Thursday, February 6, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 22

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21

Lily memutuskan talian dan cuba untuk berdiri. Namun, lututnya terasa longgar dan pandangannya mulai kelam.

Sedar-sedar sahaja, dia sudahpun berada di atas katilnya. Dia dapat melihat ibunya duduk di birai katil manakala Suraya berdiri di belakang ibunya sambil mendukung Cempaka.

"Ibu, abang mana? Abang selamat, bukan? Dia tak apa-apa, kan?" tanya Lily, bertubi-tubi.

Mendengar pertanyaan Lily, Puan Wardah mula menangis teresak-esak. Suraya pula memalingkan wajahnya ke arah lain kerana tak mampu menatap wajah sepupunya itu.

"Ibu, jawablah! Abang okay kan? Dia akan balik kan? Su? Adrian okay kan?" tanya Lily dengan lebih lantang apabila ibunya dan Suraya tidak menjawab soalannya tadi.

Sekali lagi, Puan Wardah dan Suraya hanya mendiamkan diri. Tidak sanggup rasanya nak menidakkan soalan-soalan Lily itu. Cempaka pula tiba-tiba menangis.

Namun begitu, akibat kelantangan suara Lily, Encik Wahab masuk ke dalam bilik Lily. Dia mendekati Lily dan memegang bahu Puan Wardah sebagai isyarat minta isterinya itu bangun.

Puan Wardah bangun lalu membawa Suraya dan Cempaka keluar dari bilik Lily. Dia tahu dia takkan mampu melihat respon anaknya nanti.

Setelah pemergian Puan Wardah dan Suraya, Encik Wahab duduk di tempat yang diduduki Puan Wardah itu tadi. Dia memegang bahu Lily lalu menggosok-gosok bahu anak sulungnya itu.

"Lily, ayah tahu susah tapi anak ayah ini kena kuat. Kena belajar terima hakikat, kalau bukan untuk diri sendiri, setidaknya buatlah demi Cempaka. Dia perlukan kakak sepenuhnya selepas ini," pujuk Encik Wahab.

"Kenapa abang tinggalkan kakak sendirian, ayah? Kenapa abang pergi dulu?" tanya Lily lalu menangis semahu-mahunya.

"Tak ada yang dapat melawan takdir, sayang. Sudah tiba masa untuk Allah jemput Adrian dulu, siapa kita nak halang? Setidak-tidaknya, dia pergi dalam keadaan yang baik. Dia pergi ketika melakukan tugasnya untuk negara. Kakak kena bangga ada suami yang menjaga keselamatan negara sampai ke akhir hayatnya."

"Apa gunanya kalau dia tinggalkan anak dan isterinya lebih awal?" tanya Lily, masih lagi menangis.

"Kalau nak suami yang begitu, kenapa tak minta nak nikahi Muhaimin dulu?" duga Encik Wahab.

"Apa ini ayah? Takkanlah kakak nak nikahi teman lelaki Lia? Su dulupun tak nak nikahi dia, kenapa ayah tanya begini?" tanya Lily, terus berhenti menangis apabila ditanyakan soalan begitu.

"Bukankah kerjayanya tak memungkinkan dia mati awal? Tengok Su, dia menikahi Haziq, seorang kaunselor dan anak usahawan. Jadi, risikonya rendah," duga Encik Wahab lagi.

"Haziq pun pernah nyaris hilang nyawa, ayah."

"Nampak tak? Haziq yang kerja dalam pejabat pun nyaris hilang nyawa. Su nyaris tak bernikah lagi. Akan tetapi, Lily yang kehilangan suami lebih awal telah dikurniakan anak perempuan yang cukup sifat, cukup indah. Hadiah terbesar yang Adrian telah berikan pada Lily yang Su tak pernah rasa walaupun dia pernah menjadi isteri orang dulu," jelas Encik Wahab.

"Memanglah Su tak pernah ada anak, sebab Muhaimin tak pernah sentuh dia," jawab Lily.

"Ayah tahu, dan ayah juga tahu adik kamu itu pernah lakukan hubungan zina dengan bekas suami anak saudara ayah sendiri. Akan tetapi, hidupnya baru nak kecapi rahsia bahagia. Lily pula, tak perlu jalani kehidupan seperit Su, tapi dikurniakan zuriat penyambung keturunan lebih awal daripadanya. Hanya satu saja yang Allah tarik, suami Lily. Ayah pasti, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik," sambung Encik Wahab lagi.

Mendengar syarahan ayahnya, dia hilang punca.

"Lily perlukan masa, ayah. Berikan Lily masa," jawab Lily.

"Ayah tahu, secara logiknya mana ada manusia biasa yang boleh terima semua ini. Ayah cuma nak kakak belajar terima kenyataan. Itu saja," jelas Encik Wahab lalu menarik Lily ke dalam pelukannya.

Lily hanya mengangguk sebelum menangis sekuat hatinya. Encik Wahab hanya menggosok belakang Lily untuk menenangkan anak sulungnya itu.

     *     *     *     *     *

Tan Sri Mazlan baru sahaja masuk ke dalam pejabatnya apabila pintu pejabatnya diketuk. Tak lama selepas itu, kedengaran pintu dibuka dan seorang lelaki berkemeja hitam dan berseluar hitam masuk dan berjalan menuju ke arah Tan Sri Mazlan yang sedang berdiri berhampiran dengan sofa di hadapan mejanya.

"Bagaimana dengan kerja yang aku berikan, Amri? Sudah selesaikah?" tanya Tan Sri Mazlan sambil memerhatikan lelaki itu, Amri yang baru sahaja tiba di hadapannya.

"Sudah, patutlah susah sangat nak cari Suraya. Sebelum ini, dia bekerja sebagai perancang majlis dan tidak menetap di rumah sendiri," jawab Amri, pengawal peribadi Tan Sri Mazlan.

"Habis itu, dia menetap di mana?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Rumah Datuk Muhsin. Khabarnya, dia ada masalah dengan ibu mentua Muhaimin," jawab Amri.

"Perihal punca mereka bercerai? Sudah siasatkah? Sudah setahun, masih tak dapat sahihkan?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Masalahnya, memang rumah Muhaimin pernah didatangi Pegawai Pencegah Maksiat sehari sebelum Suraya meminta untuk bercerai dengan Muhaimin tetapi hasil siasatan menunjukkan bahawa Suraya juga ada di rumah ketika itu. Jadi, tiada tindakan lanjut memandangkan Muhaimin tidak berkhalwat dengan Camellia," jawab Amri.

"Tapi Camellia memang ada di dalam rumah?"

"Ya, Tan Sri."

"CCTV rumah Muhaimin?"

"Itulah yang melambatkan saya. Muhaimin telah menukar CCTV rumahnya seminggu selepas kejadian dan semua video dari CCTV lamanya telah dipadam serta-merta. Hanya Muhaimin atau Suraya sahaja yang berkemungkinan ada salinan video itu. Jadi, saya terpaksa gunakan cara lain dan ianya mengambil masa," jelas Amri.

"Kenapa?"

"Muhaimin tidak pernah mengakses video tersebut langsung sejak kejadian. Suraya pula telah bertundak menjual komputer peribadinya selepas mereka sah bercerai. Nasib baik minggu lepas ada orang yang mengakses video lain ketika kejadian melalui komputer peribadi Muhaimin. Itulah baru saya dapat salinan video ketika itu," sambung Amri.

"Video apa?"

"Saya sudah hantarkan salinan video tersebut pada email Tan Sri. Lebih baik Tan Sri tengok sendiri," jawab Amri sambil menunduk malu.

Tanpa berlengah, Tan Sri Mazlan mengeluarkan telefon bimbit lalu membuka email yang diterima daripada Amri. Terkedu dia melihat video yang dirakam oleh Suraya secara sembunyi setahun yang lalu.

"Kau rasa Suraya ada salinan video ini?" tanya Tan Sri Mazlan.

"Berkemungkinan ada. Kalau saya jadi dia, saya takkan buang video begitu. Itu saja senjata yang saya ada," ujar Amri.

"Sekarang ini Suraya masih bekerja sebagai perancang majliskah?"

"Tak, Tan Sri. Sekarang dia bekerja sebagai PA Encik Haziq, anak Datuk Muhsin semula. Cuma, saya hairan," jawab Amri.

"Apa dia?"

"Dulu, ketika Suraya masih bekerja di syarikat milik Encik Haziq, Encik Haziq duduk di rumahnya sendiri. Akan tetapi, sejak dua bulan lepas, dia telah menyewakan rumahnya dan tinggal semula di rumah Datuk Muhsin," jelas Amri.

"Jadi, dia tinggal serumah dengan Suraya?"

Amri hanya mengangguk.

"Mereka pergi ke pejabat bersama atau berasingan?"

"Bersama kerana saya tak nampak lagi kereta Suraya di rumah Datuk Muhsin sejak sebulan lepas. Kalau Encik Haziq tak ke pejabat atau kerja luar, Suraya akan dihantar oleh pemandu Datuk Muhsin ke pejabat," ujar Amri.

"Pelik juga. Awak ada siasat tak kenapa?"

"Ada, Tan Sri tapi tak ada jawapan yang pasti. Jadi, pendapat saya adalah Encik Haziq dan Suraya telah menikah sebulan lepas. Itu saja yang saya syak."

"Tak ada rekod di Jabatan Agama?"

"Jabatan Agama Wilayah Persekutuan tiada. Saya masih menyemak Jabatan Agama negeri lain, tapi setakat ini tiada rekod pernikahan mereka di Selangor, Kedah, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak."

"Negeri mana yang belum dapat respon?"

"Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang."

"Cari Melaka atau Negeri Sembilan dulu. Kalau tak silap aku, Suraya orang Melaka. Alor Gajah."

"Baik, Tan Sri. Saya semak dulu. Apa-apa, saya akan maklumkan pada Tan Sri."

"Saya nak segera dan saya ada kerja baru untuk awak," jawab Tan Sri Mazlan, sambil tersenyum puas.

Amri hanya memandang Tan Sri Mazlan, menantikan arahan seterusnya. Dia sudah boleh menduga, namun tanpa arahan dari Tan Sri Mazlan, tiada tindakan akan dibuat.

      *      *      *      *       *

Zulaikha sedang menonton televisyen apabila Rashdan membuka pintu rumah mereka. Dia melihat jam, baru saja masuk pukul 11 pagi. Bagaimana pula suaminya ini boleh pulang awal ke rumah?

"Abang dah balik? Abang tak sihatkah?" tanya Zulaikha sebaik sahaja Rashdan duduk bersebelahannya.

Zulaikha menghulurkan tangannya untuk menyalami Rashdan. Rashdan menyambut tangan Zulaikha dan Zulaikha mencium tangan suaminya itu.

"Abang letih, jadi abang balik awal. Rasa tak sedap badan," jawab Rashdan, separuh berbohong, separuh lagi bercakap benar. Dia memang rasa tak sedap badan, tetapi Zulaikha masih lagi tidak tahu dia sedang menganggur.

"Oh ya ke? Abang nak saya buatkan air?" tanya Zulaikha.

Rashdan hanya menggelengkan kepala.

"Abang nak saya urut abangkah?" tanya Zulaikha lagi.

"Ika ada apa-apa nak beritahu abangkah?" tanya Rashdan setelah melihat tindak-tanduk Zulaikha.

Zulaikha memandang Rashdan. Barangkali setelah sekian lama bersama, tindak-tanduknya tidak lagi asing di mata Rashdan.

"Abang, jom kita pergi bercuti. Kalau abang tak banyak bajet, dalam Malaysia pun tak apa. Boleh?" tanya Zulaikha sambil tersenyum manis.

Rashdan tidak menjawab, sebaliknya hanya mengeluh. Dengan keadaan dirinya, jangankan hendak bercuti dalam Malaysia, hendak bermalam di hotel dalam perumahan mereka itupun satu kemewahan.

"Kenapa, abang?" tanya Zulaikha, melihat respon Rashdan.

"Dalam masa terdekat, tak kot. Abang tak ada bajet untuk benda-benda lain," jawab Rashdan, cuba mengelak daripada berterus-terang.

"Abang, kita sudah dekat 10 tahun berkahwin. Ika tak pernah abang bawa Ika pergi bercuti, bulan madu kita pun kita tak pernah pergi. Ini baru kali pertama Ika minta, abang kata abang tak ada duit? Mana pergi duit abang?" tanya Zulaikha, geram.

Rashdan masih mendiamkan diri.

"Abang! Ika tanya ini," ujar Zulaikha setelah melihat tiada respon dari Rashdan.

Rashdan hanya bertindak bangun dari sofa yang didudukinya menuju ke tingkat atas bagi menyembunyikan kekecewaannya dengan sikap Zulaikha kerana dia tahu, dia tidak boleh menyalahkan Zulaikha di atas kegagalannya menyediakan kemewahan kepada isteri dan anaknya.

Zulaikha mengejar Rashdan dan berjaya menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mereka ketika Rashdan hendak menutup pintu bilik tidur mereka.

Melihat Zulaikha yang berjaya masuk ke dalam bilik tidur mereka, Rashdan hanya berdiri di hadapan Zulaikha dan hanya memandang wajah isterinya dengan riak wajah serius.

"Kenapa dengan abang ini?" tanya Zulaikha, bertambah geram setelah melihat tindakan Rashdan.

"Abang tak bekerja sekarang! Jadi, jangan minta apa-apa dengan abang buat masa ini, faham?" jawab Rashdan, berang.

Jawapan Rashdan membuatkan Zulaikha terkedu.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, February 4, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 21

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20

"Apa dia?" tanya Rashdan sambil memandang ke arah Haziq dan Rashdan yang sedari tadi memerhatikannya.

"Aku nak kau tolong Aduka tengok-tengokkan anak dan isteri aku. Boleh tak, Dan?" tanya Adrian pula.

"Boleh saja, tapi kenapa kau minta Aduka tolong tengok-tengokkan anak dan isteri kau? Aku, Ika, Su dengan Haziq kan ada? Kasihan Aduka, Lily itu bukannya tanggungjawab dia lagi," ujar Rashdan.

"Aku tahu, tapi aku percaya Aduka boleh jaga Lily dan Cempaka bila aku tak ada, sebab dia sangat sayangkan Lily. Jadi, aku rasa Lily akan selamat dalam jagaan dia. Eh, aku tak boleh lama ini. Aku nak hubungi Su pula. Dan, aku minta maaf kalau ada salah silap aku pada kau selama ini. Kau memang seorang kawan yang baik. Terima kasih sebab ada dalam hidup aku," jawab Adrian sebelum talian terputus.

Rashdan memandang skrin telefonnya dengan perasaan bercampur-baur. Siapa saja yang memandang, tahu pandangan Rashdan itu telahpun menembusi telefon bimbitnya.

"Dan, kau okay?" tanya Haziq setelah lama dia melihat Rashdan begitu.

"Aku rasa tak sedap hatilah. Nanti Su balik, suruh Lily balik ke rumah ayahnya. Tak, kau hubungi Su sekarang!" tegas Rashdan.

Mendengar jawapan Rashdan, dengan pantas Haziq menghubungi Suraya tetapi panggilannya tidak dapat disambung. Barangkali Su sedang dalam talian dengan Adrian.

"Tak dapat. Kau call Ika," jawab Haziq.

Rashdan cuba menghubungi Zulaikha. Lama juga hendak menunggu panggilannya dijawab oleh isterinya itu.

"Assalamualaikum, abang. Kenapa?" tanya Zulaikha sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Waalaikumussalam. Ika, Lily mana?" tanya Rashdan selepas menjawab salam yang diberikan Zulaikha itu tadi.

"Dia tengah bercakap dengan Adrian. Tengok gaya macam teruk juga, sebab Lily asyik kata Adrian merapu bukan-bukan sepanjang perbualan mereka. Kenapa, abang?"

"Abang rasa tak sedap hatilah. Nanti Ika minta Lily balik ke rumah ayahnya malam ini, boleh?" tanya Rashdan.

"Adrian dah suruh Lily balik rumah ayahnya, tapi Lily tak mahu."

"Ika, boleh berikan telefon pada Su tak?"

"Boleh, sekejap ya."

Tak lama kemudian, kedengaran suara Suraya di hujung talian.

"Hello, Dan. Ada apa? Aku tengah pening dengan Lily ini. Dia boleh pula bergaduh dengan Adrian dalam telefon. Kau jangan tambah serabut aku," ujar Suraya.

"Suruh Lily berhenti sekarang dan cakap dengan dia, tolonglah ikut apa yang Adrian nak. Dia cakap benda yang sama dengan aku juga," jawab Rashdan.

"Kenapa ini? Aku tak faham," tanya Suraya, hairan.

"Aku rasa tak sedap hati. Adrian dah hubungi aku tadi, cakap benda pelik-pelik. Jadi, aku harap kau boleh buat Lily berhenti bergaduh. Kalau tak dapat buat dia berhenti, bawa dia balik rumah kau."

"Balik rumah aku? Kenapa?" tanya Suraya lagi.

"Ikut saja. Jangan tanya kenapa."

"Baiklah, aku cuba. Ika macam mana?"

"Nanti aku ambil dia di rumah kau."

"Okay, aku balik sekarang," jawab Suraya sebelum mematikan talian.

Rashdan menyimpan semula telefon bimbitnya di dalam poket seluarnya.

"Aku rasa baik aku balik dululah, nanti kalau Lily tahu aku di sini, masak aku!" ujar Aduka lalu menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Haziq.

"Baiklah, nanti apa-apa hal, kami akan hubungi kau. Terima kasih ya sudi datang sini," jawab Haziq lalu menyambut tangan Aduka untuk bersalaman.

Selepas itu, Aduka bangun dan mendekati Rashdan pula. Rashdan bangun dan berdiri di hadapan Aduka sebelum bertindak memeluk lelaki itu.

"In shaa Allah, semuanya akan baik-baik saja. Sama-sama kita doakan keselamatan Adrian ya?" ujar Rashdan sambil menepuk-nepuk belakang Aduka.

Aduka hanya mengangguk setelah pelukan mereka dileraikan lalu berjalan keluar dari rumah agam milik Datuk Muhsin itu. Baginya, amanah Adrian terlalu berat untuk dia pikul tetapi demi kepercayaan yang telah lelaki itu berikan, dia terima.

     *     *     *     *     *

Sudah seminggu tiada khabar berita dari Adrian. Selama itu jugalah Lily dan Cempaka berkelana di rumah Encik Wahab. Perasaan risau mula menular dalam sanubari Lily tatkala melihat suaminya tidak menghubunginya sejak pergaduhan mereka seminggu lepas.

"Abang tak kira, Lily kena balik rumah ayah juga! Abang tak nak Lily tinggal berdua dengan Cempaka lama-lama!" tegas Adrian di hujung talian.

"Kenapa nak kena susahkan ayah? Lily boleh jaga diri sendirilah!" bantah Lily.

"Boleh tak dengar cakap abang kali ini? Sekali ini saja abang minta."

"Apa abang merepek ini? Nanti-nantipun boleh dengar cakap abang. Selama inipun Lily dengar saja cakap abang. Kenapa dengan abang ini?"

"Abang tak tahu lagi berapa lama kerja abang di sini akan habis. Jadi, tolonglah. Abang merayu pada Lily. Baliklah rumah ayah sampai abang balik," jawab Adrian, cuba memujuk.

"Takkan nak balik malam-malam ini? Esoklah Lily balik rumah ayah. Lily nak kemas barang, nak siapkan barang nak pos lagi."

"Esok Lily baliklah rumah buat. Malam ini tidurlah rumah ayah," pujuk Adrian lagi.

"Jangan nak mengarutlah, abang. Takkan Lily nak kena buat kerja dua kali?"

"Lily, abang mohon. Kali ini tolonglah dengar cakap abang, abang tak minta apa-apa dah lepas ini," jawab Adrian.

"Apa ini, abang? Abang ini peliklah."

"Abang sayangkan Lily dan Cempaka. Abang cuma nak kau orang selamat. Itu saja harapan abang," jelas Adrian.

"Lily tahu, tapi Lily boleh jaga diri sendiri. Selama inipun Lily duduk sendiri juga," jawab Lily lagi.

"Dulu tak ada Cempaka. Sekarang ini, kalau ada apa-apa hal, Lily susah nak uruskan Cempaka sendiri nanti."

"Abang kan ada?" tanya Lily, hairan dengan sikap Adrian malam ini. Selalunya dia tak kisahpun jika mereka berdua tinggal bersendirian.

Belum sempat dia menjawab, dia dapat merasakan ada tangan yang menyentuh bahunya. Lily berpaling dan melihat Suraya yang menggelengkan kepalanya.

"Sudah, jom kita balik. Cakap pada Adrian, aku akan hantar kau balik rumah ayah malam ini juga," jawab Suraya sebelum beredar menuju ke arah kereta Haziq yang diparkir berdekatan dengan tempat mereka berada.

Zulaikha yang sedang mendukung Cempaka hanya mengikuti langkah Suraya menuju ke kereta, membuatkan Lily tiada pilihan dan mengikuti mereka bertiga.

"Su kata dia hantar Lily dan Cempaka balik rumah ayah. Kami nak balik dah, abang jangan fikir banyak. Habiskan kerja abang cepat, kami rindukan abang," jawab Lily lalu mengeluh.

"Cakap pada Su, terima kasih. Abang sayangkan Lily dan Cempaka. Jaga diri baik-baik ya. Assalamualaikum," ujar Adrian.

"Waalaikumussalam," jawab Lily lalu mematikan talian. Dia menyerahkan semula telefon bimbit Suraya ketika mereka berada di dalam kereta.

Lily kenal Suraya. Pastinya Suraya telah mendapat arahan dari seseorang untuk meleraikan pergaduhannya dengan Adrian tempoh hari. Apa sebenarnya yang berlaku?

"Jauh termenung anak ibu ini. Fikirkan Adriankah?" tanya Puan Wardah yang baru sahaja duduk bersebelahan dengan Lily.

"Eh, ibu dah balik? Lia apa khabar? Baby sihat?" tanya Lily, bertubi-tubi bagi menukar topik.

"Ibu tanya kakak, kakak tanya ibu pula. Lia sihat, baby dalam perut dia pun sihat. Cuma, biasalah. Kali pertama bukan? Asyik sakit kaki sajalah dia," jawab Puan Wardah sambil tersenyum.

"Oh, Alhamdulillah."

"Kakak nampak resah. Kenapa?" tanya Puan Wardah.

"Abang sudah seminggu tak ada khabar berita. Kakak risaulah," jawab Lily, resah.

"In shaa Allah, Adrian akan balik selepas kerjanya selesai. Kakak kena kuat, untuk diri kakak dan Cempaka," ujar Puan Wardah sambil menggosok-gosok bahu Lily bagi menenangkannya.

"In shaa Allah ibu."

"Oh ya, kereta kakak mana? Hari itu siapa hantar kakak balik sini?" tanya Puan Wardah, hairan.

"Ibu ini, sudah seminggu baru nak tanya. Hari itu Rashdan hantar kakak dengan Cempaka balik sini. Kereta kakak ada di rumah, kakak malaslah nak pergi ambil," jawab Lily walaupun dia terpaksa berbohong kerana keretanya berada di rumah Datuk Muhsin.

"Ibu ingat nak ajak kakak pergi melawat seseorang. Ibu boleh pergi sendiri tapi ibu tak tahu dia di mana. Ayah kamu pun macam tak tahu saja," ujar Puan Wardah.

"Siapa?" tanya Lily, hairan.

"Suraya. Kakak mesti tahu dia di mana, bukan?" tanya Puan Wardah.

"Kenapa nak jumpa Su?" tanya Lily pula, semakin hairan dengan sikap Puan Wardah.

"Ibu nak minta maaf dengan dia. Ibu tahu salah ibu sebab hukum dia atas kesalahan yang bukan dia lakukan pun. Ibu nak tanya pada ayah kamu, bila ibu sebut saja nama Suraya, ayah kamu mesti akan beredar. Jadi, ibu tak tahu ayah kamu tahu ataupun tidak," jawab Puan Wardah.

"Ayah tahulah. Masakan ayah tak tahu. Dia baru saja bertemu dengan Su tiga minggu lepas."

"Tiga minggu lepas? Kenapa?" tanya Puan Wardah.

"Su baru saja bernikah tiga minggu lepas. Pernikahan tertutup, majlisnya akan dibuat kemudian. Jadi, ayah yang mewalikan pernikahannya," jawab Lily.

"Kenapa dia buat pernikahan tertutup? Ada apa-apa terjadikah?" tanya Puan Wardah, hairan.

"Pada mulanya, tak. Cuma dia sebenarnya tak bersedia nak bernikah lagi. Akan tetapi, keluarga mentuanya mendesak dia untuk segera bernikah kerana tak mahu kehilangannya. Jadi, dia setuju untuk bernikah secara tertutup. Selepas itu, baru ada sesuatu yang berlaku."

"Apa dia?"

"Tiga hari sebelum hari nikah mereka, mereka berdua kemalangan. Suaminya patah kaki tangan. Pada mulanya, dia nak tundakan pernikahan mereka tapi suaminya tidak setuju. Jadi, semuanya mengikut rancangan asal. Suaminya bersalaman dengan ayah dan tok kadi dengan kaki tangan bersimen," jawab Lily sambil menahan ketawa.

"Alahai, macam-macam dugaannya. Bagaimana, kakak? Boleh tak kakak bawa ibu jumpa Suraya?" tanya Puan Wardah.

"Boleh, nanti kakak bincang dengan Su. Dia mesti gembira dengar berita ini," jawab Lily lalu memegang tangan ibunya. Tak henti-henti dia memanjatkan syukur ke hadrat Illahi.

Lily melepaskan pegangan tangannya lalu mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Belum sempat dia menghubungi Suraya, nama Suraya sudahpun tertera di atas skrin telefonnya. Dengan pantas dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Su. Aku baru nak hubungi kau. Aku ada berita baik nak sampaikan pada kau," ujar Lily, teruja.

"Berita baik? Kau mengandung lagikah?" tanya Suraya dengan suara yang sedikit serak.

"Ish, taklah! Ibu, dia nak jumpa kau. Bila kau free?" tanya Lily, terus terang.

"Aku bila-bilapun boleh jumpa ibu kau tapi hal aku lebih utama," jawab Suraya, tersekat-sekat.

"Apa dia?" tanya Lily, masih tidak menyedari perubahan suara Suraya kerana terlalu gembira.

"Aku dapat panggilan tadi kerana nombor aku merupakan nombor terakhir yang dihubungi. Pihak polis hubungi aku, suami kau..." Suraya tak mampu menghabiskan ayat tersebut kerana terlalu sebak.

Tak lama kemudian, suara lain pula kedengaran.

"Lily, ini abang Haziq. Adrian dah tak ada, mayat dia baru saja ditemui selepas hilang selama seminggu. Kami akan datang jemput kau dalam masa setengah jam untuk dibawa ke hospital," sambung Haziq.

"Apa dia, abang? Abang tolong ulang sekali lagi," pinta Lily, tidak percaya.

"Suami Lily, dah meninggal dunia," jawab Haziq, lebih ringkas.

Lily memutuskan talian dan cuba untuk berdiri. Namun, lututnya terasa longgar dan pandangannya mulai kelam.

*BERSAMBUNG*

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com