziq itu.

"Aku ingat nak ajak kau orang keluar makan, aku belanja sempena perdamaian antara aku dengan Haziq tapi nampak gayanya Ika macam sudah masak. Cukupkah nak hidang kat kami berdua sekali? Kalau cukup untuk seorang, aku suruh Haziq balik dulu," ujar Suraya, selamba membuatkan kesemua mereka terkedu dengan pernyataan Suraya itu.

"Kau ini, tak beragaklah soalan kau! Kalau cukup untuk seorang pun, aku hantar kau saja balik. Suka hati kau saja buat keputusan. Aku tuan rumah, jadi terpulang pada akulah bukan? Cukuplah, Ika masak lebih, ingatkan nak makan sampai malam tapi sudah tertulis rezeki kau orang. Jadi, aku nak kau orang bertiga habiskan," jawab Rashdan.

"Tapi masalahnya, bukan kami berdua saja sebenarnya. Su lupalah itu," jawab Haziq.

"Jangan cakap..."

Belum sempat Zulaikha menghabiskan ayatnya, kedengaran loceng pintu pagar rumahnya sekali lagi berbunyi.

Kali ini, Rashdan pula bangun dari tempatnya lalu berjalan menuju ke arah pintu rumahnya sebelum membukanya. Alangkah terkejutnya dia melihat Lily, Adrian dan anak mereka berdiri di hadapan pintu rumahnya itu.

"Maaflah, kami lambat. Ada kemalangan di Jalan Ipoh tadi. Sesak teruk," ujar Lily sambil tersenyum.

"Tak apa, masuklah," jawab Rashdan lalu memberikan laluan kepada mereka bertiga.

"Nah, aku bawakan ayam KFC untuk makan tengahari. Almaklumlah, kami semua datang mengejut, bukan?" ujar Adrian lalu menyerahkan bungkusan plastik kepada Rashdan sebelum masuk ke dalam rumah diikuti dengan Lily yang sedang mendukung Cempaka.

"Terima kasih. Kau orang macam tahu-tahu saja makanan yang ada tak cukup," jelas Rashdan sambil tersenyum nipis.

"Aku tahulah, aku dengan Su datang mengejut. Su mana?" tanya Lily sebelum memandang ke arah semua orang yang berada di ruang tamu.

Zulaikha dapat melihat Lily sudahpun terkejut melihat Haziq tetapi dia terus terkaku melihat insan yang berada di sebelah Haziq itu. Tanpa berlengah, Zulaikha bangun lalu mendekati Lily.

"Maafkan Ika, kalau Ika tahu Lily nak datang, Ika suruh Lily datang hari lain," ujar Zulaikha sambil memegang bahu Lily.

"Oh ya, Adrian. Kenalkan ini Haziq, bekas majikan Su dan ini Aduka, kawan lama kami. Haziq, Aduka, kenalkan ini Adrian, suami Lily," ujar Rashdan sebelum menuju ke dapur untuk menghantar bungkusan ayam yang diterimanya tadi.

Zulaikha melihat ketiga-tiga lelaki itu bersalaman sebelum Adrian duduk di sebelah Haziq. Zulaikha membawa Lily dan Cempaka untuk duduk di sofa yang diduduki oleh Rashdan tadi.

Semua orang tidak boleh meneka apa yang berada di dalam kepala Lily sekarang, tetapi mereka cuma boleh berharap agar semuanya baik-baik sahaja.

Sebaik sahaja Rashdan tiba bersama kerusi untuk dia duduki, dia dapat melihat suasana sunyi membuatkan dia mulai bimbang. Bimbang akan perang meletus sebentar lagi.

"Su, tadi kau kata kau datang seorang. Bagaimana boleh ada Haziq ini?" ujar Lily bagi memecahkan hening.

"Haziq tak bagi aku pandu sendiri sejak kes aku pengsan hari itu," jawab Suraya, perlahan.

"Baguslah, kalau aku jadi dia pun aku tak bagi. Kalau dia nak jadi bodyguard kau, berkepit 24 jam sehari dengan kau pun aku setuju. Nikah terus pun tak apa!" sindir Lily tajam.

"Dia dah ajak aku nikah, tapi aku tolak," jawab Suraya, perlahan.

Semua pandangan beralih daripada Lily kepada Suraya. Semuanya tidak percaya akan apa yang didengarinya.

"Kau serius? Kau tinggal dalam rumah keluarganya, tapi tak nak jadi menantu keluarganya?" tanya Rashdan.

"Aku cuma belum bersedia untuk berkahwin lagi. Itu saja," jawab Suraya.

"Semoga berjaya, Haziq. Kau kena usaha lebihlah nampaknya," ujar Aduka sambil menepuk bahu Haziq.

Zulaikha sedang memikirkan bagaimana hendak menolong Suraya apabila terpandangkan Lily yang sedang merenung Aduka tajam. Sangkaannya, hanya dia saja yang melihat. Ternyata Rashdan juga perasan akan tindakan Lily itu.

"Lily, kau jangan tenung Aduka itu lama sangat. Tembus nanti," seloroh Rashdan, cuba meredakan ketegangan yang mulai menular.

"Kenapa kau jemput dia datang ke rumah kau, Dan?" tanya Lily, masih merenung Aduka.

"Aku tak rasa aku boleh jawab soalan itu, Lily. Itu hal aku dengan Aduka," jawab Rashdan.

"Su, kau tahu kenapa Rashdan jemput Aduka ke rumahnya? Memandangkan kau sampai sini dahulu," tanya Lily kepada Suraya pula.

"Aku tak tahu," jawab Suraya, perlahan.

"Kau tak tipu aku, bukan?" tanya Lily lagi.

"Kalau kau rasa aku tipu kau, kau tanyalah orang lain. Kau punya hal, aku pula nak kena fikirkan," jawab Suraya, geram dituduh sebegitu.

"Kenapa awak tak tanya saya saja?" tanya Aduka, letih melihat tingkah laku Lily yang baginya seperti kebudak-budakan itu.

"Kau diam! Aku tak tanya kau pun!" bentak Lily, berang.

"Lily, cantik sikit perangai itu!" tegas Adrian membuatkan wajah Lily berubah.

"Abang tak tahu apa-apapun, kenapa abang nak marah Lily pula?" tanya Lily, bengang ditegur begitu oleh Adrian.

"Aduka ini mesti ex-boyfriend Lily, bukan?" duga Adrian.

"Betul tapi bagaimana abang tahu?" tanya Lily, hairan.

"Abang tengok sendiri reaksi Lily bagaimana tatkala melihat wajah Aduka. Sesiapapun akan tahu," jawab Adrian, selamba.

"Baguslah abang tahu, inilah lelaki yang buat Lily jadi fobia nak bercinta dulu. Dialah punca kenapa abang kena gunakan kuasa veto ayah untuk nikahi Lily. Lelaki inilah!" ujar Lily lalu menuding ke arah Aduka.

"Kenapa kamu berdua putus dulu?" tanya Adrian lagi.

"Dia ada orang lain," jawab Lily.

"Betulkah dia ada orang lain, Rashdan?" tanya Adrian kepada Rashdan.

Rashdan hanya menggelengkan kepalanya.

"Kenapa abang tanya Rashdan?" tanya Lily, hairan.

"Orang lelaki ini setiakawannya lebih. Sekiranya benar Aduka betul-betul ada orang lain, tak mungkin Rashdan, kawan baik Lily akan terus berkawan dengannya. Melihatkan hubungan Rashdan dan Aduka, mereka berdua sepertinya sudah lama rapat. Let me guess, 5 tahun?" ujar Adrian.

"Apa yang Adrian cakapkan itu masuk akal," sampuk Haziq, menyokong pendapat Adrian.

"Aku ini polis, Haziq. Sekali imbas aku sudah boleh duga semuanya. Kau dengan Suraya punya cerita pun aku dah boleh duga. Aku harap kali ini kau takkan kecewakan sepupu ipar aku lagi," sindir Adrian sambil tersenyum.

"Betul apa yang kau cakapkan, Adrian. Sepanjang 5 tahun ini, Aduka hanya berhubung dengan aku sahaja," jawab Rashdan.

"Kenapa kau atau Aduka tak berterus-terang saja mengapa Aduka tinggalkan Lily dulu?" tanya Adrian.

"Maksud kau?" tanya Aduka, hairan.

"Aku dengan kau sama-sama kenal bini aku bagaimana. Sampai bila kau nak biarkan dia bersangka buruk pada kau?" tanya Adrian pula.

Aduka terkesima mendengar pertanyaan Adrian itu. Dia belum bersedia untuk Lily tahu akan penyakitnya 5 tahun lalu.

"Apakah ada perkara yang akan berubah kalau aku berterus-terang, bro?" tanya Aduka semula.

"Setidaknya, dia tak hukum kau tanpa neraca begini! Aku tak nak isteri aku tanggung dosa salah sangka, bro. Tidak, selagi dia masih isteri aku," jawab Adrian membuatkan semuanya terkedu.

"Aku tak bersedia untuk berterus-terang," jawab Aduka, lemah.

"Kau jangan fikirkan diri kau sahaja! Kawan-kawan kau adalah kawan-kawan Lily juga. Kau pernah fikirkan tak apa implikasi tindakan kau kepada kawan-kawan kau?" tegas Adrian.

"Apa yang Adrian cakap ada betulnya. Kalau kau tak berterus-terang, tindakan kau akan beri kesan kepada persahabatan Rashdan, Zulaikha, Lily dan Suraya. Jangan hukum yang lain di atas kesalahan kau," ujar Haziq sambil menepuk bahu Aduka.

"Baiklah kalau begitu. Sebenarnya Lily, saya berpura-pura ada perempuan lain kerana saya nak awak tinggalkan saya. Perempuan itu adalah sepupu saya, bukannya orang lain pun. Saya terpaksa minta awak tinggalkan saya supaya awak tak perlu tahu akan penyakit saya 5 tahun lepas," ujar Aduka dengan air mata yang ditahan.

Haziq dan Suraya terkedu mendengar penjelasan Aduka tetapi tiada reaksi daripada Lily. Adrian, Rashdan dan Zulaikha tahu Lily hanya berpura-pura kuat, jadi sengaja dibiarkan wanita itu melayan perasaannya.

"Saya ada ketumbuhan dalam otak yang berbalik dan doktor sarankan saya melakukan pembedahan walaupun peluang untuk saya sembuh tidak besar. Jikalau saya selamat sekalipun, saya tak mungkin boleh hidup dengan sempurna untuk sementara ataupun selamanya. Tiada apa yang pasti tentang pembedahan saya membuatkan saya terpaksa lepaskan awak," sambung Aduka lagi.

"Elok saja aku tengok kau sekarang," jawab Lily, sinis.

"Betul, saya nampak sihat sekarang tapi itupun selepas setahun koma, empat tahun rehabilitasi. Semasa saya terjaga dari koma, saya tidak boleh bergerak dan bercakap dengan baik. Jikalau saya masih bersama awak, mampukah awak menjaga saya selama 5 tahun ini?"

Lily terkedu mendengar penjelasan Aduka. Dia faham maksud Aduka itu, dia yakin Aduka sudah boleh menduga apakah yang dia rasakan sekiranya mereka masih bersama.

"Saya minta maaf kerana tak berterus-terang dari mula. Malah, saya pinta Ika dan Rashdan untuk sembunyikan daripada awak dan Su. Mereka berdualah yang telah menjaga saya selama 5 tahun kebelakangan ini. Keluarga saya semuanya sibuk dengan hal mereka, tak ada sesiapapun yang datang menjaga saya. Jadi, atas sokongan mereka berdualah, saya terus hidup sehingga sekarang," jelas Aduka lagi.

"Apabila saya dapat tahu awak sudah berkahwin dan melahirkan anak, sejujurnya hati saya hancur. Akan tetapi, saya tahu saya tak mampu untuk bahagiakan awak. Jadi, saya redha yang kita tiada jodoh. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk awak dan keluarga awak," terang Aduka lagi.

Lily hanya mampu mendiamkan diri selepas mendengar penjelasan panjang lebar Aduka. Dia tak mampu menghadam besarnya pengorbanan Aduka buatnya kerana Lily sedar, tanpa perpisahannya dengan Aduka, dia pasti takkan berkahwin dengan Adrian.

"Saya maafkan awak, Aduka dan terima kasih kerana lepaskan saya dulu," jawab Lily, perlahan.

"Terima kasih, Lily. Terima kasih, Adrian kerana berikan peluang pada aku untuk jernihkan keadaan," ujar Aduka sambil tersenyum nipis.

"Sama-sama, bro. Aku tak mahu ada prasangka di antara kita semua," jawab Adrian sambil tersenyum.

Rashdan dan Zulaikha pula memandang antara satu sama lain lalu tersenyum lega.

"Encik Haziq, apa kata encik pula berterus-terang tentang kenapa encik tolak pengakuan cinta sepupu saya dulu?" tanya Lily sambil merenung Haziq pula, tajam.

Haziq menelan air liur. Kali ini gilirannya pula menghadapi kenyataan.

"Saya sudah berterus-terang dengan awak, bukan?" jawab Haziq.

"Ya ke? Bila ya? Tak ingat pula!" tanya Lily, selamba.

Haziq memandang Lily seperti mahu menelan wanita itu. Sampai hati wanita itu mengenakannya!

*BERSAMBUNG*

Dalam Kesamaran Bahagian 12

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11

"Yes, and you are?" tanya Suraya, membuatkan Haziq dan Tarmizi sama-sama terkejut!

"Awak serius tak kenal bekas majikan awak, Su?" tanya Tarmizi, tidak percaya.

"Dia bekas majikan saya? Betulkah? Takkanlah saya tak ingat bekas majikan saya sendiri? Sekejap, bagi saya ingat balik. Siapa ya nama bekas majikan saya?" fikir Suraya tetapi jelas kedengaran oleh keduanya.

Haziq memandang Suraya, ada benda yang tak kena.

"Awak ingat semua bekas rakan-rakan sekerja awak?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Ingat rasanya. Kali terakhir kita berkumpul waktu team building bukan? Tapi saya tak ingat apa yang terjadi malam itu," jelas Suraya.

"Awak tak ingat apa-apapun?" tanya Haziq lagi.

Suraya hanya mengangguk. Sesekali dia kelihatan seperti sedang berfikir.

"Awak pernah kemalangankah?" tanya Haziq, ingin tahu.

Suraya menggelengkan kepalanya. Mana mungkin dia hendak kemalangan seandainya pergerakannya semua dikawal rapi oleh orang upahan Muhaimin.

Tarmizi memandang Suraya dan Haziq. Dia sepertinya sudah dapat menduga perancangan rapi Suraya.

"Kalau tak pernah kemalangan, boleh hilang ingatankah?" tanya Tarmizi, hairan.

"Boleh, kalau dia sendiri yang pilih untuk sekat memori itu atas sebab trauma melampau," jawab Haziq, tenang.

"Bolehkah begitu? Aku tak pernah tahu pula wujud penyakit begitu," ujar Tarmizi.

"Ada penyakit begitu, namanya Repressed Memory. Otak kita ini sangat kompleks, dia boleh cipta mekanisme pertahanan apabila dia merasakan diri tuannya terancam. Macam dalam kes Suraya ini, aku rasa aku tahu apa traumanya sampai dia boleh lupakan aku," jelas Haziq.

"Maksud kau?" tanya Tarmizi, pura-pura tidak faham.

"Maksudnya, dia sekat semua memorinya tentang aku atas apa yang terjadi malam itu. Faham tak?"

"Kau buat dia pengsan saja, bukan hal besar pun!"

"Ji, kecil pada kita, mungkin besar pada dia. Dalam kes dia ini, tak guna kalau pergi jumpa pakar psikiatri pun sebab dia tak ada kecederaan pada otak seperti Amnesia. Repressed Memory ini boleh pulih sendiri, mungkin dengan bantuan kaunseling, itupun kalau dia nak. Kalau dia tak nak, aku tak boleh paksa," terang Haziq lagi.

"Saya rasa saya tak nak pulihkan ingatan saya. Saya yakin kalau betul apa yang encik cakapkan, maka peristiwa itu terlalu berat untuk saya hadapi. Pasti ada sebab kenapa ingatan ini hilang, jadi saya tak nak paksa diri untuk pulih. Biarlah dia pulih sendiri, bila tiba masanya," jawab Suraya sambil tersenyum nipis.

Haziq mendiamkan dirinya. Dia tahu itu hukuman yang harus dia terima atas kekecewaan yang dia berikan kepada Suraya 5 tahun lepas.

"Baiklah, saya hormati keputusan awak. Cuma, boleh tak saya diberi peluang untuk kenali awak semula?" tanya Haziq.

"Tengoklah," jawab Suraya, selamba.

"Tak apa, saya faham. Nanti marah pula suami awak," jawab Haziq sebelum berlalu pergi.

Tarmizi dan Suraya hanya memandang kepergian Haziq itu.

"Perlukah awak pergi sejauh ini, Su?" tanya Tarmizi, inginkan kepastian.

"Well, I have nothing to lose. Hati saya dah mati 5 tahun lepas," jawab Suraya, selamba.

"Are you sure?"

"Yes, I am sure."

Tarmizi memandang Suraya pula. Ada perasaan risau mula menular dalam dirinya.

     *     *     *     *     *

"Kenapa aku kena datang sekali? Bukankah selalunya kau pergi sendiri uruskan venue majlis?" Haziq merengus geram tatkala tiba di hadapan dewan yang bakal menjadi tempat acara Majlis Makan Malam agensi miliknya dan Tarmizi.

"Selalunya aku pergi dengan Puteri, tapi bukankah Puteri cuti bulan madu? Lagipun, kau sudah 5 tahun tak ada PA, asyik pinjam PA aku saja. Jadi, kali ini aku tak kira, kau kena ikut aku jumpa event planner ini!" bebel Tarmizi sambil menarik lengan Haziq sebelum mereka berdua masuk ke bilik perbincangan yang dijanjikan.

Sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam bilik tersebut, kelihatan Suraya dan seorang lagi wanita sedang berdiri menghadap mereka berdua. Haziq yang sama sekali tidak menyangka kehadiran Suraya di situ terkejut dengan situasi yang dialaminya.

"Apa semua ini, Ji?" tanya Haziq, hairan.

"Assalamualaikum Encik Tarmizi dan Encik Haziq, saya Suraya, event planner untuk Majlis Makan Malam agensi encik berdua nanti dan ini pembantu saya, Pheobe Lim," ujar Suraya sambil meletakkan tangannya di dada tanda tidak boleh bersalaman.

Akan tetapi, disebabkan Pheobe telah menghulurkan tangannya, maka Tarmizi dan Haziq bertindak menyambut tangan Pheobe untuk bersalaman secara bergilir.

"Jemput duduk, encik berdua. Pheobe, please bring us some drinks. Encik-encik semua, nak minum apa?" tanya Suraya.

"Warm water, please," jawab Haziq.

"Coffee," jawab Tarmizi pula.

Pheobe hanya mengangguk sebelum beredar dari bilik tersebut meninggalkan mereka bertiga.

"Sebelum saya mulakan, saya nak tahu apakah tema untuk majlis kali ini?" tanya Suraya, lembut.

"Selalunya cik Suraya, tema majlis ditentukan oleh PA kami berdua. Akan tetapi, seperti yang cik Suraya tahu, PA saya cuti bulan madu," jawab Tarmizi, sambil menjeling ke arah Haziq yang masih lagi tampak keliru.

"Bagaimana pula dengan PA encik Haziq?" tanya Suraya, tenang.

"Sejak PA terakhirnya berhenti 5 tahun lepas, jawatan itu tidak diisi oleh sesiapa," jawab Tarmizi sambil tersenyum nipis.

"PA terakhir 5 tahun lepas? Saya?" tanya Suraya, terkejut dengan jawapan Tarmizi itu.

"Ya, cik Suraya. Sejak cik Suraya berhenti kerja, jawatan itu masih kosong sehingga sekarang. Kerja cik Suraya dibahagikan antara PA saya dan dirinya sendiri," sambung Tarmizi lagi.

Suraya terbungkam. Sangkaannya, Haziq takkan terkesan begini. Mana mungkin seseorang yang sudah hampir 5 tahun mempunyai pembantu peribadi boleh hidup selama 5 tahun lagi tanpanya?

"Baiklah, apa cadangan encik berdua? Saya akan pilih tema yang sesuai, memandangkan itu adalah tugas saya selama 5 tahun," jawab Suraya.

"Saya rasa White and Elegant tampak menarik," jawab encik Tarmizi.

"Bukankah 3 tahun lepas tema majlis adalah Black and Elegant? Takkan tukar warna sahaja?" tanya Suraya.

"Cik Suraya tahu tema sepanjang ketiadaan cik Suraya di dalam agensi?" tanya Tarmizi, terkejut.

"Biar saya buat recap ya. Tahun 2014, temanya adalah Pride & Prestige. Tahun 2015, temanya adalah Desa Tercinta. Tahun 2016, Black & Elegant. Tahun 2017, temanya adalah Arabian Night yang mana dah digunakan semasa tahun 2010. Tahun 2018 pula, Misteri Nusantara. Betul tak?" jelas Suraya.

"Betul, betul. Cik Suraya tahu tema tahun-tahun lepas?" tanya encik Tarmizi lagi.

"Saya cuma tak hadirinya saja, bukannya tak tahu. Kawan-kawan saya masih pekerja agensi encik berdua bukan?"

Mendengar jawapan Suraya, Tarmizi tersengih seperti kerang busuk.

"Tahun ini saya nak guna tema lain sikit," sampuk Haziq, mengejutkan Tarmizi dan Suraya.

"Tema apa itu, encik Haziq?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Emo & Gothic," jawab Haziq, kendur.

"Saya suka kreativiti encik Haziq, tapi majlis ini bukan majlis pengebumian hati encik yang dah mati itu," sindir Suraya, tajam.

"Mana puan Suraya tahu hati saya dah mati?" tanya Haziq sambil merenung wajah Suraya yang sudah sedia merenung wajahnya.

Mata mereka bertaut. Ketegangan antara mereka semakin ketara apabila kedua tidak lari dari pandangan masing-masing.

"Encik Haziq seorang kaunselor, takkan tak tahu hati sendiri?" tanya Suraya, tegas.

"Saya tahu hati saya, tapi saya tak tahu bagaimana awak boleh rasa awak tahu hati saya," jawab Haziq tanpa beralih dari pandangannya.

"Adakah encik Haziq pasti saya tak tahu hati encik?" tanya Suraya, yakin.

Kedua berhenti memandang antara satu sama lain apabila Pheobe mengetuk pintu sebelum masuk ke dalam membawa minuman untuk mereka bertiga. Haziq dapat melihat Pheobe memberikan jus lemon untuk Suraya.

"Puan Suraya masih sukakan jus lemon?" tanya Haziq, sinis.

"Mana mungkin saya ubah sesuatu yang saya sukai dalam masa 5 tahun, encik Haziq."

"Tapi puan Suraya boleh buang seseorang yang puan sukai dalam masa 5 tahun ini," sindir Haziq, tajam.

"Siapa? Encik Haziq? Jadi encik nak kata saya suka encik Haziq?" tanya Suraya lalu tertawa.

"Memang Puan Suraya sukakan saya dulu, semua orang dalam agensi kita tahu," jawab Haziq, selamba.

Hati Suraya bagai ditoreh sembilu tatkala Haziq membuka luka lamanya. Namun begitu, dia terpaksa mengekalkan wajah tanpa ekspresi memandangkan dia tidak sepatutnya mengingati kejadian itu.

"Oh ya ke? Saya tak ada ingatan tentang encik Haziq, jadi bagaimana saya nak tahu apakah benar kata-kata encik Haziq itu?" tanya Suraya pula.

"Sudah menyimpang jauh kau orang ini. Boleh kembali ke alam nyata tak?" sampuk Tarmizi sambil memandang Pheobe yang duduk di sebelah Suraya itu.

"Maafkan saya, semua. Baik, kita sambung. Encik Tarmizi setuju dengan cadangan encik Haziq tadi?" tanya Suraya, tenang.

"Tak, sebab hampir sama dengan Misteri Nusantara," jawab Tarmizi sambil menjeling ke arah Haziq yang masih lagi merenung Suraya.

"Baiklah, kalau begitu saya ada beberapa cadangan tema. Pertama, Bright & Vintage. Kedua, Roses are Red, Violets are Blue. Ketiga, Superhero Fight. Keempat, May the Force Be With You dan yang kelima, Retro Night. Jadi, encik berdua pilih sekarang," hurai Suraya, masih lagi tenang.

"Wow! Ini cukup untuk 5 tahun lagi, cik Suraya. Pertama, unsur warna terang dan elemen vintage. Kedua, warna merah dan biru serta elemen bungaan. Ketiga, superhero. Keempat, Star Wars. Kelima, retro. Saya tak pernah terfikirlah tentang tema-tema begini," ujar Tarmizi sambil menaikkan ibu jarinya tanda bagus.

"Itulah kerja saya sepanjang setahun ini, encik Tarmizi. Sudah biasa dengan tema ini semua," jawab Suraya sambil tersenyum.

"Aku dari tadi nak tanya kau, Ji. Kenapa kau panggil dia cik? Dia sudah berkahwin kot!" sampuk Haziq sambil memandang ke arah Tarmizi.

"Cik Suraya, saya rasa saya pilih Roses are Red, Violets are Blue. Warna yang jarang diketengahkan untuk tema Majlis Makan Malam," jawab Tarmizi, mengabaikan soalan Haziq itu tadi.

"Baiklah, kalau begitu saya akan suruh pereka saya untuk reka layout dulu dan kita sambung berbincang bila Puan Puteri pulang nanti. Saya tak boleh nak berbincang dengan Pengarah Kaunseling encik Tarmizi ini. Pheobe, awak boleh sambung kerja awak. Ini details untuk majlis itu nanti," jelas Suraya.

"Baik, cik Suraya. Saya masuk dulu, saya rasa cik kena selesaikan masalah cik dengan encik Haziq ini. Susah kita nanti," jawab Pheobe sebelum beredar dari bilik itu.

"Tengok, pembantu Su pun malu dengan perangai kau," ujar Tarmizi.

"Aku tanya kau tadi, kenapa kau tak jawab Ji?" tanya Haziq, berang disindir sebegitu.

*BERSAMBUNG*

Dalam Kesamaran Bahagian 2

Link terdahulu:
Bahagian 1

"Elok sangatlah perangai awak itu, Wardah! Ataupun awak pernah buat begitu sepanjang kita bercerai?" sindir Encik Wahab yang membuatkan Puan Wardah terkesima.

"Abang tuduh saya buat maksiat? Kalau ya pun, abang kisah apa? Bukannya saya ini isteri abang pun!" jerit Puan Wardah, geram dengan tuduhan berat itu.

Pernyataan Puan Wardah itu pula membuatkan Encik Wahab terdiam. Ada benarnya kata-kata isterinya itu.

"Sudahlah, saya minta diri dulu. Ayah jaga diri ya?" ujar Suraya lalu mencium tangan Encik Wahab.
Encik Wahab hanya mengangguk lemah. Tidak betah rasanya membiarkan gadis itu keluar dari rumah dengan cara begini, tetapi mengenangkan isterinya sudah seperti orang hilang akal, dia relakan.

Suraya menuju ke arah Puan Wardah untuk bersalaman tetapi tangannya ditepis kasar oleh wanita itu membuatkan dia mengerti bahawa wanita itu tidak mahu bersalaman dengannya.

Tanpa berlengah, Suraya berjalan laju meninggalkan rumah itu menuju ke arah kereta kawan baiknya, Rashdan yang diparkir di hadapan rumah Encik Wahab.

"Kenapa kau kena keluar dari rumah jam 3 pagi woi? Agak-agaklah kau ini!" ujar Rashdan, sebaik sahaja Suraya masuk ke dalam kereta.

"Kau jangan banyak bunyi, aku tempeleng kau nanti! Ini Zalikha tahu tak?" jawab Suraya, kasar.

"Okay, sabar ya. Aku tanya saja. Kau ini pun, agak-agaklah nak tanya! Isteri aku kan ada di hospital, baru lepas bersalin anak sulung aku. Kau pandai kata orang, kau pun sama! Ini, aku nak hantar kau ke mana ini?"

"Bawa aku ke rumah aku," jawab Suraya.

"Kau serius? Rumah kau sudah lama tinggal kot, entah apa ada kat sana pun aku tak tahu. Tak payah, aku hantar kau tumpang rumah mak ayah aku. Nanti aku terangkan pada mereka berdua. Lagipun, isteri aku nanti aku hantar dia balik berpantang kat rumah mak dia. Jadi, kau tak payah nak layan kerenah mak budak itu," jelas Rashdan.

"Alahai, setakat isteri kau, aku tak ada hal nak layanlah! Isteri kau dengan aku kan BFF sekarang. Bukannya kau!" jawab Suraya sambil tersengih.

"Yalah, tuan puteri," jawab Rashdan, pendek. Malas hendak bertegang urat dengan kawan baiknya itu. Bukan apa, dia lebih masak dengan gadis itu.

     *     *     *     *     *

Haziq yang sedang menaip emel yang ingin dihantar kepada prospek yang baru sahaja ditemuinya tadi berhenti menaip apabila terdengar bunyi ketukan pada pintu biliknya.

"Masuk!" jerit Haziq bagi memberikan izin kepada orang yang mengetuk pintu tersebut untuk masuk.

Tak lama selepas itu, muncul seorang lelaki agak berisi di hadapannya sebelum duduk berhadapan dengan Haziq.

"Aku tahu kau rakan kongsi aku, tapi hormatilah privasi aku sikit bro! Apalah salahnya beritahu PA aku dulu kau nak jumpa aku?" sergah Haziq, geram dengan tindakan Tarmizi, lelaki yang di hadapannya itu.

"PA kau tak ada di meja dia. Mungkin ke tandas agaknya. Jadi, takkan aku nak tunggu sampai PA kau balik semula?" tanya Tarmizi.

"Bagus juga. Biar beradab, jangan biadap. Jadi, keluar balik sampai Suraya jemput kau masuk," seloroh Haziq sambil tersenyum sinis.

"Kau ini, kalau sehari tak gurau kasar dengan aku, memang tak sah bukan? Kalau dibuatnya si Suraya itu cirit-birit ke apa, mahu terkemut aku tunggu kat luar sana! Beginikah caranya kau layan Managing Director company yang masih nak berkembang ini?" jawab Tarmizi dengan wajah pinta simpati.

"Aku seriuslah rasa nak lempang saja muka Managing Director seorang ini! Geramnya aku dengan kau ini,"ujar Haziq, geram dengan kerenah Tarmizi itu.

"Macam perempuanlah kau ini, Haziq! Aku nak bergurau pun tak boleh ke?"jawab Tarmizi sambil memeluk tubuh memandang ke arah rakan kongsinya itu.

"Aku tahulah kau bergurau, kita sudah kenal sejak zaman universiti, takkanlah aku tak tahu perangai kau ini? Kita bukannya kenal semalam," ujar Haziq sambil tersenyum.

"Eh, sedar tak sedar sudah 10 tahun ya kita kenal? Aku sudah beranak dua, kau itu masih nak mendudakah?" tanya Tarmizi, ingin tahu.

"Aku duda terlajak laris 2.0, ramai sangat yang nak. Payahlah nak pilih," jawab Haziq.

"Kepala kau duda terlajak laris 2.0! Duda terlajak laris itu bukannya nyata, yang nyata itu kau seorang saja! Kau nak yang bagaimana sampai tak nak bernikah lagi ini?" tanya Tarmizi, hairan.

"Aku nak yang sempurnakan aku sebagaimana aku sempurnakan dia. Tak susah pun," jawab Haziq sambil tersenyum.

"Kalau tak susah, mesti sudah jumpa. Mana orangnya?" tanya Tarmizi lagi.

"Itu, ada di luar sana. Kau tak nampakkah?"

"Luar? Siapa? Suraya?"

Haziq mengangguk.

"Kau biar benar! Aku dengar ada orang nak dekat dia, khabarnya pengurus pembekal alat tulis kita itu. Siapa namanya ya? Alahai, lupa pula! Hah, Muhaimin! Ya, Muhaimin namanya," ujar Tarmizi.

"Kau ini, sejak bila pandai membawang? Muhaimin anak Tan Sri Mazlan itu?"

"Yalah, ada orang kata Tan Sri Mazlan itu kawan kepada pakcik Suraya yang besarkan dia dulu. Tan Sri itu kenal semua anak-anak pakcik Suraya itu, tetapi dia minta Suraya untuk dijadikan menantu," jelas Tarmizi.

"Habis itu, Suraya setuju?"

"Kalau dia setuju sekalipun, kau ingat makciknya setuju? Aku dengar, teruk juga Suraya kena maki dengan makciknya. Kata makciknya, anak-anaknya lebih layak untuk Muhaimin. Bukannya Suraya," terang Tarmizi lagi.

"Ish, apa punya keluargalah! Biarlah Tan Sri Mazlan nak pilih siapapun jadi menantunya. Lagipun, kalau Suraya terima sekalipun, makciknya tak ada hak untuk pertikaikan. Dia bukan ibu kandung Suraya," ujar Haziq, sedikit kendur.

"Alahai bro, takkan mengalah kot!"

"Kau tahu bukan Tan Sri Mazlan itu bagaimana? Hitam dia nak, hitam dia dapat! Anak-anaknya pun tak berani nak membantah kata-katanya," jawab Haziq.

"Jadi, kau nak mengalahlah? Kalau kau nak mengalah, kau buatlah betul-betul! Ini aku tengok, bukan main lagi kau pandang ke luar?" sindir Tarmizi sambil merenung Haziq yang sedang asyik memerhatikan Suraya yang sedang menyiapkan laporan itu.

"Ini sajalah masa aku nak cuci mata, Ji! Nanti kalau dia dah kahwin, takkanlah dia nak sambung bekerja di sini? Tan Sri Mazlan itu ada lima restoran mewah kot, mana sama taraf dengan kita yang baru nak menapak ini?"

"Eleh kau, kau itu setidak-tidaknya anak Datuk Muhsin, pemilik syarikat pemaju perumahan MH Holdings! Aku ini ada apa?" ujar Tarmizi pula.

"Kau itu ada anak dua! Sudah ada anak, sibuk pula nak mengorat anak dara orang. Gatal kau ini memang tak boleh bawa berbincangkah?" tanya Haziq, geram.

"Alahai, aku berguraulah! Tak payahlah nak ambil serius sangat!"

"Mahunya aku tak serius? Aku tak nak nanti isteri kau kejar aku sebab tak jaga suami dia ini. Ish, baru sebut sudah meremang bulu roma aku!"

"Kau ini, potonglah! Menyampah aku layan kau ini, baik aku sambung tengok laporan-laporan aku yang bersepah atas meja aku itu," ujar Tarmizi lalu bangun dan beredar keluar dari bilik Haziq itu.

Tak lama kemudian, kedengaran pintu biliknya diketuk sebelum pintu bilik itu dibuka. Suraya muncul dan berjalan menuju ke arah tempat Tarmizi duduk sedari tadi.

"Encik, bila masa Encik Tarmizi datang sini?" tanya Suraya, hairan.

"Tadi kamu pergi mana?" tanya Haziq, hambar.

"Pergi tandas, encik. Saya hari ini ada masalah penyahtinjaan sikit," jawab Suraya, sedikit kekok.

"Cakap sajalah cirit-birit, masalah penyahtinjaan konon. Kenapa tak pergi klinik? Tak penatkah berulang ke tandas?" tanya Haziq, masih dalam nada hambar.

"Penat, tapi masalahnya saya kena siapkan laporan untuk syarikat WM Industries. Bahagian Sumber Manusia syarikat mereka sudah kejar kita untuk laporan," jawab Suraya, serba salah.

"Sudah siapkah laporan itu?" tanya Haziq sambil menekan tetikus komputernya. Emel yang dikarang sedari tadi baru sahaja selesai dihantar. Selepas itu, barulah dia memandang ke arah Suraya bagi menanti jawapan kepada soalannya itu.

"Belum, ada sikit lagi."

"Awak emelkan saya laporan tak siap awak itu, kemudian serahkan fail syarikat tersebut kepada saya. Saya siapkan dan hantar terus. Hantar pada siapa?

"Tak apa, encik. Saya boleh siapkan," jawab Suraya, masih lagi serba salah.

"Jangan nak mengada boleh? Saya akan hantarkan laporan itu untuk awak, awak pergi klinik. Kalau saya dapat tahu awak masih berada di sini, saya sendiri akan heret awak ke klinik! Sudah, buat apa yang saya suruh," arah Haziq lalu menuding ke arah meja Suraya.

Suraya hanya mengangguk lalu keluar dari biliknya. Haziq hanya menggelengkan kepalanya lalu menyambung kerjanya yang tertangguh akibat daripada kedatangan Tarmizi tadi.

Namun begitu, setelah 10 minit, Suraya masih lagi tidak menyerahkan fail WM Industries yang dipintanya tadi membuatkan dia keluar dari biliknya menuju ke arah meja milik Suraya.

Apabila dia keluar dari bilik, dia melihat Suraya masih lagi tekun menaip sesuatu di komputernya membuatkan dia berasa geram lalu mendekati meja pembantu peribadinya itu.

"Saya kata apa tadi, Suraya Hani?" tanya Haziq sambil memeluk tubuh di hadapan meja Suraya.

"Saya baru sahaja siapkan laporan ini. Tengah hantar ini, sekejap ya," jawab Suraya sambil menekan-nekan tetikusnya.

Haziq mendekati Suraya bagi melihat skrin komputernya. Melihat apa yang dilakukan Suraya, Haziq masuk semula ke dalam biliknya bagi mengambil telefon bimbitnya di atas meja dan menutup lampu biliknya sebelum keluar semula.

Sebaik sahaja dia keluar, dia menuju ke arah skrin komputer Suraya lalu menutup suis skrin tersebut. Tindakan Haziq membuatkan Suraya tercengang.

"Apa ini, encik? Saya nak buat kerja ini," ujar Suraya.

"Saya kata apa tadi? Jangan sampai saya heret awak ke klinik, bukan?" tanya Haziq sambil merenung ke arah Suraya.

"Saya dah baik sedikit, sekejap lagi baiklah itu. Tak payahlah membazir duit untuk ke klinik," jawab Suraya.

"Ambil beg tangan awak sekarang," arah Haziq dengan nada keras.

Suraya tahu tidak guna dia membantah lagi. Hati majikannya sudah bulat, bererti tiada apapun selain Tuhan yang dapat menghalang lelaki ini. Tanpa berlengah, Suraya mencapai telefon bimbit dan beg tangannya lalu digalasnya di bahu kirinya.

Melihat Suraya sudah siap, tanpa sedar Haziq menarik lengan Suraya lalu mengheretnya untuk berjalan di sampingnya. Tindakan Haziq membuatkan semua staf yang melihat mereka berdua terpana melihat adegan majikan mengheret pekerjanya keluar dari pejabat.

Sebaik sahaja mereka berdua tiba di kereta Volkswagen Passad milik Haziq, Haziq terus memastikan Suraya masuk ke dalam kereta terlebih dahulu sebelum gilirannya pula. Suraya hanya mampu memandang tingkah laku Haziq dengan perasaan sebal.

"Kenapa dengan encik ini?" tanya Suraya, tidak puas hati diperlakukan begitu.

"Kenapa apa? Awak sakit, saya suruh pergi klinik tapi awak degil. Jadi, saya sendiri bawa awak pergi klinik. Senang saya tahu sakit apa awak ini. Ataupun, saya suruh doktor repair otak awak yang dah nak berkarat itu!"

"Encik tak nampak ke semua orang di pejabat tadi pandang kita lain macam?" tanya Suraya lagi.

"Perasan," jawab Haziq, pendek.

"Habis itu, kenapa buat begini? Nanti orang kata saya goda encik pula!" tanya Suraya, geram dengan jawapan pendek Haziq itu.

"Apa masalahnya? Saya single, awak single. Tak salah, bukan?" duga Haziq.

*BERSAMBUNG*

Thursday, September 19, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 16

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

"Haziq, bos Su dulu? Suraya pengsan di mana?" tanya Lily, cemas.

"Ya, saya. Dia pengsan di rumah papa saya, dia masih belum sedarkan dirinya. Jadi, saya ingat saya ada perkara yang saya nak bertanyakan kepada awak memandangkan saya berpeluang berbicara dengan awak sekarang," jawab Haziq.

"Apa dia?" tanya Lily, hairan.

"Sejak bila Su hilang ingatan tentang saya?" tanya Haziq.

Sekali lagi Lily terkejut dengan pertanyaan itu kerana setahunya, Suraya tidak pernah hilang ingatan tentang Haziq. Bahkan, dia sentiasa ingat kejadian di mana dia ditolak mentah-mentah oleh Haziq di hadapan seluruh rakan sekerja mereka 5 tahun lalu dan masih trauma akannya.

"Saya pun tak pasti, encik Haziq. Suraya tak pernah lagi berbicara tentang encik Haziq sejak dia menikahi Muhaimin. Katanya, dia tak nak Muhaimin dengar tentang ini. Bimbang dia disalah ertikan," bohong Lily.

Kedengaran Haziq mengeluh di hujung talian membuatkan Lily bertambah bimbang. Bimbang kalau-kalau Haziq mengetahui pembohongannya. Almaklumlah, lelaki itu merupakan seorang kaunselor.

"Pasti Suraya tahu akan perangai Muhaimin. Cuma, saya hairan bagaimana Suraya boleh kenakan syarat pernikahan mereka dengan menyuruhkan Tan Sri Mazlan supaya tidak mengganggu perhubungan antara Muhaimin dan Camellia?" tanya Haziq lagi.

Lily terpana. Nampaknya Haziq sudah tahu tentang penceraian Suraya dan sebabnya sekali. Adakah Haziq tahu tentang kes tangkap khalwat itu?

"Saya rasa, supaya dia boleh meminta cerai dengan mudah, sekiranya perlu," jawab Lily sebelum mengeluh.

"Maksud awak?" tanya Haziq, kurang mengerti.

"Beginilah, saya ceritakan dari mula. Selepas awak suruh Su memilih Muhaimin, Suraya telah bertemu dengan papa encik Haziq semasa dia sepatutnya bertemu dengan Tan Sri Mazlan. Datuk Muhsin telah menawarkan bantuan kepada Su untuk menyiasat Muhaimin dan dalam masa yang sama, meminta Su untuk menjadi anak angkat Datuk dan Datin. Kata Datuk, sekiranya Su bercerai dengan Muhaimin kelak, dia minta Su untuk tinggal bersama mereka supaya keluarga saya tidak berantakan sekali lagi."

"Maksud awak, papa saya dah bertemu dengan Suraya sebelum Suraya menikahi Muhaimin?" tanya Haziq, terkejut.

"Ya, betul. Su setuju dengan kedua-dua tawaran Datuk dan beberapa hari selepas itu, dia mengetahui perihal hubungan Muhaimin dan Camellia. Atas sebab itulah, Su memberikan syarat itu kepada Tan Sri kerana dia gagal untuk pujuk encik Haziq mengahwini anak bongsu Tan Sri," sambung Lily lagi.

"Apa? Tan Sri Mazlan suruh Suraya pujuk saya 5 tahun lepas? Tapi, Suraya tak pernah bertemu dengan saya selepas dia berhenti kerja," ujar Haziq, keliru.

"Datuk tak bagi. Katanya, keputusan encik Haziq tak mungkin berubah."

"Pasti lebih pahit buat Suraya untuk pujuk lelaki yang dicintainya supaya berkahwin dengan perempuan lain. Saya tahu sangat perasaan itu."

"Sebab encik buat dulu, bukan?"

"Betul, saya sudah buat dulu. Sejak saya mengetahui tentang niat Tan Sri Mazlan untuk bermenantukan Suraya, saya ambil keputusan untuk berputus asa. Peritnya dibelasah dan dimalukan Muhaimin dulu masih saya ingati, masakan saya nak hadapinya semula?"

"You are selfish, encik Haziq," ujar Lily, ringkas tapi menusuk kalbu bagi yang mendengar.

"Kenapa?"

"Semua orang di sekeliling Su fikir tentang diri mereka sendiri. Adakah sesiapa yang betul-betul memikirkan perasaan Su? Demi kebahagiaan keluarga saya, demi melindungi encik Haziq, demi menyelamatkan Camellia, dan demi memuaskan keluarga Tan Sri Mazlan, Su menikahi Muhaimin, lelaki yang sama sekali tidak pernah ada di dalam hatinya. Lelaki yang menyintai dan dicintai sepupunya sendiri. Empat tahun menjadi isteri Muhaimin, tidak ada sesaatpun Su menjadi seorang manusia biasa. Ada sesiapapun peduli? Mujurlah papa dan mama encik Haziq sentiasa ada untuk Su. Saya rasa kalau mereka berdua tiada, pastinya Su sudah lama gila!"

Kedengaran Haziq beristighfar setelah mendengar jawapan Lily itu. Lily mengharapkan dengan kebenaran yang pahit ini, Haziq akan menebus semua kesalahannya kepada Suraya.

"Jadi, atas sebab Muhaimin dengan Camellia nyaris ditangkap khalwat, barulah Suraya minta cerai?" tanya Haziq lagi.

"Ya," jawab Lily, pendek.

Haziq mengeluh.

"Teruk sangatkah layanan Muhaimin pada Su?" tanya Haziq lagi, perlahan.

"Muhaimin tak pernah sekalipun sentuh Su selama empat tahun mereka bernikah. Sekali pun tidak! Akan tetapi, meskipun Muhaimin membenarkan Su untuk sambung pengajiannya, Su dihadiahkan pengawal peribadi yang memerhatikannya 24jam sehari. Malah, akaun bank, telefon bimbitnya akan sentiasa dikawal selia oleh Muhaimin. Secara teknikalnya, Su hidup seperti seorang tawanan selama empat tahun, tetapi masih menyelamatkan maruah suaminya di saat-saat akhir perkahwinannya! Apakah sepupu saya itu tak layak hidup seperti seorang manusia?" luah Lily lalu menangis.

Tiada jawapan daripada Haziq dapat kedengaran.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

"Encik Haziq ini tak ada hati perutkah? Dia sayangkan encik Haziq dulu, tapi encik Haziq suruh dia kahwini orang lain. Kali ini, siapa pula yang encik Haziq nak suruh dia kahwini?"

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

"Setidaknya, tidaklah seteruk apa yang Su rasa," jawab Lily, selamba.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

"Tawanlah hatinya semula. Dia terlupa, ingatkan dia. Jangan pernah sakiti hatinya lagi," jawab Lily.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Kalau encik tak pernah cuba, macam mana encik nak tahu? Dulu, ada jalan mudah, encik tak nak gunakan. Sekarang, kalau encik masih sayangkan dia, silalah hadapi jalan sukar itu," ujar Lily, cuba menduga Haziq.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata Lily tadi.

"Semua orang di sekeliling encik dan Suraya tahu tentang ini. Cuma, saya tak pasti sama ada Suraya tahu ataupun tidak mengenai perasaan encik ini. Itu encik kena cari sendiri," jawab Lily.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

"Waalaikumussalam," jawab Lily sebelum memutuskan talian.

Lily tahu dia tidak sepatutnya menyampaikan kepada Haziq mengenai hal ini, tetapi dia sudah tidak sanggup lagi melihat Suraya berendam air mata tatkala teringat semua peristiwa lampaunya. Tambahan pula, dia kini menetap di rumah keluarga lelaki yang dicintainya selama ini.

     *     *     *     *     *

Suraya terjaga dan mendapati dirinya berada di atas katil. Dia melihat sekelilingnya, ternyata dia berada di dalam bilik tidurnya.

Suraya melihat dirinya, masih berpakaian. Kepalanya pening, tidak pasti mengapa. Setahunya, dia tidaklah mempunyai repressed memories seperti yang diberitahu kepada Haziq. Mengapakah dia berasa pening dan loya? Sudah alang-alang begini, lebih baik dia buat Haziq anggap ingatannya sudahpun pulih.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

Suara Haziq membuatkan dia bangun dan berlujur di atas katil. Dia ternampak Haziq sedang berdiri menghadap tingkap biliknya sambil bercakap di dalam telefon. Lama dia merenung telefon itu sebelum menyedari itu merupakan telefon bimbitnya!

Namun begitu, dia memilih untuk mendiamkan diri. Dia tak tahu apakah yang dibualkan oleh Haziq itu, jadi lebih selamat untuk dia mendengarnya terlebih dahulu.

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

Kata-kata Haziq itu mengejutkan Suraya. Benar, dia tahu lelaki itu juga menderita. Akan tetapi, penderitaan itu adalah hasil dari keputusannya sendiri. Jika lelaki itu berterus-terang, pasti segalanya yang berlaku kepada dirinya dan lelaki itu tidak berlaku.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

Suraya masih memandang Haziq yang masih tidak menyedari bahawasanya dia sudah terjaga. Perasaan hairan mula menular dalam sanubarinya.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Ada, ruang dalam hati saya masih lagi milik awak, Haziq. Tak pernah berubah," getus hati kecil Suraya.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq untuk kesekalian kalinya.

Suraya terbungkam. Sangkaannya, hanya dia sahaja mengetahui akan perasaan Haziq, itupun setelah diberitahu oleh ibu bapa Haziq sendiri. Rupanya ada lagi yang mengetahui.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

Tak lama selepas itu, Haziq menurunkan telefon bimbit Suraya yang dipegangnya itu lalu berpaling ke arah katil Suraya dan dia kelihatan sangat terkejut apabila mendapati Suraya sedang merenungnya dalam keadaan berlujur.

"Lily call awak tadi," ujar Haziq sambil menuju ke arah katil Suraya sebelum menyerahkan semula telefon bimbit Suraya itu.

"Terima kasih," jawab Suraya, pendek.

"Doktor beritahu tadi, tekanan darah awak rendah. Esok saya akan ambilkan ubat awak, awak kena makan ubat ikut arahan doktor," jelas Haziq, tanpa dipinta.

"Tak apalah, saya ambil sendiri esok."

"Jangan degil boleh? Saya akan ambilkan, doktor bagi awak cuti sakit esok. Saya akan ambilkan surat cuti awak dengan ubat sekali esok. Awak duduk di rumah sahaja," tegas Haziq.

"Awak kerja esok, bukan? Tak payahlah susah-susah," ujar Suraya, hambar.

"Saya cuti esok, lagipun selama 5 tahun saya tak ambil cuti. Jadi, biarkan saya ambil ubat dan surat cuti awak. Awak duduk rumah diam-diam," jawab Haziq, tegas.

Suraya terkesima mendengar kata-kata Haziq itu, tetapi disembunyikan untuk menduga Haziq.

"Saya pergi dengan awak boleh? Yang sakitnya, saya bukannya awak," cadang Suraya.

Lama Haziq berfikir membuatkan dia mulai resah. Entah apalah yang bermain di dalam fikiran lelaki itu.

"Jawab soalan saya dulu, dan saya akan bawa awak ke klinik esok," ujar Haziq sambil merenung Suraya.

"Apa soalannya?" tanya Suraya.

"Kenapa awak setuju hendak bernikah dengan Muhaimin dulu? Jujurlah," tanya Haziq, lembut.

"Atas sebab awak," jawab Suraya, sangat perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Haziq membuatkan Haziq terkejut dengan jawapan yang diberikan.

*BERSAMBUNG*

Wednesday, September 18, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 15

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14

Haziq terbungkam. Dia seakan tidak boleh menghadam kata-kata Rashdan itu.

"Bercerai? Sejak tahun lepas?" tanya Haziq lagi, untuk pastikan yang dia tidak bermimpi.


Rashdan dan Aduka mengangguk, serentak. Melihat reaksi mereka berdua, Haziq berasa lututnya longgar lalu hampir terjatuh seandainya tidak disambut oleh Rashdan yang sudah sedia berdiri tatkala melihat reaksi Haziq itu.


"Kau okay ke tak ini?" tanya Rashdan selepas memastikan Haziq duduk di tempatnya tadi.


"Kenapa mereka bercerai?" tanya Haziq, cemas.


"Bab itu aku rasa lebih baik kau tanya Su sendiri. Dia lebih berhak untuk menceritakan, lagipun aku sendiripun tak tahu sebab sebenarnya dia memilih untuk bercerai," jawab Rashdan.


"Aku tak rasa Su akan beritahu aku," ujar Haziq.


"Kenapa pula?" sampuk Aduka.


"Sebab Su tak ingat aku pernah wujud dalam hidupnya!" jawab Haziq.


"Apa dia?" tanya Rashdan dan Aduka, hampir serentak.


      *      *     *     *     *


Datuk Muhsin sedang menonton televisyen apabila kedengaran bunyi pintu dibuka dan ditutup. Setahunya, semua penghuni rumah agam itu ada di rumah. Siapa pula yang balik? Hazlinakah?


Akan tetapi, Datuk Muhsin terkejut tatkala dia melihat kelibat Haziq memasuki ruang tamu rumahnya lalu mendekatinya. Sejak 5 tahun lalu, dia hanya akan pulang ke rumah tatkala runsing ataupun ingin melarikan diri daripada sesuatu. Jadi, Datuk Muhsin sama sekali tidak menjangkakan kepulangan anak keduanya ini.


"Apa khabar, papa?" tanya Haziq, lemah sambil mencium tangan Datuk Muhsin.


"Sihat Alhamdulillah. Apa mimpi kamu pulang ke rumah papa hari ini? Ada masalah apa kali ini?" tanya Datuk Muhsin, separuh memperli separuh bimbang.


"Masalah jiwa," jawab Haziq, pendek setelah dia berbaring di atas sofa panjang.


"Kalau nak baring, pergi baring di dalam bilik kamu. Jangan berbaring di sini. Tak manis," ujar Datuk Muhsin tatkala melihat tingkah laku anaknya.


"Siapa pula yang nak tengok Haziq berbaring di sini?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata ayahnya.


"Abang, jom makan. Lauk sudah siap semuanya. Astaghfirullah hallazim budak bertuah ini! Apa baring di sini?" ujar Datin Nurina yang tiba-tiba muncul untuk memanggil suaminya makan tetapi terlihat anak bujangnya pula.


"Apa benda semua orang ini?" tanya Haziq sambil bangun dan duduk bersandar di atas sofa itu.


"Sudah makan?" tanya Datin Nurina.


"Tak ada seleralah, mama dengan papa makanlah dulu. Haziq nak masuk biliklah memandangkan semua orang marah sangat Haziq berbaring di sini," jawab Haziq lalu bangun menuju ke tingkat atas.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina berpandangan sesama sendiri. Apakah Haziq tidak menyedari kereta di luar itu ada lebih satu?


"Mama, papa, jomlah makan. Su lapar ini!" ujar Suraya yang datang dari dapur.


Suara itu telah menghentikan langkah Haziq. Dia pasti dirinya mendengar suara yang tidak asing tetapi tidak kena pada tempatnya. Dengan perlahan, Haziq mengatur langkah kembali ke tingkat bawah.


Setibanya dia di ruang tamu, semua orang yang ada di situ tadi telahpun hilang. Jadi, dia bergerak menuju ke arah ruang makan.


Di situ, dia dapat melihat makcik Jun sedang menyiapkan makanan kepada Datuk Muhsin, Datin Nurina dan seorang lagi wanita. Setahunya, adik-beradik lainnya semuanya duduk sendiri. Jadi, siapa pula wanita ini yang memanggil ayahnya papa dan ibunya mama?


Makcik Jun yang melihat kelibat Haziq tiba segera beredar ke dapur. Melihat tindak-tanduk makcik Jun, Datuk Muhsin memandang sekeliling dan terlihat Haziq mendekati tempat Suraya duduk.


"Eh, kata tak ada selera tadi? Tiba-tiba laparkah?" tanya Datuk Muhsin sambil menjeling ke arah Suraya yang sudahpun mulai cemas.


"Dia ini siapa?" tanya Haziq lalu menuding ke arah Suraya yang masih lagi misteri baginya.


"Ini anak angkat papa dan mama, Suraya."


"Suraya Hani?" tanya Haziq, inginkan kepastian.


"Ya, Suraya Hani. Bekas PA kamu," jawab Datin Nurina.


Dalam masa yang sama, Suraya memalingkan wajahnya ke arah Haziq membuatkan Haziq terkedu. Sudahlah dia baru sahaja menerima berita penceraian wanita ini petang tadi, malam ini wanita itu ada di hadapannya, di rumah agam keluarganya!


"Apa semua ini, papa, mama?" tanya Haziq selepas duduk di sebelah Suraya. Sengaja dia memilih tempat tersebut untuk menguji Suraya.


"Apa semua ini apa?" tanya Datuk Muhsin, pura-pura tidak memahami maksud Haziq itu.


"Bagaimana Suraya boleh berada di sini?" tanya Haziq, tidak faham.


"Papa sudah beritahu bukan? Dia anak angkat papa dan mama," jawab Datuk Muhsin, selamba.


"Sejak bila Suraya tinggal di sini? Kenapa Haziq tak tahu?" tanya Haziq lagi.


"Macam mana kamu nak tahu kalau balik pun setahun sekali? Suraya tinggal di sini sejak tahun lepas," jawab Datin Nurina pula.


"Sejak Suraya bercerai dengan Muhaimin, begitu?" tanya Haziq sambil menjeling ke arah Suraya.


Mendengar soalan Haziq, Suraya kaget. Setahunya lelaki itu tidak mengetahui status perkahwinannya kini.


"Yalah, kenapa?" tanya Datin Nurina, pura-pura tidak menyedari bahawasanya anaknya sudahpun mengetahui status perkahwinan Suraya yang disembunyikan itu.


"Suraya, kenapa awak bercerai dengan Muhaimin?" tanya Haziq sambil memandang ke arah Suraya pula.


"Kenapa nak tahu?" tanya Suraya, tenang.


"Jadi, saya bolehlah tahu kenapa awak tak ingat apa-apapun tentang saya!" ujar Haziq.


"Betulkah Su tak ingat apa-apa tentang Haziq?" tanya Datin Nurina, hairan.


Suraya hanya menggelengkan kepalanya. Datuk Muhsin memandang Datin Nurina sambil menggelengkan kepala tanda memohon supaya jangan ditanya apa-apa lagi.


"Jawablah, Suraya!" jerkah Haziq.


"Tak serasi," jawab Suraya, selamba.


"Sudah empat tahun berkahwin, baru nak kata tak serasi?" tanya Haziq sambil membuka aplikasi Instagram di telefon bimbitnya. Matanya meliar mencari sesuatu sebelum diserahkan telefon bimbitnya kepada Suraya.


"Now, explain!" tegas Haziq sambil memandang Suraya yang sedang menatap foto persandingan Muhaimin dan Camellia yang tertera di skrin telefon bimbit Haziq itu.


Suraya hanya mampu mengeluh. Sangkaannya, sekiranya dia berpura-pura tidak mengingati lelaki itu, perasaan bersalah dan ingin tahu lelaki itu akan pudar tetapi dia silap.


"Pengantin perempuan ini sepupu saya. Adik kepada Lily. Dia adalah teman wanita Muhaimin sedari mula, tetapi Tan Sri Mazlan inginkan saya untuk jadi menantunya. Jadi, saya tetapkan syarat, saya akan mengahwini Muhaimin dan Muhaimin akan terus bercinta dengan Camellia untuk selama mana yang dia mahu," jelas Suraya selepas menyerahkan semula telefon bimbit Haziq itu kepada tuannya.


"Kenapa awak buat syarat begitu?" tanya Haziq lagi.


"Saya tak tahu, saya tak ingat kenapa," bohong Suraya. Dia tahu sebabnya, tapi jika dia berterus terang, Haziq pasti akan mengetahui bahawa dia tiada kehilangan memori tentang Haziq.


"Baiklah, jadi bagaimana boleh bercerai?" tanya Haziq, mengalahkan polis pencen.


"Sebab Muhaimin dan Camellia nyaris ditangkap khalwat di rumah yang kami duduki," jawab Suraya, perlahan.


Haziq tergamam apabila mendengar jawapan Suraya itu. Dia sudah dapat menduga mengapa wanita itu sanggup menghilangkan memori tentangnya. Bagi wanita itu, dia adalah punca hidupnya seperti ini. Dia adalah punca segalanya.


"Saya minta maaf," ujar Haziq.


"Untuk apa?" tanya Suraya, hairan.


"Sebab paksa awak memilih Muhaimin dulu. Saya sudah rosakkan hidup awak selama empat tahun ini," jawab Haziq yang sedang menahan sebak.


Jawapan Haziq mengejutkan Suraya, Datuk Muhsin dan Datin Nurina. Mereka bertiga tahu bukan mudah Haziq ingin mengakui kesalahannya itu.


"Atas sebab apa saya nak ikut cakap awak, Haziq? Awak siapa pada saya? Saya pilih Muhaimin sebab ayah, bukan sebab awak!" ujar Suraya sebelum dadanya terasa sesak dan kepalanya mulai sakit.


Suraya hanya mampu memegang dadanya lalu berdiri ingin menuju ke arah dapur. Akan tetapi, baru sahaja dua langkah, dia sudahpun rebah.


Melihat Suraya yang pengsan itu, Haziq bertindak mencempungnya lalu dibawanya ke ruang tamu sebelum makcik Jun meminta Haziq membawa wanita itu ke dalam bilik tidur milik wanita itu.


Setibanya dia di dalam bilik tidur Suraya yang terletak bersebelahan dengan biliknya, dia meletakkan wanita itu di atas katil. Makcik Jun menghidupkan penghawa dingin bilik tersebut apabila Datuk Muhsin dan Datin Nurina muncul di dalam bilik itu.


"Papa sudah call Dr. Omar, dalam 15 minit lagi dia sampai. Nasib baiklah dia ada di rumah, kalau tidak jenuh nak tunggu dia," ujar Datuk Muhsin.


Haziq hanya mengangguk sambil memandang wajah Suraya yang tampak pucat itu. Dia sudah boleh menduga apakah yang sedang berlaku kepada wanita ini, dan dia mengharapkan ingatan wanita itu akan pulih seperti sediakala.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu anak mereka masih menyayangi wanita yang terbaring di atas katil itu, meskipun cuba untuk dia menafikannya.


     *     *     *     *     *


Lily yang mula berasa tidak sedap hati itu mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi ibunya. Lama dia tunggu sebelum Puan Wardah menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum ibu, buat apa itu?" tanya Lily, cuba menyembunyikan getar di dalam suaranya.

"Waalaikumussalam Lily, ibu baru sahaja lepas makan. Lia dengan Muhaimin balik hari ini, mereka belikan sate kajang Haji Samuri tadi. Alhamdulillah kenyang," jawab Puan Wardah, ceria.

Lily hanya mampu menarik nafas lega apabila mendengar jawapan ibunya. Pasti sesuatu berlaku kepada Suraya, fikirnya.

"Oh ya ke? Ibu sihat?" tanya Lily lagi.

"Sihat Alhamdulillah, ayah kamu pun sihat juga. Ibu tengok wajah Lia sekarang makin berseri-seri, pasti ada isi," ujar Puan Wardah.

Lily terkedu mendengar kata-kata Puan Wardah. Ingatannya tentang video panas Muhaimin dan Camellia tiba-tiba menerjah. Mujurlah sepupunya itu bijak mengendalikan situasi itu, kalau orang lain, pasti keluarganya akan menanggung malu yang teramat.

"Jangan yakin sangat ibu, takut kalau tak ada nanti, ibu yang kecewa," jawab Lily, lembut.

"Ada punya, jangan risaulah. Ibu pasti."

"Yalah, ibu. Jangan cakap Lily tak beritahu. Ibu, Adrian panggil. Lily letak dulu ya," bohong Lily sebelum mematikan talian.

Tanpa berlengah, Lily menelefon telefon bimbit Suraya pula. Lama juga dia tunggu sebelum dia mendengar suara asing menjawab telefon tersebut.

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com